"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami tumbuk isteri hingga mati didakwa

KOSMO!
WU dituduh membunuh isterinya. - Foto EToday
TAIPEI – Seorang ketua daerah berusia 53 tahun di Taiwan didakwa atas keganasan rumah tangga dan melakukan pembunuhan selepas menumbuk isterinya di kepala, menyebabkan mangsa meninggal dunia, lapor portal berita MS News semalam.

Kes bermula 20 Disember tahun lalu, apabila lelaki dikenali sebagai Wu itu dan isterinya sedang menyediakan pencuci mulut tradisional Cina.

Mereka menyediakan pencuci mulut di dapur komuniti untuk diedarkan kepada warga tua di kawasan Perbandaran Lukang, Changhua.

Pertengkaran dilaporkan tercetus mengenai bagaimana tugas perlu dibahagikan.

Wu didakwa memberikan tumbukan kuat ke kepala isterinya sebelum berlalu pergi.

Mangsa  kemudian  mengalami pening dan muntah.

Wanita itu dibawa ke hospital, namun koma selepas menjalani pembedahan.

Selepas 42 hari berada di unit rawatan rapi, mangsa diisytiharkan meninggal dunia.

Pihak berkuasa yang melakukan siasatan, membuat kesimpulan bahawa Wu bukan sahaja melakukan kesalahan serius tetapi berbohong dalam kenyataannya dan cuba mengalihkan kesalahan kepada orang lain.

Sehingga kini Wu masih ditahan oleh pihak berkuasa. – AGENSI

KJ: Tengku Zafrul kemungkinan akan bertanding di Ampang

Tengku Zafrul akan bertanding di Ampang?

Harapandaily

Pengacara podsiar Keluar Sekejap Khairy Jamaluddin mendakwa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan diberikan peluang untuk bertanding di kerusi parlimen Ampang.

“Mungkin dia akan dilantik sebagai penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri. Saya yakin beliau akan diberi satu kerusi selamat untuk parlimen, PRU nanti… Ampang.”

Khairy berkata demikian dalam siaran Keluar Sekejap yang disiarkan semalam

“You know why Ampang. Ampang sekarang ini adalah YB Rodziah, team Rafizi. HIRUK. Ampang bagus untuk Zafrul.”

Ampang kini diwakili oleh Rodziah Ismail dalam penggal pertama. Rodziah pernah menjadi Adun Batu Tiga selama tiga penggal.

Rodziah yang menyokong mantan timbalan presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR. HIRUK ialah singkatan slogan yang digunakan oleh calon-calon yang menyokong Rafizi.

“Dia bertanding di Kuala Selangor hari itu. Profailnya Ampang bukan Kuala Selangor,” kata Khairy merujuk kepada penyertaan Tengku Zafrul di dalam pilihan raya umum ke-15. Zafrul kalah kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Zafrul sebelum ini menjadi tumpuan apabila mengumumkan bahawa beliau keluar Umno dan mahu menyertai PKR.

Beliau juga Senator Dewan Negara. Tempoh khidmatnya sebagai senator akan tamat dalam bulan Disember.

Khairy turut menolak ura-ura bahawa Zafrul akan bertanding di DUN Sungai Tua yang kini diwakili oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. Amirudin juga Ahli Parlimen Gombak.

Ini kerana terdapat risiko bahawa pengundi di sana akan marah terhadap pencalonan Zafrul di sana.

Mufti Pulau Pinang: Penipuan haji cemar imej Islam

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman menyifatkan kejadian 182 bakal jemaah haji terkandas dipercayai diperdaya dengan tawaran haji palsu sebagai sesuatu yang amat mengecewakan dan mencemarkan imej Islam.

Beliau berkata perbuatan memperdaya orang lain sering berpunca daripada sifat tamak sesetengah pihak yang mahu mengaut keuntungan tanpa mempedulikan kesan terhadap mangsa.

Malah katanya, ada pihak tidak bertanggungjawab sanggup melanggar undang-undang dengan mengambil visa pelancong untuk menunaikan haji sedangkan ia jelas bercanggah dengan undang-undang Arab Saudi, akhirnya memangsakan jemaah.

“Penipuan sebegini memberi kesan negatif terhadap imej Islam kerana ia melibatkan ibadah yang sangat suci dan penting dalam kehidupan umat Islam.

“Apabila individu atau agensi tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas keinginan orang lain untuk menunaikan haji ia bukan sahaja merugikan mangsa secara material tetapi juga merosakkan nama baik Islam dan sistem pengurusan haji yang sah dan diiktiraf,” katanya kepada FMT.

Sukki mengulas laporan seramai 182 bakal jemaah haji terkandas di KLIA selepas mendapat surat tawaran haji yang kononnya dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Mangsa dikatakan menerima surat menggunakan logo TH yang memaklumkan mereka dipilih bagi menunaikan haji, dan urusan penempahan tiket serta hotel pula kononnya dilakukan syarikat berdaftar dengan TH.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata penipuan dalam bentuk scam dan seumpama dengannya merupakan perkara mungkar yang perlu dicegah dengan hukuman berat.

“Ini merupakan satu dosa yang besar kerana menggunakan duit orang ramai untuk membina kekayaan mereka dengan melakukan penipuan dalam bentuk scam dan seumpama dengannya,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk berhubung dengan badan yang mempunyai kuasa atau dilantik oleh TH bagi merujuk kesahihan berkaitan pakej yang ditawarkan supaya tidak tertipu.

“Jika kita menggunakan saluran yang tepat ia mampu mengelak kita terjerat dengan penipuan,” katanya.

Pada 6 Jun lalu, Berita Harian memetik sumber berkata kes bakal jemaah haji terkandas itu dibongkar pasukan petugas khas yang dibentuk oleh polis bagi membanteras penipuan pakej haji.

Kes dilaporkan oleh sebuah syarikat pengelola jemaah haji yang membuat semakan silang dengan TH dan enggan melayani permintaan penganjur jemaah haji berkenaan.

Menurut laporan itu, seramai 82 bakal jemaah haji gagal terbang ke Tanah Suci kerana tiada tiket penerbangan dan visa. Baki 100 bakal jemaah pula tidak muncul atau pulang begitu sahaja.

Tragedi pagi Aidiladha, 5 sekeluarga maut kemalangan

NS Ramli

Lima sekeluarga maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jerantut Feri, dekat Jerantut, Pahang, tengah malam tadi.

Kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Bezza dan Toyota Alpard dilaporkan berlaku sekitar jam 12.42 tengah malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Raza Taja Rahim berkata, pusat gerakan operasi bomba negeri menerima laporan mengenai kemalangan maut itu jam 12.39 tengah malam dan sepasukan pegawai bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut dihantar ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal pegawai operasi, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan lapan mangsa.

"Terdapat tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita dewasa dalam kenderaan Toyota Alphard, manakala lima mangsa lagi menaiki Perodua Bezza.

"Semua mangsa yang maut dalam kemalangan itu adalah dari kereta Perodua Bezza," katanya.

Mohd Razam memaklumkan, dua mangsa maut akibat tersepit dan tiga lagi tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

Katanya, kereta Perodua Bezza itu dipercayai dalam perjalanan dari Bota, Perak menghala ke bandar Jerantut, manakala Toyota Alphard pula dari arah bertentangan.

"Mangsa yang maut berusia antara 17 hingga 26 tahun.

"Mereka adalah pasangan suami isteri, Mohd Ikmal Ishak, 26 dan Nur Afiqah Aziz Jaafar, 23 tahun.

"Tiga lagi yang maut adalah adik kepada Nur Afiqah, Nurul Hazwani, 17; Mohd Azizul Hakimi, 19 dan Mohd Zulkifli, 21," jelasnya.

Dia berkata, mayat mangsa maut dan cedera dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Jerantut dengan bantuan ambulan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Operasi mengeluarkan mangsa kemalangan terbabit selesai jam 1.21 pagi tadi dan siasatan kes itu diserahkan kepada pihak polis.

Menjelang muktamar: Hadi beri bayangan akan berundur, siapa bakal ganti

K PRAGALATH

Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang telah memberi bayangan bahawa beliau akan berundur dari jawatannya berdasarkan faktor kesihatan.

Ekoran itu pensyarah Universiti Malaysia Terengganu Yusri Ibrahim melontarkan persoalan sama ada kepimpinan parti tersebut perlu kekal di tangan ulama atau professional apabila Pas mengadakan sidang muktamarnya pada bulan September.

“Adakah presiden Pas perlu kekal daripada jalur ulama, atau figura profesional contohnya Dr Ahmad Samsuri (Mokhtar) sesuai untuk jawatan tersebut?” soal Yusri.

Pertembungan di antara golongan ulama dan professional bukanlah sesuatu yang asing untuk Pas.

Pertembungan pada tahun 2015 membawa kepada penubuhan AMANAH.

Meskipun pemilihan parti hanya akan berlaku pada bulan September, beberapa tokoh dari kumpulan ulama sudahpun memberikan amaran dalam bentuk gelaran terhadap kumpulan professional.

Mantan ketua Dewan Ulama Pas Pahang Mokhtar Senik menggelar kumpulan lawan sebagai lanun dari dalam Pas manakala seorang lagi Ahmad Dasuki Rani mendakwa ‘kepimpinan ulama ini akan sering diganggu oleh syaitan-syaitan di kalangan manusia dan jin’.

Penyandang timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dilihat sebagai berwibawa untuk memacu kumpulan ulama di dalam pertandingan ini kerana beliau hanya mempunyai sarjana dalam bidang dakwah yang diperoleh dari UKM.

Dalam kalangan naib presiden, ada tiga pemimpin. Samsuri dari kumpulan professional manakala Datuk Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohamad Amar mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, 3 termasuk bayi maut dan 2 masih hilang

KOSMO!
Tangkap layar video kejadian bot karam sekitar perairan Tanjung Harapan, hari ini.
KLANG – Tiga termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan maut selepas bot dinaiki terbalik selepas hilang kawalan di sekitar perairan Tanjung Harapan di sini hari ini.

Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang, kesemua mangsa difahamkan berusia tiga hingga 50 tahun.

Semasa kejadian bot tersebut dikatakan membawa enam penumpang dengan dua lagi masih dilaporkan hilang.

Manakala seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan bot nelayan.

Terdahulu, tular video memaparkan bot tersebut yang ditunda bot lain selepas terbalik di perairan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Kenapa ikan ini digelar Ikan ‘kiamat’

Warta Oriental 

Ikan ‘kiamat’ gergasi terdampar di Australia
Ikan ‘kiamat’ gergasi terdampar di Australia
Ikan oarfish gergasi ditemukan terdampar di kawasan pesisir berhampiran Strahan di Pantai Tasmania Barat, Australia.
HOBART: Seekor ikan laut dalam gergasi dikenali sebagai oarfish, ditemukan terdampar di Pantai Tasmania Barat, Australia mencetus kebimbangan dalam kalangan komuniti saintifik serta penduduk tempatan.

Menurut Utusan Malaysia, penemuan luar biasa itu dibuat oleh Sybil Robertson ketika sedang bersiar-siar seorang diri di kawasan pantai berhampiran Strahan, Isnin lalu. 

Menurutnya, dia terkejut melihat seekor ikan berwarna perak terang yang panjangnya dianggarkan mencecah tiga meter, sedang dimakan oleh sekumpulan helang.

“Saya berjalan ke arah yang berlainan daripada biasa dan ternampak ikan itu. Saya tahu ia sesuatu yang pelik,” kata Robertson.

Setelah memuat naik gambar penemuan tersebut ke laman media sosial Citizen Scientists of Tasmania, ikan itu segera dikenal pasti sebagai oarfish, spesies laut dalam yang sangat jarang ditemui dan sering dianggap misteri dalam mitos serta cerita rakyat. 

Di sesetengah budaya, ia digelar ‘ikan kiamat’ kerana dikatakan muncul sebelum bencana alam berlaku.

Pada tahun 2022, Ahli Biologi Marin, Jorja Gilmore turut mengalami detik luar biasa apabila ternampak seekor anak oarfish semasa memimpin kumpulan pelancong menyelam di sekitar Terumbu Karang Besar berhampiran Port Douglas.

“Ia seperti pembaris panjang yang hidup, dengan helaian halus seperti umpan gergasi,” katanya. 

Penemuan tersebut dipercayai yang pertama direkodkan di pantai timur Australia.

Astaghfirullah: Jemaah umrah main judi online dalam masjid di Madinah

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan jemaah itu bermain judi dalam talian semasa menunaikan umrah. - X
MEKAH – Seorang lelaki warga Indonesia menerima kecaman orang ramai apabila dirakam bermain judi secara online di kota Madinah ketika menunaikan umrah, lapor portal berita Serambinews semalam. 

Rakaman dimuat naik di platform X oleh akaun @ThreadSkandal menunjukkan jemaah umrah itu sedang duduk di dalam masjid sambil bermain dengan telefon bimbitnya.

Lebih mengejutkan, dia bukan bermain permainan video tetapi berjudi.

“Dia berharap mendapatkan ‘jackpot’ kerana berjudi di tempat suci,” demikian menurut keterangan video itu. 

Rakaman itu menjadi tular dan mencetuskan kemarahan ramai netizen. 

“Ibadah umrah terjejas,” kata seorang netizen. – AGENSI

Letupan gas bawah tanah di Bukit Minyak tiada yang cedera

FMT Reporters

Jabatan Bomba Pulau Pinang berkata satu letupan berlaku berhampiran saluran pembentungan.
Lokasi kejadian letupan gas bawah tanah di Lengkok Perindustrian Bukit Minyak 2. (Gambar JBPM Pulau Pinang)
PETALING JAYA: Satu letupan gas bawah tanah dilaporkan berlaku berhampiran saluran pembentungan di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Jabatan Bomba Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkait kejadian itu kira-kira 2.45 petang.

Katanya, satu letupan dilaporkan berlaku dan pihaknya memantau kandungan udara di persekitaran lokasi kejadian di Lengkok Perindustrian Bukit Minyak 2.

“Laporan awal mengesahkan tiada mangsa terlibat,” kata kenyataan itu.

Operasi itu melibatkan 16 anggota termasuk unit Hazmat dari Balai Bomba Bandar Perda dan Sungai Bakap.

Jawatan naib canselor UKM kini disandang oleh Sufian Jusoh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sufian Jusoh dilantik sebagai naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-14, mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd Ekhwan Toriman lebih empat bulan lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata tempoh pelantikan Sufian, 57, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.

“Kementerian yakin pelantikan beliau sebagai naib canselor UKM yang baharu bakal meneruskan kesinambungan pemerkasaan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan acuan nasional serta melahirkan graduan berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sebelum dilantik ke jawatan itu, Sufian adalah pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM selama lebih tujuh tahun bermula pada 2018.

Beliau adalah pakar dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau serta undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Ekhwan meletak jawatan naib canselor berkuat kuasa 30 Jan.

Dalam kenyataan, beliau ‘terima kasih atas segala fitnah dan tomahan yang dilontarkan yang mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dibuat.’

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut.

Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan dan beliau juga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Tugas naib canselor UKM sebelum ini dipegang Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Abdul Halim Abdul Gafor.

Skandal rasuah Sabah: Beberapa individu mungkin didakwa

Bernama

SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung klip video didakwa skandal rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah berhubung isu perlesenan lombong mineral.

Menurut sumber, kertas siasatan itu telah dihantar kepada pihak pendakwaan untuk diteliti, dua minggu lepas.

Dia berkata ada kemungkinan pendakwaan akan dilakukan terhadap beberapa individu dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kemungkinan ada pendakwaan lagi terhadap beberapa individu lain.

Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu.

SPRM sebelum ini memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti berkenaan.

-Bernama

Lelaki didakwa melakukan amang seksual dan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap adik rakannya berusia 9 tahun

AMRAN ALI
TERTUDUH diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas menghadapi lima pertuduhan berkaitan amang seksual terhadap adik rakannya. Foto oleh AMRAN ALI
MELAKA – Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap adik rakannya yang baru berusia sembilan tahun.

Tertuduh, Ahmad Dzul Fiqar Ahmad Fardzil, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut empat pertuduhan pertama, dia didakwa ‘memegang’ mangsa dengan maksud seksual di sebuah rumah pangsa di Ayer Keroh di sini pada pukul 10 malam hingga 1 pagi, 31 Mei lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa di lokasi dan waktu sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Amritpal Singh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen berkaitan.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak menjadi mangsa seksual selepas ditinggalkan bersama rakan abangnya di ruang tamu rumah ketika ibunya keluar ke pasar malam. Abang mangsa pula keluar meninggalkan adik dan suspek. – KOSMO! ONLINE

Pemandu e-panggilan ketuai sindiket dadah, RM5.11 juta dirampas

FMT Reporters

PETALING JAYA: ‘Geng Alstonia’ diketuai pemandu e-panggilan yang menjadikan pusat hiburan sekitar Lembah Klang sebagai lubuk menjual dadah tumpas, susulan rampasan pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM5.11 juta.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata sindiket itu juga menjual dadah kepada orang perseorangan secara bersemuka serta melalui dalam talian.

Katanya, dalam lima serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan negeri ini pada 3 Jun, pihak berkuasa memberkas ketua sindiket, iaitu lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan bersama pasangan kekasih warga asing yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah, sejak lapan bulan lalu.

Serbuan pertama di sebuah rumah di Bukit Jalil lebih kurang 5.50 petang yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing serta merampas dadah jenis serbuk MDMA dan cecair jus minuman dipercayai mengandungi dadah, masing-masing seberat 4,656g dan 3,000ml.

“Serbuan kedua di sebuah rumah di Semenyih dan menangkap seorang lelaki tempatan serta merampas serbuk dipercayai dadah jenis MDMA seberat 230g, disusuli serbuan ketiga pada 6.10 petang di Puchong dan menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan serta menemukan dadah jenis ekstasi seberat 966.10g.

“Pada 10.30 malam, polis melakukan serbuan keempat di sebuah rumah di sekitar Kajang dan menahan seorang lelaki tempatan selain merampas 110 katrij vape dipercayai mengandungi dadah seberat 2,880g,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Shah Alam.

Hussein berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di sekitar Kajang dan merampas serbuk MDMA seberat 21,452g, ketamin (4,722g), pil ekstasi (641g), dan pil eramin 5 dengan anggaran berat 1,960g.

Beliau berkata, polis kemudian menahan tiga lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang disyaki terlibat sindiket berkenaan.

“Selain ketua sindiket serta kekasihnya yang tinggal di negara ini sejak 10 tahun lalu, tujuh lagi suspek yang semuanya berusia dalam lingkungan 24 hingga 38 tahun bekerja sebagai peniaga makanan, personal shopper (pembeli-belah peribadi), dan tukang gunting rambut.”

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah lima kereta jenis Proton Preve, Toyota Vios, Hyundai Sonata, BMW 320i dan Honda Civic, barang kemas, jam tangan, beg tangan berjenama LV dan wang tunai pelbagai mata wang dengan nilai sitaan keseluruhan RM341,449.16.

“Kejayaan ini hasil risikan selama dua bulan dan semua suspek direman tujuh hari, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hukuman mati dikekalkan terhadap bekas inspektor dalam kes bunuh

V Anbalagan

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati seorang bekas pegawai penyiasat dalam kes pembunuhan kekasihnya 14 tahun lalu bagi menghantar mesej jelas kepada semua pegawai polis atas keperluan menegakkan undang-undang.

Hakim Wong Kian Kheong berkata semua pegawai dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Seksyen 13 Akta Polis 1967.

“Dengan membunuh si mati, perayu mengkhianati deklarasinya untuk ‘mematuhi, menegak dan mengekalkan’ undang-undang,” katanya sambil menambah mahkamah menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman untuk mengesahkan hukuman itu atas alasan kepentingan awam.

September lalu, panel tiga hakim diketuai Hakim Supang Lian yang bersidang di Kota Kinabalu, menolak rayuan Ahmad Rizal Umar terhadap sabitan dan hukuman kerana membunuh Kartini Borhan, 27.

Panel itu turut terdiri daripada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Rizal yang berpangkat inspektor melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Taman Andika, Keningau, antara 4 dan 5 pagi 29 Sept 2011.

Wong menyampaikan penghakiman bertulisnya setebal 37 muka surat awal minggu ini, membuka laluan kepada Rizal, 43, untuk menggunakan hak rayuan terakhir automatiknya di Mahkamah Persekutuan.

Hakim berkata, Rizal menggunakan kekerasan untuk membunuh Kartini dengan sebilah pisau menyebabkan mangsa mengalami 10 kecederaan, termasuk luka tikaman kedua.

“Selepas pembunuhan itu, dia cuba menyembunyikan kesalahannya dengan mendakwa Kartini dibunuh penyerang yang memecah masuk premis itu untuk merompaknya.

“Lebih teruk lagi, dia berani membuat laporan polis palsu dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan.”

Beliau berkata, Rizal menggunakan latihan polis dan pengalaman kerjanya sebagai pegawai penyiasat untuk menyembunyikan jenayah itu.

Mengikut fakta kes, Rizal berada di pangsapuri sewa Kartini pada hari kejadian, tetapi menjadikan keadaan seolah-olah perompak memecah masuk ke premis itu dan menyerang mereka berdua.

Wong berkata, pakar patologi forensik memberikan bukti Rizal mencederakan dirinya dan tidak konsisten dengan kesan pergelutan agresif dengan perompak.

Motif pembunuhan ialah cinta segi tiga kerana si mati didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Peguam Ram Singh yang dibantu Chen Wen Jye dalam mitigasi terdahulu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebat ke atas Rizal kerana ini kesalahan pertamanya dan dia mempunyai dua anak.

Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari sebaliknya menggesa hukuman mati dikekalkan kerana tertuduh ialah pegawai penguat kuasa yang menyerang mangsanya dengan kejam.

Jumpa kali pertama, artis terus lakukan amang seksual

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor sudah merakam percakapan seorang pelakon dan penyanyi lelaki yang didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang remaja perempuan, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata, siasatan mendapati, suspek baru pertama kali melakukan amang seksual terhadap mangsa yang dikenalinya beberapa bulan lalu.

"(Itu) kali pertama (suspek) bawa mangsa ke hotel, mereka sudah berkenalan dan berhubung dianggarkan dalam satu dua bulan, itu kali pertama mereka jumpa.

"Siasatan mendapati mangsa masih belajar, suspek sudah ditangkap dan percakapan (suspek) sudah dirakam, buat masa ini diberi jaminan polis. Kertas siasatan hampir lengkap dan kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja dan selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan turut mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Pempengaruh media sosial makan mekap meninggal dunia

KOSMO
Guava kerap merasa produk solekan ketika memakainya. - Jam Press
TAIPEI – Seorang pempengaruh media sosial di Taiwan yang popular kerana gemar makan produk solekan didapati  meninggal dunia secara mengejut, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Guava Shuishui atau lebih dikenali sebagai Guava Beauty, meninggal dunia pada 24 Mei lalu pada usia 24 tahun.

Gadis tersebut menghasilkan video mukbang menunjukkan makan barangan kosmetik termasuk gincu, pemerah pipi, topeng muka dan pad kapas sebelum memakai produk tersebut.

“Walaupun kematian ini berlaku secara tiba-tiba, Guava bertahan pada setiap saat yang sukar seperti selalu. Dia bekerja keras, serius dan bersinar.

“Terima kasih kepada semua orang yang menyukai, meninggalkan mesej dan ketawa bersamanya. Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda,” demikian menurut hantaran yang mengumumkan kematiannya.

Dalam salah satu klip video yang disiarkan di media sosial, Guava dilihat menyapu pemerah pipi pada pipinya sebelum mengambil garpu dan makan produk tersebut.

Apabila pengguna media sosial mengkritik tindakannya, Guava berkata, dia meludah kembali produk yang dimakan. – AGENSI

Netizen ‘kerumun’ IG selebriti didakwa kes amang seksual

HELMI ANUAR

PETALING JAYA – Netizen mula membanjiri ruangan komen Instagram (IG) selebriti lelaki yang didakwa terbabit dengan kes amang seksual melibatkan remaja 17 tahun.

Biarpun pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti artis tersebut, namun rata-rata netizen sudah dapat meneka siapa suspek kes tersebut melalui pembayang diberikan netizen.

Menerusi tinjauan Kosmo! Online, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak percaya terhadap perbuatan selebriti yang pernah memenangi anugerah berprestij beberapa tahun lalu.

“Kalau bukan engkau orangnya, kau balas pada satu komen yang kau bukan orangnya. Kalau awak senyap sahaja maknanya memang awak. Sebabnya kami tak percaya yang awak orangnya,” komen netizen.

“Dulu memang minat gila dia ni. Tetapi sejak suka serang orang sana sini sejak dari zaman PKP dengan ayat-ayat ‘cringe’ terus automatik tak suka dengan dia. Memang dah dapat agak kau ni memang ‘red flag’ rupanya. Syaitan pun pening,” komen seorang lagi netizen.

Rata-rata netizen juga berpendapat selebriti itu seharusnya tampil membersihkan namanya sekiranya benar dia bukan individu yang didakwa.

Netizen juga meminta agar penerbit dan pengarah mencari pengganti untuk watak yang bakal dimainkan selebriti tersebut dalam sekuel sebuah filem popular.

Rabu lalu polis mengesahkan menahan seorang selebriti selepas menerima laporan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa mendakwa berkenalan dengan suspek di sebuah kafe di tempat dia bekerja.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792). – KOSMO ONLINE

Gelandangan dipenjara setahun sembunyi wang lebih RM480,000

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki gelandangan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membantu menyembunyikan wang lebih RM300,000 milik seorang pemilik syarikat pelaburan, tahun lalu.

Tertuduh, Marchell Jeff Lee Sin Ket, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Azrul memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan curangnya menolong menyembunyikan wang berjumlah RM314,790 milik wanita berusia 59 tahun yang diketahui bukan miliknya bagi tujuan penipuan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Sentul pada 18 November 2024 hingga 12 Disember 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Saravanan memohon hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan pencegahan dengan mengambil kira kekerapan penipuan berlaku sekarang.

Bagaimanapun, Marchell yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan berikutan ketika ini dia sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan sama.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Hamidah Mat Deril menjatuhi hukuman penjara lapan bulan ke atas Marchell yang mengaku mengalih atau menyembunyikan wang RM173,000 milik wanita berusia 49 tahun pada 7 November 2024 hingga 9 Disember 2024 di sebuah unit kondominium di Sentul, di sini.

Hamidah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pengadu sebagai eksekutif akaun syarikat produk kesihatan melayari Facebook dan melihat iklan pelaburan saham dari syarikat Malaysia daripada akaun Vip Pelaburan Group.

Wanita itu membuat pendaftaran dan menyertai pelaburan itu sebelum melakukan 10 transaksi secara berperingkat ke dalam satu akaun bank yang sama atas nama Marchell Jeff Interior Design Haus Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan RM173,000.

Pengadu mengaku ditipu apabila tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali menawarkan wang sebanyak sekiranya membuka syarikat dan bank akaun.

Selepas pemilihan PKR: Orang kalah juga dicari-cari

Hishamuddin Aun

Rafizi Ramli juga terus ditagih khidmat dan pertolongannya.

Mengumumkan beliau sudah mempunyai ‘rancangan’ selepas kekalahannya dalam pemilihan timbalan presiden PKR pada 23 Mei lalu, Rafizi Ramli mungkin sedang menikmati detik-detik terbaik dalam kerjaya politiknya.

Jarang orang yang kalah jadi tumpuan lebih daripada orang mengalahkannya tapi Rafizi — kalah teruk kepada Nurul Izzah Anwar dengan 3,866 undi berbanding 9,803 undi dalam pertandingan satu lawan satu itu — terus menjadi orang yang dicari-cari.

Disangka dan diharapkan keadaan akan segera kembali reda selepas pemilihan selesai, polemik mengenainya sebaliknya berterusan dengan penyokong kedua-dua kem Rafizi dan Nurul Izzah memilih media sosial untuk meneruskan perbalahan.

Kem Rafizi dikatakan tidak dapat menerima kekalahan dan tidak mampu berganjak daripada keputusan berkenaan sambil mereka pula menjawabnya sebagai kem lawan kini terdesak tanpa boleh mengelakkan pergantungan kepada Ahli Parlimen Pandan itu.

Tanpa jawatan tinggi dalam parti, Rafizi, 47, bebas mengatur pergerakan sendiri tanpa terikat dengan tanggungjawab dan arahan khusus parti selepas turut mengumumkan peletakan jawatan selaku menteri ekonomi pada 28 Mei yang akan berkuat kuasa 17 Jun ini — membuktikan dirinya seorang yang berprinsip.

Ini mengotakan janjinya seperti kerap diulangi dalam lapan peringkat kempen Jelajah Hiruk — bermula di peringkat Negeri Sembilan dan Melaka pada 11 Mei dan berakhir di Johor Bahru pada 20 Mei — bahawa jika kalah seperti dijangkakannya dari awal kerana perwakilan tiada pilihan kecuali mengundi puteri sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tangannya tidak lagi akan terikat dan mulutnya tidak mampu ditutup.

Ketika dalam tempoh bercuti menjelang tarikh berkuat kuasa pengundurannya daripada Jemaah Menteri, Rafizi sudah menampilkan diri dengan peranan ‘semak dan imbang’ dalam parti seperti tegurannya mengenai ura-ura kemasukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dalam PKR.

Berbanding sikap membisunya terhadap lanjutan kali ketiga untuk kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki di bawah kerajaan Madani kerana mematuhi etika sebagai anggota Kabinet, Rafizi tidak berdiam diri mengenai Tengku Zafrul yang mengumumkan keluar dari Umno pada 30 Mei.

Peralihan Tengku Zafrul daripada Umno ke PKR diingatkannya berpotensi mencetus gelombang politik yang sukar dikawal oleh kerajaan perpaduan, apatah lagi perjanjian antara komponennya tidak mengandungi peruntukan jelas mengenai sama ada parti-parti dalam gabungan itu boleh menerima ahli daripada parti lain.

“Pandangan Umno adalah dari perspektif bahawa untuk kita mengekalkan harmoni sesama parti di dalam kerajaan perpaduan, perkara itu sepatutnya dielakkan kerana dia membuka pintu yang susah kita nak jangka. Kalau seorang ahli Umno menyertai PKR, di mana kita nak letakkan sempadannya?” soanya.

Tapi bukan perkara itu yang diriuhkan oleh penyokongnya di media sosial, sebaliknya pendedahan Rafizi Ahad lalu bahawa Izzah menawarkan jawatan timbalan presiden kedua secara lantikan kepadanya.

Kebetulan itu adalah kali kedua Izzah memohon pertolongan daripadanya setelah didakwa berbuat yang sama dalam pertemuan di kediaman Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail pada 20 Mei — tiga hari sebelum pemilihan.

“Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Mei. Ahad lalu pula, Rafizi mendedahkan Nurul Izzah menawarkan jawatan timbalan presiden kedua kepadanya.

“Nurul Izzah masa dia jumpa saya, dia cuba nak bawa (cadangan) kalau ada timbalan presiden dilantik, saya timbalan presiden (dilantik). Kalau presiden dilantik pun saya tidak berminat apatah lagi apa-apa jawatan kerana ia bukan soal jawatan tetapi ia soal mesej dan juga perjuangan yang kita nak bawa,” katanya.

Keesokannya Nurul Izzah enggan mengesah atau menafikan dakwaan bahawa dia menawarkan jawatan timbalan presiden lantikan kepada Rafizi, sebaliknya menegaskan sesuatu perkara yang dibincangkan secara peribadi antara rakan sepatutnya kekal sulit kerana niatnya ikhlas mahu membina jambatan dalam parti.

Ketua PKR Mas Gading, Sarawak, Daniel Jani, adalah antara yang lantang membantah tawaran daripada Nurul Izzah itu yang dianggap hanya memperbodohkan ahli-ahli PKR.

“Kalau ini yang Nurul Izzah dan parti nak bagi kat Rafizi, kenapa kamu orang buat bodoh? Dulu sepatutnya tak payah lawan Rafizi, kita kuatkan parti dengan meletakkan Nurul Izzah terus saja kepada jawatan timbalan presiden lantikan dan tidak berlaku kekecohan.

“Jadi hari itu tak payah buat pemilihan, membazir duit, membuat porak-peranda parti, menyusahkan akar umbi dan akhirnya cabang-cabang yang baru nak buat kerja, termasuk persiapan untuk pilihan raya, tiba-tiba ketua cabang bertukar. Akhirnya banyaklah ketua cabang baru nak buat kerja.”

Jani bagaimanapun menjangkakan Rafizi tidak akan mudah ‘dibeli’ dengan jawatan kerana bukan itu matlamatnya dalam perjuangan reformasi yang menyaksikan PKR meningkat daripada parti derita yang tiada apa-apa hingga menjadi tunjang kerajaan perpaduan.

“Kalau Rafizi terima jawatan ini, ia umpama bodohkan Rafizi sendiri dan bodohkan semua ahli PKR. (Sekarang) banyaklah yang merapu kat sini (media sosial), suruh ‘move on’ lah tapi ini dah jadi cerita lawak sebenarnya.

“Macam mana kau (Nurul Izzah) jatuhkan Rafizi, lepas tu kau pergi buat jawatan jadi dua (timbalan presiden). Buat apa nak lantik Rafizi yang akar umbi dah tolak. Tolak Rafizi lepas tu kau buat jawatan lantikan, ia akan diketawakan oleh orang parti sendiri, terutama oleh ketua-ketua cabang yang selama ini tak menyokong dia.

“Jangan buat macam tu dengan Rafizi. Nanti orang kata tengok Rafizi ni, jawatan macam ini dalam parti janji timbalan presiden dia pun terima. Gila jawatan Rafizi ni orang kata. Naya kat dia,” katanya lagi.

Apa pun, cadangan Izzah mahu melantik timbalan presiden kedua PKR dikritik penganalisis politik yang menyatakan ia bukan saja tidak mempunyai keabsahan, malah mendalamkan lagi jurang perpecahan dalam parti.

Hairan kerana orang yang kalah pemilihan terus dicari-cari untuk didapatkan khidmat dan pertolongannya pada ketika Rafizi kini bebas dan tidak terikat untuk menentukan hala tujunya sendiri sambil PKR dilihat lebih memerlukan beliau, bukan sebaliknya.

Lagi kes kanak-kanak maut jatuh bangunan

Kanak-kanak usia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 30

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari balkoni kediaman bertingkat itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 11.17 pagi.

"Individu itu memaklumkan seorang kanak-kanak terjatuh dari bangunan di perumahan berkenaan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini, malam ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Proses bedah siasat akan dilakukan esok," katanya.

Polis tahan warga asing cabul wanita di P Pinang

Bernama
GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes cabul seorang wanita tempatan di kawasan letak kenderaan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Isnin lepas.

Ketua Polis Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata wanita berusia 38 tahun berkenaan membuat laporan berkaitan kes itu pada 12.45 tengah malam, Selasa lepas.

“Pihak polis mendapati video berkaitan kejadian tular sejak 1 tengah hari tadi dan berdasarkan siasatan, mangsa didapati membuat laporan kira-kira sejam setengah selepas insiden cabul itu.

“Lelaki warga asing berusia 24 tahun itu juga telah ditangkap oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rozak berkata lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menangkap lelaki itu.

Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 10 saat memaparkan beberapa individu menangkap seorang lelaki warga asing yang didakwa mencabul seorang wanita yang sedang berjalan di kawasan parkir di sebuah pangsapuri.

Pensyarah ditangkap sebilik dengan pelajar

KOSMO!
Liu ditangkap curang oleh suaminya sendiri. - Sanook
BEIJING – Seorang lelaki di wilayah Zhejiang kecewa apabila menangkap isterinya curang dengan pelajar wanita itu sendiri di sebuah bilik hotel, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Dalam sebuah video tular di media sosial, lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu pada awalnya mengekori kereta isterinya, Liu.

Liu yang merupakan pensyarah sebuah universiti didapati memandu ke sebuah hotel bersama seorang pelajar lelaki.

Selepas beberapa jam menunggu di dalam kereta, si suami pergi ke kaunter penyambut tetamu dan bertanyakan nombor bilik isterinya.

Meskipun keberatan untuk memberikan maklumat tersebut, pekerja hotel akhirnya memberikan nombor bilik Liu selepas suaminya menjelaskan keadaan sebenar.

Sejurus menekan loceng bilik, lelaki tersebut terkejut apabila melihat si isteri berdua-duaan di dalam bilik dengan pelajarnya sendiri.

“Saya segera merakam kejadian itu. Saya benar-benar kecewa dan marah,” katanya.

Lelaki itu turut meminta salinan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) daripada pihak hotel sebelum dia melihat video isterinya dan pelajar tersebut keluar dari lif dalam keadaan mesra.

Susulan kejadian itu, lelaki tersebut membuat laporan kepada pihak universiti dan mengancam akan membawa perkara itu ke mahkamah jika tindakan tegas tidak diambil ke atas isteri dan pelajar berkenaan. – AGENSI

Hasrat ingin berkawan ditolak berkali-kali punca pempengaruh Pakistan ditembak

Agensi
Sana Yousaf. - FOTO Agensi
Sana Yousaf. - FOTO Agensi
Islamabad: Hasrat ingin berkawan ditolak berkali-kali dipercayai menjadi punca pempengaruh media sosial Pakistan, Sana Yousaf, ditembak mati di rumahnya, 2 Jun lalu.

Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki menembak gadis berkenaan di rumahnya, dalam kejadian yang berlaku di hadapan mata ibu dan ibu saudaranya.

Portal NDTV melaporkan polis Islamabad sudah menahan suspek utama, Umar Hayat berusia 22 tahun yang juga seorang penduduk Faisalabad pada Isnin.

Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi dalam satu sidang media memaklumkan bahawa Hayat ingin menjadi kawan kepada Sana dan berulang kali cuba berhubung dengannya tetapi mangsa menolak.

Pada hari kejadian, Umar Hayat cuba berjumpa dengan Sana selama beberapa jam tetapi gagal.

Selepas ditolak berkali-kali dan tidak mendapat sebarang respon, dia memecah masuk ke rumah mangsa dan menembaknya, kata polis.

"Pertama, ia adalah penolakan melalui telefon. Kini, ia menjadi penolakan secara fizikal," kata Rizvi.

Laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa menyatakan bahawa penembak menceroboh masuk dengan sepucuk pistol sekitar jam 5 petang (waktu tempatan) dan menembak remaja berusia 17 tahun itu pada jarak dekat.

Dua peluru mengenai bahagian dadanya dan Sana dikejarkan ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan.

Menurut polis, Umar Hayat hanya menamatkan pendidikan setakat peringkat menengah dan berasal dari latar belakang keluarga berpendapatan sederhana rendah.

Pihak penyiasat percaya dia mengambil telefon bimbit Sana selepas kejadian, berkemungkinan untuk menghapuskan bukti.

"Terdapat usaha untuk mengubah arah siasatan dan tujuan mengambil telefon itu adalah untuk menghapuskan petunjuk," katanya.

Kedua-dua telefon bimbit dan senjata pembunuhan berjaya ditemui semula.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi mengesahkan di X bahawa tertuduh mengaku melakukan pembunuhan itu dan senjata sudah ditemui.

Sebelum ini, laporan awal mendakwa tembakan itu dilakukan oleh saudara atau tetamu dan ia mungkin berkait dengan kes 'pembunuhan kehormat'. Namun, polis segera menolak kemungkinan itu.

"Ia adalah kes pembunuhan tanpa petunjuk, tiada bukti awal dan semuanya kabur," kata Rizvi sambil menyifatkan siasatan itu sebagai 'sangat mencabar'.

Beliau memaklumkan suspek berjaya ditahan selepas beberapa operasi pencarian dilakukan di Islamabad dan bandar-bandar lain.

KJ tolak spekulasi sertai Kabinet, ‘Saya sedang nikmati kehidupan baik’, katanya

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menolak spekulasi penyertaannya ke Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil mengatakan tidak ada sebab untuknya meninggalkan kehidupan sekarang.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran produk hari ini, bekas menteri kesihatan itu berkata dia sedang ‘menikmati kehidupan yang baik’ sekarang.

“Kenapa saya nak tinggalkan ini?” katanya.

Spekulasi mengenai kemungkinan pelantikan Khairy dalam Kabinet timbul berikutan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri.

Pada Feb, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Khairy dipecat daripada Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

‘Top 2’ PAS: Majlis syura tak perlu tentukan dasar latar belakang calon, kata Mursyidul am PAS

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Mursyidul am PAS berkata tidak ada keperluan untuk majlis syura ulama parti menentukan dasar mengenai latar belakang calon bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Ini kerana dalam pertandingan terbuka sekarang, individu-individu yang terpilih juga berlatarbelakangkan agama lantaran kecenderungan dalam kalangan ahli PAS, kata Hashim Jasin.

Bahkan, Hashim akui beliau antara yang terawal menyokong seruan supaya jawatan presiden dan timbalannya terus diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama.

“Perkara ini tidak penting sehingga syura kena menentukan mesti berdasarkan orang-orang agama untuk dipilih,” katanya kepada FMT.

“Kita buka luas kerana dalam PAS ini jawatan bukan rebutan,” tambahnya, menarik perhatian kepada ketiadaan kempen dalam kalangan calon sekalipun berlaku pertembungan.

“Semua orang tahu. Daripada dulu lagi. Berlaku pertembungan atau pertandingan tak ada kempen pun. Yang terbuka dipilih juga berlatarbelakangkan agama. Tak perlu syura menentukan dasar itu.”

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, mencadangkan calon presiden dan timbalan presiden parti ditapis majlis syura ulama, untuk mengawal kualiti kelayakan bagi pemegang jawatan.

Cadangan itu di sebalik spekulasi jawatan presiden dan timbalan presiden PAS mungkin dipertandingkan buat kali pertama dalam pemilihan dijangka September ini.

Majlis syura tersebut diketuai oleh Hashim sendiri, dan turut dianggotai oleh penyandang jawatan presiden, Hadi Awang, dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam pada itu, Hashim berkata beliau sukacita melihat budaya pemilihan dalam PAS kerana tidak ada perebutan ‘seperti parti lain’.

“Kerana itu tak jadi masalah. Tak perlu syura campur tangan sehingga terpaksa ambil satu dasar tentukan presiden dan timbalan mesti daripada berlatar ulama dan agamawan.”

Pada 22 Mei lalu, Naib Presiden Amar Abdullah menyeru kepimpinan tertinggi PAS khususnya jawatan presiden dan timbalan wajar terus diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama, bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam dalam parti itu.

“Saya sokong pandangan ini,” tegas Hashim kepada FMT, bagi menjamin dasar-dasar parti ‘tidak terkeluar daripada agama’.

33 cedera bas kilang terbalik

FMT Reporters

Lapan mangsa dibawa ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang.
Bas kilang membawa 44 pekerja warga asing terbabas dan terbalik dalam kejadian di Bandar Baru Bangi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seramai 33 pekerja warga asing cedera susulan bas kilang dinaiki terbabas dan terbalik, dalam kejadian di Jalan P/6 Seksyen 13, Bandar Baru Bangi, pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan 6.59 pagi dan tiba di lokasi 7.05 pagi.

Katanya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba Kajang dan Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba mendapati bas kilang membawa 44 pekerja warga asing terbabas dan terbalik.

“Seramai 33 mangsa mengalami cedera ringan dan lapan orang daripadanya telah dibawa ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, selebihnya diberi rawatan di lokasi kejadian, sementara 11 lagi mangsa selamat.

Pasangan kekasih dihukum sebat 100 kali di khalayak ramai kerana berzina

Buletin TV3 
Pegawai penguatkuasa undang-undang memeriksa rotan yang digunakan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak umum di Banda Aceh hari ini – Foto AFP
ACEH: Sepasang kekasih dijatuhi hukuman 100 kali sebatan selepas mahkamah syariah Banda Aceh mendapati kedua-duanya bersalah melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan, mengikut undang-undang syariah yang dikuatkuasakan di wilayah itu.

Hukuman dilaksanakan di khalayak umum oleh Jaksa Eksekutor Kejaksaan Negeri (KEJARI) Banda Aceh, di Taman Bustanussalatin.

Kedua-duanya ditangkap di sebuah rumah kawasan Kecamatan Baiturrahman.

Sementara itu tiga individu lain disebat 49 kali atas kesalahan berjudi dan mengambil minuman keras.

Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam secara rasmi selepas diberikan autonomi khas pada tahun 2001.

Kesalahan seperti zina, meminum arak, dan berjudi boleh dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai.

Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa’aduddin Djamal berkata, hukuman sebat itu bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat serta membuka ruang taubat kepada pesalah.

Meskipun dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia, sebatan di khalayak awam masih mendapat sokongan kuat dalam kalangan penduduk Aceh.

Menjelang Muktamar Pas: Ada suara yang cuba menutup pintu perubahan

Pintu perubahan yang cuba ditutup menjelang Muktamar Pas

Harapandaily

LOKMAN NOOR ADAM

Suara untuk kekalkan Uztaz Abdul Hadi Awang dan kepimpinan tertinggi Pas pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 September ini dilihat semakin rancak disusun dikala terdapatnya suara-suara “perubahan” diperingkat akar umbi dalam parti Pas itu sendiri.

Dulu bila perwakilan Perhimpunan Agong Umno mengundi agar Jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan, teruk Umno dikecam puak Pas.

Di dalam hal ini, kumpulan yang inginkan “perubahan” dalam kepimpinan tertinggi pada September nanti telah mula di downgred dan ada yang telah diberikan label tertentu.

Selagi boleh menunggang, selagi itulah skill tunggangan dijadikan sandaran untuk pertahankan kuasa atau jawatan. Kali ini kumpulan yang inginkan “perubahan” telah dilabel sebagai “Kumpulan Pro-DAP” (ini bermaksud, selain UMDAP, mereka juga telah akui ada juga PasDAP dalam Pas).

Malah lebih buruk dari itu, mereka yang inginkan
“perubahan” ini juga telah dituduh “mengganggu kepimpinan ulama” dan diberikan gelaran sebagai “syaitan-syaitan di kalangan manusia dan jin”. (ini pelik, boleh pula kesan syaitan-syaitan bila tiba waktu pemilihan. Sebelum pemilihan, batang tubuh syaitan pun mereka tidak nampak);

Terkini, Naib Presiden Pas iaitu Ustaz Mohd Amar telah memberikan bayangan atau “hint” bahawa kepimpinan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden harus dikekalkan. Beliau juga berkata, jika Presiden ingin berundur sekalipun, tidak perlu ada pertandingan, sebaliknya posisi tersebut digantikan dengan Timbalan Presiden sahaja.

Usaha untuk mengekang “perubahan” pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 akan datang ini bukan sahaja melibatkan usaha mengekalkan kepimpinan sedia ada, tetapi ia juga melibatkan usaha untuk merangka atau menentukan “cai” (list) kumpulan “anti perubahan” (geng-geng Presiden) menang pemilihan Pas.

Kepentingan penentuan “cai” (list) ini jelas kelihatan apabila Ustaz Mohd Amar menyeru Pas “menyusun” keanggotaan di peringkat ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu sendiri supaya (kononnya) semua kebolehan yang ada iaitu tokoh agamawan, profesional dan teknokrat dapat digabungkan.

Persoalannya sekarang, jika bukan “cai”, siapakah pihak yang dimaksudkan oleh Ustaz Mohd Amar Abdullah untuk “menyusun” keanggotaan di peringkat ahli Jawatankuasa Pas Pusat ini?.

Bukankah lebih baik beliau menggalakkan “pertandingan terbuka” kepada semua ahli dari meminta untuk “menyusun” (menentukan “cai”) pada pemilihan akan datang;

Kesimpulannya, kalau mereka yang inginkan “perubahan” boleh digelar sebagai “mengganggu kepimpinan ulama” dan dilabelkan sebagai “syaitan-syaitan dikalangan manusia dan jin”, bagaimana pula pemimpin Pas yang tidak ingin mendengar suara perwakilan di kalangan akar umbi?

Bila cakap pasal parti lain, bukan main hebat mereka ulas. Bila ada usaha hendak tukar kepimpinan tertinggi parti atau puak mereka, semua disyaitankan. Kesian Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang mengidam hendak bertanding.

Sia-sia depa khianat Umno dan lompat parti kalau nama tiada dalam cai, payahlah mereka nak menang. Lebih malang, mungkin merekapun digelar “syaitan” nanti walaupun mereka penat berusaha nak jadi lebai.

Berang ditegur, lelaki pukul isteri guna gitar elektrik

Buletin TV3 

TAWAU: Berang ditegur isteri, seorang lelaki disyaki ‘lalok’ dadah bertindak memukul dan mengugut wanita itu menggunakan gitar elektrik serta gunting dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.13 malam itu, suspek berusia 44 tahun dikatakan naik angin selepas isterinya berusia 36 tahun menegurnya kerana mengesyaki dia mengambil syabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan, suspek bertindak memukul mangsa di bahagian bahu kanan menggunakan gitar elektrik, sebelum mengacukan gunting sambil mengugut mahu menikam wanita berkenaan beberapa kali.

Menurutnya lagi, suspek turut bertindak membocorkan keempat-empat tayar kereta milik isterinya bagi menghalang wanita itu daripada keluar membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pihak polis, suspek berjaya diberkas berhampiran kediaman mereka kira-kira 11.35 malam susulan laporan yang dibuat mangsa,” ujarnya menerusi kenyataan.

Jasmin berkata, polis turut merampas gitar elektrik dan gunting yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah,” menurutnya lagi.

Selebriti kenal mangsa di kafe tiga bulan sebelum ajak pergi hotel

HARRITH HISHAM

PETALING JAYA – Seorang selebriti yang didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap seorang remaja perempuan dipercayai berkenalan di sebuah kafe tempat mangsa bekerja sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 1.57 tengah hari, kelmarin, mendakwa anaknya yang berusia 17 tahun telah dicabul oleh seorang selebriti tempatan.

“Suspek dikatakan telah mengajak mangsa berjumpa di sebuah hotel di sini dan melakukan amang seksual ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, suspek telah ditahan pada pukul 2.54 petang semalam bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa mohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – KOSMO! ONLINE

Pelakon yang juga penyanyi terkenal disyaki amang seksual remaja ditahan

FMT Reporters

Petaling Jaya: Seorang pelakon lelaki yang juga penyanyi terkenal ditahan polis semalam kerana disyaki melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata mangsa berkenalan dengan artis itu di sebuah kafe tempatnya bekerja, lapor Harian Metro.

Katanya, selepas pertemuan itu mereka bertemu beberapa kali sebelum suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah hotel.

“Ketika dalam pertemuan itu suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal kepada mangsa.

“Suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Siti Kamsiah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Peningkatan mendadak penerima darjah kebesaran, cetuskan persoalan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, khususnya mengenai darjah kebesaran bukan untuk dibeli atau dilobi, disifatkan sebagai peringatan tepat pada masanya dalam usaha mengekalkan integriti dan kredibiliti sistem penganugerahan negara.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata penganugerahan darjah kebesaran terutama yang membawa gelaran Datuk serta Tan Sri, bukan sekadar satu bentuk penghormatan tetapi juga membawa bersama tanggungjawab moral dan sosial yang besar kepada masyarakat.

Beliau berkata, kebelakangan ini memang terdapat trend melobi bagi mendapatkan gelaran itu, malah ada yang menyalahgunakan gelaran berkenaan untuk kepentingan tertentu.

"Sebab itu, titah Yang di-Pertuan Agong sangat bertepatan pada masanya... (penganugerahan) datang bukan semata-mata sebagai satu anugerah, tetapi datang dengan rasa tanggungjawab yang perlu dipertahankan sebagai seorang warganegara.

"Malah jika kita lihat, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa penerima harus berasa bangga kerana mereka merupakan insan terpilih berdasarkan perincian kriteria yang ditentukan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, semalam, menegaskan penganugerahan darjah kebesaran, bintang serta pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, walaupun kerajaan telah menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.

Sivamurugan menjelaskan bahawa dari sudut sosiobudaya, rakyat Malaysia secara tradisinya meletakkan nilai tinggi terhadap gelaran darjah kebesaran.

Namun apabila jumlah penerima meningkat secara mendadak, beliau berkata, timbul persoalan mengenai kelayakan dan ketulenan anugerah yang dikurniakan.

"Dahulu, penerima sangat sedikit dan benar-benar dihormati tetapi kini apabila terlalu ramai menerima, ada yang mula mempertikaikan kelayakan. Bahkan, ada kes penerima merupakan individu bermasalah," katanya.

Menyentuh soal ketelusan, beliau berkata, sistem sedia ada telah merangkumi pelbagai tapisan penilaian, termasuk saringan latar belakang calon penerima oleh jawatankuasa khas dan semakan rekod oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Namun, sistem ini boleh diperhalusi dan diperkemaskan. Saringan perlu dilakukan bukan sekadar pada rekod jenayah atau salah laku, tetapi juga menilai kelayakan moral dan sumbangan sebenar calon," katanya.

Senada dengan Sivamurugan, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata sistem penganugerahan negara harus kekal bersih daripada sebarang bentuk tekanan, lobi atau kepentingan peribadi.

"Saya bersetuju dan menyokong titah Seri Paduka. Ia peringatan penting mengenai nilai dan integriti sistem anugerah negara kita.

"Anugerah seperti ini seharusnya diberikan kepada individu yang benar-benar telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat, negara serta pembangunan dalam pelbagai bidang sama ada sektor awam, swasta, sosial mahupun sukarela," katanya.

Beliau berkata, darjah kebesaran mempunyai nilai simbolik sangat tinggi dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, yang mencerminkan penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan seseorang individu.

"Dalam masyarakat yang menjunjung adat dan hierarki, anugerah ini dilihat sebagai puncak pengiktirafan sosial dan status. Justeru, ia membawa makna besar, bukan sekadar lambang tetapi juga pengesahan pencapaian," katanya.

Mujibu berkata, garis panduan awam yang telus dan mudah difahami akan membantu mengurangkan salah faham serta persepsi negatif masyarakat terhadap sistem penganugerahan negara.

Katanya, garis panduan itu akan menambah kredibiliti sistem sedia ada, selain dapat menjadi motivasi kepada rakyat untuk terus menyumbang kepada negara dengan mengetahui bahawa sumbangan mereka boleh diiktiraf secara adil dan terbuka.

Anggota tentera ditahan tayang gambar berseragam dalam kelab malam

Nur Syafiqah Mohd Jemmi
Untitled-design-10-e1749009577538-681x524
Tindakan seorang anggota tentera yang menayangkan gambarnya dalam pakaian seragam rasmi di sebuah kelab malam di ibu negara mengundang perhatian ramai selepas rakaman insiden itu tular di TikTok. Ihsan Foto : Tular
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang anggota tentera yang menayangkan gambarnya dengan pakaian seragam di sebuah kelab malam, di sini, mengundang perhatian ramai selepas ia tular di TikTok.

Gambar berkenaan dipercayai memaparkan latar belakang logo Kor Jurutera dan dipaparkan menerusi skrin utama premis hiburan tersebut.

Menurut sumber, hasil siasatan pihak berkuasa telah mengenal pasti individu yang berpangkat prebet daripada pasukan 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kem Desa Pahlawan, Kelantan.

Difahamkan, ketika kejadian, anggota tersebut sedang mengikuti Kursus Jurutera Tempur Kelas 1 di Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM).

Gambar berkenaan dikesan kira-kira jam 8.00 malam pada 2 Jun lalu sebelum pihak Cawangan Provo Kor (CPK) Kluang berjaya mengesan dan menahan anggota tersebut pada jam 11 malam hari sama, di hadapan bangunan Cawangan Hal Ehwal Penuntut (CHEP), IKEM.

Anggota terbabit kemudiannya dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut.

Sumber turut menambah, tayangan gambar tersebut dibuat sempena ulang tahun perkenalan bersama pasangannya, seorang lelaki yang telah menukar jantina kepada perempuan.

Siasatan juga mengesahkan bahawa anggota berkenaan berada dalam cuti hujung minggu yang bermula dari 30 Mei hingga 2 Jun 2025.

Dalam proses siasatan, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Ungkit kisah lama punca suami kelar isteri

Buletin TV3 

TANGKAK: Ungkit-mengungkit kisah lama dipercayai punca yang membawa kepada pembunuhan seorang wanita dengan lehernya dikelar menggunakan pisau pemotong sayur, petang Isnin lalu.

Difahamkan, lelaki terbabit dipercayai bengang sebelum tercetus pergaduhan dengan isterinya yang kemudiannya membawa kepada kematian tragis.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati, motif kejadian pembunuhan berlaku lebih kepada masalah keluarga.

Katanya, pada masa sama, suspek turut memiliki rekod lampau mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada 2017 dan dijatuhi hukuman denda RM1,800.

“Setakat ini, polis masih belum merekodkan keterangan saksi kejadian dan maklumat lanjut akan dikongsi sebaik keputusan bedah siasat diperoleh.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam kejadian semalam, lelaki terbabit yang juga penganggur disyaki mengelar leher isterinya hingga mati dan membakar empat kenderaan di rumah mentuanya.

Bekas timbalan MB Kelantan mengakui selama ini PAS tiada pelan dan hala tuju semasa jadi kerajaan

Yakin PRU16 tahun depan, Mohd Amar kritik ulama Pas tapi puji DAP

Harapandaily

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berpendapat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berlangsung pada tahun depan.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berkata, Dewan Ulama Pas berperanan besar jika pembangkang menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Itulah sebabnya saya sering ulang dan saya masih pegang pendirian ini bahawa tahun 2026 ialah tahun pilihan raya umum.

“Tarikhnya mungkin awal, pertengahan atau hujung tahun. Tetapi ia tetap tahun yang kritikal.

“Maka kalau Allah takdirkan kita menang, apa yang kita hendak buat? Apa satu perkara utama yang akan kita laksanakan?

“Kita tidak boleh lagi masuk ke Putrajaya tanpa pelan. Dan di sinilah peranan besar Dewan Ulama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Naib Presiden Pas berkenaan berkata, Dewan Ulama bukan sekadar tempat rujuk fatwa tetapi perlu menjadi badan pemikir gerakan Islam.

“Mereka mesti tampil bukan hanya menjawab hukum, tetapi merangka dasar negara.

“Malangnya, kadang-kadang kita masih terkepung dalam pendekatan lama. Ulama hanya dilihat sebagai guru fardhu ain,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd Amar memuji DAP yang disifatkan mempunyai pelan apabila berada dalam kerajaan.

“Kita (Pas) mengkritik pihak lawan, kritik DAP, tetapi mereka datang dengan pelan.

“Dua kali DAP memerintah, mereka tidak banyak bercakap. Mereka terus buat. Kerana mereka sudah bersedia.

“Kita pula bila masuk kerajaan, debat panjang tentang warna kasut sekolah. Tahun demi tahun berlalu, tapi tiada hala tuju yang jelas,” akuinya lagi.

Kelantan: Kes rogol, curi naik ketara di Kelantan

Bernama

KOTA BHARU: Jenayah indeks di Kelantan mencatat peningkatan sebanyak 15.1% sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata sebanyak 2,296 kes direkodkan pada 2024, berbanding 1,994 kes bagi tempoh sama pada 2023 iaitu peningkatan 302 kes.

“Daripada jumlah itu, jenayah dalam kategori kekerasan meningkat 8.5% iaitu daripada 390 kepada 423 kes, manakala kategori harta-benda meningkat 16.7%, daripada 1,604 kepada 1,872 kes.

“Antara kes kekerasan yang menunjukkan peningkatan ketara ialah rogol yang naik kepada 157 kes berbanding 130 kes tahun sebelumnya (naik 20.7%), serta samun berkawan tanpa senjata api yang meningkat kepada 54 kes berbanding 43 kes (naik 25.6%),” katanya semasa menghadiri program perbincangan dialog awam ketua polis kelantan tahun 2025 bertajuk ‘Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan’ di Universiti Malaysia Kelantan.

Yusoff berkata, kes mencederakan turut menunjukkan peningkatan, dengan 157 kes berbanding 147 tahun lepas (naik 6.8%).

Bagaimanapun, beberapa kes kekerasan mencatat penurunan ketara termasuk kes bunuh yang menurun kepada empat kes berbanding sembilan kes (turun 55.6%) dan samun bersenjata api yang turun kepada dua kes berbanding lima kes (turun 60%).

Sementara itu, dalam kategori harta-benda, curi kekal penyumbang utama dengan 732 kes dilaporkan, meningkat 50.9% berbanding 485 kes tahun sebelumnya.

“Kes pecah rumah turut melonjak kepada 628 kes, meningkat 41.7% berbanding 443 kes pada 2023. Kes curi motokar juga naik kepada 12 kes berbanding sembilan tahun lepas (naik 23.3%).

“Bagaimanapun, curi motosikal menunjukkan penurunan ketara, daripada 128 kes kepada 68 kes (turun 46.9%),” katanya.

Maut ditikam selepas meninggalkan komen jelik di TikTok

KOSMO
Suspek ditahan selepas menikam seorang lelaki yang meninggalkan komen di siaran langsung kekasihnya. - Detik
JAKARTA – Seorang lelaki di Banyuwangi, wilayah Jawa Timur maut ditikam hanya kerana meninggalkan komen menghina semasa penstriman langsung (live) di platform TikTok, lapor portal berita Detik semalam. 

Suspek bernama Kuncoro Dedi S, 22, menikam mangsa dikenali sebagai Wiryadianto, 20, sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) di daerah Cluring pada  31 Mei lalu. 

Siasatan awal mendapati mangsa meninggalkan komen jelek semasa siaran langsung TikTok milik teman wanita suspek dikenali sebagai SW. 

Kuncoro kemudian meminta Wiryadianto datang ke rumah kekasihnya untuk mendapatkan penjelasan. 

Pertemuan itu bertukar tragedi apabila suspek tiba-tiba menendang lalu menikam dada mangsa.

“Dia cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke tepi jalan. Kami menemui kesan luka dalam pada dada kiri mangsa. 

“Polis masih giat menjalankan siasatan sama ada terdapat niat membunuh atau disebabkan pengaruh bawah alkohol,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polisi Banyuwangi, Komisioner Komang Yogi Arya Wiguna. – AGENSI

Pemandu terlelap, bas ekspres terbabas ke dalam longkang

FMT Reporters

Tiga penumpang cedera ringan, manakala pemandu bas dan 22 penumpang lain tidak cedera.
Sebuah bas ekspres membawa 25 penumpang dari Pulau Pinang menuju ke TBS Kuala Lumpur terbabas ke dalam longkang di KM342.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan hari ini. (Gambar IPD Tapah)
PETALING JAYA: Sebuah bas ekspres membawa 25 penumpang terbabas ke dalam longkang di KM342.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan hari ini, dipercayai kerana pemandunya terlelap.

Ketua Polis Tapah Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1 tengah hari tadi, membabitkan bas dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan mendapati pemandu bas itu hilang kawalan kerana mengantuk (micro-sleep),” katanya, lapor Bernama.

“Bas tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan, belakang, kiri serta kanan selepas terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri di lokasi kejadian.”

Johari berkata, pemandu berusia 31 tahun itu bersama 25 penumpang bas lain berjaya keluar daripada bas dengan bantuan orang awam.

Tiga penumpang yang cedera ringan dirawat di Hospital Slim River, manakala pemandu bas dan 22 penumpang lain tidak cedera.

Menurut Johari, siasatan lanjut mendapati pemandu bas itu negatif dadah dan insurans bas itu masih sah hingga Mac tahun depan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menyebabkan kecederaan ringan,” kata Johari menambah, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Lelaki warga Taiwan maut terjatuh di landasan LRT

Bernama

Seorang lelaki warga Taiwan maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 6.05 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di lokasi, terdapat seorang lelaki lingkungan umur 60 tahun berada di bawah LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata operasi mengeluarkan mangsa sedang dijalankan melibatkan tujuh anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender.

-Bernama

Suami kelar isteri cuba bakar rumah mentua

FARAHWAHIDA AHMAD

TANGKAK – Seorang isteri mati dipercayai dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Dalam kejadian tersebut, suspek yang berusia 30-an turut bertindak membuat cubaan membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar malam tadi selepas mengelar isterinya.

Bagaimanapun suspek berjaya diberkas pihak polis pada pukul 7 pagi tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk mendapatkan permohonan reman. – KOSMO! ONLINE

Ahli perniagaan cederakan wanita dengan grip pistol diberkas

NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan diberkas polis selepas disyaki mencederakan seorang wanita tempatan menggunakan grip pistol hingga mengalami kecederaan parah pada hidung dan mata, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penahanan dilakukan setelah suspek berusia 41 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL), kira-kira pukul 9.30 pagi, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas adalah sepucuk pistol, satu kelopok dan buku lesen memiliki senjata serta peluru.

“Polis menerima laporan daripada pengadu yang merupakan seorang wanita berumur 28 tahun mengenai kejadian berlaku pada 5.56 petang kelmarin.

“Wanita tersebut telah dicederakan oleh seorang lelaki warga tempatan (suspek) dengan menggunakan grip pistol berhampiran Jalan Kelawai, kira-kira pukul 2.20 pagi, pada hari sama.

“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham di atas jalan raya semasa kedua-dua pengadu dan suspek memandu melalui tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE

Bella, 7 rakan tukar pengakuan kes ugut, pukul lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Wanita dikenali Bella dan tujuh rakan lelakinya menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas empat pertuduhan mengugut bunuh, ugutan memukul serta pemerasan terhadap seorang lelaki, April lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Bella atau nama sebenarnya Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, bersama tujuh lagi individu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Tujuh tertuduh lain adalah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.

Bagi pertuduhan pertama, semua tertuduh berkenaan termasuk Bella, bersama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar RM3,000.

Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh, Amierul Hakim.

Bagi pertuduhan kedua pula, tujuh individu berkenaan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Faris, dengan seorang lagi masih bebas. Namun, Bella tidak didakwa atas pertuduhan pindaan kedua itu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, semua tertuduh termasuk Bella serta dua lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara bersama-sama mengurung mangsa.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, lapan individu berkenaan turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Faris dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Semua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor Bahru, antara 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman, lapor Harian Metro.

Peguam Nurul Nadia Yunos mewakili tertuduh ketujuh, Syamsul Hamiziey diwakili; tertuduh kelima, Amierul Hakim diwakili T Haressh, manakala tertuduh pertama dan kedua, Aqmal dan Ahmad Rushdi pula diwakili Khairulazwad Sariman dan Syahmi Nawawi.

Bella serta Nur Shafiq; Haikal; Danish Hakim, dan Syamsul Hamiziey pula tidak diwakili peguam.

Semua tertuduh dan keempat-empat kes berkenaan juga diperintahkan untuk dibicarakan bersama, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Fatin membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 18 Julai depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh yang masih tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan jaminan ke atas tertuduh diteruskan dengan ketetapan prosiding terdahulu.

Pada 25 April lalu, Bella dan tujuh lelaki dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan ugutan bunuh, serangan berkumpulan dan mengurung seorang lelaki secara salah, minggu sebelumnya.

Media melaporkan semua suspek ditahan kira-kira 2.30 pagi 21 April lalu, ketika cuba melarikan diri dari Pangsapuri Plentong Baru Masai, Pasir Gudang.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video, memaparkan seorang pemuda longlai selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah rumah yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang.