Zikri Kamarulzaman
Rancangan sedang dibuat untuk menambang nadir bumi di hutan Jelai di Pahang dengan projek yang dicadangkan di kawasan yang boleh memuatkan 924 padang bola.
Setakat ini, projek tersebut - yang merangkumi 660 hektar - belum diluluskan.
Bagaimanapun, mesyuarat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkepentingan lain yang dijadualkan pada Isnin akan membincangkan terma rujukan (TOR) bagi Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).
Projek itu diterajui oleh syarikat perlombongan mineral Aras Kuasa Sdn Bhd (AKSB).
Berdasarkan TOR yang dilihat Malaysiakini, tapak perlombongan tersebut merupakan tanah yang belum dibangunkan dan telah dibalak (logged out).
Dilaporkan, tiga pajakan lombong telah dikeluarkan oleh kerajaan Pahang bagi tanah tersebut dengan syarat mana-mana hutan yang ditebang mesti diganti dengan yang lain.
TOR menyatakan, kawasan tersebut pada masa ini diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif darjah 2.
Imej satelit dari lokasi perlombongan yang dicadangkan menerusi Peta Google tahun ini - dan juga Planet Labs pada bulan Februari - menunjukkan, kawasan itu masih padat diliputi hutan.
Warna palsu inframerah dari imej satelit juga menunjukkan, kawasan tersebut kaya dengan tumbuh-tumbuhan.
Sungai utama, Sungai Telum dan juga beberapa sungai kecil juga mengalir di kawasan yang dicadangkan.
Terdapat juga dua perkampungan Orang Asli, Kampung Jintir dan Pos Lanai, yang masing-masing terletak dua dan enam kilometer di bahagian tenggara tapak projek yang dicadangkan.
Kaedah 'In-situ leaching’
TOR - yang ditugaskan oleh syarikat AKSB itu - mengatakan bahawa rancangannya adalah untuk melombong lantanida dari tapak tersebut.
Digunakan secara meluas untuk tujuan industri dan saintifik, lantanida adalah elemen yang sama diproses oleh syarikat nadir bumi dari Australia iaitu Lynas Corporation di Malaysia.
Syarikat itu mencadangkan untuk melombong bijih nadir dengan kaedah "in-situ leaching".
Ini memerlukan pengeboran lubang ke dalam tanah sehingga bahan kimia boleh dimasukkan ke tanah tersebut untuk membuang nadir bumi setelah larutan itu dikeluarkan untuk proses selanjutnya bagi memekatkan kandungannya.
Tinjauan 2018 mengenai kaedah terbabit menerusi jurnal MRS Energy & Sustainability mendedahkan, dengan penggunakan kaedah in-situ leaching, kebanyakan tumbuh-tumbuhan dan lapisan tanah atas tidak perlu dikeluarkan.
Bagaimanapun, ia masih mempunyai kesan persekitaran kerana kajian juga menunjukkan risiko pencemaran air bawah tanah, sungai dan tanah.
Malaysiakini telah menghubungi syarikat berkenaan, JAS, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang bertanggungjaab terhadap tanah dan sumber semula jadi di negeri ini untuk memberikan komen.
Salah satu organisasi yang bakal hadir mesyuarat TOR yang dijadualkan esok adalah kumpulan hak asasi, Suaram.
Penyelaras Suaram People Before Profit, B Suresh Kumar berkata, sekiranya projek itu berjalan, ia boleh membawa kesan sampingan yang besar.
“Perlombongan tanah di hutan, berhampiran sungai dan perkampungan Orang Asli sama seperti bencana alam sekitar, "katanya kepada Malaysiakini.
Suresh menambah, ia juga merupakan salah satu projek pembangunan terburuk yang dicadangkan berhampiran perkampungan Orang Asli Pos Lanai yang berjarak 6km dari lokasi cadangan.
Sebelum ini, terdapat rancangan untuk mendirikan empangan berhampiran perkampungan Pos Lanai namun projek itu dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019.
Pada September tahun lalu, penduduk kampung Orang Asli Pos Lanai mengemukakan surat bantahan terhadap cadangan projek nadir bumi di Jelai kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan