Yusmizal Dolah Aling, Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

SIJIL Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mendapat pengiktirafan dunia.
Kuala Lumpur: Bagai 'cop pelaris' sesuatu produk. Itu umpama tanda halal bagi sesuatu produk sehingga ada pihak ketiga yang cuba memanipulasi cop berkenaan demi keuntungan sendiri.
Difahamkan, wujud kes penipuan cop halal direkodkan pihak berkuasa oleh pengeluar produk tidak bertanggungjawab semata-mata mahu mendapat pengiktirafan dan meraih kepercayaan pembeli khususnya konsumer beragama Islam.
Antara taktik yang digunakan pengeluar produk cuba untuk mengaburi mata pelanggan sama ada menggunakan logo halal yang bukan milik mereka atau cubaan memalsukan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Baru-baru ini, tular sebuah pertubuhan yang turut mempromosikan 'barangan mesra Muslim' umpama cop mirip 'tanda halal' berikutan daya tarikan serta nilai tambah bagi produk yang diperakui halal oleh pihak berkuasa.
Mendedahkan perkara itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pengiktirafan halal bukan sekadar jaminan terhadap status halal sesuatu produk, tetapi sudah menjadi 'nilai premium.'
Menurutnya, menggunakan cop halal itu mampu menambah keyakinan pengguna sehingga ada pihak sanggup memalsukan cop berkenaan semata-mata untuk meraih keuntungan segera.
"Sijil halal Malaysia amat dihormati di peringkat antarabangsa dan diiktiraf sebagai antara sistem persijilan halal paling ketat dan berintegriti di dunia.
"Banyak negara bukan Islam turut mengiktiraf sijil halal Malaysia, malah ada yang meletakkannya di kedudukan nombor satu sebelum sijil lain.
"Disebabkan nilai pengiktirafan itu begitu tinggi, wujud segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup memalsukan logo atau dokumen halal bagi mengaburi mata pengguna," katanya kepada Harian Metro, semalam.
Mohd Izhar Ariff berkata, perbuatan memalsukan sijil halal adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Beliau berkata, individu atau syarikat yang melakukannya berisiko tinggi dikenakan tindakan undang-undang.
"Kepekaan terhadap produk halal bukan hanya tertumpu kepada masyarakat Islam, malah semakin ramai pengguna bukan Islam turut melihat persijilan halal sebagai tanda kualiti dan kebersihan.
"Bukan sahaja pelanggan Melayu atau Islam yang mementingkan sijil halal, tetapi masyarakat bukan Islam juga memilih produk halal kerana ia turut menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan dan mutu pemprosesan makanan," katanya.
Katanya, integriti sijil halal Malaysia terjamin kerana ia dikawal oleh agensi kerajaan tanpa kepentingan komersial.
"Pada masa sama, saya menasihatkan pengusaha produk makanan Muslim agar tidak mengambil jalan mudah sebaliknya memohon sijil halal Malaysia yang sah bagi membina kepercayaan jangka panjang pengguna.
"Mohonlah sijil halal Malaysia jika mahu berkembang kerana ia menjadi antara faktor utama meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap produk," katanya.













