Seorang pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap pesakitnya.
Tertuduh Ahmad Fadhil Alias @ Ilias, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Ahmad Fadhil, yang berasal dari Kampung Baru Gong Datuk, Mengabang Telipot, didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap mangsa yang berusia 20 tahun antara pukul 3.15 pagi hingga 4 pagi, 17 Januari lalu di sebuah wad hospital dekat Kuala Terengganu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Rozianti membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu kes itu disebut semula pada 7 April depan.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan