"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Komposer Ross Ariffin meninggal dunia

KOSMO!

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi berkongsi rasa dukacita di atas pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi.

Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam satu hantaran di laman X berkata, berita tersebut disampaikan oleh pihak Rumah Seri Kenangan Cheras yang menjadi tempat tinggal Allahyarham sejak November tahun lalu.

“Uncle Ross merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan.

“Saya telah beberapa kali menemui Allahyarham. Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni,” katanya di sini, tadi.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca kematian komposer tersebut.

Selain itu, Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Tahun lalu, kisah menyayat hati pemuzik dan komposer terkenal, Ross Ariffin atau nama sebenarnya, Roslan Ariffin Jamil, 63, mendapat perhatian ramai apabila dikatakan telah menjadi gelandangan sejak lebih tiga tahun lalu.

Allahyarham kemudian berjaya keluar daripada status gelandangan apabila menerima kediaman projek perumahan rakyat (PPR) Muhibbah di ibu kota daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ross yang merupakan anak kelahiran Melaka telah menggubah banyak lagu popular serta lagunya juga dinyanyikan barisan penyanyi tanah air terkenal.

Antara lagu popular gubahannya ialah Dia, nyanyian Fauziah Latiff (lirik oleh Amran Omar), Kau dan Aku untuk Ning Baizura (lirik oleh Ning Baizura), Kurniaan Dalam Samaran dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza (lirik oleh S. Amin Shahab) dan Semalam Ku Tolak Ke Tepi nyanyian Liza Aziz (lirik oleh Datuk Habsah Hassan). – KOSMO! ONLINE

Askar hisap vape dalam bas

KOSMO!

SINGAPURA – Seorang lelaki ditahan oleh Angkatan Tentera Singapura (SAF) selepas didakwa menggunakan vape di dalam sebuah bas awam, lapor portal AsiaOne hari ini.

Difahamkan oleh saluran berita AsiaOne bahawa lelaki tersebut telah dibebaskan.

Rakaman video kejadian yang dikongsi oleh SGFollowsAll baru-baru ini menjadi tular di media sosial.

Ia memaparkan individu berkenaan berpakaian seragam tentera menghisap alat berwarna merah jambu, dipercayai e-vape atau rokok elektronik.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan kepada AsiaOne memaklumkan bahawa lelaki tersebut telah dikenal pasti dan telah diletakkan dalam tahanan SAF bagi membantu siasatan.

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga SGD$1,000 (RM3,317) atau ditahan sekiranya alat tersebut mengandungi dadah terkawal.

“Anggota perkhidmatan digalakkan untuk berbincang dengan komander atau pegawai perubatan mereka sekiranya memerlukan bantuan,” kata Mindef. – AGENSI

3 murid Pasti dan guru cedera bas rempuh pokok

HARRITH HISHAM
Keadaan bas yang dinaiki 30 murid Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam selepas merempuh sebuah pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM, Serdang, hari ini.
SERDANG – Seramai 30 murid Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang serta lima orang guru berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah pokok di Jalan Persiaran Universiti 1 Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah hari itu, seorang guru dan tiga murid mengalami cedera ringan pada bahagian kepala akibat terhantuk.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika kejadian, bas tersebut dalam perjalanan dari kilang coklat Beryl’s menuju ke G2G Animal Garden di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

“Hasil siasatan awal mendapati bas dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dalam keadaan bergerak lurus telah hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri sebelum melanggar pokok.

“Akibat kejadian, seorang guru dan tiga murid mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, tiga kanak-kanak yang cedera telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar manakala guru pengiring menerima beberapa jahitan di kepala.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-80742222 atau mana-mana bali polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Aligator larikan kasut wanita selepas kena baling

KOSMO!
ALIGATOR tersebut menggigit kasut yang dilempar ke arahnya. - Storyful
TALLAHASSEE, FLORIDA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan seekor aligator melarikan kasut seorang wanita, lapor portal berita MailOnline.

Rakaman video itu dimuat naik di platform TikTok oleh seorang wanita bernama Sarah Louise Martin.

Dalam video tersebut, Sarah merakam gerak-geri reptilia itu yang menghendap sekawan rusa di tepi sebuah tasik di bandar Kissimmee, negeri Florida, baru-baru ini. 

Ketika aligator itu merangkak perlahan-lahan ke arah kawanan rusa tersebut, seorang wanita lain muncul dari tepi belukar lalu membaling kedua-dua kasutnya ke arah reptilia itu.

Ia membuatkan aligator tersebut berpatah balik ke arah tasik sebelum haiwan itu sekali lagi dilempar dengan kasut.

Kali ini, reptilia itu menggigit kasut tersebut lalu melarikan diri ke dalam tasik.

“Ambil dan gigit! Bawa lari kasut itu. Itu hukumannya ke­rana membaling kasut,” kata Sarah dalam klip video tersebut. – AGENSI 

Restoran guna wanita Sri Lanka jadi daya tarikan, 11 ditahan

Buletin TV3 
Antara wanita warga Sri Lanka yang ditahan pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah restoran dan bar di Petaling Jaya, semalam. Foto JIM
Antara wanita warga Sri Lanka yang ditahan pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah restoran dan bar di Petaling Jaya, semalam. Foto JIM
PETALING JAYA: Sebuah restoran dan bar di sini, yang menyediakan wanita warga Sri Lanka sebagai pelayan pelanggan untuk menarik lelaki hidung belang, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Serbuan dijalankan pasukan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLAserta PASTAK dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya itu membawa kepada penahanan 11 individu termasuk sembilan wanita berusia 20 hingga 33 tahun.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi membabitkan kekuatan 40 pegawai dan anggota dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu.

"Semasa serbuan, warga asing yang berada di premis berkenaan cuba melarikan diri dengan bersembunyi di tingkat atas bagi mengelak ditangkap, namun seramai 20 orang termasuk lapan tempatan diperiksa.

"Hasil pemeriksaan itu, 11 individu terdiri daripada sembilan wanita warga Sri Lanka yang bekerja sebagai pelayan dan dua lelaki warganegara sama yang turut bekerja di premis berkenaan ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, semakan dan penilaian awal mendapati tiada elemen eksploitasi mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 terhadap kesemua wanita itu.

Menurutnya, soal siasat mendapati mereka bekerja di premis berkenaan hampir setahun lalu dengan bayaran gaji sekitar RM2,000 sebulan.
Foto JIM
Katanya, mereka turut mendakwa pasport dipegang oleh majikan sebelum dibenarkan bekerja di premis itu.

"Modus operandi premis adalah mengambil wanita warga Sri Lanka untuk dijadikan pelayan bagi menghiburkan pelanggan.

"Premis juga pernah beberapa kali diserbu dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, namun masih terus beroperasi," katanya.

Katanya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.

Tak tahan bunyi tangis, ibu bapa angkat disyaki dera bayi sampai maut

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tidak tahan mendengar tangisan tanpa henti disyaki motif ibu bapa angkat mendera bayi perempuan tujuh bulan sehingga retak tengkorak sebelum disahkan maut.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata motif tersebut diperoleh hasil soal siasat ke atas pasangan suami isteri berkenaan.

Beliau berkata, hasil bedah siasat turut mendapati ada beberapa kecederaan pada keseluruhan badan mangsa terutama pada bahagian kepala iaitu retak tengkorak.

Katanya, kematian mangsa berpunca daripada penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan lalu.

“(Kejadian) berpunca apabila mangsa dipercayai menangis tidak henti membuatkan ibu angkat berasa tertekan lalu menganiaya mangsa,” katanya kepada Kosmo.

Menurut laporan itu, suspek lelaki berusia 50 bekerja sebagai jurujual, manakala isterinya, 38, suri rumah.

Dilaporkan sebelum ini, pasangan suami isteri direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan itu yang ibu kandungnya berasal dari Indonesia, di sebuah kondominium di Cheras.

Bayi itu dipercayai diserahkan kepada suspek sejak 18 Jun lalu, sebelum ibu kandungnya pulang ke negara asal.

Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa angkat bayi itu kira-kira 9.34 malam, 30 Julai lalu.

Lelaki itu memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tanpa sebab diketahui. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Sultan Pahang: Tinggalkan Pahang jika ada niat ceroboh

Bernama

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah akan terus bersuara mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini sehingga kegiatan itu dihentikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, baginda bertitah usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penyaluran maklumat daripada rakyat dan gerak kerja pejabat daerah dan tanah serta Jabatan Perhutanan Negeri.

“Saya akan bersuara apabila ada pencerobohan bukan sahaja di Raub dan Cameron Highlands, malah seluruh daerah di Pahang, tetapi saya tak mampu buat sendiri, harap rakyat beri maklumat kepada pejabat saya dan kerajaan…kalau mereka tidak beri maklumat mungkin susah nak awasi,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam temu bual khas dengan Bernama di Istana Abdulaziz, baru-baru ini, sempena Hari Keputeraan baginda ke-66.

Baginda bertitah, isu itu yang mendapat liputan meluas serta menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, telah menimbulkan kesedaran atau ‘wake-up call’ dalam kalangan pihak berkepentingan serta penduduk di negeri ini.

“Apabila isu ini berlaku, setakat ini apa yang saya dapat lihat ada kesedaran daripada semua pihak antaranya rakyat dan pentadbir khusus pada peringkat daerah.

“Banyak juga maklumat datang ke pejabat saya yang kemudian telah disalurkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah negara ini khususnya Pahang bukan tempat untuk mana-mana pihak melakukan pencerobohan tanah sewenang-wenangnya.

“Hentikan segera amalan menceroboh tanah, lombong dan balak ini…lebih penting saya harap mereka yang ada niat nak menceroboh, eloklah tinggalkan Pahang, pergi luar dari Malaysia. Ini kerana undang-undang akan ‘menyusahkan’ mereka dan keluarga kelak,” tegas baginda.

Baginda sebelum ini turut menzahirkan rasa dukacita selepas disembah maklum terdapat kira-kira 10,521 hektar tanah di Raub diceroboh sejak sekian lama.

Sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan juga dilaporkan diteroka secara tidak sah dan diusahakan dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi, selain seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) turut diceroboh.

Kesungguhan Al-Sultan Abdullah untuk membanteras kegiatan berkenaan turut terzahir dengan mencemar duli turun padang dan memandu sendiri pacuan empat roda untuk melihat kesan pencerobohan di Raub pada 8 Mei lalu.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan hasrat untuk memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai program terutamanya yang melibatkan belia.

Baginda bertitah golongan muda perlu berusaha meningkatkan kualiti hidup dengan menyertai IKS bagi mengetengahkan pelbagai produk di negeri ini.

“Saya pun cadang nak jumpa exco berkaitan untuk bincang supaya kita adakan program yang boleh majukan IKS secara total. Saya harap kita dapat utamakan IKS ini…buatlah sekecil mana pun (perniagaan), tetapi biarlah mampan,” titah baginda.

13 Ringkasan mudah faham apa yang diminta AS dan apa yang Malaysia tolak

Harapandaily

ENCIK ISZAM

Ini 13 ringkasan dari sidang media Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

1. Amerika Syarikat minta 11,000 produknya diturunkan cukai ke 0%; tapi Malaysia hanya setuju 61% produk sahaja. Selebihnya kerajaan akan kenakan duti import etc. Final list kemudian.

2. AS kenakan 0% tariff untuk semikonduktor, farma dari Malaysia. Kemungkinan juga minyak sawit, getah dan koko. Selainnya AS akan kenakan tarif 19% (sama seperti Thailand, Filipina, Indonesia). Keputusan akhir dari AS pada Disember 2025.

3. Halal AS akan ikut standard syariah Halal Jakim.

4. Malaysia tolak permintaan AS hapus cukai kereta dari AS. (Malaysia kekal kenakan duti import 30% dan tambahan eksais duti 60%-105%.)

5. Malaysia tolak permintaan AS untuk hapus  lesen import untuk produk dari America.

6. Malaysia tolak permintaan AS untuk hapus dasar bumiputera.

7. Malaysia tolak permintaan AS untuk 100% pemilikan saham asing dalam sektor strategik.

8. Malaysia tolak permintaan AS untuk syarikat Amerika masuk dalam perolehan kerajaan.

9. Malaysia setuju enforce NPCO (certificate of origin) untuk elak barang luar dilabel sebagai barang dari Malaysia sebelum dieksport ke AS.

10. Malaysia setuju AI Chip control, standard ke atas pekerja dan persekitaran.

11. Malaysia melalui Malaysia Aviation Group (MAG) setuju beli 30 Boeing (Fasa pertama – 7 bulan lepas pada Jan 2025) + potensi beli lagi 30 Boeing (jika perlu)

12. Tiada perjanjian yang membenarkan AS dapat akses kepada produk nadir bumi dari Malaysia

13. Akan ada kenyataan bersama antara Malaysia & AS 2 atau 3 Ogos 2025.

Bekas presiden MCA, Dr Chua Soi Lek berkata MCA patut keluar BN

'MCA patut keluar BN jika penyandang kekal tandingi kerusi PRU'

Lee Way Loon

Ketika MCA sedang menimbangkan untuk keluar daripada BN, bekas presiden MCA, Dr Chua Soi Lek berkata langkah itu wajar — jika gabungan itu terus berpegang pada peraturan yang hanya membenarkan parti penyandang bertanding di kerusi yang mereka menangi pada pilihan raya umum akan datang.

Chua pernah mencadangkan agar MCA keluar daripada BN selepas prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum 2018.

Katanya, walaupun dia masih berpendapat langkah itu tepat, jika MCA mahu keluar dari BN pada masa sekarang maka parti tersebut juga perlu memberikan alasan yang munasabah kepada rakyat.

“Kita sudah terlalu lama dalam BN. Kalau kita nak keluar, kita perlu ada alasan yang rakyat boleh terima. Tak boleh sekadar jadi hero palsu — tak ada maknanya. Sebab akhirnya, politik ini tentang satu perkara: rakyat dan undi mereka.

“Kalau nak tanya saya, saya akan cakap terus terang — kalau BN terus dengan peraturan bahawa mana-mana parti komponen yang kalah dua kali di kerusi sama tidak lagi dibenarkan bertanding atas tiket BN, maka sudah sampai masa untuk MCA ucapkan ‘selamat tinggal’,” katanya.

Bekas menteri berusia 78 tahun itu bercakap pada satu temu bual podcast berbahasa Cina bersama Malaysiakini yang membincangkan hala tuju masa depan MCA.

Podcast tersebut dimuat naik semalam di YouTube, Spotify, dan Apple Podcasts.

Chua berkata dengan peraturan agihan kerusi BN itu maka MCA mungkin hanya tinggal dua kerusi parlimen dan beberapa kerusi DUN untuk ditandingi.

“Itu cuma pandangan saya. Saya tak tahu apa keputusan pimpinan parti nanti. (Tapi kalau betul ia jadi begitu,) maka sudah tiba masanya, kita patut kata ‘terima kasih, dan selamat tinggal’,” tambahnya.

Namun begitu, dia tidak menolak kemungkinan MCA kekal dalam BN untuk bertanding di kerusi yang disandang ketika ini, sambil juga meletakkan calon di kawasan boleh menang di bawah logo parti sendiri.

Perdebatan dalaman makin hangat

Kebelakangan ini, bahagian-bahagian MCA di seluruh negara sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan perwakilan dan banyak daripadanya meluluskan usul menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.

Sesetengah bahagian juga menyokong gesaan agar MCA keluar daripada kerajaan Madani, bertanding secara solo dalam PRU akan datang dan meninggalkan BN sepenuhnya.

Pada 30 Jun lalu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon (gambar bawah) berkata kepimpinan pusat akan meneliti semua usul peringkat bahagian sebelum memutuskan hala tuju parti, yang berkemungkinan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pusat (AGM) pada 2 November.

Dalam podcast itu, Chua berseloroh dia kini hanya “ahli biasa” dan tidak tahu apa keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan pada bulan November.

Namun menurutnya, masa elemen penting dalam politik dan MCA tidak semestinya perlu menunggu AGM untuk membuat keputusan.

“Politik ini semua tentang masa — sama macam bila nak ajak seorang gadis keluar. Takkan nak ajak dia makan malam masa banjir atau ribut petir. Itu bukan masa yang sesuai. Politik pun sama juga,” katanya dengan nada jenaka khasnya.

Chua turut berkata pilihan raya negeri Sabah yang akan datang tidak wajar dijadikan penanda aras untuk menentukan jika MCA patut keluar BN, kerana pengaruh parti itu sangat lemah di negeri berkenaan.

“Kawan-kawan parti saya di Sabah mungkin akan marah saya cakap macam ni, tapi itulah hakikatnya,” katanya.

Dia mengakui MCA perlu berdepan dengan realiti politik — bahawa parti itu kini hanya mempunyai dua ahli parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri, sekali gus menjadikannya lemah dari segi kuasa tawar-menawar.

Sindiran terhadap Liow

Mengimbas masa lalu, Chua mengenang bagaimana MCA pernah meluluskan satu resolusi untuk tidak menerima jawatan dalam kabinet sekiranya prestasi buruk dalam PRU13.

“Resolusi itu diluluskan sebulat suara, dua kali. Tapi selepas kita tak capai keputusan baik dalam pilihan raya, presiden ketika itu, Liow Tiong Lai, terus ubah keputusan dan masuk kabinet.

“Dia kata tak masuk kabinet adalah satu kesilapan dan menyalahkan prestasi buruk itu atas saya atau sebab lain. Jadi mereka tetap masuk kabinet.

“Pada 2018, ketika skandal 1MDB sedang memuncak, saya secara terbuka kata sudah tiba masanya MCA keluar dari BN. Tapi sekali lagi, presiden yang sama tidak ada keberanian untuk melakukannya,” katanya.

Chua percaya sekiranya MCA berpegang teguh kepada resolusi “tiada jawatan kabinet” atau keluar dari BN selepas PRU14, parti itu mungkin tidak akan dipersalahkan seteruk sekarang atas kaitan dengan skandal 1MDB.

Namun katanya, pada hari ini, sama ada MCA keluar dari BN atau tidak bukanlah cabaran terbesar parti itu.

Sebaliknya, katanya, MCA perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerja akar umbi di kawasan yang berpotensi untuk menang — dengan menumpukan masa, sumber dan tenaga di situ, termasuk mengenal pasti calon-calon berpotensi yang kuat.

Tiga warga Bangladesh termasuk pemandu yang memandu tanpa lesen terbunuh apabila MPV dipandu terbabas

MPV terbabas, tiga lelaki Bangladesh terbunuh

Fazli Ahmad
am@hmetro.com.my
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO IPD KUANTAN
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO IPD KUANTAN
Kuantan: Tiga lelaki warga Bangladesh terbunuh dan dua cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Kilometer 200.8, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, dekat Gambang, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati nahas 7.30 malam itu dipercayai kerana kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuh raya.

Menurutnya, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Akibat nahas itu, tiga mangsa terbunuh di tempat kejadian dan dua cedera.

"Siasatan juga mendapati pemandu MPV terbabit tidak mempunyai lesen memandu, serta cukai jalan kenderaan terbabit sudah tamat tempoh sejak Mei 2025." katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mangsa terbunuh, pemandu MPV terbabit, Md Sabber Hasan, 30, dan penumpang Md Jahid Hasan, 21, dan seorang lagi hanya dikenali Abdullah, 24.

Mangsa tercedera ialah Md Habib Bissas, 45, dan Maniram Chandra Bas, 40.

Mangsa cedera sedang dirawat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, dan tiga mayat nahas itu dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

Mohd Adli berkata, siasatan lanjut mengenai punca nahas sedang dilakukan termasuk mendapat keterangan saksi kejadian dan mengesan majikan semua warga Bangladesh terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Rafizi: PKR perlu ofensif untuk menang PRU16

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Pimpinan baharu PKR perlu mengambil strategi politik lebih agresif jika ingin memastikan kemenangan parti dalam PRU16, kata bekas timbalan presiden Rafizi Ramli.

Beliau berkata, dua perkara utama perlu diberi tumpuan antaranya ofensif menonjolkan kehebatan kerajaan yang menggamit jiwa rakyat, serta menyerang pentadbiran atau skandal melibatkan pemimpin pembangkang.

“Ofensif itu penting…satunya dari segi kehebatan kerajaan yang tak boleh dinafikan lagi. Kedua, serangan pimpinan PKR terhadap pentadbiran atau skandal melibatkan pemimpin pembangkang untuk menunjukkan mereka lemah.

“Namun, saya tak nampak daripada mana-mana pimpinan PKR yang sedang menuju ke arah dua-dua ini…dan lebih bahaya sekarang, pangkah mentaliti ‘tarik diri’ ke dalam selepas pemilihan,” katanya dalam episod terbaru audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ semalam.

Pada PRU15 lalu Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi yang mana PKR memperoleh 31.

Walaupun ia menandakan penurunan sebanyak 16 kerusi daripada 47 pada PRU14, PKR kekal sebagai parti kedua terbesar dalam gabungan itu menyusuli DAP (40).

Pada 24 Mei lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyeru semua pimpinan dan ahli parti memperkuatkan organisasi, memperluas jaringan dan mempersiapkan diri menghadapi PRU akan datang.

Katanya, PKR bukan sekadar parti politik tetapi suatu wadah gerakan rakyat yang membawa suara perubahan sebenar.

Perdana menteri berkata, PKR harus menjadi benteng yang tegas menolak politik kebencian, fitnah dan perkauman sempit yang hanya memecahbelahkan rakyat dan melemahkan negara.

23 Ahli Majlis istihar hilang kepercayaan terhadap Datuk Bandar Pasir Gudang

Zulhisham Isahak
IMG20250801115059-681x513
Mohd Amin bersama-sama Ahli Majlis menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang, di De Elegance Grand Hotel, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.
PASIR GUDANG – Seramai 23 daripada 24 ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) hari ini mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin.

Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad mendakwa, pendirian itu disebabkan beberapa faktor yang dilihat seakan tidak sehaluan dengan Ahli Majlis terutama dalam membuat keputusan.

“Antara isu tersebut adalah berkaitan kepimpinan yang tidak menghormati peranan Ahli Majlis sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang pentadbiran kerajaan tempatan.

“Ini termasuk tindakan kepimpinan yang didakwa mengambil sesuatu keputusan dengan membelakangkan peranan diri saya sebagai Ketua Whip dan juga Ahli Majlis yang lainl,” katanya dalam sidang media bersama-sama 10 Ahli Majlis di De Elegance Grand Hotel, Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersama-sama Ahli Majlis juga sudah meminta agar satu pertemuan dengan kepimpinan diadakan, namun sehingga kini tiada maklum balas berhubung perkara itu diterima.

“Ini demi memulihkan kembali semangat kerja berpasukan dalam MBPG serta mengembalikan maruah institusi kerajaan tempatan,” katanya.

Mohd Amin berkata, dua Mesyuarat Penuh MBPG yang dijadual berlangsung pada 25 dan 30 Julai lalu juga telah ditunda ke hari ini sekali gus menyukarkan sebarang perbincangan dibuat.

Namun katanya, mereka memboikot mesyuarat berkenaan yang diadakan hari ini yang hanya dihadiri tujuh Ahli Majlis dan disebabkan tidak cukup syarat, mesyuarat berkenaan dibatalkan.

“Keputusan ini bukan dibuat dengan ringan, sebaliknya satu tindakan kolektif yang penuh tanggungjawab demi menuntut pembaharuan dalam cara kepimpinan MBPG yang sedia ada.

“Kami tidak lagi yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar MBPG, Datuk Mustaffa Kamal Samsudin. Kami Ahli Majlis berasa peranan kami tidak diiktiraf oleh Datuk Bandar.

“Ini bukan sahaja mengecewakan, tetapi juga menyukarkan kami untuk menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat di zon masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

‘Influencer’ cantik mati dikelar

KOSMO
TAIPEI – Seorang pesohor media sosial, Irene Gu, 23, ditemukan dengan lehernya dikelar selepas diculik di luar sebuah panggung wayang di Taiwan, lapor sebuah akhbar hari ini. 

Kejadian berlaku ketika dia memandu meninggalkan tempat letak kereta panggung wayang berkenaan di Taipei.

Keretanya tiba-tiba dihalang oleh suspek iaitu teman lelakinya sendiri. 

Menurut laporan, pertengkaran tercetus, dan suspek bernama Liu menarik Irene ke sebuah tangga berdekatan sebelum menggelar leher mangsa.

Selepas kejadian itu, Liu melarikan diri ke rumah datuknya di bahagian lain pulau tersebut tetapi ditangkap polis keesokan harinya.  

Semasa soal siasat, Liu mengaku membunuh Irene kerana ingin mendapatkan semula wang £10,530 (RM63,000) yang didakwa dipinjamkan kepada mangsa.

Irene yang mempunyai 30,000 pengikut di laman Instagram dan Threads, bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PR) sebuah kelab malam di Taipei. 

Liu bekerja di kelab sama sebagai pengawal keselamatan.

Pasangan itu berkenalan ketika Irene mengikuti cadangan ibunya untuk pergi ke kelab malam bagi ‘melihat dunia’.

Dia kemudian meninggalkan kerjaya dalam bidang perbankan untuk bekerja dalam sebagai PR supaya dapat menyesuaikan gaya hidup dan jadual kerja dengan Liu.

Namun, hubungan mereka merosot dan Irene memfailkan aduan penderaan terhadap Liu pada Mei lalu serta memohon perintah perlindungan. 

Walaupun berulang kali dipanggil ke mahkamah, Liu gagal hadir.

Beberapa hari sebelum kematiannya, Irene menyiarkan gambar aduan penderaannya bersama kapsyen: “Kalau kamu pukul saya, saya akan buat laporan polis, kan?”

Dalam hantaran lain, dia menulis: “Ada yang tanya kenapa saya tak sekadar sekat (block) dia? Sebab dia akan cari saya. Dia tanya kawan sekerja sama ada saya ada di tempat kerja dan ganggu mereka. Yang paling penting, saya tak berhutang dengannya!” 

Siasatan kes pembunuhan itu masih berjalan.  – AGENSI 

Kedah: Wanita dilaporkan hilang dikhuatiri lemas, kereta ditemui atas jambatan

Buletin TV3 
Anggota Bomba melakukan pencarian wanita yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di kawasan sungai berhampiran Jambatan Lebuhraya Tekih, Kampung Pinang, Pedu. – Foto NSTP
KUALA NERANG: Seorang wanita dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas berkemungkinan terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Lebuhraya Tekih, Kampung Pinang, Pedu, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.08 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Kuala Nerang tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, seorang wanita berusia 32 tahun dilaporkan hilang dan kereta Perodua Axia dipercayai miliknya ditemui di atas jambatan.

“Pihak Unit Kereta Peronda (MPV) Polis mengesyaki sesuatu dan melakukan pemeriksaan pada kamera papan pemuka (dashcam) kereta mangsa mendapati, mangsa dipercayai melintas bahagian belakang kereta menuju ke penghadang jalan jambatan dan kemudian hilang.

“Pihak berkuasa mengesyaki mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan melakukan pencarian mangsa menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan bantuan sebuah bot aluminium,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

Mohd Aminuddin berkata, operasi ditangguhkan pada jam 7 petang hari ini selepas tiada petunjuk ditemui, setakat ini.

Beliau berkata, operasi akan disambung pagi esok dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM di lokasi pencarian.

Kemalangan maut: Wanita maut, suami cedera kereta bertembung bas

Bernama

Ketua Polis Jempol Norhisham Mustapar berkata bas dipercayai itu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
Keadaan kereta dinaiki mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah bas di KM9 Jalan Bahau-Rompin di Jempol, Negeri Sembilan petang tadi.
SEREMBAN: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah bas dalam kemalangan di KM9 Jalan Bahau-Rompin, Jempol dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Jempol Norhisham Mustapar berkata pada kejadian 3 petang itu, mangsa yang berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Kejadian berlaku ketika bas yang dipandu seorang lelaki berumur 65 tahun bersama lima penumpang dari Rompin menghala ke Bahau dan setibanya di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai termasuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, pemandu kereta berusia 64 tahun bersama isterinya yang datang dari arah hadapan cuba mengelak ke kanan namun gagal dan berlaku pelanggaran di bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu bas dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan, manakala suami mangsa mengalami kecederaan ringan.

Norhisham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.

Sabah: Warisan tanding semua 73 kerusi menjelang PRN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Warisan akan bertanding semua 73 kerusi menjelang PRN Sabah, kata Presiden Shafie Apdal.

Shafie, bekas ketua menteri, berkata Warisan telah kenal pasti calon boleh menang, setia, dan mahu berkhidmat kepada rakyat Sabah.

“Kita bertanding 73 kerusi yang ada dan kita pun sudah mempunyai calon berpotensi. Kita cuma tinggal menunggu pengumuman (tarikh PRN) sahaja lagi,” katanya kepada pemberita di Semporna.

Beliau berkata, penting agar calon itu tidak beralih parti atau berhenti berkhidmat kepada rakyat Sabah selepas mereka dipilih. “Kita tidak mahu esok bila jadi calon, jadi Yang Berhormat, rakyat yang ditinggalkan dan merosakkan parti.”

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tamat pada 11 Nov nanti, melainkan berlaku pembubaran lebih awal bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Pada PRN 2020, Warisan menang 23 daripada 46 kerusi ditandingi. Namun, susulan beberapa siri lompat parti, parti itu kini hanya mempunyai 14 kerusi.

Pada Mac, Shafie menyatakan Warisan akan bertanding solo kerana pakatan mereka adalah ‘bersama rakyat’ dan bukannya dengan parti politik lain.

Pada Ahad, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor mengumumkan gabungan pemerintah Sabah dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk pakatan. Beliau berkata, formula asas mengenai pengagihan kerusi sudah dipersetujui, manakala beberapa ‘perkara kecil’ masih perlu dimuktamadkan.

Namun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi dalam reaksinya menyatakan pakatan BN ‘sudah mengunci’ kerjasama dengan PH, selaras persetujuan dicapai di peringkat nasional.

Kenyataan beliau dilihat petunjuk BN-GRS berkemungkinan akan bertembung pada PRN.

Sebelum ini, Umno Sabah dan GRS merupakan sekutu dalam kerajaan negeri selepas pilihan raya 2020, namun Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin gagal dalam percubaan menyingkirkan Hajiji pada Januari 2023 menerusi penarikan sokongan.

Hajiji kekal menjadi ketua menteri dengan dukungan PH, yang mana parti itu sebahagian kerajaan memerintah Sabah, manakala Umno dan Warisan berada di blok pembangkang.

Macam mana Farhash boleh dapat Datuk Seri, Sim terima JP? - Zaid Ibrahim

Malaysiakini 

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menyoal bagaimana kerajaan negeri menganugerahkan darjah kebesaran dan gelaran kehormat.

Ia selepas bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri yang membawa gelaran “Datuk Seri” daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ramli Ngah Talib, minggu lalu.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif - syarikat milik kerajaan negeri - Sabah Mineral Management Sdn Bhd Natasha Sim Nuo pula menerima Jaksa Pendamai (JP) oleh Yang DiPertua Negeri Sabah Musa Aman pada Jun lalu.

Farhash dan Sim sebelum ini dikaitkan dalam skandal lesen perlombongan di Sabah.

“Tidak mengejutkan apabila orang ramai terpinga-pinga. Dalam sebuah negara di mana rakyat biasa berdepan pelbagai kesusahan dan keyakinan terhadap institusi awam semakin merosot, penganugerahan seperti ini menimbulkan persoalan besar.

“Apakah anugerah negeri benar-benar berasaskan kepada merit dan khidmat bakti, atau semata-mata bergantung kepada kedudukan dan hubungan dengan kuasa serta keistimewaan?

“Adakah terdapat kriteria yang jelas dan diumumkan secara terbuka bagi memilih penerima – terutamanya mereka yang terlibat dalam kontroversi semasa?

“Jika anugerah itu dibuat atas syor kerajaan negeri, tidakkah sepatutnya rakyat dimaklumkan apakah sumbangan khusus yang melayakkan mereka menerima pengiktirafan sebegini,” soalnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X.

Reformasi proses beri anugerah

Zaid berkata penganugerahan darjah kebesaran bukanlah satu tindakan peribadi.

Katanya, pemberian gelaran seperti itu membawa makna pengiktirafan rasmi daripada pihak negeri dan secara tidak langsung mewakili rakyat.

“Apabila individu yang dikaitkan dengan skandal menerima anugerah sebegini tanpa sebarang penjelasan, ia merendahkan nilai sebenar gelaran kehormat dan mencemarkan penghormatan terhadap mereka yang benar-benar menerimanya atas dasar khidmat dan pengorbanan.

“Jika gelaran itu diberikan semata-mata atas budi bicara Yang di-Pertua Negeri tanpa proses semakan atau alasan yang kukuh, mungkin sudah sampai masanya untuk kita reformasi keseluruhan proses ini.

“Darjah kebesaran negeri sepatutnya menjadi urusan kepercayaan awam, bukannya ganjaran peribadi,” tambah Zaid.

Tiga lelaki ditahan, disyaki lakukan hubungan sejenis

Tiga lelaki ditahan, disyaki lakukan hubungan sejenis
01 Ogos 2025, 8:42pm
204
Shares
Buletin TV3 

MELAKA: Perbuatan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam hubungan sejenis dan seks berkumpulan terbongkar selepas dicekup di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama polis, semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 21, 24 dan 26 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas JAIM menerima aduan disertakan bukti bergambar dan rakaman video yang menunjukkan perlakuan mereka.

Menurutnya, perbuatan terbabit jelas melanggar hukum syarak dan mencerminkan gaya hidup songsang yang semakin menular diadaptasi daripada budaya Barat.

“Mengambil pengajaran kisah umat terdahulu Allah melaknat kaum Nabi Luth yang juga pelaku pertama perlakuan homoseksual dalam kalangan lelaki dan wanita.

“Budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah memberi kesan terhadap kesihatan awam, selari dengan data Jabatan Kesihatan Negeri Melaka yang menunjukkan peningkatan kes jangkitan penyakit bawaan hubungan seksual (STD) seperti HIV, AIDS, Chancroid, Gonorrhea dan Sifilis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmad berkata, ketiga-tiga individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56 (liwat), Seksyen 57 (percubaan liwat) dan Seksyen 58 (hubungan jenis luar tabii) di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

“Semua telefon bimbit milik suspek juga disita oleh penguat kuasa agama untuk dijadikan barang kes,” katanya.

Lagi kes kanak-kanak jatuh bangunan: Budak 4 tahun maut jatuh tingkat 8

Bernama

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat lapan sebuah flat di Pelabuhan Klang, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Klang Selatan Kamalariffin Aman Shah berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan kecemasan kira-kira pukul 8 pagi tadi yang melaporkan terdapat kanak-kanak terjatuh dari bangunan terbabit.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika bapa kanak-kanak berkenaan berada di tempat kerja manakala ibunya keluar dari rumah untuk menghantar anak keduanya ke rumah pengasuh.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak warga tempatan itu dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat lapan flat itu.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan kecemasan, namun telah disahkan meninggal dunia semasa rawatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Kamalariffin berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 untuk membantu siasatan.

Kedah: Penganggur dihukum gantung, bunuh budak 3 tahun

FMT Reporters

Ramlan Abdul Rashid secara berpanjangan mendera si mati di bawah jagaannya dan membuang mayatnya di hutan.
Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati tertuduh tidak ada perikemanusiaan hingga sanggup buang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Penganggur dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar kerana mendera dan membunuh kanak-kanak perempuan tiga tahun dengan mayatnya dibuang di hutan berhampiran Gunung Raya, Langkawi.

Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 44, didapati bersalah oleh Hakim Evawani Farisyta Mohammad kerana membunuh mangsa antara 9 pagi dan 10 pagi, 23 Feb 2019, di kuarters Hospital Langkawi.

Hakim berkata, tertuduh bertanggungjawab atas kematian kanak-kanak itu termasuk sejarah penderaan fizikal dengan memberinya makanan bercampur cili, selain menjadi orang terakhir dilihat bersamanya.

Katanya, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keseluruhan kes.

“Walaupun pakar patologi forensik tidak dapat menentukan punca kematian mangsa kerana hanya tengkorak dan dua batang gigi yang ditemui, bukti keadaan yang dikemukakan di mahkamah adalah kukuh dan jelas menunjukkan tertuduh orang terakhir bersama mangsa sebelum ditemui meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

Evawani berkata, mahkamah meneliti keseluruhan fakta kes terutamanya mangsa adalah seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa diletakkan dalam jagaan tertuduh.

“Mahkamah turut berpuas hati, kematian mangsa akibat kecederaan kerana dipukul dan didera oleh tertuduh secara berpanjangan. Tertuduh juga tidak mempunyai perikemanusiaan hingga sanggup membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi tanpa diuruskan secara sepatutnya berdasarkan tuntutan agama.”

Katanya, keterangan ikut keadaan yang dikemukakan di mahkamah melimpah ruah dan jelas menunjukkan tindakan sengaja tertuduh terhadap kanak-kanak itu sehingga membawa maut.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditinggalkan dalam jagaan tertuduh oleh ibunya yang juga saksi pendakwaan ke-24 (SP24) yang berulang-alik bekerja di sebuah kedai makan dalam jagaan tertuduh selama dua bulan.

Ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menemukan anak perempuannya ketika melawat rumah tertuduh pada Februari 2019.

Tertuduh memberi alasan mangsa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga, namun enggan memberitahu siapa atau di mana anaknya menetap.

Ketika soal siasat polis, tertuduh memandu arah anggota polis dan pakar forensik ke kawasan hutan di Gunung Raya sebelum menemukan tengkorak serta dua batang gigi milik kanak-kanak itu.

Isteri tertuduh yang juga seorang jururawat memberi keterangan bahawa dia mendengar tangisan kanak-kanak itu pada malam 23 Feb 2019, namun tangisan itu tiba-tiba terhenti tidak lama kemudian.

Apabila dia masuk dalam bilik, didapati kanak-kanak itu terbaring kaku di atas tikar dengan tidak berpakaian manakala tangan dan kakinya keras.

Dia juga perasan terdapat kesan lecur akibat puntung rokok pada paha kanak-kanak itu serta lebam di kedua-dua belah kaki.

Isteri tertuduh menggambarkan keadaan mangsa seperti tidak bernyawa, dan apabila ditanya kepada suaminya apa yang berlaku, lelaki itu mendakwa kanak-kanak itu mengalami sawan.

Maut selepas prosedur tanam rambut

Agensi

Istanbul: Seorang lelaki United Kingdom (UK), baru-baru ini, maut selepas menjalani prosedur pemindahan rambut di sebuah klinik di Istanbul, Turkiye, lapor The Sun.

Akhbar itu memetik laporan media tempatan, OdaTV, yang menyatakan mangsa, 38, terbang ke Istanbul dan menjalani prosedur selama lima jam di Klinik CINIK yang terletak di daerah Besiktas, 28 Julai lalu.

Bagaimanapun, tidak lama selepas pembedahan selesai, pelancong itu dilaporkan mengalami komplikasi serius sebelum dikejarkan ke hospital bagi rawatan kecemasan.

Lelaki berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Institut Perubatan Forensik untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke UK.

Dalam pada itu, pihak polis kini membuka siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kemungkinan berpunca daripada kecuaian.

Difahamkan, pihak berkuasa sudah menyoal siasat beberapa kakitangan klinik terbabit termasuk pakar bedah, pakar bius dan jururawat yang terbabit dalam prosedur berkenaan.

Sementara itu, Jurucakap Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) berkata, pihaknya sedang membantu keluarga lelaki berkenaan dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.

Tragedi itu berlaku ketika Turkiye mencatatkan lonjakan dalam sektor pelancongan perubatan dengan negara itu kini merangkumi hampir 60 peratus pasaran pemindahan rambut global hasil prosedur berkualiti tinggi pada harga lebih murah.

Susulan itu, Majlis Pelancongan Kesihatan Turkiye melaporkan lebih sejuta pelancong ke negara itu setiap tahun untuk rawatan pemulihan rambut.

Menurut Klinik Dr Serkan Aygin, angka itu dijangka meningkat kepada 1.1 juta menjelang 2025.
-hmetro 

Pengajar sekolah memandu didakwa pegang paha pelajar perempuan berusia 17 tahun

Sinar Harian

Chin Leong (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun, bulan lalu.

IPOH: Seorang pengajar institut memandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Chin Leong, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga emas itu didakwa telah memegang tangan dan meletakkan tangannya di atas paha mangsa bagi maksud seksual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah institut memandu di daerah ini sekitar jam 10 pagi pada 7 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak mendekati dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam R Rajasegaran memohon jaminan minimum diberikan dengan alasan penjamin merupakan anak kandung tertuduh yang tinggal bersama serta bekerja sebagai akauntan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu mana-mana saksi.

Kes akan disebut semula pada 12 September ini. - Sinar Harian

Penganggur mengaku tak salah rogol bekas kakak ipar

Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol bekas kakak iparnya di rumahnya dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 31 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol wanita terbabit, yang ketika itu berusia 31 tahun, di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil kira-kira 3.30 pagi pada 22 Jan 2023.

Tertuduh dilaporkan hilang selepas mangsa membuat laporan polis.

Dia baru-baru ini ditangkap dan didakwa di mahkamah majistret atas kesalahan berkaitan dadah.

Ketika siasatan, polis mendapati dia dikehendaki atas kes rogol.

Hakim Siti Shakirah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zul Hilmi Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kumpulan penunggang basikal dicari kerumuni pemandu kereta

MOHD YUNUS YAKKUB
LELAKI warga emas Warganegara Singapura tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Jalan Intan 1, Taman Intan, Kluang semalam.
SHAH ALAM – Sekumpulan penunggang basikal kini dikesan apabila aksi mereka seolah-olah mengerumuni sebuah kereta di Persiaran Dato Menteri di sini, baru-baru ini.
TANGKAP layar kamera papan pemuka kenderaan yang dikerumuni sekumpulan penunggang basikal. FOTO ihsan pembaca
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pada pukul 9.30 malam, Selasa lalu dengan aksi mereka berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebelum tular di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan mendapati kumpulan penunggang basikal telah menunggang di lorong kiri dan kanan.

“Ini menyebabkan pemandu kereta terpaksa memperlahankan kenderaan akibat terhalang oleh kumpulan penunggang basikal terbabit.

” Kes disiasat di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 42 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan LN 166/1959,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta mana-mana saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Najib bin Abdul Rahman di talian (019-7757354). – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Datang serah diri juga akhirnya…

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Tangkap layar CCTV memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu pada 23 Mei lalu.
KOTA BHARU – Enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Jalan Kebun Sultan di sini pada 23 Mei lalu akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semua suspek yang berusia 20 hingga 30-an itu kemudian ditahan pada pukul 3.30 petang untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, mereka direman empat hari bermula hari ini hingga 3 Ogos bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang tular di laman sosial pada 28 Mei lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata di tempat awam,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tiga individu terbabit ialah Weng Kok Choo, 58, beralamat di Jalan Kebun Sultan di sini S. Saravanan Kumar dan S. Kumaresan yang masing-masing berasal dari Sungai Pelek, Selangor.

Terdahulu, polis menyiasat kes sekumpulan lelaki yang terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Kebun Sultan, di sini selepas tular video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut di media sosial.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.27 pagi itu pada 23 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Penjual buah dituduh rogol pekerja bawah umur hingga hamil

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Sharifudin dituduh merogol pekerja perempuan bawah umur hingga hamil 23 minggu. FOTO Alias Abd Rani
Sharifudin dituduh merogol pekerja perempuan bawah umur hingga hamil 23 minggu. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Penjual buah yang baru semalam dituduh di Mahkamah Majistret Yong Peng kerana mencederakan isteri sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol pekerja perempuan bawah umur hingga hamil 23 minggu.

Tertuduh, Sharifudin Abd Samad, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol pekerja perempuan berusia 15 tahun dalam kedai buah miliknya di Batu Pahat antara jam 1 hingga 5 pagi dengan kejadian berlaku pada Februari dan 21 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu memandang tertuduh tidak mengaku bersalah untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan kes disebut semula pada 3 September ini.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun dia gagal membayar sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai.

Kapal layar yang mahu berlayar keliling benua karam di perairan Pulau Yu, dua warga Turkiye hilang, seorang selamat

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
KAPAL layar Daisy karam di perairan Pulau Yu menyebabkan dua warga Turkiye hilang dan seorang terselamat. FOTO Ihsan Polis.
KAPAL layar Daisy karam di perairan Pulau Yu menyebabkan dua warga Turkiye hilang dan seorang terselamat. FOTO Ihsan Polis.
Kuala Terengganu: Dua warga Turkiye yang hilang dan seorang terselamat selepas kapal layar dinaiki karam di perairan Pulau Yu di sini, Selasa lalu adalah peserta pelayaran yang merancang mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kapal layar Daisy itu karam akibat dipukul ribut yang menyebabkan kapten, Ahmed Volkan Ata dan penumpang, Eser Demirkol hilang.

Katanya, mangsa terselamat, Ates Demiroren dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Sebelum itu, Ahmed Volkan Ata mengemudi kapal layar berkenaan dari Jackson Port Bay, Sydney, Australia dan berlabuh di Pelabuhan Kuantan, sebagai lokasi berkumpul.

"Dua lagi penumpang masing-masing dari Krabi, Thailand dan Singapura menaiki pengangkutan awam ke Pelabuhan Kuantan bagi memulakan siri jelajah berkenaan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Azli berkata, penjelajahan mengelilingi benua bermula kira-kira 5 petang, 28 Julai yang dijadual berakhir di Pelabuhan Istanbul, Turkiye.

Katanya, sebelum itu, Daisy sepatutnya berhenti di check point pertama iaitu di Pelabuhan Pattani, Thailand namun dibadai ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu pada 2.30 petang Selasa.

"Hanya Ates Demiroren berjaya menyelamatkan diri dengan terapung di laut, manakala kapten kapal dan seorang lagi penumpang hanyut dibawa arus.

Menurutnya, kira-kira jam 12 tengah hari tadi bot nelayan tempatan yang dalam perjalanan pulang ke pangkalan menjumpai lelaki itu dan membawanya ke Jeti Pulau Duyung sebelum dihantar ke Balai Polis Kuala Terengganu.

Katanya lagi, kejadian sudah dimaklumkan kepada Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kedutaan Turkiye bagi tindakan lanjut.

"Segala urusan membabitkan warga Turkiye ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kedutaan Turkiye dan mangsa terselamat akan dibawa pulang selepas keadaannya bertambah baik," katanya.

Kalau SIS kena buang nama 'Islam’, kenapa PAS boleh guna?

Mohd Fudzail Mohd Nor

Sebagai warga emas yang pernah menjelajah lebih 40 negara dan masih rajin membaca dan menulis, saya terpanggil untuk mengulas isu hangat ini: mengapa Sisters in Islam (SIS) dilarang guna nama "Islam", tetapi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pula ditegur?

Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila kita bandingkan dengan negara lain: adakah badan-badan bukan kerajaan atau parti politik di negara lain juga bebas menggunakan nama “Islam”? Atau adakah Malaysia terlalu tegas — atau mungkin terlalu longgar?

Bila dengar Sisters in Islam (SIS) buang perkataan “Islam” dari nama mereka, saya tersedak air barli suam sambil baca berita. Saya sangka mereka insaf, rupanya belum. Mereka kata masih mahu berjuang untuk wanita dalam kerangka keadilan Islam, tapi nama “Islam” sudah tiada.

Macam jual kuih apam balik tapi panggil “pancake moden”. Keliru! Sebagai warga emas, keliru saya ini penuh pengalaman dan sindiran, jadi izinkan saya cerita dari sudut saya, sambil bandingkan dengan PAS dan negara lain—bolehkah guna nama “Islam” sesuka hati?

SIS: NGO yang bukan badan agama, tapi gunakan nama Islam

Zaman saya muda—masa rambut masih tebal, lutut belum mengeluh naik tangga—saya dengar tentang Sisters in Islam. Saya ingat mereka kumpulan nasyid wanita atau usrah moden dari universiti. Silap besar! SIS ditubuhkan pada 1988, masa saya sibuk kumpul duit kahwin. Mereka kata memperjuangkan hak wanita dalam perundangan Islam, tapi tafsiran mereka macam lagu dangdut dengan irama Arab tapi lirik cinta monyet—sumbang nadanya!

Mereka menafsir al-Quran dan hadis dengan kaca mata hak asasi dan fahaman liberal, kata hukum tradisional “patriarki” dan fiqh itu “budaya Arab”. Saya setuju wanita perlu bersuara—tetapi jangan menenggelamkan nas al-Quran dan hadis sahih.

Saya bukan ustaz, tapi belajar daripada abah saya seorang ulama yang garang macam Ahmad Deedat tapi hati lembut macam penyair. Saya tahu bila tafsiran lari dari syariat—SIS macam bina jambatan keadilan, tapi condong ke Barat, bukan Mekah.

Mereka bukan institusi agama, bukan badan fatwa, dan tidak diketuai oleh alim ulama, tetapi kerap membuat kenyataan yang menyentuh hukum-hakam syariah — dari poligami, faraid, hingga aurat.

Disebabkan mereka didaftarkan sebagai syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), maka dari segi undang-undang, mereka bukan entiti beragama, kerana syarikat tidak boleh "menganut Islam".

Lalu datang titah DYMM Sultan Selangor yang melarang SIS menggunakan nama “Islam” kerana berpotensi mengelirukan masyarakat. Mereka akur, dan kini hanya menggunakan nama SIS Forum (Malaysia).

Saya bangun dari kerusi, tabik macam askar veteran, dan cakap dalam hati, “Patik menjunjung kasih, Tuanku!” Titah baginda jelas—SIS bukan institusi Islam, didaftarkan bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bukan Majlis Agama. Guna “Islam” sesuka hati boleh kelirukan umat. Bayangkan saya buka kedai “Restoran Halal Sedunia” tapi jual babi panggang—tentu orang marah. Sama dengan SIS—nama tak selari dengan isi.

PAS: Parti politik Islam yang diiktiraf

PAS pula adalah parti politik sah yang telah wujud sejak 1951, berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS). Nama penuhnya: Parti Islam Se-Malaysia, dan perjuangannya secara terang-terangan berteraskan Islam sebagai dasar utama.

Perlembagaan PAS menyatakan tujuan mereka ialah:

"Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."

PAS mempunyai Dewan Ulama, Dewan Syura, dan struktur dalaman untuk memastikan ideologi Islam mereka dijaga. Walaupun kadang-kadang pendekatan mereka keras dan berbau politik, mereka belum pernah diisytihar menyimpang oleh mana-mana Majlis Fatwa rasmi.

Bagaimana dengan negara-negara lain?

Mari kita lihat bagaimana negara lain menangani isu penggunaan nama “Islam”:

Arab Saudi

- Hanya institusi kerajaan dan badan agama rasmi boleh menggunakan nama “Islam”.

- Tiada parti politik dibenarkan, dan tiada NGO boleh mengisytiharkan diri mereka sebagai "Islamic" tanpa tauliah.

- Segala urusan berkaitan Islam dikawal ketat oleh Majlis Ulama Tertinggi dan Kementerian Haji dan Umrah.

Iran

- Parti-parti politik yang menggunakan nama “Islam” diwajibkan tunduk pada Wilayah al-Faqih (kepimpinan ulama).

- Tidak ada badan bebas yang boleh menggunakan nama Islam tanpa pengawasan ketat kerajaan atau ulama Syiah.

Turki

- Selepas era sekularisme Kamal Ataturk, mana-mana parti politik yang guna nama Islam diharamkan.

- Parti seperti Refah dan Fazilet pernah diharamkan kerana terlalu menonjolkan imej Islam.

- Kini, walaupun AKP pimpinan Erdogan berakar dari gerakan Islam, mereka tidak guna nama "Islam" secara rasmi.

Indonesia

- Ada parti seperti Partai Persatuan Pembangunan (PPP) dan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang menggunakan imej Islam.

- Namun, mereka tertakluk kepada undang-undang demokrasi sekular, dan tidak boleh menyentuh hukum syariah sesuka hati.

- NGO pula jarang menggunakan nama “Islam” melainkan mendapat pengiktirafan daripada Majlis Ulama Indonesia.

Maghribi dan Mesir

- Gerakan Islam seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) dan Ikhwanul Muslimin tidak dibenarkan menggunakan nama “Islam” secara terbuka, atas alasan keselamatan dan keharmonian masyarakat.

- Banyak yang beroperasi sebagai gerakan sosial, bukan entiti rasmi yang boleh bercakap atas nama Islam sesuka hati.

United Kingdom:

- Tiada sekatan ketat. NGO seperti Islamic Relief guna “Islam” dengan misi selari ajaran Islam. Tapi kalau SIS promosi fahaman liberal yang bertentangan dengan Islam arus perdana, komuniti Muslim mungkin kritik, seperti kes beberapa NGO pada 2019.
Adakah Malaysia Adil? Atau terlalu longgar?

Dari perbandingan ini, kita nampak bahawa Malaysia berada di tengah-tengah:

- Parti politik seperti PAS masih dibenarkan guna nama Islam.

- NGO seperti SIS dilarang jika tidak berautoriti.

Namun, jika benar mahu menjaga kesucian nama “Islam”, kita harus menetapkan satu piawaian yang tegas dan konsisten, contohnya:

- Hanya pertubuhan yang mendapat pengiktirafan ulama atau majlis fatwa boleh menggunakan nama “Islam”.

- Parti politik yang guna nama “Islam” juga wajib menunjukkan adab ilmiah, bukan menjadikan Islam sebagai alat politik dan maki hamun.

Jangan suka-suka bawa nama Islam

Saya sudah cukup warga emas untuk tahu bahawa nama tidak menentukan isi. Tapi dalam bab agama, nama boleh memberi kesan besar. Bila orang tengok nama “Islam”, mereka sangka kandungannya sahih, boleh dipercayai. Tapi kalau tafsirannya lari, hujahnya semberono, dan niatnya bercampur politik atau kepentingan Barat — maka bahayanya besar.

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” – Hadis Nabi SAW.

Tapi bila Islam digunakan secara salah, ia boleh menjatuhkan imej Islam sendiri.

Nama Islam Itu amanah, bukan perhiasan

Saya percaya pada hikmah dan sabar, tapi juga pepatah Melayu: “Air tenang jangan disangka tiada buaya.” SIS nampak tenang, berhujah dengan bahasa akademik, penuh istilah hak asasi. Tapi kalau diteliti, ada racun dalam gula-gula.

Saya mahu bersangka baik—mungkin mereka ikhlas tolong wanita dizalimi. Tapi kalau condong ke tafsiran liberal Barat dan tolak ulama muktabar, saya kekal anti-SIS. PAS pun kena ingat—nama “Islam” bukan sekadar label, tapi amanah untuk perjuangan yang betul.

Saya suka duduk di beranda, minum teh tarik, tengok orang main layang-layang. Tapi bila agama disentuh, saya tak boleh diam. Islam bukan jenama yang boleh ditukar ikut selera pasaran—di Malaysia, Saudi, atau mana-mana. Islam itu agama, bukan produk korporat.

Anak muda tanya, “Atuk, kenapa risau sangat pasal SIS?” Saya jawab, “Bukan risau,. Sayang agama. Saya bukan ustaz, tapi tahu beza tukang gunting rambut dan tukang gunting agama.”

Kami ketawa. Tapi lepas ketawa, saya pandang laptop mainkan surah an-Nisa’. Saya ulang ayat ini:

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu hendaklah menghukum dengan adil." (an-Nisa’ 4:58)

Saya rela jadi warga emas yang keliru daripada menyokong kekeliruan. SIS, jangan sis-sis sangat tafsiran Islam. PAS, jaga amanah nama “Islam”. Kalau nak bela umat, bela dengan ilmu betul, bukan agenda import—di Malaysia atau dunia.

Sama ada SIS, PAS, NGO, atau parti politik — gunakan nama Islam hanya jika benar-benar membawa ruh Islam, bukan sekadar untuk imej, dana, atau pengaruh.

Kalau SIS tidak boleh guna, maka PAS dan parti lain juga perlu diaudit secara berkala, agar mereka benar-benar membawa nilai Islam, bukan hanya slogan.

Dan jika di negara-negara lain pun ketat dalam hal ini, mengapa kita di Malaysia masih bersikap longgar dalam sesetengah aspek, dan terlalu keras dalam aspek lain?

MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Pemimpin- pemimpin PAS bukanlah cerdik sangat, ini salah seorang

MP Pas mohon maaf, akui khilaf tuduh PM pakai baju batik Indonesia
SITI NUR ZAWANI

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim membuat permohonan maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendakwa Perdana Menteri mengenakan baju batik  Indonesia berbanding batik tempatan.

Dalam satu hantaran di Facebook, wakil rakyat pembangkang itu berkata dia mengakui khilafnya dan telah memadamkan hantaran yang mempertikai pilihan corak batik Perdana Menteri.

Beliau berkata, “teguran” awal yang diberikan kepada Anwar adalah kerana ada beberapa usahawan batik menyatakan rasa terkilan kerana Perdana Menteri tidak menggunakan corak Batik Malaysia.

“Assalamualaikum. Saya telah padamkan posting ringkas saya ketika mengikuti RMK13 tadi yang sebenarnya menganggap teguran kecil sahaja setelah beberapa usahawan batik menyatakan terkilan ‘bukan corak Batik Malaysia ‘.

“Saya tidak akan pertahankan khilaf saya dan hanya sedar sebentar tadi dimaklumkan pegawai saya kerana saya dalam kenderaan sepanjang perjalanan dari KL kembali ke Kuala Terengganu tidak mengikuti perkembangan posting tersebut.

“Yang ini memang salah saya dan perlu saya betulkan segera. Terima kasih semua yang berikan teguran

“Kepada YAB PM, saya minta maaf, niat saya hanyalah memberikan pandangan kerana sebagai wakil rakyat Terengganu yang sentiasa bergaul dengan ramai pengusaha batik Malaysia antara isu yang selalu dibangkitkan adalah tentang nasib industri Batik Malaysia.

“Pohon maaf sekali lagi. Dengan hormatnya ,” ujarnya di Facebook.

Terdahulu beliau telah memuat naik hantaran supaya Perdana Menteri berhati-hati memilih pakaian yang bersesuaian kerana dakwanya corak batik yang digunakan Anwar adalah batik Indonesia.

Pun begitu, seorang pengusaha batik telah menepis dakwaan dilemparkan MP Pas berkenaan, menjelaskan bahawa batik digunakan Anwar adalah batik dari Kelantan dan hasil dari kedainya sendiri.

RMK13 bekalan kerajaan hadapi PRU ke-16 (Apa perancangan PN 5 tahun kedepan?)

MK13 bekalan kerajaan hadapi PRU ke-16

Hassan Abdul Karim

Pada hari ini di parlimen, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 dengan tema Melakar Semula Pembangunan.

Dengan PRU ke-16 dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun akan datang, maka pembentangan RMK-13 ini memberikan satu kelebihan kerajaan Madani yang terdiri daripada gabungan 18 buah parti politik melibatkan PH, BN, GPS dan GRS.

Anwar menjelaskan apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan Madani dalam tempoh lima tahun mendatang sekiranya kerajaan ini dipilih semula oleh rakyat untuk mentadbir negara.

Justeru dokumen lengkap RMK13 ini – yang disampaikan inti sari dan inti patinya secara lisan di parlimen oleh perdana menteri – bolehlah dianggap semacam manifesto pilihanraya parti-parti politik yang mentadbir di Putrajaya.

Peluang Anwar membentangkan RMK13 sebagai dokumen kerajaan Persekutuan dan bukannya parti politik memberi keyakinan kepada rakyat, usahawaan, pelabur sama ada luar atau dalam negara bahawa ia bukanlah manifesto parti politik tetapi dasar ekonomi negara secara rasmi yang diusulkan di parlimen sebelum diluluskan oleh ahli-ahlinya.

Dokumen Lengkap RMK13 yang tebal itu merekodkan pencapaian sosioekonomi Malaysia bagi 2021 hingga 2025. Contohnya sasaran 10 tahun Ekonomi Madani yang ingin neggara ini menjadi 30 ekonomi terbesar dunia. Namun setakat 2024 Malaysia mencapai kedudukan ke-36. Ini adalah satu fakta pencapaian yang dapat diukur.

Dengan membentangkan secara rasmi dan terbuka RMK13 di parlimen, bermakna perdana menteri mahu memberitahu rakyat Malaysia dan dunia – termasuklah Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa dan institusi global – bahawa Malaysia ada rancangan yang jelas untuk menuju 2030.

Misalnya Malaysia ada sasaran ekonomi makro serta dasar meningkatkan darjat hidup rakyat dengan menangani kos sara hidup.

Satu kekuatan Anwar dan kerajaan Madani pimpinan nya ialah dia fokus dalam memperbaiki kedudukan ekonomi Malaysia.

Sasar rumah mampu milik

Ini ditunjukkan oleh Anwar bahawa dalam tempoh lima tahun dalam RMK13 kerajaan Madani akan mengemukakan 10 keutamaan kerencaman ekonomi.

Contohnya kerajaan akan mereformasi industri semikonductor tempatan.

Melalui dasar RMK13 kerajaan mengemukakan apa yang hendak dilakukannya dalam reformasi pendidikan, reformasi pasaran buruh, usaha meningkatkan tahap socsoekonomi golongan sasar, antara lainnya.

Dalam setiap inisiatif dan dasar lma tahun yang akan datang, dokumen RMK13 dengan jujur dan telus boleh disemak serta diteliti pencapaian setiap satu dalam Rancangan Malaysia ke-12 dengan kerajaan Madani turut terlibat selaku pentadbir sejak Nov 2022 hingga kini.

RMK13 turut menyatakan apakah dasar kerajaan Madani untuk melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam.

Turut dilakar dalam RMK13 ialah dasar lma tahun akan datang untuk kerajaan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Sebagai contoh dinyatakan sasaran kerajaan bagi 2030 ialah menyiapkan 500,000 unit rumah mampu milik.

Namun sehingga Mac lalu hanya 179,769 unit rumah mampu milik siap dibina.

Maksudnya kerajaan menyedari banyak yang perlu dilakukan lagi untuk mereformasikan dasar perumahan negara dalam tempoh RMK13.

Pada 26 Julai lalu satu perhimpunan besar rakyat diadakan di Kuala Lumpur untuk menuntut Anwar turun.

Lima hari kemudian, Anwar bangun di Dewan Rakyat membentangkan dasar ekonomi yang lengkap untuk Malaysia dan rakyatnya.

Setelah mendengar pembentangan Anwar hari ini, adakah wajar lagi untuk rakyat menuntut dia turun?

Sedangkan dialah orang yang diharapkan untuk menerajui dan melaksanakan cita-cita yang terkandung dalam RMK13 tersebut.

HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Mayat berulat, terikat kaki tangan ditemukan di tepi landasan KTM dipercayai dicampak dari jambatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki yang sudah berulat, dengan kaki dan tangannya terikat, ditemukan di tepi landasan KTM Kampung Sungai Serian, Kalumpang, hari ini.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat tanpa identiti itu kira-kira 10.30 pagi tadi.

“Susulan itu, pasukan dari IPD Hulu Selangor bergegas ke lokasi. Pasukan forensik turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Usaha mengenal pasti identiti mangsa masih sedang dijalankan.

Penemuan mayat itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar yang berkata, kenyataan media berhubung perkara itu akan dikeluarkan oleh ketua polis Hulu Selangor.

---

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan ditemukan dengan kaki dan tangannya terikat di tepi landasan KTM Kampung Sungai Serian, Kalumpang, hari ini dipercayai dicampak dari Jambatan Kampung Sungai Serian setinggi 11.15m.

Ketua Polis Hulu Selangor Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira 10.30 pagi tadi, sebelum pasukan polis dan forensik ditugaskan ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan pihak forensik mendapati kaki serta tangan lelaki itu diikat, selain kepalanya dibalut dengan kain dan dilekatkan pita pelekat hitam serta putih,” katanya, lapor Berita Harian.

Ibrahim berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih empat hari berdasarkan keadaan mayat yang reput.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat, tambahnya.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Fadli Abdul Aziz melalui talian 03-60641222 bagi membantu siasatan.

Kelantan: Sidang DUN cuma separuh hari, banyak antara soalan yang dikemukakan tidak dijawab

Sidang DUN Kelantan cuma separuh hari, Mohd Amar nafi kerajaan takut soalan pembangkang

SITI NUR ZAWANI

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menafikan kerajaan negeri takut dengan soalan dibangkitkan pembangkang sehingga menamatkan sidang dewan lebih awal selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata, biarpun sidang DUN tamat awal, namun soalan-soalan pembangkang dijawab secara bertulis.

Katanya, jika kerajaan negeri penakut, mereka tidak akan memberikan sebarang jawapan walaupun secara bertulis.

“Perlu difahami, persidangan DUN atau Parlimen adalah urusan kerajaan. Kalau kerajaan tiada urusan, maka persidangan pun tamat.

“Kita tiada rang undang-undang atau pindaan untuk dibentangkan,” katanya selepas merasmikan Karnival Kelantanku Cakna hari ini, menurut Sinar Harian.

Sebelum ini wakil rakyat pembangkang di Kelantan mempertikai tindakan kerajaan negeri menamatkan sidang DUN lebih awal sehingga banyak antara soalan yang dikemukakan tidak dijawab.

Menurut ADUN Galas dari BN, Mohd Syahbuddin Hashim, persidangan DUN yang berlangsung cuma separuh hari itu seolah-olah hanya untuk melengkapkan syarat.

ADUN Kota Lama dari AMANAH, Dr Hafidzah Mustakim pula berkata, tidak hairan jika ada kajian mengatakan sidang DUN Kelantan paling singkat iaitu sembilan hari sahaja setahun berbanding negeri lain hingga 21 hari.

Sedangkan katanya, sebagai ADUN, waktu persidangan adalah paling penting sebab banyak yang mereka mahukan penjelasan untuk rakyat, namun sebaliknya yang berlaku.

Video: Kedai snuker disamun 6 lelaki berparang

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar video yang berjaya dirakam CCTV)sebuah kedai snuker di Kapar, semalam
KLANG – Enam penyamun berparang kini diburu polis selepas aksi jenayah mereka berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai snuker di Kapar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, semua suspek lelaki tempatan berkenaan berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM823.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan pihaknya tiga daripada suspek telah memasuki premis itu manakala tiga lagi menunggu di luar bersama tiga buah motosikal.

“Insiden tersebut berjaya dirakam CCTV. Semua suspek melarikan wang tunai berjumlah RM823. Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-32912222 atau balai polis terdekat.

“Polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 52 saat di aplikasi TikTok menunjukkan suspek memakai topi keledar dan berparang memasuki kedai snuker itu.

Semasa kejadian terdapat beberapa pelanggan sedang bermain snuker di premis tersebut. – KOSMO! ONLINE