"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video: Aktivis flotila Malaysia tiba di Terminal VIP di Istanbul

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Antara aktivis Malaysia yang tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul di Turkiye, hari ini.
PUTRAJAYA – Seramai 23 aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul di Turkiye pukul 8.40 malam tadi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel, hari ini.

Menurut sumber Kosmo! di Istanbul, 23 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat Turkish Airlines itu tiba di Istanbul sebelum dibawa ke Terminal VIP untuk proses seterusnya.

“Semua mereka telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul dan akan dibawa ke hotel untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini tadi.

Difahamkan, kumpulan itu akan bermalam di Istanbul menerusi jemputan dan tajaan kerajaan Turkiye sebelum diterbangkan pulang melalui penerbangan Turkish Airline yang juga ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Turkiye.

Terdahulu, 23 rakyat Malaysia yang tiba di Istanbul merupakan sebahagian daripada 130 aktivis yang ditahan Israel termasuk 36 warga Turkiye.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan aktivis Malaysia yang tiba di Istanbul digalakkan untuk menginap di ibu kota itu terlebih dahulu sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

“Ia untuk siasatan kesihatan dan akibat trauma serta tekanan dengan rejim zalim, Israel juga telah bertindak agak keras dengan mereka.

“Saya setuju mereka akan pulang mungkin pada esok malam (malam hari ini) atau lusa (Isnin). Itu kita sedang atur, tetapi sekarang kita dapat berita yang sangat menyenangkan,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE

Kedah: Wanita warga emas ditemukan lemas dalam longkang depan rumah

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
MAYAT wanita warga emas ditemukan lemas di dalam longkang besar di hadapan rumahnya di Jalan Sanglang, Kampung Pida 12 Lama. FOTO Ihsan Bomba.
MAYAT wanita warga emas ditemukan lemas di dalam longkang besar di hadapan rumahnya di Jalan Sanglang, Kampung Pida 12 Lama. FOTO Ihsan Bomba.
MAYAT wanita warga emas ditemukan lemas di dalam longkang besar di hadapan rumahnya di Jalan Sanglang, Kampung Pida 12 Lama. FOTO Ihsan Bomba.

Jitra: Wanita warga emas berusia 88 tahun ditemukan lemas dalam longkang besar di hadapan rumah mangsa di Jalan Sanglang, Kampung Pida 12 Lama, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.46 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Hazim Hilman Hamidi tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Komander Operasi melaporkan jentera mengalami kesukaran untuk ke lokasi kerana laluan yang agak sempit.

"Setibanya di lokasi, terdapat seorang wanita warga emas yang dipercayai hilang sejak semalam ditemui timbul oleh orang awam di permukaan air di longkang besar di hadapan rumah mangsa.

"Anggota membawa mangsa ke darat dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Noor Azhar berkata, operasi tamat pada jam 3.21 petang.

Dua wanita disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki di hotel

Omar Ahmad
Dua wanita bersama seorang lelaki ditangkap khalwat di sebuah bilik hotel dalam operasi JAINJ, awal pagi hari ini – Foto Ihsan JAINJ
JOHOR BAHRU: Dua wanita bersama seorang lelaki ditangkap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), selepas disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di daerah ini, awal pagi hari ini.

Menurut JAINJ, kesemua mereka yang masih bujang ditahan kira-kira jam 2.15 pagi dalam satu operasi.

“Lima minit selepas pintu diketuk seorang lelaki membuka pintu sedikit sahaja dan sebaik mengetahui kehadiran penguat kuasa, lelaki berusia kira-kira 30-an kembali menutup semula pintu.

“Penguat kuasa terus memanggil dan mengetuk pintu sebelum pintu dibuka lima minit kemudian.

“Turut ditemui dua wanita berusia sekitar 20-an berpakaian lengkap di bilik itu.

“Ketika ditanya tujuan berada dalam bilik ini, lelaki itu memaklumkan dua wanita ini baru saja masuk untuk menumpang tandas kerana tandas stesen minyak berdekatan sudah tutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh diterima berikutan ketiga-tiga mereka beralamat di Johor Bahru dan tiada alasan untuk tidur di hotel.

“Dua wanita ini adalah kawan baik dan mengenali lelaki ini atas urusan kerja.

“Hotel didaftar atas nama lelaki dan dia yang mengajak dua wanita ini ke bilik hotel.

“Selepas diperiksa ketiga-tiga mereka ini tiada hubungan mahram dan boleh dikatakan melakukan kesalahan khalwat,” katanya.

Ketiga-tiga individu ditangkap atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

GSF: Peserta terima layanan buruk di Penjara Ketziot

KOSMO!
Penjara Ketziot - Foto Wikipedia
PETALING JAYA – Sukarelawan dan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) didakwa menerima pelbagai bentuk layaran buruk dan kekasaran oleh pengawal Penjara Ketziot.

Perkara itu didedahkan oleh Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) selepas pertemuan bersama kira-kira 80 peserta GSF semasa perbicaraan sebelum tribunal menyemak perintah tahanan.

Menerusi kenyataan Adalah, peserta flotila juga mendakwa tidak menerima sebarang makanan sejak penahanan tidak sah ke atas mereka.

“Ubat-ubatan mereka juga ditahan dan tiada ubat alternatif diberikan.

“Yang lain pula melaporkan ketiadaan akses kepada air minum bersih dan menggambarkan air yang ada sebagai tidak selamat atau berkualiti rendah,” menurut Adalah.

Dalam masa sama, Adalah memaklumkan, sekitar 200 perbicaraan telah dijalankan lewat malam Khamis dan berlanjutan hingga pagi Jumaat.

“Ia tanpa sebarang notis awal kepada peguam Adalah dan tanpa kehadiran peguam bela bagi peserta flotila.

“Perbicaraan masih diteruskan hari ini dan peguam kami kini berada di Penjara Ketziot di mana ratusan peserta flotila sedang ditahan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Adalah memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang komunikasi langsung daripada pihak berkuasa mengenai pengusiran yang bakal berlaku.

“Adalah mengesahkan bahawa sebuah pesawat Turkiye berlepas hari ini dengan penyelarasan Kedutaan Turkiye di Tel Aviv.

“Ia membawa 137 peserta dari beberapa negara termasuk Turkiye, Itali, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kuwait, Algeria, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Libya, Jordan, Switzerland, Bahrain dan Malaysia,” kata Adalah. – KOSMO! ONLINE

Penduduk Gaza terus menanti, harapan terkandas di lautan

KOSMO!
PENDUDUK Palestin bergerak ke selatan melalui laluan pantai di barat laut Kem Pelarian Nuseirat, tengah Gaza semalam. – AFP
PETALING JAYA – Penduduk Gaza terus menaruh harapan tinggi agar bantuan berupa makanan dan perubatan dapat di­salurkan dunia kepada mereka biarpun Misi Kemanusiaan Glo­bal Sumud Flotilla (GSF) tidak berjaya tiba di wilayah bergolak itu selepas ditahan tentera Israel.

Harapan tersebut diluahkan penduduk Gaza menerusi perkongsian di media sosial berhubung kezaliman rejim Zionis yang menyebabkan kehidupan mereka sengsara sehingga kini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, biarpun bantuan GSF tidak berjaya tiba di Gaza, rata-rata penduduk bersyukur apabila masih ramai masyarakat dunia cakna dengan isu di Palestin.

Seorang rakyat Palestin, Abdalkarim Ghattas memberitahu, khemah didiaminya bersama keluarga hanya 200 meter dari laut Deir al-Balah, iaitu ‘jantung’ kepada Gaza.

“Kami menunggu Sumud Flotilla dengan harapan membara. Anda adalah bot penyelamat kami, peluang terakhir kami untuk melarikan diri daripada kematian.

“Bagaimanapun kami tahu, mereka (Israel) tidak akan membenarkan anda menghubungi kami di Gaza. Tetapi anda berjaya menyebarkan ke seluruh dunia dengan kebenaran bahawa mereka tentera paling kejam di bumi,” katanya di Thread.

Seorang pelakon komedi Pa­lestin, Mahmoud Zuaiter menerusi hantaran di Instagram menzahirkan penghargaannya kepada sukarelawan yang menjayakan misi GSF.

“Saya naik ke tempat (bangunan) tinggi dan melihat ke arah laut Gaza. Hati saya merasakan ada Sumud Flotilla datang dan memecahkan kepungan.

“Mungkin tentera Israel akan menghalang mereka untuk sampai ke sini, tapi sampai ke dalam hati kami. Kami berasa gembira kerana masih ada orang-orang di dunia ini, jauh dari kami dan mengingati kami di

Gaza. Jadi setiap masa saya melihat laut, saya boleh lihat flotila sampai,” katanya.

Seorang peguam di Gaza dikenali Abood Siam Hamad berkata, penahanan aktivis dan sukarelawan oleh tentera Israel telah dijang­ka penduduk Gaza.

“Saya menuju ke pantai untuk merakam detik bersejarah. Berjalan dengan linangan air mata, ini adalah impian kebebasan yang kami nantikan.

“Saya tahu semua sedang rasa berat sedih sekarang. Saya tahu rasa kecewa itu dan saya juga telah menunggu dengan penuh semangat bagi ketibaan flotila ini.

“Harapan kami rapuh dalam kegelapan. Sejak awal lagi mereka telah menyerang sukarelawan yang tidak berdaya serta menyekat sebarang talian hayat kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, KhaledMtr dalam perkongsian di Thread berkata, mereka kecewa apabila mendapat maklumat bahawa kapal sukarelawan GSF dipintas tentera Israel walaupun telah memasuki zon merah.

“Saya dan keluarga sudah duduk di pantai Gaza sejak pagi menunggu flotila. Kalau tidak datang, apa yang harus saya beritahu pada keluarga saya,” katanya.

KhaledMtr turut menzahirkan penghargaan atas keberanian pasukan flotilla itu yang sanggup mengambil risiko besar demi membawa bantuan ke Gaza.

“Saya meninggalkan pantai dengan hati yang hancur, mengharapkan sekurang-kurang satu bot akan sampai kepada kami. Mungkin ini yang terbaik, Allah lebih mengetahui.

“Terima kasih kepada kru Global Sumud Flotilla atas keberanian besar ini. Saya berdoa semoga Allah melindungi mereka, menjaga keselamatan mereka dan menjauhkan daripada sebarang bahaya.

“Saya masih berharap suatu hari nanti bot-bot Sumud Flotilla akan selamat sampai kepada kami,” katanya.

Dalam sebuah video yang dikongsikan di Thread, seorang penduduk berkata sehingga kini tiada bot yang kelihatan tiba di pesisir Gaza.

“Kami mendoakan keselamatan buat mereka yang sanggup mengambil risiko demi Gaza dan berharap agar bot-bot yang masih berlayar akan sampai kepada kami dengan selamat,” katanya.

Guru disyaki rogol pelajar 14 tahun direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru sekolah menengah di Seberang Perai direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki merogol pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting selepas membenarkan permohonan polis.

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, menurut Harian Metro.

Difahamkan, suspek menyerah diri di IPD selepas mangsa yang juga pelajar di sekolah sama membuat laporan mengenai kejadian itu.

Mangsa melaporkan dirogol oleh suspek di tempat letak kereta terbuka sebuah kompleks beli-belah di Persiaran Bayan Indah di sini, pada November lalu.

Majikan wanita siram air panas kepada pekerja perempuan kerana jalin hubungan romantik

KOSMO!
MANGSA mengalami lecur teruk pada beberapa anggota badannya. - Foto Facebook
BANGKOK – Seorang majikan wanita didakwa menyiram air mendidih ke atas pekerja perempuannya selepas mengetahui dia menjalin hubungan romantik dengan abang penyerang berkenaan di Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.

Serangan mengejutkan terhadap mangsa berusia 22 tahun itu menarik perhatian umum secara meluas selepas seorang pesohor media sosial berkongsi kes tersebut di laman Facebooknya, Ban Hia Charn Oui Ubon.

Dia memuat naik gambar mangsa yang menunjukkan tangan, lengan dan lehernya berbalut akibat kecederaan melecur teruk.

Kakak mangsa berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) pada Isnin lalu di sebuah kedai motosikal di wilayah Ubon Ratchathani.

Stesen televisyen Channel 7 melaporkan bahawa penyerang tersebut, ditemani bapanya, kemudian menyerah diri di balai polis. 

Dia telah didakwa atas tuduhan serangan fizikal yang menyebabkan kecederaan serius, satu kesalahan yang boleh dihukum penjara enam bulan hingga 10 tahun. – AGENSI

23 aktivis flotila Malaysia dijangka dibawa ke Turkiye dalam 48 jam

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Sani Araby bercakap pada sidang akhbar di SNCC di Sepang hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!
SEPANG- Seramai 23 rakyat Malaysia yang kini ditahan tentera Israel di Pelabuhan Ashdod dijangka di bawa ke Turkiye dalam tempoh 48 jam.

Perkara itu disahkan oleh Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) pada sidang akhbar di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, perkembangan terbaharu itu hasil hubungan diplomatik baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Kami menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi.

“Saya kira sedikit masa lagi kita dapat menjemput mereka untuk bawa pulang ke Malaysia mungkin daripada Ankara ataupun daripada Istanbul. Teruskan berdoa,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri telah memaklumkan perkembangan baik itu kepadanya pagi tadi malah, beliau (Anwar) memberi komitmen maksima dalam usaha membawa pulang mereka ke tanah air.

Sani Araby berkata, pihaknya dimaklumkan, barisan peguam bagi pihak Malaysia daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) yang berada di Ashdod telah berhubung dengan kesemua rakyat Malaysia yant ditahan.

“Mereka memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sani Araby berkata, pihaknya mengesahkan kapal terakhir yang berlayar di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza iaitu kapal Marinette telah dipintas rejim Zionis pada jam 3:30 petang waktu Malaysia.

“Dimaklumkan tiada rakyat Malaysia di atas kapal tersebut. Kami juga ingin mengesahkan bahawa kapal pemerhati (observer) Shireen telah selamat berlabuh di pelabuhan Paphos, Cyprus pada 3.40 petang waktu Malaysia.

“Kapal Shireen berperanan menyediakan khidmat guaman dan perubatan kepada seluruh peserta flotilla sepanjang pelayaran. Kapal ini juga diberi peranan untuk mengikuti dari awal flotila sehingga saat akhir, namun kapal observer akan meneruskan perjalanan mereka dan tamat di Cyprus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Himpunan solidariti GSF kecoh, peserta baling telur

FMT Reporters

Perhimpunan bermula aman tetapi jadi kecoh selepas beberapa peserta mendesak polis alih sekatan menuju ke kedutaan AS.
Kawalan keselamatan di hadapan kedutaan AS di Kuala Lumpur diperketatkan dengan kehadiran anggota FRU. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Perhimpunan solidariti Global Sumud Flotilla (GSF) di Kuala Lumpur hari ini kecoh apabila berlaku insiden tolak menolak antara peserta dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang menghalang mereka daripada berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Perhimpunan itu pada mulanya berlangsung secara aman tetapi menjadi kecoh selepas beberapa peserta mula menjerit ke arah polis dan menuntut sekatan menuju ke kedutaan dialihkan, lapor Utusan Malaysia.

Beberapa individu juga dilihat membaling telur ke arah pagar kedutaan manakala berlaku tolak menolak antara pasukan FRU dengan peserta.

Polis berjaya meredakan keadaan tanpa sebarang tangkapan dan menggesa peserta perhimpunan supaya bertenang.

Ribuan orang dilaporkan berkumpul di bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sekitar jam 2 petang sebelum berarak menuju ke kedutaan AS untuk membantah tindakan tentera Israel memintas GSF di Laut Mediterranean.

Protes di hadapan kedutaan AS bermula sejak semalam, dengan polis menahan dua peserta kerana didakwa menghalang anggota menjalankan tugas. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Hari ini, kawalan polis di hadapan kedutaan AS lebih diperketatkan, dengan anggota FRU turut dikerahkan.

2 maut hidu gas beracun, JKKP keluar notis tutup kilang

Bernama

JOHOR BAHRU: Dua operator maut, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di sebuah hospital selepas terhidu gas beracun dalam kejadian di sebuah kilang pengurusan dan rawatan sisa buangan terjadual di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini pada 30 Sept lepas.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor menerusi kenyataan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan yang menimpa tiga operator ditugaskan untuk mengendalikan operasi loji rawatan air sisa (WWTP) di premis berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan. Namun, dua daripada mereka disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital, manakala seorang lagi sedang menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.

JKKP Johor memaklumkan hasil siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada pelepasan gas beracun iaitu hidrogen sulfida di satu daripada sump pit WWTP berkenaan.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa terlibat bertugas pada syif 7 malam, sebelum dua daripadanya ditemukan terbaring di kawasan WWTP sekitar 9.15 malam dan seorang lagi rebah ketika ingin memberikan bantuan selepas mengalami sesak nafas.

“Seorang lagi pekerja yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian, menyedari situasi itu dan mendapati tiga pekerja terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri, lalu memaklumkan kepada pengurusan kilang untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, JKKP Johor memaklumkan dua notis larangan dan tiga notis pembaikan berkaitan aktiviti kerja WWTP kilang serta arahan penutupan keseluruhan lokasi kemalangan di kilang itu telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Jabatan memandang serius terhadap setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan menasihati majikan supaya lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” menurut kenyataan itu.

Majikan turut dinasihatkan supaya menjalankan penaksiran risiko bagi setiap aktiviti pekerjaan dan mengambil langkah-langkah kawalan.

Pada 30 Sept lepas, Jabatan Bomba Johor menjalankan operasi susulan insiden pencemaran bau kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum di sini, yang melibatkan tiga mangsa.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Johor, panggilan kecemasan diterima pada 11.11 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba Pasir Gudang bersama unit HAZMAT Balai Bomba Larkin tiba di lokasi pada 11.16 malam.

Jabatan itu bagaimanapun memaklumkan maklumat terperinci mengenai mangsa tidak dapat diperoleh kerana telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

Peka tuduh UPM upah syarikat bunuh anjing liar RM400 seekor

Malaysiakini 

Sebuah NGO alam sekitar menuduh Universiti Putra Malaysia (UPM) terlibat dalam pembunuhan anjing secara tidak sah, dengan mendakwa institusi pendidikan itu membayar sebuah syarikat pembersihan untuk membunuh haiwan tersebut.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa UPM telah melantik sebuah syarikat perkhidmatan berpengkalan di Sentul untuk “membunuh” anjing pada kadar bayaran RM400 seekor.

“Bukti mengesahkan sekurang-kurangnya 15 ekor anjing telah dibunuh oleh (syarikat berkenaan) melalui tembakan. Bukti bergambar juga mengesahkan tindakan ini,” kata presiden Peka, Rajesh Nagarajan pada satu kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi, seorang pekerja syarikat yang dinamakan dalam invois bertarikh November 2024 – yang dikatakan dihantar kepada UPM bagi tujuan “menangkap dan melupuskan anjing liar” – enggan mengulas dan sebaliknya mengarahkan pertanyaan dikemukakan terus kepada UPM.

Walaupun invois itu tidak menyatakan cara anjing-anjing tersebut dilupuskan, dokumen berkenaan memaparkan beberapa cop yang kelihatan daripada pihak berkuasa UPM.

Semakan Malaysiakini terhadap syarikat itu juga mendapati hampir tiada kewujudan dalam talian, kecuali satu alamat dan nombor telefon pejabat.

Rajesh menegaskan tindakan pembunuhan tersebut jelas melanggar Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang melarang perbuatan menyebabkan kesakitan, penderitaan atau kematian haiwan tanpa keperluan.

Dia berkata pembunuhan itu juga bercanggah dengan Seksyen 30(1) akta sama, yang melarang pembunuhan anjing, kucing atau haiwan tertentu lain menggunakan senjata api, kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa veterinar bagi keadaan darurat atau kawalan penyakit.

“Penggunaan senjata api tanpa lesen yang sah juga berpotensi menjadi kesalahan di bawah Akta Senjata 1960 dan/atau Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya lagi.

Selain mendesak supaya semua pembunuhan haiwan oleh UPM dihentikan segera, Rajesh berkata Peka juga menuntut polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan siasatan terhadap UPM dan syarikat terbabit.

Tegasnya, Kementerian Pendidikan Tinggi turut perlu terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang tanpa lengah bagi memastikan semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Malaysiakini sudah menghubungi UPM untuk mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan ini dan masih menunggu jawapan.

Kedah dilanda banjir susulan hujan lebat sejak pukul 6 petang

NORLIDA AKMAR IDROS
Tangkap layar video kawasan yang dilanda banjir susulan hujan lebat sejak pukul 6 petang tadi.
JITRA – Beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah Kubang Pasu dan Pokok Sena dilanda banjir susulan hujan lebat sejak pukul 6 petang tadi.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas di daerah Kubang Pasu setakat ini adalah Tanah Merah, Taman Mahsuri, Pantai Halban dan Kampung Malau.

Sementara di daerah Pokok Sena, kawasan terjejas antaranya Kampung Tuba dan Kampung Machang Kudong.

Sebahagian kawasan di negeri ini masih dilanda hujan lebat sehingga pukul 8 malam ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Kanan I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra melakukan operasi pemindahan seorang penduduk yang lumpuh di Kampung Malau ke tempat selamat.

“Pasukan bomba di Zon 1 JBPM Kedah melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap kini dalam keadaan bersiap sedia,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan 12 negeri sehingga pukul 7 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dilanda cuaca buruk.

“Di Kelantan kawasan yang diramal hujan lebat adalah Machang, Pasir Puteh dan Gua Musang. Selain itu, seluruh negeri Terengganu dan Pahang turut diramal cuaca yang sama.

“Di Selangor, hanya daerah Sabak Bernam sahaja diramal hujan, selain seluruh negeri Johor turut diramal cuaca yang sama,” ujarnya.

Bagi negeri Sarawak, hujan diramal di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Mukah (Tanjung Manis), Kapit (Song), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.

Di Sabah, ribut petir turut dijangka di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat. – KOSMO! ONLINE

Malaysia mohon bantuan Turki bawa 23 aktivis GSF keluar dari Israel

Faiz Zainudin

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata proses membawa pulang dijangka ambil masa dua atau tiga hari jika semua rundingan berjalan lancar.
delegasi malaysia sumud flotilla
Seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla dari Malaysia ditahan tentera Israel. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Malaysia memohon bantuan Turki membawa keluar 23 aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Malaysia juga sedang menggembleng segala usaha diplomasi dengan negara sahabat termasuk Qatar bagi menyelamatkan mereka yang ditahan.

Katanya, beliau menghubungi dan bercakap dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi tersebut.

Anwar berkata, beliau turut berhubung dengan Amerika Syarikat (AS) termasuk bekas setiausaha negara, Antony Blinken serta Duta Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, bagi membantu menyelaras perjanjian berkaitan.

“Saya telah memohon jasa baik Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan supaya pesawat khas yang akan membawa pulang rakyat Turki dari Israel ke Istanbul turut mengambil rakyat Malaysia.

“Dari Istanbul, insya-Allah kita akan bawa mereka pulang,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Bangsar.

Beliau berkata, proses membawa pulang peserta GSF dijangka mengambil masa dua atau tiga hari jika semua rundingan berjalan lancar.

“Dari pagi tadi beberapa persefahaman telah dicapai, kita juga telah minta jangan ganggu rakyat kita, jangan dera mereka, memang kita tahu penjara tempat penderaan, saya tahu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Mereka adalah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).

Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).

GST: Akhirnya status Ardell, ZRA, Razali Awang terjawab

NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL
Tangkap layar video SOS daripada Razali, ZRA dan Ardell.
PETALING JAYA – Tanda tanya orang ramai akhirnya terjawab apabila status terkini Ardell Aryana, Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim), Ustaz Mad Kechik, Razali Awang, PU Rahmat Ikhsan dan tiga lagi delegasi Malaysia disahkan selamat selepas keberadaan mereka tidak dapat dipastikan sejak tengah hari tadi.

Sebelum ini, beberapa pihak melahirkan kebimbangan apabila tiada sebarang perkembangan terkini mengenai lapan individu tersebut yang dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Bagaimanapun, video hantaran mesej kecemasan memaparkan lapan sukarelawan negara itu dimuat naik di akaun Sumud Nusantara Official malam ini menandakan kesemua mereka telah ditahan oleh Israel.

Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan tentera Israel, setakat pukup 4.25 petang tadi waktu Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, perkara itu terjadi selepas 20 jam dari tempoh berlaku lintasan intimidasi pertama.

“Semua 23 peserta Malaysia diisytiharkan ditahan mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) bahawa kita terputus hubungan dengan mereka dan ada visual mereka telah pun ditahan oleh pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF), ” katanya pada sidang akhbar malam tadi.

Tinjauan Kosmo! di media sosial, orang ramai meluahkan rasa syukur dengan kepastian yang diterima, malah ada yang menyifatkan ia sebagai satu kelegaan besar selepas seharian menunggu dengan penuh debaran.

“Yang ditunggu-tunggu khabarnya dari pagi tadi, akhirnya ada video SOS Ardell. Lindungilah mereka semua Ya Allah,” kata Ainaaazhan.

“Alhamdulillah, lega dengar khabar baik ini. Ramai yang risau sejak tengah hari tadi, akhirnya dapat jawapan,” kata Shahira.

“Walaupun mereka ditahan, kami sangat lega dengan pengesahan berikut. Macam-macam cerita dengar dari siang tadi, alhamdulillah terjawab semuanya,” kata NurLily. – KOSMO! ONLINE

Pemandu bakar 3 masjid di Sulawesi kerana benci wanita solat

KOSMO
Rudi ditahan di Balai Polis Maros hari ini. - Berita Satu
JAKARTA – Seorang pemandu ditahan selepas membakar tiga masjid berbeza dalam tempoh singkat di wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Katasulsel hari ini. 

Suspek dikenali sebagai Rudi, 47, berasal dari Polewali Mandar, wilayah Sulawesi Barat. 

Ketua polis tempatan, AKBP Douglas Mahendrajaya berkata, Rudi menyasarkan tempat penyimpanan telekung dan membakar menggunakan pemetik api ketika sebahagian jemaah sedang tidur di dalam masjid. 

“Tiga masjid yang dibakar termasuk Masjid Syuhada di Maros, Masjid Mujahidin Sudiang Kota Makassar dan Masjid Syuhada 45 Mandalle di Pangkep. 

“Tiada kematian direkodkan. Api dapat dikesan dengan pantas,mengelakkannya daripada merebak. 

“Suspek diberkas di Masjid Al Markaz di daerah Turikale dipercayai lokasi yang dirancang untuk dibakar,” kata Doughlas.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Maros, Inspektor Ridwan Farel mengesahkan pelaku berdepan hukuman penjara selama 12 tahun. 

“Siasatan awal mendedahkan motif sebenar Rudi adalah dia tidak menyukai wanita solat di masjid,” kata Ridwan. 

Suspek juga dikenal pasti sebagai penjenayah berulang kerana dia pernah ditahan atas kes serupa iaitu membakar rumah ibadat. – AGENSI

Tekanan pada leher punca kematian murid tahun empat – Polis

Ahmad Hasbi
Jenazah kanak-kanak yang maut selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau selepas dibedah siasat – FOTO: NSTP
REMBAU: Punca kematian murid tahun empat yang dijumpai tidak sedarkan diri di tandas lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Seremban, semalam, disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ia hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, petang hari ini.

“Bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada hari ini mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher.

“Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 27 keterangan sudah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

“Ia termasuk mengenalpasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan ketika mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.

“Polis menggesa supaya diberi ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak kanak yang dilindungi di bawah peruntukkan Undang Undang Akta Kanak Kanak 2001 memandangkan siasatan juga membabitkan saksi kanak kanak.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira jam 6.30 petang selepas hampir tiga jam proses bedah siasat dijalankan.

Jenazah murid tahun empat itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat Maghrib.

Media sebelum ini melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.

Alzafny dilaporkan berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.

Polis cari penunggang motosikal langgar murid ketika melintas

Nur Izzati Mohamad
BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melanggar seorang murid perempuan ketika melintas di hadapan sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika waktu pulang dari sekolah.

“Semasa kejadian, murid berusia lapan tahun berkenaan sedang melintas jalan bersama rakannya sebelum dia dilanggar dengan motosikal.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali kiri. Laporan polis berhubung kejadian telah diterima dan usaha untuk mengesan penunggang motosikal terbabit sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Helmi berkata, saksi mahupun orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Azrol Md Rejab di talian 019-5429571 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule10 LN 166/59)

Terdahulu tular di platform media sosial Facebook (FB) video berdurasi 42 saat memaparkan kejadian kemalangan berkenaan.

Menerusi paparan video itu mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan memberhentikan kenderaan bagi membolehkan dua murid perempuan melintas jalan.

Bagaimanapun, terdapat sebuah motosikal yang tidak memberhentikan kenderaannya sehingga menyebabkan salah seorang murid ‘tersungkur’ atas jalan dan mengalami kecederaan ringan.

Ketam bersarang dalam pokok kelapa disangka makhluk halus

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan ratusan ekor ketam muncul di dalam batang pokok kelapa. - Instagram
JAKARTA – Seorang petani di Indonesia terkejut apabila menemui beratus-ratus ekor ketam hidup bersembunyi di dalam batang pokok kelapa yang tumbang selama beberapa bulan, lapor portal berita 18 News semalam. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @foodporn menunjukkan petani terbabit mencarik batang pokokmakhluk yang reput sebelum menemui ‘sarang’ ketam. 

Menurut penduduk tempatan, pokok itu  tumbang sejak beberapa bulan lalu di atas tanah yang lembap. 

“Orang ramai terutamanya nelayan dan petani sering mendengar bunyi gemeresik seolah-olah terdapat makhluk halus di dalam batang itu. 

“Kami fikir bunyi itu berasal daripada  tikus atau tular. Kami terlalu takut untuk periksa,” kata penduduk.

Masih belum jelas lokasi sebenar kejadian. 

Pakar-pakar berpendapat bahawa hidupan laut itu bersembunyi di dalam kayu yang lembap atau reput untuk berlindung. – AGENSI

Sumud Flotilla: Kapal Sirius, Estrella mula masuk Ashdod, Israel

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Sany Araby menunjukkan paparan kapal Sirius yang turut dinaiki sukarelawan Malaysia yang mula memasuki Ashdod
SEPANG- Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan menerima laporan kapal Sirius dan Estrella yang turut dinaiki sukarelawan Malaysia mula memasuki kawasan Ashdod di Israel.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abd. Alim Araby berkata, susulan itu, pihaknya menjangkakan sebahagian delegasi termasuk dari Malaysia telah dipindahkan ke darat.

“Saya yakin mereka mula dipindahkan, tetapi secara terperinci belum (terima).

“Antara yang akan mula sampai di sana ialah Alma dan Sirius,” katanya pada sidang akhbar khas di SNCC di sini tadi.

Untuk rekod, kapal Alma dinaiki oleh Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil.

Manakala, kapal Sirius pula dinaiki Haikal Abdullah, Muaz Zainal dan Zulfadhli.

Jika diimbas, satu kawasan di Ashdod yang terletak di pesisir pantai Israel menjadi
lokasi utama menahan dan menurunkan aktivis flotilla sebelum proses soal siasat, tahanan sementara atau deportasi dilaksanakan.

Sebelum ini, kapal Mawi Marmara yang disera g Israel pada 2010 telah dibawa ke Ashdod yang mana menjadi lokasi sukarelawan ditahan serta disoal siasat sebelum ada dihantar pulang.

Selain itu, antara misi lain yang dipintas Israel dan dibawa ke Ashdod ialah Flotilla 2011, Flotilla 2012 dan Women’s Boat to Gaza pada 2016.

Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE

Wanita cuma pakai bra tunggang motosikal depan pejabat Gabenor Aceh

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu menunggang motosikal dengan hanya memakai baju dalam. - Mardili
JAKARTA – Seorang wanita di wilayah Aceh, Indonesia mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam menunggang motosikal dengan hanya memakai baju dalam, lapor portal berita Bithe semalam. 

Kejadian dirakam di hadapan Pejabat Gabenor Aceh, Banda Aceh.

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan wanita terbabit santai menunggang motosikal miliknya sambil memakai topi keledar. 

Pengguna jalan raya bagaimanapun terkejut apabila dia hanya memakai baju dalam. 

Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Ini melanggar syariat dan mengganggu ketenteraman. Kami berharap pihak berkaitan segera mengambil tindakan,” kata seorang netizen. 

“Ini Banda Aceh, bukan Los Angeles,” kata pengguna media sosial lain. 

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang mengamalkan undang-undang syariah. – AGENSI

GSF: Suar merah Ultras Malaya menyala di hadapan Kedutaan Amerika

Seth Akmal
Ratusan peserta ultras bersama orang ramai memenuhi Jalan Tun Abdul Razak di hadapan kedutaan sambil menyalakan suar sebagai sokongan kepada warga Gaza. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ultras Malaya berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sebagai tanda solidariti kepada sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF).

Ratusan peserta ultras bersama orang ramai memenuhi Jalan Tun Abdul Razak di hadapan kedutaan sambil menyalakan suar sebagai sokongan kepada warga Gaza.

Mereka turut melaungkan slogan “Bebas Palestin”, “Bebas Gaza”, “Israel Bangsat” dan “Israel Laknatullah” sebagai bantahan terhadap tindakan rejim Zionis Israel.

Sebahagian peserta juga memegang kain rentang bertulis “Merdeka Palestin”, malah ada yang memakai kain keffiyeh, simbol identiti budaya Asia Barat itu.

Malam tadi, tentera laut Israel telah memintas armada flotila yang sedang dalam misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Status sebenar kapal dinaiki Ardell belum diperoleh

KOSMO!
Status kapal Mikeno yang dinaiki Ardell Aryana bersama beberapa lagi sukarelawan dari negara lain.
PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri memaklumkan status sebenar kapal Mikeno yang dinaiki selebriti, Ardell Aryana bersama beberapa lagi sukarelawan dari negara lain dalam konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih lagi belum diperolehi.

Nadir dalam satu hantaran di Facebook berkata, menurut sistem Automatic Identification System (AIS), kapal tersebut kelihatan berada dalam kawasan perairan Gaza, bagaimanapun perjalanannya tidak menepati pergerakan biasa kapal layar.

“Maklumat paling sahih berkenaan Mikeno ialah CC GSF tak dapat memastikan situasi akhirnya.

“Bot berada di lokasi tetapi tak dapat dipastikan sama ada peserta masih berada di dalamnya,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Nadir berkata, penduduk di Gaza juga tidak dapat melihat bot tersebut dari kawasan pantai.


“Apa pun, tak perlu bimbang kerana insya-Allah mereka semua selamat. Kapal ini dinaiki peserta dari negara Brazil, Turkiye, Netherland, Norway, Amerika Syarikat, Spain dan Malaysia (Ardell),

“Kalau bot ni betul dapat cecah pantai Gaza, saya isytiharkan Ardell sebagai wali Gaza baru dekad ini!,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pelajar cedera rusuhan depan sekolah, 2 remaja ditahan

Juwan Riduan

LAHAD DATU: Polis menahan dua remaja lelaki, kelmarin, kerana disyaki terbabit kes rusuhan di hadapan sebuah sekolah di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan cedera dipukul sekumpulan individu dalam kejadian itu.

“Mangsa yang cedera di bahagian muka dan kepala, menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lahad Datu.

“Dua suspek berusia 14 tahun ditahan pada 30 September lalu bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis sedang mengesan beberapa suspek lain yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Israel: Tahanan aktivis Sumud Flotila akan diusir ke Eropah

Malaysiakini 

Kementerian Luar Israel memaklumkan bahawa aktivis yang ditahan daripada Flotila Global Sumud akan diusir tidak lama lagi.

Merujuk kepada aktivis itu sebagai “penumpang Hamas-Sumud”, kementerian berkenaan turut mengesahkan mereka berada dalam keadaan 'selamat, sihat' dan sedang dibawa ke Israel.

“Penumpang Hamas-Sumud di atas kapal layar mereka sedang menuju dengan selamat dan aman ke Israel, di mana prosedur pengusiran ke Eropah akan bermula. Penumpang berada dalam keadaan selamat dan sihat,” kata kementerian itu di platform X hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan tentera laut Israel menaiki dua kapal GSF - Alma dan Sirius - pada jam 9.44 malam waktu Gaza (2.44 pagi waktu Malaysia) ketika ia sedang belayar melalui Zon Merah R3 yang berisiko tinggi di Laut Mediterranean.

Mereka yang berada di atas kapal berkenaan datang dari pelbagai negara. Alma membawa aktivis kemanusiaan Malaysia Musa Nuwayri, Iylia Balqis Suhaimi dan Sul Aidil manakala Sirius pula menempatkan Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin, dan Rusydi Ramli.

Menurut Bernama, Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) melaporkan bahawa Morgana mengesahkan secara visual pemintasan Zionis ke atas Alma manakala Sirius menerima isyarat mayday dan pengesahan visual daripada Grande Blue.

Bagaimanapun, tiada sebarang isyarat SOS diterima oleh kedua-dua kapal tersebut.

Sebelum ini, SNCC juga melaporkan komunikasi terputus dengan sembilan rakyat Malaysia yang berada di atas empat kapal dalam flotila berkenaan.

Selain mereka di atas Alma dan Sirius, dua lagi delegasi – penyanyi Zizi Kirana di atas kapal Huga dan pelakon Ardell Aryana di atas Mikeno – turut gagal dihubungi.

‘Abai hati nurani dunia’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Israel, menegaskan kapal-kapal terbabit hanya membawa bekalan kemanusiaan penting untuk rakyat Palestin di Gaza.

Tegasnya tindakan itu mencerminkan pengabaian Israel bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, tetapi juga hati nurani sejagat.

Terdahulu, satu demonstrasi diadakan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur susulan tindakan Israel itu.

Namun, berlaku kekecohan antara penunjuk perasaan dan polis, yang menyaksikan dua orang ditahan.

Suami isteri warga emas ditemui mati dalam rumah

ASLIZA MUSA
PASANGAN suami isteri warga emas ditemukan maut di kediaman mereka di Desa Lang Indah, Ipoh hari ini.
IPOH – Sepasang suami isteri warga emas berusia 78 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di Desa Lang Indah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat mengenai mangsa diterima pihaknya pada pukul 8.58 pagi selepas dihubungi orang awam tentang pasangan yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, anggota yang hadir di lokasi kejadian telah menjumpai kedua-dua mangsa di dalam bilik dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Tempat kejadian merupakan rumah teres dua tingkat. Pintu masuk rumah tidak berkunci dan pintu pagar juga tidak tertutup rapat semasa kehadiran polis di lokasi kejadian.

“Pasangan suami isteri itu tinggal di rumah berkenaan bersama cucunya. Kali terakhir cucu mereka balik ke rumah pada 24 September lalu dan kedua-duanya dalam keadaan baik dan sihat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, cucu si mati tidak pulang ke rumah sepanjang minggu kerana tinggal di asrama.

“Mangsa lelaki tiada masalah kesihatan manakala isterinya penghidap penyakit parkinson sejak lima tahun lalu dan dijaga oleh suaminya.

“Pemeriksaan pada tubuh pasangan tersebut mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau kesan-kesan pergelutan mahupun pecah masuk rumah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sumud Flotilla: Ini mungkin momen terakhir melihat kami – ZRA Strim

NURUL IZZATI ZAINI
Tangkap layar memaparkan ZRA Strim bersama kru lain Fair Lady telah bersedia dipintas oleh tentera Israel.
PETALING JAYA – Suasana tegang dirasai apabila kapal Fair Lady dinaiki Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Mad Kechik sekali lagi dihampir kapal tentera Israel sebentar tadi.

Situasi dapat dilihat apabila empat bot dan satu kapal besar berada berdekatan kapal Fair Lady setakat pukul 8.20 pagi (waktu tempatan) sehingga membuatkan para kru mula bersedia memakai jaket keselamatan.

Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim juga sempat bercakap ke arah kamera televisyen litar tertutup sambil menunjukkan kapal besar yang berlegar-legar di sekeliling botnya bagi menghasilkan ombak besar.

“Kami telah dikepung oleh empat buah bot, satu kapal. Ini mungkin menjadi momen terakhir tuan puan melihat kami. Saya jangka kapal itu akan makin mendekat.

“Saya tengah tunggu arahan daripada kapten untuk membuang telefon,” katanya.

Tidak lama kemudian, kamera yang merakam di bahagian dalam bot telah terhenti dan situasi semasa tidak dapat dipastikan.

Sebelum itu kapal Fair Lady difahamkan mengalami kerosakan enjin beberapa kali sehingga menyebabkan pelayaran tidak dapat diteruskan. – KOSMO! ONLINE

2 beradik dituduh bunuh DJ kelab malam

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my
DUA beradik dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh DJ Kelab Malam di Kapit pada 18 September lalu. FOTO ihsan PDRM
DUA beradik dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh DJ Kelab Malam di Kapit pada 18 September lalu. FOTO ihsan PDRM
Kuching: Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pengendali muzik (DJ) pusat hiburan di Kapit, 18 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 36 dan 30 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara tentatif di hadapan Majistret Oon Kork Chern.

Kork Chern kemudian menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu di Mahkamah Kapit dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama yang berusia 36 tahun didakwa membunuh mangsa berusia 33 tahun, manakala adiknya didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu.

Pertuduhan terhadap tertuduh pertama dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika tidak dikenakan hukuman mati, serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kedua pula dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, kerana bersubahat dalam jenayah itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.30 malam, 18 September lalu di kawasan kaki lima sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah, Kapit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Haris Danial Mohamed Hassan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

30 kapal GSF lolos kepungan Israel, teruskan pelayaran ke Gaza

KOSMO
SEBUAH kapal GSF berlabuh di pulau kecil Koufonisi, selatan Crete pada 26 September lalu.- AFP
TUNIS – Konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menyatakan bahawa berpuluh-puluh kapalnya masih belayar menuju Semenanjung Gaza walaupun dipintas oleh pasukan tentera laut Israel.

GSF yang disertai kira-kira 45 kapal yang membawa ahli politik dan aktivis termasuk pempengaruh iklim Sweden, Greta Thunberg belayar dari Sepanyol bulan lalu, bertujuan untuk memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan kebuluran berlaku.

Tentera laut Israel memintas flotila itu semalam setelah memberi amaran agar tidak memasuki perairan yang dikatakan berada di bawah sekatannya dengan kapal membawa Thunberg antara ditahan.

Bagaimanapun GSF berkata, kebanyakan kapalnya masih meneruskan perjalanan setakat awal pagi, menghampiri pantai Semenanjung Gaza walaupun terdapat gangguan.

“30 kapal belayar  dalam perjalanan mereka ke Gaza, hanya 85 kilometer jauhnya, walaupun pencerobohan berterusan daripada tentera laut pendudukan Israel,” kata GSF di laman  X. – AFP 

Kereta Singapura isi RON95 disiasat KPDN

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular menunjukkan warga Singapura mengisi petrol RON95 yang kini disiasat KPDN.
TANGKAP layar video tular menunjukkan warga Singapura mengisi petrol RON95 yang kini disiasat KPDN.
Johor Bahru: Pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura dikesan mengisi petrol subsidi RON95 di sebuah stesen minyak dipercayai di Plentong.

Perbuatan lelaki itu berjaya dirakam dan dimuat naik di media sosial hingga tular semalam, dengan kejadian dipercayai berlaku pada 3.55 pagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu dan penguat kuasanya sudah dihantar ke stesen minyak berkenaan di Taman Sierra Perdana, Plentong untuk tindakan lanjut.

"Jika terdapat kecuaian di pihak pengusaha stesen minyak, tindakan lanjut akan diambil dan diteruskan dengan membuka kertas siasatan yang kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Video berdurasi 21 saat itu menimbulkan kurang senang orang ramai kerana lelaki warga asing itu mengisi RON95 yang dikhususkan kepada rakyat tempatan di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) yang baharu dilaksanakan.

Dalam video berkenaan, individu yang merakam kejadian itu sudah meminta lelaki berkenaan mengisi RON97 seperti yang dikuatkuasakan kepada kenderaan asing di negara ini.
"Apa I pay... I pay? You warna hijau (RON97) ma," katanya.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mengecam sikap tidak bertanggungjawab itu, selain mempersoalkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan larangan pembelian petrol RON95 subsidi oleh kenderaan asing.

Misi GSF: ‘Kami tahu kami bot terakhir, kami harap sampai ke Gaza’ – Aktivis Kapal Fairlady

Fareez Azman, Syafiqah Damanhuri, Amalina Zainuddin

KUALA LUMPUR: “Kami tahu kami antara bot terakhir, tetapi kami harapkan dapat sampai ke Gaza,” demikian perkongsian salah seorang aktivis di atas kapal Fairlady menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kini berada kira-kira 80 batu nautika dari perairan Gaza.

Menurut wanita itu, kapal berkenaan telah dihampiri tentera Israel kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan sebelum beredar.

“Kami tahu kami bot terakhir, kami belum dipintas secara fizikal. Mereka menghampiri kapal ini kira-kira jam 2 pagi tadi dan menyuluh kami dengan lampu mereka.

“Mereka maklum bahawa itu kapal perang Israel dan meminta kami menukar laluan ke utara. Kami tegaskan bahawa kami hanya misi kemanusiaan dan memang laluan kami ke utara kerana hanya berlayar tanpa enjin,”* kongsinya.

Beliau berkata, radio kapal berkenaan juga telah dipintas, namun rejim Zionis itu beredar sejurus kemudian.

“Sekarang komunikasi kami hanya bergantung kepada isyarat (internet). Kami tidak nampak mereka (rejim Zionis) di sekitar kapal kami. Kami harap dapat sampai ke Gaza,” katanya.

Delegasi Malaysia dalam kapal itu ialah Zainal Rashid Ahmad (ZRA) dan Muhammad Abdullah.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, memaklumkan terdapat sembilan delegasi Malaysia berada di tiga kapal yang meneruskan pelayaran dan belum dipintas rejim Zionis.

Ia melibatkan Kapal Free Willy; dinaiki Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Taufiq Mohd Razif, Kapal Estrella; Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Isha, Mohd Asmawi Mukhtar, Fair Lady; Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik) dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA).

Penunjuk perasaan sekat jalan ke kedutaan Amerika

Haspaizi Zain
story-image
Himpunan anti-Israel di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara kecoh susulan ketegangan dengan polis kerana peserta menyekat laluan keluar masuk ke bangunan itu.

Demonstrasi anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi menyatakan bantahan terhadap penahanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) pagi ini.

Ketegangan sedikit tercetus apabila pihak polis cuba meleraikan tindakan peserta demonstrasi daripada menghalang lalu lintas.

Terdapat juga peserta yang ditahan kerana mencetuskan provokasi, namun tidak dapat dipastikan sama ada dibawa ke balai ataupun tidak.