"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 jemaah M'sia telah dikenal pasti terkorban

Tiga lagi jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas, menjadikan empat mayat jemaah negara ini telah dikenalpasti.

Manakala seorang lagi ditemui selamat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ketiga-tiga mereka yang meninggal dunia berasal dari Kelantan yang dikenali sebagai Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku.

Dengan pengesahan terbaharu itu menjadikan empat mayat jemaah haji Malaysia telah dikenal pasti. Mayat pertama dikenal pasti awal malam ini ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.

Semasa sidang media lewat malam tadi, Jamil Khir juga mengesahkan pihak Tabung Haji juga telah menemui semula seorang jemaah Malaysia, yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu, Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak.

Sehingga kini tiga lagi jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah) dan Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor).

Jamil Khir berkata ketiga-tiga jenazah itu dikenal pasti pada 6 petang (waktu Arab Saudi) melalui paparan gambar serta barangan pengenalan jenazah di rumah mayat.

"Ketiga-tiga jenazah telah dikenal pasti oleh waris-waris mereka di Tanah Suci," katanya.

Mengenai Abdul Muluk, katanya jemaah haji itu terselamat dalam insiden berkenaan dan dilaporkan tersasar ke kediaman jemaah haji Thailand pada hari kejadian serta beliau dalam keadaan sihat.

"Beliau yang dikatakan seorang yang mudah lupa dihantar ke pejabat agensi pengurusan haji tempatan (Andalusia) oleh pihak Muasassah Thailand sebelum dibawa ke Ibu Pejabat TH di Mekah," katanya.

Katanya semua pihak amat berdukacita, bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga Allahyarham dan menasihati anggota keluarga untuk

bersabar dan tabah dengan dugaan ini.

Beliau berkata Kerajaan Arab Saudi menempatkan kesemua jenazah di rumah mayat Muaissem, yang terletak berdekatan dengan Mina, Makkah.

Tabung Haji akan terus berusaha sedaya-upaya untuk terus mencari mangsa-mangsa di hospital berdekatan serta memastikan segala proses-proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin, kata Jamil Khir.
-Bernama-

Tiada ulasan: