"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yunus nafi paksa ketua bahagian Sabah sain SD undur Muhyiddin

Anne Muhammad

Setiausaha Bersatu Sabah berkata pihaknya tidak menyediakan dokumen kepada ketua bahagian yang turut serta dalam sidang media mendesak Muhyiddin Yassin undur.
Yunus Bin Hj Nurdin
Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin berkata desakan dibuat disebabkan kegagalan parti menyalurkan dana pilihan raya yang menjadi punca utama kekalahan calon. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, menafikan dakwaan lapan ketua bahagian dipaksa menyokong desakan supaya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan dengan menyifatkannya sebagai fitnah yang cuba memesongkan isu sebenar.
Yunus berkata, pihaknya tidak menyediakan sebarang dokumen kepada ketua bahagian yang turut serta dalam sidang media mendesak Muhyiddin berundur.

“Sekarang ada tersebar, lapan ketua bahagian dipaksa tandatangan akuan berkanun (SD), semua tu palsu, tipu kononnya lapan ketua bahagian dipaksa menandatangani SD. Tak ada, kita tak ada menandatangani apa-apa bentuk dokumen atau SD masa nak buat sidang media tu.

“Kita hanya berkumpul, bermesyuarat dan terus buat sidang media. Saya menafikan sekeras-kerasnya, tidak ada paksaan di dalam sidang media itu dan tidak ada satu dokumen pun yang ditandatangani mana-mana ketua bahagian menyokong perkara ini,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas dakwaan lapan ketua bahagian Bersatu Sabah diminta menandatangani dokumen bagi mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada PRN Sabtu lalu.

Semalam, lapan ketua dalam kenyataan bersama mendakwa diminta berbuat demikian ketika dipanggil oleh Yunus ke pejabat Bersatu negeri untuk memberikan laporan pasca pilihan raya berkenaan.

Ia susulan sidang media dibuat Yunus bersama 20 ketua bahagian mendesak Muhyiddin meletak jawatan presiden parti dan pengerusi Perikatan Nasional, berikutan kekalahan teruk pada PRN Sabah ke-17.

Sementara itu, Yunus berkata desakan dibuat disebabkan kegagalan parti menyalurkan dana pilihan raya yang menjadi punca utama kekalahan calon.

Yunus berkata, beliau didatangi ketua bahagian yang menuntut desakan peletakan jawatan dibuat terhadap Muhyiddin.

“Itu yang kita marah, kenapa suruh kita bertanding dalam keadaan tak sediakan logistik. Ada satu kali dia mempengerusikan mesyuarat parti di Sabah, dia boleh nyatakan kalau nak bertanding, Pemuda semua bahagian perlu mencetak sendiri bendera.

“Kita tahan kemarahan itu. Ini bukan parti kecil, ini parti nasional…takkan sampai tahap itu, sebab itu kita tuding jari pada presiden,” katanya.

Dakwanya, ketika tempoh berkempen, Pengarah Pilihan Raya PN Hamzah Zainudin mengeluarkan dana peribadi bagi membantu calon parti.

Ditanya sama ada beliau khuatir tindakan oleh Lembaga Disiplin Bersatu susulan desakan yang dibuat, Yunus memaklumkan ‘tidak peduli’.

“Sebab kalau saya dan ketua bahagian lain pun berdiam diri nampak sangat kita ni ‘yes man’. Padahal memang (Muhyiddin) salah. Harus diingat tahun depan PRN Melaka, Johor dan tak mustahil akan berulang semula. Tak ada cara lain, presiden kena berundur dan diganti orang lain,” katanya.

PRN Sabah 29 Nov lalu menyaksikan Bersatu kalah di semua DUN ditandingi, manakala PN terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi dimenangi calon PAS di Karambunai.

Aset RM1.3 juta milik pelakon dirampas

KOSMO
Nana menutup mukanya semasa ditahan polis. - Matichon
BANGKOK – Seorang pelakon Thai, Rybena ‘Nana’ Intachai ditahan polis berhubung satu skandal penipuan, dengan aset miliknya bernilai kira-kira 10 juta baht (RM1.3 juta) turut dirampas, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Pegawai polis menahan Nana di rumahnya di Phra Khanong, Bangkok semalam dan menggeledah hartanah itu sebelum merampas beberapa barang milik aktres tersebut. Ia termasuk sebuah kereta Mini Cooper Aceman ‘hatchback’ putih, tujuh telefon bimbit, dua beg berjenama, 11 barang koleksi mainan seni, kira-kira 50 barang kemas, jam tangan dan aksesori lain.

Polis juga menemukan dompet kripto lejar yang digunakan untuk menyimpan mata wang kripto dengan selamat, tetapi tidak mendedahkan nilai aset digital dikaitkan dengan peranti itu.

Akhbar ThaiRath melaporkan, Nana dibawa ke Bahagian Pembanterasan Jenayah untuk disoal siasat sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Polis ketika sidang akhbar berkata, seramai 17 mangsa termasuk rakan karib Nana, telah memfailkan aduan sejak pertengahan November lalu. 

Pegawai berkata, ganti rugi yang disahkan kini berjumlah sekitar 195 juta baht (RM25 juta), lebih rendah daripada angka yang dilaporkan secara meluas iaitu 400 juta baht (RM51 juta).

Menurut penyiasat, Nana didakwa memujuk mangsa untuk melabur dengannya dalam beberapa skim. 

Ia termasuk menawarkan pinjaman sebagai pertukaran untuk pulangan bulanan sebanyak empat hingga tujuh peratus, pelaburan saham palsu, usaha niaga restoran dan projek gelanggang bola keranjang.

Salah seorang rakan karibnya, pelakon terkenal Janie Tienphosuwan, kerugian sekitar 3 juta baht (RM385,000) selepas melabur dalam sebuah restoran di Amerika Syarikat yang tidak wujud.

Nana menafikan semua pertuduhan serta memberitahu pegawai bahawa dia tidak menyedari tindakannya adalah menyalahi undang-undang. 

Dia berkata, dirinya hanya meminjam wang untuk menyokong perniagaannya dan percaya dia akan dapat membayar balik semua individu tersebut. – AGENSI 

Dua kereta ‘ditelan’ lubang benam ketika hujan lebat

KOSMO!
DUA buah kereta 'ditelan' lubang benam. - Foto VnExpress
HANOI – Sebuah lubang benam terbentuk secara tiba-tiba di Jalan Nguyen Cong Tru berhampiran sebuah tapak pembinaan di pusat bandar Da Nang, Vietnam semalam, lapor portal berita VnExpress.

Kejadian menyebabkan dua kereta ‘ditelan’ lubang tersebut dan seorang lelaki cedera di kaki.

Lubang benam itu terbentuk ketika hujan lebat. 

Sekumpulan jurutera dan pekerja yang sedang minum kopi berhampiran kawasan tersebut menyedari pagar kepingan logam memisahkan tapak pembinaan daripada jalan mula condong.

Salah seorang jurutera berlari untuk memeriksanya, namun jalan itu tiba-tiba runtuh, ‘menarik’ dia dan dua kereta yang diparkir ke dalam lubang.

“Jurutera itu tersepit di bawah sebuah kereta dan tidak dapat keluar,” kata pemilik sebuah kedai akuarium berdekatan.

“Sebuah kren dibawa dari tapak pembinaan untuk mengangkat kenderaan yang terjatuh dan menyelamatkan mangsa,” tambahnya.

Penduduk  berkata,  mereka mendengar bunyi dentuman kuat sebelum  jalan runtuh.

Air daripada paip yang pecah di lokasi kejadian menghakis tanah di sekeliling, menyebabkan permukaan jalan runtuh.

Punca terperinci mendapan sedang disiasat pihak berkuasa. – AGENSI

Bung Moktar meninggal dunia

Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, sebentar tadi.

Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.

Perkembangan itu diumumkan oleh anak lelaki Ketua UMNO Sabah berkenaan, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya, sebentar tadi.

"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

"Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran terbabit.

Terdahulu awal malam tadi, Harian Metro melaporkan Bung Moktar dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini, pada tengah hari. Perkara itu disahkan Naim Kurniawan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut punca bapanya dimasukkan ke hospital. Beliau memohon semua pihak mendoakan kesihatan bapanya itu.
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Setakat ini tiada kenyataan rasmi mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bung Moktar.

Namun satu laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meluangkan masa menziarahi Bung Moktar di hospital berkenaan pada jam 11.30 malam tadi. Beliau berada di situ kira-kira 20 minit.

Allahyarham Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.

Kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.

Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.

Pada 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.

Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.

Adik meninggal dunia di hospital, abang masih hilang

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Kajang: Kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, di sini, hari ini ditemukan tidak sedarkan diri, malam ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui di Sungai Kantan, di sini, jam 7.47 malam tadi.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang, di sini, pada 10 malam tadi ketika sedang mendapatkan rawatan.

"Seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga abang kanak-kanak berkenaan dan turut dihanyutkan arus ketika kejadian masih belum ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Kanak-kanak, remaja hanyut dibawa arus ketika ambil bola

HARRITH HISHAM
Anggota bomba sedang melakukan operasi pencarian seorang kanak-kanak dan remaja yang hanyut dibawa arus.
KAJANG – Seorang kanak-kanak dan remaja lelaki dilaporkan hanyut dibawa air ketika mengambil bola di dalam longkang dalam kejadian di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 6.32 petang.

Katanya, mangsa membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan remaja lelaki berusia 14 tahun.

“Maklumat daripada pemanggil memaklumkan terdapat dua individu iaitu remaja dan kanak-kanak lelaki sudah hanyut dibawa air semasa sedang mengambil bola di dalam longkang.

“Ketika ini, kerja pencarian sedang di lakukan di kawasan longkang utama,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang. – KOSMO! ONLINE

Bunuh bekas isteri, muat naik gambar di status WhatsApp

Agensi
LELAKI membunuh isteri dan berswafoto sebelum dimuatnaik di status WhatsApp. FOTO Agensi.
LELAKI membunuh isteri dan berswafoto sebelum dimuatnaik di status WhatsApp. FOTO Agensi.
Chennai: Seorang wanita dari Tirunelveli dengan dibunuh dengan kejam oleh bekas suami di sebuah asrama wanita di Coimbatore pada Ahad.

Jenayah itu mencetuskan kemarahan berhubung peningkatan kes keganasan terhadap wanita di Tamil Nadu, lapor NDTV.com

Sripriya, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Coimbatore, sudah berpisah daripada suaminya, Balamurugan.

Lelaki itu tiba di asrama itu untuk berjumpanya pada petang Ahad, dengan sebilah sabit yang disorokkan di dalam pakaiannya.

Menurut penyiasat, pertengkaran tercetus antara mereka sejurus selepas pertemuan itu.

Dalam serangan mengejut, Balamurugan didakwa mengeluarkan sabit dan menetak Sripriya hingga maut di dalam asrama.

Mengejutkan, polis berkata dia kemudian mengambil swafoto bersama mayat isterinya dan memuat naiknya sebagai status WhatsApp, sambil mendakwa wanita itu 'mengkhianatinya'.

Penghuni asrama berlari keluar ketakutan ketika serangan berlaku.

Balamurugan, bagaimanapun, kekal di tempat kejadian sehingga polis tiba.

Dia ditangkap serta-merta, dan senjata turut dirampas.

Siasatan awal menunjukkan dia mengesyaki bekas isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Pembunuhan itu menghangatkan perdebatan politik di Tamil Nadu mengenai keselamatan wanita.

Pihak pembangkang menuduh kerajaan DMK yang memerintah gagal menjaga undang-undang dan ketenteraman, serta gagal melindungi wanita, dengan merujuk kepada peningkatan jenayah kejam dan kesalahan seksual.

Namun, kerajaan DMK dan polis negeri menegaskan insiden ini adalah kes terpencil yang berpunca daripada permusuhan peribadi, sambil menegaskan tindakan segera diambil dalam setiap kes bagi memastikan keadilan dipercepatkan dan hukuman maksimum dikenakan.

Bung Moktar dalam keadaan kritikal

Jason Santos

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Namun, sumber yang maklum dengan situasi itu berkata Adun Lamag itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat kerana komplikasi yang melibatkan paru-paru, jantung dan buah pinggangnya.

Dia difahamkan dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu.

Kekeliruan timbul seketika pada malam Selasa apabila Umno Sabah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Bung berada dalam keadaan stabil, sebelum menarik baliknya beberapa saat kemudian.

Tiada penjelasan susulan, dan keluarganya masih belum mengeluarkan maklumat terkini.

Namun, anak lelakinya, Naim Kurniawan, mengesahkan dengan FMT bahawa Bung berada dalam keadaan kritikal.

Para pemimpin politik di seluruh Sabah sedang mendoakan kesembuhannya.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata dia mendoakan kesihatan Bung dan kekuatan untuk keluarganya.

“Saya mendoakan agar YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.

"Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.

"Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya, insha Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala," katanya melalui Facebook.

Pemimpin Warisan, Yusof Apdal, juga berkongsi sentimen yang sama ketika para pemimpin menunggu perkembangan selanjutnya mengenai keadaan Bung.

Banjir kilat KL: Jalan Tun Razak ke WTC banjir, air tahap pinggang

KOSMO!
Beberapa kawasan di hadapan bangunan JKR di Titiwangsa, Kuala Lumpur dinaiki air ketika ini
KUALA LUMPUR – Hujan lebat kira-kira sejam petang tadi sudah cukup untuk menenggelamkan beberapa kawasan utama di ibu kota apabila banjir kilat setinggi pinggang dilaporkan di sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak hingga ke WTC Kuala Lumpur.

Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial mendapati limpahan air terjadi begitu pantas, menyebabkan jalan utama menuju Titiwangsa dan kawasan sekitar sesak teruk serta sukar dilalui.

Lebih mencemaskan, satu siaran langsung di TikTok menunjukkan sungai berhadapan bangunan Plaza Permata, Titiwangsa pecah, menyebabkan air mengalir deras ke kawasan sekitar walaupun hujan telah reda.
“Hujan satu jam dari pukul 5 hingga 6 petang tadi menyebabkan tebing sungai pecah. Beberapa kedai makan dan warung di hadapan bangunan JKR tenggelam. Kami terpaksa bermalam di pejabat malam ini, jalan pun jem teruk,” kata seorang pengguna TikTok.

Difahamkan banyak kenderaan sudah hanyut dan tenggelam akibat arus deras, manakala laluan utama menuju Ampang turut lumpuh dengan trafik sangat perlahan.

Keadaan banjir ketika ini masih dipantau pihak berkuasa.— KOSMO! ONLINE

Lelaki maut dipercayai dibunuh abang kandung

Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Lelaki ditemukan maut dalam bilik tidur rumahnya di Bandar Karamunting, di sini, dipercayai ditetak abang kandung dalam kejadian Ahad lalu.

Susulan itu polis menahan suspek berusia 44 tahun beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, penahanan suspek pada jam 8.45 malam membawa kepada penemuan seluar berlumuran darah dan tiga bilah parang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Terdahulu katanya, kejadian disedari ibu mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang dan menyedari pintu bilik anaknya terhalang, sebelum melihat tubuh lelaki berusia 43 tahun itu berlumuran darah.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, belakang telinga, perut serta tangan akibat senjata tajam.

“Bedah siasat dijalankan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.

George berkata, siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah mental, tidak bekerja dan tinggal bersama keluarganya di rumah berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pas ‘u-turn’ isu undang-undang banteras LGBT

Harapandaily
Pendirian seorang pemimpin Pas berhubung peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan seksual songsang, dilihat sudah ‘u-turn’ apabila bercanggah dengan kenyataannya sendiri ketika berada dalam kerajaan pada 2021.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani aktiviti LGBT, dan apa yang diperlukan hanyalah penguatkuasaan lebih tegas.

Walau bagaimanapun, Marzuk semalam menegaskan bahawa undang-undang lapuk sebagai punca pihak berkuasa gagal mendakwa suspek yang ditahan dalam satu serbuan besar-besaran di Chow Kit baru-baru ini.

“Kegagalan pihak berkuasa mendakwa individu yang ditahan bukan terletak pada polis sahaja, tetapi pada undang-undang yang ketinggalan zaman kerana digubal pada era pramerdeka.

“Pihak pendakwa raya perlu memberi panduan kepada polis mengenai bentuk pertuduhan yang boleh digunakan terhadap suspek yang ditahan tetapi gagal direman,” kata Marzuk pada sidang media di lobi Parlimen.

Rata-rata netizen mengecam sikap pemimpin Pas yang kerap mengeluarkan kenyataan berbeza ketika berada dalam kerajaan berbanding sewaktu menjadi pembangkang.

“Konsep golongan seperti ini: saya boleh, tetapi orang lain tidak boleh.

“Hukum pula seolah-olah boleh diubah-ubah mengikut selera sendiri.

“YB Pas semua level dam aji kedai kopi. Isu-isu perlu berfikir memang mereka tak mampu nak ulas dengan baik.

“Penasihat depa sendiri dah kata dulu… Melayu mudah lupa,” demikian reaksi yang dikongsikan orang ramai di media sosial.

Bapa dilarang bawa pulang jasad anak kalau tiada van jenazah

KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang bapa yang baru kehilangan bayi berusia lima hari akibat komplikasi jantung meluahkan rasa kesal kerana berdepan kesukaran untuk menuntut jenazah anaknya di Unit Forensik di sebuah hospital selepas dimaklumkan bahawa waris hanya dibenarkan membawa pulang jenazah menggunakan van jenazah.

Menurut hantaran di Facebook Mr Wan Cai Official, dia dihubungi si bapa yang memohon nasihat dan bantuan mendapatkan khidmat van jenazah untuk membawa pulang jenazah ke kampung halaman.

Bagaimanapun dia menjelaskan kepada bapa tersebut bahawa bagi kes jenazah bayi berusia bawah dua tahun, adalah lebih sesuai jika jenazah dipangku dan dibawa dengan kenderaan sendiri kerana saiz tubuh yang kecil menyebabkan penggunaan pengusung atau keranda menjadi kurang stabil.

“Beberapa minit kemudian, si bapa menghubungi saya semula. Beliau memaklumkan bahawa staf forensik hospital telah menetapkan syarat bahawa jenazah hanya boleh dituntut sekiranya waris menyediakan van jenazah.

“Saya meminta agar telefon diserahkan kepada staf yang bertugas untuk mendapatkan penjelasan secara langsung. Seorang staf lelaki kemudian telah bercakap dengan saya dan menegaskan bahawa pihak hospital tidak membenarkan jenazah bayi tersebut dibawa menggunakan kenderaan persendirian atas alasan ia adalah berisiko,” katanya.

Katanya, petugas tersebut bagaimanapun tidak dapat menyatakan apakah jenis risiko yang dihadapi dan mengulangi bahawa arahan tersebut adalah merupakan arahan hospital.

“Adalah tidak wajar untuk menyusahkan waris yang sedang berduka dengan syarat yang tidak munasabah. Saya mengingatkan staf tersebut agar tidak mencampuri urusan pengurusan jenazah yang bukan dalam bidang kuasa hospital.

“Si bapa memaklumkan bahawa staf berkenaan masih berkeras mewajibkan penggunaan van jenazah. Tindakan staf tersebut menimbulkan kemarahan saya kerana ia memberikan tekanan emosi yang tidak perlu kepada waris,” katanya.

Katanya, dia kemudian mengarahkan si bapa untuk memaklumkan kepada staf tersebut bahawa pihaknya akan menghubungi pihak pengarah hospital dan membuat aduan.

“Tidak lama kemudian, si bapa memberitahu beliau telah dibenarkan menuntut jenazah dan membawanya pulang menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meluahkan perasaan kesal dengan sikap petugas yang tidak memudahkan urusan waris selain ada yang menggesa agar pihak hospital lebih peka mengenai perkara demikian.

“Jangan biarkan perkara ini..buat aduan sispa terus, email ke pengarah hospital. Dapatkan penjelasan dari pihak hospital, jika tiada tindakan dan makluman ke peringkat atasan, perkara ni tak akan selesai. Nanti mereka buat pula pada orang lain,” kata Sadako.

“Ejen van jenazah ke? Tak pernah jadi kewajipan pun sebelum-sebelum ni?,” soal Izzat.

“Macam-macam kerenah, sepatutnya dipermudahkan urusan bagi menyegerakan proses yang sepatutnya bukan melambatkan, cukup-cukuplah..proses pengurusan jenazah tak kira usia adalah fardu kifayah…apa pun semoga lepas ini tak berlaku lagi,” kata Nizam. – KOSMO! ONLINE

Banjir Hulu Langat: Jalan ‘bertukar’ jadi sungai

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Jalan utama di Kampung Sungai Seri, Hulu Langat ditenggelami banjir susulan hujan sejak awal pagi – FOTO NSTP
HULU LANGAT: Beberapa kawasan di sekitar Kampung Sungai Serai di sini, lumpuh apabila jalan utama dianggarkan sejauh satu kilometer (KM) bertukar menjadi sungai susulan banjir di sini, awal pagi hari ini.

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati, air masih tinggi di perkampungan itu dianggarkan sedalam satu meter (m) di sesetengah kawasan.

Laluan terjejas ditutup oleh pihak polis dan hanya jentera berat sahaja dibenarkan melalui kawasan itu.

Sebilangan kecil penduduk dilihat kekal di rumah atau kedai masing-masing yang terletak di sepanjang jalan berkenaan.

Walaupun kediaman dan kedai mereka ditenggelami air, rata-rata penduduk dilihat tenang menghadapi musibah itu, mungkin sudah terbiasa berikutan kawasan berkenaan sering dinaiki air.

Hanya kenderaan berat Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mampu meredah banjir.

Penduduk kampung yang terperangkap dibawa keluar menggunakan jentera APM, JBPM dan lori milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut dilihat membawa orang awam.

Mangsa, Farouk Jelani, 73, berkata dia bersama isteri dan seorang cucu diarahkan berpindah kira-kira jam 10 pagi hari ini.

“Hujan dari awal pagi tadi, saya tak pasti jam berapa sebab saya tak sihat jadi banyak tidur sahaja.

“Kalau saya berdaya, saya mahu tolong mangsa banjir ini, tetapi sakit, jadi bila pihak berkuasa arahkan pindah kita ikut sahaja.

“Saya dah duduk sini lebih 30 tahun, dan seingat saya ini kali kedua kami kena pindah, sebelum ini air kerap naik tapi tak perlu pindah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sungai Seri, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Wan Muhammad Hidayat, 30, terpaksa meminta bantuan APM bagi menjemput anaknya di sekolah tadika selepas dimaklumkan oleh guru bahawa kawasan sekitar dinaiki air.

“Pagi tadi semasa hantar anak, jalan masih boleh dilalui tetapi dalam pukul 9 tadi cikgu telefon minta ambil anak saya.

“Saya dan isteri cuba menaiki kenderaan pacuan empat roda tetapi tidak lepas, mujur ada lori APM tumpangkan kami,” katanya.

Jurutera perisian komputer itu berkata, sejak menetap di kawasan itu empat tahun lalu laluan masuk ke kediaman sering dinaiki air walaupun hujan tidak begitu lebat.

Justeru dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir berkenaan.

“Minggu ini sahaja dua kali air naik tutup jalan, jadi saya harapkan ada penyelesaian masalah ini daripada pihak berwajib.

“Mungkin boleh jalankan kerja mendalamkan sungai dan bersihkan longkang yang tersumbat,” katanya.

Tinjauan wartawan setakat 12.25 tengah hari mendapati air di jalan yang terjejas semakin surut.

Kelantan: Lelaki didakwa lakukan amang seksual mangsa banjir di PPS ada rekod kes rogol

Sinar Harian
Nik Mohammad Ilfam (tengah) tiba di Mahkamah Kota Bharu dari Bachok pada Khamis.
KOTA BHARU: Seorang penggangur yang masih dibicarakan berkait kesalahan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan ketika berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semasa banjir.

Tertuduh, Nik Mohammad Ilfam Mohammad Noor, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbaharu itu dibacakan di hadapan Hakim, Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, Nik Mohammad Ilfam didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah PPS di Jelawat, Bachok pada jam 11 pagi, 26 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara maksimum dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding berkenaan, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan terhadap Nik Mohammad Ilfam kerana dakwaan serius yang dihadapi.

“Tertuduh juga dituduh atas kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada tahun lepas.

“Dia dalam tempoh jaminan mahkamah dan kes rogol tersebut masih dalam perbicaraan,” katanya.

Kes ditetapkan pada 8 Disember ini bagi sebutan semula dan lantikan peguam. - Sinar Harian

Kelantan: Guru mengaji didakwa buat panggilan video lucah dengan anak murid

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KOTA BHARU – Seorang guru al-Quran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuat panggilan video kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh, Huzaifah Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Pemuda itu didakwa berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan mangsa berusia 11 tahun enam bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Kubang Kerian di sini pada 13 Mac hingga 11 Mei lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 27 akta tersebut.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Huzaifah didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama yang ketika itu berusia 11 tahun sembilan bulan di lokasi sama pada pukul 4.18 pagi, 21 Jun dan 6.01 petang, 26 Jun lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta sama. Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh merupakan guru al-Quran, manakala mangsa adalah anak muridnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohd. Naqib Mohamad Noor diikat jamindan menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Warga India dituduh miliki pistol

Noorazura Abdul Rahman
Mohd Haseen ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan memilik sepucuk pistol tanpa kebenaran sah. – FOTO: NSTP
SUNGAI PETANI: Seorang jurukimpal warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kilang di Bedong, bulan lalu.

Mohd Haseen, 38, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang berkenaan kira-kira jam 6.45 petang pada 13 November lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes, selain mengarahkan seorang jurubahasa Hindi dilantik bagi membantu tertuduh memahami prosiding.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Alex Pang Tak Fatt, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lelaki warga India selepas menemui kelopak peluru dan dua butir peluru dalam serbuan di asrama sebuah kilang memproses mi di Jalan Semeling, Bedong, pada 11 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata pemeriksaan menemui kotak biru berisi kelopak peluru dan peluru di dalam bilik asrama tertuduh kira-kira jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)

Guru mengaku tak salah cuba bunuh isteri

FMT Reporters

Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Hanis Sofea Hamdanmenggunakan sebilah pisau pada 27 Ogos lalu.
 
Seorang guru, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan cuba membunuh isterinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, dalam kejadian pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, lapor Sinar Harian.

Hakim sebelum itu memaklumkan tertuduh layak dibicara selepas mahkamah menerima laporan lengkap psikiatri daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta yang merawatnya.

Menurutnya, laporan itu menyatakan dia sesuai untuk menghadapi prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira keselamatan mangsa yang juga isteri tertuduh.

Peguam tertuduh, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan dengan alasan anak guam mereka masih berkhidmat sebagai guru dan ditahan hampir tiga bulan sekali gus berisiko hilang pekerjaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis sehingga kes selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 6 Januari depan.

Skandal di bilik hotel hingga bunting terbongkar di pejabat kadi

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Kulai: Kehadiran satu pasangan ke Pejabat Kadi Daerah Kulai di sini, bagi tujuan melakukan nikah segera membongkar perbuatan zina dilakukan pasangan itu beberapa kali sehingga September lalu.

Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil alih kes itu selepas mendapati 'gadis' yang mahu berkahwin berkenaan sebaliknya sedang hamil.

JAINJ dalam kenyataannya berkata, pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berzina.

"Berdasarkan maklumat awal, pasangan itu membabitkan lelaki berusia 20-an dan wanita berusia 30-an hadir ke Pejabat Kadi Kulai untuk urusan nikah segera.

"Pada masa sama keluarga wanita dan lelaki itu turut hadir mengiringi pasangan terbabit.

"Pasangan terbabit mahu bernikah segera atas motif melindungi rahsia sebenar bahawa wanita itu sudah mengandung. Pasangan itu kemudian dirujuk ke Bahagian Penguatkuasa JAINJ untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut JAINJ, Bahagian Penguatkuasa kemudian nenghantar wanita terbabit ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk pemeriksaan lanjut dan wanita itu disahkan hamil antara tiga hingga empat bulan.

"Wanita ini mengaku perbuatan terlarang itu sudah berlaku beberapa kali, namun kali terakhir adalah pada September lalu di sebuah hotel di daerah ini.

"Mereka mengaku takut sekiranya tertangkap menyebabkan mereka hanya menyewa hotel mengikut jam sahaja.

"Pasangan ini akan didakwa kerana berzina dan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau semua hukuman itu," jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, perbuatan itu terbongkar selepas ibu wanita itu menyedari perubahan pada fizikal anaknya sebelum wanita itu mengaku melakukan zina secara suka sama suka.

Katanya, pada peringkat awal, mereka belum terfikir hendak bernikah kerana lelaki terbabit baharu bekerja.

"Mereka simpan rahsia kerana lelaki itu tinggal tidak berapa jauh dari rumah wanita itu dan keluarga mereka saling mengenali.

"Keadaan pada mulanya tegang antara keluarga kedua-dua pasangan itu namun penyelesaian dicapai untuk menutup malu keluarga dengan berkahwin," katanya.

MB Perak tegur ADUN Pas jangan bawa fitnah dalam Dewan

SITI NUR ZAWANI

Sidang DUN Perak agak ‘panas’ apabila Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegur keras ADUN Kenering dari Pas, Mohamad Husairi Ariffin kerana didakwa membawa dakwaan tidak tepat berhubung projek pembangunan di Kampung Tawai.

Saarani berkata, dakwaan bahawa peruntukan RM50 juta untuk membangunkan Kampung Tawai, Gerik telah dibatalkan kerana dibantah Ahli Parlimen Lenggong adalah tidak benar kerana hakikatnya peruntukan belum pun diluluskan.

“Ia bukan projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Namanya Program Pembangunan Kawasan (PPK). Peruntukan daripada KKDW belum pun diluluskan. Pejabat daerah baru hantar cadangan permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk masuk dalam rolling plan 1 RMK13. 

“Baru masuk belum lulus. Memang betul ada bantahan orang kampung Tawai, sebab tempat itu sudah pun ada cadangan nak dibuat Rancangan Perkampungan Tersusun. 

“Pentadbiran daerah mengambil kira bantahan itu maka nak diubah tempat lain. Bukan dibatal. Dan Ahli Parlimen tidak membantah sama sekali,” tegasnya semalam.

Beliau menyifatkan dakwaan ADUN Pas itu sebagai menyebar fitnah kerana tidak bertepatan fakta sebenar dan mencabar ADUN-ADUN yang hadir untuk menyanggahnya jika beliau salah.

“Dalam hansard ini kalau saya menipu, mana-mana YB boleh bangun sanggah saya. (Dakwaan ADUN Kenering itu) kalau bukan fitnah apa? Kita kalau boleh nak jadi wakil rakyat di dunia, masuk syurga di akhirat. Kita tak nak jadi wakil rakyat hebah perkara tak betul, nanti masuk neraka di akhirat,” ujarnya.

Mohamad Husairi kemudian memohon maaf di dalam Dewan, mengakui kekhilafannya menyebut fakta yang tidak benar.

Kereta elektrik terputus dua selepas rempuh penghadang jalan

KOSMO!
SEBUAH kereta elektrik terbelah dua selepas merempuh penghadang jalan konkrit. - Foto Weibo
BEIJING – Sebuah kereta elektrik terputus dua selepas merempuh penghadang konkrit di Shanghai, China, lapor laman berita VnExpress semalam.

Namun, pemandu wanita dan penumpangnya terselamat dengan hanya mengalami cedera ringan.

Rakaman video papan pemuka yang dikongsi di platform Weibo memaparkan kereta itu memecut dari lorong kiri.

Ia kemudian melanggar kenderaan yang merakam video tersebut dan sedang bergerak dalam arah yang sama.

Impak tersebut menyebabkan kereta elektrik itu hilang kawalan, berpusing sebelum terbabas ke kanan dan merempuh pembahagi jalan konkrit.

Perlanggaran itu begitu kuat sehingga menyebabkan bahagian belakang kenderaan tersebut terbelah dua. 

Sistem keselamatan kereta elektrik itu segera menghantar makluman kepada pasukan respons kecemasan syarikat yang tiba di lokasi dan membawa kedua-dua penumpang ke hospital. 

Kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil, lapor laman berita Car News China.

Selepas perlanggaran, pintu kenderaan terbuka secara automatik bagi membolehkan penumpang keluar dengan selamat. – AGENSI 

‘Kantoi’ kahwin dua selama 30 tahun, lelaki dihukum penjara

KOSMO!

SINGAPURA – Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 17 bulan atas kesalahan berkahwin dengan dua wanita, lapor laman berita MSNews hari ini.

Ng Teong Min, 67, menyembunyikan keluarga keduanya daripada isteri pertama selama 30 tahun.

Kehidupan dua isteri itu hanya terbongkar pada Ogos lalu apabila seorang pemberi maklumat menghantar e-mel kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Teong Min bertemu isteri pertamanya semasa mereka masih remaja sebelum berkahwin pada tahun 1980 dan mempunyai dua anak.

Antara 1985 hingga 1995, lelaki tersebut kerap ke Sarawak atas urusan perniagaan dan akhirnya memulakan hubungan dengan wanita kedua.

Dia mengaturkan tempat tinggal untuk wanita itu dan tinggal bersamanya setiap kali berkunjung ke Sarawak untuk bekerja.

Walaupun wanita itu mengetahui Teong Min sudah berkahwin, mereka tetap melangsungkan perkahwinan pada tahun 1995.

Mereka juga memilih untuk tidak mendaftarkan perkahwinan itu bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.

Teong Min mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 17 bulan. – AGENSI

Tertipu ‘scammer’, rumah bapa mentua dibakar

ALIA NATASHA CHAHIDAN
Datuk Seri Michael Chong ketika bergambar bersama mangsa along pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini. Foto OLEH SYAKIR RADINKOSMO!
KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa rumah bapa mentuanya di Kluang, Johor dibakar selepas suaminya ditipu melalui iklan pinjaman peribadi di Facebook.

Dia yang mahu dikenali sebagai Teh, 32, berkata, baru-baru ini suaminya menekan satu iklan pinjaman peribadi dan mengisi butiran peribadi, namun tidak meneruskan permohonan.

“Suami saya pernah tekan iklan di Facebook untuk pinjaman peribadi dan mengisi butiran peribadi tetapi dia memutuskan untuk tidak teruskan permohonan,” katanya.

Ujarnya, mereka tetap diugut kononnya berhutang sebanyak SG$3,500 (RM12,000) dan diugut akan dibakar rumah jika tidak melunaskan bayaran.

Menurutnya, mereka pada awalnya mengabaikan ugutan tersebut kerana yakin tidak membuat sebarang pinjaman.

“Selepas rumah bapa mentua saya di Kluang dibakar baru kami sedar ugutan tersebut adalah benar. Kerugian dianggarkan sebanyak RM300,000,” katanya katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Katanya, dia terpaksa membayar SG$7,000 (RM23,000) selepas menerima ugutan kali kedua, kali ini melibatkan rumah bapanya di Perak.

“Kami ingat semuanya sudah selesai, tetapi mereka tuntut lagi SG$5,000 (RM16,000) kononnya sebagai bayaran ‘upah’ pekerja yang membakar rumah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Warga emas maut dipercayai jatuh dari tingkat 19

Noor Hidayah Tanzizi

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 19 sebuah kediaman di Setapak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.01 pagi membabitkan lelaki berusia 77 tahun.

“Lelaki itu didapati sudah terbaring di bahagian belakang pondok pengawal dalam keadaan terlentang (sebaik polis tiba di lokasi).

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, di sini, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kalah 42-1, Bersatu Sabah desak Muhyiddin letak jawatan

Malaysiakini 

Susulan keputusan buruk pada pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini, majoriti bahagian Bersatu di negeri itu menuntut supaya presiden parti, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatannya. Parti itu tewas di semua 36 kerusi yang ditandingi.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), turut mengetuai kempen yang menyaksikan gabungan itu hanya menang 1 daripada 42 kerusi – iaitu Karambunai yang dimenangi oleh calon PAS.

Borneo Post, memetik Ketua Bersatu Bahagian Libaran Yunus Nurdin sebagai berkata Muhyiddin – yang sejak kebelakangan ini berdepan tekanan untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Hamzah Zainudin – mesti memikul tanggungjawab penuh atas prestasi “paling memalukan” parti itu.

Dia mendedahkan 20 daripada 24 bahagian Bersatu Sabah bersetuju sebulat suara menuntut bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan serta-merta sebagai presiden Bersatu dan pengerusi PN.

Yunus, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan setiausaha PN Sabah, berkata prestasi hambar PN berpunca daripada kelemahan sokongan kempen dan pergolakan dalaman.

“Berlaku kekurangan ketara dari aspek bantuan kempen kepada Bersatu Sabah atau PN Sabah kerana kami tidak menerima sebarang sokongan, bantuan atau sokongan kempen seperti peruntukan dana pilihan raya.

“Ia turut merangkumi penyediaan bahan kempen seperti logistik, promosi dan bahan untuk calon,” katanya.

Dia turut menyalahkan pergolakan di peringkat pusat.

“Kepimpinan pusat membuat beberapa keputusan mengejutkan khususnya di Sabah, antaranya pemecatan dan penggantungan beberapa ahli penting.

“Kami telah bangkitkan isu ini kepada pimpinan pusat, bahawa ini tidak sepatutnya berlaku ketika hampir memasuki tempoh kempen, namun ia tidak dipedulikan.

“Gerakan politik dalaman ini memberi kesan besar terhadap keyakinan akar umbi, malah kami berdepan kritikan pengundi yang mempersoalkan bagaimana parti mahu menang ketika sedang memecat ahli sendiri,” katanya lagi.

Yunus berkata Bersatu menerima kekalahan “dengan hati terbuka”, namun akauntabiliti tetap perlu.

“Insan yang bertanggungjawab atas kekalahan ini bukan saja kami, Presiden parti itu sendiri. Sebab itu kita mendesak untuk dia letak jawatan,” tegasnya.

Dia juga menolak sebarang cadangan agar kumpulan calon yang kecewa ini keluar parti.

“Kenapa kami yang perlu keluar parti? Kami yang teraniaya. Kami yang buat parti ini dengan duit sendiri. Kenapa harus kami yang berundur?

“Orang yang salah yang patut berundur. Kami salahkan 100 peratus Tan Sri Presiden, dan dia yang patut berundur. Kami tidak akan berundur,” kata Yunus.

Ditanya sama ada Pengerusi Bersatu Sabah Ronald Kiandee tahu mengenai desakan ini, dia berkata dirinya tidak berjaya menghubunginya.

“Saya tidak berbincang dengan ketua Bersatu Sabah kerana saya cuba hubungi beliau tetapi panggilan tidak dijawab,” katanya.

Yunus menambah bahawa semua 20 ketua bahagian yang membantah bersedia berdepan tindakan disiplin.

“Bila ada tindakan disiplin diambil, kami tidak teragak-agak untuk hancurkan Bersatu di Sabah. Kami akan meletakkan jawatan serentak dan akan lumpuhkan badan pimpinan.

“Kami sayangkan parti, tapi kalau kita tidak buat begini, selama-lamanya parti akan dipimpin oleh orang yang tidak betul,” katanya lagi.

Peguam gesa Bukit Aman siasat kes polis Melaka tembak mati 3 lelaki

Alysha Edward

PETALING JAYA: Peguam mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka bulan lepas menuntut Bukit Aman agar menyiasat kematian tersebut, mendakwa mangsa dibunuh ‘execution style’ berdasarkan bukti audio dan forensik.

Ketiga-tiga mereka – M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29 – ditembak mati pada 24 Nov lepas. Polis mendakwa mereka merupakan perompak bersiri yang menyerang seorang anggota bertugas menggunakan parang.

Bagaimanapun, pada sidang media hari ini, pasukan peguam keluarga terbabit mendedahkan rakaman audio berdurasi 13 minit dirakam semasa kejadian, yang didakwa bercanggah dengan naratif polis.

G Venodthan, Ketua Pegawai Eksekutif Thistlegorm Forensic, sebuah syarikat perunding siasatan yang menganalisis rakaman itu, menyatakan bahawa mangsa kedengaran seperti terus ditahan sejurus keluar dari kereta, tanpa sebarang bukti audio menunjukkan berlakunya serangan dengan parang.

Menurutnya, hanya perkataan ‘bonet’ dan ‘walkie-talkie’ kedengaran, tidak disebut senjata yang didakwa ditemukan oleh polis.

Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa bunyi ‘seakan-akan tembakan’ kedengaran selepas mangsa ditahan.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata dapatan forensik itu, bersama laporan bedah siasat yang menunjukkan sudut peluru dari atas ke bawah, menjurus kepada pembunuhan di luar kehakiman atau ‘execution style’.

“Jelas sekali mereka semua pastinya sedang dalam keadaan berlutut. Ini semestinya pembunuhan ‘execution style’,” tegasnya.

“Itu satu-satunya cara yang munasabah bagi peluru tembus dari atas, bermula dari hidung dan terbenam di jantung.”

Pasukan peguam keluarga yang terdiri daripada Rajesh, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Arun Doraisamy menuntut agar Bukit Aman menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mereka turut mendesak semua pegawai yang terlibat digantung serta-merta, termasuk mereka yang didakwa mereka-reka naratif pertahanan diri, serta meminta polis Melaka menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Bukit Aman.

“Pesalah tidak boleh siasat pesalah. Itu tidak masuk akal. Pesalah mesti disiasat oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi,” tegas Rajesh.

Pasukan peguam turut menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri tergempar dan mempertimbangkan penubuhan suruhanjaya bebas atau suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kemungkinan wujudnya salah laku polis.

Pada 24 Nov, Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis cuba menahan tiga lelaki tersebut di sebuah ladang kelapa sawit sekitar 4 pagi apabila salah seorang suspek melibas parang ke arah anggota polis.

Beliau berkata, serangan yang berpotensi membawa maut itu menyebabkan anggota tersebut cedera parah di tangan kiri.

Susulan itu, katanya, polis ‘tiada pilihan selain melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri’, mengorbankan ketiga-tiga suspek di tempat kejadian.

Dzulkhairi berkata kumpulan tiga lelaki itu, yang dikenali sebagai ‘Geng DT’, disyaki terlibat dalam kira-kira 20 kes rompak rumah, kilang dan restoran sejak 2004, membabitkan kerugian berjumlah RM1.3 juta.

Terengganu: Warga emas maut dalam perjalanan ke masjid

Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas maut selepas motosikal Honda EX5 ditungganginya, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua di Jalan Batu Hampar berhampiran Perumahan Kampung Batu Hampar, di sini, pagi tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Awang Mat Amin, 79, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di kampung berkenaan dikatakan dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di masjid kampung itu, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Akibat kemalangan itu, motosikal dan Perodua Myvi dipandu seorang jururawat wanita berusia 36 tahun dari Kampung Kuala Menjing, Kuala Berang, remuk di bahagian hadapan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi berkenaan dari Kuala Berang menghala ke Gong Badak, Kuala Nerus.

“Setiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba mangsa dari arah simpang, keluar secara mengejut. Akibat jarak yang dekat, pemandu Myvi cuba mengelak, namun gagal sebelum melanggar motosikal mangsa.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Akibat lawak bodoh: Pengembara buat ‘lawak’ bom di KLIA ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang individu yang bergurau mendakwa ada bom di KLIA ditahan dan diserahkan kepada polis, menurut pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports.

Ancaman bom dikatakan itu ternyata palsu, mula dilaporkan pada 5.32 petang semalam sebelum penerbangan berjadual berlepas di Terminal 1.

“Pasukan keselamatan penerbangan telah mengaktifkan protokol respons yang diperlukan, mengawal kawasan tersebut dan menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan,” kata Malaysia Airports, merujuk kepada polis dan unit pemusnah bom.

Pihak berkuasa mengesahkan pada 8.58 malam bahawa ancaman itu palsu.

“Semua penumpang kekal selamat sepanjang proses itu,” kata Malaysia Airports sambil menambah penerbangan berjadual tersebut berlepas pada 7.19 malam.

Pihaknya juga mengingatkan pengembara bahawa membuat ancaman palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia.

Menurut hantaran media sosial, ancaman itu ditulis pada tag bagasi salah satu beg yang didaftar masuk.

Tiga menteri angkat sumpah penggal kedua sebagai senator

Malaysiakini 

Tiga menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Mereka ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Pelantikan semula itu membolehkan mereka meneruskan tugas dalam Jemaah Menteri.

Awang Bemee berkata pelantikan semula ketiga-tiga menteri itu mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap kepakaran dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada dasar serta pembangunan negara.

“Pelantikan ini dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Dis 2028, selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).

“Selamat berkhidmat dan bertugas,” katanya.

Untuk rekod, ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah bagi penggal pertama pada Disember 2022.

- Bernama

Kelantan: Laluan Gua Musang-Lojing berhampiran Pos Blau ditutup kerana tanah runtuh

Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my
Keadaan jalan di KM 107.6 Jalan Gua Musang-Lojing yang runtuh. FOTO Ihsan JKR
Keadaan jalan di KM 107.6 Jalan Gua Musang-Lojing yang runtuh. FOTO Ihsan JKR
Gua Musang: Laluan di Kilometer 45 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Pos Blau, di sini, ditutup kepada semua kenderaan akibat kejadian tanah runtuh.

Menurut makluman menerusi Facebook, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan penutupan bermula hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan dua laluan alternatif sebagai jalan perhubungan sementara.

Pengguna jalan raya dari Gua Musang yang mahu ke Cameron Highlands, Pahang boleh menggunakan laluan Sungai Koyan-Ringlet-Cameron Highlands.

Untuk ke Ipoh, Perak pula, pengguna boleh menggunakan laluan Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh.

Terbongkar!! Sindiket pekerja asing di Malaysia didedahkan di mahkamah Bangladesh

B Nantha Kumar

Seorang ejen dari Bangladesh mengakui kewujudan sindiket pemerdagangan manusia melibatkan jutaan ringgit hasil penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia. Pengakuan itu dibuat di hadapan Mahkamah Metropolitan Dhaka.

SM Rafiq, 66, pengarah urusan M/S United Export Ltd, membuat pengakuan tersebut pada 1 Disember secara sukarela di hadapan majistret Md Jamsed Alam.

Menurutnya syarikatnya telah lama beroperasi sejak 1994 dan pernah diiktiraf sebagai CIP (Commercially Important Person) oleh kerajaan Bangladesh atas sumbangan cukai yang besar.

"Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya terpaksa membayar pemerasan demi terus menghantar pekerja ke Malaysia, akibat tekanan dan campur tangan sindiket yang berkaitan dengan ahli politik dan pegawai kerajaan.

"Setiap pekerja yang dihantar ke Malaysia dikenakan bayaran paksaan antara BDT150,000 (RM5,000) hingga BDT200,000 (RM6,700).

"Wang ini hanya bayaran sindiket sahaja tidak termasuk kos sah kerajaan BDT78,990 (RM2,670), yang merangkumi pasport, ujian Covid-19, pemeriksaan perubatan, bayaran kepada ejen (untuk dia) dan uniform.

"Wang pemerasan itu perlu dibayar kepada sebuah lagi syarikat agensi yang berada di Dhaka," katanya dalam surat akuan itu.

Dia juga mengakui bahawa dari tahun 2022 hingga 2024 agensinya telah mengutip lebihan RM14 juta daripada 2,822 pekerja Bangladesh sebagai bayaran untuk dihantar ke Malaysia.

Malaysiakini turut meneliti surat akuan berkenaan.

Ketika dihubungi jurucakap polis Bangladesh mengesahkan surat akuan tersebut.

"Surat akuan itu tulen," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Pernah diugut bunuh, culik

Mengulas lanjut, Rafiq berkata dia pernah menghadapi masalah apabila enggan membayar bayaran tambahan tersebut.

"Saya pernah diugut bunuh, diculik jika enggan bayar. Malah, mereka (sindiket) hentikan proses penghantaran pekerja yang didaftarkan oleh agensi saya. Maka, saya tiada pilihan," katanya.

Rafiq merupakan seorang daripada 103 suspek yang kini disiasat polis Bangladesh berhubung sindiket pemerdagangan manusia.

Dalam pengakuan itu, dia turut menamakan seorang warga Malaysia dan sebuah syarikat tempatan sebagai dalang utama sindiket di Malaysia. Malaysiakini tidak mendedahkan identiti mereka sementara menunggu maklum balas.

Rafiq berkata dia pernah memfailkan writ petisyen di Mahkamah Tinggi Bangladesh pada 2016 untuk membantah tindakan haram kerajaan, namun terpaksa menariknya kembali akibat ancaman bunuh dan risiko penculikan.

"Pada tahun 2022 saya membuat aduan rasmi kepada Perdana Menteri Bangladesh, tiada tindakan diambil.

"Pada tahun 2022 kedua-dua kerajaan mengambil keputusan untuk memberi kebenaran kepada 100 agensi pekerja asing, sindiket tetap mengenakan caj pemerasan BDT150,000 bagi setiap pekerja, walaupun pekerja telah menjalani pemeriksaan perubatan dan siap untuk visa.

"Akibat tekanan itu, saya terpaksa membuat laporan di Balai Polis Tejgaon Industrial Area untuk melaporkan pemerasan yang berleluasa," katanya.

Tiada tindakan diambil

Rafiq menegaskan pemerasan itu bukan sahaja berlaku pada agensinya, malah melibatkan banyak agensi lain di Bangladesh.

Dia juga memfailkan satu lagi writ petisyen pada 2024 yang mengarahkan Suruhanjaya Anti-Rasuah (ACC) menyiasat sindiket tersebut.

Susulan itu, ACC menghantar surat kepada beberapa kementerian, termasuk Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Kementerian Perdagangan, untuk tindakan lanjut.

"Malangnya, kementerian berkaitan tidak mengambil tindakan tegas, sebaliknya lesen agensi digantung secara sewenang-wenangnya.

"Mahkamah kemudian mengarahkan penggantungan dihentikan sementara tiga bulan, tetapi kementerian tetap gagal mematuhi arahan, menyebabkan perintah menghina mahkamah dikeluarkan.

"Sindiket ini terus menjalankan operasi tanpa halangan, membina rangkaian antarabangsa untuk mencuci wang haram dari Bangladesh ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, walaupun undang-undang kedua-dua negara membenarkan semua agensi berlesen menghantar pekerja, sindiket tetap mengawal sistem seolah-olah undang-undang tidak berkuatkuasa.

Penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia disambung semula pada Ogos 2022 selepas hampir enam tahun dihentikan. Namun pada Mei lalu - selepas lebih 476,000 pekerja dihantar - program itu dihentikan, menyebabkan 17,000 pekerja berlesen tidak dapat berlepas.

Kerajaan ketika itu hanya memberi kebenaran kepada 25 agensi Bangladesh sebelum ditambah menjadikan 103 agensi untuk menghantar pekerja yang kemudian dikenali sebagai "sindiket" dan dikatakan mempunyai kaitan dengan empat bekas menteri serta ahli parlimen Bangladesh.

Bagi setiap visa, kira-kira BDT142,000 dikutip oleh ejen di Bangladesh, dan BDT150,000 lagi oleh sindiket di Malaysia.

Pada Julai lalu, Malaysiakini melaporkan Dhaka bersetuju menghentikan siasatannya terhadap dakwaan sindiket mengeksploitasi rakyat Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia, atas arahan kerajaan Malaysia.

Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan dikenali, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat di Kuala Lumpur antara wakil kerajaan Bangladesh dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma) pada 17 Julai.

Parti tempatan masih berkuasa di Sabah

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Parti tempatan masih menguasai pentadbiran negeri menerusi komposisi ahli Kabinet dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi tunggak utama dengan lapan wakil termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor, kata penganalisis.

Syahruddin Awang Ahmad berkata penguasaan itu memperkukuh naratif keputusan utama kerajaan negeri didorong agenda tempatan bukan parti luar atau pemimpin dari Semenanjung seperti dibangkitkan susulan pelantikan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, penyelidik dari Borneo Geopolitics & Electoral Studies (GeoPES) terbabit berpendapat tidak wajar lagi menimbulkan naratif seperti itu sebaliknya memfokuskan kepada kestabilan serta kemajuan Sabah.

“Walaupun BN dan PH (parti berpangkalan Semenanjung) dijemput menyertai Kabinet, kehadiran mereka secara bilangan adalah minoriti iaitu 2 daripada 10 jawatan menteri, meletakkan kuasa penentuan dasar dalam tangan GRS dan sekutunya.

“Keadaan ini secara langsung menjawab keresahan rakyat tentang autonomi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan penekanan kini beralih kepada prestasi perkhidmatan dan tadbir urus kerajaan GRS yang stabil,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, menteri Kabinet Sabah diumumkan dengan agihan lapan dari GRS dan masing-masing satu dari Upko, BN dan PH.

Hajiji, pengerusi GRS menjadi ketua menteri Sabah untuk penggal kedua manakala Pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun dan Presiden Upko Ewon Benedick dilantik timbalan ketua menteri.

Joachim memegang portfolio kerja raya dan utiliti, Masidi (Kewangan), Ewon (Perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan).

Kerajaan tempatan dan perumahan (Arifin Arif-GRS), pertanian, perikanan dan industri makanan (Jamawi Jaafar-PH), pembangunan luar bandar (Rubin Balang-GRS), pendidikan, sains, teknologi dan inovasi (James Ratib-GRS).

Pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar (Jafry Ariffin-BN), wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat (Julita Majungki-GRS) dan pembangunan belia, kemajuan sukan dan ekonomi kreatif (Nizam Abu Bakar Titingan-GRS).

Bagi mengelakkan situasi seperti Langkah Kinabalu, Syahruddin mencadangkan kerajaan GRS-Plus pimpinan Hajiji itu perlu memeterai perjanjian kerjasama rasmi yang mengikat secara politik dan perundangan semua parti.

Beliau berkata semua Adun parti gabungan perlu sokong ketua menteri dalam undi percaya atau rang undang-undang selain memperkukuh agenda kepentingan negeri dan MA63 yang dijadikan asas kestabilan, bukan hanya perkongsian kuasa.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat langkah untuk menerima enam Adun BN menjadi sebahagian kerajaan kerana mereka terikat dengan keputusan parti yang telah menyatakan sokongan kepada kerajaan Hajiji.

“Tapi lima wakil rakyat bebas belum tahu 100% sokong kerana keputusan dibuat tidak terikat dengan agenda parti yang memberi kesan dari segi kestabilan.

“Sabah memerlukan kestabilan sekarang dan ini dibawa BN walaupun ada mengatakan parti itu sepatutnya berada di luar kerajaan negeri,” katanya.

Kegagalan besar PN di PRN Sabah

Mirza Mohd

Lima tahun lalu kita percaya Perikatan Nasional kuat. Kini semua retak sebab satu 'benda'.

Orang ramai sibuk menuding jari kepada Pakatan Harapan (PH). Ruang komen bising, penganalisis separuh masak berpusu-pusu buat teori PH kena tsunami. Kalau kita letak emosi tepi dan lihat fakta paling sukar ditelan, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu jauh lebih teruk.

PH masih ada dalam kerajaan negeri. Hajiji Noor masih ketua menteri. Kerajaan stabil.

PN pula? Tiada angin, tiada bayang, hampir 90% calon PN hilang deposit. Ini kegagalan besar! Pukulan paling memalukan: Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee tumbang. Naib presiden Bersatu tewas di kawasan sendiri. Jika jeneral jatuh, apa lagi nasib askar di bawah?

Lebih pedih, kerusi tunggal PN yang menang bukan datang daripada Bersatu, tetapi PAS. Bayangkan parti yang kononnya memimpin gelombang biru terpaksa menumpang nafas pada parti lain. Tamparan yang patutnya menyedarkan semua ahli Bersatu.

Lima tahun lalu kita percaya PN kuat. Kini semua retak sebab satu ‘benda’: kedegilan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, bersama Azmin Ali.

Kepimpinan yang keras kepala, dikelilingi penasihat lemah, dan presiden yang kehilangan sentuhan.

Aura Muhyiddin makin pudar. PRN Sabah bagi isyarat jelas: rakyat sudah tak percaya. Trend data di lapangan menunjukkan kejatuhan konsisten. Yang masih pura-pura percaya cuma geng sekeliling dia saja.

Jika kita bersikap jujur sebagai orang yang sayang parti, maka kita kena akui realitinya: menuju PRU16, PN tidak boleh dipandu oleh tangan yang sama.

Ramai dalam parti, diam-diam, melihat Hamzah Zainudin sebagai pilihan yang lebih tersusun, lebih strategik dan lebih stabil. Tidak sempurna tetapi jauh lebih waras daripada struktur lama yang jelas gagal.

Soalan paling membimbangkan bukan ‘kenapa PN kalah di Sabah?’ tetapi ‘bagaimana PN mahu bertahan sampai PRU16?’.

PAS senyum sebab mereka pun nampak, kalau ikut prestasi, mereka patut mengetuai PN, bukan Bersatu. Saya sendiri tak salahkan mereka kalau itu yang mereka fikirkan.

Sebagai ahli Bersatu, saya bukan marah. Saya malu. Malu bila tengok parti sendiri rosak perlahan-lahan kerana orang di atas tak berani berubah.

PN tidak perlukan tampalan. PN perlukan reset total. Leadership overhaul. Strategi baharu. Budaya baharu. War Room sebenar, bukan studio selfie.

Jika kita tidak berani rombak sekarang, jangan terkejut kalau rakyat rombak kita nanti.

Pada tahap ini, dengan data dan keputusan Sabah, dengan mood rakyat dan ketidakstabilan dalaman, adalah lebih baik kita berhenti bermimpi menggenggam Putrajaya kalau kita sendiri tak mampu menjaga parti sendiri.

Kerana dalam politik, musuh sebenar bukan parti lain. Musuh sebenar ialah pemimpin yang tidak sedar dia sudah menjadi liabiliti.