"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua warga Singapura ditemui mati di rumah inap dalam keadaan mencurigakan

Afiezy Azaman

KUALA LUMPUR: Dua warga Singapura ditemui meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah inap di Jalan Nadchatiram, Taman Taynton View, Cheras, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, kejadian itu dilaporkan pada jam 12.53 tengah hari melalui panggilan kecemasan MERS 999.

Katanya, Pusat Kawalan Polis IPD Cheras menerima maklumat daripada seorang pengadu yang memaklumkan terdapat dua individu tidak sedarkan diri di dalam premis berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura, ditemui terbaring di atas katil di salah sebuah bilik rumah inap berkenaan.

"Kedua-dua mangsa juga berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.

Mangsa lelaki berusia 43 tahun manakala wanita itu pula berusia 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-duanya memegang kad pengenalan Singapura dan masing-masing beralamat di Puchong dan Singapura.

Katanya lagi, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran atau unsur jenayah pada tubuh kedua-dua mangsa.

"Bagaimanapun, mayat telah menunjukkan tanda-tanda pereputan serta berbau busuk, dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.

"Saksi kejadian iaitu pekerja homestay, memberitahu dia tiba di lokasi pada jam 11.15 pagi dan mendapati pintu masih berkunci serta kasut mangsa masih berada di dalam.

"Selepas gagal mendapatkan respons daripada penghuni, dia menghubungi pengurus homestay yang kemudiannya mengarahkan supaya pintu dibuka menggunakan kunci pendua," katanya.

Aidil berkata, pemeriksaan mendapati penghawa dingin, kipas siling dan televisyen dalam keadaan terpasang.

"Setelah membuka tingkap, saksi melihat kedua-dua mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Selain itu, satu bekas logam yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin turut ditemui di lokasi kejadian," ujarnya.

Polis mengesahkan tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam premis bagi membantu siasatan.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk kemungkinan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang,” tambah beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Kantoi: Pegawai kesihatan curi produk kosmetik

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan pencuri itu mengeluarkan sejumlah produk kecantikan dari kainnya. - TikTok
JAKARTA – Seorang pegawai kesihatan mengundang kritikan orang ramai apabila ditangkap mencuri beberapa produk kecantikan dan kosmetik di sebuah pasar raya di Takalar, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Viva semalam. 

Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @james.ar14 memaparkan wanita itu ditahan oleh pelanggan dan kakitangan sebelum diarah untuk mengeluarkan semua barangan yang dicuri. 

Dia kemudian mengeluarkan sejumlah produk kecantikan yang disembunyikan dalam kain labuhnya. 

Setakat ini, tidak diketahui nasib wanita berkenaan. 

Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.

“Semua kedai ada CCTV, kenapa masih berani,” kata seorang netizen. 

“Wanita itu sanggup pakai baju saiz besar untuk sembunyikan barang,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Kanak-kanak maut dipercayai terjatuh dari tingkat 7

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak berusia sekitar 2 tahun 8 bulan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Putrajaya petang tadi.

Polis terima laporan daripada Hospital Putrajaya bahawa ia menerima seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan berlumuran darah, pada 2.24 petang.

Kanak-kanak lelaki itu dibawa ke hospital oleh bapanya, kata Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas kanak-kanak tersebut dan mendapati telah meninggal dunia,” menurut kenyataan.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Presint 7, dan bedah siasat akan dijalankan esok pagi.

“Kes masih dalam siasatan,” katanya.

Dilema?: Tolong lebih dengan tak cukup tolong

Mohsin Abdullah

Keadaannya begini. Pada satu pihak dilihat lebih-lebih ‘manjakan’ orang Melayu. Pada pihak lain dituduh tunduk kepada orang bukan Melayu dan abaikan orang Melayu.

Kata Yusri Ibrahim di Facebook dapatan tentang sokongan PH menjunam adalah sama dengan dapatan kajian Ilham Centre, di mana beliau adalah ketua penyelidiknya. Beliau merujuk dapatan ‘didedahkan’ Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tempoh hari.

Katanya menerusi satu lagi hantaran di Facebook: “Saya terkejut apabila ramai orang terkejut dengan perkongsian YB Rafizi bahawa sokongan orang Melayu terhadap PH bawah 30%.”

Kata aktivis media Fathi Aris Omar: “Bukan semua Melayu bersama PKR – hanya Melayu bandar, pinggir bandar dan (mungkin) lebih terbuka, lebih majmuk dan centrist yang nampak harapan bersama parti ini.”

Kembali kepada Yusri. Katanya lagi: “Saya juga terkejut apabila ramai orang terkejut dengan perkongsian beliau (Rafizi) bahawa sokongan etnik bukan Melayu terhadap PH semakin merosot.”

Yusri kemudian memberi sebab kemerosotan itu berlaku, khususnya
kemerosotan orang bukan Melayu kerana bukanlah rahsia besar mereka (atau majoritinya) telah memberi sokongan padu kepada Pakatan Harapan untuk sekian lama. Begitu juga pemerhati dan penganalisis politik lain termasuk Wong Chin Huat, Sivamurugan Pandian, Lee Kuok Tiung yang pandangan mereka diminta oleh media.

Tidak perlu saya ulangi apa dihuraikan mereka. Kesimpulannya mereka kurang gembira (meminjam kata-kata Yusri) dengan polisi ekonomi kerajaan perpaduan yang dikemudi PH yakni dasar berkaitan cukai dan subsidi. Tidak senang juga dengan apa yang dilihat perang lawan korupsi yang tidak berkesan dan tentunya reformasi yang tidak dilaksanakan. Banyak lagi huraian pakar. Google semua akan terbentang luas.

Saya rasa tidak mungkin kerajaan terutama PMX tidak tahu akan penurunan sokongan golongan bukan Melayu dan sebab-sebabnya ‘even before’ Rafizi mendedahkannya dan pakar pakar menghurai sebab. Persoalannya apa yang PH lakukan untuk menangani masalah ini?

Atau penasihat tidak bawa dapatan kepada kepada pimpinan? Jika ini berlaku ‘penasihat’ akan jadi ‘punahsihat. Atau pimpinan ‘tidak percaya’ dapatan yang dipersembahkan? Jika ini keadaannya elok PH dan kerajaan merenung peringatan Rafizi yakni ‘sebelum PRU14 Najib Razak terima 18 laporan kajian – 17 daripadanya kata dia akan menang’.

Apa pun yang ingin disampaikan dalam penulisan ini ialah satu lagi sebab golongan bukan Melayu tidak seghairah dulu terhadap PH – sebab selain soal polisi ekonomi, perang antikorupsi lesu, reformasi yang tidak direalisasi yang diketengahkan penganalisis politik disebut tadi.

Sebab yang saya maksudkan ialah golongan bukan Melayu menganggap kerajaan lebih memberi perhatian kepada orang Melayu dan mengabaikan kepentingan atau keperluan mereka.

Ini saya kata bukan berpandu hasil kaji selidik seperti dijalankan penganalisis politik dan ‘researches’. Ini berdasarkan dapatan saya menerusi perbualan dengan kenalan, komen ‘non Malays’ di portal berita serta platform sosial media (yang mungkin dibuat oleh orang biasa atau ‘cybertroopers’ parti politik tertentu saya tidak boleh pastikan) dan juga rungutan diluahkan dalam kalangan anggota kumpulan ‘celoteh’ WhatsApp.

Rata rata mereka percaya ‘the government is pandering to the Malays and pampering them’. Betul atau tidak begitulah persepsinya. Mereka tidak senang dengan peruntukan besar kepada Jakim dan kuasa diberi umpamanya. Kebimbangnya negara ini akan jadi negara Islam. Mereka kecewa apa yang mereka harapkan tidak terjadi. Walaupun akur akan hak keistimewaan orang Melayu mereka inginkan dasar meritokrasi dalam banyak hal.

Turut dikritik (sekadar menggunakan istilah lembut) ialah kencenderungan Malaysia terutama perdana menteri terhadap Palestin ‘at their expense’. Ada yang tuduh sinis Anwar Ibrahim mahu jadi presiden Palestin dan tidak memberi perhatian terhadap rakyat sendiri (baca masyarakat bukan Melayu). Kata-kata Anwar ‘do not spoof the Malays’ yang disuarakan semasa beliau belum jadi perdana menteri masih dihebahkan. Sehingga pada tahap apa yang PMX buat semua tak betul.

Tidak kurang juga dalam kalangan kenalan saya yang mahu sesuatu yang ideal. Cukup setakat itu kerana tentu anda tahu apa yang saya katakan ini.

Dalam pada itu ada pula dalam kalangan orang Melayu (yang mungkin orang biasa atau pro parti tertentu yang antikerajaan) tidak puas hati dengan kerajaan pimpinan PH dan mendakwa kepentingan Melayu semakin terhakis. Kerajaan dipimpin orang Melayu mereka tuduh dicucuk hidungnya oleh orang bukan Melayu. Lantas ‘favour’ orang bukan Melayu. Manakala naratif Islam terancam memang sering kita dengar. Sehingga pada tahap semua PMX buat tak betul.

Adakah kerajaan tidak tahu ini semua? Saya rasa kerajaan tahu. ‘So what are they doing about it?’

Keadaannya begini. Pada satu pihak dilihat lebih lebih ‘manjakan’ orang Melayu. Pada pihak lain dituduh tunduk kepada orang bukan Melayu dan abaikan orang Melayu.

‘The government is caught between a rock and a hard place’. Mereka ada dua tahun sebelum pilihan raya umum diadakan untuk ‘fix this mess’. Pejam celik pejam celik tahu-tahu dah dua tahun.

Murid bawa bom tangan ke sekolah

KOSMO!

LONDON – Sebuah sekolah rendah dikosongkan selepas seorang murid membawa sebutir bom tangan untuk ditunjukkan kepada rakan-rakannya, lapor portal berita The Sun semalam.

Kejadian berlaku di Sekolah Rendah Osmaston CofE di Ashbourne, Derbyshire, Britain semalam.

Guru Besar Sekolah Osmastion, Jeanette Hart tidak tahu sama ada bom era Perang Dunia Kedua itu hidup atau sudah tidak aktif, namun dia pantas mengambilnya dan meletakkan grenad itu di belakang pokok besar.

Polis Derbyshire kemudian tiba di tempat kejadian bersama pakar bahan letupan tentera.

“Sesi tunjuk dan cerita ini berjalan lancar sehinggalah seorang murid lelaki membawa kotak berisi peluru lama dan  kemudian,  rakannya mengeluarkan sebutir  bom tangan dari dalam poketnya,” kata Jeanette.

Pakar-pakar bom kemudian mengesahkan bahawa bom itu tidak lagi berfungsi dan selamat selepas melakukan analisis X-ray. – AGENSI

Terengganu: Satu dari tiga remaja alami obesiti

Harapandaily

Satu daripada tiga orang golongan remaja di Terengganu menghidap obesiti atau berat badan berlebihan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata seramai 988,000 atau 76 peratus penduduk di Terengganu menghidap obesiti.

Jelasnya, jumlah penghidap obesiti di negeri itu meningkat daripada 790,400 atau 60.8 peratus dalam tempoh 12 tahun bermula pada 2011 hingga 2023.

Menurutnya, kadar berat badan dan obesiti dalam kalangan remaja kekal pada tahap 29 peratus dalam tempoh 10 tahun bermula pada 2012 hingga 2022.

Dr Kasemani berkata, punca utama menyebabkan golongan remaja mengidap berat badan berlebihan atau obesiti adalah kurang melakukan aktiviti bersenam.

Jelasnya, kajian mendapati golongan remaja lebih banyak menghabiskan masa dengan menggunakan gajet dan media sosial, berbanding melakukan senaman bertujuan membakar lemak dalam tubuh.

“Pengambilan gula berlebihan dalam makanan dan minuman turut menyumbang kepada obesiti yang boleh menyebabkan risiko kepada diabetes, penyakit jantung dan pelbagai komplikasi lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, masyarakat disaran melakukan perubahan gaya hidup aktif terutama melakukan senaman ringan termasuk berjalan sambil beriadah, menaiki tangga dan menyertai aktiviti komuniti aktif secara fizikal bagi mengurangkan risiko obesiti.

‘Kalau berhimpun ni bagi pada Pas, majukan negeri saja gagal’

Harapandaily

Pemuda Pas dilihat berbangga berkongsikan mengenai sistem pendidikan parti itu yang telah dibina dan disusun bermula sejak dari pra-sekolah.

Menerusi perkongsian di Facebook, disenaraikan perjalanan pendidikan Pas bermula dengan pra-sekolah bagi usia empat hingga enam tahun yang dinamakan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Seterusnya, peringkat sekolah rendah (7-12 tahun) yang dinamakan SRITI dan SMITI untuk sekolah menengah bagi usia 13 hingga 17 tahun.

“Kami di zaman kini hanya meneruskan kerja buat orang-orang lama dalam parti yang mencetuskan agenda pendidikan ini.

“Semua itu tidak akan berlaku jika mereka hanya memandang Pas sebagai parti politik, hakikatnya Pas adalah jemaah Islam yang juga menekankan aspek tarbiah dan juga dakwah,” menurut kenyataan Pemuda Pas.

Tambahnya, Lajnah Pendidikan Pas Pusat mengadakan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan hari ini bagi meraikan para pendidik yang menjadi tulang belakang menggerakkan agenda dakwah parti bagi aspek pendidikan.

Walau bagaimanapun menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menyindir Pas termasuk mengaitkan dengan isu gaji tidak munasabah diperoleh tenaga pendidik di Pasti.

“Bab berhimpun ni bagi pada Pas. Bab majukan negeri saja gagal,” perli Muhamad Nur Ismail.

“Di Pulau Pinang, kerajaan negeri menaikKan elaun guru Kafa daripada RM1,200 kepada RM1,500 baru diumum sempena Hari Guru,” kata Firdaus Md Tajudin.

“Bezanya juga gaji guru Pasti rendah dan dianggap bekerja sebagai sukarela sedangkan pemimpin Pas bergaji tinggi,” tulis Farhana Shafiq.

“Nak tengok pemimpin Pas jadi kerajaan pun terpaksa berpaut dengan parti lain. Sebab apa? Dalam kalangan Pas sendiri, tiada yang layak memimpin negara,” tegas Jozady Syafee.

Sami curi dana kuil lebih RM38.7 juta untuk berjudi

Agensi

Bangkok: Polis Thailand menahan seorang sami, disyaki menyeleweng lebih 300 juta baht (kira-kira RM38.7 juta) daripada dana derma kuil terkenal yang dipimpinnya.

Phra Thammachiranuwat dari kuil Wat Rai Khing di pinggir barat Bangkok, dituduh memindahkan wang daripada akaun rasmi kuil ke akaun peribadinya.

Penyiasat yang melakukan penjejakan dana itu kemudian mengesan ia mengalir ke rangkaian perjudian dalam talian yang mengelola permainan kad baccarat, lapor media tempatan yang petik AFP.

Menurut Biro Siasatan Pusat (CIB), kuil berkenaan yang beroperasi sejak tahun 1851 banyak menerima sumbangan daripada upacara 'jana pahala', yang mana penganut Buddha menyumbang wang dengan harapan mendapat keberkatan dan kelahiran semula yang lebih baik.

Timbalan Pesuruhjaya CIB, Jaroonkiat Pankaew berkata, sami itu didakwa dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

"Penahanan ini bertujuan 'menyucikan' agama kita," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Seorang lagi suspek turut ditahan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada lebih ramai individu terlibat dalam penyelewengan berkenaan.

Media tempatan melaporkan, Phra Thammachiranuwat kini sudah meninggalkan status sebagai sami selepas skandal itu terbongkar.

Wat Rai Khing antara kuil yang disanjung sebagai penempatan replika tapak kaki Buddha, menjadikannya lokasi tumpuan penganut dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, pendedahan kes berprofil tinggi itu mencetuskan kemarahan rakyat yang meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.

"Saya akan salur derma ke hospital atau sekolah selepas ini, bukan lagi kepada kuil," tulis seorang pengguna media sosial.

Namun ada juga yang menyeru supaya kepercayaan terhadap agama tidak goyah disebabkan perbuatan segelintir pihak.

"Bukan semua sami jahat. Jangan pukul rata," kata seorang lagi pengguna di media sosial.

Sementara itu, CBS News melaporkan kejadian itu bukan kali pertama kuil Buddha di Thailand mencetuskan kontroversi.

Pada November tahun lalu, pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap sebuah kuil selepas menemui 41 mayat yang dikatakan digunakan dalam amalan meditasi.

Sementara pada 2022, sebuah kuil di tengah Thailand menyaksikan semua saminya dilucut status apabila didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dihantar ke pusat pemulihan.

Rafizi: Ada kelompok tertentu lihat pertandingan ini sebagai 'batu loncatan'

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penggunaan platform media sosial mampu menyampaikan mesej parti secara lebih berkesan walaupun tempoh berkempen hanya tinggal sekitar seminggu sahaja, kata Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi, berkata kempen alam maya yang dilakukannya mendapat tontonan tinggi melebihi 20,000 penonton walaupun persaingan yang berlaku kini hanyalah pemilihan jawatan di peringkat parti sahaja.

"Mesej parti melalui media sosial bukan sahaja dapat mendekati anggota parti di peringkat akar umbi, tetapi juga rakyat yang menyokong perjuangan parti malah menunjukkan mesej kita sampai kepada golongan sasaran.

"Selain itu, apa yang disampaikan melalui kempen di media sosial adalah serasi dan bertepatan dengan suara dan pandangan rakyat.

"Analisa terhadap sokongan akar umbi tidak boleh hanya bersandarkan kepada pandangan dua atau tiga individu berjawatan, kerana ia tidak mencerminkan sentimen sebenar keseluruhan anggota," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan di Tanjung Chat, di sini, hari ini.

Rafizi mengakui wujud kelompok tertentu yang melihat pertandingan kali ini sebagai 'batu loncatan' untuk mencapai cita-cita politik, termasuk menjadi calon atau menteri.

"PKR adalah sebahagian daripada kerajaan, maka akan ada tokoh tertentu yang melihat pemilihan ini sebagai peluang untuk melonjakkan diri.

"Jika tidak berhati-hati, kita boleh berdepan gejala yang menjejaskan kestabilan parti namun saya tak nampak mana-mana parti lain cuba campur tangan kerana setakat ini semuanya berdisiplin dan bersopan," katanya.

Siapa tembak MH17 dan apa langkah Malaysia?

Mohsin Abdullah

Pada 5 Sept 2019 perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad kata tiada bukti mencukupi untuk kait Rusia dengan serangan ke atas MH17.

Semasa Anwar Ibrahim melawat Istana Kremlin di Moscow beberapa hari lalu Vladimir Putin menunjukkan Dewan St Andrew yang luas dalam istana itu. Di dewan itu ada tiga takhta yang dimaksudkan untuk ‘tsar’ iaitu maharaja Russia zaman lampau, ‘tsarina’ isteri si maharaja manakala kerusi ketiga tidak dilabel.

Lalu Putin tanya Anwar kerusi ketiga itu untuk siapa? Jawab Anwar, “untuk isteri kedua”. Kedua pemimpin burst into laughter. Semua yang hadir turut ketawa berderai. Putin terus berseloroh “itulah jawapan seorang Muslim sejati mewakili budaya Islam”.

Sambil tersenyum Anwar menjelaskan beliau hanya ada seorang isteri dan berkata, “saya rasa itu helah cubaan menguji. Saya kata takhta kanan untuk isteri, kiri untuk isteri kedua. Tetapi kemudian saya sedar ia sebenarnya untuk ibu.”

Kata Putin, “Ya takhta ketiga adalah untuk ibunya. Pertukaran maklumat selalu berguna.”

Menarik kisah itu. Malah lucu tetapi benar. But let’s not read too much into it and take it as a light story. Bagi saya ia menunjukkan keakraban presiden Rusia dengan perdana menteri Malaysia.

Lawatan Anwar ke Rusia sememangnya mengenai perdagangan, pelaburan dan kolaborasi. Malaysia dan Rusia sama sama mahu mendalami perdagangan dan pelaburan antara kedua negara bagi mencetus a new chapter in their growing bilateral relationship. Putin menyifatkan Malaysia sebagai rakan lama yang boleh dipercayai dan penting bagi Rusia.

Bagaimanapun pada hari Anwar tiba di Moscow, majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014, yang mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Timing is everything.

Pengumuman keputusan majlis agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu boleh dilihat sebagai janggal bagi Anwar kerana beliau pergi ke Rusia untuk jalin kerjasama lebih erat. Atau boleh juga dilihat sebagai peluang keemasan untuk membawa keputusan berkenaan secara terus kepada Rusia. Lebih tepat Putin.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia terutama keluarga mangsa mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” kata Anwar kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi ke Rusia.

Lapor Bernama, Anwar berkata Putin mendengar dengan teliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahir rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kata perdana menteri lagi Putin menegaskan beliau telah menuntut supaya siasatan rapi serta menyeluruh dijalankan dan juga mahu isu tersebut tidak dipolitikkan.

Menurut Putin sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan harus bebas dan teliti selain menegaskan Rusia sedia memberi kerjasama untuk memastikan laporan tersebut lebih berwibawa.

Pendapat yang sama pernah disuarakan beliau sebelum ini. Apa makna kata-kata itu? Bolehkah disimpulkan Rusia tidak menerima keputusan majlis badan PBB? Ertinya Rusia tidak mengaku terbabit atau bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17. Bagi saya begitu maksud kenyataan Putin.

Imbau kembali November 2022, mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Rusia dan seorang warga Ukraine secara in absentia atas kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu. Moscow menyifatkan keputusan itu ‘memalukan’ dan menegaskan Rusia tidak akan mengekstradisi rakyatnya.

Belanda dan Australia yang warganya antara yang terbunuh menyambut baik keputusan terbaharu ICAO, badan penerbangan PBB pada 13 Mei lalu. Kata menteri luar Belanda, Caspar Veldkamp, keputusan itu menghantar mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.

Penny Wong menteri luar Australia pula berkata negaranya seru Rusia mengaku tanggungjawab terhadap keganasan dahsyat itu dan menunaikan kewajipan membuat pampasan seperti dituntut di bawah undang undang antarabangsa.

Kerajaan Belanda dan Australia dalam kenyataan berasingan memaklumkan ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan beberapa minggu akan datang.

Perlu dinyatakan ICAO tidak punya kuasa penguatkuasaan undang-undang tetapi ia dilihat sebagai memiliki pengaruh moral di samping menetapkan piawaian penerbangan yang diterima secara meluas oleh 193 negara anggota.

Sebenarnya sebelum ini pun beberapa pihak sudah menyalahkan Rusia. Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran puak pemisah pro Rusia dan tentera Ukraine sedang memuncak. Beberapa negara menuduh Rusia sokong puak pemisah dan membekalkan peluru berpandu kepada mereka.

Pasukan Penyiasat Bersama atau JIT diketuai Belanda mendakwa pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK milik tentera Rusia. Dakwaan dinafikan Rusia.

Pada 5 September 2019 perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata tiada bukti yang mencukupi untuk mengaitkan Rusia dengan serangan ke atas MH17. Beliau mempersoalkan dapatan JIT dan menganggapnya ‘tidak begitu tepat’. Mahathir juga dipetik berkata beberapa dapatan JIT tidak menyakinkan beliau dan rakyat Malaysia.

“Saya tidak mempersoalkan kejujuran mereka (JIT) tetapi ada beberapa perkara yang mereka dakwa sukar untuk kita terima. Mengenal pasti peluru berpandu, ya. Lokasi kejadian, itu boleh disahkan. Tetapi untuk kenal pasti siapa yang benar-benar melepaskan tembakan, itu amat sukar dalam keadaan biasa,” kata beliau kepada agensi berita Rusia, Sputnik. Kesimpulannya Malaysia kata Mahathir mahu bukti kukuh.

Itu pendapat perdana menteri ke-7. Bagaimana pula perdana menteri ke-10? Adakah PMX bersependapat?

Apa yang Anwar kata kepada Putin apabila mendengar ‘penjelasan’ pemimpin Rusia itu? Bernama yang melaporkan pertemuan Anwar-Putin seperti di atas tidak menjawab persoalan ini selain memetik Anwar berkata beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa maklum balas yang diberikan Putin.

Adakah Malaysia menerima penjelasan Putin atau menerima apa yang didapati badan penerbangan PBB? Itu yang mesti putuskan sekarang. Hanya apabila keputusan sudah dibuat barulah kita akan tahu apa langkah negara seterusnya.

Radzi ganti Peja ketua penerangan PN?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Hantaran pemimpin PAS Ahmad Fadhli Shaari di media sosial berhubung mesyuarat Jabatan Penerangan dan Komunikasi Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan berhubung kedudukan Ahmad Faizal Azumu.

Ini kerana Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu mesyuarat dipengerusikan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin selaku ketua penerangan PN.

“Mesyuarat Jabatan Penerangan dan Komunikasi Perikatan Nasional hari ini dipengerusikan Radzi Jidin, ketua penerangan Perikatan Nasional,” katanya di Facebook.

Radzi turut membuat hantaran video beliau sedang mempengerusikan mesyuarat namun tidak menjelaskan sama ada atas kapasiti ketua penerangan PN.

Tangkap layar hantaran Ahmad Fadhli Shaari berhubung kedudukan Radzi Jidin sebagai ketua penerangan PN.
Disember lalu, Faizal, seorang daripada tiga naib presiden Bersatu dilantik sebagai ketua penerangan PN menggantikan Azmin Ali yang ‘naik pangkat’ kepada setiausaha agung.

Majlis Tertinggi (MT) PN turut mengumumkan Radzi sebagai anggotanya bersama seorang lagi Naib Presiden Ronald Kiandee.

Setakat ini, PN tidak membuat pengumuman berhubung pertukaran jawatan membabitkan Faizal dan Radzi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Ahmad Shamsuri Mokhtar turut mengumumkan peletakkan jawatan sebagai bendahari agung PN. Namun, beliau menafikan tindakan itu berpunca keretakan gabungan.

Kekosongan itu belum digantikan.

FMT telah menghubungi Faizal dan Radzi untuk mendapatkan pengesahan serta maklumat lanjut.

Debat Rafizi, Nurul Izzah buka jalan berpecah

Akar umbi PKR anggap debat Rafizi, Nurul Izzah buka jalan berpecah

Haspaizi Zain

Tiada keperluan untuk dua calon yang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR berdebat secara terbuka.

Bercakap kepada Malaysiakini, beberapa pemimpin akar umbi berpendapat debat hanya membuka jurang lebih besar kepada perpecahan.

Ketua PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail, mengakui debat adalah antara budaya parti itu, namun ia lebih sesuai bagi menghadapi PRU akan datang ketimbang pemilihan dalaman.

"Debat terbuka antara dua calon bagi membandingkan (dua) individu ini dia akan memberi ruang untuk (ahli parti) berpihak, sedangkan kita ini hanya mengadakan pemilihan parti," katanya.

Ketua PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, pula berpendapat pentas debat di antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar akan menjadikan keadaan tidak adil jika diadakan.

Sebagai penyandang jawatan timbalan presiden, katanya, Rafizi tentu mempunyai "kelebihan" berbanding pencabar kerana sudah tahu selok-belok pengurusan parti berdasarkan kedudukannya yang berada pada jawatan tersebut selama sepenggal.

Katanya pertembungan dalaman tidak menjadikan keadaan begitu terdesak untuk sampai ke peringkat berdebat bagi membuktikan kualiti yang ada pada kedua-dua calon.

"Debat bukan satu keperluan masa ini. Kita (PKR) bertembung atas satu parti yang sama.

“Kalau calon nak bagi tahu apa yang mereka nak sampaikan, lebih baik adakan dialog terus kepada akar umbi kerana ia jauh lebih baik.

Apa yang lebih penting, tambah Syed Badli Shah, ialah kedua-dua calon terbabit menyampaikan misi dan visi masing-masing secara langsung kepada ahli akar umbi.

Rafizi menyatakan persetujuan untuk berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan sedikit suhu yang memanas sepanjang kempen pemilihan PKR ketika ini. Bagaimanapun Rafizi berkata ia perlu dianjurkan oleh pihak ketiga.

Bagaimanapun Nurul Izzah setakat ini tidak menunjukkan kecenderungan untuk memililh cara itu.

Sementara itu Ketua Pemuda PKR Wangsa Maju Arief Izuadin turut berpendapat debat tidak perlu diadakan demi menjaga keharmonian parti.

“Tidak mengadakan debat juga salah satu cara meredakan suhu dalam kalangan anggota parti.

"Jadi keperluan utama akar umbi buat masa sekarang adalah mengukuhkan perpaduan dalam parti bagi menghadapi PRU ke-16," katanya.

Perlis: Nelayan maut dipanah petir ketika pukat udang

NORLIDA AKMAR IDROS

KANGAR – Seorang nelayan maut dipanah petir ketika memukat udang di pesisiran Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam itu, mangsa, Muhamad Faiez Othman, 28, mengalami pendarahan di telinga kiri selain melecur di paha kanan.

Lelaki itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, mangsa dan seorang awak-awak keluar memukat udang dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang ke lokasi kejadian pada pukul 7 malam.

“Pada pukul 9.50 malam, kawasan itu dilanda hujan dan kilat jadi mangsa ambil keputusan untuk pulang ke jeti.

“Ketika dalam perjalanan ke jeti, tiba-tiba kilat menyambar menyebabkan mangsa rebah dan terlentang,” katanya hari ini.

Menurut beliau, awak-awak itu kemudian menutup enjin dan mendekati mangsa yang sudah kaku.

“Dia panggil rakan-rakan nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut dan menghubungi abang mangsa yang berada di daratan untuk meminta bantuan,” ujarnya.

Menurutnya, mangsa seterusnya dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HTF menggunakan ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Sanglang dan disahkan telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati berlaku pendarahan di telinga sebelah kiri dan luka melecur di paha sebelah kanan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Mualaf gagal rayu mohon keluar Islam

Ho Kit Yen

Lelaki berusia 47 tahun mahu kembali kepada kepercayaan asalnya Kristian selepas bercerai dengan isteri.

Mahkamah Rayuan hari ini menegaskan semula bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam kes untuk keluar Islam dan mahkamah sivil tidak boleh campur tangan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang mualaf untuk meninggalkan Islam dan kembali kepada kepercayaan asalnya Kristian.

Hakim M Nantha Balan yang mempengerusikan panel tiga hakim berpendapat rayuan lelaki itu tidak mempunyai merit.

Turut bersidang Hakim Nazlan Ghazali dan Azmi Ariffin.

Lelaki berusia 47 tahun itu berkahwin dengan seorang wanita Islam pada 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai lima tahun kemudian.

Pada 2016, dia memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam, tetapi diarahkan untuk menghadiri ‘sesi kaunseling’.

Mahkamah Syariah kemudian menolak permohonannya dan memerintahkan dia menjalani sesi kaunseling selanjutnya.

Rayuan lelaki itu di Mahkamah Rayuan Syariah juga ditolak.

Dia kemudian ke mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah dan memohon perisytiharan bahawa dia berhak menganut kepercayaan asalnya.

Cabaran undang-undangnya ditolak Mahkamah Tinggi pada 2023.

Nazlan, yang membacakan penghakiman hari ini berkata, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes daripada Mahkamah Syariah.

“Ini bukan kes dia tidak pernah menjadi Muslim tetapi meninggalkan (Islam).

“Kami menegaskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mendengar kes-kes ini dan mahkamah sivil tidak boleh campur tangan,” katanya.

Mahkamah juga menyatakan Mahkamah Syariah telah menolak permohonan lelaki itu untuk meninggalkan Islam atas alasan bukti dikemukakan ‘tidak mencukupi’.

“Dia boleh memohon semula di Mahkamah Syariah,” kata Nazlan, sambil menyatakan terdapat kes yang berjaya.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Lelaki itu diwakili peguam Iqbal Harith Liang dan Firdaus Danial Tan manakala Peguam Kanan Persekutuan Idayu Amir mewakili kerajaan.

“Kita jumpa di mahkamah,” kata Wan Mahussin kepada MB Kelantan

Wan Mahusin minta maaf kepada singa perang, kita jumpa di mahkamah

SITI NUR ZAWANI

Pemimpin muda UMNO, Wan Mahussin Wan Zain membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud

Permohonan maaf itu kerana beliau tidak akan memenuhi tiga tuntutan dalam surat tuntutan yang diserahkan kepadanya.

“Oleh kerana banyak pihak memberikan cadangan dan nasihat kepada saya, dengan ini secara sukarela dan waras saya meminta maaf kepada singa perang kerana saya tidak boleh menurut dan mengikut segala tuntutannya kerana pihak saya akan terus berjuang sehingga ke muka pengadilan.

“Kita jumpa di mahkamah,” katanya dalam satu perkongsian video di TikTok.

Wan Mahussin sebelum ini didakwa memfitnah Menteri Besar Kelantan.

Dalam surat tuntutan, beliau diminta membuat permohonan maaf, tidak mengulangi kenyataannya lagi dan membayar sejumlah wang tuntutan sebagai ganti rugi.

Pembantu rumah letak cecair peluntur dalam sup ayam

KOSMO
Pembantu rumah itu mengaku atas perbuatannya ketika ditanya oleh majikan. - TikTok
JAKARTA – Seorang pembantu rumah di Batam, Kepulauan Riau mengundang kecaman orang ramai kerana cuba membunuh majikannya dengan meletakkan cecair peluntur di  dalam sup ayam, lapor laman berita Kompas semalam. 

Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @lambe_turah memaparkan wanita itu duduk di atas lantai sambil menangis ketika ditanya oleh majikannya. 

Selain memohon maaf, dia merayu supaya dirinya tidak dilaporkan kepada polis.

Menurut majikan, percubaan membunuh itu gagal selepas ahli keluarganya terhidu bau pelik dalam masakan wanita berkenaan. 

Pembantu rumah itu bertindak sedemikian selepas diminta untuk membersihkan kandang kucing. 

Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Bahaya kalau dilepaskan. Bawa dia ke balai!” kata seorang netizen. 

“Dia menangis sebab ‘kantoi’, bukan menyesal,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Pempengaruh media sosial maut ditembak ketika siaran langsung

BHarianonline 
Valeria Marquez, 23. - Foto REUTERS

Valeria Marquez, 23. - Foto REUTERS
GUADALAJARA: Seorang pempengaruh media sosial Mexico maut ditembak ketika melakukan siaran langsung di TikTok, platform di mana beliau mempunyai puluhan ribu pengikut, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Media tempatan mengenal pasti mangsa sebagai Valeria Marquez, 23, yang terkenal menerusi video bertemakan kecantikan dan gaya hidup, dengan sebahagian kandungannya meraih ratusan ribu tontonan.

Mangsa ditembak mati pada petang Selasa di salun kecantikannya di Zapopan, sebuah kawasan pinggir bandar di barat bandar Guadalajara, menurut Pejabat Pendakwa Negeri Jalisco.

"Mangsa merupakan individu yang aktif serta berpengaruh di media sosial," menurut kenyataan pejabat pendakwa.

"Seorang lelaki telah memasuki premis dan dipercayai melepaskan tembakan ke arahnya," tambah kenyataan itu. Motif serangan masih belum diketahui.

Kawasan berkenaan dikenali sebagai antara lokasi jenayah tertinggi di Mexico, yang menjadi markas kepada salah satu kartel dadah paling ganas di negara itu, iaitu Kartel Generasi Baharu Jalisco.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti mengaitkan kumpulan jenayah dengan kejadian itu, menurut penyelaras keselamatan negeri, Roberto Alarcon.

Datuk Bandar Zapopan, Juan Jose Frangie memaklumkan pejabatnya tidak pernah menerima sebarang aduan atau permintaan perlindungan daripada Marquez berhubung sebarang ancaman.

"Amat menyedihkan apabila anda sedang merakam video, kemudian dibunuh. Ini adalah kes pembunuhan yang paling menyayat hati," katanya.

Laporan media menyatakan Marquez dipercayai ditembak oleh seorang lelaki yang berpura-pura membawa hadiah kepadanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sekitar 10 wanita atau kanak-kanak perempuan dibunuh setiap hari di Mexico, dalam suasana jenayah dan keganasan berasaskan jantina yang berleluasa. - AFP

15 pemimpin PKR cabang Masjid Tanah letak jawatan

B Nantha Kumar

Sebanyak 15 pemimpin PKR yang baru menang dalam pemilihan Cabang Masjid Tanah dikatakan letak jawatan hari ini berkuat kuasa serta-merta.

Dua sumber PKR masing-masing dari Melaka dan ibu pejabat PKR mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Saya tahu 15 pemimpin PKR Masjid Tanah letak jawatan. Antaranya, Timbalan Ketua Cabang Sunar Misran, Naib Ketua Cabang Lee Kin Mio dan 13 AJK (ahli jawatankuasa) letak jawatan," kata sumber dari Melaka itu.

Sementara itu, sumber dari ibu pejabat PKR memberitahu mereka menerima surat peletakan jawatan pada 12.30 tengah hari, hari ini.

"Difahamkan, mereka letak jawatan kerana hilang percaya dengan pimpinan Ketua Cabang Masjid Tanah Halim Bachik," kata sumber itu.

Untuk rekod, Masjid Tanah salah satu cabang yang menyaksikan keputusan pemilihan 'badan tanpa kepala', dengan calon ketua cabang Amran Othman kalah kepada Halim.

Pasukan Amran menang majoriti jawatan yang dipertandingkan.

Dalam perkembangan sama, ketika dihubungi mengulas dakwaan peletakan jawatan berkenaan, Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata dia tidak dapat mengesahkan kerana berada di luar kawasan.

"Saya tidak boleh sahkan. Saya tidak berada di pejabat. Saya belum terima (surat) dan ibu pejabat tidak tahu isi kandungan.

"Sebab surat itu alamat kepada setiausaha agung," katanya.

Dia turut menafikan bahawa terdapat kakitangan dari ibu pejabat dihubungi oleh pihak media.

"Ibu pejabat sahkan bahawa mereka tidak bertemu dengan media atau dihubungi oleh pihak media.

"Ibu pejabat kata ada terima surat tapi di alamatkan kepada setiausaha agung. Jadi, mereka tak tahu kandungan," katanya.

Seorang lelaki bawa anjing makan di restoran mamak muslim di Johor

FARAHWAHIDA AHMAD
TANGKAP layar seorang lelaki memesan makanan dan minuman di sebuah restoran mamak di Segamat Baru, Segamat sambil ditemani anjing.
SEGAMAT – Sebuah video berdurasi 24 saat tular di media sosial memaparkan seorang pemilik membawa anjing peliharaannya makan bersama di sebuah restoran halal di Segamat Baru, di sini, baru-baru ini.

Perkongsian video daripada wargamaya, Mohd Razman Razak memaparkan seorang lelaki duduk di meja makan di dalam restoren berkenaan bersama seekor anjing baka Poodle duduk sebelahnya.

Rata-rata pengguna media sosial menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan sifat lelaki berkenaan yang tidak peka dan sensitif atas peraturaan membawa haiwan peliharaan ke tempat makan awam.

Menurut tulisan Mickey Kim di ruangan komentar, dia meminta lelaki berkenaan untuk lebih menghormati orang lain memandangkan restoren berkenaan merupakan kedai makan muslim.

“Alamak, respect sikit la brother. Ini kedai mamak Muslim, tak boleh bawa anjing. Saya orang cina pun tahu respect Muslim.

“Mamat (orang yang merakam video) kena beritahu budak ini, dan jangan kasi masuk makan kalau bawa anjing,”kongsinya.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan gagal dihubungi bagi mendapatkan keterangan lebih lanjut.-KOSMO! ONLINE

LIMA’25: Bot TLDM hilang kawalan rempuh bot pelancong

Polis sahkan insiden bot TLDM langgar bot pelancong
Oleh NUR AMALINA AZMAN
KEADAAN bot pemintas TLDM yang terbabas ke bahagian daratan setelah hilang kawalan dan merempuh bot pelancong di perairan Langkawi berhampiran Jeti Teluk Baru, Langkawi.
LANGKAWI – Polis mengesahkan insiden pelanggaran sebuah bot pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan sebuah bot pelancong di perairan Langkawi berhampiran Jeti Teluk Baru, di sini petang ini.
TANGKAP layar daripada video tular  menunjukkan bot TLDM hilang kawalan ketika raptai demonstrasi sempena LIMA ’25.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, insiden tersebut dipercayai berlaku pada pukul 4.34 petang tadi.

“Insiden melibatkan sebuah bot pasukan keselamatan yang sedang membuat latihan dinaiki lima pegawai dan anggota serta sebuah bot pelancong yang berlabuh berhampiran pantai.

“Dua personel pasukan keselamatan tersebut telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Tiada sebarang kecederaan orang awam berlaku dan sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shariman mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak tepat berhubung insiden itu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menunggu kenyataan penuh daripada pasukan keselamatan tersebut untuk maklumat yang lebih tepat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bot pemintas milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa hilang kawalan dan melanggar sebuah bot pelancong yang berlabuh berhampiran Jeti Teluk Baru sebelum terkandas di sebuah pulau.

Difahamkan, insiden berlaku ketika sesi latihan segmen maritim sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25). – KOSMO! ONLINE

Pengkhianat: 2 kakitangan JPN terima rasuah dipenjara setahun, denda RM10,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dihukum penjara satu tahun dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Tawau di Sabah atas tuduhan menerima rasuah untuk memproses kad pengenalan, enam tahun lalu.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Yuliana Saat, 50, dan Azmi Amir Lunji, 48, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, lapor Harian Metro.

Mengikut tuduhan, Yuliana dan Azmi yang bertugas sebagai pembantu pendaftaran Gred KP22 di JPN Cawangan Semporna, masing-masing secara rasuah memperolehi wang tunai daripada seorang wanita sebanyak RM2,000 pada 26 April 2017.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menerima dan memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar wanita itu yang berusia 12 tahun.

Mereka didakwa atas pertuduhan pindaan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun Denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh manakala Yuliana diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja, dan Azmi diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu notis permohonan rayuan kedua-kedua tertuduh difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh dikehendaki menjelaskan bayaran denda pada hari ini.

Kelantan: PGA tahan 11 PATI kerja di lombong bijih besi

Nor Fazlina Abdul Rahim
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, tengahari semalam.- Foto ihsan PGA
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, tengahari semalam.- Foto ihsan PGA
KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, tengah hari semalam.

Tangkapan dilakukan Batalion 8 pada jam 1.30 tengah hari itu menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ketika serbuan dilakukan, tujuh lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga Indonesia sedang bekerja di lombong berkenaan.

Katanya, seorang daripadanya tiada permit kerja, manakala empat lagi sudah tamat tempoh permit kerja dan selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri masuk ke Malaysia secara sah.

"Semua suspek ditahan mengikut Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga Thailand yang cuba memasuki Kelantan menggunakan bot di pangkalan haram di sini selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Rantau Panjang petang semalam.

Katanya, tangkapan dilakukan Batalion 9 pada jam 4.10 petang itu mendapati semua suspek cuba masuk ke Malaysia secara haram.

"Pemandu bot melarikan diri dan meninggalkan penumpangnya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 5(2) serta 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Biawak makan bayi dibuang ibu

KOSMO
Seekor biawak gergasi yang memakan mayat seorang bayi di kejiranan Soi King Kaew Phli 28 semalam. - Facebook
BANGKOK – Penduduk di wilayah Samut Prakan, tengah Thailand terkejut melihat  seekor biawak gergasi memakan mayat seorang bayi yang ditinggalkan oleh ibunya, lapor portal berita Thaiger semalam. 

Penemuan itu berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) di kejiranan Soi King Kaew Phli 28 dekat daerah Bangmut Phli 28.

Penduduk tempatan segera menghubungi pasukan penyelamat dan memberitahu, biawak itu bergerak sambil menggigit badan bayi tersebut.

Kepala dan badan mangsa ditemukan di tempat berasingan. Haiwan itu meninggalkan kepala mangsa di sebatang jalan, manakala badannya disembunyikan di bawah sebuah kediaman.

Salah seorang anggota penyelamat, Thanathorn Saelim berkata, pasukannya cuba mendapatkan semula badan mangsa tetapi gagal. 

“Hanya kepala sahaja yang ditemui. Jantina bayi juga tidak dapat dikenal pasti. 

“Bayi itu dipercayai baru meninggal dunia kerana tiada bau busuk di tempat kejadian,” tambah Saelim. 

Cebisan mayat yang ditemui dibawa ke Institut Perubatan Chakri Naruebodindra untuk bedah siasat. 

Pasukan penyelamat berharap pemeriksaan perubatan akan menentukan sama ada bayi itu mati sebelum dimakan biawak itu. – AGENSI

Buaya tarik lelaki berenang hingga maut

Bernama-Dpa
TANGKAP layar daripada video disiarkan Kompas TV menunjukkan pencarian di lokasi kejadian.
TANGKAP layar daripada video disiarkan Kompas TV menunjukkan pencarian di lokasi kejadian.
Jakarta: Seorang lelaki ditemukan mati pada Rabu selepas diserang buaya ketika berenang melalui terusan di pulau Sumatera, Indonesia, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Lelaki berusia 45 tahun itu sedang berenang bersama seorang rakannya pada Selasa apabila buaya itu menariknya ke bawah air, menurut Abdul Malik, jurucakap agensi mencari dan menyelamat negara Basarnas.

Rakannya dilaporkan cuba mencengkam lengannya tetapi tidak dapat menyelamatkannya.

Anggota penyelamat menemukan mayat itu kira-kira 200 meter dari tempat dia dilihat kali terakhir.

Terusan itu melalui ladang kelapa sawit. Kumpulan alam sekitar berkata, pengembangan ladang sedemikian mengganggu habitat semula jadi dan meningkatkan pertemuan manusia-buaya.

Indonesia mencatatkan lebih banyak serangan buaya berbanding negara lain, kebanyakannya membabitkan buaya air masin.

Antara 2015 dan 2024, lebih 1,100 serangan dilaporkan, lebih 550 daripadanya membawa maut, menurut organisasi CrocAttack.

Atlet bina badan Brazil meninggal dunia semasa pertandingan

Astro Arena

Moreira yang berusia berusia 30 tahun itu kelihatan tidak stabil sebelum rebah di atas pentas. - Stadium Astro

ATLET bina badan Brazil, Wanderson Da Silva Moreira, rebah dan meninggal dunia semasa pertandingan pada hujung minggu, mengejutkan hakim dan penonton di bandar Campo Grande.

Saksi berkata, lelaki berusia 30 tahun itu kelihatan tidak stabil sebelum rebah di atas pentas. Paramedik merawatnya selama hampir sejam, tetapi dia kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Media tempatan melaporkan Moreira mengalami serangan jantung.

Menurut Newsflash, seorang rakan yang menemani Moreira berkata dia mengadu berasa tidak sihat sebelum acara itu tetapi berkeras untuk bertanding di gim José Abrao.

Rakan itu juga mengesahkan bahawa Moreira mempunyai sejarah tekanan darah tinggi. Moreira meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.

Jurulatih Moreira meluahkan kesedihannya dalam penghormatan yang tulus di media sosial, "Tiada perkataan untuk dapat menggambarkan kesedihan dan kejutan yang mendalam yang saya rasai.

"Dia bukan sahaja seorang atlet tetapi juga seorang kawan yang hebat, seorang lelaki yang berkeluarga, seorang yang berjiwa besar yang sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan.

"Kami hanya mampu berkabung dan berdoa kepada Tuhan untuk menghiburkan keluarganya dan kami semua. Moreira akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga dan pasukan kami."

Jurucakap jawatankuasa penganjur pertandingan mengucapkan takziah kepada keluarga itu tetapi enggan memberikan komen lanjut.

Menurut The Sun, acara itu adalah sebahagian daripada jadual pertandingan Konfederasi Bina Badan dan Kecergasan Kebangsaan Brazil. -- Stadium Astro

Polis minta ‘transfer’ RM50 elak kena saman

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan pegawai trafik itu meminta seorang lelaki membuat transaksi ke akaunnya. - TikTok
JAKARTA – Seorang polis trafik di Indonesia mengundang perhatian ramai apabila meminta penunggang motosikal yang melanggar lalu lintas membuat transaksi pembayaran kepadanya demi mengelak daripada disaman, lapor portal berita Banjarmasin Post. 

Kejadian berlaku di Medan, wilayah Sumatera Utara pada Sabtu lalu. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @tkp_medan menunjukkan penunggang motosikal itu cuba melakukan transaksi sebanyak 200,000 rupiah (RM50) ke akaun pegawai tersebut. 

Ketua Penguatkuasaan Trafik Medan, Asisten Komisioner Besar I Made Parwita berkata, pihaknya akan memanggil perakam video untuk memberikan keterangan terhadap kejadian tular itu. 

“Hasil pemeriksaan mendapati, pegawai terbabit tidak menerima sebarang wang. Bagi siasatan lanjut, kami akan memanggil perakam untuk memberikan keterangan,” tambahnya. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 192,100 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Penegak undang-undang suka melanggar undang-undang,” kata seorang netizen. 

Kelantan: Wanita maut, 2 parah kemalangan di Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu

BERNAMA

Kota Bharu: Seorang wanita maut manakala dua cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu malam ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong Azhar Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.01 malam ini, sebelum mengarahkan lapan anggota bergegas ke lokasi kemalangan.

"Kemalangan jalan raya itu melibatkan dua kenderaan iaitu Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki dan Proton Exora yang dinaiki oleh lima beranak.

"Seorang wanita di dalam Proton Exora meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mengalami kecederaan parah dan tiga lagi mangsa termasuk pemandu kereta Honda City hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

DSA: Pesawat Pengangkut Tentera Mesir Tiba-Tiba Terbang ke Pakistan Dari China. Apa Muatan Dibawanya ??

DEFENCE SECURITY ASIA

Maklumat diperolehi daripada aplikasi penjejakan pesawat FlightRadar 24 itu mengesahkan bahawa pesawat pengangkut misteri tentera Mesir sebelum itu dilaporkan telah berlepas daripada China sebelum mendarat di Pakistan, sehari selepas gencatan senjata antara Pakistan dan India itu dimeterai.
 
IL-76
IL-76 milik Mesir

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pendaratan secara tiba-tiba sebuah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 milik Tentera Udara Mesir di sebuah lapangan terbang di Pakistan sebaik sahaja gencatan senjata dimeterai antara Islamabad dan New Delhi,  telah mencetuskan spekulasi hebat terutama berkenaan muatan yang mungkin dibawanya.

Menggunakan aplikasi penjejakan penerbangan, pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 Tentera Udara Mesir dengan callsign EGY1916 itu dikesan mendarat di landasan Lapangan Terbang Bhurban di daerah Muree, Pakistan.

Maklumat diperolehi daripada aplikasi penjejakan pesawat FlightRadar 24 itu mengesahkan bahawa pesawat pengangkut misteri tentera Mesir sebelum itu dilaporkan telah berlepas daripada China sebelum mendarat di Pakistan, sehari selepas gencatan senjata antara Pakistan dan India itu dimeterai.

Pesawat pengangkut IL-76 Mesir itu dikatakan berlepas semula daripada Pakistan menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Apa yang mencetuskan spekulasi yang amat hebat dikalangan pemerhati di India adalah dakwaan  kemungkinan pesawat pengangkut tentera Mesir itu telah digunakan untuk mengangkut sistem pertahanan udara buatan China dan sistem-sistem persenjataan yang lain untuk digunakan oleh tentera Pakistan.

Dakwaan yang tidak dapat disahkan itu menyatakan bahawa China mengambil peluang daripada gencatan senjata itu untuk menghantar lebih banyak senjata terutamanya sistem pertahanan udara untuk membantu Islamabad menangani serangan peluru berpandu dan bom-bom pintar India yang mensasarkan pangkalan-pangkalan udara Pakistan.

Konflik bersenjata selama beberapa hari di antara Pakistan dan India menyaksikan India melancarkan serangan antaranya menggunakan peluru-peluru berpandu kruis BrahMos dan SCALP EG terhadap beberapa pangkalan udara penting Pakistan.

Flight radar

Walaupun sistem pertahanan udara tentera Pakistan berjaya menangani beberapa serangan BrahMos dan SCALP EG terhadap pangkalan udaranya sebagaimana yang berlaku di Pangkalan Udara Shahbaz, terdapat juga contoh dimana Pakistan gagal mematahkan serangan itu.

Pakistan mengoperasikan beberapa sistem pertahanan udara buatan China yang merangkumi keupayaan jarak dekat hingga jarak jauh, bagi menangani ancaman dari udara seperti pesawat, dron, peluru berpandu kruis dan berkemungkinan juga peluru berpandu balistik.

Antara sistem pertahanan udara buatan China dioperasikan oleh tentera Pakistan adalah HQ-9/P atau FD-2000,  yang merupakan sistem pertahanan udara jarak jauh dengan jarak tembakan sehingga 200 kilometer untuk varian FD-2000, dan boleh diperluaskan lagi dalam versi yang dinaik taraf.

Ia direka untuk memintas pelbagai jenis ancaman udara termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu kruis, dron, dan juga peluru berpandu balistik.

Sistem ini menggunakan radar jenis HT-233 atau Type 305A dengan teknologi ‘phased-array’ untuk pengesanan dan penjejakan sasaran yang lebih tepat.

HQ-9/P sering dibandingkan dengan sistem S-300 buatan Russia dan dianggap sebagai setanding dengan sistem Patriot milik Amerika Syarikat.
BrahMos
“BrahMos”
Dalam konteks strategik, sistem ini berfungsi sebagai lapisan pertahanan udara utama Pakistan, yang bertujuan melindungi kawasan-kawasan penting seperti pangkalan tentera dan bandar utama daripada serangan udara.

Selain itu tentera Pakistan juga mengoperasikan LY-80 atau HQ-16, yang merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana dibangunkan oleh China, dengan keupayaan untuk memintas sasaran pada jarak sehingga 70 kilometer.

Ia direka untuk menangkis pelbagai ancaman udara termasuk pesawat sayap tetap, helikopter, dron, serta peluru berpandu kruis.

LY-80 dilengkapi dengan radar pengawasan tiga dimensi jenis IBIS-150 atau sistem radar berkaitan yang berupaya mengesan sasaran pada pelbagai ketinggian dan arah.

Sistem ini telah pun dikerahkan secara aktif oleh Kor Pertahanan Udara Tentera Darat Pakistan untuk melindungi kawasan strategik.

Ciri utama sistem ini adalah keupayaannya yang sangat mudah alih, menjadikannya sesuai untuk perlindungan formasi tentera di lapangan serta infrastruktur penting negara.
HQ-9
HQ-9
HQ-9
HQ-9
Tentera Pakistan juga mengoperasikan FM-90, yang merupakan sistem pertahanan udara jarak dekat (SHORAD) buatan China untuk menangkis ancaman pada altitud rendah, denga jarak efektif sekitar 15 kilometer.

Ia direka khas untuk memintas pesawat yang terbang rendah serta peluru berpandu kruis dan digunakan secara meluas bagi melindungi kemudahan ketenteraan utama serta unit-unit tentera yang bergerak.

FM-90 dibangunkan berdasarkan reka bentuk lama HQ-7, yang asalnya diadaptasi daripada sistem pertahanan udara Crotale buatan Perancis.

Tentera Pakistan juga dilaporkan telah menunjukkan minat untuk memperolehi FM-3000, yang merupakan sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak pendek ke sederhana yang direka untuk menangani ancaman seperti dron, helikopter dan pesawat yang terbang rendah.

Ia mempunyai anggaran jarak tembakan antara 30 hingga 50 kilometer, bergantung kepada konfigurasi dan varian yang digunakan.
Pakistan dilaporkan menunjukkan minat terhadap sistem FM-3000, namun masih belum jelas sama ada ia telah diterima masuk ke dalam perkhidmatan tenteranya secara rasmi.
HQ-16
HQ-16
Kebergantungan Pakistan terhadap sistem pertahanan udara buatan China mencerminkan kerjasama ketenteraan dan teknikal yang semakin mendalam antara Islamabad dan Beijing, dengan matlamat untuk membina “payung” pertahanan udara berlapis dan bersepadu.

Langkah ini dianggap amat penting bagi menghadapi ancaman daripada keupayaan udara dan peluru berpandu India yang semakin berkembang, termasuk peluru berpandu kruis BrahMos dan pesawat pejuang Rafale.

Selain itu, kehadiran secara tiba-tiba pesawat pengangkut tentera Mesir di Pakistan juga telah mencetuskan spekulasi terutamanya di negara “musuh tradisinya” iaitu India bahawa serangan peluru berpandu New Delhi telah menyebabkan “kerosakan” terhadap kemudahan penyimpanan senjata nuklear milik Pakistan yang ditempatkan di beberapa pangkalan udaranya.

Walaupun pihak berkuasa India dan Pakistan tidak mengesahkan dakwaan ini, spekulasi mengenainya terus tersebar meluas, dengan perbincangan di media-media sosial mengaitkan ketibaan pesawat itu dengan kemungkinan misi berkaitan keselamatan nuklear.

Namun apa yang menarik perhatian pemerhati adalah penerbangan pesawat pengangkut Tentera Mesir itu berlaku tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Mesir atau China terutamanya berhubung muatan di bawa pesawat tersebut.

Pemerhati mengaitkan insiden ini dengan hubungan ketenteraan yang semakin erat antara Mesir dan China, yang turut diserlahkan menerusi latihan ketenteraan bersama baru-baru ini seperti “Eagles of Civilization 2025”.
FM-90
FM-90
Ilyushin Il-76 merupakan pesawat pengangkut strategik buatan Russia yang digunakan secara meluas oleh pelbagai angkatan tentera di seluruh dunia, termasuk Tentera Udara Mesir.
Pesawat ini dibangunkan oleh Biro Rekaan Ilyushin dan pertama kali diperkenalkan pada awal 1970-an sebagai pesawat kargo berat untuk Tentera Udara Soviet.

Tentera Udara Mesir memiliki beberapa buah Il-76 yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk penghantaran logistik, misi bantuan kemanusiaan, serta pemindahan pasukan dan peralatan berat ke kawasan operasi.

Il-76 mampu membawa muatan sehingga 50 tan, termasuk kenderaan tentera, sistem persenjataan, serta bekalan kritikal ke kawasan yang sukar diakses.

Pesawat ini juga mempunyai keupayaan untuk mendarat di landasan yang tidak berturap atau kasar, menjadikannya amat berguna dalam operasi ketenteraan di medan yang mencabar.
IL-76
Il-76
Selain itu, varian khas Il-76 juga boleh digunakan untuk tugas-tugas seperti pengisian bahan api udara, amaran awal udara (AWACS), dan misi perubatan aeroangkasa.

Dengan gabungan keupayaan jarak jauh, muatan besar dan ketahanan operasi dalam pelbagai cuaca, Ilyushin Il-76 kekal sebagai aset penting dalam keupayaan mobiliti strategik Tentera Udara Mesir.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Mayat lelaki tergantung dan berulat di Jalan Sultan Ismail

HARRITH HISHAM

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemukan berulat dan tergantung di kawasan hutan berhadapan Hard Rock Cafe, Jalan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat terbabit, pukul 3.44 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan hutan kecil dan berbukit.

“Mayat mangsa telah berulat dalam keadaan leher tergantung menggunakan wayar hitam di dahan pokok di dalam semak dekat Jalan Sultan Ismail.

“Mangsa ditemukan memakai baju berwarna kelabu, berseluar pendek warna biru cerah, bertali pinggang dan memakai selipar warna biru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setakat ini siasatan mendapati hanya terdapat kesan kecederaan pada leher mangsa iaitu kesan tali.

“Identiti dan usia mangsa belum dikenal pasti dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang dokumen,” ujarnya.

Katanya, mayat lelaki itu telah diserahkan kepada unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tujuan bedah siasat yang dijangka dijalankan esok.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sarjan tentera disyaki cabul pelajar MRSM

Reza A Hamid
Tentera berpangkat sarjan direman tujuh oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari kerana disyaki mencabul seorang pelajar MRSM, minggu lalu.
MELAKA – Seorang tentera berpangkat sarjan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini kerana disyaki mencabul seorang pelajar sekolah berasrama penuh, minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perintah reman terhadap pegawai tentera berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee bermula hari ini sehingga 20 Mei ini.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar
Sementara itu menurut sumber, kejadian terbongkar pada Ahad lalu ketika pengadu, iaitu ibu pelajar berkenaan surirumah berusia 33 tahun sedang berehat di rumahnya di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru.

“Ketika memeriksa telefon bimbit anak sulungnya berusia 13 tahun, pengadu terlihat perbualannya dengan suspek sebelum bertanyakan perkara berkenaan kepada mangsa.

“Remaja berkenaan kemudian mengaku menyimpan nombor telefon jirannya itu dan telah keluar beberapa kali sehingga suspek bertindak memegang paha dan badan mangsa semasa berada di dalam kereta suspek di kawasan sekitar pekan Alor Gajah.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru semalam dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya hasil siasatan polis mendapati, suami pengadu juga bekerja sebagai tentera berpangkat koperal di Kem Terendak dan mangsa adalah pelajar Tingkatan 1 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka.

Sumber berkata, mangsa kerap berhubung dengan suspek melalui WhatsApp sehinggalah pada 4 Mei lalu pegawai tentera itu telah mengambil pelajar berkenaan di asrama pada jam 11 pagi kerana dibenarkan keluar.

“Suspek kemudian membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum mencabulnya di dalam kereta suspek dengan cara meraba payudara dan kemaluan mangsa beberapa kali.

“Lelaki itu kemudian membawa mangsa ke restoran dan menghantarnya pulang ke asrama selepas itu,” katanya.

Menurutnya susulan itu, suspek telah ditahan di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, kira-kira jam 6.30 petang semalam. – MalaysiaGazette

Lelaki yang mencuri pakaian dalam wanita dicekup polis

ASLIZA MUSA
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki mencuri pakaian dalam di hadapan sebuah rumah di Menglembu, Ipoh semalam.
IPOH – Polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun selepas disyaki mencuri pakaian dalam wanita yang disidai di ampaian sebuah rumah di kawasan Menglembu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan yang dilakukan pada pukul 11 pagi itu dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita berhubung kejadian itu semalam.

Katanya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) milik pengadu berusia 45 tahun itu, suspek yang menunggang motosikal dilihat telah mengambil beberapa helai pakaian dalam yang disidai berhampiran pagar.

“Semakan mendapati lelaki warga tempatan itu tidak memiliki rekod jenayah lampau. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk permohonan reman esok.

“Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berhenti di hadapan sebuah rumah sebelum bertindak mengambil beberapa helai pakaian dalam yang disidai di ampaian di hadapan pagar rumah. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Adik mengaku tak salah tikam abang guna tulang ekor pari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menikam abangnya menggunakan tulang ekor pari di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, Bachok.

Harian Metro melaporkan Mohd Izwan Sukarnor, 36, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abllah.

Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menikam Mohd Fakhran, 40, menggunakan tulang ekor pari di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, Bachok pada 9.30 pagi 1 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan, serta dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jun ini.

PAS Terengganu berserah sedia disiasat

‘Apa lagi kami boleh kata’, PAS Terengganu sedia disiasat
Faiz Zainudin

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Hanafiah Mat ulas desakan pihak yang mahu tindakan tegas dikenakan susulan kontroversi Jalur Gemilang silap.

PAS sudah membuat permohonan maaf dan mengeluarkan versi baharu logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2025.
PETALING JAYA: PAS Terengganu terbuka jika pihak berkuasa ingin meneruskan siasatan berhubung kesilapan memaparkan imej Jalur Gemilang.

Penolong Setiausaha, Hanafiah Mat, berkata pihaknya juga tidak boleh menghalang pihak masih tidak berpuas hati yang berterusan mendesak siasatan dijalankan walaupun permohonan maaf sudah dibuat.

“Kami sudah mengaku kesilapan, pihak urus setia program juga sudah minta maaf dan segera membetulkan kesilapan itu. Apa lagi kami boleh katakan…itu sahaja kami boleh jelaskan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

Sekretariat program memaklumkan, pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.

Semalam, pemimpin parti kerajaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap PAS Terengganu susulan kontroversi itu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata walaupun permohonan maaf dibuat, ia tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina mahupun disalah guna.

Neow mengingatkan tentang respons PAS terhadap kontroversi berkait penerbitan Jalur Gemilang silap sebelum ini dan menegaskan tindakan harus diambil ‘tanpa pilih kasih’.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, pula meminta Ahli Parlimen menggubal undang-undang mengenai perkara itu supaya tindakan lebih keras boleh digunakan.

Sementara itu, Hanafiah yang juga Adun Cukai berkata beliau akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat mingguan PAS Terengganu termasuk membincangkan setiap pandangan dibangkitkan pelbagai pihak susulan kontroversi berkenaan.

Sebelum ini, selain Kementerian Pendidikan dan Sin Chew Daily, akhbar Kwong Wah Yit Poh dan vendor pameran dari Singapura turut dilaporkan memaparkan imej Jalur Gemilang silap, mendorong pelbagai pihak termasuk PAS menuntut tindakan tegas diambil.

‘Kantoi’ dua penceramah jemputan kuliah di masjid rupanya pemimpin Pas Perak

Harapandaily

Dua penceramah jemputan bagi pengajian kuliah bulanan di sebuah masjid di Kuala Kangsar rupa-rupanya merupakan pemimpin Pas Perak.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hari ini.
Beliau berkata, semakan daripada aduan seorang jemaah masjid tersebut mendapati kedua-dua pemimpin Pas berkenaan tiada tauliah mengajar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Kedua-dua penceramah tersebut memegang jawatan utama dalam Badan Perhubungan Pas Perak.

“Saya telah hantar aduan kepada beberapa pegawai kanan kerajaan untuk diambil tindakan sewajarnya,” kata Hasnul.

Semakan mendapati dua penceramah terbabit adalah Fairuz Hafizh Othman dan Ibrahim Zakaria masing-masing merupakan Setiausaha dan Ketua Dewan Ulama Pas Perak sesi 2023 hingga 2025.

Mengulas lanjut, Hasnul berpendapat pihak berkuasa agama negeri sukar mengawal masalah penceramah jemputan tanpa tauliah mengajar jika sebahagian besar ahli jawatankuasa masjid dikuasai ahli-ahli Pas.

“Mereka ini akan mengawal pengurusan masjid terutamanya Biro Pengajian dengan menjemput ustaz-ustaz Pas yang tiada tauliah Jabatan Mufti.

“Hal ini jelas melanggari arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mengingkari titah Tuanku Sultan,” tegas Hasnul lagi.