
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Suami berjalan masuk balai polis, mengaku bunuh isteri di hotel
KOSMO!
SINGAPURA – Seorang warga Indonesia dikenali sebagai Salehuddin didakwa di sebuah mahkamah kerana membunuh isterinya di hotel penginapan mereka di Singapura, lapor portal berita MSNews hari ini.
Lelaki berusia 41 tahun itu didakwa membunuh isterinya yang berusia 38 tahun, Nurdia Rahmah Rery, di sebuah hotel di Chinatown.
Pada pagi semalam, Salehuddin berjalan masuk ke Balai Polis Kejiranan Bukit Merah East dan mengaku telah membunuh isterinya.
Jika sabit kesalahan atas tuduhan membunuh, dia berdepan hukuman mati.
Apabila diminta memberi maklum balas, Salehuddin memohon untuk didakwa dan dijatuhkan hukuman di Indonesia.
Namun, Hakim Tan Jen Tse berkata, beliau belum boleh menerima permohonan sedemikian kerana kes itu masih di peringkat awal.
Salehuddin membantah keputusan tersebut dengan berkata: “Saya bantah, Yang Arif. Hukuman bagi kes ini ialah hukuman mati.”
Hakim kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Salehuddin ditahan bagi menjalani penilaian psikiatri selama tiga minggu.
Kes itu ditangguhkan ke 14 November depan. – AGENSI
Azmin Ali buat ‘usaha terdesak’, halang ahli jumpa individu yang telah dijatuhkan hukuman
Malaysiakini

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan menuduh Setiausaha Agung parti, Azmin Ali mengeluarkan surat pekeliling tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), dan menyifatkannya sebagai “usaha terdesak” menggunakan kuasa di tengah pengaruhnya yang merosot.
Dalam kenyataan hari ini, ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa surat pekeliling bertarikh hari ini tidak pernah diluluskan oleh MPT Bersatu.
“Setakat yang saya tahu, tidak ada mana-mana mesyuarat MPT meluluskan pekeliling ini. Mungkin Azmin perkenalkan prosedur baru pengeluaran pekeliling yang tidak lagi perlu diangkat ke MPT terlebih dahulu. Tak apalah. Mereka berkuasa,” dakwanya.
“Pekeliling ini adalah usaha terdesak oleh Azmin. Apabila tiada pengaruh dan tiada sokongan, maka yang tinggal hanyalah kuasa untuk diperguna,” katanya lagi.
Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan laporan berkenaan dokumen dalaman tersebut, yang disahkan oleh seorang ketua bahagian Bersatu yang menerimanya.
Surat itu antara lain menyatakan: di peringkat bahagian, cawangan dan sayap-sayap diberikan peringatan untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan dan perbincangan dengan mana-mana pihak dan individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh lembaga disiplin parti.
“Adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak di luar parti, termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman oleh parti, untuk menghasut ahli-ahli parti dan membuat kenyataan yang mencemar nama baik dan maruah parti,” menurut surat itu.
‘Tidak pernah berlaku’
Wan Saiful mendakwa sekatan seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Bersatu.
“Tidak pernah dalam sejarah Bersatu, ahli-ahli dihalang bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin. Lagipun keputusan belum dimuktamadkan oleh Lembaga Rayuan,” katanya.
Dia mempersoalkan mengapa Azmin tidak membangkitkan peraturan sama terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin yang sebelum ini pernah bertemu dengan bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir – kedua-duanya dilucutkan keahlian parti pada 2020.
“Kalau benar tak boleh bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin, kenapa Azmin tak sebut perkara ini kepada Muhyiddin semasa Munyiddin sendiri bertemu Mahathir dan Mukhriz?
“Adakah dalam Bersatu sekarang peraturan parti tidak terpakai kepada Muhyiddin dan orang sekelilingnya?
“Atau adakah peraturan baru ini dikeluarkan tergesa-gesa hingga terlupa bahawa presiden sendiri melanggarnya?” soalnya lagi.
Ketika dihubungi untuk penjelasan lanjut, Wan Saiful memberitahu Malaysiakini yang dia merujuk kepada sesi meja bulat pada 14 Oktober lalu yang dipengerusikan oleh Muhyiddin, dan turut dihadiri Mahathir serta Mukhriz yang mewakili Pejuang, selain beberapa parti komponen PN dan parti bukan kerajaan untuk membincangkan pembentukan pembangkang yang bersatu.
Pada 14 Oktober lalu, Bersatu telah memecat Wan Saiful serta empat ketua bahagian parti, dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.
Mayat lelaki dalam rumah berkunci
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ANGGOTA bomba membuka pintu berkunci di sebuah rumah di Taman Desa Relau yang membawa kepada penemuan mayat lelaki. FOTO Ihsan bomba
Bayan Lepas: Panggilan khas yang diterima pasukan bomba bagi membuka pintu rumah berkunci di Taman Desa Relau, di sini, hari ini membawa kepada penemuan mayat lelaki berusia 45 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada 5.44 petang dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong diketuai Mohd Zaini Zainuddin bergegas ke lokasi.
"Terdahulu, panggilan diterima daripada pihak polis yang memohon bantuan bagi membuka pintu rumah yang terkunci.
"Pasukan penyelamat melakukan 'size up' sebelum membuka pintu berkunci menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
John Sagun berkata, sebaik pintu dibuka, didapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan identitinya dikenal pasti Ching Weng Yin.
"Dia disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP). Kes diserah kepada PDRM bagi tindakan lanjut," katanya memaklumkan operasi tamat pada 7.06 malam.
Murid Tahun Enam ditemukan lemas dalam lombong
Alias Abd Rani

Lokasi kejadian pelajar Siti Nur Khadijah (gambar kecil) ditemukan lemas. Foto tular media sosial
TANGKAK: Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak mandi-manda di kawasan lombong berakhir tragedi apabila seorang daripadanya ditemukan lemas, petang tadi.
Siti Nur Khadijah Ahmad Faisal, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Penchu lemas di lombong dekat Kampung Penchu, Kundang, di sini pada jam 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pasukan penyelamat menemui mayat mangsa kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama adik lelaki serta rakan lain mandi di kawasan itu yang berkedalaman tiga meter.
“Operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan polis, bomba serta bantuan penduduk setempat,” katanya.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.
Kedah, Kes langgar lari: Polis cari waris pejalan kaki maut dilanggar
Zuliaty Zulkiffli

Pejalan kaki maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang disyaki langgar lari di Jalan Bagan Padang Serai berhampiran sebuah stesen minyak di Padang Serai, di sini, semalam. Foto NSTP/IHSAN Polis
KULIM: Polis sedang mengesan waris lelaki yang maut dalam kemalangan disyaki langgar lari di Jalan Bagan Padang Serai, berhampiran sebuah stesen minyak di Padang Serai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 malam itu, mangsa sedang berjalan sebelum dilanggar oleh kenderaan yang belum dapat dikenal pasti setakat ini.
“Identiti mangsa juga belum dapat dikenal pasti. Sehubungan itu, polis masih mengesan waris mangsa dan saksi bebas diminta tampil untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Kenderaan yang terbabit berkemungkinan rosak di bahagian cermin, namun setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada pemandu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulim atau Inspektor Nursery Adawiyah Muhammad di talian 011-33982365.
Hubungan sulit: Kemaruk mesej wanita lain, isteri kerat kemaluan suami
KOSMO

Suspek ditahan di Balai Polis Kebon Jeruk pada Selasa lalu. - Istimewa
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia ditahan kerana memotong kemaluan suaminya selepas menemukan mesej perbualan mesra antara lelaki itu dengan wanita lain, lapor portal berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Kebon Jeruk, Jakarta Barat pada 20 Oktober lalu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kebon Jeruk, AKP Ganda Sibarani berkata, suspek dikenali sebagai HZ mengerat kemaluan suaminya selepas mengetahui mangsa mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
“HZ sempat mengajak mangsa untuk bersama tetapi ditolak sekali gus menambahkan lagi kemarahan suspek.
“Dia segera mengambil pisau dari dapur lalu memotong kemaluan suaminya yang sedang berbaring.
“Pasangan itu bergegas ke hospital berhampiran, namun si suami disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” kata Ganda.
Suspek telah ditahan dan bakal berdepan hukuman penjara selama sembilan tahun. – AGENSI
Kelantan: Lelaki maut ditetak bertubi-tubi, tangan dan kaki putus
Sinar Harian
Orang ramai memenuhi lokasi kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat. -Foto Sinar Harian
TUMPAT: Seorang bapa tunggal maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian badan sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah di sini pada Jumaat.
Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, bapa kepada dua orang anak yang bekerja sebagai pemandu jengkaut, ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.
Wan Salma berkata, semasa kejadian dia berada di dalam rumah dan sedang bersiap untuk tidur.
“Tiba-tiba saya terdengar teriakan kuat daripada Mohd Suhairi yang menyebut ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali.
“Saya terus bangun menuju ke tingkap dan bertanya, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula Hairi?’” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Menurut Wan Salma, Mohd Suhairi bagaimanapun tidak memberi respons, lalu dia segera ke tempat anaknya mencuci jengkaut yang terletak berhampiran rumah.
Kata warga emas itu, disebabkan keadaan gelap dan matanya rabun, dia telah memegang seorang lelaki yang disangkanya Mohd Suhairi sedang berdiri di hadapan jengkaut.
“Tiba-tiba lelaki itu yang merupakan anak saudara saya bersuara.
“Kata dia, ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku.’ Kemudian dia terus berjalan pergi dan membawa bersama senjata seperti parang,” katanya.
Wan Salma memberitahu, disebabkan terlalu terkejut, dia hanya mampu melihat anak lelakinya itu terbujur kaku.
Ujarnya, darah memenuhi tubuh Mohd Suhairi yang dipercayai telah ditetak di beberapa bahagian badan sehingga terputus tangan kiri dan kaki kanan.
Kata beliau, anaknya juga ditetak di bahagian pipi, belakang serta bahu.
“Saya kemudian terus memanggil anak-anak lain yang kebetulan tinggal berhampiran untuk datang membantu.
“Mayat Mohd Suhairi kemudian dibawa ke Hospital Tumpat. Saya dimaklumkan bedah siasat akan dijalankan tengah hari ini,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.
Tambah Wan Salma, suspek yang juga sepupu kepada Mohd Suhairi telah ditangkap oleh pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, suspek yang berusia 40-an telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan tahanan reman. -Sinar Harian
TMJ pertahan 7 pemain ‘warisan’, tegaskan dokumen mereka sah
Farah Solhi
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan tujuh “pemain warisan” yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bulan lalu, menegaskan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dan dokumen mereka sah serta dikeluarkan oleh kerajaan.
Dalam sidang media hari ini, Tunku Ismail berkata aginda akan mempertahankan para pemain tersebut kerana “mereka rakyat Malaysia dan berhak untuk mewakili Malaysia.”
“Terdapat pertikaian berkenaan dokumen kerana kita ada semua dokumen, dan Fifa ada dokumen mereka.
“Kalau kerajaan sudah cakap dokumen itu sahih, saya tak rasa saya, sebagai rakyat Malaysia, nak persoalkan integriti atau kedaulatan negara saya.
“Kalau anda nak kata mereka bukan rakyat Malaysia, maka apa yang buat anda fikir yang kita ini semua sah (sebagai) rakyat Malaysia, jika kita boleh persoalkan mereka?” katanya.
2 beranak dibunuh, suspek utama warga Nepal direman
FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga lelaki warga Nepal termasuk seorang suspek utama direman susulan pembunuhan kejam dua beranak di rumah sewa, di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam, Sabtu lalu.
Tempoh reman terhadap suspek lingkungan 28 hingga 40 tahun bermula hari ini sehingga 31 Okt.
Menurut Kosmo, perintah itu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan diiringi polis kira-kira 9.45 pagi tadi.
Difahamkan, tangkapan suspek utama mungkin akan merungkai motif pembunuhan dua beranak, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11.
Sebelum ini, dua suspek termasuk suami mangsa berusia 57 direman tujuh hari bermula 19 Okt.
Pada 18 Okt, dilaporkan ibu bersama anak angkatnya ditemukan maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka, sekitar 7.30 malam.
Kedua-dua mereka ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan terputus tangan.
Terengganu: Datuk antara 8 lelaki ditahan bergaduh ‘live’
FMT Reporters
Mangsa yang berusia 36 tahun turut ditahan selepas membuat laporan polis.

Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad, berkata lelaki berusia antara 21 hingga 40 tahun akan direman kerana merusuh dan khianat.
PETALING JAYA: Ahli perniagaan bergelar Datuk antara lapan individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang tular menerusi rakaman siaran langsung di media sosial semalam.
Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad, berkata semua lelaki berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD Besut.
Beliau berkata, mangsa berusia 36 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita menerima laporan pada 1.32 pagi pada tadi berhubung kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 malam di hadapan sebuah rumah di Jertih. Berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan individu ketika sedang membuat siaran langsung menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.
“Semasa kejadian mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham yang timbul antara mereka. Sebaik tiba di hadapan rumah suspek, mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti yang diminta suspek, menyebabkan berlaku pertengkaran dan kekecohan,” katanya menurut Bernama.
Mengulas lanjut, Azamuddin berkata beberapa ahli keluarga suspek turut keluar dari rumah dan berlaku pergelutan antara mereka.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, telefon bimbit digunakan mangsa untuk membuat siaran langsung turut diambil seorang ahli keluarga suspek.
“Mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di belakang kepala, siku kanan dan kiri, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh,” katanya sambil menambah kenderaan milik mangsa turut didakwa mengalami kerosakan.
Azamuddin berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan reman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan khianat.
Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Effie Ezral Mohd Izham di talian 09-6956222 sambungan 5913.
Semalam, tular video dipercayai dirakam mangsa dan isterinya bersama anak mereka yang berada dalam kereta sebelum kejadian dan kekecohan yang berlaku.
Antara individu yang terlibat dalam insiden itu dipercayai ahli perniagaan yang terbabit dalam urusan jual beli tanah.
‘Mustahil Muhyiddin tidak tahu lokasi menantunya’
Malaysiakini
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin digesa supaya membantu pihak berkuasa bagi mengesan keberadaan menantunya Muhammad Adlan Berhan.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata adalah mustahil seorang bapa mentua, apatah lagi seorang bekas perdana menteri, tidak tahu lokasi menantunya.
“Diamnya Muhyiddin bukan tanda tidak tahu tetapi tanda mahu melindungi.
“Jika beliau benar-benar telus dan tidak bersalah, beliau sepatutnya tampil membantu siasatan, bukan bersembunyi di balik alasan politik.
“Rakyat sudah muak dengan pemimpin yang kononnya melaungkan integriti dan perjuangan Islam, tetapi bila terkena pada keluarga sendiri, terus tutup mulut dan tutup mata. Inilah wajah sebenar politik munafik bercakap soal moral, tapi berkomplot melindungi salah laku orang sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas usaha pihak berkuasa dalam mengesan keberadaan Muhammad Adlan yang dihendaki bagi tujuan siasatan SPRM.
Khamis lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport milik Muhammad Adlan telah dibatalkan.
Saifuddin berkata ia susulan permohonan dikemukakan SPRM untuk membatalkan pasport individu yang dikendaki itu.
Terdahulu ahli perniagaan yang menjadi buruan itu dilaporkan menikmati kehidupan mewah walaupun dalam pelarian.
New Straits Times melaporkan bahawa ia menerima beberapa gambar yang menunjukkan Muhammad Adlan bersama tokoh-tokoh ternama Asia Barat yang tidak dinamakan.
Akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa bahawa Muhammad Adlan — yang meninggalkan Malaysia pada tahun 2023 — telah melakukan perjalanan dari sebuah negara di Asia Barat yang tidak dinyatakan untuk bercuti, termasuk ke Thailand, dan dilaporkan bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat kini dikehendaki berhubung dengan satu projek melibatkan penyelewengan dalam pendaftaran biometrik, pengambilan, dan penyimpanan data pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Mahfuz berkata pihaknya mendesak agar pihak berkuasa meneruskan tindakan tanpa gentar, dan jika terbukti Muhyiddin menghalang siasatan atau menyembunyikan maklumat penting, beliau juga harus disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Tegasnya, sudah tiba masanya rakyat melihat bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang walau pun bekas Perdana Menteri.
“Bila kena orang lain, Muhyiddin lantang cakap soal integriti. Bila kena menantu sendiri terus hilang suara.”
“Jangan jadi wira di mimbar, tapi penakut bila depan SPRM. Islam tidak ajar lindungi salah keluarga, hanya politikus hipokrit yang buat begitu,” katanya.
Polis mohon bantuan kesan Noor Aslee, Alicia
Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my

(kiri) Noor Aslee Ahmad. (kanan) Alicia Tening Clement. FOTO Ihsan Polis
Subang Jaya: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan dua individu yang dilaporkan hilang di sekitar Puchong, Selangor dalam dua kejadian berasingan sejak minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan pertama diterima pada 24 Oktober 2025 jam 12.06 tengah malam, membabitkan seorang lelaki warga tempatan.
"Mangsa bernama Noor Aslee Ahmad, 55, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tengah, 47100 Puchong, Selangor, pada 22 Oktober 2025.
"Mangsa menaiki motosikal Kawasaki Z300 warna kuning bernombor pendaftaran BNQ 9508 dan tidak pulang ke rumah sejak tarikh berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, butiran mangsa adalah berbangsa Melayu, beragama Islam, mempunyai ketinggian 162 sentimeter, berat 55 kilogram, berkulit sawo matang, berambut lurus, berhidung mancung, bermata bulat dan bermulut nipis.
Sementara itu, Wan Azlan berkata, laporan kedua diterima pada 24 Oktober 2025 jam 5.59 petang, membabitkan seorang remaja perempuan.
"Remaja terbabit bernama Alicia Tening Clement, 16, yang kali terakhir dilihat di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Indah, Selangor, pada 18 Oktober 2025.
Beliau berkata, remaja berkenaan mempunyai ketinggian 154 sentimeter, berat 50 kilogram, berkulit cerah, berambut hitam pendek paras bahu, bermata biasa dan bermulut nipis.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan kedua-dua individu ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 / 03-78627100," katanya.
Wanita Bangladesh dakwa ' ini salah suami' selepas dituduh potong kemaluan teman lelaki
Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

WANITA warga Bangladesh, Begum Masuma, 34, yang sebelum ini ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Wanita warga Bangladesh yang sebelum ini ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Begum Masuma, 34, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Bagaimanapun, pengakuan bersalah tertuduh tidak diterima mahkamah kerana ia dibuat dengan bersyarat serta tertuduh hanya memahami sedikit sahaja pertuduhan itu.
"Faham sikit-sikit. Ini salah 'suami'," kata tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki, Babu Mondol, 33, dengan menggunakan sebilah pisau iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat kawasan setinggan belakang sebuah kilang di Gelang Patah di sini, kira-kira jam 1 pagi, 8 Oktober lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli memberitahu mahkamah kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin dan pihaknya juga tidak akan mencadangkan sebarang ikat jamin atas tiga alasan.
"Tertuduh adalah warga asing dan dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan tidak mempunyai sebarang dokumen sah untuk memasuki Malaysia.
"Ini juga kesalahan serius kerana mendatangkan cedera parah pada mangsa yang juga teman lelakinya dan mereka berdua tinggal serumah," katanya.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Bangladesh.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh didakwa sebagai seorang bukan warga Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang kepadanya untuk masuk ke negara ini.
Ia dilakukan di perkarangan Balai Polis Gelang Patah di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari, tarikh yang sama dan bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Atifah Hazimah Wahab turut menolak pengakuan bersalah dibuat tertuduh kerana wanita itu dilihat seperti tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan kes juga akan disebut semula pada 11 November depan bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.
Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan seorang wanita warga Bangladesh ditahan polis selepas bertindak kejam memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.
Penemuan terbesar Petronas dalam 20 tahun
Megah-1 gegar dunia tenaga, penemuan terbesar Petronas dalam 20 tahun
Harapandaily
NAZRI HAMDAN
Penemuan medan minyak Megah-1 oleh Petronas Carigali merupakan berita terbesar dalam industri tenaga negara sejak dua dekad lalu.
Medan itu terletak di perairan dalam Sabah (Deepwater Block 3K), dengan rizab minyak yang dijumpai dianggarkan antara 200 hingga 300 juta tong minyak.
Saiznya hampir menyamai medan Kikeh yang sebelum ini dianggap sebagai “permata” Sabah.
Jika harga minyak Brent kekal sekitar USD80 setong, nilai potensi minyak ini boleh mencecah antara USD16 bilion hingga USD24 bilion (RM75–115 bilion), jumlah yang cukup untuk menampung import minyak Malaysia hampir setahun.
Lebih membanggakan, kadar kejayaan eksplorasi Petronas kini melebihi 80%, jauh mengatasi purata global yang biasanya hanya sekitar 30 hingga 40 peratus.
Yang paling mengagumkan, projek ini dilaksanakan sepenuhnya hasil kepakaran anak tempatan tanpa penglibatan kerjasama luar.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali, Hazli Sham Kassim, mendedahkan bahawa kejayaan ini dicapai dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalaman yang dinamakan ERMAI (Enhanced Resource Monetisation Artificial Intelligence).
Ia sistem yang mampu menjalankan analisis data geologi yang dahulunya mengambil masa enam hari, kini hanya memerlukan enam saat.
Dengan teknologi tersebut, Petronas berupaya mengenal pasti peluang pengeluaran baharu dengan lebih cepat dan tepat.
Penemuan Megah-1 bukan sekadar kejayaan menemui sumber minyak, tetapi bukti bahawa Malaysia telah melangkah ke fasa baharu dalam eksplorasi tenaga moden — lebih bijak, efisien dan berdikari tanpa perlu menunggu kepakaran luar.
Tiada bahan lucah dalam gajet Ebit Lew, saksi beritahu mahkamah
Bernama
TENOM: Seorang pegawai polis dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret bahawa beliau ke rumah tertuduh bagi menjalankan analisis awal terhadap beberapa peralatan digital.
Saksi pendakwaan ke-18, pegawai penyiasat polis, Noor Asyikin Shamsuri, 46, berkata beliau bersama jurugambar dan pasukan forensik pergi ke rumah tertuduh pada 19 Ogos 2021 untuk menjalankan pemeriksaan terhadap komputer serta telefon bimbit lain bagi mengesan sebarang unsur lucah.
“Selepas pemeriksaan dijalankan, kami tidak menemui sebarang bahan berunsur lucah dan tiada telefon lain ditemukan di rumah tertuduh,” katanya.
Menurut Noor Asyikin, jurugambar turut merakam 34 keping gambar dalam rumah Ebit Lew serta sekeping gambar bil elektrik rumah.
Selain itu, beliau memaklumkan telah mengarahkan Mohd Ashraf Chai Abdullah menyediakan surat permohonan kepada syarikat Whatsapp LLC (USA) pada 16 Ogos 2021 bagi tujuan semakan akaun WhatsApp milik tertuduh.
“Permohonan itu dibuat bagi mendapatkan butiran pengguna akaun WhatsApp dan log panggilan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berhubung surat permohonan itu.
Selain Nor Azizah, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan bersambung pada 3 dan 4 Nov ini.
Mayat bertatu 'Joseph' ditemukan di longkang lebuh raya SILK, polis kesan waris
Umavathi Ramayah
Ketika ditemukan, mangsa berbaju biru, memakai seluar pendek dan tanpa kasut. - Foto IPD Kajang
KAJANG: Polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki yang ditemukan mati di dalam longkang di Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK) Sungai Ramal Kajang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima laporan daripada orang awam, pada Isnin lalu kira-kira pukul 2.22 petang.
Kata beliau, berdasarkan siasatan awal, mayat tersebut berada dalam keadaan tidak sempurna dan sudah membusuk.
"Ketika ditemukan, mangsa berbaju biru, memakai seluar pendek dan tanpa kasut.
“Tiada sebarang senjata atau barangan peribadi ditemui berhampiran lokasi mayat. Bagaimanapun ada kesan tatu berbentuk kompas dengan anak panah serta perkataan ‘JOSEPH’ di lengan kiri," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Naazron memberitahu, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan mendapati pada 19 Oktober lalu, pada pukul 6.03 petang, mangsa yang berjalan kaki di tepi lebuh raya sebelum memanjat tembok besi dan terjatuh ke dalam longkang.
Mayat mangsa katanya, dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.
"Bedah siasat yang dijalankan pada Jumaat mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat terjatuh dari tempat yang tinggi,” jelasnya.
Kes itu katanya, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Borhan Mohamad di talian 014-3289730 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Shah Alam: Empat lelaki bergaduh berebut teman wanita
MOHD YUNUS YAKKUB

Tangkap layar kejadian
SHAH ALAM – Berebut teman wanita menjadi punca empat lelaki bergaduh di tepi jalan di Bandar Setia Alam, di sini, semalam sehingga tular dalam media sosial.
Dalam kejadian pada pukul 3.51 petang itu, seorang daripada suspek tersebut dikesan menggunakan kayu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian berjaya menahan dua suspek berusia 44 dan 69 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah ini.
Katanya, hasil soal siasat pihaknya merampas kayu sepanjang 91 sentimeter dipercayai digunakan ketika kejadian. Seorang lagi suspek berusia 22 tahun diberkas di hadapan sebuah rumah di Taman Kapar, Klang pada pukul 10 malam tadi.
“Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang dilakukan. Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat perebutan teman wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja merusuh menggunakan senjata kayu atau rotan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani di talian 010-3728932. – KOSMO! ONLINE
Kes Dua beranak dibunuh: 3 lelaki ditahan, suami dibebas esok
Audrey Dermawan
audremd@nst.com.my
George Town: Tiga lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini pada Sabtu.
Manakala lelaki berusia 57 tahun iaitu suami wanita itu yang direman sejak Ahad lalu dijangka dibebaskan dengan ikat jamin esok.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.
Sementara itu, beliau berkata tiga lagi lelaki ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kami mempunyai tiga tangkapan baharu dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk direman esok.
"Semuanya warga asing berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an dan saling mengenali. Mereka sebelum ini dipercayai melarikan diri," tambahnya.
Sebelum ini, tiga orang ditahan untuk membantu siasatan, termasuk suami wanita tersebut.
Media pada Sabtu melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Azizee dilaporkan berkata, mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Wan Saiful: Hamzah dicantas, diseret ke lembaga disiplin
Malaysikini
Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan mendakwa Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin turut diheret ke lembaga disiplin parti dalam apa yang disifatkannya sebagai usaha mencantas kepimpinan yang cuba menyatukan semula parti.
Wan Saiful berkata tindakan itu menunjukkan ada pihak dalam Bersatu yang mahu menyingkirkan Hamzah daripada struktur parti.
“Ahli parti nampak sepenuhnya bahawa yang menghidupkan parti sekarang adalah Datuk Seri Hamzah, yang menyatakan parti sekarang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
"Tapi yang nak ambil manfaat ialah orang lain yang cuba nak mencatas dia daripada struktur dalam parti sampai Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri dipanggil Lembaga Disiplin.
"Mana akal apa yang dibuat ini... ini yang perlu difikirkan,” katanya melalui siaran podcast PODaBoom kendalian Terence Fernandez dan Ahiruddin Atan, .
Turut menjadi panel dalam siaran audio tersebut ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan masa telah tiba untuk “mengambil kembali” Bersatu daripada kumpulan tertentu yang didakwa merosakkan parti dari dalam.
Katanya tindakan terhadap Hamzah petanda suara yang cuba memperbetulkan haluan parti kini semakin ditekan.
Dalam podcast sama, Wan Ahmad Fayhsal mengkritik kenyataan bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad, yang mempertahankan keputusan bekas bosnya menolak kerajaan perpaduan atas alasan DAP tidak diterima orang Melayu.
Menurut Wan Fayhsal, keputusan itu menyebabkan PN kehilangan peluang berunding dengan BN selepas pilihan raya umum ke-15.
“Orang politik dan penganalisis politik berbeza pemikiran dan tindak tanduk... kita nak buy more time untuk runding balik dengan BN, tak semestinya kita kena duduk dengan DAP.
"We can get good deal dengan BN masa tu. Actually during that period negotiation was happening... not with DAP, with BN,” katanya.
Tambahnya lagi, jika rundingan dengan BN berjaya, DAP berkemungkinan besar tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Sebelum ini, Marzuki Mohamad mempertahankan keputusan Presiden Bersatu menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, dengan menegaskan langkah itu selari dengan dasar parti yang menolak kerjasama dengan DAP.
“Adakah ini salah? Tidak salah. Kenapa? Sebab telah menjadi dasar Bersatu untuk tidak bekerjasama dengan DAP. Presiden bertindak mengikut dasar parti.
"Adakah Tan Sri Muhyiddin bertindak secara bersendirian? Tidak.
“Turut bersama Tan Sri Muhyiddin dalam sesi menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu ialah Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS,” katanya pada satu hantaran di Facebook.
Remaja ‘tidur atas duit’ jual video lucah
MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dikesan meraih keuntungan sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan hasil kegiatan menjual bahan lucah kanak-kanak di media sosial.
Ini menjadikannya antara tangkapan paling mengejutkan dalam Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2.0 baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan mendapati suspek yang masih bersekolah itu berperanan sebagai penjual di media sosial dan menawarkan akses berbayar kepada video serta gambar eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) menggunakan transaksi e-dompet dan kod QR perbankan.
“Suspek berusia 17 tahun ini mempunyai rekod transaksi kewangan aktif mencecah RM76,000 bagi tempoh Januari hingga September lalu.
“Ini menunjukkan peralihan tahap moral yang membimbangkan,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu di Bukit Aman, hari ini.
Menurut Mohd. Khalid, operasi khas diketuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian D11 dilaksanakan antara 22 hingga 30 September dijalankan serentak di 37 lokasi seluruh negara dengan kerjasama MCMC, melibatkan 206 pegawai dan anggota.
“Hasilnya, 31 suspek berusia antara 12 hingga 71 tahun berjaya ditahan termasuk guru, jurutera, pereka grafik, pelajar institut pengajian tinggi dan penganggur.
“Daripada jumlah itu juga membabitkan enam suspek iaitu kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun,” ujarnya.
Beliau berkata siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan pelbagai platform media sosial termasuk Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web dan cloud storage untuk mengakses dan mengedarkan bahan CSAM.
“Ada antara mereka bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar menggunakan e-wallet serta kod QR perbankan seperti AmBank dan Touch ’n Go,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya merampas 82 peranti digital seperti komputer, telefon bimbit dan pemacu storan yang mengandungi lebih 880,000 fail lucah kanak-kanak, meningkat lebih 20 kali ganda berbanding operasi pertama Disember tahun lalu.
Daripada jumlah itu beliau berkata, 17 suspek telah dituduh di mahkamah, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jamin.
Tambahnya, polis membuka 29 kertas siasatan di bawah pelbagai undang-undang termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan.
Katanya, peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun membimbangkan sekaligus memerlukan kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti bagi menampung pertumbuhan eksponen data jenayah. – KOSMO! ONLINE
880,000 bahan lucah kanak-kanak, dewasa dirampas, 31 suspek ditahan
Anne Muhammad
KUALA LUMPUR: Polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berjaya menumpaskan kegiatan jenayah membabitkan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian selepas menemui lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dewasa.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata jumlah itu meningkat berbanding operasi sebelumnya pada Disember lalu yang hanya merekodkan 40,000 fail digital.
“Seramai 31 suspek berjaya ditahan, merangkumi 25 sasaran utama dan enam tangkapan susulan,” katanya dalam sidang media Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 di Bukit Aman.
Beliau berkata, semua suspek lelaki berusia 12 hingga 71 tahun terdiri pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah dan IPT, guru, jurutera, pereka grafik serta penganggur.
Katanya, siasatan mendapati sebahagian suspek menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web serta storan awan (cloud storage) untuk memuat turun dan berkongsi bahan CSAM.
“Sebahagian daripada mereka juga bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan CSAM melalui transaksi e-wallet dan kod QR perbankan seperti Bank dan Touch ’n Go.
“Kewujudan elemen komersialisasi menjadikan pola jenayah yang semakin berstruktur dan bermotifkan keuntungan kewangan,” katanya.
Khalid turut mendedahkan, penglibatan remaja berusia 17 hingga 21 tahun dalam kegiatan itu, termasuk seorang pelajar yang mencatat aliran kewangan sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Katanya, membimbangkan peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun memerlukan kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti bagi menampung pertumbuhan eksponen data jenayah.
“Penemuan ini menuntut pendekatan penguatkuasaan berasaskan prinsip kerjasama erat antara agensi dalam menumpaskan jenayah yang dimaksudkan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 82 peranti digital seperti komputer, telefon bimbit, modem dan storan digital dirampas dalam operasi berkenaan.
Sebanyak 29 kertas siasatan dibuka bawah pelbagai peruntukan undang-undang dan setakat ini, 17 suspek didakwa di mahkamah manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Tangkapan dibuat hasil risikan digital dan pemantauan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama SKMM antara 22 hingga 30 Sept lalu di 37 lokasi seluruh negara.
Lelaki tanpa seurat benang serang pemandu
KOSMO

Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki bertelanjang cuba memecahkan tingkap van di Greater Manchester kelmarin. - SWNS
LONDON – Seorang lelaki di Britain ditahan selepas dirakam berkeliaran dan menyerang pengguna jalan raya dalam keadaan tanpa seurat benang, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Jalan Rochdale, Greater Manchester kelmarin.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki terbabit berkeliaran dalam keadaan bertelanjang di tengah jalan yang sibuk sebelum menghampiri sebuah van putih.
Lelaki itu cuba membuka pintu van untuk menarik pemandu tetapi gagal, menyebabkan dia menumbuk tingkap.
Jurucakap Polis Greater Manchester berkata, menerima menerima aduan berhubung gangguan di Jalan Rochdale sebelum pukul 11 pagi (waktu tempatan).
“Kami menerima laporan mengenai seorang lelaki berkelakuan agresif dan menyebabkan kerosakan pada kenderaan di Jalan Rochdale kelmarin.
“Suspek dikenal pasti berusia 25 tahun. Dia telah diberkas dan dibawa ke hospital tempatan,” kata jurucakap itu. – AGENSI
PN dah ‘tepu’, itu sebab NGO Melayu cari Umno hidup semula MN - penganalisis
Nora Mahpar
PETALING JAYA: Gesaan beberapa NGO supaya Umno menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) menjelang PRU16 menunjukkan kepentingan parti itu dalam meningkatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu, kata penganalisis.
Mazlan Ali turut berpendapat usaha menghidupkan MN diasaskan Umno dan PAS selepas PRU14 ketika keduanya di blok pembangkang, mungkin timbul kerana kurang keyakinan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat ‘tepu’
Menurut ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Umno dilihat sebagai komponen penting dalam menjayakan agenda Melayu, selepas beberapa usaha terdahulu dianggap kurang berjaya.
Beliau memberi contoh Sekretariat Orang Melayu diketuai Dr Mahathir Mohamad, disokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang, yang ditubuhkan Jun lalu tetapi tidak menunjukkan perkembangan yang dihasratkan.
“Umno jawapan untuk meningkatkan momentum sokongan orang Melayu.
“Namun, saya yakin Umno tidak akan menyahut usaha NGO itu kerana wacana mereka mirip agenda Mahathir, Muhyiddin dan Hadi,” katanya kepada FMT sambil tidak menolak kemungkinan gesaan itu juga bertujuan meningkatkan sokongan kepada PN.
Menurut Mazlan, ini kerana Perkasa yang mengetuai 17 NGO dalam pertemuan dengan pemimpin Umno di ibu pejabat parti itu kelmarin, dilihat mesra PN.
“Perkembangan itu mungkin menunjukkan PN telah tepu, dan Umno menjadi jawapan untuk meningkatkan sokongan.
“Tidak sukar bagi Umno menghidu tujuan NGO ini yang mungkin mempunyai motif politik walaupun dilabel perpaduan Melayu,” katanya.
Semalam, Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata 17 NGO menggesa Umno menghidupkan kembali MN atau menjalin semula hubungan dengan PN, disampaikan dalam pertemuan dengan pimpinan parti termasuk Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam perbincangan itu, NGO berkenaan menggesa Umno tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan membangkitkan isu semasa berkaitan kepentingan Islam, Melayu dan negara yang didakwa digugat DAP.
MN tidak lagi aktif selepas PAS menyertai PN menjelang PRU15 dan mahu Bersatu, parti serpihan Umno, menyertai platform penyatuan ummah itu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, usaha menghidupkan semula MN sukar direalisasikan kerana kerjasama antara Umno dan PAS terjejas akibat kecurigaan serta perbezaan hala tuju politik.
Beliau berkata, tuntutan NGO supaya Umno mengetuai blok Melayu sebenarnya berpunca daripada persepsi kemampuan serta pengalaman berdepan DAP, bukan PN.
“Dulu MN ditubuhkan kerana kebimbangan DAP akan mengancam Melayu. Tetapi sekarang situasinya berbeza.
“DAP tidak lagi mampu menggugat kedudukan Melayu kerana ada Umno, PKR dan Amanah dalam kerajaan.
“Jadi, naratif memburukkan DAP lebih kepada usaha menghidupkan semangat politik lama,” katanya.
Azmi berpandangan, retorik anti-DAP tetap menguntungkan Umno kerana parti itu kini berada dalam kerajaan dan mampu menunjukkan peranan sebagai pengimbag kuasa, bukan sekadar pembangkang seperti PN.
“Semakin kuat retorik DAP dimainkan, semakin naik imej Umno sebagai parti yang berani menongkah DAP dari dalam kerajaan.
“Ini sebabnya NGO Melayu melihat Umno, bukan PN, sebagai harapan sebenar mempertahankan kepentingan Melayu,” katanya.
Fasilitator tak mengaku cium, ‘sentuh’ budak di kem motivasi
NOOR HASLIZA NUSI

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Balik Pulau, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!
BALIK PULAU – Seorang fasilitator mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia 12 tahun semasa menyertai program motivasi, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan semua pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kem White Resort, Kampung Genting di sini, antara pukul 4.09 pagi hingga 4.30 pagi, 12 Oktober lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Huey Ting kemudiannya mengarahkan kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Sesyen untuk proses jaminan termasuk lantikan peguam sekali gus menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Pada 16 Oktober lalu, media melaporkan penahahan suspek berhubung kejadian berlaku semasa mangsa menyertai satu program motivasi anjuran sekolah.
Suspek yang merupakan fasilitator jemputan dikatakan bertindak mencabul mangsa ketika waktu tidur di asrama penginapan kem motivasi berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa peserta kem sedang tidur pada tengah malam di dalam dorm yang menempatkan murid lelaki.
Mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan sebelum laporan polis dibuat oleh guru besar berkenaan di Balai Polis Bagan Serai, Perak. -KOSMO! ONLINE
Pemandu jengkaut dipenjara 5 tahun, dituduh sentuh remaja dalam bas
Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Pemandu jengkaut dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyentuh paha dan lengan remaja berusia 16 tahun, Isnin lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap S Gunah, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
“Saya telah mendengar rayuan kamu dan juga mempertimbangkan rayuan kamu serta fakta kes ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkap 20 Oktober 2025,” kata Surita.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara menyentuh paha dan lengan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan jam 4 petang ketika dalam perjalanan dari Tampin ke Rembau di sekitar kawasan Bongek, di Rembau, pada 20 Oktober lalu.
Justeru itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika disabitkan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Mengikut fakta kes, mangsa menaiki bas dan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum tertuduh menghampiri mangsa untuk bersalam, namun ditolak mangsa kerana ia haram.
Tertuduh dikatakan turut meminta nombor telefon, namun mangsa enggan memberikannya sebelum remaja itu menghubungi ibunya, namun tertuduh dikatakan memegang paha dan lengan mangsa serta mengeluarkan kata-kata kesat.
Tertuduh dalam rayuannya memaklumkan tidak berkahwin dan bekerja sebagai pemandu jengkaut dengan pendapatan tidak menentu selain hanya menyara diri sendiri.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor mangsa adalah remaja bawah umur.
Norazihah turut meminta mahkamah supaya mengambil kira faktor kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh dan hukuman perlu berbentuk pengajaran termasuk kepada masyarakat umumnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Bersatu tetap ‘berpecah’ walau Hamzah jadi ketua
Elill Easwaran
PETALING JAYA: Walaupun hubungan Bersatu dan PAS dijangka bertambah baik jika Hamzah Zainudin mengambil alih jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) daripada Muhyiddin Yassin, penganalisis meramalkan perpecahan dalaman Bersatu mungkin kekal.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat keretakan dalam Bersatu kelihatan tidak boleh dibaiki.
Katanya, perbalahan dalaman semakin teruk selepas pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Mereka dimusuhi kerana berada dalam kem Hamzah. Keadaan tidak akan berubah sama ada Bersatu diketuai Hamzah atau Muhyiddin,” katanya kepada FMT.
Azmi mengulas gesaan Wan Fayhsal agar Hamzah menerajui Bersatu dan PN menjelang PRN Sabah bagi menjamin kestabilan yang lebih besar.
Azmi berpendapat, Hamzah sebagai presiden parti akan memberikan Bersatu ‘hala tuju yang lebih jelas’.
Situasi itu akan beri manfaat kepada PN kerana PAS dilihat lebih suka bekerjasama dengan Hamzah, yang dianggap lebih bertolak ansur.
“Hamzah lebih mudah untuk berbincang, manakala Muhyiddin sukar berganjak daripada hala tuju yang beliau tentukan,” katanya.
Azmi bagaimanapun menjangkakan perubahan kepimpinan tidak mungkin berlaku sebelum PRN Sabah, yang jatuh pada 29 Nov.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, sokongan akar umbi kepada Hamzah semakin meningkat, melihat pada sokongan 120 daripada 197 bahagian dalam Perhimpunan Agung Bersatu.
Beliau berkata, Hamzah yang ‘lebih muda, lebih bertenaga, dan dinamik’ berpotensi menyatukan Bersatu, manakala jentera PAS yang tersusun rapi dapat membantunya mengukuhkan rangkaian kempen PN.
“Kekuatan PN bergantung pada PAS, kerana parti itu memiliki jentera dan sokongan akar umbi yang kuat. Dengan sokongan PAS, Hamzah (sebagai ketua PN) tidak akan menghadapi masalah menggerakkan jentera,” katanya.
Namun, Mazlan menjangkakan Hamzah akan menghadapi tentangan kuat dari dalam.
Katanya, tindakan terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal menunjukkan bahaya mendesak peralihan kepimpinan.
“Pengaruh Muhyiddin masih utuh dan penyokongnya masih mengawal parti,” katanya.
James Chin dari University of Tasmania bersetuju, Hamzah akan menstabilkan PN jika mengambil alih gabungan itu, memandangkan PAS kelihatan menyukainya berbanding Muhyiddin.
Beliau menekankan ‘kuasa sebenar’ PN adalah PAS.
“Realitinya, enjin pilihan raya PN digerakkan oleh PAS. Tanpa PAS, ia akan menjadi sukar,” katanya.
Wanita dakwa lelaki tunjuk kemaluan di tandas stesen minyak
Rachel Koh
Seorang wanita mendakwa diganggu secara seksual di tandas sebuah stesen minyak berhampiran tol di Shah Alam ketika baru pulang dari Vietnam atas urusan kerja.
Mangsa Nadhrahtul Aisyah Che Nazir, 33, dari Puncak Alam berkata kejadian berlaku di tandas stesen minyak berhampiran tol ketika dia berhenti singgah bersama ibunya.
Semasa menunggu ibunya di tandas wanita dan membasuh tangan di bahagian sinki, Nadhrahtul secara tidak sengaja terlihat ke arah tandas lelaki yang pintunya terbuka.
Katanya, dia ternampak seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan mendedahkan kemaluan ke arahnya.
Kunci pintu tandas
“Saya sangka saya tersalah lihat, saya sorok sekejap belakang dinding dan tengok sekali lagi. Dia masih di situ,” katanya kepada Malaysiakini.
Bimbang tindak balasnya mencetuskan bahaya, Nadhrahtul tidak menjerit dan segera memaklumkan seorang wanita lain di dalam tandas itu sebelum keluar untuk mencari bantuan.
“Saya suruh dia kunci pintu tandas untuk mengelakkan “flasher” itu memasuki tandas wanita sementara saya pergi luar untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Menurut Nadhrahtul lagi, dia memberitahu kejadian kepada seorang lelaki yang kebetulan memasuki kawasan tandas namun dia diminta berurusan dengan kaunter pekerja stesen.
Beberapa ketika kemudian, Nadhrahtul berkata dia melihat suspek menaiki motosikal dan beredar.
Katanya, suspek dianggarkan berusia lingkungan 40an namun tidak sempat merakam nombor plat motosikal itu.
“Semuanya berlaku sangat cepat. Saya tak sempat rakam nombor plat. Cuma ingat dia pakai jaket atau baju merah pudar,” katanya.
Nadhrahtul kemudian memaklumkan kejadian kepada pekerja stesen.
Pun begitu, wanita itu berkata dia tidak membuat laporan polis kerana ketiadaan bukti rakaman atau gambar.
“Bila benda ni jadi, saya faham kenapa ramai wanita rasa tak berdaya bila diganggu.
“Sebab semua berlaku sekejap dan kita terkejut. Itu sebab wanita sering jadi target,” katanya.
Dia menyuarakan kebimbangan terhadap wanita lain, khususnya yang bersendirian.
“Kalau masa tu saya seorang, saya mungkin tak berani keluar. Bayangkan kalau dia masuk tandas perempuan — entah apa jadi.”
Nadhrahtul menasihatkan orang ramai supaya berwaspada di tandas awam, terutama pada waktu malam, serta mempertimbangkan membawa semburan keselamatan (pepper spray).
Selepas kisahnya dimuat naik di Threads, beberapa pengguna media sosial itu turut berkongsi pengalaman pernah diganggu “flasher” di tempat awam—termasuk di Seksyen 7, Shah Alam—malah ada yang mendakwa pernah dikejar suspek.
Nadhrahtul berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius isu gangguan seksual di tandas awam.
Askar belasah ‘rider’ tengah jalan kerana bengang kena hon
KOSMO

ANGOTA tentera laut Indonesia membelasah seorang penunggang ojol. - Instagram
JAKARTA – Seorang anggota tentera laut Indonesia memukul penunggang teksi motosikal (ojol) gara-gara tidak berpuas hati akibat dibunyikan hon oleh mangsa, lapor laman berita Kompas semalam.
Kejadian berlaku di Grogol, Jakarta Barat Isnin lalu.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, anggota tentera tersebut dikatakan memintas penunggang ojol secara berbahaya dan laju, selain menukar lorong secara tiba-tiba untuk membelok.
Ia membuatkan mangsa membunyikan hon kepada askar berkenaan sebelum dia memberhentikan motosikalnya.
“Ini anggota TNI (Tentera Nasional Indonesia), dia menukar lorong secara tiba-tiba dari kanan ke kiri, kemudian menghimpit saya.
“Dia hampir melanggar saya kemudian memarahi saya dengan kata-kata kesat,” kata mangsa sambil merakam video.
Anggota tentera tersebut kemudian dilihat melayangkan pukulan terhadap penunggang ojol dan membelasahnya sebelum ia dileraikan pengguna jalan raya lain.
Sementara itu,Ketua Perkhidmatan Penerangan Angkatan Laut Indonesia (Kadispenal), Laksamana Pertama Tunggul mengesahkan bahawa lelaki tersebut adalah anggotanya.
“Kami masih menyiasat anggota berkenaan. Kami akan bertindak mengikut undang-undang yang terpakai jika terbukti dia bersalah,” katanya. – AGENSI
Anggota APMM yang singgah di ‘Masjid Tok Guru Hadi Awang’ kecewa difitnah Pas
Harapandaily
AMAN MUHAMMAD
Saya sudah tonton satu video seorang lelaki yang dipercayai seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang singgah di Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada hari kejadian, 19 September lepas.
Beliau buat video pencerahan dengan apa yang berlaku, dan ini yang boleh saya simpulkan:
1) Dari segi gaya percakapan, saya rasa dia adalah seorang walaun. (maafkan saya jika tersilap)
2) Dari lenggok bahasa yang lembut, cara dia sebut panggilan “Tok Guru”, tanda-tanda walaun itu jelas.
3) Namun, dia kelihatan amat kecewa dengan apa yang telah berlaku, kecewa dengan sikap Pas yang telah memfitnah APMM.
4) Dia punyalah gigih nak bawa adik-adik junior APMM untuk kenalkan Masjid Rusila, iaitu “Masjid ToK Guru Hadi Awang”.
5) Dia sendiri pun pertama kali datang.
6) Tapi alangkah kecewa, kedatangan dia dan anggota lain difitnah sebagai tindakan tidak hormat masjid pula.
7) Dia terangkan lagi, mengenai isu tak buka kasut, memang di situ ada ’tile’ lorong koridor yang boleh pakai kasut, yang mana pernah pergi memang tahulah apa dia cakap.
8) “Boleh pikiaq? Boleh pikiaq?” ulang berkali-kali, bentaknya nampak kecewa.
9) Nasihat saya kepada abang-abang anggota APMM, inilah wajah jahat sebenar Pas. Mereka tidak akan peduli anda walaun pun, jika anda semua boleh ditunggang sebagai alat fitnah, maka Pas akan tunggang untuk sebar fitnah.
10) Bukti depan mata, sanggup fitnah APMM kerana nak sebar kebencian terhadap kerajaan MADANI.
Pas tidak pernah peduli pasal sesiapa. Pas sanggup bermusuhan dengan sesiapa sahaja demi matlamat politik mereka.
Hari ni bukan sahaja sanggup bermusuh dengan MADANI, dengan penjawat awam dan anggota keselamatan pun Pas sanggup buat musuh.
Insya-Allah, semoga semua penjawat awam dan anggota keselamatan seluruh negara, termasuk keluarga mereka tidak akan undi Pas dalam pilihan raya akan datang.
Pengajarannya, jangan pergi masjid dhirar (kiasan bagi masjid yang disalahgunakan bagi tujuan politik, perpecahan, atau fitnah) yang dikuasai Pas seperti Masjid Rusila. Lebih baik lagi solat di surau stesen minyak.
Kedah: Lelaki Bangladesh mati dijerut, 6 termasuk suspek ditahan
Zuliaty Zulkiffli

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Foto orang awam
YAN: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemukan mati dengan kesan jerutan pada leher dan luka di bahagian bibir dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, mangsa berusia 37 tahun itu ditemukan mati di ruang tamu sebuah rumah Kampung Jalan Yan, Teroi, Guar Chempedak di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 1 tengah hari tadi ketika lelaki berusia 42 tahun menegur mangsa kerana lewat untuk ke tempat kerja.
“Mangsa melihat lelaki itu dalam keadaan tidak puas hati. Lelaki itu mengambil besi kecil dan mangsa pergi ke dapur mengambil parang serta terus melibas parang terbabit ke arah lelaki berkenaan.
“Lelaki itu mengelak dan melempar besi ke lantai dan mencapai wayar kabel berhampiran sebelum menjerut leher mangsa.
“Ketika berlaku pergelutan, lelaki berkenaan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Hamizi berkata, berikutan itu lelaki berkenaan datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, tempat kejadian adalah sebuah rumah batu satu tingkat di tanah lot.
“Rumah itu mempunyai tiga bilik yang didiami oleh pekerja buruh binaan jambatan di Bukit Jenun, Pendang yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan lima warga Bangladesh termasuklah suspek dan si mati.
“Susulan daripada itu, polis menahan enam lelaki termasuk dua warga tempatan dan empat warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 44 tahun untuk membantu siasatan.
“Kita turut merampas satu gulung wayar, sebilah parang dan sebatang besi konkrit untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohamad Hamizi berkata, permohonan reman akan dilakukan terhadap kesemua suspek, esok.
Misteri tugu didakwa berkait fahaman Freemason di Lenggeng
Ahmad Hasbi

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meletakkan notis merobohkan struktur didakwa tugu dikaitkan dengan Freemason. Foto Facebook
NILAI: Penduduk di kawasan perumahan di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, di sini, meluahkan rasa tidak selesa dengan kewujudan sebuah tugu yang didakwa dikaitkan dengan pertubuhan Freemason.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau menerima aduan berhubung kewujudan batu tugu di sebidang tanah semalam.
“Penduduk meluahkan kebimbangan mengenai kewujudan batu tugu itu kerana ia didirikan di kawasan penduduk yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Strukturnya walaupun bersaiz sederhana tetapi tidak sesuai dibina di situ. Timbul juga persoalan lokasi ini dipilih sedangkan banyak lagi kawasan lain yang boleh dibina,” katanya.
Beliau berkata, susulan aduan yang diterima, pihaknya sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan lanjut dan difahamkan notis merobohkan struktur berkenaan juga sudah dikeluarkan.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan punca dan alasan tugu itu dibina di kawasan yang 95 peratus penduduknya berbangsa Melayu.
“Saya akan mendapatkan maklum balas lanjut daripada MBS mengenai status tanah ini,” katanya.
Beliau berharap penduduk setempat dapat bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Kalau macam tu betul la Sanusi, MB Kedah fitnah Anwar
Sanusi tarik balik kenyataan fitnah, Anwar setuju tarik balik saman
SITI NUR ZAWANI
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah yang dibuatnya terhadap Perdana Menteri kira-kira dua tahun lalu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Sanusi secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan beliau.
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.
“Setelah mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad.
“YAB Datuk Seri Anwar dan YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Alor Setar.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu.
Terdahulu saman difailkan Anwar berhubung ucapan Sanusi ketika kempen PRU15 di Tambun yang mendakwa Anwar seorang penipu, tidak boleh dipercayai dan tidak beretika serta telah mengkhianati mandat rakyat.
Sanusi juga mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong tidak diperoleh mengikut protokol dan prosedur yang ditetapkan, selain menuduh Anwar sebagai seorang penjenayah yang telah melakukan kesalahan yang masih kekal dalam rekod.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Anwar bersetuju untuk menarik semula Guaman Sivil terhadap Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini selepas daripada ini.
Sah Pasport menantu Muhyiddin ni sudah dibatalkan tapi macam mana dia boleh bergerak di luar negara
Bernama
Menteri KDN berkata, pihaknya akan semak bagaimana Adlan Berhan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.

Menantu bekas PM Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport milik menantu Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan telah dibatalkan.
Saifuddin berkata, ia susulan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membatalkan pasport individu yang dikehendaki itu.
“Saya difahamkan oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport individu tersebut dan hal itu telah pun dilaksanakan. Itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Beliau berkata, polis serta Jabatan Imigresen akan membantu membawa pulang Adlan, yang kini dipercayai berada di luar negara, bagi tujuan siasatan SPRM.
“Individu tersebut sememangnya dikehendaki untuk tujuan siasatan oleh SPRM. Jadi, bagaimana dua agensi di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen dan polis boleh membantu untuk membawa pulang (individu tersebut), itu keutamaan kami,” katanya.
Saifuddin berkata, pihaknya juga akan menyemak bagaimana Adlan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan menantu bekas perdana menteri itu berada di sebuah negara Asia Barat seperti yang dilaporkan media hari ini.
Adlan meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah.
Langgan:
Ulasan (Atom)

