"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sejarah Penubuhan Parti Amanah Baru

ABU MUAZ AL MIRDIFEE
1. Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2015, negara mencatatkan satu lagi sejarah apabila Parti Amanah Negara atau singkatannya ‘Amanah Negara’ akan dilancarkan dengan rasminya di IDCC Shah Alam.

2. Sebagai sebuah parti yang berasaskan Islam, Amanah Negara akan memikul tanggungjawab mencorakkan politik negara dan ummah mengikut prinsip-prinsip Islam ke arah mencapai cita-cita besar Malaysia.

3. Amanah Negara mempunyai sejarah tersendiri. Ia dilahirkan selepas PAS berpecah dua. Perpecahan ini berlaku dari atas, iaitu dari pucuk pimpinannya, sehingga ke bawah, iaitu di cawangan atau akar umbinya. Perpecahan ini adalah hasil dari keinginan untuk membawa pendekatan berbeza setelah ada yang beranggapan “pendekatan melalui PR merugikan PAS”.

BERMULA PERPECAHAN DALAM PAS

4. Bibit-bibit perpecahan dalaman PAS yang membawa kepada penubuhan Amanah Negara mula berputik sejak 2008.

5. Apabila gabungan PAS bersama PKR (BA) dan kerjasama pilihan raya dengan DAP menang besar pada pilihan raya umum 2008, jalur pemikiran berbeza mula ketara. Ada yang ingin mempertimbangkan kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan, khususnya untuk Selangor dan Perak, manakala ada yang mahu kekal bersama dengan PKR dan DAP dengan membentuk Pakatan Rakyat (PR).

6. Walaupun pendekatan bersama PR telah mendapat pengesahan dan sokongan melalui Muktamar tahunan PAS pada 2008 dan tahun-tahun seterusnya, namun golongan yang ingin menimbangkan kerjasama dengan UMNO terus berusaha. Ekoran itu hubungan dalam PAS tidak pernah serasi antara dua jalur pemikiran ini.

7. Ada saja isu yang berbangkit yang menampakkan perbezaan pemikiran dan pendekatan ini. Ini termasuklah isu Kota Damansara, pil kuda, MB Selangor dan lain-lain. Ia semakin ketara selepas perginya pemimpin ulung PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

KEMPEN MENYINGKIRKAN KELOMPOK PRO-PR

8. Menjelang muktamar PAS ke 59 di Shah Alam pada tahun 2013, kempen mula dibuat untuk menyingkirkan pimpinan yang pro-PR. Mereka mula dilabel sebagai ‘kumpulan Erdogan’ (sempena nama presiden Turki Reccip Tayyib Erdogan), ‘parasit’ dan ‘Anwarinas’ oleh yang ingin mencuba pendekatan selain dari PR.

9. Namun usaha kali itu gagal apabila perwakilan membuat pilihan menggabung jalinkan kepimpinan PAS antara kedua-dua kumpulan ini.

10. Pada Muktamar PAS ke 60 di Batu Pahat, Johor pada tahun 2014, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika memberikan ucapan penangguhan muktamar dengan tegas berkata, “kepada sesiapa yang hendak jadi imam juga, carilah tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadilah imam sendiri.” Ia telah ditafsirkan sebagai tindakan menghalau kumpulan pro-PR secara terbuka oleh beliau. Kesannya PAS berpecah dua.

11. Sejak itulah, kempen besar-besaran dan sistematik dibuat untuk menghalau kumpulan profesional atau Erdogan ini. Padahal merekalah tunggak yang menggerakkan PAS selama ini. Akaun Facebook dan blog hantu mula digunakan untuk membuat serangan secara terbuka kepada mereka dengan pelbagai label diberikan dari Anwarinas, jebon, parasit, barua, anai-anai sehinggalah kepada liberal, sekular dan anti-ulama! Sedangkan isu sebenar adalah samada kekal dengan PR atau sebaliknya.

12. Ditimbulkan juga tuduhan penyusupan,IRC dan JIM serta kisah-kisah lama yang tidak releven dan dilupai ramai. Label dan tuduhan yang dilemparkan bertujuan mengalih pandangan perwakilan dari isu sebenarnya,ia itu keinginan pimpinan tertentu untuk keluar PR dan PAS bersendirian membina hubngan dengan semua termasuk UMNO/BN.

MUKTAMAR PAS KE 61 KEMUNCAK PERPECAHAN & BERPECAH DUA

13. Demonstrasi juga dibuat di pejabat Agung PAS untuk menyerang pimpinan pro-PR ini. Banner dinaikkan, gambar mereka dipijak, tuduhan rambang dibuat, namun tiada tindakan diambil oleh DS Presiden untuk menghentikan kerja-kerja terkutuk ini.

14. Maka pada Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor, tercapailah cita-cita itu. Pihak konservatif yang menggelar diri mereka sebagai golongan ‘pro ulama’ berjaya menghalau kumpulan pro-PR dalam PAS dari jawatan kepimpinan.

15. Pada Muktamar PAS itu juga usul berpisah dengan DAP turut diluluskan tanpa dibahas. Ini akhirnya menyaksikan Pakatan Rakyat yang dibentuk sejak 2008 antara PAS, PKR dan DAP berkubur.

PENUBUHAN WADAH BARU & MENGUSAHAKAN PAKATAN 2.0

16. Kemudian, satu program ceramah ‘Jasa mu dikenang’ untuk menghargai pihak yang terpinggir ini diadakan di Markas PAS kawasan Bakri, Johor pada 16 Jun 2015. Hasil sambutan yang diterima, telah diputuskan penubuhan sebuah parti baru yang berasaskan Islam adalah satu keperluan.

17. Parti Islam ini akan mengusahakan kewujudan Pakatan Rakyat 2.0, sebagai meneruskan momentum perubahan rakyat, yang sudah sedia wujud.

18. Setelah pelbagai proses berjalan, maka hari ini lahirlah ‘Parti Amanah Negara’ setelah pimpinan Islamis pro-PR ini mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

19. Semoga perjuangan ini dirahmati Allah dalam usaha untuk menyambung tugas baginda Nabi SAW, membawa Islam sebagai Rahmat Untuk Semua.

ABU MUAZ AL MIRDIFEE
BEKAS Ahli PAS Seumur Hidup.

1 ulasan:

Abdul Said berkata...

Kalau begitu ceritanya mengapa ramai sangat pemimpin-pemimpin PAS masakini yang macam disampok pelbagai penyakit seperti sawan babi, gila babi, mulut berbuih, cakap merapu, luahan tak tentu hala dan meroyan siang malam!! Sepatutnya mereka bergumakibatnya kalau banyak sangat menghafal tetapi tidak tahu makna dan biji butirnya!!!