"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesakit cabut ‘drip’ sebelum terjun bangunan hospital

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia selepas terjun dari bangunan hospital itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11.30 malam anak saudara kepada lelaki berkenaan yang juga pengadu kes menerima panggilan daripada hospital yang memaklumkan pesakit itu sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berusia 62 tahun itu dimasukkan ke wad pada 14 Mac lalu kerana masalah darah rendah, radang paru-paru dan hepatitis C.

“Lelaki itu turut mempunyai sejarah rawatan psikiatri dan pernah menerima rawatan methadone akibat ketagihan dadah jenis heroin.

“Menurut saksi yang juga merupakan seorang pesakit di wad tersebut, pada kira-kira 11 malam, dia melihat lelaki berkenaan mencabut ‘drip’ di tangan dan berjalan secara perlahan menuju ke koridor wad hospital. Kali terakhir jururawat melihat lelaki itu adalah ketika mengambil tekanan darahnya pada 10.15 malam,” katanya.

Noorzainy berkata, pada 11.20 malam, petugas kesihatan yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan mendapati terdapat pendarahan di bahagian belakang kepalanya.

“Siasatan awal dijalankan mendapati pengadu mengesahkan lelaki berkenaan pernah mengalami kemurungan. Hasil siasatan mendapati tidak ada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian. Tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kawasan wad.

“Mayat lelaki berkenaan kini berada di Bahagian Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.

Jika ada individu yang mempunyai masalah gangguan emosi atau kemurungan anda digalakkan menghubungi kumpulan sokongan anti bunuh diri, Befrienders.

Befrienders adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Ia boleh dihubungi melalui talian 016 8036945 (WhatsApp) atau melalui Facbebook Messenger dan emel di befrienderskk@gmail.com atau https://www.help.befrienders.org.

Befrienders juga boleh dihubungi di talian 03 76272929 (Kuala Lumpur), 04 2815161 (Pulau Pinang) dan 07 3312300 (Johor Baru). Panggilan adalah percuma. 

Tiada ulasan: