"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Cikgu Fadilah' lapor polis, tak puas hati video seks tersebar

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
NUR Fadilah (berbaju kurung, kiri) dan Muhammad Hairul Ezuan (kanan) keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 atas kesalahan cuba melakukan persetubuhan, semalam. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
NUR Fadilah (berbaju kurung, kiri) dan Muhammad Hairul Ezuan (kanan) keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 atas kesalahan cuba melakukan persetubuhan, semalam. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Alor Gajah: Cikgu Fadilah yang didenda atas kesalahan cuba melakukan perbuatan tidak bermoral dengan 'Abang Wiring' membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati apabila mendapati video seksnya tersebar.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah ketika mengesahkan menerima laporan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau berkata, wanita itu membuat laporan polis pada 24 Mei lalu.

"Wanita itu tidak berpuas hati apabila mendapati video seks dirinya tersebar dan polis turut membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis sudah memeriksa telefon bimbit guru terbabit dan 'abang wiring' namun tidak menjumpai video seks berkenaan yang dipercayai sudah dipadamkan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Semalam, juruelektrik yang dikenali 'Abang Wiring' atau nama sebenarnya Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan guru sekolah menengah, Nur Fadilah Zainal mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram di Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar ke atas kedua-dua mereka yang berusia 31 tahun.

Dalam pada itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika diminta mengulas status Nur Fadilah menjelaskan guru terbabit kini ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan tidak dipindahkan ke sekolah lain.

"Tukar tugas ke Jabatan Pendidikan Negeri buat masa ini," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Pegawai kanan polis tumbuk muka penolong ketua daerah

KOSMO!
SEORANG pegawai kanan polis menumbuk muka penolong ketua daerah. - Foto Khaosod
BANGKOK – Seorang pegawai kanan polis menumbuk penolong ketua daerah di dalam bangunan kerajaan dalam kejadian di wilayah  Nakhon Sawan, Thailand, lapor portal berita MSNews hari ini.

Menurut portal berita Matichon, penolong ketua daerah itu memfailkan aduan terhadap pegawai kanan polis berkenaan kelmarin kerana.

Pegawai kanan polis itu memasuki pejabat daerah di Nakhon Sawan untuk meminta dokumen mengenai orang awam.

Penolong ketua itu memaklumkan kepada pegawainya untuk mengambil kenyataan pegawai berkenaan  tentang hasratnya untuk meminta dokumen tersebut.

Pegawai kanan polis itu mempersoalkan mengapa dia perlu memberikan kenyataan kerana permintaannya sebelum ini tidak memerlukan prosedur sedemikian.

Apabila penolong ketua daerah itu berjalan untuk memberi penjelasan, pegawai kanan polis tersebut tiba-tiba berdiri dan menumbuk mukanya. 

Perbuatan pegawai kanan polis itu mengejutkan ramai orang yang berada di lokasi kejadian. – AGENSI

Jawatan menteri serah pada Anwar dan Zahid kata Tengku Zafrul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tengku Zafrul Aziz menyerahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menentukan kedudukannya sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri selepas beliau keluar dari Umno.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji, lapor Bernama.

“Saya ingin memberi fokus kepada ibadah haji dan saya serahkan segala urusan itu kepada kebijaksanaan perdana menteri dan presiden Umno,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, ketua bahagian Kota Raja dan ahli Umno.

Tengku Zafrul berkata beliau telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.

Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menggesa Tengku Zafrul Aziz turut meletak jawatan sebagai menteri.

Terdahulu hari ini, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap kuota tujuh menteri penuh dapat dikembalikan semula kepada mereka susulan tindakan Tengku Zafrul Aziz keluar parti.

Zahid berkata ini kerana parti itu diwakili tujuh menteri sebelum ini dan hanya tinggal enam selepas Tengku Zafrul meninggalkan Umno.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata keputusan meninggalkan Umno dan menyertai PKR diambil hasil pertimbangan mendalam dan sepenuhnya yang datang daripada dirinya sendiri, tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam. Saya menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dalam memilih hala tuju politik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada presiden Umno serta rakan-rakan dan ahli-ahli Umno yang telah banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam Umno,” katanya

Beliau turut memohon agar diberikan ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rukun Islam kelima itu bersama keluarganya, di samping memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan sepanjang hubungan persahabatan beliau dengan pelbagai pihak.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Polis siasat video seks tular guru wanita, ‘Abang Wiring’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis Melaka menyiasat penyebaran satu video seks yang didakwa membabitkan seorang guru wanita dan seorang juruteknik elektrik.

Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah berkata siasatan itu dibuat selepas guru berkenaan membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati apabila video seks dirinya tersebar.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.

Katanya, siasatan awal terhadap telefon bimbit lelaki itu tidak menemui sebarang kandungan pornografi. Kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

Sebelum ini, tular di media sosial isu seorang guru wanita didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang, yang dikenali sebagai ‘Abang Wiring’, selepas terbongkarnya beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp yang berunsur lucah dan tidak senonoh antara mereka.

Skandal tersebut menyebabkan Kementerian Pendidikan menggantung semantara tugas guru berkenaan.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Melaka semalam mendenda pasangan berkenaan masing-masing RM5,000 selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan cubaan melakukan zina.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan mereka membayar denda tersebut.

MB Selangor, Amirudin goyang: Mungkin mangsa seterusnya yang bakal kena kerat?

Amirudin: Minta Zafrul doa saya kekal MB Selangor

B Nantha Kumar

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menepis khabar angin dia akan melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang dikatakan bakal mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.

Sebaliknya, Adun Sungai Tua itu mendedahkan dia telah meminta Tengku Zafrul – yang baru mengumumkan keluar daripada Umno – agar mendoakan dirinya terus kekal sebagai menteri besar.

"Spekulasi (letak jawatan MB Selangor) ini dah 5 tahun lepas. Alhamdulillah, saya masih kekal.

"Semalam pun saya sempat ziarah Tengku Zafrul sebelum beliau berangkat ke Mekah.

“Dia tanya saya apa doa saya nak kirim, saya minta dia doakan saya kekal di Selangor," katanya kepada pemberita semasa majlis di Selayang hari ini.

Puad mahu Umno tegur Anwar, beri amaran pada PKR

Malaysaikini

Seorang pemimpin kanan Umno mendesak agar parti itu menegur Anwar Ibrahim jika PKR akhirnya menerima permohonan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai keluarga mereka selepas ini.

Menurut Mohd Puad Zarkashi, dia sudah membuat keputusan untuk membangkitkan isu berkenaan apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat nanti.

Kata Mohd Puad, dia yakin ada perbincangan secara diam-diam dijalankan di antara Tengku Zafrul dengan PKR sebelum senator terbabit mengumumkan langkahnya meninggalkan Umno.

“Umno mesti menegur Presiden PKR (Anwar) jika permohonan Tengku Zafrul diterima. Tidak memadai dengan kenyataan Umno rasa kesal saja.

“Mesti (sudah) ada perbincangan awal secara sulit yang menjadi punca Tengku Zafrul menyertai PKR. Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ia dibuat susulan pengumuman dibuat Tengku Zafrul untuk meninggalkan Umno dan memohon menyertai PKR.

Tengku Zafrul – yang sebelum ini lebih dikenali sebagai tokoh perbankan – pernah dilantik sebagai salah seorang ahli MKT. Dia juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai Bendahari Umno Selangor.

Dalam kenyataan dibuat melalui media sosial malam tadi, Tengku Zafrul berkata, dia mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan tersebut.

Seorang daripada mereka ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pula hari ini memaklumkan parti itu belum menerima permohonan Tengku Zafrul secara rasmi, namun memberi jaminan proses kelulusan yang diambil adalah sama seperti mana-mana individu yang ingin menjadi ahli mereka.

Fuziah juga berkata, PKR akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk parti rakan dalam kerajaan sebelum membuat keputusan lanjut berhubung status Tengku Zafrul.

Mohd Puad berkata PKR mesti beri amaran atau insiden seperti “tikam belakang” akan berlaku lagi.

“Jangan salahkan Umno jika ahli ahli parti hilang kepercayaan terhadap perdana menteri. Kerjasama kerajaan perpaduan akan rosak binasa,” katanya.

Dia yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor turut membangkitkan persoalan sama ada Umno akan membuat tuntutan RM100 juta kepada Tengku Zafrul atau sebaliknya.

“Saya akan mendesak Umno semak balik aku janji semasa Zafrul menjadi calon BN di PRU ke-15.

“Apakah Tengku Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya.

Lelaki tak balik rumah 2 hari ditemukan terapung di sungai

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selama dua hari terjawab apabila mayatnya ditemukan terapung di sungai di Kampung Pelangai Hilir di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi.

"Polis ke lokasi dan mendapati mayat lelaki warga tempatan dalam keadaan tidak berpakaian terapung di sungai itu.

"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Pilah mengeluarkan mayat itu dari tengah sungai menggunakan tali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Mustafah berkata, pemeriksaan ke atas mayat dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat.

Katanyam mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTN) di sini untuk bedah siasat.

"Ketika di Unit Forensik HTN, seorang lelaki memperkenalkan diri dan meminta untuk melihat mayat sebelum memaklumkan itu adalah adik kandungnya yang berusia 36 tahun.

"Menurut lelaki itu, keluarga menyedari adiknya tiada di rumah ibunya di daerah ini pada jam 6 pagi 28 Mei lalu. Abangnya juga menunjukkan kad pengenalan si mati," katanya.

Jelas beliau, hasil bedah siasat yang diperolehi mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Tengku Zafrul akan gagal juga dalam PKR

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Penganalisis politik tidak terkejut keputusan Tengku Zafrul Aziz keluar Umno dengan harapan menyertai PKR, namun ada meramalkan senator itu juga akan gagal dalam parti Anwar Ibrahim.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Tengku Zafrul diberikan banyak peluang dalam Umno, terutamanya dengan sokongan Presiden Zahid Hamidi.

Namun, katanya beliau gagal meraih sokongan akar umbi yang kukuh sepanjang berada dalam parti, walaupun menjadi ahli sejak 1997 dan kemudian Ahli Majlis Tertinggi.

“Saya tidak fikir beliau akan hidup dalam PKR walaupun ada kemungkinan mendapat dukungan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Beliau tidak dapat hidup dalam politik Umno meskipun disokong Zahid, apatah lagi PKR,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, sosok seperti Rafizi Ramli juga berdepan kesukaran, merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR yang tumpas dalam pemilihan semula minggu lalu, membawa peletakan jawatan Kabinet.

Beliau percaya Anwar berada pada kedudukan ‘paling sulit’ kerana potensi permusuhan yang akan timbul dengan Umno, jika beliau menerima penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR.

Katanya, Anwar perlu menimbang secara teliti pro dan kontra, mengambil kira sama ada bekas ketua Umno Kota Raja itu menawarkan apa jua nilai kepada PKR.

“Saya secara peribadi tidak fikir begitu (Tengku Zafrul beri nilai kepada PKR),” katanya. “Beliau dianggap orang luar dan memberikan peluang menjadi calon pilihan raya PKR pada masa depan akan cetus kekacauan dalam PKR.

“Beliau gagal bina sokongan akar umbi dalam Umno dan beliau juga akan bergelut dalam PKR. Beliau tidak ada sokongan akar umbi.”

Azmi berpandangan Tengku Zafrul akan diterima masuk dalam PKR, namun ia tidak banyak membantu kerjaya politiknya.

Tengku Zafrul sering dilihat sebagai teknokrat walaupun bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB itu menjadi ahli Umno sejak 1997, dilantik menteri kewangan ketika era Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan sama dipegang ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Keahliannya dalam Umno diketahui menjelang PRU 2022 ketika beliau tercalon bertanding di Parlimen Kuala Selangor, namun tumpas.

Selepas menyertai Kabinet Anwar sebagai menteri perdagangan, Tengku Zafrul dipilih Ahli Majlis Tertinggi dan juga mengetuai Umno Kota Raja.

Beliau meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada April tahun lalu, dengan alasan menghadapi tentangan terhadap perubahan positif, sebelum spekulasi mengenai pengundurannya dari Umno mula tersebar pada Disember.

‘Kena pada masanya’

James Chin dari University of Tasmania, percaya pengumuman Tengku Zafrul semalam mengejutkan PKR dan Umno, sambil menyatakan masanya bertepatan memandangkan PKR baru sahaja selesai pemilihan parti.

Beliau tidak menjangkakan suasana akan tegang antara PKR dan Umno, dengan menyifatkan pengunduran Tengku Zafrul sudah dirancang.

Chin menggambarkan kritikan pemimpin Umno terhadap perihal itu sekadar sandiwara. “Umno sudah tahu beliau akan keluar. Hakikat Umno tidak menyerang Anwar secara terbuka sejak Februari (mengenai Tengku Zafrul) bermaksud mereka sudah mencapai persetujuan.”

Mengambil kira tempoh senator berakhir hujung tahun ini, Tengku Zafrul sedang mengintai jawatan dilantik dalam pimpinan PKR, termasuk kerusi boleh menang menjelang PRU akan datang, kata Chin.

Katanya, Umno sudah menganggap Tengku Zafrul calon pilihan raya dengan kebarangkalian rendah untuk menang, terutama di kawasan nusa teras Melayu.

“(Tokoh seperti Tengku Zafrul) hanya boleh menang di kawasan bercampur, jadi beliau mungkin fikir PKR lebih cocok dengannya.

“Dengan tempoh senator tidak boleh dilanjutkan, peluang terbaik untuk terus berada dalam kerajaan adalah jadi calon PRU16. Dan beliau fikir PKR pilihan lebih tepat, kini masa terbaik untuk masuk dua tahun sebelum PRU.”

SPRM sita 6 kediaman mewah, tanah milik Tan Sri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri semalam, susulan siasatan penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Sinar Harian yang memetik sumber berkata, tindakan itu selepas penggeledahan dilakukan Bahagian Siasatan SPRM membabitkan hartanah bernilai kira-kira RM12 juta.

“Menerusi serbuan terbabit, SPRM turut menemukan seekor kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit yang dipercayai dibeli menggunakan dana sukuk.

“Susulan itu, SPRM juga telah memanggil individu terbabit bersama isterinya bagi diambil keterangan.

“Bagaimanapun, hanya wanita itu sahaja yang hadir selepas suaminya memaklumkan mengalami masalah kesihatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sumber itu berkata, agensi antirasuah itu dijangka memanggil 30 hingga 50 orang saksi untuk membantu siasatan selain meneruskan siasatan untuk mengesan aset milik individu berkenaan di dalam dan luar negara.

Khamis lalu, SPRM dilaporkan turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu sama berhubung kes itu.

Sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah di ibu negara.

Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Bekas pakar bedah dipenjara 20 tahun dera 299 pesakit

Bernama

PARIS: Seorang bekas pakar bedah Perancis dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Rabu selepas mengaku mendera 299 pesakit, kebanyakannya kanak-kanak, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dalam perbicaraan penderaan kanak-kanak terbesar di Perancis, Joel Le Scouarnec, 74, yang telah bersara, mengaku mendera 158 pesakit lelaki dan 141 pesakit perempuan dengan purata umur 11 tahun antara 1989 hingga 2014.

Pendakwa raya menuduh tertuduh memperlakukan mangsanya seperti objek tidak bernyawa tanpa sebarang empati, sambil mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai doktor.

Beliau sering melakukan penderaan ke atas pesakit yang masih di bawah kesan bius atau kanak-kanak yang tidak mampu mengenal pasti tindakan tersebut sebagai penderaan.

Kes itu mengejutkan Perancis dan menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa kesihatan tidak dapat menghentikan perbuatannya lebih awal memandangkan beliau pernah dijatuhi hukuman penjara tertangguh pada 2005 kerana kesalahan pornografi kanak-kanak.

Gedung arak mewah dalam kediaman Tan Sri ditemui SPRM

Astro Awani

Sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta (kiri) serta seekor kuda yang ditemukan susulan tindakan yang dijalankan SPRM.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan sebuah gedung simpanan arak mewah dalam serbuan ke atas sebuah daripada enam kediaman milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri, yang sedang disiasat berhubung kes tuntutan palsu dan penyalahgunaan dana bon sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, koleksi minuman keras berjenama itu disimpan dalam sebuah ‘chiller’ khas di tingkat bawah sebuah kondominium mewah yang turut dilengkapi bar alkohol persendirian.

Nilai keseluruhan arak berkenaan dianggarkan mencecah RM3 juta.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menyita enam unit kediaman mewah dan sebidang tanah lot bernilai sekitar RM12 juta.

Pasukan penyiasat juga menemui seekor kuda bernilai ratusan ribu ringgit yang dipercayai dibeli menggunakan dana sukuk.

“SPRM telah memanggil Tan Sri berkenaan dan isterinya untuk dirakam keterangan, namun hanya isteri beliau hadir manakala Tan Sri memaklumkan tidak dapat hadir atas faktor kesihatan,” kata sumber itu.

SPRM dijangka memanggil antara 30 hingga 50 saksi bagi membantu siasatan.

Usaha turut digerakkan untuk mengesan aset lain milik pasangan tersebut termasuk di luar negara.

Dalam operasi terdahulu, SPRM telah menyita pelbagai aset bernilai lebih RM32 juta, termasuk sembilan kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta; 217 unit jam tangan mewah bernilai RM5 juta; 27 beg tangan berjenama melebihi RM1 juta serta barangan kemas lebih RM4 juta.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM mengesahkan semua rampasan dan sitaan dilakukan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

10 maut, 6 masih hilang runtuhan batu kuari di Indonesia

Buletin TV3 
FOTO REUTERS
CIREBON: Lebih 20 pekerja dilaporkan terperangkap susulan insiden runtuhan di sebuah kuari batu kapur di Jawa Barat, hari ini.

Memetik laporan Sky News, Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia, Abdul Muhari, memaklumkan setakat ini mayat 10 pekerja sudah dijumpai.

Pasukan penyelamat turut mengeluarkan lebih 12 individu yang cedera dan terperangkap di bawah runtuhan.

Enam daripada mereka dibawa ke hospital dan dilaporkan mengalami kecederaan serius.

Usaha pencarian berdepan halangan susulan keadaan tanah tidak stabil dengan ia berisiko menyebabkan berlaku runtuhan.

Susulan daripada itu, kerja menyelamat yang dijalankan lewat petang semalam terpaksa ditangguhkan kerana cuaca semakin gelap sekali gus menyukarkan operasi pencarian.

Operasi itu dijangka disambung awal pagi ini dengan beberapa jengkaut dan trak dikerahkan untuk membersihkan sisa runtuhan dalam usaha mencari enam lagi individu yang masih hilang.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca runtuhan dan sedang menjalankan soal siasat ke atas pemilik dan pekerja kuari itu.

Bau busuk bawa kepada penemuan mayat warga emas

Buletin TV3 
Lokasi penemuan mayat warga emas yang tinggal bersendirian. – Foto PDRM
PAPAR: Bau busuk yang dihidu jiran membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang tinggal bersendirian di Melinsung Summer Bay Apartmen, di sini, malam semalam.

Mayat lelaki berusia 68 tahun itu ditemui kira-kira jam 9.10 malam selepas pasukan bomba membuka pintu rumah menggunakan peralatan khas.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terhidu bau busuk dari rumah mangsa dan mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

“Sebaik tiba di lokasi, pintu rumah mangsa didapati berkunci. Pasukan bomba yang turut hadir kemudian bertindak membuka pintu.

“Sebaik pintu dibuka, mangsa ditemui terbaring di salah sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian dan pemeriksaan ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Papar untuk tindakan lanjut, manakala usaha mengesan ahli keluarganya masih diteruskan.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Cikgu bujang didakwa ‘sentuh’ anak murid di asrama sekolah

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!
MELAKA – Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah kebangsaan agama didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang sekolah fizikal terhadap anak muridnya, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiezad Asni, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tiga bulan kira-kira pukul 5 pagi di bilik warden asrama lelaki sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di dalam daerah Jasin, 23 Mei 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,
Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi mencadangkan RM30,000 diberikan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Peguam Farriz Minarwan Basaruddin yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung ahli keluarganya termasuk membawa ibunya mendapatkan rawatan susulan di hospital serta telah ditukarkan ke pejabat pendidikan daerah (PPD) sejak 28 Mei 2025.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Rohatul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh 15 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Lelaki intai tandas wanita di stesen minyak dicekup

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular memaparkan seorang lelaki masuk dan mengintai dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak. FOTO Tular.
TANGKAP layar video tular memaparkan seorang lelaki masuk dan mengintai dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak. FOTO Tular.
Bukit Mertajam: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai masuk dan mengintai tandas wanita di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya, dekat sini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata pihaknya terkesan sebuah video berdurasi 27 saat yang dimuat naik di laman X memaparkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku jam 6.21 Mei, pada 5 Mei lalu di tandas wanita sebuah stesen minyak di kawasan Seberang Jaya.

"Pihak polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan suspek juga sudah ditangkap.

"Permohonan reman di Mahkamah Majistret, di sini akan dibuat terhadap suspek esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Helmi berkata, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda.

Sejak semalam tular di beberapa platform media sosial video memaparkan seorang lelaki tiba-tiba masuk dan mengintai dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak.

Bagaimanapun, lelaki itu bergegas keluar selepas dikatakan disergah oleh kakitangan stesen minyak berkenaan.

Zafrul umum keluar Umno, berhasrat sertai PKR

Malaysiakini 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Umno dan mengumumkan hasratnya untuk menyertai PKR.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Zafrul yang merupakan seorang senator berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan dia telah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan di luar mahupun dalam Umno, termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan Umno. 

“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Kota Raja dan ahli Umno.

“Pada masa sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai PPKR kepada presiden dan setiausaha agung parti itu. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR,” katanya lagi.

Guru sekolah, 'abang wiring' mengaku bersalah cuba melakukan zina

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
TERTUDUH di Mahkamah Tinggi Syariah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH di Mahkamah Tinggi Syariah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Guru sekolah dan juruelektrik yang tular terpalit skandal seks masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini, atas kesalahan cuba melakukan persetubuhan haram Februari lalu.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan kedua-dua tertuduh Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan Nur Fadilah Zainal masing-masing berusia 31 tahun dan mensabitkan mereka seperti pertuduhan.

Dalam penghakimannya, beliau menimbangkan keseluruhan fakta kes termasuk berlaku perbuatan zina dan diakui oleh kedua-dua tertuduh, rayuan serta hujah pemberatan hukuman oleh pendakwaan yang turut menyentuh ketiadaan seksyen khusus berkaitan kesalahan persetubuhan luar nikah.

Beliau berkata mahkamah juga menimbangkan latar belakang tertuduh dan itu kesalahan pertama mereka dan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara jika ingkar membayar.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hairul Ezuan dan Nur Fadilah didapati melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, Alor Gajah pada 28 Februari lalu, kira-kira jam 9 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau dipenjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin dibantu Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah.

Terdahulu, Atras berhujah memohon hukuman maksimum dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

Katanya, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan secara sukarela dan faham hukuman bakal dikenakan mengikut Seksyen 52 iaitu kesalahan percubaan melakukan persetubuhan haram.

"Pihak pendakwaan ingin menegaskan tiada satu peruntukan khusus pertubuhan luar nikah antara bukan suami isteri tetapi pendekatan kita adalah Seksyen 52 berkaitan percubaan persetubuhan haram.

"Terdapat fakta berlaku perkara itu (persetubuhan haram), namun kuasa Mahkamah Syariah Melaka hanya berkaitan kesalahan percubaan melakukan persetubuhan haram.

"...mengikut hukum hudud kesalahan zina bagi mereka yang pernah berkahwin adalah rejam sampai mati, tetapi hukuman takzir denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya dan jauh dari hukum syariah," katanya.

Katanya, tertuduh kedua adalah seorang pendidik manakala tertuduh pertama mempunyai isteri dan sebarang keputusan mahkamah akan menjadi perhatian dan panduan dalam masyarakat pada masa akan datang.

Mengikut fakta kes, pihak berkuasa menerima aduan mengenai satu pasangan melakukan persetubuhan haram pada 27 Mei lalu, kira-kira jam 4.45 petang.

Pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kemudian memanggil pasangan terbabit pada 29 Mei untuk siasatan lanjut yang mana mereka mengaku berzina secara sukarela pada 28 Februari lalu di rumah tempat kejadian.

Mereka ditahan dan dibawa ke balai polis untuk dokumentasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Media sebelum ini melaporkan guru wanita di sebuah sekolah di Melaka yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami orang sehingga menjadi bualan hangat warganet direhatkan dari tugas mengajar sehingga siasatan terhadapnya selesai.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor berkata, guru wanita itu bagaimanapun masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam.


Guru wanita didakwa ada hubungan sulit dengan suami orang 'direhatkan' - KPM

'Saya kesal atas kesalahan yang dilakukan dan ingin ambil tanggungjawab' - 'Abang Wiring'

Makmal dalam kondo mewah diserbu, cecair vape disyaki dadah dirampas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menyerbu makmal haram di kondominium mewah di ibu negara pada Rabu, dan merampas 88.2 liter cecair vape disyaki mengandungi dadah sintetik jenis amphetamine.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut mengumumkan penahanan dua lelaki warga Taiwan yang disyaki ahli kimia dan penjaga stor sindiket, dalam serbuan waktu malam itu.

Pemangku Pengarah Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata nilai dadah yang dirampas mencecah RM3.29 juta.

“Pemeriksaan menemui 20 bekas plastik dan enam botol mengandungi cecair vape dadah seberat lebih 103 kilogram bersama pelbagai peralatan pemprosesan dadah,” katanya lapor Berita RTM.

“Siasatan awal mendapati setiap kartrij dadah itu dijual pada harga sekitar RM180 di pasaran tempatan, manakala boleh mencecah RM400 di luar negara. Dadah yang dirampas berupaya menjejaskan kesihatan lebih 441,000 pengguna, khususnya remaja.”

Menurut polis, sindiket menyewa unit kondominium di Brickfields itu pada kadar RM4,100 sebulan dan sering berpindah lokasi serta menukar pekerja upahan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Suspek direman tujuh hari hingga 4 Jun bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan jika sabit kesalahan.

Semakan mendapati mereka memiliki rekod jenayah berat di Taiwan termasuk kes bunuh dan pengedaran dadah.

“Kami kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Taiwan termasuk Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminal Investigation Bureau (CIB) untuk menjejak baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas,” katanya.

Lelaki maut selepas bom yang dilempar kepada kekasihnya melantun

Agensi

Bangkok: Bengang hubungan cinta tak kesampaian, lelaki nekad melempar bom tangan ke rumah bekas teman wanitanya, sebelum dia maut apabila bahan letupan itu melantun semula lalu meletup di tangannya.

Portal NDTV melaporkan, dalam kejadian di daerah Tha Chana, wilayah Surat Thani, lelaki dikenali sebagai Surapong Thongnak, 36, dilaporkan mengamuk selepas permintaan untuk kembali menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, Kanonraphat Saowakhon, 28, ditolak.

Surapong terlebih dahulu menyerbu masuk ke rumah wanita itu dan cuba menikamnya menggunakan gunting dalam keadaan beremosi sebelum melarikan diri ke keretanya. Tidak lama selepas itu, dia kembali dengan membawa sebutir bom tangan jenis M26.

Bagaimanapun, ketika bom itu dilempar ke arah rumah, ia terkena tiang konkrit lalu memantul semula. Surapong yang panik cuba mengambil semula bom itu, namun ia meletup sebaik digenggam, menyebabkan dia maut serta-merta di lokasi kejadian.

Empat individu termasuk Kanonraphat turut cedera akibat serpihan letupan, namun hanya seorang warga emas dikenali sebagai Samart Janyang, 68, dirawat di hospital akibat kecederaan lebih serius. Mangsa lain dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

Ketua Penyiasat, Mejar Chinnakrit Sawatdiwong berkata, pihaknya yang tiba di lokasi menemukan mayat Surapong dalam keadaan tertiarap berlumuran darah dengan serpihan daging dan logam bertaburan di sekitar halaman rumah.

"Bom jenis M26 itu meletup sebaik mangsa cuba mengambilnya semula selepas ia memantul dari tiang. Kami percaya kejadian ini berpunca daripada dendam dan kecewa kerana hubungan mereka yang singkat tidak berakhir seperti diharapkan," katanya.

Kanonraphat sempat menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke dalam rumah sejurus selepas bom dilemparkan.

Polis turut menemukan kira-kira setengah kilogram dadah jenis methamphetamine di dalam kereta milik Surapong, dipercayai turut menyumbang kepada tindakannya yang tidak waras.

Ibunya, Ranjuan Timdee, 58, turut terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam kejadian itu.

"Mereka baru kenal dua bulan. Saya tak sangka dia akan bertindak sejauh ini hanya kerana cinta ditolak," katanya dalam nada pilu.

Kejadian ini sekali lagi membuka mata mengenai bahaya keganasan terhadap pasangan selepas perpisahan, dengan statistik menunjukkan kebanyakan kes pembunuhan rumah tangga berlaku selepas hubungan ditamatkan.

'Insya-Allah, banyak cara nak ubah masyarakat', kata Rafizi

Malaysiakini 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini memberi bayangan dia sudah menyiapkan rancangan lanjut untuk langkah susulan selepas mengemukakan surat meletakkan jawatan dari kabinet baru-baru ini.

Menjelaskan di platform X lewat pagi tadi Rafizi berkata, dia memulakan cutinya sejak kelmarin dan mempunyai ‘misi khas’ sepanjang tempoh tersebut.

Kata Rafizi dia mahu menjawab beribu-ribu mesej yang diterimanya – kemungkinan sejak membuat keputusan mahu melepaskan jawatan menteri – selain menyertai kemeriahan “sembang” di X.

“Saya memang dah plan (rancang) apa nak tumpu selepas ni, tapi biarlah semua orang tenang, (sambut) raya haji dan lain-lain.

“Apa-apa (perkembangan lanjut) saya kongsi kemudian,” katanya.

Rafizi sudah memaklumkan lebih awal mengenai rancangannya mahu berundur dari kabinet jika gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Dalam persaingan sengit dan tegang itu, Rafizi gagal mendapat undian mencukupi dan terpaksa akur kepada perwakilian yang majoritinya mahu Nurul Izzah Anwar menjadi orang nombor dua dalam parti.

Presiden PKR ialah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Lima hari selepas berakhirnya pemilihan itu, Rafizi menghantar surat peletakan jawatan kepada Anwar dan bercuti sebelum ia berkuat kuasa pada 17 Jun ini.

"Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat daripada parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan," katanya.

Turut mengambil langkah sama ialah Ahli Parlimen Setiawangsa yang menjadi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Dia merupakan penyandang jawatan Naib Presiden PKR.

Bagaimanapun Anwar setakat ini menegaskan Rafizi dan Nik Nazmi sedang bercuti dan tidak timbul isu untuk dia melakukan rombakan kabinet bagi menggantikan kedua-dua ahli parlimen berkenaan.

Menurut Rafizi, potensi sebenar bagi negara ini ialah rakyat biasa dan usaha memanfaatkannya perlu dilaksanakan semula.

Sementara itu menjawab komen pengikutnya di X, Rafiri berkata, dia menghargai setiap doa yang ditujukan kepadanya.

“Insya-Allah, (ada) banyak cara nak ubah masyarakat. Kita ada masa yang panjang,” ciapnya.

Rafizi: Saya sudah ada 'plan'

Sinar Harian

SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan sudah mempunyai perancangan sebaik sahaja cutinya tamat pada 17 Jun depan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengulas lanjut mengenai perancangannya selepas ini, sebaliknya akan berkongsi apabila tiba masanya.

“Saya memang dah 'plan' apa nak tumpu selepas ini, tapi biarlah semua orang tenang, (sambut Hari) Raya Haji dan sebagainya.

“Apa-apa saya kongsi kemudian,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.

Rafizi pada Rabu mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Bermula hari sama juga beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun depan.

Selepas pengumuman peletakan jawatan Rafizi itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengikut jejak sama berkuat kuasa 4 Julai ini.

Susulan itu, Anwar dilaporkan telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.

"Saya dah mula cuti hari Rabu, misi sekarang nak balas beribu-ribu mesej dan sertai sembang dekat X,” jelas Rafizi.

Beliau menegaskan, kepercayaan terhadap potensi rakyat Malaysia merupakan tonggak utama pembangunan negara.

“Potensi sebenar negara adalah rakyat biasa. Kita perlu manfaatkan potensi ini," katanya.

Sementara itu di ruangan komentar, Rafizi turut diminta untuk mewujudkan akaun khas untuk kucing peliharaannya namun beliau berkata ia mustahil untuk dilaksanakan kerana sukar mengambil gambar dan video kucing.

Selain itu, pengguna media sosial turut menyarankan agar Rafizi mengemas kini berkaitan usaha penurunan berat badan.

Bagaimanapun Rafizi membalas komen itu dengan menyatakan perjalanan penurunan berat badan adalah sulit. -- Sinar Harian

Tiga maut kereta bertembung bas ekspres

Sinar Harian
Ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi tersepit manakala pemandu bas mengalami kecederaan ringan. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA KRAI: Dua wanita dan seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi tersepit manakala pemandu bas mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Idris Mohamad berkata, kesemua mangsa meninggal di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Kami menggunakan alatan khas untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit. - Sinar Harian

Sajat: 'Saya akan berpenampilan lelaki'

Hmetro
Nur Sajat
Nur Sajat
Kuala Lumpur : Usahawan dan personaliti media sosial, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat meluahkan hasrat untuk menunaikan ibadah umrah tahun depan dan bertekad untuk berpenampilan lelaki ketika berada di sana.

Sajat yang kini menetap di Sydney, Australia berkata, dia mahu memperbetulkan kesilapan lalu dan tidak mahu mengulangi tindakan yang pernah mencetuskan kontroversi lima tahun lalu.

"Insya-Allah tahun depan saya akan pergi umrah lagi. Kali ini, saya akan berpakaian lelaki, tak kisah rambut panjang sekalipun.

"Kita belajar daripada apa yang berlaku dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan lepas. Saya takkan buat benda yang buatkan orang lebih marah," katanya dalam satu siaran langsung di TikTok dan dikongsi oleh pengguna media social.

Dalam masa sama, Sajat memberitahu, antara nasihat paling menyentuh hati yang diterima daripada ahli keluarganya adalah jangan sesekali meninggalkan agama Islam.

"Satu je keluarga saya cakap. Apa jadi kat saya sekali pun, saya jangan tukar agama," katanya.

Pada 2020 Sajat mencetuskan kontroversi apabila mengerjakan umrah dengan berpenampilan wanita sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pihak dan mengundang kecaman ramai.

Rogol isteri orang, ‘Long Tiger’ dipenjara 12 tahun, 5 sebatan

FMT Reporters

Hakim berkata pembelaan tertuduh lebih bersifat penafian dan keterangan isterinya ialah rekaan tidak boleh dipercayai.
Timbalan pendakwa raya berkata tertuduh merogol mangsa yang juga pekerjanya baru beberapa hari keguguran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan ke atas lelaki Rohingya dikenali “Long Tiger” yang didapati bersalah merogol isteri orang empat tahun lalu.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Hamim Ab Hamid, 36, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Irwan berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh lebih bersifat penafian semata-mata dan tidak dapat menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan.

“Selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis difailkan kedua-dua pihak, mahkamah dalam kes ini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selain itu, mahkamah mendapati keterangan isteri tertuduh yang juga saksi pembelaan ke-11 lebih kepada rekaan semata-mata dan tidak boleh dipercayai,” katanya menurut Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak antara 1 tengah hari dan 2.05 petang 26 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Arif Marzuki mencadangkan mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan tertuduh sangat serius hingga meninggalkan trauma.

“Lebih menjijikkan apabila tertuduh merogol mangsa yang baru beberapa hari mengalami keguguran. Mangsa adalah pekerjanya hingga sanggup diperlakukan sedemikian.”

Hakim memutuskan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 7 Ogos 2021.

Buat masa ini, dia sedang menjalani hukuman penjara empat tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Pada 20 Jan 2022, bapa dua anak itu dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama kerana melarikan diri daripada tahanan pada 11.55 pagi 15 Dis 2021.

Mahkamah Tinggi Muar pada 1 Jun 2022 membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Long Tiger oleh Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei tahun sama, selepas mendapati timbul kekhilafan ketika perintah itu dikeluarkan atas tuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

'Toyol' pecah masuk sekolah dirakam CCTV

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
Tangkap layar CCTV yang memaparkan suspek di sekolah terbabit. FOTO IHSAN PEMBACA
Tangkap layar CCTV yang memaparkan suspek di sekolah terbabit. FOTO IHSAN PEMBACA
Shah Alam: Dua suspek lelaki diburu polis selepas disyaki memecah masuk dan melarikan wang berjumlah RM1,600 milik Sekolah Rendah Islam Integrasi Pintar Bukit Jelutong di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu dibuat oleh Timbalan Pengarah sekolah itu pada 11 Mei lalu.

"Siasatan mendapati, kedua-dua suspek memecah masuk melalui pintu belakang bangunan sekolah.

"Pemeriksaan dibuat pihak sekolah mendapati sebanyak RM100 yang disimpan di dalam peti wang tunai koperasi serta RM1,500 yang disimpan di dalam laci dilarikan penjenayah.

"Pihak polis juga sudah menerima semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berjaya merakam perbuatan suspek untuk diproses," katanya tadi.

Mohd Iqbal berkata, pihak polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan bagi kesalahan kedua juga dikenakan denda atau sebat.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Hanafi di talian 010-3727932.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa meninggalkan premis dan barangan yang berharga disimpan di tempat yang selamat," katanya.

Terdahulu video yang memaparkan kedua-dua suspek memecah masuk ke premis berkenaan tular di media sosial dan salah seorang suspek menutup rakaman CCTV.

(Gambar) Wanita misteri merangkak keluar dari lubang tengah jalan

KOSMO
SEORANG wanita muncul secara tiba-tiba dari saluran pembetung di tepi jalan. - Instagram
MANILA – Pengguna sebatang jalan di Bandar Makati, Filipina terkejut apabila seorang wanita misteri merangkak keluar secara tiba-tiba dari lubang saluran pembetung di tepi jalan, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Kejadian berlaku Isnin lalu di Jalan Rufino dan Adelentado, Kampung Legazpi, Bandar Makati.

Dalam satu video tular, wanita tersebut muncul dari dalam lubang di tepi lintasan pejalan kaki dalam keadaan rambut panjang mengurai tidak terurus, baju dipenuhi kekotoran serta tanah dan daun kering.

Ketika dia keluar dari saluran pembetung, kepalanya menoleh ke arah lelaki yang merakam gambarnya.

Setelah merangkak keluar, dia tersenyum lalu berlari ke arah lelaki berkenaan, namun dihalang oleh seorang lelaki lain yang berpakaian askar.

“Dia berlari ke arah saya, namun dikejar seorang lelaki memakai uniform askar.

“Beberapa pejalan kaki, penunggang motosikal dan pengawal lalu lintas hanya berdiri melihatnya dalam keadaan terkejut, bingung dan mungkin terhibur,” kata William yang memuat naik video tersebut di laman Instagram.

Sementara itu, saluran berita Filipina, GMA News Online ketika memetik Polis Bandar Makati sebagai berkata, wanita tersebut mungkin tinggal di dalam lubang pembetung dalam tempoh lama.

Polis berkata, mereka menemui beberapa barangan peribadi di dalam saluran itu serta percaya bahawa wanita itu memerlukan rawatan perubatan.

Pihak berkuasa kini sedang mencari wanita tersebut. – AGENSI 

Polis trafik tawar-menawar saman

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan polis trafik itu meminta bayaran daripada penunggang motosikal wanita. - Istimewa
JAKARTA – Seorang anggota polis trafik di Indonesia mengundang kecaman orang ramai apabila meminta penunggang motosikal yang melanggar lalu lintas untuk membuat bayaran kepadanya demi mengelak daripada disaman, lapor portal berita iNews. 

Kejadian berlaku di Gowa, wilayah Sulawesi Selatan kelmarin.

Rakaman dimuat naik di media sosial memaparkan wanita itu merayu anggota terbabit untuk tidak menyamannya kerana menunggang motosikal tanpa lesen. 

Lebih mengejutkan, anggota polis itu sempat tawar-menawar. 

Mereka kemudian bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu dengan membayar secara tunai sebanyak 150,000 rupiah (RM39). 

Ketua Polis Trafik Gowa, Iptu Bahrul berkata, kejadian itu telah dilaporkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. – AGENSI

Bekas menteri UMNO kata Tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi lepas jawatan selepas kalah pemilihan PKR sebagai berprinsip

Mohamad Fadli

Shahrir Samad berkata jika tiada mandat parti seseorang itu ibarat hilang kepentingan dan perlu melepaskannya.

Tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad lepas jawatan dalam Kabinet selepas kalah pemilihan PKR sebagai berprinsip, menurut Shahrir Samad.
PETALING JAYA: Bekas menteri Shahrir Samad menyifatkan memegang jawatan parti ibarat pemegang saham dengan segala kepentingan termasuk jawatan menteri perlu dilepaskan jika tidak lagi mendapat kepercayaan.

Shahrir merujuk tindakannya meletak jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna selepas kalah dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden pada pemilihan Umno 2009.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru menyifatkan tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berundur daripada Kabinet selepas tewas pemilihan PKR 23 Mei lalu sebagai berprinsip.

Mengimbau pengalamannya, bekas pengerusi Felda berkata beliau bertanding jawatan naib presiden untuk mendapat mandat parti apabila dilantik bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU2008 .

“Kalau parti tak bagi mandat (kalah pada pemilihan dan tidak dapat kepercayaan ahli), ia seperti pemegang saham. Ada banyak kepentingan kalau kita dalam parti,” katanya kepada FMT.

Pemilihan berlangsung 16 tahun lalu itu menyaksikan jawatan naib presiden dimenangi Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Mohd Shafie Apdal.

Shahrir berkata, tindakan Rafizi melepaskan jawatan menteri ekonomi manakala Nik Nazmi berundur sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam selepas kalah sebagai perkembangan positif dalam PKR.

“Baguslah, kena ada prinsip dan mereka mencipta amalan (dalam PKR) di mana kedudukan dalam parti melayakkan kita jawatan dalam kerajaan. Tetapi bila kalah dalam parti, kita letak jawatan dalam kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau belum memikirkan rombakan Kabinet susulan pengunduran dua menteri terbabit.

Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Anwar sudah menerima surat pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi, serta meluluskan permohonan cuti mereka masing-masing hingga 16 Jun dan 3 Julai.

29 terselamat bas ekspres terbakar di PLUS

FMT Reporters

Ketika kejadian bas dalam perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang.
Bas ekspres musnah terbakar dalam kemalangan di KM 406 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kamunting, malam tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seramai 29 penumpang termasuk pemandu bas ekspres terselamat apabila kenderaan dinaiki mereka musnah terbakar dalam kemalangan dengan motosikal di KM 406 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kamunting, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata kejadian berlaku kira-kira 9.16 malam.

Difahamkan, ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang.

“Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres telah menyeret sebuah motosikal yang terbabas ketika itu dan menyebabkan kebakaran bas berkenaan, anggaran kemusnahan terbakar 90%.

“Seramai 29 orang penumpang dan juga pemandu di dalam bas berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum ketibaan bomba,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata, seorang mangsa iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS.

Katanya, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping mengawal kebakaran sehingga berjaya dipadam sepenuhnya.

“Operasi tamat 10.33 malam,” katanya.

Penceramah agama ditahan disyaki memberi ceramah tanpa tauliah

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah rumah dekat Pasir Gudang, malam tadi.

Tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 50 tahun itu dibuat kira-kira jam 8.30 malam tadi oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, penahanan dibuat bagi siasatan di bawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.

"Penceramah ini memberi ceramah dengan jemaah serta siaran langsung di media sosial. Rumah itu adalah kediaman individu lain yang dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas Maghrib dan Subuh.

"Ketika tangkapan dibuat, ada beberapa orang yang sedang mendengar ceramahnya di rumah itu, selain siaran langsung di Facebook (FB) dan Youtube, tetapi video sudah dipadam.

"Sekarang penceramah ini masih dalam siasatan kita," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, perbuatan mengajar tanpa tauliah membabitkan penceramah itu adalah antara aduan yang telah dibawa dalam makluman mesyuarat ahli majlis bulan Mei ini dan terdapat arahan serta keputusan Jawatankuasa Tauliah bagi JAINJ mengambil tindakan.

"Mengikut rekod, pada 2016, penceramah ini pernah ditahan atas kesalahan sama. Tahun 2020, jabatan ada buat serbuan juga, tetapi dia berjaya lepaskan diri ketika majlis ceramah beliau. Ini kali ketiga tindakan dibuat ke atasnya atas kesalahan tidak ada kebenaran tauliah mengajar," jelasnya.

Pada masa sama, Nasri berharap supaya sesiapa yang hendak menyampaikan dakwah di Johor mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

"Sama seperti negeri lain yang mewajibkan penganjur atau pendakwah mendapatkan kebenaran tauliah dari terlebih dahulu.," katanya.

Penunggang maut bawa penemuan 462 peket dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Nahas maut melibatkan penunggang motosikal membawa kepada penemuan 462 peket dadah, dalam kejadian di Jalan Lebuh AMJ, Paya Rumput, Melaka.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian pada 7.54 pagi tadi membabitkan tiga kenderaan itu mengakibatkan mangsa berusia 22 tahun meninggal di lokasi.

Katanya, motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang Perodua Bezza sebelum bergesel dengan sebuah lori.

“Pemeriksaan polis menjumpai bungkusan dipercayai dadah yang berada bersama motosikal mangsa dengan rampasan melibatkan 450 peket heroin seberat 688.81g dan 12 peket methamphetamine seberat 13.41g,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Melaka juga merayu kepada mana-mana saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil memberikan maklumat yang boleh membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Melaka Tengah, Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747.

SPRM sita aset hampir RM32 juta milik Tan Sri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Aset hampir RM32 juta milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini susulan siasatan penyelewengan dana sukuk.

Utusan Malaysia memetik sumber, berkata dana berkenaan bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut laporan, sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah di ibu negara.

Sumber tersebut berkata, penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu itu turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah dari sebuah kediaman, dianggar bernilai sekitar RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Dalam tindakan yang dijalankan itu juga, SPRM turut membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta yang dipercayai milik individu berkenaan,” menurut Utusan Malaysia memetik sumber.

Turut disita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dianggar kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan lebih RM1 juta, dan barang kemas lebih RM4 juta.

“Menerusi penggeledahan itu juga, SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz, dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta,” katanya.

Semua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Navin Chichkar, ketua rangkaian dadah antarabangsa dicekup, dihantar ke India

FMT Reporters

PETALING JAYA: Individu didakwa dalang sindiket pengedaran dadah rentas negara ditangkap di Malaysia dan telah dihantar pulang ke India, menurut satu laporan.

Hindustan Times melaporkan Navin Chichkar, didakwa mengetuai sindiket itu di Malaysia kini berada dalam tahanan Biro Kawalan Narkotik (NCB) India di Mumbai.

Mahkamah Mumbai memerintahkannya direman bawah NCB.

Penahanan Navin dilakukan susulan operasi bersama melibatkan Interpol, Biro Penyiasatan Pusat India, dan pihak berkuasa Malaysia.

NCB berkata, pihaknya menjejak suspek berkenaan sejak beberapa tahun lalu, manakala Interpol baru-baru ini mengeluarkan Notis Merah berikutan permintaan agensi tersebut.

Navin pertama kali dikaitkan dengan kes pengedaran dadah pada tahun 2021 tetapi didakwa telah melarikan diri. Beliau kemudian muncul di Thailand sebelum berpindah ke Malaysia, di mana beliau baru-baru ini dikesan dan ditahan.

Navin pertama kali dikaitkan kes pengedaran dadah pada 2021, namun didakwa telah melarikan diri. Dia kemudian muncul di Thailand sebelum berpindah ke Malaysia, di mana baru-baru ini dikesan dan ditahan.

Pada Januari, NCB merampas 200g kokain disorokkan dalam projektor yang dihantar ke Australia menggunakan kurier.

Rampasan itu membawa penyiasat kepada simpanan dadah lebih besar, didakwa berkait rangkaian sama. Keseluruhan, agensi itu setakat ini telah merampas 11.7kg kokain, 4.9kg ganja, dan 5.5kg gummy berasaskan ganja daripada ahli sindiket disyaki.

Siasatan NCB dilaporkan membongkar laluan pengedaran dadah yang rumit, melibatkan penghantaran kokain dari Amerika Syarikat ke India, serta pengedaran di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dikatakan, sindiket itu menggunakan sistem hawala menerusi ejen kastam dan pengendali, iaitu sistem pemindahan nilai tidak formal berdasarkan kepercayaan dan reputasi rangkaian besar pengantara kewangan.

“Penyiasatan ke Navin berkemungkinan akan mendedahkan lagi perincian operasinya, termasuk sumber dadah di Amerika Syarikat,” lapor Hindustan Times memetik sumber NCB.

Setakat ini, lapan sudah ditahan disyaki terkait dengan kes berkenaan.

FMT telah menghubungi Ketua Polis Negara Razarudin Husain untuk ulasan.

Tolak pinangan punca wanita disiram asid

KOSMO!

JAKARTA – Seorang wanita di Tuban, wilayah Jawa Timur menjadi mangsa serangan asid oleh bekas kekasihnya selepas lamaran lelaki tersebut ditolak, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Ketua Polis Montong, Asisten Komisioner Waheru Purwantono berkata, kejadian kelmarin berlaku akibat dendam lama suspek terhadap mangsa.

Katanya, lamaran suspek sebelum ini ditolak oleh ibu bapa mangsa.

“Motif perbuatan itu dipercayai kerana suspek marah lamarannya ditolak oleh ibu bapa mangsa,” katanya.

Ekoran serangan itu, mangsa melecur pada pipi, leher dan lengan kanannya serta kini dirawat di hospital.

“Suspek melarikan diri dan ketika ini masih diburu,” kata Waheru. – AGENSI 

KJ tolak spekulasi akan sertai kabinet semula, 'Saya sibuk'

Malaysiakini 

Di tengah-tengah khabar angin mengenai rombakan kabinet, bekas menteri Khairy Jamaluddin menolak spekulasi bahawa dia mungkin dilantik semula menyertai kabinet.

Sebaliknya, Khairy memberitahu wartawan bahawa dia mahu menumpukan perhatian kepada beberapa perniagaan dan projek yang masih berjalan.

"Saya cuma boleh cakap, ketika ini saya ada banyak projek yang belum selesai dan perlu diuruskan.

"Saya juga agak gembira dengan apa yang dilakukan ketika ini, jadi sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, tak terfikir untuk kembali ke dunia politik," kata bekas ahli parlimen Rembau itu.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel program The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?" di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Universiti Malaya (UM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairy ditanya mengenai khabar angin bahawa dia mungkin dilantik ke kabinet selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada dia terbuka terhadap kemungkinan tersebut dan bagaimana dia akan memberi respons jika ditawarkan jawatan, Khairy sekali lagi menegaskan dia sudah pun terikat dengan beberapa komitmen terdahulu.

“Komitmen-komitmen itu memerlukan masa dan perhatian saya. Sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, saya akan sibuk. Selepas itu, kita boleh bincang.

“Kita tengok nanti macam mana. Buat masa ini saya memang sibuk,” ujarnya.

Difahamkan, dalam kalangan ahli Umno, khabar angin mengenai kemungkinan Khairy kembali aktif dalam politik mula tersebar sejak dia dipecat daripada parti itu pada Januari 2023.

Mengesahkan bahawa perbincangan seumpama itu memang ada, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata, sekiranya Khairy kembali menyertai kerajaan, ia berupaya memulihkan imej kerajaan yang semakin merosot, terutama selepas keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia berkata laluan politik Khairy tidak mudah, memandangkan Umno masih diterajui presiden parti sekarang, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid kini juga ialah timbalan perdana menteri.

Khairy dipecat daripada Umno kerana dikatakan melanggar disiplin parti, dan sebagai sebahagian usaha pembersihan yang dilakukan Ahmad Zahid.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, bekas ahli parlimen Rembau itu gagal merampas kerusi Sungai Buloh daripada PKR, yang dimenangi oleh R Ramanan, timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi sekarang.

Sebelum itu, Khairy pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan; menteri sains, teknologi dan inovasi; serta menteri belia dan sukan.

Lelaki warga Bangladesh didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja perempuan

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di lif sebuah apartmen, minggu lepas.

Sohanur Rahman Anik, 23, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa 15 tahun semasa kejadian, bagi tujuan seksual di dalam dan luar lif sebuah unit apartmen di Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Sentul di sini pada 10.39 malam, 21 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias, tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang warga Bangladesh dan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.

Hakim Mohd Kafli Che Ali tidak membenarkan Sohanur diikat jaminan dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

Nik Nazmi: Kami tak akan khianati PKR

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyangkal dakwaan bahawa dia dan bekas rakan sejawatnya, Rafizi Ramli akan mengkhianati PKR.

Ini susulan tindakan kedua-dua ahli politik itu mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai menteri semalam, selepas tewas dalam pemilihan parti itu.

“Kami letak jawatan. Kami tak akan khianat parti,” katanya ringkas menerusi satu hantaran di X petang tadi.

Kenyataan itu hadir di tengah cakap-cakap dalam PKR yang mendakwa Rafizi dan pemimpin yang menyokongnya akan berpaling tadah.

Antara tuduhan itu termasuk dakwaan bahawa beberapa ahli Parlimen yang berpihak kepada Rafizi akan menarik balik sokongan mereka terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang – yang turut dinamakan sebagai antara “pengkhianat” berpotensi – menyangkal tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai mengarut.

Minggu lalu, Rafizi tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden manakala Nik Nazmi tersingkir daripada kelompok naib presiden dalam pemilihan parti itu.

Anwar sebelum ini menyatakan tidak akan melakukan rombakan kabinet berdasarkan keputusan pemilihan parti.

Namun begitu, Rafizi berpendapat keputusan itu dibuat bagi mempertahankan prinsip.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin yang sehaluan dengan Rafizi, Fahmi Zainol, mengambil pendekatan berbeza.

Fahmi – yang merupakan ahli Exco Pulau Pinang – berkata dia tidak akan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri walaupun tewas dalam pemilihan PKR di peringkat pusat dan cabang.

“Apabila saya dilantik, saya mesti menamatkan tempoh perkhidmatan.

“Saya akan menunaikan tanggungjawab itu. Saya tiada rancangan untuk meletak jawatan,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Fahmi gagal menduduki Jawatankuasa Pimpinan Pusat PKR dan tewas bagi jawatan ketua cabang PKR Jelutong.

Senarai 11 Ahli Parlimen PKR yang didakwa menarik sokongan kepada Anwar

'Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah' - Chang Lih Kang

Muhammad Yusri Muzamir
FB Chang Lih Kang
FB Chang Lih Kang
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menafikan dakwaan beliau bersama 10 lagi Ahli Parlimen daripada parti itu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataan ringkas di Facebook malam tadi, antara lain menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.

"Rafizi (Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli) dan Nik Nazmi (Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad) letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi.

"Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah," kata Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.

Beliau mengulas senarai 11 Ahli Parlimen daripada PKR, didakwa menarik sokongan kepada Anwar yang tular di media sosial, malam ini.

Selain Rafizi, Nik Nazmi dan Lih Kang, turut tersenarai ialah Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Datuk Seri Aminudin Harun (Port Dickson).

Remaja 13 tahun seronok jadi ‘superman’ dikejar polis

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Keseronokkan seorang pelajar tingkatan satu melakukan aksi berbahaya dengan meniarap di atas motosikal ditunggangi sambil melakukan ‘zig zag’ tidak berpanjangan apabila dia ditahan polis di Tambak Paya, dekat sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berusia 13 tahun itu dikesan selepas pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah yang sedang melakukan Op Dagang menerima aduan berkaitan samseng jalanan, Sabtu lalu.

“Dua anggota trafik dihantar ke lokasi dan melihat seorang remaja membuat pusingan U di lampu isyarat sambil menderukan enjin motosikalnya dalam keadaan tidak memakai topi keledar.

“Dia kemudian memecut laju motosikal yang ditunggang dari persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga Paya Dalam dalam keadaan meniarap sambil membuat aksi ‘zig zag’ sehingga melepasi persimpangan Kampung Batu Putih,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, hasil pemerhatian remaja terbabit turut membuat aksi berbahaya itu sebanyak tiga pusingan di lokasi sama.

“Pasukan bertindak mengejar dan menahannya kerana perbuatan itu jelas membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Dia berjaya ditahan pada pukul 2.40 pagi di tepi jalan di simpang tiga Tambak Paya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya.

Kumpulan bersenjata serang hari sukan di Narathiwat

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pemain bola takraw semalam. - Bangkok Post
BANGKOK – Empat orang termasuk guru dan sukarelawan cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang dalam satu acara sukan di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lapor portal berita Bangkok Post.  

Kejadian berlaku sekitar pukul 2.20 petang (waktu tempatan) di Ibu Pejabat Daerah Koh Sathon semalam. 

Acara itu bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan memerangi gejala penagihan dadah. 

Dua sukarelawan pertahanan cedera, masing-masing terkena tembakan di lengan dan telinga kanan. 

Dua lagi mangsa merupakan guru dari sekolah berbeza dengan seorang cedera parah akibat ditembak di bahagian dada. 

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tak Bai untuk rawatan lanjut. 

Menurut seorang saksi kejadian, sekurang-kurangnya enam lelaki bersenjata tiba di tempat kejadian dengan menaiki tiga motosikal dan memakai topi. 

“Mereka melepaskan tembakan secara rambang sebelum melarikan diri,” katanya. 

Polis sedang giat menjalankan siasatan. – AGENSI

MP PKR tak cukup ‘kualiti’ ganti Rafizi, Nik Nazmi jadi menteri

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: PKR tidak mempunyai Ahli Parlimen berkebolehan yang cukup untuk mengisi jawatan menteri ditinggalkan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, menurut seorang penganalisis.

Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata dengan senarai panjang Ahli PKR yang ada, ia mungkin tidak sukar untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencari pengganti Rafizi, yang memegang portfolio ekonomi dan Nik Nazmi, sumber asli dan portfolio kelestarian alam sekitar.

“Beliau mungkin mempunyai kuantiti tetapi tidak mencukupi orang yang berkualiti untuk menjadi menteri, terutamanya untuk menggantikan Rafizi, yang memegang portfolio ekonomi. Anwar akan menghadapi kesukaran mencari pengganti yang sesuai untuk mereka berdua.

“Satu-satunya jalan keluar ialah merombak Jemaah Menteri dan ini mungkin membolehkan beliau melantik lebih ramai Ahli Parlimen junior daripada partinya untuk memegang portfolio kementerian yang ‘kurang berat’ dan membiarkan yang lebih senior mengambil alih portfolio yang lebih besar,” katanya kepada FMT.

Semalam, Nik Nazmi berkata beliau meletak jawatan sebagai menteri selepas gagal mempertahankan jawatan naib presiden PKR pada pemilihan pimpinan pusat parti yang diadakan minggu lepas. Beliau adalah rakan seperjuangan Rafizi, yang kehilangan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar.

Ditanya mengenai tugas berat yang menanti Anwar, Chin berkata ramai dalam PKR tidak berpengalaman dalam menerajui kementerian.

“Menjadi menteri bukan tentang melaungkan slogan atau mengetuai demonstrasi jalanan atau menyiarkan mesej di media sosial, ia mengenai menangani perkara-perkara penting dan mendesak dalam negara.

“Menteri juga perlu menguruskan kementeriannya dan berurusan dengan birokrasi kerajaan. Secara umumnya, kebanyakan Ahli Parlimen PKR tidak mempunyai pengalaman seperti itu,” katanya.

Beliau juga berkata sudah terlalu lewat untuk melatih Ahli Parlimen PKR untuk jawatan menteri memandangkan kerajaan hanya tinggal kira-kira dua setengah tahun lagi di Putrajaya. “Tidak ada masa untuk belajar, mereka mesti melaksanakannya.”

Chin berkata Anwar, yang merupakan presiden PKR, boleh mempertimbangkan untuk melantik timbalannya, Nurul Izzah, malah isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, ke dalam Jemaah Menteri.

“Tetapi adalah tidak bijak untuk berbuat demikian. Dia akan dituduh nepotisme, tuduhan yang timbul selepas pemilihan parti (selepas Nurul Izzah memenangi jawatan No 2). Dia tidak boleh untuk berdepan dengan perkara itu.

“Dan jika dia melantik seseorang dari luar partinya, dia perlu menjawab kepada penyokongnya dari dalam partinya,” katanya.

Hilux jatuh gaung, bapa dan anak perempuan maut

FARAHWAHIDA AHMAD
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit.
SEGAMAT – Bapa serta seorang anak perempuannya maut dalam satu kemalangan menyayat hati apabila kenderaan dinaiki mereka sekeluarga jatuh ke dalam gaung di Kampung Kwongsai, Jalan Segamat – Labis, di sini lewat petang semalam.

Mangsa maut dikenalpasti sebagai Mohd Fitri Md Said, 37 serta anak perempuannya, Nurin Insyirah Mohd Fitri, 9.

Menurut Komander Operasi, PBK II KUP Zainal Abidin Che Deraman, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.47 petang mengenai kejadian.

“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Hilux telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung yang berkedalaman 15 kaki.

“Pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa yang tersepit menggunakan hydraulic ramp dan lain-lain peralatan khas bagi menstabilkan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kereta.

“Terdapat tiga orang mangsa yang merupakan isteri serta anak mangsa mengalami kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan dan dibawa ke hospital sebelum pihak bomba tiba manakala dua orang mangsa di sahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ditempat kejadian,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujar beliau, mangsa yang cedera dikenalpasti sebagai isteri Mohd Fitri, Nurain Farhana Johari, 32, serta tiga anaknya, Nur Atiya Mohd Fitri 2, Muhammad Zikri Mohd Fitri, 11, serta Nur Husna Mohd Fitri, 4.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seramai tujuh orang anggota diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Zainal Abidin Che Deraman, dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat dikejarkan ke tempat kejadian bersama satu jentera.- KOSMO! ONLINE