"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak sedar dah langgar wanita, pemandu kereta terkejut jumpa mayat atas bumbung kereta

KOSMO!
SEORANG pemandu menyedari ada mayat Wanita di atas bumbung keretanya. - Foto Radio 105/PP News
BRASILIA – Seorang pemandu kereta di Brazil tidak menyedari dia melanggar wanita yang hanya memakai blaus dan stoking hingga mati, lapor portal berita MSNews hari ini. 

Lelaki itu menemui mayat wanita tersebut terbaring di atas bumbung keretanya selepas dia tiba di rumah.

Menurut media Brazil PP News, kejadian mengejutkan itu berlaku pada awal pagi di lebuh raya ERS-344.

Lelaki berkenaan dilaporkan memandu keretanya dalam keadaan kabus tebal.

Pada satu ketika, pemandu itu merasakan kesan hentaman secara tiba-tiba tetapi dia menganggap telah melanggar haiwan dan tidak berhenti untuk memeriksa.

Dia segera memaklumkan pihak berkuasa selepas menemui mayat di atas bumbung keretanya.

Wanita itu dikenal pasti sebagai Viviana Beatriz Villalba, 22 dari Argentina, yang baru dua minggu berada di Brazil, lapor laman berita Brazil Radio 105.7.

Menurut polis, dia merupakan ibu kepada anak kecil dan bekerja di sebuah kelab malam di tepi lebuh raya.

Ketika kemalangan, mangsa hanya memakai blaus dan stokin.

Pemandu mengambil ujian alkohol yang menunjukkan dia tidak mengambil minuman keras.

Pihak berkuasa telah mendaftarkan kes itu yang menyebabkan kematian dan kenderaan tersebut disita. – AGENSI

MB Perlis tewas pemilihan YDP PAS Arau

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga menteri besar, Mohd Shukri Ramli tewas dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) PAS Arau dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.

Shukri yang juga Adun Sanglang itu hanya memperoleh 43 undi tewas kepada penyandang jawatan itu, Solahudin Azmi yang mendapat 128 undi daripada 173 perwakilan yang hadir Mesyuarat Agung Tahunan PAS Arau, lapor Sinar Harian.

Bagi jawatan Timbalan YDP pula, penyandang yang juga speaker DUN Perlis, Ruselee Eizan gagal mempertahankan jawatan itu apabila tewas kepada Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Ridzuan yang juga exco negeri memperoleh 135 undi manakala Ruselee hanya mendapat 34 undi.

Shukri pernah memegang jawatan YDP PAS Arau bagi sesi 2013–2015 apabila beliau menang tanpa bertanding.

Mayat pembantu kedai makan ditemui dalam rumah, disyaki dibunuh

HARRITH HISHAM

GOMBAK – Seorang wanita warga asing ditemui maut di sebuah rumah kedai di Bandar Tasik Puteri, Rawang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan semalam.

Dalam kejadian pukul 12.34 tengah hari itu, mayat wanita berusia 37 tahun itu ditemukan terbaring di atas katil dalam sebuah bilik.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan telah tinggal di rumah tersebut selama beberapa bulan.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal pada badan mangsa menunjukkan tiada kesan kecederaan dan unsur jenayah.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasatan yang dijalankan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa mengalami kecederaan retak di kepala disyaki dipukul objek tumpul dan lemas disyaki akibat ditekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Puteri Noor Asiah Mohd. Sharif di talian 012-6718024. – KOSMO! ONLINE

46 pekerja asing ditahan merusuh di asrama

Bernama

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 46 lelaki warga asing susulan kekecohan di pekarangan sebuah hotel yang dijadikan penginapan pekerja di sini malam tadi.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 10.42 malam memaklumkan terdapat sekumpulan pekerja warga asing berkumpul di pekarangan bangunan itu.

“Siasatan awal mendapati bangunan itu dijadikan hostel pekerja oleh sebuah syarikat di kawasan Perindustrian Bukit Minyak dan menetapkan peraturan pekerja tidak dibenarkan menghisap rokok atau mengambil minuman keras semasa tinggal di kawasan premis itu.

“Kejadian berpunca selepas beberapa pekerja tidak berpuas hati dengan warden hostel yang juga seorang lelaki warga asing kerana mengutip denda daripada pekerja melanggar peraturan tanpa pengetahuan pihak syarikat,” katanya dalam kenyataan.

Helmi berkata tindakan itu menyebabkan beberapa pekerja berkumpul dan merosakkan van syarikat di hadapan bangunan berkenaan.

Semua lelaki berkenaan direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.

Terdahulu, kejadian itu tular menerusi media sosial hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam, namun pihak polis dilihat berada di lokasi bagi menenangkan keadaan.

Rafizi: Apa guna kekal dalam kabinet jika hilang kebebasan bersuara

Qistina Nadia Dzulqarnain

Rafizi Ramli berkata tiada sebab untuk dia terus kekal dalam kabinet sekiranya jawatannya itu mengorbankan hak untuk dia bersuara dan menyatakan pandangan sendiri.

Bercakap dalam episod pertama audio siar terbarunya Yang Berhenti Menteri malam tadi, Rafizi berkata, dia hanya akan menjadi seorang “menteri tempang” sekiranya memilih untuk kekal dalam kerajaan selepas tewas kepada anak perdana menteri, Nurul Izzah Anwar, dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini.

“Saya tak mahu berada dalam kabinet jika itu bermakna pandangan saya disekat atau saya tidak dibenarkan untuk berbeza pandangan.

“Saya tak mahu berada dalam situasi […] saya diminta supaya ‘jangan merajuk, buat kerja sahaja untuk parti’.

“Walaupun usaha saya memberi nilai tambah kepada PKR, saya tetap tidak diberi ruang untuk bersuara secara berbeza,” katanya.

Bekas menteri ekonomi itu juga berkata tanpa pengaruh dalam keputusan seperti pelantikan atau pembaharuan budaya politik yang toksik, kehadirannya hanya akan memperkuat sistem yang sebelum ini ditentang.

Dia menekankan bahawa penyertaan Nurul Izzah dalam pemilihan parti jelas mendapat restu Anwar sebagai Presiden PKR, dan memberi isyarat bahawa tokoh terbabit tidak lagi meletakkan keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai timbalan presiden parti serta menteri ekonomi.

Tambah anak kelahiran Terengganu itu, terus memegang jawatan menteri selepas kalah dalam pemilihan hanya akan “menjejaskan” Kementerian Ekonomi kerana penjawat awam akan melihatnya kehilangan legitimasi – sekali gus menjejaskan keberkesanan dasar dan program kementerian.

“Mandat itu penting untuk menjayakan agenda reformasi ekonomi. Kalau hilang mandat, maknanya idea dan pandangan kita telah ditolak,” katanya.

Usah pinggir ahli akar umbi

Rafizi juga menegaskan jika dia kekal dalam jawatan tersebut keadaan tetap sukar kerana timbul persepsi bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan perdana menteri untuk menjalankan tugasnya.

Mengulas cadangan Nurul Izzah agar dia diangkat sebagai timbalan presiden lantikan, Rafizi berkata, ia dibuat bagi mengekalkan penyokong dalam parti tetapi pada masa sama menyekat suaranya.

“Ini soal prinsip. Kalau kita benar-benar yakin dengan reformasi, mesti ada ruang untuk pandangan berbeza. Kalau tidak, setiap kali seseorang bersuara akan dituduh merajuk,” katanya lagi.

Rafizi menegaskan beliau tidak kisah jika tidak lagi menjadi menteri atau memegang jawatan dalam parti, tetapi apa yang penting, isu struktur dan prinsip mesti dibincangkan demi masa depan dan kelangsungan PKR.

Mengulas kritikan sesetengah pihak yang menyifatkannya “tinggalkan tugas separuh jalan”, Rafizi mempertahankan pencapaiannya sebagai menteri, termasuk pelaksanaan beberapa inisiatif penting.

Katanya hanya ada dua perkara utama belum sempat diselesaikan: Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan Akta Anti Rent-Seeking, yang lebih dikenali sebagai Akta Anti-Ali Baba.

Rafizi juga dilihat menyindir Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, apabila meminta rakyat menilai prestasi kementeriannya dan bukan hanya menumpukan kepada prestasi Kementerian Ekonomi.

Walaupun tidak mengkritik secara langsung, Rafizi turut menyebut nama Naib Presiden PKR, R Ramanan, sambil mengingatkan parti supaya tidak meminggirkan ahli akar umbi.

“Ada dua tiga orang dalam PKR sekarang yang tak faham sejarah parti sebab mereka baru masuk.

“Mereka tak patut pandang rendah terhadap tenaga rakyat biasa – yang tak pegang jawatan, tak pakai baju gambar Ramanan dan Anwar – tapi mereka inilah yang kekalkan PKR selama ini.

“Tanpa mereka, tiada PKR. Saya rasa mereka ada potensi besar dan keinginan untuk terus berkhidmat kepada parti.

“Cabaran saya sekarang ialah bagaimana nak manfaatkan kuasa dan tenaga mereka,” katanya.

Ditanya jika dia bercadang menubuhkan parti baru, Rafizi secara berseloroh berkata, satu-satunya ‘parti’ yang dirancangnya setakat ini hanyalah majlis perjumpaan bulan depan untuk “meraikan kekalahannya”.

Walaupun pernah mempertimbangkan cadangan itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama beliau kini ialah memastikan dirinya dan penyokongnya tidak terlalu ikut perasaan, sebaliknya fokus kepada keperluan semasa – menjamin kestabilan kerajaan.

Mengakui kekecewaan dan kepayahan yang dilalui oleh akar umbi PKR sejak zaman pembangkang, Rafizi berkata beliau akan meluangkan masa untuk berjumpa dan berdialog dengan ahli-ahli parti tersebut.

“Penting untuk saya salurkan tenaga dan emosi mereka daripada perkara toksik kepada isu-isu yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Rafizi letak jawatan sebab dapat 'isyarat'

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 28 Mei lalu disebabkan melihat kepada 'isyarat' diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang keyakinan kepadanya.

Menerusi 'Podcast Yang Berhenti Menteri' yang disiarkan di saluran YouTubenya malam ini, Rafizi turut mengambil contoh pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu apabila Nurul Izzah Anwar mencabarnya dalam jawatan Timbalan Presiden.

"Apabila Nurul Izzah bertanding, semua orang tahu itu mendapat restu daripada Presiden parti yang juga Perdana Menteri.

"Bila restu Perdana Menteri untuk anaknya bertanding mencabar Timbalan Presiden, isyaratnya cukup jelas bahawa Presiden parti yang juga Perdana Menteri telah hilang keyakinan dengan saya sebagai Timbalan Presiden yang juga Menteri Ekonomi.

"Bila mesej itu jelas, akan diterjemahkan dalam kerajaan bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan dengan Timbalannya di dalam parti yang juga Menteri Ekonomi," dakwanya.

Rafizi sebelum ini dilapor telah menghantar sepucuk surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Anwar yang berkuat kuasa pada 17 Jun lalu.

Rafizi berkata, langkah itu diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal pembabitannya.

Mengulas lanjut, Rafizi turut menyifatkan dirinya akan menjadi 'menteri yang hilang kuasa' jika masih kekal dengan jawatan itu.

"Kalau saya terus nak buat kerja yang bagi saya ada kesan kepada negara, ia akan mengheret kementerian saya," katanya.

Rafizi berkata, beliau tidak mahu kerja atau penat lelah yang dilakukan oleh penjawat awam di dalam kementeriannya ditolak oleh mana-mana pihak.

"Saya juga kena fikir mengenai fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi itu supaya tidak terheret dalam perkara ini.

"Yang ini saya ingat agak berbeza antara syarikat swasta dan kerajaan kerana kerajaan ini memerlukan ligitimasi untuk kita melakukan perubahan," katanya.

Pengantin perempuan pengsan lihat pelamin buruk

KOSMO
Wiwin pengsan selepas melihat hiasan majlis perkahwinannya buruk dan kotor. - TikTok
JAKARTA – Seorang pengantin perempuan di Indonesia menangis bahkan pengsan selepas melihat dekorasi majlis perkahwinannya yang dikatakan buruk dan serba tidak lengkap, lapor portal berita Tribunnews semalam. 

Majlis perkahwinan itu berlangsung di bandar Serang dalam wilayah Banten, 15 Jun lalu. 

Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @wuland_28 menunjukkan wanita terbabit sedang berjalan ke arah pelamin dalam keadaan lemah sambil menangis teresak-esak. 

Dia kemudian pengsan sebelum dibantu oleh ahli keluarga dan tetamu undangan. 

Pengantin perempuan bernama Wiwin Wulandari meluahkan rasa terkilan apabila hiasan pelaminnya bukan sahaja buruk, malah kotor. 

Dia turut memilih pakej hiasan yang paling mahal daripada sebuah syarikat pengusaha majlis perkahwinan dan telah melunaskan bayaran penuh. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 26.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Tak perlu bayar kalau tidak sama dengan apa yang kita harapkan,” kata seorang netizen. 

“Kahwin sekali seumur hidup! Mohon maaf 1,000 kali pun tidak akan selesai,” kata pengguna media sosial lain. – AGENS

PAS sudah melupakan Shahidan Kassim, Annuar Musa?

Shahidan Kassim, Annuar Musa sudah dilupakan Pas?
Harapandaily

NORMAN RADZUAN

Jika benarlah berita ini, apabila daripada 60 cawangan Pas di Perlis hanya tiga sahaja mencalonkan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Timbalan Pas Arau, Shahidan patut berasa malu.

Bukan jawatan Timbalan Presiden tetapi sekadar jawatan di Arau sahaja.

Sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa ditolak untuk bertanding PRK Kuala Terengganu walaupun beliau juga merupakan Pengerusi Muafakat Nasional (MN).

Maknanya, kedua-dua mantan Menteri dari UMNO ini tiada tempat dalam Pas.

Walaupun Shahidan dianggap pencetus gelombang kejayaan PN di Perlis tetapi beliau tetap ditolak ahli Pas untuk memegang jawatan parti.

Tanya saya bukan menghairankan. Kita lihat Annuar Musa tidak dicalonkan di PRN Kelantan sebelum ini.

Walaupun alasan Annuar fokus pusat tetapi ada suara-suara sumbang mengatakan Pas tidak mahu Annuar Musa mengambil kerusi dalam DUN.

Shahidan dan Annuar perlu lihat sejarah. PN menang empat negeri, satu negeri pun mereka tidak mahu meletakkan calon Bersatu menjadi Menteri Besar.

Berbeza dengan PH bekerjasama dengan BN.

Di Perak, walaupun PH menguasai kerusi DUN tetapi jawatan Menteri Besar diberikan kepada BN.

Begitu juga di Pahang, jawatan MB diberikan kepada UMNO/BN.

Di Kelantan, barisan Exco hanya seorang wakil Bersatu dipilih manakala Ahli Majlis dikatakan 90% dikuasai ahli Pas.

Melepaskan geram
Shahidan dan Annuar saya anggap hanya melepaskan geram kepada Zahid yang menyingkirkan mereka dari UMNO untuk menyertai Pas.

Kedua-duanya bukanlah berminat sangat dengan ideologi Pas tetapi hanya dendam kepada mantan Presiden mereka.

Sebagai contoh, Annuar ketika berkempen di PRK Nenggiri seolah-olah ingin melepaskan dendam dengan menyerang Zahid, sedangkan ia tiada kaitan dengan keperluan penduduk.

Sebenarnya, Pas sejak bersama Semangat 46, PKR dan UMNO, mereka menunggang parti-parti ini.

Setiap kali hasil kerjasama berlaku bukan S46, PKR atau UMNO yang untung tetapi Pas yang mendapat impak dari gabungan tersebut.

Pas berjaya mencuri ahli S46, PKR dan UMNO. Ketiga-tiga parti ini kehilangan ahli apabila Pas berjaya mengambil kesempatan dengan menjanjikan syurga.


Shahidan ketika menerima watikah pelantikan sebagai Ahli JawatanKuasa Kerja Pas 2023-2025 daripada Abdul Hadi Awang.
Percayalah kata-kata saya. Lambat-laun Bersatu akan menjadi mangsa terbaharu Pas. Lihat sahaja Pas tidak mahu lantik MB dari Bersatu manakala Mahiaddin pula kena akur.

Percayalah juga kata-kata saya, Shahidan dan Annuar tidak akan kekal lama dalam Pas.

Shahidan dan Annuar akan sedar mereka diambil kesempatan walaupun pada awalnya kedua-dua veteran politik ini yang mahu mengambil kesempatan.

Ku Li kata Pas ‘pelacur politik’, Mahiaddin kata Pas parti ajaran sesat dan Mahathir kata Pas parti kafir.

Namun, Mahiaddin dan Mahathir tiada pilihan untuk survival politik mereka dengan terpaksa menyokong Pas.

Sebab itu, Zahid bijak, jika UMNO ingin bersama Pas pada PRU akan dating, kerusi incumbent pasti Pas tidak mahu serahkan kepada UMNO.

Paling kuat, UMNO boleh bertanding 30 kerusi. Pastinya, Pas yang semakin kuat dan berkembang dan UMNO semakin lemah dan menguncup.

Mahiaddin dan Mahathir ingin menunggang Pas tetapi sebenarnya Pas lebih menunggang kedua-dua mereka.

Percayalah juga kata-kata saya suatu hari nanti Mahathir, Mahiaddin, Annuar Musa dan Shahidan akan menyesal dan meninggalkan Pas. Mereka tiada roh Pas tidak nampak real.

Simpan artikel ini. Firasat saya mengatakan suatu hari nanti keempat-empat mereka bukan sahaja meninggalkan Pas malah memusuhi Pas.

Kelantan: Remaja dipercayai pukul warga emas dengan cota hingga maut

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
LOKASI lelaki warga emas maut akibat dipukul dengan besi cota. FOTO Ihsan Pembaca.
LOKASI lelaki warga emas maut akibat dipukul dengan besi cota. FOTO Ihsan Pembaca.
Tanah Merah: Lelaki warga emas maut dipercayai dipukul dengan sebatang besi cota di Kampung Buloh, Ipoh, di sini, semalam.

Mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, yang mengalami kecederaan di bahagian muka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut adik mangsa, Hasnah Ghazali, 40, kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang selepas abangnya berbual dengan rakan, sebelum didatangi seorang remaja lelaki.

"Remaja itu mengajaknya ke belakang kedai runcit berhampiran dan dikatakan terus dipukul menggunakan sebatang cota.

"Abang saya terus rebah tidak sedarkan diri dan kejadian itu disedari seorang lelaki yang melalui kawasan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.

Hasnah berkata, dia mengetahui kejadian yang selepas dihubungi seorang rakan jam 5.45 petang sebelum terus ke lokasi.

Katanya, dia mendapati Shamsuddin sudah pun meninggal dunia dalam keadaan muka yang berlumuran darah.

Menurutnya, lagi, kali terakhir dia bercakap dengan mangsa yang menetap bersama ibu yang sudah uzur pada Rabu lalu selepas mengunjungi mereka.

"Saya difahamkan kejadian ada kaitan dengan teguran abang terhadap remaja itu yang bermain motosikal menyebabkan timbul rasa tidak puas hati," katanya sambil memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang Ipoh, di sini.

Pelakuan pelik: Lelaki misteri ‘bertapa’ di tengah sungai

KOSMO
Lelaki misteri yang ditemukan di tengah sungai oleh warga setempat pada Isnin lalu. - Detik
JAKARTA – Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan aneh di tengah sebatang sungai di wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Detik semalam.

Penemuan dilakukan oleh warga setempat di Kampung Leuwisadeng dekat bandar Bogor, Isnin lalu. 

Rakaman dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki berambut panjang itu sedang mencangkung selama beberapa minit sebelum berbaring di tengah sungai. 

Selain ‘membisu’, dia hanya menggelengkan kepalanya ketika ditanya oleh penduduk tempatan. 

Ketua Perhubungan Awam Polis Bogor, Inspektor Yulista berkata, lelaki itu telah dibawa keluar dari sungai. 

“Masih belum jelas tujuan lelaki itu berada di tengah sungai. Dia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” kata Yulista. – AGENSI

Lagi kes tembak mati: Lelaki maut ditembak di Meru

FMT Reporters

Mangsa berusia 46 tahun ditemui di sebuah kenderaan pacuan empat roda, petang tadi.
Seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah premis menjual motosikal di Taman Meru Utama, Klang, petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut ditembak di Meru, petang tadi, menyaksikan satu lagi kejadian tembakan maut di Lembah Klang dalam tempoh seminggu.
Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata kejadian di hadapan sebuah premis menjual motosikal di Taman Meru Utama membabitkan warga tempatan berusia lingkungan 46 tahun.

Menurutnya, maklumat kejadian itu diterima daripada anggota rondaan yang sedang bertugas di kawasan terbabit kira-kira 3.37 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 46 tahun dijumpai dalam keadaan mengiring dengan berlumuran darah di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu tular gambar kejadian menunjukkan kesan tembakan pada cermin kenderaan pacuan roda dinaiki mangsa.

Vijaya Rao berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat M Sathiyaseelan di talian 012 5197913, atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Jumaat lalu, seorang lelaki maut dan dua lagi cedera dalam kejadian tembakan di Brickfields.

Selang beberapa hari iaitu pada 17 Jun, dua lelaki dari Sibu di Cheras.

Ajak anak lakukan seks, duda dipenjara 2 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan kepada seorang bapa yang mengaku bersalah mengajak anak kandungnya melakukan hubungan seks Isnin lalu.

Berita Harian melaporkan, duda berusia 47 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh dijalankan berasingan.

Tertuduh bekerja sendiri yang mempunyai hubungan amanah sebagai bapa kandung, didakwa berkomunikasi secara seksual dengan anak tunggal perempuannya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat pada 4 petang 16 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 11 (1) (a) membawa hukuman penjara hingga tiga tahun, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dua sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga ibu saudara mangsa meminta anaknya mengambil remaja itu di rumah bapa kandungnya selepas mangsa memaklumkan dia ketakutan dan bimbang lelaki itu mahu melakukan perkara tidak elok terhadapnya selepas mengajak melakukan hubungan seks.

Pada hari kejadian, mangsa menolak pelawaan tertuduh sebelum keluar dari bilik tidur bapanya.

Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang pemandu lori berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara isterinya di Batu Pahat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dan menetapkan 23 Julai ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam, selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, terutama mangsa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Rafizi: Pendakwa raya perlu jelaskan kenapa ambil masa lama sedia bukti

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli meminta penjelasan pendakwa raya dalam kes pengubahan wang haram RM27 juta Najib Razak kenapa mereka mengambil masa lama untuk menyiapkan dokumen diperlukan bagi memulakan kes.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, rakyat tidak mahu melihat kes itu berlalu begitu saja atas kegagalan pendakwa raya menyediakan bukti disebabkan kaitannya dengan skandal SRC International Sdn Bhd.

“Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa begitu lama (sejak 2019) untuk menyiapkan dokumen diperlukan untuk memulakan kes?

“Daripada pengalaman saya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, penyelewengan melibatkan SRC yang mempunyai bukti aliran tunai lebih jelas,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Najib dalam kes pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International.

Hakim K Muniandy dilaporkan berkata, tiada apa-apa yang menunjukkan pihak pendakwaan mampu meneruskan kes buat masa ini atau dalam tempoh masa munasabah.

Katanya, dalam tempoh enam tahun sejak kes itu difailkan terhadap Najib pada 2019, tiada keterangan saksi dikemukakan, sebaliknya hanya penangguhan demi penangguhan yang menunjukkan pihak pendakwaan belum bersedia memulakan kes.

“Sebaik sahaja tertuduh didakwa di mahkamah, pertuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung untuk tempoh tidak menentu atau tanpa had. Itu sesuatu yang zalim dan tidak sah.”

Keputusan itu menyusul penghujahan peguam Shafee Abdullah minggu lalu, tidak adil untuk anak guamnya menunggu selama-lamanya bagi tarikh perbicaraan tetap kerana pihak pendakwaan tidak dapat menyediakan garis masa mengumpulkan eksibit digunakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini.

Rafizi berkata, beliau menghormati hak Najib meminta DNAA, tetapi menggesa pihak pendakwaan mengesahkan sama ada Jabatan Peguam Negara akan memfailkan semula pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu secepat mungkin.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat agar ia tidak tercicir daripada pandangan awam.”

Guru tuisyen didakwa masuk tangan dalam baju anak murid

NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Seorang guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak muridnya pada Isnin lalu.

Tertuduh, Anor Suleman, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ketika kejadian dengan memasukkan tangan ke dalam baju dan menyentuh bahagian belakang badan, leher serta bahu kanak-kanak tersebut.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 8 malam di bilik bahagian bawah sebuah rumah di Forest Heights di sini pada 16 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi telah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dikenakan. – KOSMO! ONLINE

Najib terlepas, Rafizi pertikai pendakwa raya

Najib lepas: Saya tak faham dengan pendakwa raya - Rafizi

Malaysiakini 

Rafizi Ramli mengkritik pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd yang menyaksikan Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Saya menghormati hak Datuk Seri Najib untuk membuat permohonan DNAA kerana beliau telah menunggu lama sejak 2019. Saya juga menghormati keputusan Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan DNAA itu.

“Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa yang begitu lama (sejak 2019) untuk menyiapkan dokumen seperti yang diperlukan untuk memulakan kes?” soalnya.

Rafizi berkata, dari pengalamannya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, dakwaan penyelewengan melibatkan SRCl mempunyai bukti aliran tunai yang lebih jelas.

“Kelemahan ini jelas perlu dijawab oleh pihak pendakwa raya,” gesa bekas menteri ekonomi dan bekas timbalan presiden PKR itu.

“Ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu sahaja atas kegagalan pendakwa (yang mewakili kerajaan) menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal (iaitu SRC) yang telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.”

Rafizi juga menyeru pihak pendakwaan mengesahkan bahawa jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen sewajarnya, agar kes ini dapat berjalan dengan segera.

“Sebagai anggota parlimen, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat agar ia tidak tercicir dari pandangan awam,” katanya.

Bapa dipenjara, disebat kerana komunikasi seksual dengan anak

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Seorang bapa dipenjara dua tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajak anak kandungnya melakukan hubungan seks, Isnin lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun yang juga duda membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mahkamah pada masa sama memutuskan hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bekerja sendiri didakwa berkomunikasi secara seksual terhadap anak tunggal perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, kira-kira jam 4 petang, 16 Jun lalu.

Untuk kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Berdasarkan fakta kes, ibu saudara mangsa meminta anaknya mengambil remaja itu di rumah bapa kandung.

Ini kerana, mangsa memberitahu dia ketakutan kerana bimbang bapa kandungnya mahu melakukan perkara tidak elok terhadapnya.

Pada hari kejadian, mangsa menolak pelawaan tertuduh sebelum keluar dari bilik tidur bapanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Shah Alam banjir lagi, hujan baru 4 jam sudah naik air paras lutut

MOHD. FAHMI ISMAIL
Tangkap layar kejadian banjir kilat di sekitar Plaza Tol Kemuning, Shah Alam hari ini.
PETALING JAYA – Hujan lebat sekitar pukul 4 pagi tadi mengakibatkan banjir kilat di Seksyen 32, Bukit Kemuning, Shah Alam, apabila paras air naik mendadak hingga mencecah paras lutut dalam tempoh kurang setengah jam.

Kejadian itu tular di media sosial apabila penduduk memuat naik video dan siaran langsung yang memaparkan rumah dan kenderaan dinaiki air.

Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut kerana limpahan air berlaku terlalu pantas tanpa sebarang amaran awal.

Seorang pengguna TikTok, Nizam, yang melakukan siaran langsung berkata air mula melimpah masuk ke dalam rumah ketika mereka masih tidur.

“Punca longkang tersumbat. Lepas subuh dalam 6 pagi hujan lebat. Air dah paras lutut. Ni kira orang panggil banjir kilat tapi tinggi la.

“Ada flat yang tak banjir, bukan satu Shah Alam yang banjir hanya taman di Seksyen 32 sahaja,” katanya.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penduduk berharap keadaan kembali pulih segera.

Kelihatan petugas bomba berada di lokasi memantau lokasi kejadian.

Sebelum ini, siri kejadian banjir kilat sering berlaku di Shah Alam, termasuk di Taman Sri Muda, Seksyen 17 dan Seksyen 24, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kecekapan sistem perparitan di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Ibu mentua Hamzah Zainudin maut dalam kebakaran

Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my
SEBUAH rumah milik mentua kepada ketua pembangkang, Hamzah Zainudin telah terbakar mengorbankan ibu mentuanya, malam tadi. FOTO ihsan Bomba Perak
SEBUAH rumah milik mentua kepada ketua pembangkang, Hamzah Zainudin telah terbakar mengorbankan ibu mentuanya, malam tadi. FOTO ihsan Bomba Perak
Ipoh: Rumah milik keluarga mentua ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini terbakar malam tadi.

Kejadian itu meragut nyawa ibu mentuanya, Salmiah Nyakk Matt, 84, manakala bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami kesukaran bernafas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, yang terlibat dalam operasi menyelamat, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kebakaran berlaku pada jam 9.19 malam di sebuah kediaman dua tingkat yang terletak di Jalan Raja Abdullah.

Beliau berkata, perkhidmatan kecemasan dimaklumkan melalui panggilan MERS 999, mendorong tindak balas pantas daripada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa enam individu, kesemuanya dari keluarga yang sama, berada di dalam rumah semasa kejadian.

"Kebakaran itu secara tragis meragut nyawa seorang wanita berusia 84 tahun, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Suaminya, seorang lelaki berusia 83 tahun, berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan perubatan.

"Empat ahli keluarga yang lain, berumur antara 18 hingga 49 tahun, berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.

"Kes ini telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya.

Wanita warga emas maut dalam kebakaran rumah 2 tingkat

Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my

Ipoh: Kebakaran di Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini malam tadi, meragut nyawa seorang wanita warga emas manakala lima ahli keluarga lain, termasuk suaminya, berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kebakaran berlaku pada jam 9.19 malam di sebuah rumah dua tingkat yang terletak di Jalan Raja Abdullah.

Beliau berkata, perkhidmatan kecemasan dimaklumkan melalui panggilan MERS 999, mendorong tindak balas pantas daripada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa enam individu, kesemuanya dari keluarga yang sama, berada di dalam rumah semasa kejadian.

"Kebakaran itu tragisnya meragut nyawa seorang wanita berusia 84 tahun, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Suaminya, seorang lelaki berusia 83 tahun, berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan perubatan.

"Empat ahli keluarga yang lain, berumur antara 18 hingga 49 tahun, berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kejadian. Kes telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk membantu polis dengan sebarang maklumat relevan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-254 2222.

Jelak baca berita warga asing di Jalan Silang ni, wayang jangan tertipu

KPDN gempur premis tumpuan warga asing di Jalan Silang

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 premis yang menjadi tumpuan warga asing di Jalan Silang di sini dikenakan kompaun berjumlah RM6,000 kerana melakukan pelbagai kesalahan ketika serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malam tadi.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata ia membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, serta kesalahan cap dagangan.

Beliau berkata dalam operasi pada 9 malam itu, KPDN turut merampas 125 jam tangan tiruan bernilai RM6,500 di sebuah premis menjual peralatan telekomunikasi di kawasan berkenaan yang dikendalikan warga asing.

"Operasi ini memberi tumpuan kepada premis perniagaan, runcit, dan restoran serta lambakan warga asing susulan aduan dan hasil risikan yang mendapati terdapat premis perniagaan diuruskan warga asing tidak mempamerkan tanda harga," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Mohd Sabri berkata anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang turut menyertai operasi menahan 24 pendatang tanpa izin membabitkan warga Bangladesh, Nepal, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Sri Lanka.

Beliau berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula mengeluarkan 17 notis kompaun dan satu notis penutupan premis dalam operasi itu. – BERNAMA

Video: Selamba tayang pistol sambil pandu Proton Persona

KOSMO!
Tangkap layar klip video yang memaparkan seorang lelaki memandu sambil menayang sepucuk pistol kepada pengguna jalan raya.
PETALING JAYA – Lagak ala samseng seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Proton Persona sambil mengacukan pistol mendapat perhatian pengguna di media sosial.

Ini kerana dakwa pengguna media sosial, perbuatan tersebut seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Berdasarkan klip video yang dikongsi di lama Facebook Sarawak Road Update, aksi pemandu tersebut dikatakan dirakam di sebuah kawasan di sekitar negeri tersebut.

“Dikhabarkan kepada kami, video ini dirakam di kawasan bangunan belia dan sukan berhampiran lampu isyarat Forda,” tulis hantaran di laman Facebook berkenaan.

Bagaimanapun, melalui komen yang ditinggalkan pada hantaran itu, difahamkan lelaki tersebut telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai komen termasuk mempersoalkan tindakan ala samseng pemandu berkenaan.

“Apa motif dia tayang pistol kepada orang ramai? Samsengnya. Tapi betul ke itu pistol betul atau hanya pistol mainan?,” soal seorang pengguna.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Danny Lee.

“Tak peduli dia pistol betul atau mainan, ini mesti disiasat. Dah mengancam keamanan bandar Kuching, #pdrmmalaysia wajib bertindak segera sebelum apa-apa tak diingini berlaku. Kes bunuh makin berleluasa,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

Maut kena tayar meletup ketika isi angin

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
LELAKI maut selepas terkena tayar yang meletup ketika diisi angin. FOTO Ihsan Polis.
LELAKI maut selepas terkena tayar yang meletup ketika diisi angin. FOTO Ihsan Polis.
Keningau: Pekerja kedai tayar maut selepas kepalanya terhentak pada tayar yang meletup ketika diisi angin di kedai tayar di Jalan Durok, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Arizal Etin, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkatau, saksi yang juga rakan mangsa memaklumkan sebelum kejadian mangsa dilihat sedang mengepam angin tayar, sebelum ia meletup dan terkena mangsa.

"Semakan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu juga mendapati mangsa sedang mengepam angin pada sebiji tayar dan meletup secara tiba-tiba sebelum terkena kepala mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut," katanya

3 warga asing bergaduh guna kayu didenda RM800 seorang

Buletin TV3 
Tiga warga asing, Hosan (kanan), Waqar dan Afzal (belakang) terbabit dalam pergaduhan didenda RM800 seorang. – Foto NSTP
BATU PAHAT: Tiga warga asing masing-masing didenda RM800 seorang selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan terbabit dalam pergaduhan bersenjatakan kayu, minggu lalu.

Mereka ialah, Waqar Ali, 29, dan Afzal Khan, 43, masing-masing warga Pakistan manakala seorang lagi, Hosan Saddam, 36, warga Bangladesh, mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Jalan Kampung Tanjung Laboh, di sini, 5.30 petang, 12 Jun lalu.

Oleh itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Hosan membuat laporan polis pada hari kejadian semasa memandu kenderaan berselisih dengan dua lagi tertuduh. Berlaku perselisihan faham sehinggalah kesemua tertuduh mengambil kayu dan memukul sesama mereka dengan kejadian itu disaksikan beberapa orang awam yang kebetulan berada di lokasi.

“Bagus juga jika Rafizi, KJ, Nik Nazmi, Shahril Hamdan, Akmal Nasir, Syed Sadiq, Wan Saiful Wan Jan dan Larry Sng bergabung dalam parti baru', kata Puad Zarkashi

Malaysiakini 

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencadangkan agar bekas pemimpin Umno seperti Khairy Jamaluddin, ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli, dan beberapa yang lain membentuk sebuah parti politik baru.

“Bagus juga jika Rafizi, KJ, Nik Nazmi (Nik Ahmad), Shahril Hamdan, Akmal Nasir, Syed Sadiq (Syed Abdul Rahman), Wan Saiful Wan Jan dan Larry Sng bergabung dalam satu parti baru.

“Dalam bola sepak, apabila pemain pemain bintang bergabug, pasukan itu biasanya menjadi terlalu kuat dan juara banyak tahun,” kata Puad Zarkashi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

“Secara automatik parti ini sudah ada tujuh hingga 10 ahli parlimen. Satu bargaining power cukup kuat di ketika tidak ada single party yang boleh memerintah di Malaysia,” katanya lagi.

Pada 28 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan sebagai menteri selepas tewas pada pemilihan PKR bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Walaupun meletak jawatan dalam kabinet, kedua-dua mereka masih kekal sebagai ahli PKR.

Syed Saddiq, ahli Parlimen Muar, masih ahli parti Muda di sebalik meletak jawatan sebagai presiden parti itu selepas disabitkan kesalahan pecah amanah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sng, ahli Parlimen Julau, pula kini memegang jawatan sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia.

Namun, Puad tertanya-tanya bagaimana mereka boleh bekerjasama dalam satu parti memandangkan latar belakang mereka yang agak menonjol dan berbeza.

“Dengan latar belakang pendidikan, pengalaman jawatan tinggi dalam parti asal dan sifat suka berbeza idea dalam parti, maka apakah mereka ini serasi untuk bergabung?

“Selamat mencuba untuk memeriahkan demokrasi di Malaysia,” kata Puad yang juga adalah speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

Kedah: Campak serbuk cili sebelum rompak kedai emas

NUR AMALINA AZMAN
Suspek bertindak memecahkan cermin pameran sebelum melarikan barangan kemas dalam kejadian rompakan di Pekan Pandak Mayah, Kuah di Langkawi, hari ini.
LANGKAWI – Seorang lelaki bertindak mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas sebelum melarikan barangan kemas bernilai RM50,000 dalam kejadian rompakan di Pekan Pandak Mayah, Kuah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.48 pagi itu, suspek yang memakai topeng ski meluru masuk ke kedai emas tersebut sebelum mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja di situ.

“Suspek seterusnya memecahkan cermin pameran emas menggunakan parang yang dibawa dan melarikan sejumlah barangan kemas dianggarkan bernilai RM50,000.

“Pemilik kedai emas berusia 69 tahun dan pekerja wanita berusia 60 tahun kemudian bertindak mengejar suspek,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, cubaan suspek berusia 45 tahun untuk melarikan diri gagal apabila berjaya ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Perlis: Budak 11 tahun didera, disimbah air panas

SYED AZLAN SAYID HIZAR
KESAN parut dan lebam pada bahagian badan kanak-kanak perempuan yang dipercayai didera ibu bapa kandungnya.
ARAU – Sepasang suami isteri direman selama enam hari selepas dipercayai mendera anak perempuan mereka berusia 11 tahun di sebuah rumah di sini sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kira-kira pukul 1.22 pagi tadi.

“JKM dimaklumkan oleh orang awam mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal oleh ibu bapa kandungnya sendiri.

“Bertindak atas maklumat itu, pegawai pelindung JKM telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan mencurigakan sebelum dibawa ke Rumah Kanak-Kanak Arau untuk perlindungan sementara,” katanya di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati penderaan dipercayai bermula sejak 2023 dan kali terakhir mangsa dipukul pada Rabu lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari menggunakan rotan.

“Pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa yang dilakukan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada kepala, bibir, dada, rusuk, badan, lengan serta betis.

“Terdapat kesan kecederaan lama dan baharu yang disyaki akibat hentakan objek tumpul dan simbahan air panas,” ujarnya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut dilakukan oleh Unit Pediatrik HTF bagi memastikan keadaan kesihatan mangsa dipantau rapi dan rawatan susulan diberikan.

Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kedua-dua suspek iaitu ibu dan bapa kandung mangsa telah ditahan.

“Permohonan reman ke atas pasangan suami isteri itu telah diluluskan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Penuntut ditahan, aksi bersama sepupu antara 5,000 bahan lucah dalam peranti

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kegiatan seorang penuntut universiti memiliki 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta bahan lucah dewasa dalam peranti miliknya mengundang padah apabila ditahan dalam Op Pedo, baru-baru ini.

Malah perbuatan terkutuk itu dihasilkan sendiri oleh suspek berusia 20 tahun membabitkan dua orang mangsa kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bertindak atas maklumat hasil kerjasama dengan pihak Google, pada 4 petang 29 April lalu, pasukan serbuan terdiri daripada Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dan Kontinjen Johor membuat tangkapan ke atas lelaki di Gudang, Johor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dia adalah penuntut universiti serta menemui 5,000 CSAM dan bahan lucah dewasa di dalam peranti milik suspek dipercayai dimuat turun dari Internet dan terdapat juga bahan-bahan disyaki dihasilkan sendiri oleh suspek membabitkan dua mangsa kanak-kanak tempatan.

"Tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengeksploitasi secara seksual dua orang kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang merupakan sepupu kepadanya dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dalam beberapa kejadian di tiga lokasi berbeza di Kontinjen Selangor, Pahang dan Kelantan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Kamsiah berkata, sebanyak tiga lagi kertas siasatan berasingan dibuka bagi menjalankan siasatan di kontinjen-kontinjen berkaitan.

"Bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku salah serta sudah membayar denda RM5,000.

"Manakala bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang," katanya.

Beliau berkata, bagi siasatan membabitkan kejadian merakam perbuatan memandikan kanak-kanak di sebuah tandas di ladang itik kebuh sawit di Maran, Pahang pula masih dalam kajian pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Bagi kejadian di Kelantan pula yang berlaku tahun lalu dan tahun ini bertempat di rumah nenek suspek, siasatan juga masih dalam kejadian pihak Peguam Negara," katanya.

Rogol anak berusia 10 tahun, pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

Buletin TV3 
Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol anak perempuannya pada November 2024 dan Mei lalu. – Foto NSTP
KLANG: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol anak perempuannya pada November 2024 dan Mei lalu.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Siti Aminah Ghazali selepas tertuduh berusia 37 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh penjara berkenaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 14 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, pemandu lori berkenaan didakwa merogol anak kandungnya di sebuah rumah di Klang pada jam 3 petang 10 November 2024 dan 7 pagi, 17 Mei lalu.

Ketika kejadian mangsa berusia 10 dan 11 tahun.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikurangkan supaya dia dapat berubah selain menyara dua anak serta isteri.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi memohon hukuman berbentuk pengajaran diberikan kerana ia membabitkan kesalahan serius dan mempertimbangkan kekerapan kes jenayah seksual kanak-kanak di Selangor.

“Tertuduh sebagai bapa kandung mempunyai amanah menjaga dan membesarkan pengadu (anak) namun mengkhianatinya dengan perbuatan terkutuk,” katanya.

Bayi mati lemas tertindih lengan bapa yang meninggal kena serangan jantung

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bayi tiga bulan meninggal dunia dipercayai tertindih lengan bapanya yang sebelum itu maut disyaki terkena serangan jantung, dalam kejadian di Kampung Perigi Hang Tuah, Melaka, pagi tadi.

Mangsa lelaki, Nurul Efendy Ibrahim, 35, ditemui tidak sedarkan diri oleh isteri yang pulang ke rumah kira-kira 9.30 pagi, manakala bayi, dilihat berada di bawah lengannya.

Isteri, Azura Abdul Malik, 37, berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian suami dan bayinya.

“Saya terkejut apabila mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya.

“Saya tak jumpa kesan darah atau cedera dan terus hubungi pihak hospital untuk bantuan sebelum suami disahkan telah meninggal dunia di rumah,” katanya menurut Kosmo.

Tambahnya, ketika kejadian bayinya itu masih bernyawa, namun dalam keadaan lemah.

“Bayi kami meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.”

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Bukit Katil, Mohd Supian Md Dali, berkata panggilan kecemasan telah diterima daripada pihak hospital pada 9.58 pagi.

“Kami dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30 tahun telah meninggal dunia di lokasi dan bayinya ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Pihak hospital mohon pasukan membuat pemeriksaan di kediaman tersebut sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dibatalkan,” katanya.

Akhlak Islam atau politik dalaman Pas yang resah: Lawatan Dr Dzul

Harapandaily

Syam Ghaz

Dalam Islam, ziarah orang sakit adalah sunnah yang dituntut, bukan sahaja kerana nilai kemanusiaan, tetapi kerana ia disokong oleh hadis sahih, bahkan disebut sebagai hak sesama Muslim.

Maka apabila Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan daripada kerajaan MADANI, menziarahi Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di IJN, kita sangka semua pihak akan menyambutnya dengan doa dan syukur.

Namun… peliknya, ada segolongan kecil dalam PAS yang seolah-olah “tidak senang duduk” dengan kehadiran Dr Dzul. Persoalannya, kenapa?

Adakah PAS sedang menyembunyikan keadaan kesihatan Presidennya?

Kecoh dalam kalangan dalaman PAS bila ada pemimpin mula naik podcast, kempen terbuka pemilihan Pas kalini, malah Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, kawasan keramat Hadi sendiri.

Apakah ini petanda retak yang menanti belah? Dan adakah kesihatan Hadi Awang sengaja dirahsiakan supaya tiada desakan dalaman untuk beliau melepaskan jawatan presiden?

Adakah wujud perebutan kuasa yang cuba ‘jaga imej’ Presiden walau terpaksa sorok kesihatan?
Dalam politik, persepsi adalah kuasa. Bila pemimpin utama dilihat uzur, akan muncullah suara-suara dalaman yang mahukan transisi. Apakah itu yang ditakuti? Sehingga ziarah orang sakit pun mahu disekat?

Bukankah Islam suruh ziarah orang sakit? Kenapa pula mahu sekat?
Janganlah kerana politik, hukum agama diletakkan ke tepi. Bukankah PAS yang selama ini mengangkat slogan “Islam Memimpin”? Maka saya bawakan hadis yang sahih – bukan dari Menteri, tetapi dari Rasulullah SAW:

“Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam…”
Sahabat bertanya: “Apakah enam itu, ya Rasulullah?”
Sabda Nabi SAW:
“Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia…”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apa lagi dalil yang mahu ditolak?

Lawatan Dr Dzul bukan lawatan politik – tetapi lambang akhlak
Sebagai Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad hadir bukan dengan lambang parti AMANAH ataupun PAKATAN HARAPAN, tetapi dengan akhlak Islam, atas dasar kemanusiaan dan ukhuwah. Bahkan Dr Dzul adalah sahabat lama kepada Tuan Guru Hadi Awang – pernah bersama dalam PAS Pusat dahulu.

Bukankah akhlak ini lebih mulia daripada mengintai kerusi Presiden atau menjadikan keuzuran seseorang sebagai bahan strategi perebutan kuasa?

Menteri datang = sokongan moral kepada doktor & pesakit
Bila Menteri Kesihatan hadir ke IJN, itu signal kuat kepada semua doktor doktor pakar dan kakitangan perubatan: “Lakukan yang terbaik untuk tokoh besar negara ini.” Ia bukan campur tangan, tapi penghormatan.

PAS tolak dalil, guna etika?
Selama ini PAS lantang guna dalil. Tapi kali ini ada yang mula cakap “etika politik”. Maka biar saya ulang dalil hadis agar kita semua ingat:
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang Muslim menjenguk saudaranya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya hingga petang…”
(Riwayat at-Tirmizi – sahih)

Kesimpulan: PAS patut malu jika ziarah orang sakit pun mahu dijadikan isu politik

Ziarah ini adalah ibrah untuk semua, bahawa politik tidak boleh membatalkan adab dan akhlak Islam. Jangan jadikan kesihatan Hadi Awang sebagai alat perbalahan puak dalaman PAS yang kini mula terdedah.

Kalau benar Hadi Awang itu tokoh besar Islam, maka apa salahnya beliau diziarahi dengan penuh hormat oleh seorang Menteri yang juga pernah duduk bersamanya dalam perjuangan PAS dulu?

Ini bukan soal parti. Ini soal perikemanusiaan. Ini soal tuntutan agama.

Lagi cerita berkaitan Rafizi

Hiruk-pikuk lagilah

Hishamuddin Aun

Tidak cukup dengan Yang Berhenti Menteri, timbul pula #Gelombang dan #Reformasi 2.0 untuk Rafizi Ramli bela diri.

‘Hiruk dah damai tapi Damai yang akan terus hiruk-pikuk’, demikian tajuk satu hantaran di TikTok merujuk kepada kem Hiruk dikepalai Rafizi Ramli dan kem Damai yang menjulang Nurul Izzah Anwar dalam pertembungan jawatan timbalan presiden PKR 23 Mei lalu. Tapi ia tidak semestinya bermaksud sedemikian kerana keriuhannya tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.

Hiruk singkatan kepada ‘Hidupkan idealisme reformasi dalam ujian kuasa’ manakala Damai pula ‘Dari akar, membina aspirasi inklusif’ tetapi kem yang menang nampaknya damai dengan pencapaian hasil perancangan setahun mereka, sebaliknya Hiruk pula dikatakan enggan beranjak ke depan selepas pemilihan selesai.

Seperti diketahui ramai, puteri sulung perdana menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Izzah, menang besar dengan 9,803 undi ke atas penyandang Rafizi yang meraih 3,866 undi atau sekadar 28.28% daripada sejumlah 13,669 undi yang direkodkan — berbanding 30,000 undi yang sepatutnya tanpa ada sebarang pencerahan hingga hari ini apa apa terjadi kepada undi selebihnya.

Pemilihan didakwa dicemari kelemahan sistem pengundian dalam talian. Rafizi turut mendakwa bahawa keputusan di peringkat bahagian adalah seperti “badan tanpa kepala” disebabkan ramai pemimpin bahagian yang menentang beliau menang walaupun ahli-ahli selebihnya di dalam ‘pasukan’ mereka kalah.

Terdapat 190 bantahan terhadap keputusan pemilihan peringkat bahagian dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesah dan memuktamadkan keputusan pemilihan bagi semua 220 cabang di seluruh negara pada 5 Mei selepas audit luar mendapati tiada penyelewengan berlaku.

“Orang tanya ke mana kau (kem Hiruk) nak pergi sebab benda dah habis, apa yang kau tak sudah-sudah? Kami dah lama ‘move on’, cuma definisi ‘move on’ kami jauh berbeza dengan definisi ‘move on’ kau. ‘Move on’ mereka ialah tutup semua penipuan dan pengkhianatan, nak ditutup rapat bawah karpet.

“Kami pula akan perincikan satu persatu apa yang berlaku (sepanjang pemilihan). Sasarannya bukan ahli parti tapi suara sebenar, tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat Malaysia yang akan jadi penentu dalam PRU16,” kata Faizal Rahman — peguam dan penyokong Rafizi yang kalah dalam pemilihan ketua cabang Kuala Selangor — dalam perkongsian TikTok hariannya.

Dengan Rafizi akan menyambung kembali audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ setiap Jumaat mulai malam esok, Faizal dan beberapa rakan dalam PKR, antaranya pempengaruh Iswardy Morni dan ketua cabang Mas Gading Sarawak, Daniel Jani, akan menghangatkan lagi suasana dengan masing-masing sudah memulakan pengisian Tik Tok #Gelombang dan #Reformasi 2.0 untuk menjadi semak dan imbang kepada kem Damai dan PKR sebagai sebuah parti.

Ia akan menarik untuk diikuti sama ada kem Damai yang lebih banyak berdiam diri selepas pemilihan selesai — tidak diketahui sama ada Izzah sudah menyampaikan bantahannya kepada perdana menteri mengenai lanjutan kontrak Azam Baki sebagai pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) — akan meneruskan pendekatan yang sama atau terdorong untuk bertindak balas terhadap serangan dari pelbagai penjuru ke atas mereka.

“Semasa kita mulakan #Gelombang dan #Reformasi 2.0 ini, mereka kata kami bermimpi. Ya ini mimpi tapi ini adalah mimpi ngeri buat kamu. Sebab masa mereka merancang, mereka sekadar nak menjatuhkan Rafizi. Mereka tak menjangka yang tindak balas dari kami di bawah ini akan jadi begitu hebat.

“Sebab tiga tahun lepas benda yang sama berlaku tapi dalam skala yang kecil, jadi dia kata OK je tak ada siapa yang lawan pun. Mereka ingat kali ini perkara yang sama berlaku. Bila mereka ambil mudah, meraka berasa semuanya bodoh-bodoh belaka, tiba-tiba satu gelombang yang sangat besar berlaku. Ini sebenarnya bukan kebetulan, bezanya pada tahun ini orang bersuara dan orang mendedahkan dan orang melawan,” kata Faizal.

Rafizi yang melepaskan jawatan menteri ekonomi bermula kelmarin berkata beliau kini boleh tampil lebih lantang kerana tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan, dengan tumpuannya untuk menjawab pelbagai tohmahan serta isu yang melibatkan dirinya menerusi platform ‘Yang Berhenti Menteri’.

“Insya-Allah, saya akan imbangkan ulasan YBM — bakar pun ada, beri pencerahan pun ada. Yang penting, mestilah objektif, berfakta dan memberi pemahaman yang adil kepada semua. Saya sekarang tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan. Jadi saya bebas bersuara,” katanya melalui Facebook dengan pengumumannya itu mencetus keterujaan dalam kalangan pengikutnya yang tidak sabar menantikan kemunculannya.

James Chin dari Universiti Tasmania berpandangan bahawa Rafizi kini berada di tempat yang kukuh secara politik dan mempunyai dua pilihan — tinggalkan PKR dan sertai parti lain atau kembali kepada reputasinya sebagai jaguh reformasi atau jaguh formula dan berusaha membina sokongan kepadanya semula.

“Hakikat bahawa beliau dedahkan bahawa Nurul Izzah menawarkannya jawatan timbalan presiden secara lantikan membayangkan PKR memahami yang beliau perlu dikekalkan dalam parti. Fakta bahawa beliau tewas dengan margin besar mencadangkan kepada anda apa yang telah dilakukan presiden kepada parti,” katanya.

Chin turut melihat Rafizi penting kepada PKR kerana auranya menjadi tarikan kepada demografi tertentu dalam parti itu dan masyarakat amnya kerana dilihat sebagai seorang yang rasional dan menghindarkan diri daripada politik ras.

“Jadi, dia melambangkan idea reformasi PKR dari asalnya parti ini diasaskan untuk membina satu jenis politik baru buat Malaysia. Walaupun memiliki reputasi sebagai seorang yang sangat sukar, Rafizi tertonjol sebagai seseorang yang diperlukan dalam sistem politik negara,” tambahnya.

Persoalannya sejauh mana Rafizi mampu menjaga batas pertuturannya dalam audio siarnya yang akan mula ke udara malam esok?

Faizal tampil dengan jawapannya: “Kalaulah Rafizi diambil tindakan, kau tengoklah (pempengaruh) PAS dah boleh gantung akaun masing-masing, senang hidup diorang. Memang sah PKR ni akan melingkup semua sekali dalam PRU16.

“Bukan atas dasar beliau besar kepala, bukan… sebab naratif yang dibawa ialah beliau menjadi mangsa atas percaturan pemilihan PKR itu sangat-sangat jelas dan orang sekarang ni meragui kemenangan korang (team Damai). Jadi, kenapa nak tambahkan duka-lara tu lagi, itu cerita dia.”

Bakar arang lemaskan diri dalam kereta lepas jumpa suami

Zulhisham Isahak

KULAI – Seorang wanita datang dari Segamat bertemu suami sebelum melemaskan diri dan maut dalam kereta di lorong belakang rumah, Jalan Scientex, Senai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa berumur 25 tahun dipercayai mengakhiri hayatnya sendiri akibat masalah keluarga.

Katanya mayat mangsa ditemui pihak polis pada pukul 6 pagi hasil makluman awam.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa membakar arang dalam kereta berdasarkan keadaan dalam kereta mangsa.

“Setakat ini mangsa in yang tidak bekerja tiada rekod masalah masalah kesihatan.

“Dipercayai mangsa dari Segamat dan datang ke daerah ini untuk bertemu suaminya,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).- MalaysiaGazette

Penumpang lelaki berusia 38 tahun ditemukan mati dalam bas

KOSMO!
SEORANG lelaki meninggal dunia di dalam bas. - Foto Pattaya Mail
BANGKOK – Penumpang-penumpang bas yang dalam perjalanan dari Nakhon Ratchasima ke Chiang Mai terkejut apabila seorang lelaki berusia 38 tahun ditemukan mati di dalam kenderaan itu, lapor laman berita Pattaya Mail hari ini.

Mereka hanya mengetahui perkara itu selepas bas dua tingkat tersebut tiba di Terminal Bas Lampang. 

Pada kira-kira pukul 5.30 pagi (waktu tempatan), polis, doktor forensik dari Hospital Lampang dan anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian.  

Mangsa duduk bersendirian di bahagian kiri tingkat atas bas itu.

Sebaik tiba di terminal, kakitangan bas meminta semua penumpang turun dan mendapati bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia. 

Pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan lebam dan pendarahan di kaki kirinya tetapi tiada tanda-tanda keganasan.

Bedah siasat mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat jangkitan saluran darah yang teruk disebabkan oleh bakteria pemakan daging. – AGENSI

Kelantan: Mayat lelaki ditemukan terapung dalam sungai di Pasir Puteh

BERNAMA

Kota Bharu: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dalam sungai berhampiran Kampung Tualang Tinggi di Pasir Puteh dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata Balai Polis Selising menerima maklumat berhubung penemuan itu pada kira-kira 3.30 petang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dari Balai Polis Selising dan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat terapung di sungai berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat itu telah dihantar ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Kanak-kanak maut dilanggar kereta peronda polis

Bernama-Dpa

Brussels: Seorang kanak-kanak maut di bandar pelabuhan Antwerp, Belgium pada Rabu selepas dilanggar sebuah kereta peronda polis yang sedang dalam perjalanan ke lokasi panggilan kecemasan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi berita Belga melaporkan bahawa kanak-kanak itu berlari melintas jalan ketika kereta polis berkenaan sedang melalui kawasan tersebut.

Pendakwa raya mengesahkan kejadian itu namun tidak memberikan butiran lanjut. Media tempatan melaporkan mangsa berusia lapan atau sembilan tahun.

Kes itu berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang budak lelaki maut ketika menunggang e-skuter di Brussels ketika cuba melarikan diri daripada polis. Pegawai yang memandu kenderaan polis dalam insiden itu kini dikenakan tahanan rumah dan dipakaikan alat pengesan elektronik di pergelangan kaki sementara siasatan dijalankan.

Pendakwa raya Brussels sedang meneruskan dakwaan atas kesalahan "menghalang lalu lintas secara berniat jahat sehingga menyebabkan kematian", yang membawa hukuman maksimum sehingga 30 tahun penjara. Kematian kanak-kanak lelaki itu, yang dilahirkan pada 2013, telah mencetuskan perdebatan hangat di Belgium.

Lelaki jatuh tingkat lima kondo berpunca ada masalah keluarga

NURUL IZZATI ZAINI

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.15 pagi.

“Mangsa menetap di tingkat tiga, namun ketika kejadian, lelaki itu terjatuh dari tingkat lima.

“Mayat lelaki itu dijumpai orang awam. Ahli keluarga mangsa tidak mengetahui mengenai kejadian itu sehingga dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohamad Lazim berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai mengalami masalah keluarga. Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Setakat ini siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian lelaki itu. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Rogol anak angkat lelaki didapati bersalah dijel 30 tahun, 6 sebatan

Isteri menangis suami dijel 30 tahun kerana ‘sentuh’ anak angkat

MOHD SHARKAWI LONDING
SEORANG kontraktor dijel 30 tahun dan enam sebatan kerana didapati bersalah merogol anak angkatnya, lapan tahun lalu.
MUAR – Seorang wanita tidak menahan kesedihan dan menangis sejurus mengetahui suami dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dsn enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak angkatnya, lapan tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai kontraktor itu gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dalam pembelaan dihadapinya.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati keterangan tertuduh lebih kepada bersifat penafian dan tidak disokong fakta yang munasabah.

Hujahnya, mahkamah turut mendapati bukti sudah mencukupi sepanjang perbicaraan berlangsung untuk mensabitkan tertuduh dengan kesalahan dilakukan terhadap mangsa.

“Keterangan saksi pendakwaan ketiga (SP3) yang juga mangsa dalam kes ini konsisten dan tidak goyang, ketika pemeriksaan balas dijalankan oleh peguam tertuduh.

“Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan seperti mana tiga pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan seterusnya boleh dihukum mengikut Seksyen 376 kanun sama.

“Dalam kes ini, mangsa masih bawah umur dan bersekolah. Selepas mengambil kira semua faktor, mahkamah memutuskan kamu (tertuduh) dipenjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

“Bagaimanapun, mahkamah menimbang semua hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh sabitan hari ini,” hujahnya.

Serentak dengan keputusan, tertuduh diwakili peguam, Munirah Najihah Shaari memohon mahkamah untuk penangguhan hukuman penjara dan sebatan kerana mahu menfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar kemudiannya membenarkan permohonan peguam tetapi menaikkan jumlah ikat jamin RM6,000 yang dikenakan sebelum kepada RM9,000.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi.

Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 2018, seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak angkatnya berusia 16 tahun ketika kejadian, dalam bilik sebuah rumah di daerah ini, antara pukul 2 hingga 4 pagi, Januari 2017.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perkara sama terhadap mangsa pada Julai 2017 manakala pertuduhan ketiga, pada Disember 2017 dengan semua kejadian berlaku di tempat dan waktu sama. -KOSMO! ONLINE.

2 ‘Datuk’ ditahan disyaki minta, terima rasuah RM200,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang Adun dan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali.

Sumber berkata suspek lelaki berusia 30 dan 60-an itu ditahan jam 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan seorang Adun dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, ahli perniagaan berkenaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 serta dua orang penjamin.

“Adun terbabit turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 serta seorang penjamin,” katanya.

Terdahulu, Azam mengesahkan dua Adun Sabah antara tiga yang akan didakwa berkait skandal rasuah lesen perlombongan mineral.

Menurutnya, pertuduhan terhadap mereka akan dibuat bulan ini dan pihaknya sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah.

Rafizi kongsi 4 petua dalam ucapan terakhir di Kementerian Ekonomi

Malaysiakini 

Dalam ucapan terakhirnya kepada para pegawai Kementerian Ekonomi, Rafizi Ramli menyampaikan rangkaian kata-kata semangat – mengenai usaha untuk mengubah dunia, keteguhan menghadapi kritikan dan tekad terhadap suara hati sendiri.

Menerusi satu petikan yang dikongsikan di media sosial, ahli Parlimen Pandan itu berkata banyak isi ucapannya berkisar pada empat petua dalam menjalankan tugas.

Petua pertama berkisar kepada kata-kata ahli antropologi budaya dan penulis Amerika Syarikat (AS) Margaret Mead, yang percaya bahawa “sekumpulan kecil warga yang berfikir dan komited boleh mengubah dunia”.

“Perubahan tidak pernah digerakkan oleh satu kumpulan yang besar. Perubahan berlaku kerana keyakinan satu kumpulan kecil yang ada kesedaran,” kata Rafizi.

Bagi mendepani pihak yang mengkritik pula, Rafizi mengambil kata-kata bekas presiden AS Theodore Roosevelt yang mengingatkan bahawa “apa yang penting bukanlah pengkritik, tetapi mereka yang berada di gelanggang”.

“Apabila kita ingin melakukan perubahan, lebih ramai yang mencemuh dan menghina. Lebih ramai yang rasa mereka pakar segalanya. Kalau kita cadang formula, mereka mengejek. 

“Tetapi lebih baik menjadi orang yang bergelut di dalam gelanggang dan cuba membawa perubahan, daripada tukang sorak di luar. Tukang sorak di luar hanya menang sorak, tetapi tidak pernah faham erti kemenangan atau kekalahan,” tambah Rafizi.

Rafizi sebelum ini sering disindir sebagai “Raja Formula” oleh pihak yang mengkritiknya, ekoran kecenderungannya terhadap pengiraan terperinci, model ekonomi dan hujah berasaskan data.

Prinsip dan keyakinan

Menyentuh soal perubahan, bekas timbalan presiden PKR itu turut mengulang kata-kata hikmah yang sering disebut: “Kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.”

“Apabila kita ingin membawa perubahan, bila ada peluang melakukan perubahan, janganlah kita mengulangi apa yang telah dibuat sebelum itu (yang menjadi punca kepada masalah yang memerlukan perubahan). Itu adalah satu kegilaan,” katanya.

Akhir sekali, Rafizi menekankan kekuatan prinsip dan suara hati, dengan memetik kata-kata ahli fizik Jerman, Max Planck yang menyifatkan kedua-duanya sebagai “mahkamah tertinggi” – pentas pengadilan muktamad yang perlu dijawab oleh setiap individu.

“Mahkamah terakhir di mata dunia ini ialah prinsip dan keyakinan kita. Kita boleh menang yang lain, tetapi mahkamah rayuan terakhir, di mata orang lain, ialah penilaian bagaimana kita hidup dengan prinsip dan keyakinan kita. 

“Orang lain mungkin tidak bersetuju dengan pandangan kita, tetapi mereka tidak boleh menidakkan kehormatan yang datang daripada hidup yang berlandaskan prinsip,” katanya lagi.

Rafizi sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR, di tangan Nurul Izzah Anwar.

Anwar, yang juga presiden PKR, sebelum ini menolak dakwaan nepotisme dalam pemilihan tersebut.