"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pelajar saman mantan guru lebih RM1 juta

KOSMO!
GAMBAR Sekolah Menengah Compassvale, Singapura. - Foto Google Maps
SINGAPURA – Seorang lelaki berusia 27 tahun di Singapura menyaman bekas guru sekolah menengahnya di mahkamah atas tuduhan fitnah dan kecuaian sebagai seorang pendidik, lapor portal berita MSNews hari ini.

Dia menuntut ganti rugi sebanyak  SGD$500,000 (RM1.6 juta) kerana mendakwa tindakan guru tersebut menyebabkan dia dibuli dan akhirnya berhenti sekolah.

Wen Shang En merupakan pelajar di Sekolah Menengah Compassvale ketika guru kelasnya merangkap guru Bahasa Inggeris pada masa itu, Zhuo Ying Qi, didakwa memfitnahnya.

Guru itu mendakwa bahawa dia terlibat dalam tingkah laku seksual yang tidak senonoh di hadapan sekolah.

Selain Zhuo, Wen juga telah menyaman bekas penolong pengetuanya atas tuduhan fitnah.

Penolong pengetua itu telah memohon agar kes tersebut dibatalkan. 

Zhuo menafikan tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa beliau telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan merujuk Wen kepada kaunselor sekolah dan menghubungi ibunya apabila dia ponteng kelas.

Beliau berkata, Wen mempunyai masalah mengawal kemarahan serta ketagihan terhadap permainan video dan pornografi pada masa itu. – AGENSI

Lengan wanita putus digigit singa

KOSMO
Mangsa dibawa ke hospital selepas lengannya putus digigit singa di Zoo Darling Downs pada Ahad lalu. - Nine News
CANBERRA – Seorang penjaga zoo di Australia putus lengan selepas diserang seekor singa ketika memerhatikan  akitangan lain  bekerja, lapor akhbar The Sun UK. 

Kejadian berlaku di Zoo Darling Downs, negeri Queensland pada Ahad lalu. 

Mangsa dibawa ke Hospital Princess Alexandra di Brisbane untuk rawatan lanjut. 

Pihak zoo dalam satu kenyataan berkata, wanita terbabit sedang memerhati penjaga lain sebelum diserang singa. 

“Haiwan itu menggigit sebelah lengan mangsa semasa kejadian. Polis serta pegawai kesihatan dan keselamatan tempat kerja sedang menjalankan siasatan. 

“Kami akan bekerjasama dengan mereka untuk mengenal pasti punca kejadian. Maklumat lanjut tidak akan diketahui sehingga mangsa boleh ditemu bual,”tulis zoo itu di media sosial. – AGENSI

Kedah: Peserta berbasikal maut bertembung kereta

Bernama

ALOR SETAR: Seorang peserta acara kayuhan berbasikal maut apabila terlibat nahas dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Muda, Langkawi.

Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari, berkata kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa Low Beng Seng, 28, dari Langkawi maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Beliau berkata, Bilik Gerakan IPD Langkawi menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira 8.45 pagi.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang berkayuh dengan beberapa pelumba kelompok belakang dalam acara kayuhan sejauh 68km.

“Tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai cuba mengelak daripada bergesel dengan pelumba lain mengakibatkannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu wanita berusia 26 tahun, datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu di media sosial video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut.

Anggota polis dipukul ketika leraikan pergaduhan di hospital

MOHD. FAHMI ISMAIL

SUNGAI BULOH – Seorang anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Hospital Sungai Buloh cedera pada bahagian muka selepas dipukul seorang lelaki tempatan ketika cuba meleraikan pergaduhan di wad kecemasan hospital berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi Sabtu itu, Pusat Kawalan Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan berlaku kekecohan di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, sebaik pasukan peronda polis tiba, mereka mendapati seorang anggota di pondok polis hospital telah dipukul seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an.

“Berdasarkan maklumat awal, anggota terbabit cuba meleraikan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dan seorang wanita sebelum suspek bertindak agresif lalu menyerangnya.

“Ketika cubaan untuk menggari dibuat, berlaku pergelutan apabila anggota polis itu dihalang dan diganggu. Bagaimanapun, dengan bantuan orang awam, suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke IPD Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan malam ini,

Susulan itu, suspek kini direman empat hari sehingga 9 September bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-4507492. – KOSMO! ONLINE

Pakar patologi inkues Zara buat repot polis kerana diancam warganet

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu melaporkan kepada polis ancaman diterima daripada warganet susulan keterangannya dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda.

“Kami terima laporan daripada beliau petang semalam.

“Dalam laporan itu, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengenai ancaman berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.

Menurut laporan, Jessie, 58, yang telah berkhidmat di HQE sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan ijazah sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya.

Beliau juga ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Perubatan dan Sains Forensik Malaysia, serta Persatuan Undang-undang, Perubatan, dan Sains Indo-Pasifik.

Pakar tersebut menjalankan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta memberi keterangan sebagai saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen, dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

Pada 4 Sept, dalam inkues kematian Zara, pakar itu menyerahkan kepada Mahkamah Koroner menentukan sama ada pelajar Tingkatan Satu itu terjun dari asrama atas kehendak sendiri atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Ram Singh mengenai kemungkinan remaja 13 tahun itu melompat sendiri dari lokasi kejadian.

Sebelum itu, Jessie menolak kemungkinan Zara ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.

Jessie berkata, besar kemungkinan mangsa melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama, lapor Harian Metro.

Inkues Zara: Seorang doktor kesal kredibiliti pakar patologi dipertikai digelar ‘pantatlogi’

Kenapa hina guru saya, doktor kesal kredibiliti pakar patologi dipertikai

SITI NUR ZAWANI

Seorang doktor kecemasan, Dr Muhamad Naim Ab Razak meluahkan rasa kesal apabila pakar forensik yang juga saksi pertama Inkues Zara Qairina menjadi sasaran kecaman di media sosial.

Menurut beliau, hatinya benar-benar terluka apabila seorang kenalan yang dianggapnya sebagai seorang guru dihina dengan gelaran biadab.

“Saya tidak akan sesekali menerima jika guru saya dihina dengan panggilan seperti ‘pantatlogi’.

“Guru saya, seorang pakar forensik hebat yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang perubatan forensik termasuk 27 tahun sebagai pakar.

“Dialah orang yang membangunkan Jabatan Forensik di Sabah. Dahulu, beliau berseorangan menjelajah seluruh Sabah untuk melakukan bedah siasat mayat dalam kes jenayah atau berprofil tinggi,” katanya menerusi hantaran panjang yang dimuat naik di Facebook.

Kata Dr Muhamad Naim, majoriti pakar forensik dan pegawai perubatan forensik di Sabah merupakan anak didik pakar terbabit termasuk dirinya sendiri.

“Beliau mengajar saya kepentingan autopsi dalam mencari keadilan buat si mati, mendidik saya kekal rendah hati, dan melatih cara memberi keterangan di mahkamah,” ujarnya.

Beliau turut menggambarkan gurunya itu sebagai seorang yang berakhlak mulia, tidak meninggikan suara, tidak cerewet dan sangat menghormati urusan jenazah Islam meskipun bukan beragama Islam.

“Kadang-kadang saya terserempak beliau membeli bunga lewat malam di Pick N Pay untuk disedekahkan. Beliau juga sering membelanja kami. Beliau sangat sensitif dengan urusan jenazah Islam dan akan berusaha sedaya upaya memudahkan urusan terakhir.

“Malah, di jabatan yang diterajuinya, bedah siasat kadangkala dilakukan pada waktu malam agar jenazah Muslim dapat segera dikebumikan.

“Saya sendiri tidak mampu melakukannya seperti beliau. Beliau juga peka dengann keperluan staf Muslim, daripada waktu solat hinggalah soal makanan halal,’ kata Dr Muhamad Naim lagi.

Katanya, beliau juga terinspirasi dengan kerendahan hati pakar tersebut sehingga pernah menulis novel fiksyen forensik kerana terlalu mengagumi disiplin berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan mencari kebenaran tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina individu tidak bersalah, apatah lagi tokoh yang telah banyak menyumbang kepada bidang forensik negara.

“Maaflah. Saya lebih rela kehilangan seorang kawan daripada melihat guru yang saya cintai dihina dan dimaki sebegini,” tulisnya.

Menyeramkan: Darah menitis dari siling hospital

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan darah menitis dari siling bangunan di Hospital Barry, Wales. - WNS
CARDIFF – Pesakit sebuah hospital di Wales berdepan detik menyeramkan apabila cecair merah pekat seperti darah dilihat menitis dari siling bangunan, lapor akhbar The Sun UK. 

Penemuan aneh itu berlaku di sebuah bilik konsultasi di Hospital Barry. 

Seorang pegawai Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Wales berkata, pegawai-pegawai perubatan terpaksa bekerja dalam persekitaran kotor dalam jangka masa yang lama.

“Selain tikus berkeliaran di atas siling, darah tiba-tiba menitis ke lantai berhampiran tempat pesakit duduk. Kami kerap mendengar haiwan perosak itu berlari-lari di atas siling,” katanya. 

Lembaga Kesihatan Universiti Cardiff dan Vale menegaskan bahawa tindakan segera akan diambil untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kami amat kesal dengan kebimbangan yang dibangkitkan mengenai keadaan salah satu bilik konsultasi yang daif  di Hospital Barry.

“Pencegahan dan pemantauan haiwan perosak telah dilaksanakan. Kami juga akan menjalankan tinjauan menyeluruh di hospital untuk menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan,” kata seorang jurucakap pihak berwajib. – AGENSI

Chegubard ditahan berkait ucapan berunsur hasutan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali Chegubard malam tadi kerana didakwa membuat ucapan berunsur hasutan dan dakwaan tidak berasas berhubung institusi diraja dalam satu ceramah politik di Bagan Serai 1 Sept lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada 10.25 malam tadi dan polis akan memohon perintah reman hari ini.

Katanya, polis mengesan satu hantaran di TikTok memaparkan Badrul sedang menyampaikan ucapan berunsur hasutan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Kedah: Mayat lelaki dalam kereta di parkir stesen minyak

Bernama 
Mayat seorang lelaki ditemui di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Bandar Perdana, dekat Sungai Petani, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mangsa dikenali sebagai Amear Mat Isa, 51, berasal dari Kampung Bukit Choras, Pendang.

Katanya kira-kira jam 3.15 petang semalam, polis menerima panggilan memaklumkan terdapat sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir stesen minyak berkenaan sejak Khamis lalu.

“Di dalamnya terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak bergerak dan kenderaan itu berbau busuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata siasatan awal di lokasi kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.

“Mangsa mempunyai rekod penyakit dan kenderaan itu dikesan masuk ke kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi Rabu lalu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya.

- Bernama

Jual daging kucing RM26 sekilogram kerana terdesak perlu wang

KOSMO
Suspek diberkas di Balai Polis Pagar Alam. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa menjual ratusan daging kucing pada harga 100,000 rupiah (RM26) bagi setiap satu kilogram, lapor portal berita Lambe Turah. 

Suspek dikenali sebagai Sujady itu menjual daging kucing di bandar Pagar Alam, wilayah Sumatera Selatan. 

Ketua Polis Pagar Alam, AKBP Januar Kencana Setia berkata, penjualan daging itu berlangsung kira-kira empat bulan sejak perayaan Hari Raya Aidilfitri. 

“Berdasarkan keterangan suspek, dia telah membunuh lebih 100 ekor kucing. Dia berbuat sedemikian kerana memerlukan duit,” kata Januar. 

Suspek menjelaskan bahawa kucing-kucing itu ditangkap di jalan raya atau kawasan perumahan. 

“Saya akan berjalan dan menjual 100,000 rupiah bagi satu kilogram. Biasanya saya menjual 120,000 rupiah (RM31) tetapi dikurangkan kepada 100,000 rupiah. 

“Seekor kucing akan menghasilkan 1.5 kilogram daging. Organ dalaman haiwan itu tidak dijual,” kata suspek ketika disoal siasat. – AGENSI

'Kantoi' guna duit syarikat, lelaki tikam diri sendiri, reka cerita disamun

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Pemandu lori sanggup menikam dirinya sendiri supaya tidak 'kantoi' dengan majikan selepas menggunakan wang syarikat dipercayai bagi kegiatan judi.

Dalam kejadian di Jalan Minden 1 di sini, semalam, lelaki berkenaan didakwa sanggup menikam dirinya sendiri dengan pisau sebelum mereka cerita bahawa dia disamun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu ditikam dalam kejadian samun.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori makanan beku.

"Dia mendakwa disamun tiga lelaki warga tempatan dan ditikam di bahagian perut jam 7.45 petang di lokasi berkenaan.

"Lelaki terbabit memaklumkan kejadian itu kepada majikan selepas ditanya mengenai kelewatannya kembali ke pejabat sebelum majikan menghantar pekerja lain bagi mencarinya di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, lelaki berkenaan ditemukan cedera dalam lori dan kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) rawatan lanjut.

Katanya, pisau yang digunakan dalam kejadian adalah berukuran 22.5 sentimeter panjang dan kedalaman luka di bahagian perut adalah 3.5cm.

"Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu sebenarnya bukan disamun dan ditikam.

"Dia sudah membelanjakan kutipan hasil jualan produk syarikat sebanyak RM3,000 dan mereka cerita kejadian samun palsu ini bagi menipu majikan," katanya lagi.

Sementara itu, majikan mangsa berkata suspek baharu tiga bulan berkerja sebagai pemandu lori penghantar makanan laut sejuk beku di syarikatnya dan didakwa sudah beberapa kali terbabit dengan kehilangan wang syarikat.

Dua bayi meninggal dunia selepas digigit tikus dalam hospital

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan seekor tikus berkeliaran di dalam Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao. - NDTV
NEW DELHI – Dua bayi meninggal dunia selepas digigit tikus yang berkeliaran di sebuah hospital kerajaan terbesar dalam i negeri Madhya Pradesh, lapor akhbar The Independent. 

Kejadian berlaku di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao (MYH), baru-baru ini.

Pengarah hospital, Dr Ashok Yadav mengesahkan bahawa kedua bayi tersebut baru dilahirkan.

“Seorang bayi digigit tikus pada jarinya, manakala seorang lagi mengalami gigitan pada bahagian kepala dan bahu,” katanya. 

Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian yang tular di media sosial menunjukkan haiwan perosak itu berkeliaran di dalam wad.

Pihak hospital tampil menjelaskan bahawa punca utama kematian mereka bukan disebabkan tikus, sebaliknya masalah penyakit jantung kongenital sejak lahir. 

Mereka turut menggantung tugas dua jururawat dan jururawat penyelia berikutan kematian itu. – AGENSI

Dikejar 30 minit sebelum ditangkap cuba menyusup masuk negara

Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran bersama dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi semalam pada kedudukan 0.04 batu nautika barat daya Morib.

Menurutnya, operasi itu dijalankan melalui Op Khas Jalur Belakang hasil maklumat risikan serta bantuan daripada Area Control Centre (ACC) Klang.

“Kira-kira pukul 12 tengah malam, ACC mengesan sebuah bot mencurigakan. Bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan.

“Bot terbabit terus memecut sehingga berlaku aksi kejar-mengejar hampir 30 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, bot berkenaan akhirnya terkandas di kawasan bakau Morib sebelum pemeriksaan dijalankan.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menemui kru di atas bot, namun pencarian di kawasan sekitar berjaya menemui dua lelaki warga Indonesia berusia 22 dan 33 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Bot serta kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rafizi: Elit politik Malaysia perlu muhasabah dari insiden di Indonesia

Rafizi Ramli

Seluruh dunia tertumpu kepada perkembangan di Indonesia, apatah lagi kita di Malaysia yang serumpun dengan saudara-saudara di Indonesia.

Reaksi rakyat Malaysia rata-ratanya baik dan juga disambut baik oleh netizen Indonesia. Banyak kandungan yang saling mendoakan.

Sudah tentu ada satu dua kerat yang ingin mempolitikkan semuanya. Ini salah satu contoh - yang mendoakan supaya perkara yang sama berlaku di Malaysia dengan memberi konotasi agar kerajaan bertukar. Ada yang menambah lebih baik tentera mengambil alih.

Tidak guna kita berhujah dengan dua tiga kerat begini, tetapi kita juga wajar bermuhasabah tentang apa yang berlaku di Indonesia, terutamanya orang-orang politik seperti saya, pimpinan kerajaan dan pembuat dasar.

Kesimpulan awal yang diterima umum ialah kejadian tunjuk perasaan dicetuskan oleh kemarahan rakyat akibat tekanan kos sara hidup yang tinggi dan ledakan berlaku melihatkan kemewahan hidup ahli-ahli politik.

Sebelum kita buat kesimpulan rambang, kita wajar semak prestasi ekonomi Indonesia selama dua dekad.

Sebenarnya, secara makroekonomi, pertumbuhan ekonomi Indonesia dari 2004 hingga 2024 adalah setara dengan Malaysia, kalau tidak lebih baik.

Semua petunjuk ekonomi menunjukkan pencapaian ekonomi yang baik.

Pertumbuhan ekonomi

Secara purata, ekonomi Indonesia tumbuh lebih baik sedikit dari Malaysia dalam tempoh ini. Hanya ada beberapa tahun yang pertumbuhan ekonomi Indonesia tidak setanding dengan Malaysia, itu pun kerana pertumbuhan Malaysia dalam tahun 2010 dan 2022 melonjak selepas menguncup, sedangkan Indonesia tidak mengalami kemelesetan dalam 2009 seperti Malaysia; dan penguncupan akibat COVID adalah lebih sederhana berbanding Malaysia.

Begitu juga petunjuk lain seperti kadar inflasi. Kadar inflasi Indonesia lebih kurang seperti Malaysia. Bagi tahun 2024, inflasi Indonesia 2.9 peratus berbanding Malaysia 1.8 peratus.

Kadar pengangguran Indonesia adalah 3.3 peratus berbanding Malaysia 3.8 peratus bagi tahun 2024.

Malah, kedudukan kewangan kerajaan Indonesia adalah jauh lebih stabil, dengan kadar hutang kerajaan sekitar 40 peratus dari saiz ekonomi, berbanding 65-66 peratus bagi Malaysia.

Jadi bagaimana ekonomi Indonesia, yang pada pengamatan biasa ahli ekonomi berada dalam keadaan memberangsangkan, menghasilkan rasa tidak puas hati yang begitu tinggi di kalangan rakyatnya?

Ini adalah muhasabah yang ahli politik dan pembuat dasar Malaysia perlu ingat.

Angka-angka makro itu penting. Ekonomi mesti berkembang pesat, inflasi dikekang supaya tidak menghakis kuasa beli, rakyat mesti ada pekerjaan.

Tetapi angka makro tidak memberi gambaran keseluruhan, sekiranya laba dari perkembangan ekonomi itu tidak sampai kepada rakyat dengan cepat.

Apa pertalian di antara angka makro dengan kedudukan sosio ekonomi rakyat, yang selalu disebut sebagai ekonomi mikro?

Pertumbuhan ekonomi di peringkat makro perlu diterjemahkan kepada kenaikan gaji yang setimpal kepada rakyat. Angka ekonomi lapisan kedua yang sama penting ialah pelaporan gaji rakyat.

Kadar inflasi dan gaji rakyat

Kadar inflasi di peringkat makro mesti dibandingkan dengan beban kos sara hidup bulanan isi rumah. Angka ekonomi lapisan kedua yang sama penting ialah statistik pendapatan boleh belanja bersih (net disposable income) yang mengukur lebihan gaji setelah ditolak perbelanjaan utama.

Inflasi yang kekal perlahan adalah baik, tetapi harga tinggi yang kekal ditakuk lama, kalau gaji tidak naik dengan lebih cepat, akan tetap menekan rakyat.

Begitu juga dengan kadar pengangguran.

Kadar pengangguran yang rendah tidak bermakna rakyat melakukan kerja yang setimpal dengan kelayakan, atau mendapat gaji yang setimpal.

Sekali lagi, laporan gaji rakyat adalah angka ekonomi lapisan kedua yang penting untuk memahami perkara-perkara ini. Dari sini, kita boleh tahu sama ada pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kenaikan gaji dan kerja sepadan yang setara kepada rakyat.

Sudah tentu realitinya lebih mencabar.

Pertumbuhan ekonomi, seperti yang berlaku di Indonesia, tidak semestinya diterjemahkan menjadi laba kepada rakyat dengan segera. Sebab itu setiap kenaikan cukai atau kos, walaupun ia berkadar dengan kenaikan kos pengeluaran yang perlu ditanggung, ditentang oleh rakyat.

Di sinilah pentingnya dasar dan program ekonomi yang mengubah struktur ekonomi, agar pertumbuhan bukan sahaja lebih mampan, laba ekonomi juga dapat dirasai pada kadar yang berpatutan oleh rakyat.

Bentuk-bentuk dasar yang penting ini termasuklah reformasi pasaran kerja berkaitan pergantungan kepada pekerja asing, program sokongan kenaikan gaji dan peningkatan kemahiran untuk pekerjaan bernilai tinggi.

Selain itu, negara memerlukan tambah baik segera kepada sistem perlindungan sosial dan agihan bantuan yang lebih cekap.

Tetapi muhasabah paling besar dari insiden di Indonesia adalah kepada ahli politik dan golongan elit.

Jika rakyat melihat ahli politik, yang dari segi pendidikan atau kemahiran tidaklah banyak berbeza dari mereka, tiba-tiba boleh hidup mewah hasil dari kedudukan mereka, maka rakyat akan rasa mual dan marah.

Begitu juga kepada tokoh-tokoh yang dilihat sebagai rapat dengan pemerintah atau pun dianggap kroni mereka yang berkuasa.

Jika kemahiran dan usaha mereka tidak seberapa tetapi dilihat kaya serta merta dan mewah melampaui batas, rakyat akan benci dan golongan elit pemerintah juga akan terpalit.

Jadi jangan marah saya jika saya terus bersuara memberi peringatan mengenai beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini, kerana rakyat kita pun sentiasa memerhati golongan elit di kalangan ahli-ahli politik, keluarga dan rakan-rakan mereka.

Kelantan: Mudir pondok direman ‘sentuh’ remaja lelaki

ROHANA ISMAIL
Anggota polis membawa seorang mudir pondok untuk prosiding lanjutan reman di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
PASIR MAS – Seorang mudir di sebuah pondok disambung reman tujuh hari bermula esok bagi membantu siasatan kes liwat melibatkan seorang remaja lelaki.

Lanjutan tahanan reman sehingga Jumaat depan terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 377C, Seksyen 5 dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki kenderaan polis kira-kira pukul 9.50 pagi sebelum turun dan berjalan dengan menggunakan tongkat.

Sementara itu, menurut sumber, lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 4.06 petang pada 29 Ogos lalu di dalam sebuah kereta di Tumpat dekat sini.

Penahanan itu dibuat susulan laporan yang dibuat oleh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengenai kejadian liwat dan amang seksual yang berlaku terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, suspek direman buat kali pertama pada 30 Ogos lalu yang berakhir esok sebelum pihak polis memohon lanjutan reman hari ini bagi melengkapkan siasatan. – KOSMO! ONLINE

Polis tahan ibu bapa 2 beradik lemas kereta gelongsor masuk sungai 3 hours ago

FMT Reporters

Mereka ditahan selepas memberi keterangan meragukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian semalam, dua beradik terbabit ditemukan lemas manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir tiba-tiba tergelongsor masuk ke dalam sungai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis menahan ibu bapa kepada dua kanak-kanak yang ditemukan lemas selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir secara tiba-tiba menggelongsor dalam Sungai Linggi Tanjung Agas, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun dan wanita berumur 41 tahun itu ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta digunakan mendapati ia merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada 2022,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-965 4927 bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua beradik terbabit ditemukan lemas manakala ibu dan bapanya terselamat selepas kereta yang berada dalam keadaan parkir tiba-tiba tergelongsor masuk ke dalam sungai.

Ketua Polis Port Dickson Maslan Udin dipetik berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa empat beranak itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit dan secara tiba-tiba kenderaan mereka menggelongsor jatuh ke dalam sungai.

Katanya, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian ruangan penumpang hadapan dan kereta itu berkemungkinan mempunyai masalah teknikal.

Isteri jumpa rangka suami hilang dalam tangki septik selepas tiga tahun

Astro Awani

Laporan Bangkok Post tentang penemuan tulang dan tengkorak manusia di dalam tangki septik lama belakang rumah ketika kerja pembersihan untuk membina bilik air baharu. -Foto Bangkok Post

NAKHON RATCHASIMA: Seorang wanita di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand, menemui rangka manusia dipercayai milik suaminya yang telah hilang sejak tiga tahun lalu.

Tawee Paekratok berkata dia menemui tulang dan tengkorak manusia itu di dalam tangki septik lama yang tertutup semak di kawasan belakang rumah ketika kerja pembersihan untuk membina bilik air baharu.

Penemuan turut disertai pakaian dikenal pasti sebagai milik suaminya, Seung Paekratok, 66, yang dilaporkan hilang pada November 2022, termasuk kemeja kuning yang sering dipakai.

Menurut Tawee, suaminya sering menggunakan air sisa dari tangki tersebut untuk membuat baja kompos dan dipercayai mungkin terjatuh ke dalam tangki ketika mabuk.

Bau busuk yang berlarutan selama bertahun-tahun disangka berpunca daripada baja organik yang digunakan di kawasan itu.

Polis telah menghantar rangka tersebut ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Maharat Nakhon Ratchasima untuk ujian DNA dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Walaupun identiti rasmi masih menunggu pengesahan, keluarga mangsa yakin bahawa rangka itu milik Seung berdasarkan pakaian dan lokasi penemuan.

Tawee turut memaklumkan bahawa dia pernah bermimpi suaminya berdiri di luar rumah, yang dianggap oleh jiran sebagai petanda bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Dia merancang untuk mengadakan upacara keagamaan sebaik sahaja mendapat pengesahan rasmi.

Van jenazah dicuri terlibat kemalangan

Izz Laily Hussein
Keadaan van jenazah milik Surau Nurul Haq, Jalan Besar, Sungai Sayong, dicuri sebelum terbabit dalam kemalangan, hari ini. FOTO Ihsan Polis
KULAI: Seorang lelaki tempatan ditahan hari ini selepas disyaki mencuri van jenazah milik sebuah surau di daerah ini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan van jenazah dengan lori di Lebuhraya Skudai jam 2.30 pagi.

Menurutnya, van jenazah tersebut didapati milik Surau Nurul Haq, Jalan Besar, Kampung Sungai Sayong yang dicuri antara jam 12.01 tengah malam hingga jam 2 pagi.

“Polis kemudian membuat tangkapan ke atas lelaki berusia 21 tahun dan membuat rampasan van jenazah terbabit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Seng Lee, pada jam 8.10 pagi, seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) surau, lelaki berusia 50 tahun membuat laporan polis.

“Pengadu memaklumkan dia didatangi dua anggota polis Balai Polis Air Bemban pada jam 4.30 pagi tadi memaklumkan van jenazah jenis Toyota Hiace milik surau berkenaan terbabit kemalangan.

“Suspek mempunyai 14 rekod lampau jenayah dan siasatan dibuat bagi mengesan pembabitan suspek dalam kes jenayah lain. Tiga rakan sejenayah suspek sedang dikesan,” katanya.

Menurutnya, suspek cedera di muka dan kaki akibat kemalangan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Kelantan: Pekerja ladang intai gajah berjalan parah dipijak, dibelit belalai

AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seekor gajah turun minyak sebelum bertindak memijak dan membelit seorang pekerja ladang warga Nepal hingga parah dengan belalai selepas mendapati lelaki itu mengintai pergerakannya semasa berjalan di kawasan sebuah ladang dekat Pos Blau di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Shukri Abdulah @ Muti Bahadur Bayambu, 54, mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki, dada dan leher selepas diserang gajah liar.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dipercayai dibelit dengan belalai sebelum dibawa lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian sebelum dipijak gajah dan ditinggalkan di bawah bukit.

Katanya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa melalui jalan di dalam ladang untuk pulang ke rumah kongsi dengan menunggang motosikal.

“Semasa berada pertengahan jalan ladang tersebut, mangsa mendapati ada kesan tapak gajah di atas jalan ladang itu.

“Mangsa bertindak mengintai haiwan itu dan tanpa disedari seekor gajah telah menyambar mangsa dengan belalainya dan membawanya lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian dan dipijak sebelum meninggalkan mangsa di bawah bukit,” katanya.

Choon Foo memberitahu, lelaki itu dijumpai oleh pekerja ladang lain yang terdengar bunyi jeritan mangsa mengerang kesakitan.

Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan. Lelaki itu hanya boleh bercakap dalam keadaan yang terhad dan perlahan kerana kesakitan.

“Mangsa akan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya. Berdasarkan maklumat isterinya yang merupakan warga Indonesia, Muhammad Shukri sudah bekerja di ladang berkenaan sejak tiga tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kecederaan Zara Qairina sepadan akibat jatuh, bukan dipukul - Pakar patologi

Bernama 

Dr Jessie Hiu berkata Zara Qairina dipercayai melompat atau bergayut sebelum ditemukan tidak sedarkan diri. -Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Seorang pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa remaja berusia 13 tahun itu dipercayai sama ada melompat atau bergayut sebelum ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan kedudukan serta lokasi penemuan mangsa.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan pegawai pengendali kes, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad, pada hari kedua prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Dalam keterangannya semalam, Dr Hiu menjelaskan bahawa berdasarkan ketinggian dan kelebaran penghadang konkrit, ketinggian palang besi melintang, serta ketinggian mangsa sebelum kematian, adalah berkemungkinan untuk mangsa memanjat penghadang, melintasi palang besi berkenaan, dan berdiri di atasnya.

Pada prosiding hari ini, Dr Hiu turut mengesahkan beberapa gambar yang dikemukakan Badius Zaman, iaitu gambar diambil semasa demonstrasi di lokasi kejadian pada 2 Ogos oleh seorang pegawai perubatan yang membantunya dalam siasatan tersebut.

Ketika disoal peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja didakwa membuli Zara Qairina, Dr Hiu menegaskan tiada bukti forensik yang menyokong dakwaan bahawa mangsa dipukul hingga pengsan sebelum diletakkan di lokasi kejadian.

Apabila ditanya sama ada kecederaan mangsa menyerupai kesan akibat pukulan berulang menggunakan objek tumpul, Dr Hiu menjelaskan bahawa perkara itu tidak dapat dilihat dalam kes ini.

"Kecederaan patah pada kedua-dua kakinya adalah serius dan memerlukan daya impak yang tinggi, biasanya berlaku akibat jatuh dari tempat tinggi atau kemalangan jalan raya.

"Fraktur pada tulang lumbar pula disebabkan oleh daya dalaman, bukan impak terus dari luar," tambah beliau.

Menurut Dr Hiu, kecederaan akibat serangan fizikal lazimnya melibatkan daya yang besar dengan kerosakan meluas pada kulit dan tisu lembut di bahagian luar.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai, sehari selepas beliau ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar pukul 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Prosiding inkues diteruskan di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

-- BERNAMA

Wanita maut jatuh kondominium disahkan tidak hamil

Buletin TV3 

Zuhainy Zulkiffli

BAYAN LEPAS: Kematian wanita berpakaian kostum anime yang mayatnya ditemukan di tempat letak kereta selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 28 bangunan kondominium dihuninya, malam tadi disahkan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata ia susulan hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa tidak hamil seperti didakwa dan punca kematian adalah akibat impak jatuh dari tempat tinggi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 34 tahun yang ditemukan maut di tempat letak kereta sebuah kondominium itu mengalami tekanan kerana ditinggal teman lelaki.

Sazalee berkata, ibu mangsa turut mendakwa anaknya dipercayai hamil lima bulan.

Kejadian itu tular di media sosial termasuk gambar yang didakwa wanita berkenaan berpakaian karakter anime sebelum kejadian.

Zara terjun atau tidak, pakar serah Mahkamah Koroner tentukan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menyerahkan kepada Mahkamah Koroner menentukan sama ada Zara Qairina Mahathir terjun dari asrama atas kehendak sendiri atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Ram Singh mengenai kemungkinan remaja 13 tahun itu melompat sendiri dari lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Ram adalah peguam mewakili seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-kanak kerana disyaki membuli Zara.

Ram: Berdasarkan keterangan anda hari ini dan semalam, anda menyatakan Zara tidak terjatuh secara tidak sengaja dan juga tidak ditolak. Soalan saya, jika ia bukan satu kemalangan dan bukan kerana ditolak, adakah terdapat kemungkinan dia melompat atas kehendaknya sendiri?

Jessie: Dia berdiri di atas lantai berhampiran pagar, bukan di atas pagar seperti ditunjukkan dalam gambar.

Ram: Jika bukan secara tidak sengaja dan bukan kerana ditolak, ketika berdiri atau duduk di atas pagar, adakah kemungkinan untuk menolak yang dia terjatuh atas kehendaknya sendiri?

Jessie: Itu terserah kepada mahkamah untuk menentukan.

Ram: Apakah definisi yang digunakan dalam situasi seperti ini bahawa si mati melakukannya sebagai satu perbuatan membunuh diri?

Jessie: Sama juga, terserah kepada mahkamah membuat keputusan mengenainya.

Wanita berpakaian kostume anime maut terjatuh kondominium

Sinar Harian

Kejadian berlaku di sebuah kondominium di Bayan Lepas pada malam tadi. - Foto Sinar Harian

BALIK PULAU: Seorang wanita berpakaian kostum anime menyerupai karakter ‘Kurumi Tokisaki’ ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Bayan Lepas, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, mayat mangsa dijumpai orang awam di kawasan parkir berhampiran blok kediaman selepas mereka terdengar bunyi dentuman kuat.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi dentuman sebelum keluar rumah untuk memeriksanya.

“Pada mulanya kami (penduduk) sangka bunyi gegaran, tetapi apabila keluar rumah ternampak seorang wanita sudah terbaring di atas jalan,” katanya.

Mangsa sebelum ini dilihat sering berada di kawasan lobi kondominium dengan memakai kostum anime.

Difahamkan, kali terakhir mangsa kelihatan bersama seorang wanita dipercayai ibunya pada hari kejadian.

Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk dibedah siasat. - Sinar Harian

Bersatu tak bersatu gamaknya

Mohsin Abdullah

Masalah bermula pada perhimpunan agung tahunan 2023, selepas Muhyiddin Yassin buat u-turn untuk kekal sepenggal lagi.

Satu surat yang dihantar untuk siaran portal berita Malaysiakini 28 Ogos lalu amat menarik, ditulis oleh Ketua Bersatu Cawangan Padang Jawa, Ahmad Azarul. Diberi tajuk ‘Bersatu perlu lakukan perubahan segera’, surat itu sekadar 19 perenggan tetapi padat. Meskipun ditulis oleh hanya pemimpin peringkat cawangan, ia wajar diberi perhatian.

Ia dimulakan dengan penulis menyatakan Bersatu kini dalam fasa mencabar untuk mengekalkan kerelevanan pada pandangan rakyat. Menurut beliau, beberapa kelemahan dalaman menyebabkan parti boleh dikatakan terperangkap dan gagal meraih sokongan masyarakat secara konsisten.

Azarul berpandangan punca utama ialah kegagalan parti untuk benar-benar berperanan sebagai pembela rakyat. Menurut beliau, Ahli Parlimen Perikatan Nasional sudah berusaha keras memperjuangkan isu rakyat di Parlimen tetapi usaha mereka seakan-akan tidak mendapat dukungan sewajarnya daripada parti.

Kata beliau lagi, untuk menjadi pembangkang yang berkesan sepatutnya wujud kerjasama erat antara parti dan Ahli Parlimen, “malangnya hari ini wakil-wakil rakyat pembangkang dilihat bergerak sendiri tanpa sokongan padu daripada parti.”

Azarul bercakap mengenai ‘wakil rakyat pembangkang’, ertinya bukan sekadar partinya sendiri. Mungkin apa yang beliau cakap mengenai Bersatu tidak dipertikaikan kerana beliau orang Bersatu tetapi adakah kata-kata beliau juga terpakai untuk PAS? Selama ini anggapan umum ialah wakil rakyat PAS mendapat sokongan PAS secara total.

Apa pun, surat Azarul dilihat sebagai nasihat dan pandangan untuk memperbetulkan Bersatu lantas beliau mencadangkan beberapa langkah transformasi termasuk rombakan struktur kepimpinan serta penyusunan semula barisan kepimpinan parti, dan pengukuhan jentera parti di semua peringkat.

Yang paling penting dilakukan ketika ini, kata beliau, ialah “proses transisi kuasa kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin perlu dipercepatkan”. Azarul memberi sebab bagi menjustifikasikan saranannya iaitu dengan memaparkan kehebatan Hamzah. Saya tidak perlu ulanginya tetapi bagi saya this is the crux of the matter.

Jika diambil kira apa yang dihuraikan Azarul, apa yang ramai sudah tahu telah disahkan yakni memang ada pasukan dalam parti yang mahu Muhyiddin Yassin digantikan oleh Hamzah. This is an open secret walaupun tanpa surat Azarul.

Persoalannya adakah Azarul bercakap bagi pihak sendiri atau beliau mewakili majoriti atau kelompok tertentu dalam parti? Adakah kumpulan yang mahu Muhyiddin digantikan lebih ramai daripada kumpulan yang mahu Muhyiddin kekal atau sebaliknya? Tidak dinafikan ada tim Muhyiddin, ada tim Hamzah dan ada tim Azmin Ali. Persoalan siapa lebih power.

Presiden Bersatu selama ini ialah pengerusi PN dan dijadikan calon PN untuk jawatan perdana menteri meskipun PAS parti terunggul dalam gabungan itu. Sejak kebelakangan ini PAS mahu struktur kepimpinan PN dirombak, sekali gus parti itu dilihat menyokong Hamzah dijadikan pengerusi PN.

Dalam pada itu, Selasa lalu FMT memetik penganalisis berkata sudah tiba masa PAS sendiri menonjolkan calonnya untuk jawatan perdana menteri PN atau jadi poster boy PN pada PRU16.

Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu ini ada dakwaan wujud gerakan untuk mendesak perwakilan membawa usul mengekalkan Muhyiddin selaku calon perdana menteri PN. Lantas Ketua Bersatu Ipoh Timur Muhammad Fadhli Ismail mengingatkan ahli tidak membawa usul berkenaan kerana itu “hanya akan merosakkan imej presiden”, membayangkan seolah-olah beliau tidak mendapat sokongan jitu.

Hakikatnya Muhyiddin menghadapi tekanan dalam parti dan gabungan PN. Baru-baru ini ada pihak membangkitkan soal kesihatan beliau pula. Tampil Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali menegaskan Muhyiddin berada dalam keadaan baik dan sedang giat membuat persiapan untuk perhimpunan Sabtu dan Ahad ini. Azmin dilihat sebagai orang kuat presiden dan dikatakan tidak sehaluan dengan Hamzah.

Bagi saya masalah bermula pada perhimpunan agung tahunan 2023. Muhyiddin mengumumkan akan berundur iaitu tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti 2024 namun dua hari kemudian beliau u-turn. Muhyiddin mahu kekal sepenggal lagi, katanya.

Maka timbul spekulasi Hamzah, yang ketika itu setiausaha agung Bersatu, akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan nombor satu pada pemilihan 2024. Dikatakan juga Azmin akan mencuba nasib sekurang-kurangnya jawatan timbalan presiden yang disandang Faizal Azumu waktu itu.

Namun pada Julai tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan apa yang disifatkan ramai sebagai ‘formula damai’ ketika Bersatu bergelora. Menurut formula itu, Hamzah dinaikkan ke jawatan timbalan presiden. Faizal memberi laluan dan menawarkan diri untuk jawatan naib presiden — ‘rela’ turun pangkat. Azmin dilantik setiausaha agung bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hamzah. Jelas ‘formula kompromi’ walaupun Azmin dipercayai tidak happy. Oh hampir lupa, Muhyiddin kekal presiden.

Ada dalam kalangan pemimpin akar umbi menyifatkan langkah Muhyiddin buat u-turn melemahkan moral akar undi. Realitinya pada permukaan Bersatu dilihat aman tetapi di sebalik keamanan ada undercurrent kuat dan ada puak-puak bertelagah.

Saya kira keadaan ini berterusan sehingga hari ini. Kumpulan yang mahu Muhyiddin digantikan jelas tidak boleh tunggu sehingga 2027 apabila tempohnya sebagai presiden tamat. Mereka mahu beliau undur atau digantikan sebelum PRU16. Muhyiddin pula nampak gaya mahu mengetuai cabaran PN pada pilihan raya itu, lantas tajuk artikel ini.

Bolehkah dikatakan PN juga tidak bersatu?

Budak lelaki parah diserang anjing

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang kanak-kanak berlari untuk menyelamatkan diri selepas diserang seekor anjing. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang kanak-kanak berlari untuk menyelamatkan diri selepas diserang seekor anjing. FOTO Tular
Kajang: Seorang kanak-kanak lelaki parah di kepala selepas diserang seekor anjing dalam kejadian dipercayai sekitar Taman Megah, Cheras, di sini.

Detik-detik cemas itu sempat sempat dirakam dari jauh oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di media sosial.

Video tular berdurasi 11 saat berkenaan memaparkan kanak-kanak malang berkenaan bergelut dengan haiwan berkenaan selamat beberapa saat sebelum berjaya melarikan diri.

Seorang penunggang motosikal dilihat cuba menyelamatkan kanak-kanak itu dengan menghalau anjing berkenaan.

Turut tular gambar mangsa yang berlumuran darah dan jelas kelihatan beberapa kesan kulit terkoyak di bahagian kepala mangsa.

Video berkenaan dikesan tular di Facebook hari ini dengan rata-rata warganet meminta tindakan segera diambil oleh pihak yang berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung insiden itu setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan membuat semakan lanjut berhubung kejadian itu.

Jejantas ini 'kita punya'

Muhamad Lokman Khairi
lokman@hmetro.com.my
SEORANG gelandangan tidur di jejantas Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
SEORANG gelandangan tidur di jejantas Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Kuala Lumpur: Beberapa jejantas pejalan kaki di sekitar ibu kota kini umpama 'rumah' buat golongan gelandangan.

Tinjauan Harian Metro di jejantas pejalan kaki di Jalan Hang Tuah, Jalan Genting Kelang dan Jalan Wangsa Maju, di sini, mendapati gelandangan meletakkan barang peribadi seperti kasut dan bakul pakaian di laluan pejalan kaki hingga mengganggu pergerakan orang awam.

Ada antara mereka tidak segan silu tidur dengan hanya berkain batik dan berbaju lusuh di tengah laluan.

Selain itu, persekitaran jejantas juga kotor dengan bau hancing dan deretan botol berisi cecair kekuningan dipercayai air kencing golongan terbabit.

Pekerja kedai runcit yang hanya ingin dikenali sebagai Teha, 33, berkata, situasi ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar raya, malah membangkitkan kebimbangan serius terhadap keselamatan orang awam terutama wanita.

"Saya sekali-sekala naik jejantas ini (Jalan Hang Tuah) apabila hendak ke pasar malam di seberang jalan sana dan pernah terlihat dua gelandangan lelaki tidur di jejantas.

"Ada yang terbaring tidur dan ada juga berkelakuan pelik seperti bercakap seorang diri bagaikan kurang siuman.

"Walaupun tiada insiden buruk setakat ini, perasaan takut itu sentiasa ada, namun saya tak pernah nampak penguat kuasa datang uruskan mereka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
BARANG peribadi seperti topi dan kotak dipercayai milik gelandangan di jejantas Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
BARANG peribadi seperti topi dan kotak dipercayai milik gelandangan di jejantas Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Sebelum ini, tular video di TikTok memaparkan gelandangan tidur bergelimpangan di jejantas berhampiran sebuah hospital swasta di Setapak, di sini.

Situasi itu mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan orang ramai dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berwajib.

Petugas perubatan di hospital itu yang hanya ingin dikenali sebagai Suraya, 30, berkata, dia berasa takut setiap kali terpaksa menggunakan jejantas berkenaan pada awal pagi dan lewat malam.

"Kadang-kadang mereka (gelandangan) kelihatan seperti kurang siuman, tidur di tengah laluan.

"Saya hanya mampu berdoa agar tiada apa-apa yang buruk berlaku terutama bila pulang kerja lewat malam.

"Ada sebahagian rakan saya lebih sanggup melintas jalan raya yang sesak dengan kenderaan daripada risikokan diri berjalan di jejantas itu," katanya.

Pemandu teksi, Azman Nasir, 57, pula menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera berkenaan isu gelandangan di kemudahan awam termasuk jejantas bagi mengelakkan insiden buruk berlaku.

"Operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu dijalankan secepat mungkin untuk membersihkan jejantas-jejantas ini.

"Selain aspek kebersihan, keselamatan warga kota terutama wanita perlu diberi keutamaan," katanya.

Bakar isteri hidup-hidup kerana berkulit gelap

KOSMO!
GAMBAR fail Lakshmi. - Foto BBC
NEW DELHI – Seorang lelaki di India dijatuhi hukuman mati kerana membakar isterinya hidup-hidup dengan alasan kulit mangsa terlalu gelap, lapor portal berita MailOnline hari ini.

Kishandas dari kampung Navaniya di barat laut India dilaporkan selalu mengejek isterinya, Lakshmi kerana berkulit gelap sebelum membunuhnya pada 24 Jun 2017, demikian menurut keterangan di mahkamah Udaipur.

Keputusan hukuman mati  itu menjadi topik utama di India di mana isu warna kulit dan sistem kasta masih berakar umbi dalam masyarakat.

Hakim Daerah, Rahul Choudhary berkata, keputusan mengenakan hukuman mati terhadap Kishandas adalah kerana kes pembunuhan itu dikategorikan sebagai yang paling jarang berlaku dan ia merupakan jenayah kemanusiaan.

Sebelum kematiannya, Lakshmi sempat memberikan kenyataan kepada polis dan kakitangan perubatan, di mana dia mendedahkan bahawa suaminya sering memanggilnya berkulit gelap.

Pada malam dia membunuh isterinya, Kishandas dilaporkan membawa botol plastik berisi cecair berwarna coklat dan memberitahu isterinya bahawa ia adalah ubat yang boleh mencerahkan kulit.

Menurut kenyataan, dia kemudian menyapu cecair itu ke seluruh tubuh isterinya sebelum menyalakan api dengan menggunakan colok.

Lakshmi dikejarkan ke hospital oleh keluarga Kishandas,  namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.  – AGENSI

Anggota tentera udara ‘hilang’ ditemui di kondo teman wanita

FMT Reporters

Ammar Ariffin, 27, ditemui oleh polis IPD Serdang yang memeriksa lokasi itu berdasarkan maklumat.
Ammar Ariffin yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dilaporkan hilang pada 23 Ogos lepas selepas sertai kursus di Insmat TUDM Bandar Kinrara. (Gambar PDRM)
PETALING: Seorang anggota tentera udara yang dilaporkan hilang sejak 24 Ogos lepas ditemui di sebuah kondominium di Ampang Jaya kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad berkata, Ammar Ariffin, 27, ditemui di dalam sebuah bilik bersama teman wanitanya di unit kondominium milik wanita itu.

“Dia ditemui oleh sepasukan polis IPD Serdang yang menjalankan pemeriksaan di lokasi itu berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya, lapor Berita Harian.

Ammar dipercayai bersembunyi di unit kondominium itu selepas terbabit kemalangan kecil dengan kenderaan seorang pegawai tentera di Subang pada malam 22 Ogos lepas.

Selepas kemalangan itu, Ammar ‘melarikan diri’ namun kemudian berjaya dihubungi pegawai tentera itu berdasarkan nombor plat keretanya.

Terdahulu Ammar yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dilaporkan hilang selepas menyertai kursus di Institut Latihan Pengurusan Material (Insmat) TUDM Bandar Kinrara.

Kali terakhir dia dilihat adalah ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali kira-kira 4.30 petang, 23 Ogos lepas.

Rakan sebilik Ammar cuba menghubunginya kira-kira 6 petang pada 24 Ogos, namun telefonnya dimatikan. Keluarganya turut tidak dapat menghubunginya sejak 24 Ogos.

Keesokan harinya, keluarganya membuat dua laporan polis. Seorang pegawai tentera udara dari Insmat turut membuat laporan selepas Ammar gagal melaporkan diri.

Muhamad Farid berkata, tiada kecederaan didapati pada badan anggota tentera udara itu, dan tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian.

Pada masa ini, pihak polis sedang berusaha mendapatkan butiran lanjut daripada Ammar mengenai kehilangannya sebelum ini, tambahnya.

Misteri penemuan mayat lima sekeluarga di rumah

Agensi

Indramayu, Indonesia: Lima sekeluarga terdiri daripada suami isteri, bapa mentua dan dua anak mereka ditemukan mati dan dikebumikan di bahagian belakang rumah mereka di Kelurahan Paoman, Daerah Indramayu, Jawa Barat, Isnin lalu.

Memetik laporan Kompas.Com, mangsa dikenali sebagai H Sahroni, 75; Budi, 45; Euis, 40; dua lagi hanya dikenali dengan pangkal nama iaitu R, 6, dan B, 3.

Tinjauan di lokasi pada Selasa mendapati rumah itu kini dipasang garisan polis dan keadaan rumah dua tingkat itu juga kelihatan tidak terurus dan berdebu dengan bahagian bawah rumah itu dicat dengan warna merah jambu, manakala tingkat atasnya berwarna krim.

Di hadapan rumah itu dipenuhi semak-samun tebal yang tidak terurus sehingga membuatkan rumah bernombor 52 itu kelihatan seperti rumah kosong. Di sebelah rumah itu juga terdapat sebuah bangunan yang dipercayai gudang.

Lokasi itu dipercayai menjadi saksi bisu tempat kelima-lima mayat itu ditanam. Kesemua mayat ditanam di dalam lubang yang sama sehingga membentuk busut tanah.

Sejak malam Isnin hingga Selasa, lokasi rumah mangsa terus didatangi oleh penduduk yang ingin tahu mengenai kejadian itu.

"Berita ini tular, jadi saya cuma ingin tahu di mana lokasinya, sekadar ingin tahu," ujar Tardiarto, 25, seorang penduduk Desa Pilangsari.

Seorang jiran, Sukarta, 50, memberitahu bahawa kesemua mangsa yang tinggal di rumah berkenaan adalah H Sahroni, anaknya, Budi, isteri kepada Budi iaitu Euis, serta kedua-dua anak pasangan itu, R dan B. Isteri Sahroni dilaporkan sudah lama meninggal dunia.

Menurutnya, selain Budi, Sahroni mempunyai seorang lagi anak tetapi sudah meninggal dunia akibat kemalangan dilanggar motosikal di hadapan rumah berkenaan.

Sukarta berkata, dia mula curiga apabila tercium bau busuk pada Ahad.

Namun, ketika itu, dia cuba berfikiran positif bahawa bau itu adalah bangkai tikus.

Tetapi Isnin lalu, bau busuk itu semakin kuat dan tercium hingga ke bengkel motosikalnya yang terletak di seberang rumah mangsa.

Bau kuat dari dalam rumah menyebabkan ahli keluarga mangsa kemudian memutuskan untuk memecahkan pintu rumah itu sebelum membawa kepada penemuan mayat lima individu berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Seksyen Hubungan Masyarakat, Polres Indramayu, AKP Tarno mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis sudah menemu bual lima individu, tetapi belum dapat memastikan punca kematian mangsa.
-Hmetro 

Rotan murid hingga lebam, guru tahfiz direman 7 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru tahfiz direman tujuh hari kerana dipercayai merotan muridnya sehingga lebam di beberapa bahagian badan.

Sinar Harian melaporkan perintah reman sehingga Selasa depan terhadap lelaki 22 tahun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Aiza Khairuddin.

Ibu mangsa yang juga anggota tentera dilaporkan melihat kesan lebam pada beberapa bahagian badan anaknya berusia 12 tahun pada Selasa.

Wanita berusia 42 tahun itu kemudian menghubungi tertuduh yang mengaku merotan anaknya kerana mendakwa sukar dikawal dan tidak mendengar arahan.

Beliau yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah dan membawa mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Sepasukan anggota polis kemudian ke pusat tahfiz itu untuk menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Pemangku Ketua Polis Alor Gajah, Azrul Mohamed dipetik Sinar Harian mengesahkan menerima laporan itu.

Kelantan: 4 pekebun sawit, getah direman kes bunuh lelaki di Sungai Kelantan

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis membawa keempat-empat suspek untuk prosiding reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini
KOTA BHARU – Empat pekebun sawit dan getah direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat lelaki di Sungai Kelantan dekat Jambatan Sultan Yahya Petra di sini pada 24 Ogos lalu.

Perintah reman terhadap empat lelaki berusia dalam lingkungan 50-an ang bermula hari ini hingga Selasa depan itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.

Tahanan reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atas kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.40 pagi tadi dengan menaiki trak polis.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, hasil bedah siasat terhadap mayat seorang lelaki yang ditemukan di Sungai Kelantan pada 24 Ogos lalu mendapati terdapat kesan luka kelar pada leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini mengesahkan kematian lelaki itu berpunca daripada kesan luka hiris pada lehernya.

Mohd. Rosdi memberitahu, sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh – KOSMO! ONLINE

Selamba sahaja punggah bahan terlarang depan pengunjung pantai

KOSM
Enam individu secara santai mengalihkan apa yang kelihatan seperti tiga bungkusan dadah dari bot laju. - Solarpix
MADRID – Sebuah video tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai penyeludup dadah memunggah bahan terlarang itu dari sebuah bot laju sambil disaksikan pengunjung pantai di Costa del Sol, Sepanyol, lapor portal berita MailOnline semalam.

Video dirakam seorang pengunjung pantai Playa Ancha pada Sabtu lalu menunjukkan sekurang-kurangnya enam lelaki secara santai mengalihkan apa yang kelihatan seperti tiga bungkusan dadah dari bot laju.

Mereka kemudian memuatkan barangan itu dan ke dalam kenderaan yang diletakkan berhampiran pantai.

Sebahagian besar daripada mereka menutup muka dengan kemeja-T ketika ‘bekerja’ di hadapan orang ramai yang menikmati percutian pantai.

Sejurus selesai memunggah kargo dari bot, empat lelaki masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ, manakala dua yang lain menaiki bot sambil disaksikan orang ramai yang tergamam.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan tidak jelas apa yang terkandung di dalam bungkusan itu.

Majlis Bandaraya Casares mengecam insiden tersebut dan menuntut tindakan lanjut daripada pengawal kebangsaan Sepanyol untuk menangani penyeludupan dadah di pantai negara itu. – AGENSI

Letupan di perhimpunan awam di selatan Pakistan, 9 terbunuh, 29 cedera

Bernama

Seorang lelaki yang cedera selepas letupan bom ketika perhimpunan awam menerima rawatan di sebuah hospital di Quetta, Pakistan, pada Selasa. - Gambar Reuters

KARACHI (Pakistan)/ISTANBUL: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh manakala 29 lagi cedera dalam satu letupan yang menyasarkan perhimpunan awam di selatan Pakistan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik polis.

Letupan berlaku di luar sebuah stadium di Quetta, wilayah Balochistan sejurus selepas perhimpunan itu berakhir, menurut polis dan laporan media.

Rakaman televisyen Samaa News menunjukkan orang ramai membantu mengangkat mangsa yang cedera ke dalam van polis dan kenderaan persendirian.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai punca letupan berkenaan.

Perhimpunan itu dianjurkan Parti Kebangsaan Balochistan yang dipimpin bekas Ketua Menteri, Sardar Akhtar Mengal.

Wilayah Balochistan yang kaya dengan hasil mineral termasuk Quetta, sejak sekian lama menjadi lokasi keganasan dengan pasukan keselamatan berdepan pemberontakan berskala rendah.

-- BERNAMA

Tak perlu tembakan pejuang: 18 askar Israel ambil nyawa sendiri

KOSMO
Askar Israel menangis semasa upacara pengebumian seorang rakan mereka yang mati dalam perang di Gaza pada 26 Jun lalu. - AFP
TEL AVIV – Seorang askar Rejim Zionis menamatkan riwayatnya sendiri semalam di sebuah pangkalan tentera di utara Israel, menjadikan jumlah kes seumpamanya  meningkat kepada 18, lapor laman berita Middle East Monitor.

Badan penyiaran awam Israel, KAN melaporkan, askar daripada  Briged Golani itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.

Polis tentera membuka kertas siasatan kes tersebut dan apabila siasatan selesai, keputusan  akan diserahkan untuk semakan pihak pendakwaan tentera, kata KAN.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan keadaan askar tersebut atau pangkalan yang tepat.

Kematian baharu itu menjadikan jumlah askar Israel yang menamatkan riwayat sendiri sejak awal 2025 meningkat kepada 18 orang.

Kira-kira dua minggu lalu, seorang kapten pasukan simpanan ditemukan mati di kawasan hutan berhampiran Hutan Switzerland dekat Tiberias.

Julai sahaja menyaksikan tujuh askar Israel mengambil nyawa sendiri, lapor akhbar Haaretz.

Menurut siasatan tentera Israel, kebanyakan kes seumpama itu berpunca daripada keadaan teruk yang dihadapi askar semasa pertempuran di Semenanjung Gaza.  – AGENSI

Kemalangan 3 kenderaan, warga emas maut tersepit hampir sejam

AMRAN ALI
SEORANG warga emas maut selepas tersepit hampir sejam dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat Jasin petang tadi
JASIN – Seorang lelaki warga emas maut akibat tersepit, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Jasin, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 2.10 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah lori treler, lori tiga tan serta sebuah van Nissan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Iskandar Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS dan sepasukan 14 anggota dikejarkan ke lokasi termasuk anggota bantuan dari BPP Ayer Keroh.

“Setibanya di lokasi, kita dapati seorang pemandu lori tiga tan berusia 40 tahun cedera, manakala pemandu van Nissan berusia 60 tahun tersepit dalam keadaan parah di tempat duduk.

“Pemandu van hanya dapat dikeluarkan pada pukul 3.22 petang selepas hampir sejam tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori berjaya dikeluarkan lebih awal pada pukul 3.05 petang dan diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan itu turut mengakibatkan aliran trafik perlahan sepanjang enam kilometer, namun keadaan kembali terkawal selepas pihak polis mengawal lalu lintas.

“Operasi yang turut membabitkan tiga anggota polis dan tiga anggota KKM tamat sepenuhnya pada pukul 5.43 petang selepas dipastikan keadaan telah selamat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

SUV terbabas, 2 maut, seorang parah

Buletin TV3 
Kadir Edison
FOTO: JBPM
BETONG: Dua wanita maut, manakala seorang lelaki cedera parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Rumah Panjang Melayu Ulu, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.58 petang, sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan kendiri itu menyebabkan tiga mangsa, seorang lelaki dan dua wanita dewasa tersepit di dalam kenderaan.
FOTO: JBPM
“Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tersepit di bahagian pemandu, manakala dua wanita berusia 20-an dan 40-an tersepit di bahagian penumpang hadapan serta belakang.

“Mangsa lelaki berjaya dikeluarkan dalam keadaan cedera parah, manakala kedua-dua wanita disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas tamat pada jam 7.35 malam.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa lelaki yang cedera parah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Lelaki warga emas ditemui mati dalam rumah berkunci

ASLIZA MUSA
LELAKI warga emas ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Chemor Idaman, Ipoh di sini hari ini.
IPOH – Seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun ditemui meninggal dunia di dalam rumah berkunci di Taman Chemor Idaman di sini hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 6.34 petang.

Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diketuai bergegas ke lokasi dan maklumat mengatakan mangsa terperangkap di dalam rumah.

“Ketua Operasi melakukan penilaian sebelum mengarahkan anggota membuka pintu utama yang terkunci dengan menggunakan peralatan khas disaksikan pihak Polis.

“Setelah pintu berjaya dibuka, terdapat seorang lelaki warga emas berada di ruang tamu rumah. Mangsa bagaimanapun telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 7.24 petang. – KOSMO! ONLINE

Minyak paket subsidi, terkedu pekedai kata 'jual kepada semua orang' termasuk warga asing

mStar

SEORANG wanita meluahkan kekeliruan selepas melihat seorang warga asing dipercayai dari Bangladesh membeli minyak masak paket bersubsidi di sebuah kedai serbaneka.

Menurut wanita itu, dia bertanya kepada pekerja kedai berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kebenaran penjualan minyak paket kepada warga asing. 

Katanya, tanpa ragu, staf terbabit menjawab bahawa ia boleh dibeli walaupun oleh bukan warganegara.

“Aku terus speechless… bila semak balik, tak ada pun peraturan kata boleh jual kat foreigner. Ke aku yang terlepas info?” kongsinya di media sosial.

Penyelewengan dan ketirisan dikhuatiri berlaku jika minyak paket dijual kepada warga asing. -Gambar hiasanPenyelewengan dan ketirisan dikhuatiri berlaku jika minyak paket dijual kepada warga asing. -Gambar hiasan

Namun begitu, minyak masak paket bersubsidi tidak sepatutnya dijual kepada warga asing walaupun tiada larangan.

Antara alasannya adalah:

1. Barangan Bersubsidi

- Minyak masak paket 1kg adalah produk di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

- Subsidi kerajaan khusus untuk rakyat Malaysia.

2. Subsidi bukan untuk warga asing

- Warga asing tidak termasuk dalam kumpulan yang layak menerima subsidi.

- Mereka tidak menyumbang kepada sistem cukai subsidi pengguna secara langsung.

3. Risiko ketirisan dan penyelewengan

- Penjualan kepada warga asing boleh menyebabkan stok minyak subsidi berkurang untuk rakyat.

- Ia turut membuka ruang kepada penyelewengan peniaga yang mementingkan keuntungan.