"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu lori ditahan bayi maut nahas di Plaza Tol Bukit Kajang

MOHD. FAHMI ISMAIL

KAJANG – Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut manakala tujuh lagi cedera.

“Kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah kereta dan dua jip. Siasatan mendapati lori dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya mengalami masalah brek ketika tiba di kawasan plaza tol.

“Pemandu lori gagal mengawal kenderaan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke lorong tol lapan dan sembilan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, bayi berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh mangsa lain dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502. – KOSMO! ONLINE

TMJ mengulas isu FAM dan FIFA

TMJ soal: Adakah entiti luar pengaruhi keputusan Fifa?
Malaysiakini 

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyoal jika ada pihak ketiga yang terlibat dalam sekatan Fifa terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana pemalsuan dokumen.

"FAM dah ikut proses dan kerjasama dengan FIFA dan Kerajaan Malaysia. FIFA pun dah approve sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar sekarang? Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini?

"Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA," soal baginda melalui satu hantaran di X.

Tunku Ismail juga berkongsi salinan surat daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias bertarikh 19 Sept.

"Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara. Tak kan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya.

"Lawan tetap lawan. Berani kerana benar," tegas Tunku Ismail.

Dalam surat itu, Badrul mengesahkan bahawa JPN sedang meneruskan proses naturalisasi tujuh pemohon.

“Saya mengesahkan bahawa segala penelitian sewajarnya serta prosedur undang-undang telah dipatuhi sepanjang proses ini dan pengeluaran sijil kewarganegaraan tersebut dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya keperluan undang-undang dan Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Tunku Ismail turut berkata FAM telah mengikut proses dan bekerjasama dengan Fifa serta kerajaan Malaysia.

"Fifa juga sebelum ini sudah meluluskan, tetapi mengapa keputusan kini berubah?

"Apa yang berlaku hingga tiba-tiba keluar keputusan sebegini?” soalnya dalam hantaran itu.

Tunku Ismail menegaskan Fifa tidak memberikan penjelasan terhadap keputusan itu serta terlalu cepat mengumumkannya sebelum FAM sempat menyelesaikan rayuan.

Malam tadi, Fifa mengumumkan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) mengenai pemalsuan dokumen.

Pemain terbabit - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano - turut dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.

Tujuh pemain itu mewakili Malaysia menentang Vietnam untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 pada 10 Jun.




Bolasepak dan negara: Kita ditelanjang di hadapan dunia

Kita ditelanjang di hadapan dunia

Nur Hadi Mohamad

Malaysia nampaknya memang pakar dalam seni jalan pintas. Kalau dulu kita mencari ‘kegemilangan’ dalam pembangunan dan ekonomi tetapi termalu dengan 1MDB, kini bola sepak pula yang mengambil giliran.

Dokumen palsu, denda berjuta, tujuh pemain digantung – itu bukan tajuk utama tabloid luar negara, tapi kenyataan pahit dan mengaibkan bola sepak Malaysia hari ini.

Apa yang disangka revolusi Harimau Malaya rupa-rupanya hanya topeng yang retak di hadapan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), mendedahkan betapa rapuhnya integriti kita.

Beberapa bulan lalu aku menulis tentang Harimau Diaspora - naratif penuh idealisme bagaimana pemain warisan mampu menyatukan identiti bangsa dengan wawasan bola sepak negara.

Aku yakin darah campuran Malaysia di luar negara boleh jadi jambatan emas untuk memperkukuh Harimau Malaya. Tapi hari ini, naratif itu terhempas ke bumi dan berkecai.

Fifa baru sahaja mengumumkan keputusan yang mengejutkan: tujuh pemain warisan Malaysia digantung selama 12 bulan kerana penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran antarabangsa.

Pemain yang sebelum ini menjadi sandaran skuad kebangsaan kini tidak boleh lagi menyarung jersi negara. Lebih parah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 atau kira-kira RM1.8 juta.

Jadi beban reputasi

Hukuman itu bukan kecil, malah menjadi tamparan besar kepada organisasi yang sudah sedia bergelut dengan isu kewangan dan pengurusan. Rayuan memang sedang disusun, tetapi peluang untuk mengubah keputusan nampak tipis.

Dunia sudah membaca Malaysia sebagai negara yang cuba menipu sistem. Di mana kita nak letakkan muka kita? Aib, mat!

Hukuman yang diumumkan setakat ini hanya menyentuh tujuh pemain. Namun aku percaya gelombang badai sebenar belum berakhir. Fifa dan juga AFC tidak akan berhenti setakat itu sahaja.

Sejarah membuktikan, apabila skandal sebegini terbongkar, siri hukuman susulan akan menyusul - sama ada kepada pegawai teknikal, pentadbir bola sepak, malah keseluruhan persatuan.

Jika itu berlaku, maruah bola sepak Malaysia akan tercalar lebih dalam, dan kita mungkin berdepan risiko digantung daripada sebarang kejohanan antarabangsa.

Dulu, pemain warisan dianggap sebagai “dewa penyelamat”. Mereka datang dengan pengalaman, DNA bola sepak Eropah atau Amerika Selatan, lalu digabungkan dengan semangat kebangsaan Malaysia.

Aku sendiri percaya itulah jalan terpantas untuk melonjakkan kedudukan kita di pentas Asia.

Namun realitinya, sebahagian daripada mereka kini menjadi beban reputasi. Daripada penyelamat berubah kepada punca krisis; daripada sumber kebanggaan kepada bahan ketawa dunia.

Soalan besar pun muncul: apakah projek pemain warisan ini benar-benar telus, atau sekadar jalan pintas untuk menutup kelemahan pembangunan akar umbi kita?

Sama seperti 1MDB – bermula dengan impian besar, tetapi runtuh kerana integriti yang rapuh.

Di tengah kekalutan ini, muncul satu naratif yang aku tidak boleh ketepikan: ada bayang kuasa yang bergerak di balik tirai.

Aku tidak mahu menuding jari sembarangan, tetapi persoalan tentang siapa yang menolak tarikh, meluluskan tandatangan dan melicinkan jalan pintas ini tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan.

Ramai mula bercakap tentang “tangan ghaib”. Siapakah sosok berpengaruh yang walaupun tidak berjawatan rasmi, tapi memiliki kuasa mempengaruhi haluan? Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan telus, selagi itulah desas-desus akan terus menenggelamkan kebenaran.

Tidak hairanlah kalau masyarakat semakin skeptikal di mana-mana. Kalau dulu nama sosok ini diangkat dan dipuja, kini ramai yang berasa tertipu. Harapan yang sepatutnya membawa Malaysia ke hadapan kini jadi simbol kegagalan tadbir urus.

Malaysia akan terus dilihat sebagai negara yang bukan sahaja gagal mengurus bola sepak, tetapi juga takut berterus terang tentang siapa sebenarnya berkuasa di balik keputusan badan pengurusan bola sepak kita.

Kedudukan kian rapuh

Hukuman dijatuhkan Fifa bukan sekadar menimpa tujuh individu, tetapi seluruh ekosistem bola sepak Malaysia.

Pertama, imej negara dan FAM jatuh merudum. Kalau sebelum ini kita sibuk bercerita tentang “kebangkitan Malaysia”, sekarang dunia nampak kita sebagai contoh kegagalan tadbir urus.

Sama seperti 1MDB yang menjadikan kita bahan jenaka media Barat, isu ini sekali lagi memalukan nama Malaysia.

Kedua, pemain tempatan yang sebelum ini terpinggir kerana terlalu bergantung kepada pemain warisan kini terpaksa menggalas tanggungjawab lebih besar.

Cuma, mungkin inilah peluang mereka untuk membuktikan kemampuan sebenar - tanpa bersaing dengan pemain yang statusnya meragukan.

Ketiga, kedudukan kita di pentas antarabangsa semakin rapuh. Dengan skuad pincang, reputasi hancur, dan keyakinan AFC serta Fifa FIFA terhakis, laluan ke Piala Asia atau Piala Dunia hanya tinggal mimpi.

Sama seperti 1MDB yang menyebabkan pelabur luar lari kerana hilang percaya, bola sepak Malaysia kini berisiko dipinggirkan kerana kredibiliti tercemar.

Masalah sebenar bukan semata-mata pada pemain, tetapi pada sistem. Kelemahan pengesahan dokumen menjadi bukti jelas FAM masih belum serius tentang integriti. Ghairah mahu segera berjaya sehingga mendorong mereka memilih jalan pintas, walaupun dengan risiko besar.

Bukankah ini pola yang sama dengan 1MDB? Ia juga bermula dengan visi besar - mahu menjadikan Malaysia pemain global dalam kewangan.

Namun, jalan pintas, manipulasi dan ketamakan akhirnya menjadikan kita bahan jenaka antarabangsa. Kini bola sepak mengulangi sejarah yang sama: impian gah tetapi asasnya rapuh.

Kesilapan tak boleh diulang

Suka atau tidak, inilah wajah sebenar tadbir urus Malaysia - tidak kira dalam politik, ekonomi atau sukan. Kita terlalu mudah terpesona dengan slogan dan projek besar, tetapi lupa membina asas integriti.

Kita terlalu ghairah mengejar jalan pintas menuju kejayaan sehingga lupa bahawa kemenangan sejati hanya lahir daripada kerja keras, sistem yang telus dan kesabaran membina dari akar umbi.

Kita perlu kembali kepada idealisme asal: pemain warisan sepatutnya menjadi jambatan, bukan lubang gelap. Mereka sepatutnya memperkukuh pasukan, bukan memusnahkan keyakinan.

Selepas semua ini, kita mesti berani mengaku: masalahnya bukan pada darah warisan, tetapi pada mereka yang menguruskan projek ini dengan cuai dan penuh nafsu jalan pintas.

Kalau Malaysia benar-benar mahu bangkit, kita tidak boleh mengulang kesilapan 1MDB dalam bola sepak.

Kita mesti membina semula dengan jujur, walaupun pahit. Kita perlu kembali kepada prinsip bahawa integriti lebih penting daripada kemenangan segera.

Projek pemain warisan tidak salah. Yang salah ialah para pengkhianat yang lupa bahawa kejujuran itu asas kemenangan. Malaysia pernah malu dengan 1MDB, hari ini bola sepak kita ditelanjangkan dengan cara sama.

Amat memalukan: FAM, 7 pemain warisan digantung 12 bulan, didenda FIFA

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM didapati telah menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada FIFA. Tindakan itu bertujuan membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi mewakili skuad kebangsaan.

Pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

“Semua pemain terbabit telah diturunkan ketika perlawanan menentang Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 pada 10 Jun 2025.

“Aduan mengenai status kelayakan Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano dikemukakan kepada FIFA selepas perlawanan itu.

“Jawatankuasa Tatatertib FIFA menilai semua bukti yang dikemukakan sebelum memutuskan bentuk hukuman.

“FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000.
Tujuh pemain berkenaan pula masing-masing didenda CHF2,000,” menurut kenyataan itu.

Kesemua pemain turut dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemakluman keputusan.

Isu kelayakan pemain-pemain terbabit untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia turut dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.

FAM dan pemain-pemain berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, hari ini.

Mengikut peruntukan FDC, mereka diberikan tempoh sepuluh hari untuk memohon keputusan bersebab yang jika dimohon, akan diterbitkan di laman legal.fifa.com.

Keputusan itu masih tertakluk kepada rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Cedera teruk dibelasah suami di kantin universiti

KOSMO!

SINGAPURA – Seorang lelaki mengamuk ketika bersarapan di sebuah kantin universiti di Changi, Singapura dengan memukul dan membaling barang pada  isterinya, lapor portal berita MSNews hari ini.

Pergaduhan itu menyebabkan mangsa mengalami pelbagai keretakan tulang.

Au Yong Khin Mun, 39, mengaku bersalah kelmarin di sebuah mahkamah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan akan dihukum pada 6 November depan.

Bapa kepada tiga orang anak itu sedang melalui proses perceraian dengan isterinya yang berusia 38 tahun.

Pada pagi 2 Dis 2024, pasangan tersebut menghantar anak kembar perempuan mereka yang berumur empat tahun ke sebuah taska berdekatan sebelum menuju ke kantin Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura (SUTD) untuk bersarapan.

Semasa makan, Au Yong memberitahu isterinya bahawa dia mahu menggunakan hasil daripada jualan kondominium mereka untuk menyelesaikan hutang kad kredit.

Namun, isterinya tidak bersetuju dengan mengatakan wang itu sepatutnya digunakan untuk membeli sebuah flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) supaya mereka tidak perlu tinggal bersama ibu bapanya.

Berang mendengar jawapan tersebut, Au dua kali cuba menampar isterinya di seberang meja tetapi tidak berjaya.

Dia kemudian bergerak ke sisi Au dan menumbuk kepalanya lima kali dengan tangan kiri, diikuti empat kali pukulan di bahagian belakang.

Apabila isterinya cuba beredar, dia mengambil secawan kopi ais dan sepinggan makanan sebelum menghentakkannya pada kepala wanita itu.

Dia kemudian terus memukul Au dua kali lagi, menendang belakangnya dengan lutut, menarik lengan wanita tersebut dari belakang dan menghumbannya ke lantai, menyebabkan mangsa terpaksa dirawat di hospital. – AGENSI

Israel kerah komando elit Shayetet 13 serang, tawan sukarelawan GSF

KOSMO!
Kedudukan semasa kapal-kapal dalam armada flotilla mengikut laman rasmi penjejak flotilla dalam misi menuju ke Gaza
PETALING JAYA – Media rasmi Israel dilaporkan mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan serangan terhadap kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan semua sukarelawan yang terbabit.

Menurut laporan yang disiarkan di Saluran 12, rejim Zionis itu memaklumkan akan mengerahkan pasukan komando elit laut mereka, Shayetet 13, yang terkenal dengan kepakaran operasi ketenteraan, kerahsiaan identiti serta tindakan keras tanpa belas kasihan.

Israel turut mendakwa, selepas menawan kapal-kapal GSF, semua sukarelawan akan ditahan dan dipindahkan ke sebuah penjara terapung terbesar di dunia, iaitu kapal khas yang dijadikan pusat penahanan.

Pada masa sama, Israel memberi amaran bahawa para sukarelawan GSF akan dipenjara dalam tempoh lama sekiranya mereka berkeras untuk meneruskan pelayaran ke Gaza selain bot-bot ditenggelamkan atau diambil alih sebagai aset tentera laut rejim berkenaan.

Bagaimanapun, rata-rata peserta GSF turut memuat naik hantaran balas menegaskan bahawa mereka tidak akan berganjak dan tetap komited untuk meneruskan pelayaran bagi menembusi sekatan rejim Zionis demi memastikan bantuan dapat diberikan buat rakyat Palestin di Gaza.

“Kami serahkan segala-galanya kepada mu ya Allah. Teruskan bercakap tentang Gaza. Mohon doa semua,” kata peserta GSF dari delegasi Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Malaysia akan mengutamakan usaha koordinasi keselamatan dengan kerjasama negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan semua 34 peserta delegasi Malaysia selamat dibawa pulang.

Sebelum ini, media melaporkan, kapal-kapal dalam armada flotila kini berada pada jarak kurang daripada 1,000 kilometer (bersamaan 621 batu) dari Semenanjung Gaza (enklaf Palestin), sementara mereka masih meneruskan misi untuk mencabar sekatan yang telah lama dikenakan oleh Israel. – KOSMO! ONLINE

Hutang telefon bimbit punca warga Pakistan dibunuh

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUSPEK utama (kiri) bersama rakannya ditahan selepas disyaki terbabit kes pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan di Keningau, pada 20 September lalu. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK utama (kiri) bersama rakannya ditahan selepas disyaki terbabit kes pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan di Keningau, pada 20 September lalu. FOTO Ihsan PDRM
Keningau: Tuntut bayaran ansuran telefon bimbit dipercayai punca peniaga warga Pakistan dibunuh sebelum mayatnya ditanam di Kampung Kitung, Jalan Keningau, di sini, dalam kejadian pada 20 September lalu.

Motif pembunuhan berkenaan terbongkar apabila polis menahan dua lelaki warga Filipina termasuk suspek utama.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek utama berusia 33 tahun ditahan di Kampung Sayur, Jalan Durok kira-kira jam 9 malam kelmarin.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku membunuh mangsa seorang diri kerana tidak tahan terus didesak supaya melunaskan hutang ansuran telefon bimbit sehingga mencetuskan pertengkaran.

"Baki hutang ansuran bulanan telefon bimbit suspek hanya RM50, namun dia gagal membuat bayaran selama empat bulan berturut-turut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 37 tahun di Kampung Kilang Bata, Jalan Keningau-Tenom, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

"Suspek kedua tidak mengaku terbabit dalam pembunuhan, sebaliknya hanya membantu mengangkat mayat mangsa ke dalam lubang digali suspek utaa dan menyuluh kawasan menggunakan telefon bimbit," katanya.

Katanya, kedua-duanya direman sehingga 3 Oktober depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mangsa berusia 30 tahun dipercayai dibunuh oleh suspek sebelum ditemui pada 23 September lalu.

Mayat mangsa ditemui ditanam kira-kira 100 meter dari rumah suspek yang bekerja sebagai penjaga kebun getah dan tinggal bersama tiga anaknya.

Ibu bapa terkejut mayat anak tanpa jantung

KOSMO!
GAMBAR fail Byron Haddow (kanan). Foto Nine News
DENPASAR, Bali  –  Seorang pelancong Australia berumur 23 tahun yang meninggal dunia di Bali, Indonesia  dihantar pulang kepada keluarga dalam keadaan jantungnya hilang, lapor portal berita MSNew semalam.

Byron Haddow dari Noosa di Queensland, ditemui terapung di kolam renang sebuah vila persendirian pada 26 Mei lalu.

Kematian mangsa direkodkan sebagai lemas, namun keluarganya berkata,  keadaan yang berlaku tidak masuk akal.

Ibu bapa Byron, Robert dan Chantal Haddow, berkata, mayat anak mereka dihantar pulang hampir empat minggu selepas kematiannya.

Namun, dua hari sebelum pengebumian, mereka dimaklumkan oleh Koroner Queensland bahawa jantung Byron telah dikeluarkan dan ditinggalkan di Bali tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Chantal berkata, dia dan keluarganya pada mulanya sedikit lega apabila mayat Byron dikembalikan.

Keluarga itu bagaimanapun mengetahui bahawa jantungnya telah diambil tanpa pengetahuan sesiapa pun dan pihak konsulat, membuatkan mereka amat terkejut.

Keluarga itu kemudian terpaksa menunggu berbulan-bulan dan membayar kira-kira A$700 (RM2,955), untuk menghantar organ tersebut dari Hospital BIMC Bali pulang ke Australia.

Ia hanya dikembalikan selepas pengebumian selesai.

Sijil kematian yang dikeluarkan Hospital BIMC Bali menyatakan lemas sebagai punca kematian, namun ibu bapa Byron segera mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

Anak mereka seorang perenang yang kuat, dengan ketinggian 178 sentimeter, manakala kolam vila tersebut hanya sedalam 150 sentimeter.

Mayatnya juga mempunyai kesan luka dan lebam serta darah dilaporkan ditemui pada tuala.

Keraguan mereka semakin bertambah apabila kes itu tidak dilaporkan kepada polis sehingga empat hari kemudian. – AGENSI

Mak, bapak budak- budak ni patut didakwa

‘Beraninya budak-budak ni, mana mak ayah?’

ALIA NATASHA CHAHIDAN
Tangkap layar sekumpulan kanak-kanak berbasikal secara berbahaya.
PETALING JAYA – Sekumpulan kanak-kanak didapati berlumba sesama sendiri dengan menunggang basikal lajak di lebuh raya menuju ke Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

Menerusi rakaman video tular, empat kanak-kanak dilihat menunggang secara berbahaya ketika melalui selekoh tajam di sebuah jejambat, dengan dua daripadanya melakukan aksi ‘Superman’.

Pemandu kenderaan yang merakam aksi kanak-kanak tersebut dilihat membunyikan hon beberapa kali ke arah mereka yang menunggang di kedua-dua lorong jalan.

Meskipun diberikan amaran, tiada seorang pun daripada mereka cuba memperlahankan basikal sebaliknya memecut laju menuruni bukit melalui lorong kecemasan.

Video tersebut mencetuskan kemarahan pengguna media sosial yang meluahkan rasa kesal terhadap situasi berbahaya tersebut.

“Ibu bapa perlu bertanggungjawab. Jadi apa-apa naya,” komen Shazwanieeez.

“Ibu bapa patut kena dakwa sebabkan kecuaian,” kata Aisyah.

“Beraninya budak-budak ni. Mana mak ayah? Tak sayang nyawa anak ke?,” komen Aydamars. – KOSMO! ONLINE

Lebai PAS, Adun Adun Sungai Ramal mohon maaf tanpa syarat pada Ahli Parlimen DAP

Adun PAS mohon maaf tanpa syarat pada Syahredzan
story-image
Seorang Adun PAS Selangor hari ini mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berhubung dakwaan yang dibuatnya kepada ahli DAP berkenaan beberapa tahun lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Mohd Shafie Ngah berkata, permohonan maaf itu dibuat “secara nyata” atas dakwaan melibatkan Syahredzan sebagai bukan seorang Muslim yang jujur, tidak taat beragama serta menyokong ideologi komunis.

“Saya mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah secara penuhnya tidak benar, tidak berasas dan secara keselurhannya tidak mempunyai sebarang merit.

“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuh menyedari kecederaan, distres dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada YB Syahredzan,” katanya dalam kenyataan terbuka hari ini.

Mohd Shafie yang juga Adun Sungai Ramal membuat permohonan maaf itu atas kenyataan dibuatnya di platform Facebook Live pada 25 Okt 2022, serta antara 8 Julai 2023 hingga 12 Julai 2023.

Syahredzan – yang juga seorang peguam – mengemukakan saman ke atas Mohd Shafie selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu gagal memenuhi tuntutan yang dibuat ekoran kenyataan dikeluarkan itu.

Saman berkenaan difailkan Syahredzan pada Julai 2023 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tiada pertikaian peribadi lagi

Melalui saman fitnah itu Syahredzan antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, permohonan maaf dan perintah untuk menghalang Mohd Shafie daripada terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memfitnah

Mohd Shafie sempat mengumumkan dalam hantaran di media sosialnya ketika itu bahawa dia akan berlawan di mahkamah.

“Ini perhitungan melibatkan ideologi - PAS dan DAP. Selagi nyawa dikandung badan, saya lawan sampai mati,” katanya pada 16 Ogos 2023.

Dalam kenyataan permohonan maaf hari ini, Mohd Shafie berkata, dia menarik balik sepenuhnya kenyataan yang dibuat ke atas Syahredzan secara tanpa syarat dan memberikan aku janji untuk tidak membuat kenyataan bersifat fitnah lagi

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan-tindakan saya dan secara komited untuk memastikan saya akan bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat dan berintegriti pada masa depan,” katanya.

Tambah Mohd Shafie kedua-dua pihak hadir di mahkamah pada 22 Sept lalu bagi mengesahkan persetujuan berkenaan.

Sementara itu Syahredzan berkata permohonan maaf Mohd Shafie turut akan disiarkan dalam dua akhbar nasional.

“Dengan penyelesaian ini, dan apabila terma-terma penyelesaian dipatuhi sepenuhnya, sewajarnya tidak ada pertikaian peribadi lagi di antara saya dengan YB Ustaz Shafie,” katanya.

Syahredzan diwakili peguam Daniel Albert, Nicholas Yap dan Amanda Yap dari firma Daniel & Wong.

Cubaan bunuh polis: Lelaki menangis teresek-esak di kandang pesalah

ASLIZA MUSA
MOHD. Ameerul Asraf (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan bagi menghadapi pertuduhan cubaan membunuh anggota polis Sabtu lalu.
TELUK INTAN – Lelaki yang diberkas selepas dikejar polis sejauh lebih 60 kilometer sehingga mencetuskan insiden tembakan dan cubaan melanggar anggota keselamatan di Behrang Ahad lalu, menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Ameerul Asraf Mohd. Saipul, 35, gagal mengawal emosi sebaik sahaja dibawa masuk ke mahkamah dan duduk di kandang pesalah sehingga terpaksa ditenangkan oleh isteri dan peguamnya.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan cubaan membunuh empat anggota polis.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu dakwa telah melakukan perbuatan cubaan bunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Azizul Yahya, Muhammad Lokman Nulhakim Mahdhir, S. Muniya Kaunden dan Noor Azam Man.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut berhampiran Stesen Minyak Petron, Hentian Rehat Behrang, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Muallim pada pukul 11 pagi, 20 September 2025.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh mengambil kira keseriusan kes yang dihadapi lelaki itu.

Bagaimanapun, peguam Nur Shaqira Ibrahim memohon agar anak guamnya diberi kebenaran untuk diikat jamin atas alasan tertuduh yang tidak mempunyai pendapatan tetap merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai lima anak berusia dua hingga sembilan tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan. – KOSMO! ONLINE

‘Saya datang nak tembak perdana menteri!’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penggunaan perkataan yang tidak cocok di luar situasi biasa menyaksikan dua kru berita ditahan pegawai imigresen di sebuah lapangan terbang di United Kingdom (UK), menurut seorang bekas wartawan.

Dalam buku baharu berjudul ‘Surviving the Newsroom’, bekas ketua pengarang kumpulan Media Prima Berhad Ashraf Abdullah, menceritakan bagaimana kru kamera TV3 dihantar membuat liputan lawatan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, ke London.

Apabila disoal pegawai imigresen British di Heathrow, seorang jurukamera dalam kru tersebut yang kurang fasih berbahasa Inggeris ditanya mengenai tujuan lawatannya.

“Tanpa teragak-agak, dia menjawab dengan penuh yakin dan tanpa sedikitpun nada ironi: ‘Saya datang untuk ‘tembak’ perdana menteri,'” tulis Ashraf dalam bukunya, Surviving the Newsroom.

Susulan itu, tercetus kekecohan serta-merta, tulisnya.

Menurut Ashraf, seorang wartawan yang berdiri di sebelah jurukamera itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sedang cuba memberikan isyarat kepada rakannya yang mengundang malang itu supaya berhenti bercakap.

Ashraf berkata, kedua-dua mereka ditahan dan terpaksa berdepan proses penjelasan, penterjemahan dan ‘kawalan kerosakan’ selama beberapa jam. Mujur, tambah beliau, tiada seorang pun yang dihantar pulang.

“Namun, jurukamera itu kemudiannya diberi peringatan tegas tidak lagi menggunakan perkataan ‘tembak’ dan ‘perdana menteri’ dalam satu ayat yang sama — terutamanya di lapangan terbang atau dalam pesawat.”

Namun, bahasa bukan satu-satunya perkara yang boleh memalukan seorang wartawan. Kadangkala, teknologi juga boleh menjadi puncanya.

Dalam buku itu, Ashraf mengimbau bagaimana dalam satu kejadian lain, seorang wartawan — peminat tegar muzik rock Tamil — hadir satu sidang media yang diadakan oleh seorang menteri besar.

“Malang sekali, dia tidak mempunyai kaset baharu untuk perakam suaranya,” tulisnya.

Justeru, wartawan itu telah melakukan ‘pengorbanan mulia’ dengan menggunakan kaset daripada ‘koleksi muzik kesayangannya’.

Namun, berbanding perlu menekan butang ‘play’ pada perakam suara, dan bukannya butang ‘record’ dan ‘play’ serentak, seperti tetapan teknologi pada masa itu.

“Apa lagi, perakam suara itu mula mengalunkan lagu rock Tamil yang cukup bertenaga, seolah-olah mampu ‘membangkitkan’ orang mati.

“Menteri besar itu terkejut. Para wartawan terpaku. Pengawal peribadi bersedia untuk bertindak. Kedengaran juga ada yang menjerit.”

‘Surviving The Newsroom’ dijual pada harga runcit RM34.90, tidak termasuk kos penghantaran.

Pembaca yang berminat membeli buku ini boleh menghubungi Ashraf Abdullah di talian 019-2812213.

Kelantan: Bas ekspres terbalik dekat Kuala Krai

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
KEADAAN bas terbalik selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Batu Jong, Kuala Krai, pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN bas terbalik selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Batu Jong, Kuala Krai, pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Kuala Krai: Seramai 15 orang termasuk pemandu berdepan detik cemas apabila bas ekspres dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu, terbalik berhampiran Batu Jong di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, tiga individu termasuk pemandu yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 5.30 pagi melalui Sistem MERS 999, dan 13 anggota dari BBP Kuala Krai serta BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, terdapat kemalangan membabitkan bas ekspres yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

"Seramai 15 orang yang berada di dalam bas ketika kejadian, termasuk pemandu dan pembantu pemandu.

"Daripada jumlah itu, dua penumpang masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan, manakala 11 lagi penumpang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sementara itu, pemandu bas turut cedera, manakala pembantu pemandu dilaporkan selamat," katanya ketika dihubungi.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.35 pagi.

Pendirian PAS uji ‘ikrar’ Hamzah untuk menyokong RUU PSB

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat ikrar ketua pembangkang Hamzah Zainudin untuk menyokong Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bakal diuji, apabila rakan Perikatan Nasional (PN), PAS dilihat semakin menentangnya.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, RUU itu menjadi alat politik untuk PAS menyemarakkan sentimen Melayu.

“Ini isu sangat emotif, khususnya dalam kalangan orang Melayu yang tanah mereka bakal dibangunkan semula, jadi fakta tidak membawa makna.

“Sama ada RUU ini baik atau buruk tidak penting. Ia dipolitikkan,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, PAS mengenal pasti isu itu sangat berkesan digunakan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“RUU ini diterajui menteri Cina, jadi mereka boleh memainkan isu perkauman.”

Katanya, PAS akan menggunakannya sebagai bukti kegagalan Anwar melindungi kepentingan orang Melayu, dengan projek pembangunan semula dilihat hanya menguntungkan masyarakat Cina.

“Ia ada elemen perkauman. Tidak mungkin PAS dan PN tidak menggunakan isu ini.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara juga berkata, PAS mahu mengambil kesempatan terhadap kebimbangan bahawa RUU itu direka untuk “mengusir” orang Melayu dari kawasan bandar.

“Memang ironi. PAS berusaha memansuhkan RUU ini, walaupun pengundinya pada asasnya tinggal di kawasan luar bandar, di mana impak RUU ini minimum.”

Awal bulan ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, Hamzah berjanji akan menyokong RUU itu, dengan syarat ia ditangguhkan untuk perbincangan lebih mendalam.

Hamzah dilaporkan berkata, pembangkang tidak menolak undang-undang yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, PN hanya memerlukan masa untuk berbincang lebih mendalam dan gabungan pembangkang itu sedia menyokong RUU berkenaan, asalkan ia disemak untuk menangani kebimbangan umum.

Bagaimanapun, Pemuda PAS menyuarakan pendirian sebaliknya dengan mengumumkan perhimpunan akan diadakan bagi membantah RUU itu pada 4 Okt ini sebagai tanda solidariti bersama penduduk Kampung Sungai Baru yang diusir secara paksa awal bulan ini.

Seorang lagi penganalisis percaya Hamzah mampu menggunakan pengalaman luasnya untuk menyelaras strategi PN sebelum RUU itu dibahaskan semula di Parlimen.

“Hamzah boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai ketua pembangkang untuk berunding dengan PAS. Sebagai timbalan presiden Bersatu, beliau juga boleh mendekati akar umbi bagi meredakan kebimbangan golongan Melayu miskin dipaksa berpindah,” kata penganalisis enggan dinamakan itu.

Menurutnya, pengalaman Hamzah sebagai menteri dalam negeri dan Ahli Parlimen lama berkhidmat memberinya kelebihan untuk meneliti peruntukan RUU PSB itu secara mendalam, khususnya berkaitan kuasa pengambilan semula tanah dan mekanisme pampasan.

Pemimpin Pas bimbang pangkalan haram diroboh?

‘Benak ubi sungguhlah, pemimpin Pas bimbang pangkalan haram diroboh’

Harapandaily

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain menempelak cara fikir pemimpin Pas dalam kerajaan negeri Kelantan yang bimbangkan nasib rakyat susulan perobohan ratusan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Sungai Golok mulai bulan depan.

“Saya pelik betullah cara berfikir pemimpin-pemimpin Pas dalam kerajaan negeri Kelantan.

“Dia lebih fikir bagaimana untuk membela nasib pekerja-pekerja yang terlibat dengan pangkalan haram daripada memikirkan langkah untuk menghalalkan anak-anak muda Kelantan yang terlibat dengan penagihan, penjualan (dadah) supaya mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik dan bermakna,” katanya.
Beliau berpendapat adalah lebih baik kerajaan negeri Kelantan berfikir bagaimana untuk membangunkan Rantau Panjang supaya menjadi lokasi yang menarik pelancong dan memberi kebaikan kepada pengunjung dan peniaga.

“Majukan Rantau Panjang supaya penyeludup-penyeludup boleh bertukar pekerjaan daripada haram ke halal. Benak ubi sungguhlah.

“Patutlah di Kelantan ini, banyak kerja haram kerana kerja-kerja yang haram ini barangkali direstui oleh kerajaan Pas Kelantan.

“Sebab itu apabila kerajaan melalui polis nak tutup sempadan, yang pening kepala adalah pemimpin-pemimpin Pas ini,” tegas Wan Mahussin lagi menerusi rakaman video.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tidak semua pangkalan haram di sepanjang sungai itu dibina untuk tujuan penyeludupan sebaliknya sebahagian adalah untuk aktiviti harian penduduk sejak puluhan tahun.

Reaksi pemimpin Pas berkenaan selepas Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan sebanyak 153 daripada 212 jeti pangkalan haram yang dibina di atas tanah milik kerajaan akan dirobohkan mulai bulan depan.

Yusoff menjelaskan bahawa tindakan terhadap jeti pangkalan haram di atas tanah persendirian pula akan diteliti dari sudut undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Tumpat dan Pasir Mas kerana ia di luar bidang kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Kelantan: Ambil nyawa sendiri lepas pukul anak saudara dengan tukul

ROHANA MOHD. NAWI
Lokasi kejadian seorang lelaki memukul anak saudaranya di sebuah rumah kedai di Jelawat, Bachok hari ini. FOTO MEDIA SOSIAL
BACHOK – Seorang penganggur dipercayai menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini manakala anak saudaranya lelakinya berusia tujuh tahun berada dalam keadaan kritikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang kanak-kanak cedera akibat dipukul.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah kedai yang merupakan tempat tinggal suspek.

“Suspek dipercayai memukul bahagian kepala anak saudaranya yang berusia tujuh tahun dengan tukul.

“Mangsa yang kritikal dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat sini untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Azrie memberitahu, siasatan mendapati, suspek kemudian dijumpai dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi dekat sini iaitu kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. – KOSMO! ONLINE

Pegawai kanan polis didakwa gagal isytihar emas digital, wang kripto

Bernama

Seorang pegawai kanan polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan harta termasuk wang emas digital seberat 716.8 gram dan wang kripto berjumlah RM80,000 pada tahun lepas.

DSP Mohd Shahril Abu Bakar, 41, berdepan dua pertuduhan mengabaikan notis bertulis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 30 Mac 2024.

Tertuduh telah memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah dan dia gagal mengenal pasti harta yang diperoleh atau menyatakan bagaimana ia diperoleh.

Harta yang gagal dikenal pasti membabitkan wang yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik Tahara Services dan tertuduh mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.

Harta yang gagal dinyatakan bagaimana diperoleh ialah wang emas digital yang disimpan di platform Public Gold serta wang kripto yang dilaburkan melalui platform Luno sebanyak RM80,000, dan wang yang dilaburkan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera berjumlah RM39,198.48 milik tertuduh.

Selain itu, wang yang dilaburkan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik anak-anak tertuduh berjumlah RM110,000 dan wang yang dibayar kepada Affin Islamic Bank Berhad bagi pinjaman perumahan sebuah rumah beralamat di Johor Bahru sebanyak RM68,000.

Mohd Shahril didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 28 Jun 2024 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM100,000, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan Mohd Shahril diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 29 Okt ini sebagai sebutan semula kes itu.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

- Bernama

'Malangnya, Najib seorang yang tidak jujur'

Farah Solhi

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak adalah seorang yang tidak jujur dan kerap menuding jari kepada pihak lain berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam syarikat itu, Lim Chee Wee, berkata demikian di hadapan hakim Ahmad Fairuz Zainal Abidin dalam kes saman berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut, Nik Faisal Ariff Kamil.

“Malangnya, Najib seorang yang tidak jujur. Walaupun beliau percaya wang SRC berjumlah RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada kabinet,” katanya.

Dia menambah, SRC tidak boleh dijadikan kambing hitam bagi urusan pinjaman dan kelulusan pinjaman jangka pendek kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa serta kuasa kelulusan Najib sendiri, bukannya syarikat tersebut.

Lim juga berhujah bahawa alasan Najib, ketika menjadi perdana menteri, terlalu sibuk untuk mengambil tahu soal ketelitian (due diligence) dan butiran lain adalah tidak berasas.

Menurutnya, Najib yang dianggap plaintif sebagai “pengarah bayangan” syarikat, menunjukkan kecenderungan berterusan untuk mengelak proses ketelitian, sekali gus mencipta keadaan yang membolehkan penipuan SRC berlaku dan berakar.

“Apa yang lebih berkemungkinan ialah Najib sedar bahawa proses ketelitian tidak dijalankan secukupnya, tetapi tidak peduli untuk mengarahkannya dilakukan kerana ia hanya akan menyukarkan penyelewengan dana yang akhirnya dilakukan,” katanya.

SRC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), ditubuhkan pada 2011 sebagai anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melaksanakan pelaburan strategik dalam sektor tenaga konvensional dan tenaga boleh diperbaharui.

Saman itu difailkan pada 2021, dengan SRC memohon mahkamah mengisytiharkan Najib dan Nik Faisal bertanggungjawab atas pelanggaran tugas fidusiari serta amanah secara penipuan.

Mahkamah turut membenarkan Najib menamakan bekas ahli lembaga pengarah sebagai pihak ketiga dalam saman itu iaitu Ismee Ismail, Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Rashidi Che Omar.

Saman tersebut turut melibatkan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang diberikan kepada SRC pada 2011 dan 2012.

SRC juga menuntut ganti rugi dalam bentuk ekuiti serta bayaran semula AS$1.18 bilion, yang merupakan kerugian daripada dana pelaburan yang dicadangkan, atau kerugian peluang penggunaan dana tersebut, untuk ditentukan oleh mahkamah.

Selain itu, syarikat berkenaan menuntut ganti rugi bagi pelanggaran tugas fidusiari statutori dan undang-undang biasa yang dipikul defendan, pelanggaran amanah, konspirasi, serta ganti rugi am, teladan dan teruk termasuk faedah lima peratus setahun.

SRC turut menuntut kos guaman dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syarikat itu menuntut Najib membayar AS$120 juta kerana menerima wang haram melalui beberapa perantara, selain ganti rugi atas salah laku (misfeasance) dan penyalahgunaan kuasa.

Najib, 72, yang juga bekas ahli parlimen Pekan kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Ahmad Fairuz bersambung esok.

Tular video Pikap ‘terbang’ hempap lima kereta di lampu isyarat

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
KEADAAN pikap yang terbalik menghempap beberapa kereta selepas terbabas di persimpangan lampu isyarat Jalan AMJ Cheng, Melaka, pagi tadi.
MELAKA – Sebuah klip video tular memaparkan detik cemas sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton terbabas lalu ‘terbang’ melintasi pembahagi jalan sebelum menghempap lima kereta yang berhenti di lampu isyarat di Jalan Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Cheng, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, kesemua enam mangsa yang terlibat dilaporkan mengalami kecederaan ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Menerusi video berdurasi 45 saat itu, pikap tersebut dilihat berpusing beberapa kali di udara sebelum terbalik dan menghempap kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas itu membabitkan dua kereta jenis BMW, sebuah Perodua Axia, Perodua Myvi dan Nissan Almera.

“Maklumat awal mendapati pikap dari arah Bandar menuju Cheng hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan melayang menghempap lima kenderaan dari arah bertentangan.

“Kesemua pemandu terbabit terselamat dan dihantar ke hospital. Pasukan tindakan khas Tanjung Minyak bersama anggota trafik Melaka Tengah turut mengawal lalu lintas, manakala bomba membantu membersihkan tumpahan minyak di lokasi,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal pihak polis turut mendapati pemandu pikap itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Penuntut IPT buat video lucah didenda RM10,000

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti awam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah menerusi akaun X miliknya, tahun lepas.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Aidil Akmal Azhar, 24, selaku orang kena saman (OKS) dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dihukum penjara empat bulan.

OKS berkenaan membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun “@sanomanji89”, di sebuah kediaman di Shah Alam, Selangor pada 10.45 malam 1 Mac 2024 dan hantaran tersebut dilihat di sebuah kondominium di sini pada 11 pagi 4 April tahun sama Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

OKS dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai forensik digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat data preservasi ke atas akaun X “@sanomanji89” dan hasil analisis forensik menemukan maklumat iaitu nama pengguna Manjiro serta kandungan video lucah dimuat naik tersebut di dalam telefon bimbit yang rampas daripada tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fadhli Ab Wahab memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada OKS mengambil kira kesan kandungan lucah di media sosial terhadap negara amat serius kerana ia menyentuh aspek moral, sosial, ekonomi, keselamatan dan kedudukan antarabangsa.

“Generasi muda pula menjadi kumpulan paling terkesan kerana mudah terdedah kepada media sosial. Jika dibiarkan, hal ini akan melahirkan generasi yang lemah dari segi akhlak, kurang daya tahan moral dan hilang fokus, seterusnya menjejaskan pembangunan modal insan negara.

“Mahkamah juga boleh mengambil maklum bahawa terdapat peningkatan ketara dalam kes penghantaran komunikasi lucah di media sosial… jika tindakan tidak diambil dengan tegas, ia akan membuka ruang kepada kelaziman kelakuan seperti ini,” katanya.

Peguam Nurshah Kamarudin pula memohon hukuman rendah atas alasan OKS tidak mempunyai kesalahan lampau dan menyesal serta telah insaf selain berjanji tidak akan mengulanginya.

“Pengakuan bersalah OKS menjimatkan masa serta kos mahkamah… mahkamah juga perlu mengambil kira OKS memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan… ibunya seorang kerani manakala ayahnya pembantu restoran dan perlu menanggung enam anak,” katanya yang dibantu oleh peguam Muhammad Iman Azhar.

Rafizi bandingkan Farhash dengan Jho Low

Mastura Malak & Yiswaree Palansamy

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan serius tentang pengaruh "tangan ghaib" yang tidak bertanggungjawab dalam koridor kuasa kerajaan.

Bekas menteri ekonomi itu memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti era skandal 1MDB.

Dalam podcast Kinitv bersama pengacara Mastura Malak dan Yiswaree Palansamy, Rafizi secara terbuka merujuk kepada Farhash sebagai "watak Rasputin" yang dilihat mempunyai pengaruh besar dalam perlantikan dan urusan perniagaan–yang bertentangan dengan prinsip reformasi.

"Kita tidak boleh ada keadaan yang pimpinan utama parti yang berjawatan itu dilihat kurang berpengaruh berbanding 'tangan ghaib'," kata Rafizi, sambil menegaskan bahawa mereka yang berkuasa haruslah dipertanggungjawabkan kepada rakyat dan parti.

Rafizi menjelaskan bahawa isu mengenai Farhash sudah dibawa ke pengetahuan pimpinan parti, termasuk Anwar sendiri, sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, persefahaman yang dicapai pada waktu itu adalah Farhash akan "mengambil tempat di belakang" dan tidak lagi terlibat dalam politik. 

Namun, Rafizi mendakwa naratif itu berubah selepas Anwar menjadi perdana menteri.

"Bila Anwar menjadi perdana menteri, kita mula dengar maklum balas daripada orang parti, pegawai kerajaan, dan mereka yang berurusan dengan kerajaan," katanya.

Mengakui tidak percaya pada mulanya, Rafizi bagaimanapun berkata maklumat mengenai dakwaan pengaruh Farhash dalam lantikan tertentu semakin konsisten dan ramai yang memaklumkan hal tersebut, selain disahkan oleh pelbagai sumber.

Rafizi turut menyamakan situasi itu dengan skandal 1MDB dan watak utamanya, Jho Low, yang pada awalnya juga dinafikan oleh pimpinan tertinggi, namun akhirnya terbukti.

"Rakyat Malaysia dah melalui zaman itu. Dulu masa 1MDB pun, kalaupun ada pimpinan Umno yang bawa kepada Najib Razak pasal Jho Low, samalah perdana menteri kata saya tak ada kena mengena," kata Rafizi.

"Pengalaman saya sendiri ialah kita jangan pandang mudah bila cakap-cakap itu ada. Bila ada konsistensi dari pelbagai pihak, kamu harus beri perhatian,” katanya.

Ditanya berhubung risiko wujud "Jho Low versi baru", Rafizi tidak menolak kemungkinannya jika isu itu dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan. 

Katanya, kerajaan yang dipilih atas prinsip reformasi mesti menghindari perkara sebegitu dan penafian saja tidak mencukupi.

"Saya rasa kita dah melepasi ambang di mana ramai orang di negara ini percaya penafian," katanya.

Justeru, Rafizi membuat gesaan langsung kepada Anwar.

"Ini yang saya merayu kepada Anwar Ibrahim. Jangan ambil laluan yang sama. Dengan mudah, 'saya tak ada kena-mengena'. 

“Kalau jadi apa-apa dan terbukti di kemudian hari, maka yang terpaksa menanggung beban itu adalah Anwar Ibrahim dan PKR sendiri," tegasnya.

Terengganu: Dua remaja tiada lesen jadi pemandu, kelindan lori ditahan JPJ

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Lori membawa muatan tempurung kelapa yang disita JPJ kerana dipandu remaja bawah umur di Jalan Tok Adis – Chendering, Kuala Terengganu semalam.
KUALA NERUS – Tindakan pengurusan sebuah syarikat menggaji dua remaja bawah umur sebagai pemandu dan kelindan lori membawa padah apabila lori mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di Chendering, Kuala Terengganu dekat sini semalam.

Operasi sama turut menahan pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 16 tahun berkenaan.

Pengarahnya, Mohd. Zamri Samion berkata, lori membawa muatan tempurung kelapa tersebut ditahan dalam sekatan jalan raya sempena Operasi Khas Kenderaan Perdagangan JPJ di Jalan Tok Adis – Chendering, di sini.

“Pemeriksaan pemandu dan kelindan yang merupakan remaja bawah umur berkenaan tidak memiliki lesen memandu sah.

“Sewaktu ditahan, mereka dipercayai dalam perjalanan membawa muatan tempurung kelapa ke Marang dari bandar raya ini,” katanya ketika ditemui sewaktu mengetuai Operasi Khas Kenderaan Perdagangan JPJ di Plaza Tol Kuala Terengganu, Gemuroh di sini malam tadi.

Mohd. Zamri tidak menolak kemungkinan dua remaja bawah umur tersebut digaji majikannya dengan upah murah bagi menjimatkan kos operasi. – KOSMO! ONLINE

Pengarah filem animasi Ejen Ali ditemukan meninggal dunia di tepi sungai

Wartawan BH
ANDI Abdul Ghani Kadir.
ANDI Abdul Ghani Kadir.
Kinabatangan: Mayat lelaki yang ditemukan di tepi sungai di Kampung Batu Putih di sini, semalam, disahkan sebagai Andi Abdul Ghani Kadir, 41, yang juga pengarah filem animasi terkenal, Ejen Ali.

Mayat Andi ditemukan di tepi sungai berhampiran lokasi mangsa dipercayai hilang kelmarin, pada 11.25 pagi semalam.

Dalam kejadian petang kelmarin, Andi bersama isterinya berusia 33 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, kenderaan dipandu isterinya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan Andi kemudian dikatakan keluar sebelum kali terakhir dilihat di jambatan sungai Kampung Batu Putih.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.03 petang kelmarin mengenai kejadian itu sebelum menghantar empat anggota ke tempat kejadian.

"Jarak tempat dengan balai bomba adalah 23 kilometer. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebelum ditangguhkan pada 6.52 petang dan disambung semula pagi tadi (semalam).

"Mangsa kemudian ditemui pasukan penyelamat di tepi sungai berhampiran lokasi dia dipercayai hilang," katanya.

Semakan di media sosial mendapati ada netizen menjelaskan Andi dan isterinya dikatakan baru mendirikan rumah tangga pada 16 September lalu.

Filem animasi, Ejen Ali The Movie mula dikeluarkan pada 2019 terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation.

Ia diadaptasi daripada siri animasi popular Ejen Ali yang mula ditayangkan pada 2016 di TV3 dan platform digital.

Sekuelnya, Ejen Ali The Movie 2 ditayangkan secara rasmi di pawagam Malaysia pada 22 Mei 2025.

Filem animasi tempatan ini mencatatkan kejayaan besar dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM59.3 juta, menjadikannya sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini.

Pembohongan Trump sibadut

Membohong, menghina dan memuji diri di pentas dunia

Mohsin Abdullah

Kesimpulannya dakwaan Donald Trump banyak yang palsu. Paling bagus pun separuh betul.

Setiap kali Presiden Donald Trump berucap, media Amerika Syarikat sendiri terpaksa membuat semakan fakta, kerana banyak yang Trump kata diragui malah sentiasa disangsi. Fact check selalu memperbetulkan apa yang beliau kata, atau dalam lain perkataan, mendedahkan pembohongannya.

Selepas Trump menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB Selasa lalu, CNN menyiarkan semakan fakta dengan tajuk ‘Fact check: Trump litters UN speech with false claims about climate, inflation, immigration and world peace’.

Saya mengikuti ucapan Trump menerusi televisyen dan benar ia dikotori pelbagai dakwaan. Meskipun bercakap pada pentas antarabangsa, Trump membawa soal domestik AS. Dia menyerang dan menyalahkan bekas presiden Joe Biden, mengulangi tuduhan yang dilemparkan semasa kempen pemilihan presiden tahun lalu. Saya tidak mahu ulas sama ada tuduhan dia betul atau salah, tetapi saya tertawa apabila Trump memuji pencapaian sendiri.

Katanya, Amerika Syarika “is now hot”. Trump juga mendakwa inflasi “sudah ditewaskan” sejak beliau mentadbir AS. Sebelum ini yang dicanangkan ialah inflasi “sudah tiada”. Kedua-dua versi tidak wajar diketengahkan, kata CNN. Trump dakwa “all our electricity bills are coming way down“. Sebaliknya, CNN kata “in fact US electricity bills are spiking, rising more than twice as fast as overall prices“. Ada banyak lagi apa yang dikatakan Trump dipertikaikan semakan fakta CNN.

Kesimpulannya dakwaan Trump banyak yang palsu. Paling bagus pun separuh betul. Saya tidak bercadang menghurai semua cuma ingin menegaskan Trump cukup suka masuk bakul angkat sendiri. Katanya, topi paling laris sekarang tertera ‘Trump was right about everything‘. Katanya, “bukan saya nak bermegah tetapi memang saya betul atas semua perkara”.

Trump menyifatkan “climate change is the greatest con job ever perpetrated on the world“, dan juga menyifatkan global warming sebagai hoax, padahal ahli sains dan pakar pelbagai agensi termasuk di AS berpendapat sebaliknya.

Kata CNN: “Trump repeated his false claim that although China is the leading manufacturer of wind turbines ‘they have very few wind farms themselves’“. Beliau tuduh China menggunakan arang, gas dan “they use almost everything but they don’t like wind” tetapi menurut semakan CNN, “in reality China is the world leader in the generation of wind power and has massive wind farms onshore and offshore, it continues to install additional wind capacity much faster than the US“. Saya ingin menambah berjuta kenderaan di China sudah tidak menggunakan bahan bakar sebaliknya guna elekrik. Itu pun Trump dakwa udara di AS sangat bersih.

Soal immigrasi memang kegemaran Trump. Untuk membuktikan kononnya dasar immigrasinya berjaya, Trump mendakwa Eropah sedang ‘menghancurkan’ negara sendiri kerana kemasukan pendatang asing. “I’m really good at this stuff. Your countries are going to hell,” katanya. Trump juga dakwa London mahu undang-undang shariah. Jelas merujuk umat Islam yang berada di kota raya itu dan datuk bandarnya, Sadiq Khan. Pejabat datuk bandar melihat kata-kata Trump sebagai bigoted atau ketaasuban.

Jika mahu tulis semua yang Trump cakap di PBB, artikel ini akan berjela-jela. Namun satu aspek yang saya kira mesti diberi perhatian ialah Trump mendakwa beliau menghentikan tujuh peperangan yang sedang mengganas sejak jadi presiden. Fact check CNN menunjukkan beberapa ‘peperangan’ yang Trump sebutkan sebenarnya bukan peperangan pun umpamanya sengketa Mesir-Ethiopia dan Serbia-Kosovo. Tentang konflik Kongo-Rwanda, kata CNN “Trump hasn’t actually ended the conflict“. Gencatan senjata India-Pakistan Mei lalu pula dicapai hasil rundingan India dengan Pakistan secara langsung. Jika saya boleh menambah pendamaian konflik sempadan Thailand- Cambodia pada Julai. Kita tahu siapa yang usahakan.

Apa pun White House mahu Trump dianugerahkan Nobel Peace Prize untuk pencapainnyanya. Pada ucapan di PBB Trump berkata “everyone says that I should get the Nobel Peace Prize“.

Trump mendakwa PBB tidak buat apa-apa untuk membantu, sebaliknya “these two things I got from the UN — a bad escalator and bad teleprompter”. Semasa beliau dan isteri naik ke bangunan PBB, escalator yang dinaiki terhenti. Apabila Trump memulakan ucapannya, teleprompter pula mengalami kerosakan seketika. Trump memang berterus-terang. Ini memang bagus tetapi biarlah berdasarkan kebenaran dan fakta.

Beliau menuduh PBB satu badan yang tidak bertindak menghentikan konflik dunia dan hanya mengeluarkan kenyataan. Katanya, “all they seem to do is write strongly worded letter and then never follow up that letter up. Its empty words and empty words don’t solve war“.
Kali ni apa yang dinyatakan Trump memang betul. PBB kerap dilihat tidak ambil tindakan untuk menghentikan perang khususnya genocide oleh Israel di Gaza, tetapi mengapa PBB tidak berupaya menghentikan kekejaman dan keganasan Israel?

Sebabnya pentadbiran Trump menggunakan kuasa veto untuk menghalang setiap usaha. Setiap resolusi PBB yang diluluskan General Assembly disekat pada peringkat security council. Trump menggunakan kuasa veto AS untuk menghalang resolusi sekali gus melindungi Israel. Setakat ini AS tidak kurang enam kali menghalang gesaan PBB supaya gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza, terbaharu enam hari lalu.

Sekarang apabila semakin banyak negara termasuk sekutu AS dan Israel mengiktiraf negara Palestin, pasti keanggotaan Palestin ke dalam PBB akan dihalang oleh AS. Mengikut proses, Majlis Keselamatan perlu beri lampu hijau meskipun perhimpunan PBB mahu keahlian Palestin diterima. AS ada di dalam majlis itu. Walaupun anggota lain dalam majlis mahu Palestin diterima, AS akan guna kuasa veto menghalang. Bukankah Benjamin Netayahu sudah kata negara Palestin tidak akan wujud?

Suara lebih 150 negara anggota PBB dilenyapkan oleh hanya suara satu negara, and Trump have the gall tuduh PBB hanya cakap dan peluk tubuh. Mungkin sudah tiba masanya kuasa veto ditiadakan. Ia bertujuan mengimbangi keadaan demi keadilan tetapi berpuluh kali AS menodai matlamat itu, melindungi pihak yang tidak harus dilindungi.

Apabila escalator dan teleprompter PBB rosak ketika digunakan Trump, mungkin satu isyarat beliau tidak lagi dialu-alukan di badan dunia yang beribu pejabat di bumi AS sendiri.

Pemandu e-hailing ditahan langgar lampu merah, nyaris rempuh pejalan kaki

Buletin TV3 
Tangkap layar video tular
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing ditahan susulan satu video tular di media sosial, yang memaparkan sebuah kereta hampir melanggar seorang wanita yang sedang melintas jalan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan susulan kejadian yang berlaku di kawasan lampu isyarat di Jalan Hishamudin itu.

Mengulas lanjut, katanya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerima video tular itu dan bertindak atas maklumat, tangkapan dilakukan pada jam 8.15 pagi hari ini terhadap pemandu kenderaan terbabit.

“Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza itu melanggar lampu isyarat merah di jalan Hishamudin dari arah jalan Kinabalu menghala Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka.

“Akibat perbuatan itu, pemandu kereta itu hampir melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintasi jalan di laluan lintasan jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata,m pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu satu video rakaman kamera papan pemuka yang tular sejak semalam, menunjukkan kereta Perodua Bezza dipandu laju ketika menghampiri lintasan pejalan kaki sebelum tiba-tiba membrek selepas menyedari terdapat seorang wanita sedang melintas.

Ketika itu kelihatan lampu isyarat merah untuk kenderaan yang melalui jalan terbabit berhampiran Dataran Merdeka.

Pejalan kaki berkenaan kelihatan terkejut dan sempat bertindak pantas mengelak daripada dilanggar.

Mayat terbakar dalam Perodua Myvi masih belum dikenali

ADNAN IBRAHIM
Keadaan kereta yang terbakar sebelum satu mayat ditemui rentung dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Lurus, Pantai Sungai Lurus, Batu Pahat hari ini.
BATU PAHAT – Satu mayat ditemui rentung di dalam sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Myvi yang terbakar di Jalan Kampung Sungai Lurus, Pantai Sungai Lurus di sini, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan I Fadzil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.51 petang.

Katanya, sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian bersama lapan anggota.

“Sejurus Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, jentera tidak dapat memasuki laluan ke persisir pantai kerana laluan sempit.

“Anggota menggunakan motosikal orang awam untuk meneruskan operasi penyelamatan sejauh kira-kira dua kilometer.

“Setelah tiba, anggota mendapati benar terdapat sebuah kereta sedang terbakar dengan seorang mangsa terperangkap di dalam kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil berkata, anggota melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan baldi mengambil air sungai berhampiran.

Jelasnya, pasukan polis kemudiannya mengambil alih operasi untuk melakukan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian itu.

Katanya, identiti mangsa belum dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.-KOSMO! ONLINE

Pengkhianat lahanat: 7 penguat kuasa di terminal feri direman terlibat ‘counter setting’

FMT Reporters

Mereka antara 12 suspek disyaki terlibat aktiviti itu di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka.
Semua 12 suspek termasuk tujuh pegawai penguat kuasa dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
PETALING JAYA: Seramai 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa yang berkhidmat di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar/Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka ditahan reman kerana disyaki terlibat rasuah.

Sumber berkata, semua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki terlibat aktiviti rasuah membabitkan sindiket ‘counter setting’ untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.

Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman enam hari sehingga 29 Sept ini manakala 10 suspek lagi direman lima hari sehingga 28 Sept selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.

Kata sumber, suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, semua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner yang turut ditahan dalam operasi ini.

“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk laut dari 2024 hingga awal 2025,” katanya.

Susulan tangkapan, SPRM merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71,000,000, kereta Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 serta motosikal jenis Italjet Dragster bernilai kira-kira RM30,000.

Katanya, SPRM juga membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta.

Semalam, SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Johor dan Pulau Pinang menerusi Op Setting.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.