"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PANAS!!! Dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bocor

Malaysiakini 

Petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa berlangsung pada Mei lalu telah bocor di media sosial.

Petikan itu dipercayai berasal dari laman Reddit, namun kini turut tersebar di Facebook dan X.

Minit mesyuarat sulit itu dikatakan mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor sebelum ini, yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu.

Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim tersebut pada 12 Jun lalu untuk bertanya tentang dakwaan bahawa dia campur tangan dalam mesyuarat JAC.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi ahli-ahli JAC dan hakim yang didakwa terlibat bagi mendapatkan maklum balas mengenai kebocoran berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, meluahkan rasa terkejut berhubung kebocoran dokumen tersebut.

"Gila ! Kalau betullah isi dokumen ni..” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kerajaan harus jawab

Ketika dihubungi, Mas Ermieyati — yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata meskipun kesahihan dokumen itu belum dapat dipastikan, dakwaan yang terkandung adalah sangat serius.

"Pihak kerajaan harus menjawab dan siasatan perlu dilakukan,” tegasnya.

Dakwaan terhadap hakim kanan tersebut serta kebimbangan mengenai kemungkinan campur tangan dalam pelantikan hakim selepas persaraan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Minggu lalu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan serta satu siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas reformasi institusi parlimen dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

Rafizi mendakwa skandal itu mungkin sebesar kes pengaturan hakim oleh VK Lingam.

Majlis Peguam Malaysia juga akan mengadakan perarakan pada Isnin ini bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang antara lain bagi menuntut penubuhan RCI.

Sementara itu, Anwar dijadualkan bertemu dengan ahli parlimen PH untuk membincangkan isu berkenaan.

Jabatan Peguam Negara pula menolak kebimbangan mengenai badan kehakiman, dengan menyatakan bahawa tindakan membandingkan isu itu dengan skandal VK Lingam sebagai tidak wajar.

Jabatan itu juga menyatakan bahawa dakwaan terhadap hakim kanan tersebut hanyalah spekulasi semata-mata berkaitan “ketidakteraturan prosedur”.

19 ketua cabang PKR mahu Rafizi, Ahli Parlimen sekutu digantung

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor seru penggantungan sembilan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

Ketua cabang berkenaan berkata, tindakan Ahli Parlimen tersebut melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan perdana menteri serta membuka ruang kepada manipulasi politik pihak lawan.

“Sehubungan itu, kami dengan tegas menyeru Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh agar segera menggantung keahlian sementara semua sembilan Ahli Parlimen terlibat,” katanya dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu disokong ketua cabang Mersing, Bakri, Pengerang, Seri Gading, Sembrong, Ayer Hitam, Muar, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tebrau, Pontian, Kluang, Parit Sulong, Tanjung Piai, Pagoh, Segamat, Kota Tinggi, Labis, dan Pulai.

Kumpulan tersebut juga mendesak Fuziah memulakan siasatan tatatertib ke atas sembilan wakil rakyat PKR melibatkan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli, yang juga Ahli Parlimen Pandan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Rodziah Ismail (Ampang); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); S Kesavan (Sungai Siput); dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Kata ketua cabang terbabit, mereka tidak menolak kepentingan menjaga integriti institusi kehakiman, namun pendekatan sembilan Ahli Parlimen berkenaan telah melangkaui batas disiplin dan bercanggah dengan kod tataetika parti.

Mereka turut memetik beberapa kod tataetika, antaranya menghormati keputusan parti, melindungi maklumat sulit dan kerahsiaan, menjaga nama baik parti, larangan melakukan aktiviti sabotaj kepada keputusan parti dan pimpinannya.

“Tindakan tegas ini penting demi memelihara kewibawaan parti, memulihkan semula disiplin organisasi, dan mengelakkan persepsi buruk yang boleh menjejaskan perpaduan PKR secara keseluruhan. PKR tidak boleh menjadi parti yang longgar dalam soal tatakelola dan kesetiaan institusi dari kalangan anggotanya,” kata mereka.

Kumpulan itu berkata, sebarang isu berkaitan dasar atau keprihatinan terhadap pentadbiran negara seharusnya disalurkan melalui platform dalaman seperti Biro Politik, atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pada Selasa, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim memberi amaran berhubung kesan kepada sembilan Ahli Parlimen tersebut.

Katanya, mereka juga perlu mempertimbangkan implikasi RCI, termasuk tekanan mungkin dikenakan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

Hassan turut mempersoalkan sama ada wakil rakyat itu telah mempertimbangkan secara menyeluruh kesan jangka panjang tindakan mereka, dan sama ada ia didorong oleh idealisme reformasi yang tulen atau kepentingan politik peribadi.

Kumpulan Ahli Parlimen diketuai Rafizi tersebut menggesa penubuhan RCI serta satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan.

Pensyarah didenda RM150 cederakan suami dengan buluh

Malinda Abdul Malik
phonto-5-681x416
Yang Khalida membayar denda tersebut.
BALIK PULAU – Seorang pensyarah institusi latihan kemahiran awam didenda RM150 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan suaminya menggunakan sebatang buluh pada minggu lalu.

Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Yang Khalida Khalid, 37, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh atas bangkitan marah telah memukul suaminya, Mohd Nasir Abdul Halim, 48, menggunakan batang buluh sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan tangan di hadapan rumah mereka di Teluk Kumbar di sini, jam 11 pagi pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yiew De Xian yang mewakili tertuduh memohon denda minimum atas alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung ibunya.

“Anak guam saya juga kini dalam proses penceraian dengan suaminya,” katanya.

Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

Ajaran sesat, benarkan suami peluk wanita lain

Program motivasi didakwa sebar ajaran sesat, benarkan suami peluk wanita lain

 Nurayuni Johari

KUALA LUMPUR – Satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga yang dikatakan dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat yang menyasarkan kaum hawa bekerjaya dan berdepan krisis rumah tangga.

Bekas ahli program itu menerusi akaun Facebooknya mendedahkan, ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita. 

“Ramai wanita yang terlibat mempunyai masalah rumah tangga seperti kecewa dengan suami, kecurangan, hubungan renggang atau perasan tertekan dalam perkahwinan. Siapa sangka kelemahan itu digunakan pasangan itu sehingga ramai peserta perempuan rebah dalam dakapan suaminya sambil disaksikan oleh isterinya sendiri.

“Mungkin terkejut perempuan yang bertudung, manis dengan cahaya di studio itu sanggup melakukan hal terkutuk dengan merelakan suaminya memeluk peserta wanita lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambah beliau, pasangan terbabit didakwa mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.

Dia turut mendedahkan, peserta wanita yang telah mengikuti program itu akan diminta untuk bercerai dengan pasangan mereka malah mendakwa suami peserta diberikan ramuan ‘cendawan ajaib’ dari Bali bagi tujuan tidak baik.

“Alhamdulilah, ramai ahli telah keluar dan sudah membuat aduan pada jabatan agama namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil dan kami amat kecewa kerana bukti yang bagaimana lagi mereka mahukan,” luahnya kecewa.

Pada masa sama, pihaknya akan membuat pendedahan lanjut mengenai ajaran sesat  pasangan terbabit agar tiada mangsa terpengaruh dengan pelbagai ajaran sesat menerusi program yang ditawarkan.

Tinjauan MalaysiaGazette di ruangan komen mendapati, ramai wanita pernah mengikuti program pasangan itu dan menggesa supaya pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan.

Malah ada yang mendedahkan pasangan terbabit pernah memaksa peserta membuat pembayaran bagi mengikuti kelas seterusnya yang jelas dilihat terpesong dari akidah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar ketika dihubungi malam tadi memaklumkan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette

Mufti gesa siasat program galak wanita tidak berkahwin

FARISYA AKHTAR

PETALING JAYA – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil memohon pihak berkuasa agama dan tempatan menyiasat serta mengambil tindakan terhadap satu program yang didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral.

Menurut beliau, program seperti itu wajar digantikan dengan bimbingan emosi dan motivasi daripada pakar bertauliah, berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta berpandukan al-Quran dan sunah.

Dalam masa sama, beliau menegur ahli motivasi supaya sentiasa cakna dengan sebarang intipati program jati diri dan penyediaan modul yang boleh menyesatkan akidah serta meruntuhkan moral dan akhlak.

“Pengisian program tersebut dilihat mempunyai unsur-unsur yang menggugat pegangan akidah umat Islam serta bertentangan dengan maqasid usul akhlak mulia dan diiktiraf oleh setiap manusia tanpa mengira agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh oleh penganjur tahun lalu.

Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Ahmad Fauwaz berkata, program itu seakan-akan menggalakkan wanita untuk tidak berkahwin dan tidak bersuami kerana mereka mampu mencapai kebahagiaan dan kepuasan nafsu sendiri.

Menurutnya, ajaran itu jelas bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW kerana wujudnya penafian terhadap fitrah dan keinginan semula jadi manusia untuk berkahwin sekali gus merencatkan institusi kekeluargaan.

Selain itu, ujarnya, program tersebut yang menggunakan unsur-unsur seksual dan mempromosikan masturbasi sebagai bentuk rawatan emosi juga adalah satu penyelewengan yang nyata.

Jelas beliau, Islam menegaskan perlunya penjagaan maruah serta kehormatan diri dan galakan terhadap aktiviti seksual secara bebas boleh membawa kepada penzinaan, ketagihan seksual dan menghilangkan rasa malu.

“Bahkan memiliki dan menjual alatan atau bahan-bahan yang memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan moral atau kepentingan awam adalah dilarang dan boleh dianggap satu jenayah di sisi undang-undang negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai salah satu ajaran yang dibawa menerusi program tersebut iaitu Yoni Massage yang diambil daripada falsafah Tantra yang bersumberkan daripada tradisi agama Hindu dan Buddha.

Tambahnya, ia termasuk salah satu fahaman sinkritisme yang diserapkan ke dalam gerakan New Age.

“Sudah tentu, ia merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan agama Islam kerana melibatkan falsafah yang sesat dan ritual-ritual tertentu di samping ia bertentangan dengan nilai dan akhlak mulia.

“Islam tidak menerima pencampuran dengan kepercayaan-kepercayaan asing dengan ajarannya yang suci murni,” katanya.

Tambah beliau, seseorang muslim tidak boleh mempraktikan ritual agama lain yang mempunyai kepercayaan atau fahaman yang sesat tersendiri, walaupun kemungkinan terdapat manfaat padanya.

“Hal ini kerana kemurnian akidah dan kesucian agama itu lebih utama dan penting untuk dipelihara berbanding daripada mendapat manfaat yang sedikit itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ditinggal kekasih, pemuda redah gunung 6 hari

Agensi
POLIS akhirnya menemukan Xiaolin selepas enam hari selepas imejnya dikesan menerusi kamera pengawasan.
POLIS akhirnya menemukan Xiaolin selepas enam hari selepas imejnya dikesan menerusi kamera pengawasan.
Beijing: Kecewa putus cinta mendorong pemuda di China ini menghilangkan diri selama enam hari dengan meredah kawasan pergunungan tanpa makanan, air dan telefon semata-mata untuk melupakan bekas teman wanitanya, lapor South China Morning Post.

Kisah Xiaolin yang berusia 20-an tular di media sosial selepas polis dan keluarga menjalankan operasi besar-besaran mencari dirinya yang dilaporkan hilang sejak 19 Jun lalu.

Timbalan Ketua Balai Polis Yuhang, Zhu Lilian mengesahkan, pihaknya menerima laporan daripada abang mangsa dari Hunan, mendakwa Xiaolin yang bekerja sendirian di Hangzhou, gagal dihubungi selama tiga hari.

Katanya, siasatan awal mendapati telefon bimbit Xiaolin ditinggalkan di rumah sewanya.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, dia berjalan kaki keluar dari rumah pada 20 Jun dan kali terakhir dikesan di kawasan Gunung Dalang kira-kira 1 pagi keesokannya.

"Lebih 100 anggota polis, penduduk setempat, anjing pengesan, dron dan alat sonar digunakan untuk menjejaki Xiaolin, namun usaha itu tidak berhasil.

"Akhirnya, pada pagi 26 Jun, Xiaolin muncul dalam rakaman CCTV di sebuah taman di daerah Lin'an kira-kira 40 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang dengan keadaan pakaian koyak dan kusut-masai," katanya kepada stesen HTV-1.

Zhu berkata, Xiaolin berjalan merentas hutan, sungai dan kampung tanpa makan dan minum selama tiga hari pertama.

"Selepas itu, dia mula meminum air mata air dan makan buah liar untuk terus hidup.

"Apabila tubuhnya tidak tahan lagi, dia mula makan dan minum apa yang ada dekat kampung," katanya.

Dalam pada itu, Xiaolin dilaporkan dalam keadaan stabil dan berjanji kepada pihak berkuasa untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Arab Saudi gagalkan rancangan AS pindahkan ratusan ribu penduduk Gaza

BHarianonline 
pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri) dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, di Riyadh, Arab Saudi. - Foto REUTERS
pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri) dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, di Riyadh, Arab Saudi. - Foto REUTERS
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menggagalkan rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan ratusan ribu penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza, menurut laporan portal berita Israel berbahasa Ibrani, Walla.

Laporan itu memetik sumber Israel yang mendakwa Presiden AS, Donald Trump, menarik balik sokongannya terhadap pelan berkenaan selepas lawatan ke Riyadh dan menandatangani beberapa perjanjian strategik dengan kepimpinan Arab Saudi.

Menurut Walla, Israel mengesan perubahan ketara dalam pendirian AS selepas lawatan Trump ke Arab Saudi pada Mei.

Lawatan itu dilaporkan telah memperbaiki hubungan AS-Arab Saudi, diperkuatkan lagi dengan perjanjian penting dalam bidang ekonomi dan keselamatan.

Pada Februari, Trump secara terbuka mengemukakan cadangan 'pelan migrasi sukarela' untuk Gaza.

Cadangan itu termasuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan menjadikan kawasan itu sebagai 'Riviera Asia Barat' melalui pelaburan dalam projek pembangunan semula.

Namun, cadangan itu mengundang kecaman hebat dunia Arab dan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang melihatnya sebagai cubaan terselindung untuk melaksanakan pemindahan paksa secara besar-besaran.

"Pelan itu tidak lebih daripada retorik politik dan tidak pernah ke peringkat pelaksanaan sebenar," kata salah seorang pegawai Israel kepada Walla.

"Selepas Trump bertemu pemimpin Arab Saudi, ia dengan jelas menunjukkan perubahan pendirian AS," katanya.

Menurut laporan itu, rancangan AS turut merangkumi dana sebanyak AS$2 bilion (RM bilion) untuk membina 'zon peralihan kemanusiaan' di dalam dan luar Gaza.

Namun, kekurangan tekanan diplomatik sebenar dari AS serta tentangan tegas Arab Saudi terhadap sebarang bentuk pemindahan telah menggagalkan pelan itu pada peringkat awal lagi.

"Arab Saudi tidak akan sesekali menyokong pemindahan rakyat Palestin. Kedudukan ini telah disampaikan secara langsung kepada pihak AS," kata seorang diplomat Asia Barat yang enggan dikenali.

Sumber Israel turut mengesahkan bahawa usaha untuk meyakinkan negara-negara lain menerima penduduk Gaza yang dipindahkan tidak membuahkan hasil, walaupun pelbagai pendekatan diambil beberapa bulan lalu.

Dalam kalangan pembuat dasar Israel, pengunduran AS daripada 'rancangan perpindahan Gaza' itu dianggap sebagai satu tamparan terhadap usaha Tel Aviv.

Israel dikatakan bergantung kepada sokongan Washington untuk mempromosikan rancangan itu kepada negara-negara lain yang mungkin bersedia menerima penduduk Gaza.

Meskipun terdapat usaha mendekati beberapa negara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tiada hasil konkrit yang dicapai. - AGENSI

Program motivasi ‘bogel, ritual syirik’ sedang disiasat - JAKIM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pihak berkuasa agama Selangor menjalankan siasatan terperinci susulan penularan penganjuran motivasi rumah tangga yang didakwa berunsur syirik dan tidak bermoral.

Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya mengambil perhatian serius kebimbangan orang awam dengan siasatan dijalankan bagi memastikan maklumat diperoleh jelas dan sahih sebelum tindakan yang wajar selaras peruntukan undang-undang.

“Kerajaan Madani melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai Islam.

“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Program dikatakan berlangsung di Shah Alam dari 27 hingga 30 Sept tahun lalu didedahkan seorang pengguna Facebook yang mendakwa kontroversi berlaku pada hari terakhir membabitkan perjumpaan kira-kira 50 peserta wanita di dalam dewan.

Dakwanya, insiden bermula apabila ‘penceramah’ wanita muncul dengan berbikini seterusnya berbogel dan menari bersama ‘ahli kumpulannya’.

Mereka kemudian mengajak peserta ikut sama menanggalkan pakaian selepas diberikan sejenis minuman.

Selain itu, peserta disuruh melakukan upacara ‘sacred bath’ dan ‘rebirth’ yang berbentuk seperti ritual keagamaan.

Pengguna Facebook itu mendakwa, aduan sudah dibuat dan bukti juga diserahkan kepada pihak berkuasa namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Jakim menyeru seluruh rakyat khususnya umat Islam tidak terpengaruh fahaman dan gaya hidup bertentangan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.

“Orang ramai disaran sentiasa bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur bercanggah syarak,” katanya.

Polis siasat insiden Shila Amzah diserang

Toggle theme
Auto

Sign In

Home
News

Berita

Business

Lifestyle

Opinion

World

Sports

Property
Education
Carzilla
Gallery
Videos
Accelerator
Home
News
Berita
Business
Lifestyle
Opinion
World
Sports
Property
Education
Carzilla
Gallery
Videos
Accelerator

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung laporan dibuat penyanyi, Nurshahila Amir Amzah atau lebih dikenali Shila Amzah yang mendakwa diserang seorang penyanyi legenda semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pihaknya telah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, Shila telah membuat laporan di IPD Dang Wangi pada 5.31 petang semalam.

“Setakat ini, individu yang dikatakan menyerang penyanyi itu masih belum dipanggil, namun tindakan sedang diambil untuk mendapatkan keterangan daripadanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan kecederaan atau sentuhan secara fizikal.

Semalam, media melaporkan Shila mendakwa dirinya telah diserang secara terbuka oleh seorang artis bertaraf legenda ketika sesi latihan bagi sebuah konsert.

Hadi bayang pertahan jawatan presiden, ‘Kalau boleh nak mati dalam tugas’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang menyuarakan hasrat mempertahankan jawatan disandang sejak 2003 menjelang muktamar di Kedah September ini.

Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, menegaskan beliau lebih sihat susulan menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Jun lalu.

“Kalau boleh saya nak mati dalam tugas,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Marang.

Bekas menteri besar Terengganu berdepan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, yang memerlukan rawatan dialisis dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Bulan lalu, Sinar Harian melaporkan wakil rakyat Marang tujuh penggal itu memberi bayangan berundur daripada jawatan presiden PAS atas faktor kesihatan.

Difahamkan, Hadi ada menyuarakan hasrat tersebut kepada kepimpinan tertinggi parti dalam satu pemukiman baru-baru ini di Terengganu.

Perkara itu mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan dua jawatan tertinggi PAS menjelang pemilihan parti akan datang.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, mendakwa wujud desakan agar Hadi melepaskan jawatan tertinggi itu, walaupun perkara itu dinafikan beberapa pemimpin PAS negeri.

Februari lalu, sumber PAS memberitahu FMT parti itu mungkin mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi pada pemilihan tahun ini — sesuatu yang belum berlaku dalam tempoh sedekad.

Hadi dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man tidak pernah dicabar bagi jawatan masing-masing sejak 2015.

Rafizi ajak orang ramai sertai kempen integriti kehakiman

Malaysiakini 

Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, melancarkan petisyen dalam talian bagi mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara.

“Kami, rakyat Malaysia yang prihatin, menyeru seluruh warganegara untuk bersama-sama menyokong tuntutan mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara kita,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Rafizi turut memberi amaran bahawa isu yang dibawa itu bukan sahaja melibatkan sistem perundangan, bahkan boleh mengancam asas demokrasi negara.

“Semua rakyat, tanpa mengira latar belakang politik perlu menandatangani petisyen ini dan memberi perhatian kepada isu yang mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.

“Kongsi petisyen ini dengan seberapa ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan perkembangan terkini badan kehakiman,” katanya lagi.

Petisyen tersebut dilancarkan sebagai usaha mengumpul tekanan awam untuk mempertahankan prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang.

Ia boleh ditandatangani melalui pautan yang disediakan:

Pada Isnin lau, sembilan ahli parlimen PKR – diketuai oleh Rafizi– menggesa penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pembaharuan institusi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Mereka menggesa RCI menyiasat dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan syor Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum persaraan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk pencalonan bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.

Mereka turut membangkitkan kebimbangan bahawa JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lalu tanpa notis wajib 10 hari untuk mencadangkan calon baru.

Petisyen dalam talian itu menyatakan:

Kami, rakyat Malaysia yang prihatin, menyeru seluruh warganegara untuk bersama-sama menyokong tuntutan mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara kita.

Pada 7 Julai 2025, seramai sembilan ahli parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersama yang membangkitkan kebimbangan serius terhadap kelewatan dalam proses pelantikan jawatan-jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.

Perkembangan mutakhir telah mengundang pelbagai spekulasi yang boleh mencemarkan kredibiliti kerajaan serta melunturkan keyakinan rakyat kepada kebebasan institusi kehakiman pada masa akan datang.

Antara maklumat yang kini berlegar dalam pengetahuan awam:

1) Bahawa bagi pelantikan hakim-hakim baru (sama ada bagi mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan), pencalonan yang telah dihantar oleh JAC kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar yang sewajarnya, yang menyebabkan kekosongan menjadi mendesak.

2) Bahawa pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah pun diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri sebelum ini, tetapi pelantikan tidak dibuat sehinggalah menyebabkan kekosongan yang ada sekarang.

3) Bahawa mesyuarat JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lepas (4 Julai 2025) tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.

4) Bahawa pada satu mesyuarat JAC yang lepas, seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim yang tular melalui satu laporan polis yang dibuat oleh pegawainya.

Lebih membimbangkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 8 Julai 2025 telah memberi pengesahan tidak langsung kepada perkara-perkara yang telah dibangkitkan:

Bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan ada pencalonan daripada JAC yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan;

Bahawa mesyuarat JAC yang terkini dipanggil tanpa mematuhi notis 10 hari seperti kehendak pentadbiran;

Bahawa tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan di dalam satu mesyuarat JAC.

Fakta-fakta ini mewajarkan kebimbangan sebahagian pengamal undang-undang dan masyarakat yang melihat kemelut institusi kehakiman sekarang sebagai mirip kepada skandal video VK Lingam dalam tahun 2007 dahulu, iaitu cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes-kes mahkamah.

Sementara kami sedia maklum bahawa:

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tanggungjawab menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa perdana menteri dan kuasa JAC adalah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan dan ditapis kepada perdana menteri.

Keadaan apabila ada kekosongan mendesak dari mahkamah tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan perdana menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC.

Pengasingan kuasa mestilah dipertahankan. Institusi kehakiman bukan sekadar perlu bebas, tetapi perlulah dilihat bebas daripada pengaruh eksekutif.

Oleh itu, kami menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong tuntutan berikut:

a. Penubuhan RCI untuk menyiasat semua dakwaan dan insiden yang yang berlegar, seperti dihuraikan dalam (1) hingga (4);

b. Siasatan dan prosiding oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) dijalankan, termasuk memanggil perdana menteri untuk memberi keterangan;

c. Pelantikan mengisi kekosongan jawatan-jawatan utama dalam institusi kehakiman sewajarnya berdasarkan prosiding dan pencalonan JAC yang telah dibuat sebelum ini. Sebarang pencalonan baru hendaklah dibuat selepas perkara (a) dan (b) berlaku; iaitu setelah tuduhan mengenai cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes telah dirungkai;

d. Menuntut ahli-ahli parlimen tanpa mengira parti politik untuk menzahirkan sokongan terhadap perkara (a), (b) dan (c).

Kami menyeru semua rakyat – tanpa mengira latar belakang politik – untuk menandatangani petisyen ini dan memberi perhatian kepada isu ini yang mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.

Kongsi petisyen ini dengan seberapa ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan perkembangan terkini badan kehakiman.

Majlis presiden PN strategi tersirat PAS ‘cair’ kuasa Muhyiddin

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Penubuhan majlis presiden Perikatan Nasional (PN) dicadangkan PAS adalah strategi tersirat bagi mengurangkan pengaruh Pengerusi Muhyiddin Yassin, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpendapat cadangan itu susulan rasa tidak puas hati PAS terhadap struktur kuasa sedia ada dalam PN kerana parti itu memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding Bersatu.

“Ketika ini suara mereka (PAS) agak terhad kerana pengerusi, setiausaha agung dikuasai Bersatu. Salah satu strategi mengurangkan, mencairkan kuasa Bersatu dengan penubuhan majlis presiden.

“…kerana dalam majlis presiden secara lazimnya, suara-suara itu mempunyai kekuatan sama, tak kira presiden dari parti mana. Penubuhan ini bukan nak menguatkan PN, ia tidak akan bawa apa-apa perubahan tetapi untuk beri lebih suara kepada PAS yang sepatutnya mempunyai suara tersebut dalam PN,” katanya kepada FMT.

Semalam, PAS mendedahkan cadangannya supaya PN mewujudkan majlis presiden dianggotai semua ketua parti dalam gabungan itu bagi menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan sekutunya iaitu Bersatu.

“Cadangan ini sudah sampai ke pihak Bersatu dan kita minta mereka sama-sama memikirkannya sebab ia memerlukan konsensus antara parti (dalam PN),” katanya.

PN turut dianggotai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Mengulas lanjut, Azmi berkata Muhyiddin ketika ini berdepan cabaran bukan sahaja dari dalam partinya malah pihak luar yang mahu presiden Bersatu mengundur diri.

Senada dengan Azmi, penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Syahruddin Awang Ahmad, berkata cadangan itu langkah strategik yang berpotensi mengubah dinamik kepimpinan PN.

Katanya, misi PAS adalah memastikan keputusan dibuat secara kolektif dan adil, selari visi pemerintahan inklusif dan stabil.

“Jika majlis presiden diwujudkan, ia pasti memberi kesan kepada kedudukan Muhyiddin,” katanya.

Menurutnya, kesan langsung bakal timbul adalah mengehadkan kuasa mutlak dan pengagihan kuasa lebih seimbang berbanding situasi semasa, Muhyiddin selaku pengerusi PN memegang kuasa besar dalam membuat keputusan dan menentukan hala tuju gabungan.

“Ini akan mengubah peranan pengerusi daripada pemimpin tunggal kepada seorang fasilitator atau ketua penyelaras manakala misi Muhyiddin dan Bersatu adalah untuk mengekalkan dominasi mereka dan kembali menjadi kerajaan.

“Tetapi dengan cadangan PAS, visi ini mungkin perlu disesuaikan dengan realiti perkongsian kuasa yang lebih ketara,” katanya.

‘Tiada siapa boleh jadi PM kecuali Haji Hadi, sebabnya…’

Harapandaily

Pembangkang, termasuk ketuanya Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilihat sekadar mengitar semula desakan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) terus mengulangi tuntutan yang sama dengan matlamat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas sikap pembangkang terhadap Kerajaan MADANI yang tidak membantu kemajuan negara ini, Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed secara sinis berkata, pembangkang seolah-olah mahu menjadikan Presiden Pas sebagai Perdana Menteri.

“Turun, cuti, siasat, tahan… Tak letih ke kamu?

“Kalau ikut formula kamu, tiada siapa boleh jadi PM kecuali Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), sebab dia satu-satunya pemimpin utama pembangkang yang tidak ada kes mahkamah,” sindirnya.

PN berterusan agar Anwar mengambil cuti sementara kononnya bimbang berlakunya campur tangan dalam pelantikan kehakiman.

Hamzah dalam kenyataan semalam berkata, dalam tempoh cuti Anwar, seorang Perdana Menteri Interim boleh dilantik bagi menjalankan tanggungjawab menguruskan negara.

Tidak munasabah

Walau bagaimanapun, Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) berkata, Dr Zulqarnain Lukman menyifatkan cadangan Hamzah sebagai pelik dan aneh.

Beliau berkata, cadangan supaya lantik Perdana Menteri Interim semasa PMX bercuti adalah tidak munasabah.

Menurutnya, cadangan Hamzah itu tidak sama dengan tempoh semasa Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan dan sementara Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Pada ketika itu, telah YDPA telah lantik PM 7 sebagai Perdana Menteri Interim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Walaupun keadaan itu agak kontroversi, Dr Zulqarnain berkata, ia masih lagi boleh dihujahkan peletakan jawatan PM7 tersebut belum berkuatkuasa dan Mahathir telah menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Interim atas sumpahnya sebelum itu.

Justeru, beliau berkata, sekiranya Anwar bercuti, bermakna Ahli Parlimen Tambun itu masih lagi Perdana Menteri.

“Jika PMX masih lagi Perdana Menteri, bagaimana mungkin boleh lantik Perdana Menteri Interim kerana tidak boleh ada dua Perdana Menteri dalam satu masa,” hujahnya.

Didakwa tunjuk kemaluan kepada gadis 13 tahun, CEO Batu mengaku tak salah

Faisal Asyraf

Hakim membenarkan ikat jamin RM6,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, selain dilarang mendekati mangsa.
Iqbal Muhammad (dua dari kiri) yang turut dikenali CEO Batu tiba di Mahkamah Sesyen Ampang pagi ini.
KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada gadis berusia 13 tahun dua bulan lalu.

Iqbal Muhammad, 22, yang lebih dikenali CEO Batu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norshila Kamarudin.

Dia didakwa melakukan gangguan seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak itu dengan menunjukkan kemaluannya atas niat untuk dilihat mangsa di Sunway Batu Caves sekitar 1.16 pagi 16 Mei lalu.

Iqbal didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan RM10,000.

Tetapi, peguam Anif Rafih merayu jaminan rendah RM6,000 atas alasan anak guamnya hanya meraih kira-kira RM3,000 sebagai pempengaruh dan pihak berkuasa kini mengharamkan akaun media sosial serta merampas telefon bimbitnya.

Tertuduh turut menjaga datuknya yang menghidap penyakit jantung dan perlu mendapatkan rawatan sebulan sekali di Institut Jantung Negara.

Hakim membenarkan ikat jamin RM6,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, selain dilarang mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Shila Amzah diserang penyanyi legenda

HELMI ANUAR

PETALING JAYA – Penyanyi popular, Shila Amzah diserang seorang penyanyi bertaraf legenda sewaktu membuat latihan konsert di Stadium Merdeka.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, mendedahkan perkara itu terjadi di hadapan kru yang bertugas untuk sesi latihan Konsert MR D.I.Y yang dijadualkan berlangsung esok.

“Gila bila seorang penyanyi legenda boleh menyerang saya di hadapan semua kru di tempat awam. Bersyukur sebab kamu orang tua.

“Tetapi kamu telah mencetuskan ‘anxiety’ (kebimbangan)  terhadap keselamatan saya,” tulisnya dalam Instastory.

Menerusi perkongsian semula hantaran pengurus Shila yang dikenali sebagai Aini, dia menyatakan bahawa satu laporan polis telah pun dibuat dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Setakat ini, belum dapat dikenal pasti siapa penyanyi legenda yang dimaksudkan Shila.

Antara penyanyi yang terlibat dalam Konsert sempena ulang tahun ke 20 MR. D.I.Y ialah Datuk Amy Search, Datuk Awie, Ella Aminuddin, Jaclyn Victor, Penny Tai, Jeryl Lee dan 3P. – KOSMO! ONLINE

14 gadis warga asing di premis pelacuran, ada dakwa 'dijual' teman lelaki ditahan Imigresen

Nor Azizah Mokhtar
Jabatan Imigresen Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan 14 gadis warga asing disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks selepas menyerbu sebuah premis pelacuran di Jalan Petaling, semalam. - Foto Imigresen KL
KUALA LUMPUR: Empat belas gadis warga asing disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen yang menyerbu sebuah premis pelacuran di Jalan Petaling, di sini semalam.

Mereka yang diselamatkan berusia 18 hingga 36 tahun, terdiri 10 warga Bangladesh, tiga India dan seorang Indonesia.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata Op TIP yang bermula kira-kira jam 1.15 tengah hari dijalankan sepasukan anggotanya hasil maklumat risikan.

"Difahamkan, ada mangsa mendakwa 'dijual' oleh teman lelaki selepas berpisah untuk tujuan eksploitasi seks di premis terbabit. Ketika serbuan, terdapat beberapa pelanggan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Premis itu beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam dengan pelanggan datang secara walk in. Semasa serbuan, terdapat 16 pelanggan lelaki terdiri warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, setiap pelanggan dipercayai dikenakan bayaran sekitar RM60 untuk mendapatkan khidmat wanita terbabit.

Beliau menegaskan operasi itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

"Jabatan Imigresen sudah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan mengikut Akta ATIPSOM 2007," katanya.

Pengawal keselamatan sambut pesakit ‘ghaib’ di hospital jam 3 pagi

KOSMO
Pengawal keselamatan itu dipercayai menyambut makhluk halus ketika bertugas di sebuah hospital. - X
NEW DELHI – Seorang pengawal keselamatan mengundang perhatian ramai apabila dirakam menyambut pesakit dipercayai hantu pada awal pagi ketika bertugas di sebuah hospital di India, lapor portal berita The Daily Jagran 

Kejadian dirakam sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan) oleh kamera televisyen litar tertutup (CCTV) pada tahun lalu sebelum tular di laman X, baru-baru ini. 

Rakaman CCTV  menunjukkan pengawal keselamatan terbabit sedang duduk di atas kerusi sebelum pintu masuk automatik tiba-tiba terbuka. 

Dia kemudian menyambut ‘pesakit’ itu dengan mengambil kerusi roda. 

Lebih seram, pesakit tersebut bukanlah manusia kerana bayang atau badannya tidak kelihatan. 

Klip video itu mencatatkan lebih 140,200 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Saya yakin dia akan berhenti selepas melihat rakaman CCTV,” kata seorang netizen. – AGENSI

Suami orang 'kantoi' menyelinap ke rumah janda

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
JANDA dicekup selepas bersama suami orang dalam sebuah rumah di Kluang. FOTO Ihsan JAINJ
JANDA dicekup selepas bersama suami orang dalam sebuah rumah di Kluang. FOTO Ihsan JAINJ
Kluang: Seorang janda dan kekasihnya yang berstatus suami orang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berkhalwat di sebuah rumah, di sini, awal pagi tadi.

Tangkapan dilakukan hasil serbuan dilakukan jam 1.20 pagi selepas anggota dan pegawai penguat kuasa JAINJ menerima aduan orang awam berhubung kedatangan lelaki itu ke rumah janda terbabit.

JAINJ dalam satu kenyataan berkata, hasil maklumat, pihaknya menemui sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran kediaman didiami janda berusia 48 tahun itu.

"Pemeriksaan di dalam rumah kemudiannya menemukan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berstatus suami orang.

"Lelaki itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau perkahwinan yang sah apabila diminta," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Menurut JAINJ, lelaki itu tinggal berhampiran rumah janda terbabit dan dipercayai keluar tanpa pengetahuan isteri yang mungkin menyangka dia pergi memancing atau bertemu rakan di kedai makan.

"Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kluang untuk proses tahanan. Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997," katanya.

Dalam operasi berlainan di Muar, Penguat kuasa JAINJ turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga emas ketika sedang melanggan pelacur di sebuah premis di Jalan Meriam, semalam.

"Lelaki berusia 68 tahun dan 30 tahun ditahan ketika sedang melayan pelacur dalam premis berkenaan," katanya.

Wanita warga Myanmar mengaku menjerut leher rakan hingga mati dipenjara 11 tahun

Buletin TV3 
Warga Myanmar, Phyo Tha Zin, dipenjara 11 tahun selepas mengaku bersalah membunuh rakan wanitanya. - Foto NSTP
Warga Myanmar, Phyo Tha Zin, dipenjara 11 tahun selepas mengaku bersalah membunuh rakan wanitanya. – Foto NSTP
MUAR: Seorang wanita warga Myanmar dipenjara 11 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku membunuh rakannya dengan menjerut leher mangsa menggunakan tuala di Batu Pahat, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Phyo Tha Zin, 31, selepas mengambil kira pengakuan dibuat dan mensabitkan kesalahan mengikut pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, pekerja kilang membuat pakaian itu didakwa membunuh rakan wanita, Sakawar Lin yang ketika itu berusia 23 tahun di rumah pekerja, Taman Budaya, Batu Pahat antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, polis menerima laporan berhubung seorang wanita ditemukan mati disyaki dibunuh dalam sebuah rumah didiami pekerja kilang warga asing pada pagi hari kejadian.

Siasatan mendapati, tertuduh bertengkar dengan mangsa rakan senegaranya selepas mendapat tahu wanita itu berkenalan dengan lelaki warga Bangladesh.

Pertengkaran berlanjutan dengan tertuduh mengambil tuala lalu menjerut leher mangsa hingga tidak sedarkan diri.

Selepas kejadian, tertuduh meninggalkan mangsa dalam bilik dan ke sebuah pusat beli belah tidak jauh dari rumahnya.

Tertuduh kemudian menghubungi rakan serumahnya untuk memeriksa keadaan mangsa yang ketika itu terbaring tidak sedarkan diri di katil.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Ramesh Vasan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan susulan selepas selesai hukuman penjara.

Kantoi: Guru sains curi pakaian dalam, seragam jururawat

KOSMO
Seorang lelaki ditahan apabila mencuri pakaian dalam wanita. - Youtube/Daily News
BANGKOK – Seorang guru sains di Thailand ditahan pihak berkuasa selepas mencuri pakaian dalam dan seragam jururawat, lapor portal berita Must Share News semalam.

Suspek dikenali dengan nama samaran Noi, 36, didakwa mencuri pelbagai barangan dari asrama jururawat di wilayah Buriram.

Hal itu mula disedari apabila jururawat mendapati bahawa pakaian dalam dan seragam mereka hilang secara misteri dari jemuran asrama.

Pada 28 Jun lalu, lelaki berkenaan kembali sekali lagi tanpa menyedari gerak-gerinya sudah dihidu. Polis segera bertindak pantas dan berjaya menangkapnya.

Suspek didapati positif methamphetamine dan kini didakwa kerana mencuri harta kerajaan, memiliki barang curi serta menyalahguna dadah. – AGENSI

Kelantan: Pengusaha salun dan suami, 3 ahli keluarga miliki 35.4 kg dadah didakwa di mahkamah pagi ini

Nor Fazlina Abdul Rahim
Pengusaha salun dan kedai makan antara lima yang akan didakwa di Mahkamah Majistret pagi ini kerana memiliki 35.4 kilogram dadah bernilai lebih RM5 juta. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengusaha salun dan kedai makan antara lima yang akan didakwa di Mahkamah Majistret pagi ini kerana memiliki 35.4 kilogram dadah bernilai lebih RM5 juta. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
PASIR MAS: Seorang pengusaha salun dan kedai makan bersama suami serta tiga ahli keluarganya yang ditahan pada 27 Jun lalu kerana memiliki 35.4 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM5 juta yang disimpan dalam timbunan najis lembu, dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini untuk proses pendakwaan.

Suspek berusia 25 hingga 39 tahun itu tiba jam 9.10 pagi dengan menaiki trak polis.

Suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam suspek termasuk sepasang suami isteri, disyaki memiliki dadah jenis pil kuda seberat lebih 35.4 kg dianggarkan bernilai RM5.04 juta di Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha di sini, pada 27 Jun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, dilaporkan berkata semua suspek itu membabitkan lima lelaki dan seorang wanita dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah sejak 2022.

Katanya, pasangan suami isteri berusia 34 tahun itu adalah suspek utama yang dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai makan, pusat kecantikan dan perniagaan dalam talian.

Lagi berkait Rafizi: Tewas tapi bukan ditundukkan

Hishamuddin Aun

Ayuh Malaysia bakal jadi pentas lonjakkan Rafizi Ramli semula.

Setiap suku kata dalam hujahnya diperhalusi, intonasinya dihakimi sambil bahasa tubuhnya diperinci sebagai tanda Rafizi Ramli kini umpama diletakkan di bawah mikroskop untuk ‘musuh-musuh’ sentiasa mahu mencari kesalahannya agar bekas timbalan presiden PKR itu dapat diadili pada suatu hari.

Seorang ketua cabang PKR di Sarawak mempertahankan bahawa kenyataan bekas menteri ekonomi itu harus dibaca dengan tepat kerana banyak mengandungi kiasan yang sentiasa dinanti untuk dieksploitasi, diputar belit dan dimanfaatkan bagi terus menggambarkan dirinya sebagai seorang pengkhianat parti.

“Kenapalah barisan MPP (Majlis Pimpian Pusat) ni macam budak-budak? Kenapalah kamu orang nak menjawab isu ini sampai nak bercerita bersumpah la? Bila kamu tak faham maksud sesuatu susahlah, kalau kiasan bahasa pun kamu orang tak faham, susah la. Macam mana kamu nak mengurus parti yang besar ni satu Malaysia kalau kamu tak tahu maksud yang Rafizi cakap.

“20 minit yang Rafizi maksudkan Anwar Ibrahim menjerit ni bukan maksudnya dia marah Rafizi. Maksudnya Anwar terpaksa 20 minit bertegang leher untuk nak menyokong isu sistem (pengundian) ni untuk dia nak tidak ada perbalahan sewaktu meyuarat (MPP) itu. Ini benda yang paling ‘simple’ la, macam mana orang di JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) kalau bahasa kiasan, bahasa yang macam ni pun kamu orang tak faham?,” soal ketua cabang Mas Gading, Daniel Jani, dalam siaran TikTok hariannya.

Terdahulu, Rafizi dalam episod ketiga audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ Jumaat lalu menceritakan bagaimana beliau bertegang leher dengan Anwar berhubung aspek teknikal sistem pengundian PKR termasuk kod sumber, pelayan dan penggunaan blockchain yang didakwanya boleh dimanipulasi untuk memberi kelebihan kepada calon tertentu dalam mesyuarat MPP sebelum pemilihan 23 Mei lalu.

Tampil mempertahankan Anwar selaku presiden PKR, dua ahli MPP — Ketua PKR Perlis Noor Amin Ahmad dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik — yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan berkata versi Rafizi mengenai ‘pergaduhan besar’ itu tidak menggambarkan apa sebenarnya berlaku.

“Siapa yang mengatakan bahawa presiden menjerit memarahinya selama 20 minit dalam mesyuarat tersebut, sama ada beliau menipu, ataupun berhalusinasi atau penghidap skizofrenia yang kronik,” kata Maszlee di Facebook lewat malam Sabtu.

Hairannya hanya dua ahli MPP yang menidakkan perkara itu seolah-olah mereka diarah untuk berbuat demikian — di sebalik Maszlee bertegas majoriti ahli MPP lain dalam mesyuarat itu menjadi saksi — walhal ia seperti tidak masuk akal untuk Rafizi mencipta cerita yang kononnya diada-adakan.

Ambil contoh ketika ditanya sama ada beliau menerima pandangan sebahagian masyarakat yang menamakannya sebagai calon perdana menteri berikut menggantikan Anwar di sebalik kalah pemilihan timbalan presiden PKR, jawapan Rafizi turut mengundang tafsiran berbeza-beza.

“Saya tengok siapa yang sibuk nak jadi perdana menteri atau kena lambung jadi perdana menteri selalunya tak jadi perdana menterilah. Keduanya politik ini sangat sukar dibaca. Kalau zaman 90-an dulu lain kita hanya ada satu parti dalam Umno. Keadaan sekarang sangat berbeza, you boleh jadi perdana menteri hari ini, minggu depan you tak jadi perdana menteri. Ini sebahagian daripada hasil perjuangan reformasi.

“Dari muda, saya nak tengok ada demokrasi kompetitif di Malaysia supaya sebagai rakyat kita nak ahli-ahli politik ni biar dia datang tunduk kat kita dan tunjukkan apa kamu boleh tawarkan dan siapa yang layak biar kami pilih, bukannya aku duduk kat luar tengok dia main politik dalam parti dia tup tup dia jadi perdana menteri, aku tak pilih dia pun. Jadi, benda tu terlalu kompleks.

“Tanya saya la minat saya bukan soal perdana menteri ke, saya tak ada minat sangat kat khidmat awam ni untuk jadi penjawat awam, Ahli Parlimen ke apa semua. Satu sebabnya persoanaliti saya sangat berbeza. Saya mulut longkang orang kata, tak reti bekerjasama dengan orang, keras kepala. Kalau menjadi perdana menteri maksudnya aku kena berubah, tak apalah aku tak payah jadi.

“Bagi sayalah kalau rakyat nakkan calon yang baik untuk jadi perdana menteri, sebenarnya dia bukan soal calon itu, bukan soal aku ke orang lain ke, dia soal rakyat. Rakyat kena faham dan kita kena betul-betul tumpu supaya kita ubah budaya politik dalam negara kita ini. Maksudnya kita boleh menyokong parti ini tapi kita tak boleh 100% jilat hanya kerana dia parti kita.

“Hanya dengan masyarakat menjadi objektif dan kritikal, hanya begitu barulah ada banyak calon yang ada peluang untuk jadi perdana menteri tanpa dia bertukar-tukar kulit dahulu sebab budaya sekarang kena bertukar-tukar kulit, kena cium orang tu cium orang ni barulah kamu boleh jadi perdana menteri.

“Kalau kamu bagus pun, kalau kamu mempertahankan diri sebagai satu ‘substance’, orang kata kamu tak pandai main politik sebab tu kamu tak jadi perdana menteri. Benda tu tak pernah ada dalam ‘horizon’ saya dan saya tiada niat untuk berubah. Kalau contohnya dalam politik orang rasa kamu ni tak sesuai, tak apalah saya akan bawa tenaga dan fokus saya ke tempat lain, ada banyak cara untuk kita berkhidmat dan cari keredaan Allah.

“Kecualilah rakyat, kita kena set budaya dengan betul, maka ia bukan lagi soal calon. Sesiapa saja yang bagus, yang mampu bawa perubahan, maka dia akan ada jalan yang baik untuk naiklah. Itu sebenarnya bagi saya pengakhiran yang baik untuk masyarakat, iaitu anda mahukan seramai boleh bakat tulen yang berpegang kepada kata-kata, bukannya seorang berkerjaya politik yang terpaksa menanti 30 tahun dan sepanjang perjalanannya itu bertukar kiri kanan semata-mata untuk kekal jadi perdana menteri,” katanya.

Mudah untuk menyimpulkan Rafizi tidak berminat pun nak jadi perdana menteri tetapi seperti ditegur oleh Daniel Jani, hujah Ahli Parlimen Pandan itu harus dibaca sebagai sarat dengan kiasan yang makna sebenarnya mungkin berlainan. Pengumumannya pada Selasa bahawa tumpuan baharunya kini ialah membina jaringan perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia susulan peletakan jawatannya daripada Kabinet membayangkan beliau mahu kekal relevan dalam arus perdana politik.

“Tumpuan saya kini ialah membina jaringan rakyat melalui perusahaan sosial,” kata Rafizi dalam kenyataan yang mengembalikan nostalgia kepada 2022.

Selepas berundur daripada politik pada 2018 susulan didapati bersalah dalam kes membabitkan skandal National Feedlot Corporation (NFC), Rafizi — yang tewas kepada Azmin Ali dalam pemilihan timbalan presiden pada 2018 — mengumumkan kempen Ayuh Malaysia pada 15 Mac 2022 untuk kembali bertanding jawatan itu dan kemudian menang ke atas Saifuddin Nasution Ismail.

Sebagaimana Ayuh Malaysia ketika itu yang turut disasarkannya kepada memenangi hati pengundi atas pagar dalam PRU15, kempen terbarunya itu juga bermatlamat yang sama sambil ingin menunjukkan bahawa beliau mungkin tewas dalam pemilihan timbalan presiden 23 Mei lalu tapi belum benar-benar ditundukkan sepenuhnya.

Papagomo dapat notis saman RM1 juta

Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan, Papagomo dapat notis saman RM1 juta

Harapandaily

Notis tuntutan saman fitnah telah diserahkan secara rasmi hari ini kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyerahan notis itu dibuat oleh pasukan guamannya pada jam 2.15 petang di kediaman Papagomo.

“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung UMNO berkenaan turut mengingatkan bahawa fitnah bukan sahaja membawa akibat undang-undang di dunia, tetapi juga azab yang berat di akhirat.

“Kalau pun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah. See you in court!” tegasnya.

Papagomo, 42, setakat ini belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung notis saman yang dierimanya itu.

Sebelum ini, bekas anggota polis yang dipecat pada 2012 itu mendakwa Asyraf Wajdi menggunakan duit dari Mara untuk menaja satu majlis di Parlimen Gerik, Perak baru-baru ini.

Susulan itu, Asyraf melalui satu video balas menegaskan akan menyaman Papagomo sebanyak RM1 juta bagi menangkis fitnah tersebut.

Jambatan runtuh, angka kematian meningkat 10 orang

BERNAMA
USAHA menyelamat dilakukan susulan jambatan di Vadodara runtuh yang mengorbankan 10 orang setakat ini. FOTO Reuters.
USAHA menyelamat dilakukan susulan jambatan di Vadodara runtuh yang mengorbankan 10 orang setakat ini. FOTO Reuters.
New Delhi: Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas kenderaan terjunam ke dalam sungai apabila sebuah jambatan runtuh di negeri Gujarat, barat India, pada Rabu.

Jambatan Gambhira di Sungai Mahi itu menghubungkan daerah Vadodara dan Anand.

Beberapa trak dan kereta terjunam ke dalam sungai apabila sebahagian daripada jambatan berusia empat dekad itu runtuh.

Sepuluh orang terkorban dalam kejadian itu, manakala ramai lagi berjaya diselamatkan dari sungai, menurut laporan media tempatan.

Anggota JPJ dirakam melakukan kesalahan memotong di garisan berkembar digantung tugas

FMT Reporters

JPJ juga keluarkan notis saman kepada anggota tersebut atas kesalahan memotong di garisan berkembar.
Tangkap layar video memaparkan kenderaan JPJ dipandu secara tidak wajar, yang membawa kepada tindakan segera oleh jabatan itu
PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan gantung tugas seorang anggota yang dirakam memandu secara tidak wajar, selepas video kejadian tular di media sosial.

Ketua Pengarah Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya juga mengeluarkan notis saman kepada anggota tersebut atas kesalahan memotong di garisan berkembar.

Anggota tersebut juga dikenakan larangan memandu kenderaan jabatan dan menempatkannya di ibu pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.

“JPJ memandang serius berkaitan kejadian tersebut dan tindakan tegas secara serta-merta dikeluarkan kepada anggota JPJ yang terlibat,” menurut kenyataan.

JPJ berkata ia menerima aduan awam berkaitan satu video memaparkan kenderaan jabatan dipandu dengan cara tidak wajar di Simpang Pulai, Perak, hari ini.

Dalam pada itu, siasatan dalaman dimulakan bagi meneliti kemungkinan berlakunya kesalahan lain, kata JPJ.

JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk kakitangan jabatan yang melakukan kesalahan lalu lintas, katanya.

“JPJ merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada orang awam yang merakam kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya,” katanya.

JPJ menyeru orang awam melaporkan aduan secara terus jika terdapat pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan, menerusi aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta butiran lengkap aduan.

Rafizi bidas PAS beri kata dua untuk sokong RCI kehakiman

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberi peringatan kepada PAS agar tidak mengulangi kesilapan besar yang pernah dilakukannya ketika skandal 1MDB, kali ini dalam desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.

“Saya minta satu saja, PAS jangan ulang kesilapan semasa skandal 1MDB dahulu. 

“Kami susah payah membuktikan penyelewengan, dia mudah saja pergi jadi auditor dan umum mereka berpuas hati,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Rafizi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu sedia menyokong cadangan penubuhan RCI berhubung isu badan kehakiman jika bekas Menteri Ekonomi itu turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.

Tuan Ibrahim semalam dilaporkan berkata, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa dia benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.

Namun, bagi rafizi, kata dua yang diberikan PAS itu adalah tindakan “menunggang”.

Tegasnya, isu kebebasan kehakiman sepatutnya dilihat secara objektif dan bukan dijadikan alat politik.

“PAS bagi kata dua kepada saya bahawa mereka hanya akan sokong cadangan RCI mengenai badan kehakiman jika saya sertai perhimpunan Turun Anwar yang mereka anjur.

“Itu kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Sokongan bersyarat ni maksudnya nak menunggang,” katanya.

Rafizi turut memaklumkan bahawa sembilan ahli Parlimen PKR - termasuk dirinya - telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen mengenai cadangan RCI.

“Dari situ, kita sama-sama lihat siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju. Bukanlah hak saya nak hukum siapa yang ikhlas atau tidak dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi menyeru agar semua pihak mengamalkan pendekatan politik matang, di mana suatu pandangan harus dinilai berdasarkan merit, bukannya pihak yang menyuarakannya.

“Kalau pandangan itu nampak sama, bukan bermakna kita bersama atas pentas politik kepartian. 

“Bagi yang pembangkang, pandangan itu dilihat sebagai membangkang. Pihak kerajaan pula, pandangan itu dilihat sebagai menegur. Dua-dua perlu main peranan,” tambahnya.

Samun dan rogol pelajar IPTA dalam kebun sawit, dua remaja direman

MOHD SHARKAWI LONDING
DUA remaja direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki melakukan samun dan rogol ke atas pelajar sebuah IPTA di dalam kebun sawit di Panchor, Muar, Isnin lalu.
MUAR – Dua remaja termasuk seorang masih bawah umur direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas disyaki melakukan samun dan merogol seorang penuntut perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pagoh, Isnin lalu.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Fatin Dalilah Khalid terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini dengan suspek berusia 19 tahun direman lima hari manakala seorang lagi berusia 17 tahun, tiga hari.

Reman itu membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun manakala reman bagi Seksyen 376 kanun sama kerana rogol akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam, 7 Julai lalu ketika mangsa, penuntut IPTA berusia 20 tahun membonceng motosikal teman lelakinya berusia 23 tahun.

Ketika melalui Jalan Kampung Jawa, Panchor di sini, mangsa dan teman lelaki ditahan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal sebelum meminta menyerahkan wang tunai.

Suspek kemudian mengambil beg tangan mengandungi wang tunai RM250 namun suspek memberitahu jumlah itu belum mencukupi.

Salah seorang suspek menumbuk muka mangsa lelaki menyebabkannya terjatuh sebelum memintanya meninggalkan teman wanita bersama mereka.

Kedua-dua suspek membawa mangsa menaiki sebuah motosikal menuju ke kebun sawit berdekatan lalu merogolnya.

Selepas kejadian itu, mangsa dihantar pulang oleh suspek ke kampus sebelum mangsa dan teman lelakinya membuat laporan polisdan teman lelaki di Balai Polis Panchor pada hari kejadian.-KOSMO! ONLINE

Rumah milik Aliff Syukri jadi sarang pelacuran, penagih dadah

HELMI ANUAR
Aliff terkejut dan berang apabila rumah sewa miliknya di Sungai Buloh dijadikan sarang pelacuran dan aktiviti menagih dadah.
PETALING JAYA – Mengejutkan apabila usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri membongkar kegiatan pelacuran yang berlaku di salah sebuah rumahnya yang dipercayai terletak di Sungai Buloh.

Dalam video yang dikongsikan dalam Instagram, Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, menyerbu rumah terbabit dan menangkap seorang wanita warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
 
“Kenapa kamu datang rumah saya bawa lima lelaki? Pakai seksi macam ni. Dia jual diri ni. Jangan sampai aku lepuk muka kau,” katanya yang tidak dapat menahan marah.

Katanya lagi di bahagian kapsyen, dia tidak menyangka rumahnya diceroboh dan dijadikan tempat untuk aktiviti pelacuran dan menagih dadah.

“Papa sungguh tak sangka rumah papa kena ceroboh oleh orang tak bertanggungjawab. Papa tak sihat dan badan papa seram sejuk nak demam.

“Rumah papa dibuatnya sarang pelacuran dan sarang dadah. Masya-Allah, apa yang perlu papa buat? Papa buntu dan kecewa sangat. Patut ke papa lepaskan atau hubungi polis?,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meminta agar dia melaporkan kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes ini.  – KOSMO! ONLINE

Warga Pakistan suspek utama kes liwat di Shah Alam ditangkap di Kedah

Malaysiakini 

Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan di Kuala Nerang, Kedah semalam, kerana disyaki terlibat dalam kes liwat dan amang seksual beberapa kanak-kanak lelaki di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 di Shah Alami.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 25 tahun yang disyaki terbabit dalam empat siri kejadian cabul dan liwat terhadap mangsa lelaki berusia sembilan, 13, 14 dan 19 tahun itu, ditahan di kawasan Durian Burung, Kuala Nerang ketika cuba melarikan diri ke negara jiran.

Beliau berkata turut ditahan bersama suspek utama itu seorang lagi lelaki juga warga Pakistan yang dipercayai berperanan membantu suspek menyembunyikan diri.

“Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu sebanyak dua kes, manakala dua lagi kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

“Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap kedua-duanya pada hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895 bagi membantu siasatan.

- Bernama

Polis cari suami isteri melarikan diri selepas kereta terjunam dalam sungai

Nor Azizah Mokhtar
Sebuah Perodua Alza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti terjunam ke dalam sungai berhampiran Jalan Kuari, Sungai Long, Hulu Langat. - Foto ihsan polis
Sebuah Perodua Alza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti terjunam ke dalam sungai berhampiran Jalan Kuari, Sungai Long, Hulu Langat. - Foto ihsan polis
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang dilihat melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai berhampiran Jalan Kuari, Sungai Long, Hulu Langat di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 9.30 pagi tadi sebelum sepasukan anggota polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, menerusi maklumat saksi awam yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, mereka memaklumkan terdengar bunyi bising di kawasan sungai sekitar jam 9 pagi.

"Saksi melihat seorang lelaki dan seorang wanita yang tidak dapat dipastikan bangsanya keluar dari sebuah kereta yang berada dalam sungai sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah yang tidak diketahui.

"Pihak polis bersama anggota bomba kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada individu berada dalam kenderaan itu, sebelum kenderaan terbabit berjaya dibawa naik ke darat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kereta berkenaan dimiliki seorang lelaki tempatan yang menyewakannya kepada seorang lelaki lain.

"Difahamkan, kenderaan itu kemudian dipinjam oleh dua individu yang juga pasangan suami isteri sebelum kejadian itu berlaku.

"Pasangan suami isteri itu kini sedang dikesan bagi mengetahui punca kejadian. Insiden ini tidak membabitkan kemalangan jiwa," katanya.

Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Batu 14 Hulu Langat di talian 019-2642499.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung sebuah kereta terjunam ke dalam sungai pada jam 10.29 pagi tadi.

Katanya, sebuah Perodua Alza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti terjunam ke dalam sungai sedalam 1.5 meter.

Mufti Perlis: Ucapan Zahid Hamidi bernada takabur pada tahap tinggi

‘Malaikat pun lari malam’: Zahid mohon maaf atas khilaf, terlanjur kata

Malaysiakini 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kenyataannya yang mengibaratkan malaikat pun tidak mampu menjadi presiden parti itu, bagi menggambarkan kesukaran tugas tersebut.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu diucapkannya dalam suasana penuh emosi namun mengakui perbandingan yang dibuatnya telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, petikan ucapan Ahmad Zahid yang menyentuh perkara itu tular di media sosial.

Dia yang juga Timbalan Perdana Menteri mengimbas kembali saat selepas tewasnya BN dalam PRU 2018, dan berkata ramai yang bertindak lari daripada Umno hanya kerana sedikit ujian.

“Allah nak uji sedikit saja, dah lari. Itu belum diuji 47 pertuduhan, itu belum (ujian) dibekukan harta Umno, belum dirampas harta Umno.

“Ditakdirkan jika Allah memerintahkan malaikat untuk menjadi presiden (Umno), malaikat pun ‘lari malam’, tapi tidak Zahid Hamidi yang tetap mempertahankan Umno,” katanya seperti dirakam dalam video tersebut.

Hari ini, Zahid berkata dia menerima setiap teguran kepadanya dengan hati terbuka.

“Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan,” katanya lagi.

‘Tak sepatutnya diucapkan’

Terdahulu, ucapannya itu disanggah golongan agamawan, antaranya Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkan Zahid terlepas cakap dan berharap dia tidak memaksudkannya.

“Adalah tidak sepatutnya mengaitkan malaikat dalam ucapan politik yang seperti itu. 

“Ini satu anggapan yang sangat membimbangkan terhadap pegangan pengucapnya berkaitan dengan hakikat sebenar malaikat yang digambarkan oleh al-Quran,” ujar Mohd Asri di Facebook.

Dia berkata ucapan itu yang menggambarkan malaikat sendiri tidak sanggup memikul tugas tersebut walau diperintahkan Allah berbanding Zahid sendiri yang tidak lari daripada cabaran itu, menggambarkan “kesombongan diri yang sangat besar”.

“Ia satu bunyi ucapan yang bernada takabur pada tahap tinggi yang tidak sepatutnya diucapkan. 

Ia bagaikan cabaran kepada Allah, bahawa jika Allah perintah pun malaikat tidak berkemampuan sepertinya,” katanya lagi.

Menurut Mohd Asri lagi, ucapan itu juga boleh difahami bahawa jika malaikat yang dipilih Allah untuk memimpin partinya, malaikat pun lari dan gagal, tidak seperti Zahid.

Mengenali Zahid, katanya lagi, dia percaya ahli Parlimen Bagan Datuk itu bukan berniat mempersendakan Allah atau meremehkan kedudukan malaikat, namun mungkin hanya terlepas cakap.

“Demikianlah akibatnya jika agama dijadikan bahan dalam berpolitik. Maka, saya mencadangkan dia membetulkan kembali ucapan tersebut. Dia hendaklah sedikit tawaduk dengan keupayaan dirinya dan pohonlah kekuatan daripada Allah,” katanya lagi.

‘Angkat diri, penuh kesombongan’

Teguran sama juga dilontarkan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang menyarankan agar semua pihak, khususnya pemimpin parti politik, agar lebih berhati-hati apabila menyampaikan ucapan, terutamanya apabila menyentuh nama Allah dan malaikat. 

Ketuanya, Ahmad Yahaya menyifatkan ucapan Zahid sebagai ucapan yang mengangkat diri dengan penuh kesombongan, walau pada hakikatnya dia tidak layak untuk membuat perbandingan sedemikian.

“Ia memberikan gambaran dan perspektif yang negatif terhadap zat Allah yang maha bijaksana, maha mengetahui segala-galanya dan maha mentadbir alam ini. Ucapan tersebut juga memberikan konotasi negatif terhadap peranan malaikat yang merupakan golongan yang taat terhadap apa jua perintah-Nya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

DUPP turut menyeru Ahmad Zahid agar beristighfar dan memohon keampunan daripada Tuhan jika dia tidak sengaja membuat ucapan itu.

Lelaki tendang kereta, tunjuk isyarat lucah ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menendang sebuah kereta dan menunjukkan isyarat lucah dalam satu kejadian di kawasan Gelang Patah pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 8.37 malam apabila kereta yang dipandu suspek warga tempatan dikatakan melanggar kenderaan mangsa dari arah belakang.

Susulan itu, katanya, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak, tambahnya.

“Suspek kemudian menendang kereta pengadu yang juga seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan turut menunjukkan isyarat lucah ‘jari tengah’ ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan suspek berusia 20 tahun berjaya ditahan pada hari sama di tepi jalan sekitar kawasan Gelang Patah.

Kumarasan berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah namun dia tiada sebarang rekod jenayah lampau.

Suspek kini direman selama empat hari bermula Isnin hingga 10 Julai depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara penjara, didenda atau kedua-duanya bergantung pada peruntukan undang-undang yang terlibat.

Terdahulu tular video berdurasi 20 saat di Facebook memaparkan seorang lelaki bertindak menendang pintu kereta beberapa kali dan mengajak pemandu kereta terbabit keluar.

Turut dipaparkan dalam video tersebut, tiga anggota polis menahan lelaki itu dengan menggari tangannya.

Lelaki melompat ke dalam enjin pesawat bergerak

KOSMO!
Seorang lelaki meninggal dunia selepas disebut ke dalam enjin sebuah pesawat Airbus di Itali. -- AGENSI
ROM – Seorang lelaki meninggal dunia selepas melompat dan disedut masuk ke dalam enjin pesawat penumpang di salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di Itali hari ini, demikian menurut laporan tempatan.

Lelaki iyang bukan penumpang atau pekerja lapangan terbang itu berjaya mengelak pemeriksaan keselamatan dan dilihat berlari ke arah pesawat yang sedang bergerak di landasan sebelum dia terbunuh, lapor agensi berita kebangsaan Itali, ANSA .

Dia dipercayai menyusup masuk ke landasan dengan niat untuk mengakhiri hidupnya

Pesawat yang terlibat ialah sebuah Airbus A319 dikendalikan oleh syarikat penerbangan bajet, Volotea.

Ketika kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) pesawat itu dijadualkan berlepas dari Bergamo ke Asturias di utara Sepanyol.

Pesawat itu baru sahaja selesai menaikkan penumpang dan sedang bergerak dari terminal ke landasan.

“Kami sedang menyiasat laporan mengenai kejadian melibatkan penerbangan V73511 BGY-OVD yang berlaku di atas tanah selepas proses menaikkan penumpang selesai dan bersedia untuk berlepas,” Volotea memaklumkan dalam satu kenyataan di laman X . – AGENSI

Ulasan: Pendedahan Rafizi mengenai sokongan kepada PKR makin merudum

Bohong jugakah sokongan kepada PKR makin merudum?

Hishamuddin Aun

Dapatan terbaru Rafizi Ramli berdasarkan data tidak boleh semudah menuduhnya mereka-reka cerita.

Bisa sengatan Rafizi Ramli nampaknya sudah mula memberi kesan kepada PKR apabila audio siar mingguan mantan timbalan presiden itu mengundang reaksi sebilangan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hingga beliau digambarkan sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.

Jika menggunakan analogi kes mahkamah, ada yang cuba menampilkan bekas menteri ekonomi itu sebagai saksi yang berbohong dalam keterangannya. Mengumpamakannya sebagai pencetus ‘ribut dalam cawan’ atau memperbesar-besarkan sesuatu yang tidak sepatutnya, karakternya mahu dihapuskan daripada memberi pengaruh besar kepada orang ramai.

Ia berkait pendedahan Rafizi dalam episod ketiga audio siarnya Jumaat lalu mengenai bagaimana beliau bertegang leher dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung aspek teknikal sistem pengundian termasuk kod sumber, pelayan dan penggunaan blockchain yang didakwanya boleh dimanipulasi untuk memberi kelebihan kepada calon tertentu dalam mesyuarat MPP sebelum pemilihan 23 Mei lalu.

“Anwar Ibrahim menjerit kat aku untuk tempoh 20 minit, bergaduh besar. Pembangun sistem pun masa dia bentangkan semua itu, dia ingat kami semua bodoh. Dia ingat kami semua tak faham IT, dia lupa aku ada syarikat ‘startup’. Hakikat bahawa sampai ke sudah JPP marah-marah tak bagi buka blockchain (untuk pengundian), saya tak fikir saya perlukan lebih bukti ada banyak benda yang disembunyikan,” katanya.

Tampil mempertahankan Anwar, dua ahli MPP — Ketua PKR Perlis Noor Amin Ahmad dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik — yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan berkata versi Rafizi mengenai ‘pergaduhan besar’ itu tidak menggambarkan apa sebenar berlaku.

“Siapa yang mengatakan bahawa presiden menjerit memarahinya selama 20 minit dalam mesyuarat tersebut, sama ada beliau menipu, ataupun berhalusinasi atau penghidap skizofrenia yang kronik,” kata Maszlee di Facebook lewat malam Sabtu.

Hairannya hanya dua ahli MPP yang menidakkan perkara itu seolah-olah mereka diarah untuk berbuat demikian — di sebalik Maszlee bertegas majoriti ahli MPP lain dalam mesyuarat itu menjadi saksi — walhal ia seperti tidak masuk akal untuk Rafizi mencipta cerita dalam ‘Yang Berhenti Menteri’ yang dibawakan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial serta mendapat tontonan ramai.

Seperkara lagi, ada perkara lebih besar yang didedahkan Rafizi dalam siaran dua jamnya itu tetapi tidak pula menggamit keprihatinan dan kerisauan MPP. Atau semudah ‘pergaduhan besar’ diceritakan Rafizi disangkal sebagai pembohongan, mungkin ia juga dianggap satu lagi cerita rekaan.

“Data terbaru saya dapat (menunjukkan) ia tidak baik untuk kerajaan. Saya tidak boleh berkongsi kerana data itu ada orang lain yang bayar dan itu hak milik mungkin orang lain la. Tapi data itu cukup tidak baik untuk kerajaan.

“Data itu menunjukkan ada hubung kait dengan bising-bising di media sosial, dengan isu demi isu yang berlaku, daripada pemilihan (PKR), kemudian SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dan penurunan sokongan itu mendadak.

“Kalau tanya saya data itu jelas atau tidak, sekarang ni memang saya dah dapat data yang mengesahkan (ia) memang nyata dan lebih teruk daripada yang saya kongsi semasa kempen pemilihan (Jelajah Hiruk) hari itu,” katanya.

Dalam siri pertama Jelajah Hiruk peringkat Negeri Sembilan dan Melaka di Seremban pada 11 Mei, Rafizi menunjukkan beberapa slaid sebagai membayangkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak berada dalam kedudukan baik ketika ini untuk memenangi PRU akan datang.

Bukan sekadar sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu masih tidak mencukupi — 27% setakat April tahun ini dibandingkan dengan 48% di pihak BN dan PN — malah sokongan pengundi Cina dan India — hanya 31% April lalu — merosot dengan mendadak. Lebih membimbangkan, kadar pengundi Melayu yang belum membuat keputusan mencecah 26%.

Rafizi berkata PKR memerlukan sekurang-kurangnya 35% sokongan Melayu jika parti itu ingin mengekalkan 30 hingga 40 kerusi Parlimen.

“Kalau kita tak cecah 35% (sokongan Melayu), buatlah macam mana pun, peluk dan damaikan akar umbi macam mana pun, kita tak akan menang PRU akan datang,” katanya.

Ditanya Faizal Rahman — tetamu dalam audio siar Jumaat lalu — masih wujudkah kestabilan politik dalam kerajaan yang bermaksud tidak ada berlaku pergaduhan dalam komponen, Rafizi memilih untuk menjawab dengan huraian panjang.

“Kalau yang hiruk-pikuk ni yang akan terus hiruk-pikuk PKR lah dan PKR itu akan ada kesan kepada PH. Yang paling terkesan adalah Amanah, lepas tu DAP kerana Amanah berkongsi profil pengundi yang sama dengan PKR, kemudian DAP kerana sebahagian daripada PH. Jadi, hiruk-pikuk kalau itu dipanggil sebagai ketidakstabilan akan berterusan buat beberapa ketika dalam PKR dan PH.

“Sama ada itu akan menyebab kebimbangan rakan-rakan komponen dalam kerajaan perpaduan, saya rasa dia tidak akan berlaku (hanya) kerana pemilihan PKR tu. Yang saya rasa boleh menjadi risiko kalau contohnya hiruk-pikuk yang berlaku daripada pemilihan PKR itu kekal untuk beberapa ketika dan dia mula menunjukkan kerajaan yang tulang belakang dan kemudinya itu PH mula defensif dan mula tak keruan.

“Dia jadi tak keruan kerana kalau sebelum ini penyokong atas pagar dan penyokong parti PH ni, dia akan pertahankan apa saja yang berlaku. Sekarang selepas pemilihan itu, mari satu isu dia dah berubah jadi kritikal. Jadi akhirnya kerajaan terutama PH itu menjadi defensif.

“Defensif itu dan akibat isu-isu yang timbul itu boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan rakan-rakan komponen yang lain. Kerana bila kita bentuk kerajaan perpaduan, asasnya ialah kestabilan dan cara untuk kita menjamin kestabilan itu ialah masing-masing ini menjaga kumpulan penyokong supaya dapat tumpu kepada pentadbiran negara.

“Jadi bila ada sebahagian daripada pengundi dan penyokong kerajaan mula kritikal kepada kerajaan, kalau saya jadi GPS, jadi BN, saya akan kata kita ada masalah kerana kamu tidak lagi mampu menyampaikan bahagian kamu (dalam kerjasama kerajaan perpaduan),” katanya.

Kepada soalan lanjut Faizal, Ahli Parlimen Pandan itu berkata banyak isu negatif timbul sejak dua bulan lepas — daripada SST yang membabitkan cukai tambahan kepada buah-buahan import seperti avocado dan oren hinggalah kepada isu kehakiman — hingga memerlukan kerajaan ‘bersilat’.

“Banyak yang saya baca dan saya perhatikan itu lebih kepada defensif kepada isu-isu inilah. Saya lagi bimbang sebenarnya kerajaan ini akhirnya tidak berjaya mengetengahkan dasar kerana sibuk bersilat,” katanya lagi.

Apakah Rafizi akan dituduh berbohong berkait dapatan barunya itu? Dalam MPP 2025-2028, masih ramai yang belum tampil untuk mempertahankan kerajaan, terutama timbalan presiden baharu Nurul Izzah Anwar yang kelihatannya berat mulut.