Agensi

Nihasun kehilangan tiga jari selepas motosikalnya dipasang bom buatan sendiri oleh jirannya. Foto Agensi
Bangkok: Seorang lelaki Thailand kehilangan tiga jari selepas motosikalnya dipasang bom buatan sendiri oleh jiran yang marah kerana tempat letak kenderaannya diambil, lapor Thaiger.
Letupan itu berlaku pada pagi 7 Oktober lalu, di sebuah pangsapuri di Soi Ramkhamhaeng 65, daerah Bang Kapi, Bangkok.
Mangsa, Nihasun Sun Lathe, 21, kehilangan ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah akibat letupan berkenaan.
Nihasun berkata, dia ternampak objek mencurigakan diikat pada roda hadapan motosikal miliknya sebelum cuba menanggalkannya.
Namun, sebaik disentuh, objek itu meletup lalu menyebabkan tiga jarinya putus.
Mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan tinggal di pangsapuri itu bersama isterinya dan mendakwa tidak pernah bergaduh dengan mana-mana jiran.
Dalam pada itu, siasatan polis mendapati seorang lelaki, Suthat Denyingyot, 32, keluar dari biliknya antara jam 4 hingga 5 pagi pada hari kejadian dan menghampiri motosikal mangsa.
Saksi juga memberitahu polis bahawa Suthat sering marah dan kerap mengadu apabila tempat letak kenderaannya digunakan orang lain.
Hasil soal siasat kemudian membawa kepada pengakuan Suthat bahawa dia meletakkan bom pada motosikal mangsa kerana berang tempatnya diambil.
Suthat yang turut bekerja sebagai penghantar makanan mengaku belajar membuat bom melalui video YouTube dan membeli bahan secara dalam talian.
Susulan itu, polis yang menggeledah biliknya dan turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan buatan sendiri.
Suspek kini didakwa atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah dan polis sedang meneliti bahan yang dirampas bagi menentukan sama ada ia dikategorikan sebagai komponen bahan letupan.


















