
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Dua lelaki ini dijatuhkan hukuman penjara kerana mencuri tandas emas
AFP

James Sheen (kiri) dan Michael Jones dipenjarakan kerana mencuri tandas emas 18 karat - karya seni yang berfungsi sepenuhnya - dari Istana Blenheim Britain, tempat kelahiran Perdana Menteri Britain semasa perang, Sir Winston Churchill. - Foto AGENSI
LONDON: Dua lelaki yang memecah masuk sebuah hartanah bersejarah di England dan mencuri tandas emas tulen bernilai £4.5 juta (AS$6 juta) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Crown Oxford.
Tertuduh James Sheen, 40, dan Michael Jones, 39, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan 27 bulan.
Tandas emas yang berfungsi sepenuhnya itu diperbuat daripada 18-karat emas dicuri dalam satu serbuan ke atas sebuah pameran di Istana Blenheim pada September 2019.
Karya seni tandas yang dinamakan "America" itu dicipta oleh artis Itali, Maurizio Cattelan dan menjadi antara tarikan utama dalam pameran di rumah bersejarah abad ke-18 itu.
Dalam penghakimannya, Hakim Ian Pringle berkata: "Kecurian yang berani dan terang-terangan ini hanya mengambil masa lima setengah minit untuk disempurnakan. 'America' tidak pernah dijumpai semula."
Karya seni seberat kira-kira 98 kilogram itu diinsuranskan pada nilai AS$6 juta dan diperbuat daripada 20 kilogram emas, yang dianggarkan bernilai sekitar £2.8 juta.
Ia dicuri hanya beberapa jam selepas majlis pelancaran.
Pendakwa Raya berkata karya itu kemungkinan dipecah atau dicairkan dan dijual sejurus selepas dicuri. Emas berkenaan masih belum ditemui semula.
Difahamkan Sheen membawa 20 kilogram emas itu ke Birmingham Jewellery Quarter pada September 2019 dan menjualnya pada harga £26,000 sekilogram dan meraih £520,000 keseluruhan.
Sheen dikatakan mula menghubungi lelaki ketiga, Frederick Doe, dua hari selepas kecurian untuk bertanya jika dia boleh membantunya menjual emas terbabit.
Doe membalas mesej WhatsApp Sheen: "Saya tahu siapa yang kamu perlu jumpa."
Doe, 37 tahun, digambarkan oleh hakim sebagai "orang tengah" dan tidak dipenjara atas peranannya dalam kes ini.
Minuman keras mahal, peralatan kasino, jongkong emas antara yang dirampas dari rumah Tan Sri
BORHAN AHMAD
Ratusan botol minuman keras berjenama mewah, peralatan kasino, beg tangan berjenam, jam tangan mewah, jongkong emas, syiling dan patung emas, berlian serta barang kemas adalah antara barangan yang disita dari beberapa rumah milik seorang tan sri yang mendapat konsesi lebuhraya.
Sitaan tersebut menyusuli serbuan awal oleh Bahagian Siasatan SPRM yang menemukan:
“SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang merupakan tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” tambah kenyataan itu lagi.
- 84 beg tangan mewah bernilai kira-kira RM3 juta
- 11 jam tangan berjenama bernilai kira-kira RM1 juta
- Minuman keras mewah bernilai RM5 juta
- Jongkong emas, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta
- Berlian dan barang kemas bernilai kira-kira RM4 juta
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa nilai keseluruhan rampasan semalam mencecah kira-kira RM16 juta, dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak sitaan akan dilakukan selepas ini.
Azam turut memaklumkan bahawa proses rakaman keterangan Tan Sri tersebut ditangguhkan ke tarikh lain disebabkan keadaan kesihatan beliau.
Akhbar The Star semalam melaporkan bahawa empat kenderaan milik ACTS termasuk dua van putih, sebuah Nissan Grand Livina, dan sebuah Honda City, dilihat memasuki kediaman lelaki berkenaan di Bandar Tasik Selatan sekitar jam 10.50 pagi, dan anggota ACTS dilihat lengkap bersenjata api.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa pegawai SPRM menyambung sesi soal siasat terhadap lelaki itu semalam selepas menghabiskan lebih enam jam soal siasat pada hari sebelumnya, bermula jam 9 pagi hingga 3.07 petang.
Pada 2 Jun, SPRM mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya RM20 juta dana sukuk yang diperuntukkan bagi projek lebuh raya di Lembah Klang telah diseleweng untuk tujuan perjudian.
Azam berkata, transaksi tersebut dikesan melalui siasatan lanjutan kes berkenaan dan SPRM masih menjejaki aset dalam serta luar negara, yang akan dibekukan atau disita bagi membantu siasatan lanjut.
Akhbar New Straits Times turut melaporkan bahawa SPRM telah menyita aset dan membekukan akaun bank bernilai RM85.6 juta berkaitan siasatan ini.
Bapa enggan ikat jamin lepas anak mengaku rogol kenalan lebih 16 kali
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang bapa nekad tidak mahu membayar ikat jamin RM1,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap anak lelakinya yang mengaku bersalah merogol kenalan perempuan, awal bulan ini.
Tindakan lelaki berusia 40-an kerana mahu memberi pengajaran terhadap anak lelakinya berusia 16 tahun yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Sebelum itu, lelaki terbabit menemani anak sulungnya bagi prosiding pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan dilihat beredar meninggalkan anaknya tanpa membayar ikat jamin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kenalannya berusia 15 tahun di sebuah rumah dalam daerah ini antara jam 4 hingga 5.30 petang, 2 Jun lalu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika disabit kesalahan.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa tertuduh, remaja yang bekerja di kedai makan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kenalannya ketika ibunya keluar bekerja.
Namun, pada hari kejadian, ibunya berusia 41 tahun pulang lebih awal daripada waktu sepatutnya sebelum melihat selipar perempuan berada di luar rumahnya.
Wanita kemudiannya mengetuk pintu beberapa kali sebelum remaja itu membuka pintu dan pemeriksaan mendapati seorang perempuan di dalamnya.
Malah, siasatan awal polis mendapati kedua-dua tertuduh dan mangsa mengaku mereka sudah melakukan hubungan itu antara 16 hingga 18 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan fakta dan perintah serta laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap tertuduh.
Gempar!!! Aset, harta wakaf Kolej Islam Malaya hampir RM10 bilion ‘dilarikan’?
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI dan AMIR HAIKAL KAMARUDIN

Firdaus (dua dari kiri) bersama beberapa ahli jawatankuasa Selamatkan Harta Kolej Islam Malaya menunjukkan laporan polis dan dokumen yang dipercayai senarai tuntutan serta senarai harta wakaf milik KIM pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, WTC, hari ini.
KUALA LUMPUR – Hampir RM10 bilion aset serta harta wakaf milik Kolej Islam Malaya (KIM) didakwa telah disalah guna dan dialihkan secara tidak sah ke sebuah lembaga pemegang amanah sejak tahun 1970.
Harta dan aset tersebut ternasuklah tapak serta banguban kampus KIM yang terletak di Petaling Jaya seluas lebih 30 ekar, puluhan rumah-rumah penginapan yang terletak di sekitar daerah terbabit.
Selain itu, KIM juga turut mempunyai aset dan hartanah lain di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, beberapa negeri lain serta Singapura
Setiausaha Sekretariat Selamatkan Harta KIM, Dr. Firdaus Ahmad Azzam berkata, proses pemindahan kesemua harta tersebut dipercayai dilakukan secara tidak sah melibatkan beberapa tokoh terkenal selepas KIM ditutup secara tiba-tiba pada tahun 1970.
“Sejak itu, kesemua aset dan harta yang diwakafkan oleh orang ramai dan golongan pembesar negara sejak awal tahun 1950-an untuk menubuhkan KIM telah dilarikan dan digunakan secara tidak sah oleh pemegang amanah tersebut.
“Lebih mendukacitakan kami apabila ada aset dan harta terbabit digunakan untuk membeli saham di dalam sebuah syarikat perjudian terkenal di negara ini.
“Sedangkan harta tersebut dikumpul dan disumbangkan oleh orang Islam bukan sahaja dari Malaysia malah beberapa negara lain termasuk Brunei dan Arab Saudi,”katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Turut hadir penasihat sekretariat berkenaan, Datuk Dusuki Ahmad yang juga Pengerusi Majlis Ulama UMNO.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, KIM hanya mampu bertahan selama 15 tahun iaitu bermula sejak tahun 1955 dan ditutup pada tahun 1970 tanpa sebarang sebab atau alasan.
Lebih mendukacita katanya, KIM sebuah pusat pengajian Islam tertua di negara ini yang sepatutmya dinaik taraf kepada universiti seperti yang dijanjikan sebelum ia ditutup juga gagal direalisasikan.
Tambah beliau, bagi membongkar skandal kehilangan aset dan harta wakaf milik KIM, pihaknya telah membawa isu berkenaan ke mahkamah sivil dan akan melalui perbicaraan bermula 16 Jun ini di Mahkamah Shah Alam.
“Setelah beberapa kali permohonan kami untuk membawa isu ini ke mahkamah di tolak kerana kekurangan bukti dan karenah birokrasi, akhirnya kami lega apabila isu ini dapat dibawa ke mahkamah pada Isnin ini.
“Kami memfailkan tuntuntan kepada empat pihak termasuk pihak lembaga amanah yang menguruskan kes ini. Tuntutan kami adalah supaya semua harta yang dipegang oleh pihak tertentu ini dipulangkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan harta yang diwakafkan,” katanya.
Pada masa sama katanya, pihak sekretariat itu juga memohon Kerajaan Madani campur tangan dalam isu ini supaya wang derma orang ramai itu dan harta yang telah diwakafkan dapat dipulangkan dengan segera.
“Kita harap perkara ini dapat dilihat oleh pihak kerajaan tambahan pula Perdana Menteri pernah menyuarakan hal ini sewaktu menjadi Presiden PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE
Polis buru lelaki pukul pemandu lori kerana berang dihon
FMT Reporters
Polis berkata pengadu mendakwa dipukul di muka dan kepala beberapa kali sebelum mempertahankan diri dengan menendang lelaki itu keluar dari lori.
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki didakwa memukul pemandu lori kerana membunyikan hon di Plaza Tol Kempas Ahad lalu.
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang lelaki dirakam memukul pemandu lori kerana membunyikan hon di Plaza Tol Kempas Lebuhraya Utara-Selatan di Johor Bahru, Ahad lalu.
Rakaman video lelaki itu memukul pemandu lori terbabit dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tular di Facebook.
Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh berkata pemandu lori yang juga lelaki tempatan 31 tahun membuat laporan pada 5.35 petang Ahad lalu.
“Ketika menunggu giliran membayar tol, pengadu yang memandu lori membunyikan hon kerana Proton Wira di hadapannya dikatakan tidak bergerak walaupun palang tol telah terbuka.
“Berikutan itu, seorang lelaki tidak dikenali keluar dari pintu penumpang kereta dan meminta pengadu membuka pintu lori,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata pengadu mendakwa dipukul di muka dan kepala beberapa kali, sebelum mempertahankan diri dengan menendang lelaki itu keluar dari lori.
Menurutnya kejadian itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kerana dihon dan pengadu dilaporkan sakit di belakang kepala.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Johor Bahru Utara melalui talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.
Inilah lima orang kanan Rafizi yang tinggalkan kerjaya untuk visi ekonomi – kini undur bersama
Malaysiakini

Menjelang hari-hari terakhirnya sebagai menteri ekonomi, Rafizi Ramli tampil memberi penghargaan kepada lima pegawai dasar yang telah meninggalkan kerjaya profesional mereka demi menyokong dan merealisasikan visi ekonominya.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, ahli Parlimen Pandan itu berkongsi bahawa dia memujuk sendiri mereka untuk menyertai pejabatnya – meninggalkan bidang masing-masing, daripada perubatan, kewangan, undang-undang hingga ke perbankan dan hubungan antarabangsa.
Menurut Rafizi, para pegawai inilah yang menjadi tulang belakang dalam menterjemahkan idea-idea ekonomi beliau menjadi dasar nyata — meliputi pelbagai sektor, dari pertanian seperti cili, ke bidang berteknologi tinggi seperti semikonduktor, termasuk ekosistem syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dasar upah progresif serta pelan pembangunan RMK13.
“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu saya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi,” kata Rafizi.
Antara mereka yang disebutnya ialah:
Dr Azraai Bahari Nasruddin, pakar perunding endokrinologi; Benjamin Quek, bekas pengurus dana; James Chai, peguam dan penulis, lulusan cemerlang undang-undang dari University of London; Ismat Qayyum, lulusan London School of Economics (LSE) berpengalaman dalam sektor perbankan; Haqimi Zamri, lulusan University of Nottingham dalam bidang politik dan hubungan antarabangsa.
“Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya,” katanya.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri ekonomi selepas kalah mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti bulan lalu. Dia tewas kepada Nurul Izzah Anwar, anak kepada presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kekalahannya mencetuskan dakwaan nepotisme dalam parti, namun Anwar menafikan tuduhan itu dan menyatakan bahawa Nurul Izzah dipilih melalui proses demokratik oleh ahli parti.
Rafizi sebelum ini berjanji untuk meletak jawatan sekiranya gagal mempertahankan jawatan parti — dan dia akhirnya menunaikan janji itu. Tindakannya diikuti oleh ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang turut meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam selepas tewas mempertahankan jawatan ketua bahagian dan naib presiden PKR.
Rafizi kini bercuti tahunan hingga 16 Jun, manakala 17 Jun merupakan hari terakhir rasminya di pejabat. Setakat ini, dia masih belum mengumumkan perancangan masa depannya.
Pejalan kaki hilang di sungai dirempuh kereta dipandu Bangladesh
NURUL IZZATI ZAINI

Keadaan Nissan Sylphy yang terjunam selepas hilang kawalan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, pagi tadi.
KUALA LUMPUR – Seorang pejalan kaki dilaporkan hilang di sungai selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong, di sini, pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi itu melibatkan kereta jenis Nissan Sylphy dipandu seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata pemandu yang datang dari arah Projek Perumahan Rakyat Batu Muda itu telah hilang kawalan.
Katanya, suspek melanggar bahagian depan sebuah kereta jenis Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam sebelum melanggar seorang pejalan kaki.
“Pelanggaran itu menyebabkan pejalan kaki jatuh ke bawah jambatan manakala kereta Nissan Sylphy terjunam ke bawah dan tersangkut di antara celahan konkrit dan saluran paip besi.
“Pemandu Nissan Sylphy mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur manakala mangsa pejalan kaki yang masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai”, katanya dalam kenyataan.
Mohd. Zamzuri berkata, pihak bomba bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam sehongga kini masih dalam proses pencarian mangsa.
Sementara itu, beliau berkata kereta Nissan Sylphy bukanlah milik pemandu dan ia dipinjam daripada rakannya.
“Pihak JSPT akan mengesan pemilik sebenar untuk tindakan selanjutnya dan pemandu Nissan Sylphy akan ditahan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal bernasib baik apabila tidak dilanggar oleh sebuah kereta yang memecut laju di sebuah persimpangan lampu isyarat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pagi tadi.
Dalam rakaman kamera papan pemuka sekitar pukul 11.45 pagi itu, kejadian difahamkan berlaku berdekatan Masjid Abu Hurairah.
Kelihatan selepas lampu isyarat bertukar hijau, seorang penunggang motosikal bergerak ke depan sedikit awal sebelum sebuah kereta berwarna hitam memecut laju dari arah lain.
Kereta tersebut kemudiannya melambung dan terjunam ke dalam longkang bersebelahan masjid tersebut. – KOSMO! ONLINE
Mayat usahawan ditemukan dalam lubang di litar lumba, tanpa seluar
Agensi

JUNIOR ditemukan mati di kawasan Litar Lumba Interlagos. FOTO Facebook Juni Or
Sao Paulo: Persekutuan Brazil kini menyiasat kematian usahawan Adalberto Amarilio dos Santos Junior, 35, sebagai kes bunuh selepas mayatnya ditemui dalam sebuah lubang di kawasan litar lumba Interlagos, zon selatan bandar ini pada 3 Jun lalu, lapor Folha De S Paulo.
Junior, yang menjalankan perniagaan optik, dilaporkan hilang selepas menghadiri acara motosikal di litar berkenaan pada Jumaat, 30 Mei.
Keretanya ditemukan oleh ahli keluarga pada pagi keesokannya di kawasan parkir dalam kompleks Interlagos.
Ketika ditemui, mayat mangsa tidak berseluar dan tidak memakai kasut. Mangsa hanya memakai jaket dan topi keledar yang mempunyai kamera tetapi peranti itu hilang.
Menurut pihak berkuasa, selain disyaki dibunuh, siasatan turut mengambil kira kemungkinan jenayah lain seperti pengabaian bantuan kecemasan dan penyembunyian mayat.
Satu teori menyatakan mangsa mungkin dicampak ke dalam lubang ketika masih hidup – sama ada selepas terbabit dalam kemalangan, diserang, atau berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Bedah siasat awal dari Institut Perubatan Forensik (IML) tidak menemui sebarang kecederaan serius atau kesan cekik di leher.
Namun, polis tidak menolak kemungkinan Junior menjadi mangsa cekik mata-leon (teknik cekik belakang leher). Keputusan laporan penuh forensik kini masih dinantikan.
Seramai kira-kira 180 anggota keselamatan bertugas ketika acara motosikal berlangsung.
Beberapa pengawal keselamatan dan penyelia telah dirakam keterangan, dan lebih ramai saksi dijangka dipanggil termasuk pengawal di kawasan karting.
Polis juga menemui kesan darah di bahagian belakang kereta mangsa. Setitik darah ditemui pada karpet, manakala kesan sapuan tangan terdapat pada tempat duduk dan panel lantai di belakang tempat duduk hadapan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh penganjur sedang diperiksa, khususnya di pintu masuk dan keluar, bagi mengenal pasti pergerakan mangsa pada malam kejadian.
Pada hari itu, Junior hadir bersama rakannya, Rafael Albertino Alieste, 42, yang memaklumkan mereka berpisah kerana meletakkan kenderaan di lokasi berbeza. Alieste turut mengakui mereka minum arak dan menghisap ganja semasa acara tersebut.
Polis menolak kemungkinan rompakan sebagai motif, memandangkan barang peribadi seperti cincin emas, dompet, wang tunai dan kad bank masih berada bersama mangsa.
Difahamkan, litar lumba terkenal itu tidak dilengkapi kamera pengawasan tetap milik Majlis Perbandaran São Paulo.
Menurut pihak berkuasa, kontrak pemasangan 50 kamera baharu dimeterai pada Februari dan dijangka siap pertengahan separuh kedua tahun ini.
Namun, kawasan sekitar sudah dipantau oleh 60 kamera di bawah Program Smart Sampa.
-hmetro
Guru nafi cabul pelajar perempuan dalam kereta
Harian Metro
Seremban: Guru lelaki sebuah sekolah menengah di Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 9 hingg 9.20 pagi di dalam kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dalam daerah Rembau, 17 Mei lalu.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon wang jaminan yang minimum dengan alasan menanggung dua anak serta ibu bapa yang tidak sihat selain membayar komitmen lain.
Tertuduh turut memaklumkan bahawa dia adalah seorang guru dan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin sejak seminggu lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes 15 Julai depan.
Serangan terhadap Iran: Apa yang berlaku setakat ini
Israel serang Iran: Apa yang kita tahu setakat ini
Amirul Aiman
Sebuah bangunan terbakar selepas diserang di Tehran pada awal pagi Jumaat, 13 Jun 2025, ketika Israel melancarkan Operasi Rising Lion menyasarkan fasiliti nuklear dan ibu pejabat tentera Iran. - Gambar/ AP
KUALA LUMPUR: Israel pada Jumaat melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran, menyasarkan kemudahan nuklear di Natanz, kilang peluru berpandu, serta ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Tehran.
Serangan yang dinamakan “Operation Rising Lion” itu menjadi titik kemuncak kepada ketegangan nuklear yang kian memuncak sejak beberapa bulan lalu.
Serangan bermula awal pagi
Letupan besar menggegarkan Tehran sekitar 5.30 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia), diikuti siren amaran serangan udara.
Natanz, lokasi utama pengayaan uranium Iran, turut menjadi sasaran awal.
Media tempatan melaporkan beberapa kawasan perumahan turut terjejas.
Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan pelancaran Operasi Rising Lion, menyasarkan lebih 20 lokasi strategik, termasuk tapak peluru berpandu dan fasiliti nuklear.
Beliau menyifatkan operasi ini sebagai “usaha untuk menghapuskan ancaman nuklear Iran” dan memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh berlanjutan selama beberapa hari.
Kematian tokoh penting Iran
Iran mengesahkan kematian Komander IRGC, Hossein Salami, dalam serangan tersebut.
Dua tokoh penting dalam program nuklear negara itu, Dr Fereydoun Abbasi dan Prof Mohammad Mehdi Tehranchi turut terbunuh dalam serangan berasingan.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan serangan Israel sebagai “jenayah perang” dan berikrar untuk membalas “dengan hukuman yang setimpal”.
Mengapa sekarang?
Ketegangan tercetus selepas rundingan nuklear di Oman gagal mencapai kata sepakat minggu lalu.
Amerika Syarikat sebelum ini memberi amaran bahawa Iran “semakin hampir” mencapai keupayaan nuklear tahap senjata.
Dalam satu kenyataan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Israel berhak bertindak jika ancaman terhadap keselamatannya berterusan.
Tindak balas Iran
Beberapa jam selepas serangan Israel, Iran melancarkan lebih 100 dron bersenjata ke arah wilayah Israel.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melaporkan bahawa sistem pertahanan udara, termasuk Iron Dome, berjaya memintas sebahagian besar ancaman, namun kebimbangan terhadap eskalasi lebih besar semakin meningkat.
Israel turut mengisytiharkan darurat kebangsaan dan menutup Lapangan Terbang Ben Gurion, manakala Iran, Iraq dan Jordan menutup ruang udara masing-masing bagi mengelak risiko serangan rentas sempadan.
Reaksi antarabangsa
Amerika Syarikat menegaskan bahawa mereka tidak terlibat secara langsung.
Setiausaha Negara Marco Rubio berkata Washington komited melindungi tenteranya di Asia Barat.
Manakala, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak menahan diri dan mengelak sebarang tindakan yang memburukkan keadaan.
Arab Saudi pula menyifatkan serangan Israel sebagai pelanggaran kedaulatan Iran.
Malaysia melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan Israel, menyifatkannya sebagai “tindakan melulu dan berbahaya” yang menggugat kestabilan rantau tersebut.
Negara jiran, Indonesia menyuarakan kebimbangan bahawa ketegangan ini boleh menggugat kestabilan serantau dan menggesa penyelesaian secara diplomatik.
Malah, Australia melalui Menteri Luarnya, Penny Wong, menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap peningkatan konflik.
Gangguan ekonomi dan penerbangan
Harga minyak mentah Brent melonjak lebih 9% susulan ketegangan ini, manakala pasaran saham Asia menyaksikan kejatuhan mendadak apabila pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas dan dolar AS.
Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Emirates, Lufthansa dan Air India telah menukar laluan penerbangan untuk mengelak ruang udara Asia Barat, sekali gus menyebabkan kelewatan dan peningkatan kos operasi.
Apa seterusnya?
Penganalisis menjangkakan konflik ini belum menunjukkan tanda reda.
Israel memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan sehingga “ancaman nuklear Iran dapat dilumpuhkan sepenuhnya”.
Iran pula berikrar untuk membalas, sambil menegaskan bahawa program nuklear mereka adalah untuk tujuan aman.
Rundingan nuklear yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di Muscat kini dilihat goyah, manakala masyarakat antarabangsa menyeru agar ruang diplomasi tidak tertutup sepenuhnya.
Keajaiban: Warga Britain satu-satunya individu terselamat dalam nahas Air India
[VIDEO] Nahas Air India: Seorang penumpang warga Britain satu-satunya individu terselamat
Buletin TV3
AHMEDABAD: Seorang penumpang warga Britain satu-satunya individu yang terselamat dalam nahas pesawat Air India.
Video tular menunjukkan Ramesh Vishwaskumar Bucharvada, 38 tahun tidak mengalami kecederaan serius dan masih boleh berjalan ke arah ambulans.
Ramesh dilaporkan duduk di kerusi bernombor 11A dalam pesawat Boeing 787 Dreamliner itu.
Kerusi 11A terletak dalam kelas ekonomi, iaitu tepi tingkap di sebelah kanan dan dua barisan ke hadapan sayap pesawat.
Ketua Polis Bandar Raya, G.S. Malik berkata pihak polis menemui Ramesh ketika menerima rawatan di sebuah hospital.
Ramesh memohon bantuan untuk mencari abangnya yang turut berada dalam pesawat terbabit.
Dia memaklumkan abangnya yang mengembara ke India bersamanya duduk di barisan kerusi berbeza.
Ramesh menjelaskan bahawa sebaik nahas berlaku, dia terselamat dan segera bangun untuk menyelamatkan diri dalam keadaan mayat serta serpihan pesawat di sekelilingnya. – REUTERS
Perubahan iklim punca ramai petani India bunuh diri
BHarianonline
BEED: Kesan cuaca melampau akibat perubahan iklim meningkatkan risiko bunuh diri dalam kalangan petani di India susulan tanaman tidak menjadi.
Perubahan iklim menyebabkan hasil tanaman makin merosot akibat kekurangan air, peningkatan suhu, banjir dan hujan tidak menentu, digabungkan bebanan hutang.
Kemusnahan tanaman memaksa petani berhutang bagi terus mengusahakan tanah, sehingga mereka dibebani hutang terlalu tinggi, sekali gus memilih untuk membunuh diri sebagai 'jalan keluar' yang mudah.
Inilah dilema yang memberi kesan besar ke atas sektor pertanian India, yang menggaji 45 peratus daripada 1.4 bilion penduduk.
Berdasarkan kumpulan penyelidikan Centre for Science and Environment yang berpangkalan di New Delhi, kejadian cuaca melampau di seluruh India menjejaskan 3.2 juta hektar kawasan tanaman tahun lalu.
Lebih 60 peratus daripada jumlah itu berlaku di Maharashtra.
Menteri Pertanian India, Shivraj Singh Chouhan, berkata di wilayah Marathwada sahaja 3,090 petani membunuh diri dengan purata hampir tiga orang setiap hari, antara 2022 hingga 2024.
Statistik kerajaan bagaimanapun tidak memperincikan punca petani membunuh diri, namun penganalisis mengaitkannya dengan beberapa faktor.
Profesor pengajian pembangunan di Tata Institute of Social Sciences, R Ramakumar, berkata kegiatan pertanian di banyak ladang kecil di India masih dilakukan secara konvensional dan sangat bergantung kepada cuaca serta masa.
Beliau berkata, kesan perubahan iklim serta keadaan rentan dan ketidakstabilan meningkatkan risiko dalam bidang pertanian.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan kegagalan tanaman dan ketidaktentuan yang seterusnya melemahkan lagi kedudukan ekonomi penanaman bagi petani kecil serta pinggiran.
"Kerajaan boleh membantu petani melalui skim insurans lebih baik bagi menghadapi kesan cuaca melampau serta pelaburan dalam penyelidikan pertanian," katanya.
Petani juga cuba mengatasi kejatuhan hasil tanaman dengan melabur dalam baja atau sistem pengairan ketika berdepan cuaca tidak menentu.
Namun, pihak bank sering keberatan menawarkan kredit kepada peminjam dengan pendapatan tidak menentu seperti petani.
Ini menyebabkan sebahagiannya beralih kepada ceti haram yang menawarkan wang segera dengan kadar faedah melampau, sekali gus berisiko menghadapi malapetaka jika tanaman gagal.
Industri pertanian berada dalam krisis berterusan sejak beberapa dekad lalu dan masalah petani membunuh diri berlaku di seluruh India biarpun Maharashtra mencatatkan antara kadar kes tertinggi.
Berdasarkan statistik Biro Rekod Jenayah Kebangsaan, 30 individu dalam sektor pertanian membunuh diri setiap hari, pada 2022. – AFP
Lebih 200 mayat ditemui, hanya seorang penumpang Air India terselamat
KOSMO!
BANGKAI pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang melanggar asrama sebuah kolej perubatan di pinggir Ahmedabad. - AGENSI
NEW DELHI – Sebuah pesawat membawa 244 orang terhempas semasa berlepas dari bandar Ahmedabad, barat laut India hari ini.
Polis tempatan berkata, terdapat mangsa tunggal terselamat dalam tragedi itu.
Menurut akhbar Telegraph, penumpang lelaki yang berada di tempat duduk 11A itu sedang dirawat di hospital.
Masih tidak jelas bagaimana dia terselamat dalam nahas dahsyat melibatkan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang berlepas menuju ke London itu.
Kapal terbang itu merempuh sebuah asrama kolej perubatan di pinggir bandar Ahmedabad dan terbakar.
Setakat awal malam ini, pasukan penyelamat menemui lebih 200 mayat di lokasi nahas.
Pesawat itu terhempas di kawasan kejiranan namun masih tidak pasti sama ada terdapat penduduk yang maut atau cedera.
Semasa kejadian, pesawat yang diangggap antara paling selamat itu membawa 169 warga India, 53 rakyat Britain, seorang penumpang Kanada dan tujuh warga Portugal. – AGENSI
Disyaki angkara hutang, 3 rumah rosak akibat letupan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis syak insiden letupan di Taman Serumpun, di Bukit Mertajam, awal pagi tadi yang mengakibatkan kerosakan tiga rumah disebabkan masalah hutang.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian pada 1.05 pagi, memaklumkan terdengar satu bunyi letupan kuat di kawasan perumahan terbabit.
“Siasatan polis mendapati letupan dipercayai berpunca daripada mercun dibaling ke dalam sebuah rumah dan impak letupan itu telah menyebabkan dua rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan.
“Kejadian telah menyebabkan ketiga-tiga rumah rosak pada bahagian siling dan halaman rumah. Turut mengalami kerosakan kenderaan di dua rumah,” katanya menurut Bernama.
Helmi berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden disebabkan masalah hutang dan perbuatan itu disyaki dilakukan dua lelaki menaiki sebuah kereta, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke IPD Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Assan Alimudin di talian 012-4418081.
Pencuri sumbat ayam hidup dalam seluar
KOSMO

Pencuri itu cuba menyembunyikan ayam hidup di dalam poket seluarnya. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang lelaki mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam mencuri ayam hidup dengan menyembunyikan haiwan itu di dalam seluarnya, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @gummiegrannie72 menunjukkan lelaki terbabit masuk ke dalam sebuah kandang ayam.
Dia kemudian mencuri beberapa ekor ayam sebelum disembunyikan di dalam seluarnya lalu melarikan diri.
Masih belum jelas lokasi kejadian itu berlaku.
“Pencuri ayam tahap tinggi sampai sanggup masukkan ayam hidup ke dalam seluar,” kata seorang netizen. – AGENSI
Pesawat Air India ke London terhempas
Bernama
Penerbangan membawa 242 penumpang termasuk 12 anak kapal terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, di Gujarat.
Pesawat Boeing 787-8 terlibat nahas membawa 169 warga India, 53 warga British, seorang warga Kanada, dan tujuh warga Portugal. (Gambar AFP)
NEW DELHI: Pesawat Air India dalam penerbangan ke London membawa 242 penumpang termasuk 12 anak kapal terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di Gujarat, barat India.
Penerbangan AI171 itu berlepas pada 1.38 tengah hari waktu tempatan, menurut kenyataan Air India.
Pesawat Boeing 787-8 yang terlibat dalam nahas itu membawa 169 warga India, 53 warga British, seorang warga Kanada, dan tujuh warga Portugal.
“Mangsa yang cedera sedang dibawa ke hospital berhampiran. Kami juga telah membuka talian bantuan khas untuk penumpang di nombor 1800 5691 444 bagi mendapatkan maklumat lanjut. Air India memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan berhubung insiden ini,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.
Setakat ini, jumlah mangsa terselamat masih belum diketahui.
“Kami berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi. Saya sendiri memantau keadaan dan telah mengarahkan semua agensi penerbangan dan tindak balas kecemasan untuk bertindak segera dan secara terselaras,” kata Menteri Penerbangan Awam India Ram Mohan Naidu Kinjarapu menerusi hantaran di platform X.
“Pasukan penyelamat telah digerakkan, dan segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan bantuan perubatan dan sokongan kecemasan segera sampai ke lokasi kejadian,” katanya lagi.
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel (SVPIA) di Ahmedabad dihentikan selepas insiden itu.
“Semua operasi penerbangan ditangguhkan sementara sehingga diberitahu kelak,” kata jurucakap lapangan terbang.
Bas dua tingkat langgar lori tunda, pemandu cedera, 9 penumpang selamat
BERNAMA

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas bas dua tingkat langgar lori tunda di KM311.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM.
Ipoh: Seorang pemandu bas dua tingkat cedera manakala sembilan penumpang selamat dalam kemalangan dengan sebuah lori tunda di Kilometer 311.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, bas membawa sembilan penumpang termasuk pemandu kedua melanggar bahagian belakang lori tunda terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 1.28 pagi.
"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan BBP Gopeng yang tiba di lokasi mendapati pemandu bas berusia 29 tahun itu tersepit di tempat duduknya.
"Mangsa yang cedera pada kaki kanan berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu dengan menggunakan peralatan khas dan kemudian dihantar ke hospital," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala operasi tamat sepenuhnya pada 2.33 pagi.
Lans koperal mengaku tidak bersalah bunuh pelajar UPSI
Malaysiakini
Anggota polis yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit pada tahun lepas, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.
Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian wanita berusia 25 tahun itu di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, dekat Shah Alam antara 9 pagi, 10 Julai 2024 hingga 6 petang, 15 Julai tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Hakim Julia Ibrahim kemudian menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Muhammad Alif yang berpakaian kemeja-T tiba di mahkamah diiringi anggota polis dan diwakili peguam bela Nur Aida Md Zainuddin dan Aida Jaafar.
Pada 26 Julai 2024, Muhammad Alif didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris itu, dan pada 28 Mei mahkamah berkenaan memutuskan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 sebelum mayatnya dijumpai lima hari kemudian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, kira-kira 6 petang.
- Bernama
Pelajar 17 tahun, calon SPM tikam ibu, abang tertekan dipaksa belajar
DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

POLIS menahan suspek berusia 17 tahun selepas dipercayai membunuh ibu dan abangnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka.
MELAKA – Seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, awal pagi tadi.
Dalam tragedi kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 51 dan 21 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu, manakala mangsa yang terselamat berada di kawasan garaj kediaman tersebut.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal pihak polis di lokasi telah membawa kepada penahanan suspek berusia 17 tahun yang juga merupakan anak kedua keluarga berkenaan.
Katanya, turut dirampas adalah sebilah pisau lipat dengan anggaran panjang 20 sentimeter yang disimpan di dalam beg sekolah milik suspek.
“Mangsa wanita merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan anak sulungnya adalah pelajar kolej.
“Kedua-dua mereka mati dipercayai akibat ditikam suspek menggunakan pisau lipat dengan kesan tikaman di leher, pinggang dan belakang badan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, hari ini.
Tambahnya, mangsa yang terselamat merupakan anak bongsu keluarga tersebut dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan ditikam.
Mengulas lanjut beliau berkata, motif kejadian dipercayai disebabkan dendam susulan kedua-dua mangsa yang mati didakwa sering memarahi suspek dan memaksanya mengulang kaji pelajaran.
“Kita syak suspek menyimpan dendam terhadap si mati kerana jiran tetangga mendakwa keadaan rumah tersebut sering berlaku pergaduhan dan remaja itu mengalami tekanan kerana dipaksa belajar, mungkin kerana dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Jenayah ini telah dirancang suspek kerana pisau tersebut telah dibelinya, malah remaja itu juga cuba menghapuskan barang bukti termasuk pakaian dengan kesan darah ke kawasan semak berhampiran tetapi kita berjaya mencarinya,” jelasnya.
Ujarnya lagi, pengakuan awal dibuat suspek mendakwa dia cuba membunuh guru tersebut ketika mangsa berada di dalam bilik tidur sebelum kejadian disedari oleh abangnya yang kemudian turut terkena tikaman ketika bergelut untuk menyelamatkan ibu mereka.
Katanya, suspek selepas itu cuba membunuh adiknya berusia 13 tahun selepas mangsa yang diarahkan untuk keluar dari rumah tersebut enggan berbuat demikian.
“Mungkin remaja itu tidak ada dendam atau marah dengan adiknya, jadi dia suruh keluar dari rumah tetapi mangsa tidak mahu lalu dia turut ditikam.
“Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan ditemui berlumuran darah di garaj rumah sebelum diselamatkan jiran selepas dia menjerit meminta tolong,”katanya.
Dzulkhairi berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- KOSMO! ONLINE
Kelantan: Ibu didakwa biar kekasih rogol anak, lelaki tidak mengaku rogol anak kekasih
Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menganiaya anak perempuannya dengan membiarkan mangsa dirogol kekasihnya pada 31 Mei lalu.
Wanita itu itu yang berusia 42 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di sini, pada 10 malam.
Tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Dalam prosiding berasingan, kekasih wanita itu yang juga seorang penganggur didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Hanif Omar, 50, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga remaja perempuan berusia 16 tahun tujuh bulan di tempat dan masa yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius dan membabitkan mangsa bawah umur.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.
3 warga Indonesia dari Aceh dijanjikan kerja, dikurung hampir setahun
FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga warga Indonesia dikurung hampir setahun di sebuah kondominium di George Town sebelum diselamatkan polis kelmarin, sedang menumpang di rumah saudara.
Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad, berkata tiga lelaki berusia 28 hingga 52 itu dalam keadaan baik dan polis sudah merakam keterangan mereka.
Menurutnya, tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini dan siasatan mendapati tiga mangsa tidak bekerja itu datang ke Malaysia kerana dijanjikan pekerjaan.
“Mereka masuk ke negara ini menerusi pengangkutan feri dan semua mangsa dikurung bagi mengelak melarikan diri dari rumah berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Semalam, media melaporkan tiga warga Indonesia diselamatkan dari sebuah pangsapuri di Jalan Dr Wu Lien Teh kira-kira 2 petang susulan laporan seorang lelaki dari Aceh berusia 47 tahun yang mencari saudaranya hilang tanpa jejak sejak setahun lalu.
Difahamkan, tiga mangsa dikurung dalam rumah dengan kaki dirantai menggunakan rantai besi dan diikat pada jeriji tingkap.
Polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing dipercayai ditugaskan untuk menjaga mangsa.
Keempat-empatnya direman empat hari hingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah.
2 remaja maut dirempuh kereta di persimpangan lampu isyarat
Malaysiakini
Dua remaja perempuan maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di Temerloh, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata kemalangan kira-kira jam 11 malam itu mengorbankan Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun.
Katanya, kemalangan itu melibatkan motosikal Yamaha Ego Avantiz dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Mentakab menuju ke Bulatan Bukit Angin.
“Ketika berhenti di lampu isyarat yang sedang merah, sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai tidak memperlahankan kenderaan dan melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, mayat kedua-dua remaja terbabit dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan untuk bedah siasat pagi ini.
Sementara itu, Mazlan memaklumkan pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemukan paket plastik disyaki mengadungi dadah syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.
Sehubungan itu, pemandu kereta berusia 38 tahun yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Bernama
3 lelaki gagal lolos, polis temu bahan letupan buatan sendiri, dadah
FMT Reporters
PETALING JAYA: Bahan letupan buatan sendiri (IED) antara ditemukan susulan tindakan tiga lelaki yang sebelum itu cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya, awal pagi ini.
Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad, berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda, IPD Serdang sedang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Putra Permai dari arah Sierra 16 menghala ke Seri Kembangan.
Katanya, kereta Honda Civic berwarna kelabu bertindak memecut laju ke arah Seri Kembangan, namun hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan lalu terbalik, dekat persimpangan Jalan Suakasih ke Lebuhraya Kajang SILK.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui pelbagai jenis dadah disyaki kokain seberat 77.10g, ganja (49.28g), MDMA (54.07g), ketamin (30.18g), pil yaba (3.20g), pil ecstasy (3.40g), dan pil Eramin 5 (0.98g).
“Turut ditemui satu objek berwarna kelabu yang dibalut plastik lutsinar mengandungi komponen besi dan skru bersama satu gulung wayar dan satu unit bateri motosikal yang dipercayai peranti bahan letupan buatan sendiri (IED),” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, tiga lelaki tempatan berkenaan berusia 40 hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, dua daripada mereka mempunyai 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripadanya turut dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Ketiga-tiga suspek kini diserahkan kepada IPD Kajang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Ha ha ha! Tiba-tiba ada ‘line’ jalan di lokasi pelajar UPSI maut
KOSMO!

Tangkap layar klip video yang menunjukkan garisan jalan berkembar baru dibuat di kawasan FT004.
PETALING JAYA – Lokasi kemalangan maut yang membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dikenali kawasan FT004 hari ini dikatakan telah dibuat ‘line’ jalan baharu.
Menerusi satu hantaran di Instagram milik orang awam menunjukkan, garisan berkembar baharu telah dibuat di kawasan kamalangan yang berlaku pada malam Isnin lalu.
“Betul jalan ni turun bukit, kawasan kemalangan ni curam. Tiba-tiba ada line jalan baru,” ujar pemilik video tersebut yang difahamkan dalam perjalanan dari Perak ke Kelantan.
Terdahulu pada semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan, lokasi kejadian yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan antara Seksyen telah dikenal pasti bagi kerja membaik pulih pada tahun ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Beliau berkata, pebagai inisiatif telah diambil oleh pihak Kementerian bagi membaik pulih laluan Gerik-Jeli terutamanya di FT04.
“Pada bulan Jun 2023, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan di FT04, manakala pada bulan Ogos tahun yang sama, Perdana Menteri telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi untuk menaiktaraf laluan Gerik-Jeli.
“Peruntukan ini telah digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT04,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE.
Lelaki warga Myanmar maut ditikam, polis buru rakan senegara
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

POLIS memburu warga Myanmar yang terbabit dalam kes bunuh di Tangkak, malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Tangkak: Kurang dua minggu selepas kejadian suami mengelar leher isteri dengan pisau hingga maut, satu lagi kes bunuh berlaku di daerah ini, malam tadi.
Kejadian berlaku pada jam 7 malam membabitkan lelaki warga Myanmar yang dibunuh menggunakan senjata tajam dipercayai pisau di sebuah rumah sewa, Jalan Kemajuan di sini.
Difahamkan, sebelum itu, berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek berusia 24 tahun namun lelaki itu melarikan diri selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, suspek adalah warga Myanmar serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan selepas dia dilaporkan melarikan diri.
Justeru, katanya, sebarang maklumat berkenaan suspek boleh disalurkan ke talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9785222 atau menghubungi pegawai penyiasat 019-2699573.
Pada 2 Jun lalu, seorang wanita maut selepas dikelar suaminya dengan pisau pemotong sayur selepas berlaku pertengkaran di sebuah rumah, Taman Cahaya, Bukit Gambir.
Kejadian hanya diketahui pada keesokan hari selepas lelaki itu ditahan ketika menyerah diri ke balai polis.
Jasad dalam keadaan memeluk al-Quran, apa yang berlaku di akhirat?
Harapandaily

Salah seorang daripada 15 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur‑Barat, Gerik, Perak awal pagi 9 Jun lalu adalah Nurly Shahirah Azman.
Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berusia 23 tahun itu merupakan seorang hafizah yang menghafal 30 juzuk al‑Quran dan sering menulis semula ayat‑ayat suci untuk memperkukuh hafalannya.
Dalam nahas bas itu, jasad bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berkenaan ditemui memeluk mushaf al‑Quran, seolah-olah itulah teman terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mengulas pengakhiran baik (khusnul khotimah) pelajar Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) itu, pendakwah PU Salman mengaitkan dengan keadaan setiap manusia semasa dibangkitkan pada hari kiamat di Padang Mahsyar kelak.
“Kita akan dibangkitkan mengikut keadaan cara kita mati.
“Hadis Riwayat Muslim bermaksud, setiap hamba akan dibangkitkan dalam keadaan dia mati.
“Jika dia mati dalam keadaan bersembahyang, maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan bersembahyang.
“Kalau dia meninggal dalam keadaan berjuang, dia akan dibangkitkan dalam keadaan berjuang.
“Insya-Allah, dia (Nurly Shahirah) akan dibangkitkan dalam keadaan memeluk mushaf,” katanya dalam perkongsian video di TikTok.

Al-Quran tahriri 30 juzuk tulisan tangan arwah Nurly Shahirah. Semua pelajar Sekolah Menengah Imtiaz wajib menulis ayat-ayat al-Quran ketika menghafal. Apabila khatam, siaplah tulisan tangan senaskhah al-Quran.
Sementara itu, abang Nurly Shahirah turut berkongsikan gambar memaparkan ayat-ayat suci al-Quran tulisan tangan arwah.
Najmuddin Azman berkata, kediaman keluarganya turut dikunjungi Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut serta, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’.

Najmuddin memegang naskhah al-Quran tulisan tangan adiknya, Nurly semasa rombongan dari Istana Terengganu menziarahi keluarga mereka di Jertih, hari ini.
Tengku Muhammad Ismail dan rombongan yang hadir di Kampung Gong Pasir, Kerandang di Jertih, meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama keluarga Allahyarham dan turut meneliti naskhah al-Quran tulisan tangan arwah.
“Terima kasih Tuanku mencemar duli datang ke rumah arwah Nurly. Tuanku tengok hasil tangan arwah menulis al-Quran di buku.
“Itu merupakan amalan arwah untuk menguatkan hafazan arwah. Cantik sangat-sangat tulisan arwah,” kata Najmuddin.
Motif 'suka-suka' - 8 pelajar ditekap seterika panas masa tidur
Malaysiakini
Mahkamah Majistret di Kuching hari ini memerintahkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua yang menekap lapan rakan asrama yang sedang nyenyak tidur dengan seterika panas hanya untuk suka-suka, ditempatkan di Sekolah Henry Gurney hingga berusia 17 tahun.
Perintah itu diputuskan selepas remaja berusia 14 tahun dari Matang, dekat Kuching mengaku bersalah atas lapan pertuduhan yang dibacakan di tiga Mahkamah Majistret di sini iaitu di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, Mason Jaro Lenya Barayan dan Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Remaja itu juga diarahkan untuk menjalani pengawasan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat selama setahun, selain ibu bapa dibenarkan melawatnya dua bulan sekali.
Pelajar berkenaan mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap lapan rakan berusia antara 13 dan 15 tahun di asrama sebuah sekolah di Matang antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 2 Mei lepas.
Susulan kejadian itu, semua mangsa mengalami kecederaan di anggota badan seperti melecur pada lengan, betis, buku lali dan tengkuk.
Menurut fakta kes, remaja itu melakukan kesalahan jenayah dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan seterika panas dengan cara menekap badan-badan mangsa yang merupakan rakan asrama yang sedang nyenyak tidur.
Kejadian turut disaksikan rakan asrama lain dan remaja itu melakukan hanya untuk suka-suka dengan niat untuk membuli mereka.
Remaja terbabit dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan seterika panas untuk menekap badan kesemua mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Nur Shafiqa Nyaie Ilin dan ASP Arman Ibrahim manakala remaja itu diwakili peguam Russel Lim dan Brandon Ling.
- Bernama
Kurung 3 lelaki dalam pangsapuri, empat ‘penjaga’ ditahan
SAFINA RAMLI
Empat suspek ditahan selepas dipercayai mengurung tiga lelaki warga asing di sebuah pangsapuri di George Town, semalam.
GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang dipercayai dikurung dalam sebuah rumah pangsapuri di sini, hasil serbuan yang dijalankan semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun yang memaklumkan mengenai kejadian rakannya dikurung di sebuah pangsapuri di George Town.
“Bertindak atas maklumat tersebut, kira-kira pukul 2 petang semalam, sepasukan polis telah menjalankan serbuan di lokasi yang dimaksudkan dan berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing berumur antara 28 hingga 52 tahun.
“Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan sihat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, polis turut menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan berumur antara 40 hingga 56 tahun, dan seorang wanita warga asing berumur 40 tahun yang dipercayai berperanan menjaga mangsa-mangsa terbabit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah dan semua suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Jun bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Lelaki dakwa penjual belon ajak makan pisang, tawar RM50 tunjuk ‘ehem’
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TANGKAP layar seorang lelaki yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang penjual belon di Genting Highlands di Bentong.
BENTONG – Polis meminta seorang lelaki yang mendakwa mengalami gangguan seksual daripada seorang penjual belon di Genting Highlands agar tampil membuat laporan polis.
Dalam hantaran TikTok yang tular semalam, lelaki berkenaan mendakwa seorang penjual belon memberikannya belon percuma sebelum diajak makan pisang di dalam sebuah balik.
Bagaimanapun lelaki berkenaan memintanya menunjukkan kemaluan dan menawarkan RM50 sebagai ganjaran sebelum dia bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tiada laporan polis diterima berkaitan kes itu setakat ini.
“Pihak polis memohon pemilik akaun TikTok https://vt.tiktok.com/ZSkPo8KH3/ untuk tampil ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semakan awal polis terhadap isi kandungan pemilik TikTok berkenaan mendapati ada beberapa kejadian yang hampir sama menunjukkan dia menjadi mangsa cubaan perlakuan jenayah di beberapa lokasi lain.
Dalam pada itu beliau meminta kerjasama mana-mana pihak yang mengalami kejadian seperti itu agar menghubungi pihak polis atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
Penguatkuasa tidur atau ditidurkan
59 kes ceroboh hutan simpan di Pahang jadi kebun durian haram sejak 2019
FMT Reporters
Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Zainuddin Jamaluddin berkata pokok durian ditanam secara haram akan ditebang tanpa mengira saiz atau kedudukan kawasan hutan.
Sukarelawan daripada 23 NGO menanam pokok di Hutan Simpan Batu Talam, Raub yang diceroboh untuk dijadikan kebun durian haram pada Ogos 2021. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) menjalankan 114 operasi penguatkuasaan sejak 2019 membabitkan 59 kes pencerobohan hutan simpan dijadikan kebun durian haram.
Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin, berkata pikap, motosikal dan peralatan meracun antara 101 barangan ditemui dalam kawasan hutan itu yang disita.
Katanya, pencerobohan dikesan melalui rondaan, dron dan satelit, dengan pihak terbukti menceroboh boleh didakwa mengikut Seksyen 32, 47 dan 50 Akta Perhutanan Negara 1984 yang membawa hukuman penjara serta denda.
“Pokok durian akan ditebang menggunakan mesin gergaji berantai tanpa mengira saiz pokok atau kedudukan kawasan hutan,” katanya menurut Berita Harian.
“Tindakan penguatkuasaan ini bukan zalim, walaupun ramai tidak bersetuju kerana sebelum operasi penguatkuasaan dilakukan, rundingan diadakan dengan pekebun haram bagi membuka peluang mereka membuat pilihan.”
Beliau berkata, selepas pokok haram ditebang, Pejabat Silvikultur Negeri JPNP Zon Barat akan menanam pelbagai spesies pokok balak berkualiti, seperti Meranti, Merbau, Perah dan Keruing.
Katanya, pelbagai cabaran dihadapi Unit Penguat Kuasa Barat JPNP dan agensi penguat kuasa daerah, termasuk lokasi diceroboh jauh, tanah milik berpagar, laluan sempit serta berbahaya.
“Kita tetap melakukan operasi penguatkuasaan secara berterusan dalam memastikan pencerobohan hutan simpan tidak terus berlaku.
“JPNP tidak berkompromi dalam kes pencerobohan hutan yang dijadikan kebun durian membabitkan beberapa kawasan hutan simpan.”
Pada 2021, JPNP menebang kira-kira 15,000 pokok durian di sebuah kebun haram Musang King lebih 101.17 hektar di Hutan Simpan Batu Talam, Raub.
Kira-kira 20,000 pokok hutan antaranya Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain ditanam di kebun itu kemudian.
Bulan lalu, JPNP membantu operasi penguatkuasaan kebun haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau, Raub.
Langgan:
Ulasan (Atom)






