"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Johor, PH Johor mungkin bertanding semua kerusi

Bekerjasama dengan BN atau bertanding di semua kerusi di dalam PRN Johor, itulah pilihan PH Johor

K PRAGALATH

Naib pengerusi AMANAH Johor Zuhan Zain berkata bahawa PH Johor sedang mempertimbangkan sama ada untuk bekerjasama dengan BN atau bertanding di semua kerusi di Johor di dalam pilihan raya negeri akan dating.

“Kemungkinan pertama adalah kerjasama bersama dengan BN Johor dalam berhadapan dengan PRN nanti dan hal ini juga memerlukan komitmen dari PH Johor untuk membawa agenda pembahagian kerusi sama rata antara BN-PH di Johor.

“Kemungkinan kedua yang boleh berlaku adalah gabungan PH bertanding di semua kerusi di Johor tanpa ada kerjasama dengan BN dan mana-mana gabungan lain di Johor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

PRN Johor dijangka berlangsung awal tahun 2026 selepas tempoh mandat tamat dalam bulan Mac.

Tiga negeri lain yang juga perlu mengadakan PRN ialah Melaka, Sabah dan Sarawak.

PH dan BN sepakat di peringkat kerajaan pusat tetapi kesepakatan peringkat negeri belum dimuktamadkan. Ini termasuklah pembahagian kerusi DUN.

Dalam pada itu Zuhan berkata bahawa PH Johor perlu memuktamadkan perkara ini kerana gerak kerja mendekati rakyat perlu dilaksanakan.

“Keputusan ini perlu segera dibuat berikutan masa yang tinggal adalah singkat untuk melakukan gerak kerja mendekati rakyat agar PH terus mendapat kepercayaan rakyat di negeri ini,” katanya.

Pelancong Malaysia maut, jatuh dari hotel

BERNAMA

Phuket: Seorang lelaki warga Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di pulau peranginan popular di Wilayah Phuket pagi semalam.

Menurut laporan Polis Thailand, mangsa, seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun berasal dari Selangor, tiba di Thailand pada 8 Mei bersama lebih 20 pelancong Malaysia.

"Mangsa telah diaturkan sebilik bersama tiga orang rakan. Pada kira-kira jam 1 pagi Jumaat (waktu tempatan), polis menerima laporan daripada petugas hotel bahawa seorang pelancong telah terjatuh dari bangunan," menurut laporan itu pada Jumaat.

Laporan Polis Thailand turut memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Patong, Wilayah Phuket, pada 1.30 pagi Jumaat akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Sementara itu, ketika dihubungi, pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa jenazah telah dituntut oleh waris pada pagi Sabtu.

"Pihak konsulat telah membantu menguruskan jenazah dari daerah Patong ke wilayah Sadao melalui jalan darat sehingga sempadan Bukit Kayu Hitam. Ahli keluarga mangsa dijadualkan membawa jenazah ke Sungai Buloh untuk urusan pengebumian," menurut pihak Konsulat Malaysia.

Pihak Konsulat juga membantu menguruskan permit pengebumian di Malaysia.

Pakistan dakwa musnahkan sistem peluru berpandu paling canggih India

BHarianonline 
Pakistan dakwa musnahkan sistem peluru berpandu paling canggih India
Pakistan dakwa musnahkan sistem peluru berpandu paling canggih India
Pakistan dakwa musnahkan sistem peluru berpandu paling canggih India
Orang ramai berdiri bersebelahan sebuah kenderaan yang rosak di sebuah kawasan kejiranan, susulan operasi ketenteraan Pakistan terhadap India, di Rehari, Jammu, India. – Foto REUTERS
ISLAMABAD: Tentera Pakistan mendakwa pihaknya berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara S-400 milik India di Adampur, daerah Jalandhar, negeri Punjab, India, dalam satu serangan udara hari ini, lapor Xinhua.

Inter-Services Public Relations (ISPR) dalam kenyataan berkata, serangan itu dilakukan menggunakan peluru berpandu hipersonik yang dilancarkan dari pesawat JF-17, dengan sasaran berpandu tepat yang berjaya musnahkan sistem pertahanan udara canggih berkenaan.

Katanya, sistem S-400, yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1.5 bilion (RM7 bilion), dianggap sebagai salah satu sistem peluru berpandu paling canggih milik India.

Penganalisis tentera memberitahu Xinhua bahawa kejayaan memusnahkan S-400 itu berpotensi memberi kesan besar terhadap kedudukan pertahanan udara India di rantau ini.

ISPR berkata, serangan itu merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan besar Pakistan 'Bunyanun Marsoos'.

Ia yang dilancarkan sebagai tindak balas kepada provokasi berterusan India dan bertujuan untuk menyasarkan pelbagai fasiliti ketenteraan bernilai tinggi di seluruh India. - AGENSI

10 ditahan pelajar tingkatan 5 parah dibelasah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sepuluh lelaki ditahan kerana disyaki terbabit kejadian seorang pelajar tingkatan lima dibelasah hingga parah di Paroi semalam.

Ketua Polis Seremban, Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kejadian yang dipercayai berlaku dekat kedai makan dan gelanggang futsal di Kampung Sentosa Jaya kira-kira 3 pagi susulan laporan bapa mangsa.

“Mangsa seorang remaja 17 tahun dikatakan dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah mangsa lebam di mata kiri dan sakit seluruh badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada selisih faham, yang mana suspek utama kes ini dipercayai menyerang mangsa kerana menyangka mangsa mencederakan adiknya.”

Beliau berkata, 10 suspek berumur 17 hingga 31 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Menurutnya, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan tidak akan berkompromi bagi menegakkan keadilan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan memohon saksi awam tampil membantu siasatan.

Pelajar parah didakwa dibelasah beramai-ramai

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
FOTO tular remaja parah didakwa dibelasah beramai-ramai oleh kumpulan yang salah kenal pasti identitinya.
FOTO tular remaja parah didakwa dibelasah beramai-ramai oleh kumpulan yang salah kenal pasti identitinya.
Seremban: Akibat tersalah orang, pelajar tingkatan lima dipercayai dibelasah beramai-ramai hingga parah dalam kejadian di Paroi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun, mengalami patah tulang pipi, patah tulang hidung, luka pada kepala, pendarahan mata dan kecederaan pada badan.

Bapanya yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian dibelasah, berlaku pergaduhan pada 12.30 tengah malam yang tidak serius antara rakan anaknya di Taman Perwira namun anaknya tidak terlibat.

Katanya, dia dimaklumkan salah seorang individu yang terbabit pergaduhan itu dikenali Adam terbabit kemalangan di Senawang ketika dalam perjalanan pulang selepas pergaduhan terbabit dan koma.

"Adik-beradik Adam syak kemalangan berpunca daripada pergaduhan itu dan dakwa anak pun terbabit. Saya tidak pasti bagaimana mereka dapat maklumat dan dakwaan ini," katanya ketika ditemui.

Jelas lelaki berusia 50-an itu, apa yang menyebabkannya kecewa adalah mereka mengambil tindakan sendiri tanpa usul periksa dan memperlakukan anaknya tanpa belas kasihan.

"Adik-beradik Adam, kumpul dengan rakan dan mula membawa anak serta tiga lagi remaja secara bergilir-gilir. Anak saya orang yang terakhir dibawa menaiki kereta ke satu lokasi di Paroi.

"Di dalam kereta, dia dipukul dan setibanya di Paroi, kira-kira 20 lelaki berusia 20-an sedang menunggu. Dia dipukul beramai-beramai sehingga terkencing dalam seluar.

"Selepas dibelasah, anak saya dibawa berjumpa dengan keluarga Adam dan kebetulan terdapat beberapa kawan Adam yang berada di lokasi pergaduhan awal (dan) mengesahkan anak saya tidak terbabit," katanya

Dakwanya, selepas dimaklumkan demikian, keluarga Adam ada meminta maaf dan membawa anaknya ke klinik swasta untuk rawatan.

"Mereka tidak berani bawa ke hospital kerajaan. Saya difahamkan juga klinik swasta memberikan surat rujukan ke hospital, namun surat itu tidak diserahkan kepada anak saya," katanya.

Jelasnya, anaknya menghubunginya pada 3 pagi selepas dihantar semula ke Taman Perwira, tetapi ketika itu hanya memaklumkan mahu tidur di rumah kawan.

"Saya pelik dan selepas didesak, anak mengaku terbabit kemalangan. Saya tidak bertanay lanjut kerana keadaannya tetapi ada rasa tidak kena, sehinggalah kira-kira 12.30 tengah hari semalam, guru sekolahnya menghubungi saya dan maklumkan yang anak sebenarnya tidak terbabit kemalangan.

"Saya buka telefon bimbit anak dan jumpa gambar dia dibelasah serta baca perbualan rakan-rakannya di dalam WhatsApp. Memang sah dibelasah dan saya terus buat laporan polis," katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan doktor, kecederaan pada muka anaknya mungkin disebabkan objek, selain ditendang pada bahagian badan.

"Saya berharap pihak polis menyiasat perkara ini dengan telus dan membawa suspek ke muka pengadilan. Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan masih menjalankan siasatan lanjut.

Remaja perempuan terjatuh dari jeti ditemukan lemas

Bernama

IPOH: Seorang remaja perempuan ditemukan lemas di Jeti Sungai Raja Hitam, Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di sini, selepas dipercayai terjatuh akibat lantai jeti yang reput, malam semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata mayat Shirley Ngu Siok Lee, 15, dijumpai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changkat Keruing pada 7.52 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan, sejak malam tadi.

"Mayat mangsa ditemukan terapung oleh anggota bomba sukarela sekitar satu kilometer dari tempat mangsa dikatakan jatuh dari jeti dan mangsa dibawa ke pesisiran paya bakau," menurut kenyataan itu.

Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian mangsa dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam insiden kira-kira 10.30 malam itu, Ngu yang berasal dari Kampung Baru Changkat Keruing, dilaporkan tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai di Jeti Sungai Raja Hitam ketika bersiar-siar di jeti berkenaan.

Kes buang mayat bayi: Polis akan periksa hospital, klinik swasta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis akan memeriksa hospital dan klinik swasta di ibu negara susulan kes pembuangan mayat bayi lelaki ke sungai di Jalan Klang Lama, semalam.

Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pemeriksaan itu bagi mengesan rekod wanita baru melahirkan anak dan mencurigakan.

“Setakat ini belum ada tangkapan suspek. Kita akan memeriksa hospital dan klinik swasta, bergantung kepada keputusan bedah siasat hari ini ,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, media melaporkan mayat seorang bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di Sungai Klang dekat sebuah restoran di Jalan Klang Lama.

Ku Mashariman dilaporkan berkata, MERS 999 menerima aduan awam berhubung penemuan objek seperti mayat bayi kira-kira 2.05 petang Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.

Tian Chua: PKR berdepan krisis peralihan kepimpinan

Pan Eu Joe

PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin PKR percaya parti itu sedang berdepan krisis peralihan kepimpinan susulan keputusan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk mencabar penyandang, Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata pelan peralihan sebenar sepatutnya melibatkan kerjasama kepimpinan yang lebih meluas, namun mendakwa perkara itu tidak berlaku dalam PKR disebabkan tindakan lompat parti sebelum ini dan jurang generasi yang ketara.

“Jika ada pelan peralihan, Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu menghimpunkan Nurul Izzah, Rafizi, Saifuddin Nasution Ismail, Amirudin Shari dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk membina satu pasukan besar, seperti yang pernah kita lihat sebelum ini.

“Bagi saya, ini mungkin tokoh-tokoh penting yang boleh memastikan peralihan yang lebih berjaya. Dalam senario seperti itu, pasukan tersebut akan lebih kukuh dan berpotensi memimpin parti dalam era pasca-Anwar,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, beberapa pemimpin utama parti termasuk Naib Presiden Nik Nazmi dan K Saraswathy, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, bekas ketua Pemuda Akmal Nasir serta beberapa Ahli Parlimen dan Adun tewas dalam pemilihan bahagian masing-masing.

Mereka kemudiannya bersetuju untuk ‘move on’ dan tidak mempertikai keputusan pemilihan itu selepas audit mendapati tiada campur tangan pihak luar dalam teknologi blockchain yang digunakan dalam pengundian.

Tian Chua, bekas Ahli Parlimen Batu, mengkritik sebarang bentuk sokongan secara atas ke bawah dalam PKR sebagai sesuatu yang ‘tidak sihat’ dan menegaskan parti itu perlu menghargai undi bebas perwakilan yang mewakili akar umbi.

Beliau turut menganggap cabaran Nurul Izzah terhadap Rafizi boleh memberi kesan terhadap bapanya, Anwar, tidak kira apa jua keputusan pemilihan nanti.

Menurutnya, jika Nurul Izzah tewas, ia akan menunjukkan beliau tidak mendapat sokongan dalam parti, dan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada Anwar.

Namun, jika beliau menang, kata Tian Chua, parti-parti lain mungkin akan mendakwa Anwar melindunginya dan memberi ‘laluan mudah’ untuk mengambil alih parti.

Tambahnya, perkara itu akan menyukarkan usaha Nurul Izzah untuk membina kekuatan PKR selepas era Anwar, dan jika isu ini tidak ditangani dengan betul, Rafizi dan kumpulannya mungkin keluar parti, sekali gus melemahkan PKR.

Apabila ditanya sama ada terdapat ‘watak tersembunyi’ yang mencalonkan Nurul Izzah bagi mencabar Rafizi susulan reaksi Rafizi selepas keputusan pusingan pertama pemilihan diumumkan, Tian Chua berkata: “Sebagai pemerhati, itu satu teori. Tapi sebagai orang dalam, saya rasa ia sangat berkemungkinan benar.”

Minggu lalu, dilaporkan Rafizi, yang juga menteri ekonomi, mengambil cuti daripada tugas rasmi di tengah-tengah spekulasi mengenai kedudukan politiknya susulan kekalahan beberapa sekutu rapat dalam pemilihan bahagian PKR baru-baru ini.

Sejak itu, ramai pemimpin negeri dan bahagian menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan nombor dua itu, yang dimenangi Rafizi pada 2022 selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution.

Sementara itu, Saifuddin berkata beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti bulan ini kerana ingin memberi tumpuan kepada perjuangan politik lebih besar dalam parti.

Pembantu beliau, Omar Mokhtar Manap berkata, keputusan itu dibuat selepas Saifuddin berbincang dengan beberapa pihak, termasuk kepimpinan tertinggi PKR.

‘Biarpun Dihantar Pulang Ke Kampung, Kami Akan Tetap Balik Ke Malaysia’ – Perantau ‘Haram’ Indonesia

Hizam Jaafar

Negara Malaysia sememangnya menjadi dambaan buat pekerja imigran dari negara-negara yang sedang bergolak ataupun ekonomi tidak stabil kerana memiliki peluang kerja yang lebih meluas untuk mengubah nasib kehidupan.

Malah, ada yang sanggup datang secara haram menerusi laluan tikus di darat mahupun laut asalkan dapat merantau ke negara ini.

Memetik Kompas.com, puluhan calon Pekerja Migran Indonesia (CPMI) haram tetap menyatakan keinginan kuat mereka untuk berangkat ke Malaysia, meskipun baru sahaja ditahan oleh Satuan Tugas Penegakan Hukum Desk Pelindungan Pekerja Indonesia Bareskrim Polri.

Operasi tersebut berlaku pada 5–6 Mei 2025 di Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara. Pada masa ini, mereka ditempatkan di Balai Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) Nunukan.

“Biarpun kami dihantar pulang ke kampung, tetap bagaimana caranya kami akan kembali ke Malaysia,” ujar Punru, warga Bone, Sulawesi Selatan, Khamis (8/5/2025).

Kenyataan Punru dipersetujui oleh ramai CPMI lain yang berada di tempat penampungan BP2MI Nunukan.

Mereka menyatakan bahawa keberangkatan ke Malaysia merupakan inisiatif sendiri, untuk kembali bekerja di perladangan dan bidang pekerjaan lain.

“Kami sendiri yang ingin berangkat ke Malaysia. Kami bayar orang untuk hantar kami menyeberang. Tiada kami dipaksa dan disuruh kerja tak layak,” tambahnya.

Beberapa daripada mereka malah mengaku telah memiliki keluarga dan harta benda di Malaysia, sehingga merasa perlu untuk kembali.

“Kalau boleh kami lengkapkan dokumen kami di sini (BP2MI) dengan cepat, bolehlah, supaya kami juga boleh menyeberang dengan cepat,” kata Yahya, CPMI asal Enrekang.

“Di Malaysia sahaja kami bekerja susah. Di kampung apa yang hendak dikerjakan,” tambah Yahya yang kembali disokong oleh rakan-rakannya.

BP2MI Akui Ramai calon PMI Melarikan Diri Semasa Penghantaran Pulang
Koordinator Perlindungan Pekerja Migran Indonesia di BP2MI Nunukan, Asriansyah, mengesahkan pengakuan para CPMI. Beliau mengatakan bahawa ramai CPMI yang dihantar pulang sebenarnya melarikan diri dalam perjalanan dan kembali ke Malaysia melalui laluan haram.

“Terakhir pada tahun 2023, kami kehabisan biaya pendampingan penghantaran pulang PMI ke kampung. Mereka dihantar pulang menggunakan Kapal Pelni ke Balikpapan untuk transit ke Pare-Pare.

Tetapi mereka satu pun tidak ada yang sampai ke Pare-Pare, melarikan diri di Balikpapan, dan kembali ke Malaysia,” ungkapnya.

Pengalaman itu membuatkan BP2MI mengubah laluan penghantaran pulang menggunakan kapal swasta terus ke Pare-Pare tanpa transit di Balikpapan.

“Tidak lagi kapal yang transit di Balikpapan, kerana masih wilayah Kalimantan, sehingga mereka boleh kembali mencari laluan lain untuk kembali ke Malaysia,” jelasnya.

Asriansyah turut menyoroti kisah seorang Pekerja Migran Indonesia (PMI) wanita bernama LN. Wanita tersebut telah dihantar pulang secara khusus oleh Konsulat Republik Indonesia di Tawau, namun tidak menyerah dan terus berusaha untuk kembali ke Malaysia.

Bahkan, LN dilaporkan telah dideportasi dari Malaysia sebanyak enam kali akibat tindakannya tersebut.
-thevocket.com

(Pemilihan PKR)Rafizi: Penyandang jadi pencabar

Hishamuddin Aun

Dalam tempoh kurang tiga tahun, Rafizi tiba-tiba melihat peranannya bertukar disebabkan gelombang sokongan kepada Nurul Izzah.

Sebaik-baiknya kedua-duanya kekal dalam kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) — dengan ketiadaan salah seorang seperti mencacatkan ‘pasukan impian’ sejak 2022 — tetapi nampaknya pertembungan penyandang Rafizi Ramli dan pencabar Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden tidak lagi terhindarkan.

Baik ia berlaku dengan terancang tapi senyap-senyap atau secara kebetulan semata-mata, hanya masa akan mengukur sama ada pertandingan membabitkan kedua-duanya akan mengukuhkan lagi parti seperti dihasratkan atau menyebabkan perpecahan.

Awalnya Rafizi hanya dijangka dicabar setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail — lawan yang dikalahkannya dalam pemilihan tiga tahun lalu — sehinggalah apa yang ditakrifkan sebagai ‘gerakan dalaman’ melonjakkan Izzah menerusi tsunami sokongan akar umbi dengan tidak semena-mena.

Ada yang meramalkan Izzah hanya akan bertanding mengekalkan kerusi naib presiden — jawatan yang beliau dilantik setelah tidak bertanding pada 2022. Selain ia mengelakkan pertembungan dua sahabat baik, pilihan itu juga akan menepati hasrat bapanya Anwar Ibrahim supaya Rafizi diberi laluan mudah untuk mengekalkan jawatan nombor dua dalam parti.

Tapi Izzah juga harus tiada pilihan dengan gelombang sokongan yang mahukannya bertanding termasuk ada yang melabelkannya sebagai ‘penyelamat’ parti sambil mengelakkan ‘orang yang tidak sesuai’ mengisi jawatan kedua tertinggi.

Apa pun, kedua-duanya sudah mengesahkan pencalonan untuk bertanding timbalan presiden semalam dan terserahlah kepada ahli menentukan pilihan mereka pada 23 Mei ini — meluangkan mereka masa dua minggu untuk membuat pertimbangan semasak-masaknya.

“Nurul Izzah terus disokong, Rafizi, Saifuddin tenggelam,” kata tajuk satu portal berita sambil satu yang lain memaparkan “Nurul Izzah dapat sokongan lebih dua pertiga rebut jawatan timbalan presiden PKR” yang seakan-akan menggambarkan pertandingan berat sebelah bakal terjadi.

Majoriti ketua cabang dari beberapa negeri seperti Melaka, Perak, Selangor, Sabah, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut dilaporkan secara tiba-tiba menamakan Izzah sebagai calon timbalan presiden seterusnya.

“Lebih 150 daripada 222 cabang PKR (lebih dua pertiga) menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk bertanding jawatan timbalan presiden,” kata Timbalan Ketua Penerangan I PKR R Ramanan pada Khamis sambil menganggapnya sebagai mencerminkan hasrat akar umbi parti.

Jika sudah dua pertiga sokongan digambarkan tidak akan memihaknya, apakah kepentingan untuk Rafizi bertanding? Tidakkah lebih baik untuk beliau memberi laluan saja?

Pengamat politik PKR Iswardi Morni yang menyuarakan sokongan terbuka kepada Rafizi, bagaimanapun, menjelaskan sokongan ketua-ketua cabang tidak bermakna ahli-ahli di bawah mereka perlu mengikutinya, sebaliknya mereka bebas membuat pilihan sendiri.

Tetapi soalnya apa yang mendorong gelombang sokongan sedemikian besar kepada Izzah secara tiba-tiba hingga Naib Presiden Amirudin Shari; Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil; Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Hamid menyuarakan sokongan terbuka kepadanya?

Tidakkah juga Rafizi berasa keseorangan dan kerja kuatnya selama ini seperti tidak dihargai?

Sebaliknya, kecuali Saifuddin dan Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad — yang mahukannya bertanding dan tidak terkecuali juga Anwar — sokongan terbuka kepada Rafizi sangat terbatas. Ketua-ketua cabang juga kelhatan seperti menjauhinya sedangkan Rafizi sebelumnya ‘hero’ mereka.

Barangkali Rafizi harus merenung semula kejutan dibuatnya apabila dilaporkan menyuarakan hasrat untuk berundur daripada jawatan timbalan presiden dalam satu mesyuarat bersama penyokong selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.

Memetik laporan Sin Chew Daily, penyokong setianya memaklumkan bahawa tindakan Rafizi itu susulan rasa tidak puas hati terhadap sistem pemilihan parti yang dianggap tidak adil hingga beberapa penyokongnya tewas pemilihan di peringkat cabang — antaranya Nik Nazmi di Setiawangsa, Akmal Nasir di Johor Bahru.

Beberapa penganalisis pula cepat menyimpulkan kekalahan ‘kem timbalan presiden’ pada pemilihan bahagian menunjukkan pengaruh Rafizi semakin merosot yang membuka ruang kepada pertandingan jawatan disandangnya.

Mengakui ada menyatakan kepada Anwar dan Saifuddin ketika cuti singkatnya selama empat hari baru-baru ini mengenai kesediaannya tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden dan sedia meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi, pendirian Rafizi itu mungkin menjadi sebab penolakannya.

Dilaporkan ramai penganalisis politik melihat fenomena gelombang sokongan saat-saat akhir kepada Izzah memberi isyarat jelas bahawa ‘Puteri Reformasi’ itu sudah mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti untuk memegang jawatan nombor dua.

Malah, ada yang menjangka Rafizi akan menarik diri daripada bertanding biarpun beliau sudah mengesahkan pencalonannya.

Ini nampak tidak masuk akal berdasarkan Rafizi sendiri mengalu-alukan sebarang pertandingan sambil mempertahankan ia sesuatu yang wajar diraikan dalam semangat demokrasi.

Lagipun, Rafizi perlu bertanding untuk mewajarkan Izzah — jika menang pertandingan — dapat terhindar daripada tuduhan nepotisme, lagi-lagi bagi mengelakkan PKR daripada dijenamakan semula oleh lawan sebagai Parti Keluarga Rapat, jika diambil kira ibunya Wan Azizah Wan Ismail adalah juga pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berpandangan adalah lebih baik jika Izzah memenangi jawatan timbalan presiden menerusi pemilihan parti dan bukan diberikan laluan mudah oleh pencabarnya. Cara itu padanya akan menutup mulut pengkritik dan pembangkang yang mendakwa PKR mengamalkan budaya nepotisme.

Namun, kita pun tahu pembangkang tidak akan pernah berhenti daripada mengalunkan lagu yang sama kecualilah Rafizi dapat mengekalkan jawatannya — itu pun kini beliau dilihat daripada penyandang sudah bertukar menjadi pencabar.

Apa pula kata orang luar?

Pengerusi Urimai P Ramasamy menganggap tsunami sokongan terhadap Izzah sebagai petunjuk terdapat pelan besar untuk mengangkatnya bagi mengantikan Anwar, lantas menjadikan langkah politik yang terlalu tersusun dan terancang ini sebagai tidak ‘organik’.

Terpulanglah, masing-masing ada pandangan.

Misteri penemuan rangka manusia dalam ladang kelapa sawit masih belum terjawab

Buletin TV3 
Keadaan rangka manusia yang ditemui orang kebun di Ladang Bukit Besout Jalan Kuala Slim-Slim River pada Ahad lalu. Foto ihsan PDRM.
SLIM RIVER: Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara atau rakan tampil membantu siasatan berhubung penemuan rangka manusia di sebuah ladang sawit dekat Ladang Bukit Besout, Jalan Kuala Slim-Slim River pada petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan itu bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Beliau berkata, rangka itu dijumpai orang awam yang dalam perjalanan ke kebun berhampiran ladang sawit berkenaan.

“Polis menerima maklumat penemuan rangka manusia daripada orang awam kira-kira jam 5.13 petang Ahad lalu.

“Siasatan dibuat dengan bantuan sepasukan unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjumpai hampir keseluruhan rangka manusia kecuali kedua belah tapak tangan.

“Rangka itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hasni berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat selesai.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau membuat laporan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Raja Nabila Raja Abdul Samad di talian 012 2854320 atau berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Mufti Perlis: Hati, perasaan orang Islam perlu bersama Pakistan

ZULKIFLI MANZOR

PETALING JAYA – Negara-negara Islam perlu berpendirian bersama dengan Pakistan dalam ketegangan antara negara tersebut dengan India.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, hati dan perasaan orang Islam juga hendaklah bersama dengan Pakistan kerana rakyat Pakistan adalah muslim.

“Pakistan negara orang Islam. Orang Islam adalah saudara orang Islam,” katanya menerusi satu rakaman video di muat naik di akaun Facebook Dr MAZA Channel hari ini.

Terdahulu, Mohd. Asri berkata, walau apa alasan geopolitik diberikan kepada ketegangan yang berlaku, wilayah Kashmir adalah wilayah umat Islam.

Menurut beliau, wilayah itu yang cuba dikuasai oleh negara India dan sebahagiannya telah pun diambil oleh India.

“Pakistan adalah negara orang Islam dan India negara yang anti Islam, yang menindas orang Islam di dalamnya, yang menzalimi dan memusuhi orang-orang Islam di dalamnya.

“Apa pun yang berlaku, walau apa alasan cuba diberikan oleh ahli pengkaji politik dan sikap mereka yang memimpin kedua-dua negara ini, ia tidak boleh lari daripada latar agama.

“Permusuhan ini adalah permusuhan yang ada kaitan dengan agama,” katanya. – KOSMO ONLINE!

Rafizi lancar jelajah Hiruk bersama ‘pasukan’

FMT Reporters

Pasukannya termasuk dua ahli Jemaah Menteri, seorang menteri besar serta bekas exco Selangor.
Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Aminuddin Harun dan Rodziah Ismail antara pemimpin dalam pasukan Rafizi Ramli untuk pemilihan PKR.
PETALING JAYA: Rafizi Ramli yang mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dan pasukannya melancarkan jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk) bermula Ahad ini.

Menerusi poster dikongsi pada hantaran di Facebook, pasukannya terdiri daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Kesemuanya akan mempertahankan kerusi naib presiden dimenangi pada 2022.

Turut terpapar pada poster itu Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang sekali lagi mencuba nasib bertanding ketua wanita PKR.

Bekas exco Selangor itu tewas kepada Menteri Pendidikan Fadlina Sidek pada pemilihan lalu.

Rafizi yang setakat ini ditentang Nurul Izzah Anwar berkata jelajah itu akan bermula di zon Melaka dan Negeri Sembilan pada Ahad ini.

Katanya, jelajah itu akan membawa semangat Hiruk iaitu satu usaha untuk memastikan PKR kekal teguh dengan idealisme reformasi, lebih-lebih lagi ketika berada di tampuk kuasa.

“Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus.

“Saya mohon doa dan dokongan semua agar kita terus hidupkan semangat reformasi, walau dalam ujian kuasa,” katanya.

Rafizi mula memegang jawatan timbalan presiden PKR selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan tiga tahun lalu.

Beliau dijangka berdepan cabaran besar menentang Nurul Izzah yang menerima sokongan daripada banyak bahagian PKR di seluruh negara.

Misteri lori bergerak tanpa pemandu

KOSMO
Lori itu bergerak sendiri tanpa pemandu di sebuah kejiranan di Malang baru-baru ini. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan kejadian misteri sebuah lori bergerak sendiri tanpa pemandu di sebuah kawasan kejiranan di Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Malang, wilayah Jawa Timur pada Selasa lalu. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform TikTok menunjukkan lori itu bergerak laju sambil dikejar oleh warga setempat. 

Situasi itu menimbulkan tanda tanya dengan ramai pengguna media sosial menyoalkan bagaimana lori tersebut bergerak sendiri tanpa ada pemandu yang mengawalnya. 

Video itu kemudian mendapat perhatian pemilik lori berkenaan yang menjelaskan perkara sebenar. 

“Anak saya bermain di dalam lori sehingga terlanggar gear pada posisi neutral dan menurunkan brek tangan,” tambahnya. – AGENSI

Penuntut IPT warga Bangladesh cabul warga AS dalam LRT didenda RM5,000

Bernama

Rahman Md Moshiur yang juga warga Bangladesh didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Jan lalu.
Rahman Md Moshiur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul seorang ahli patologi wanita warga Amerika Syarikat di dalam LRT. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti swasta didenda RM5,000 atau dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencabul seorang ahli patologi wanita warga Amerika Syarikat di dalam koc tren aliran transit ringan (LRT) awal tahun ini.

Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas Rahman Md Moshiur, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Warga Bangladesh itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam gerabak tren dari Stesen Universiti yang menghala ke Stesen Bangsar pada 9 pagi 9 Jan lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, pula memohon hukuman denda yang ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama di masa hadapan.

Seorang warga emas dibelasah sehingga berlumuran darah kerana curi bawang

KOSMO
Nenek itu menuruni tangga dalam keadaan lemah selepas dibelasah warga setempat. - TikTok
JAKARTA – Seorang warga emas dibelasah sehingga berlumuran darah kerana didakwa mencuri bawang di sebuah pasar di Boyolali, wilayah Jawa Tengah, lapor portal berita Radar TV. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) di Pasar Mangu dalam daerah Ngemplak, baru-baru ini. 

Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @aspirasisambas menunjukkan wanita suda berusia itu menuruni tangga dalam keadaan lemah, manakala bajunya penuh dengan kesan darah. 

Seorang saksi berkata, ‘nenek’ itu ditangkap menyembunyikan beberapa biji bawang di dalam begnya tanpa membuat pembayaran. 

Ketua Polis Ngemplak, AKP Widarto berkata, pihaknya telah berusaha untuk membawa wanita tersebut ke hospital tetapi ditolak. 

“Dia memilih untuk pulang ke rumah. 

“Menurut keterangan saksi, ini bukan kecurian yang pertama. Dia beberapa kali ditangkap mencuri di pasar tetapi tidak diendahkan oleh peniaga,” kata polis. – AGENSI

Tentera India: Pakistan lancar serangan dron, peluru berpandu

Malaysiakini 

Pasukan bersenjata Pakistan melancarkan “serangan" menggunakan dron dan peluru lain di sepanjang seluruh sempadan barat India malam tadi dan awal pagi ini, menurut laporan Reuters.

Namun, India mendakwa berjaya menumpaskan serangan tersebut.

“Serangan dron berjaya dipatahkan dan balasan setimpal telah diberikan terhadap pelanggaran gencatan senjata (CFVs),” kata tentera India sambil menegaskan bahawa semua “rancangan jahat” akan ditentang dengan “kekuatan”.

Setakat ini, kerajaan Pakistan belum mengeluarkan sebarang makluman mengenai kenyataan tentera India.

Serangan itu berlaku susulan tindakan India menyerang beberapa kawasan di dalam Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan pada 7 Mei lalu, dengan sasaran kepada apa yang didakwa sebagai “infrastruktur pengganas”.

India menjelaskan serangan tersebut merupakan tindak balas terhadap insiden serangan pengganas pada 22 April di kawasan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, yang meragut 25 nyawa. India turut menegaskan tiada kemudahan ketenteraan Pakistan yang disasarkan.

“India telah menunjukkan kawalan diri yang wajar dalam pemilihan sasaran dan kaedah pelaksanaan,” menurut kenyataan negara itu.

Siren berbunyi

Reuters turut melaporkan Pasukan Keselamatan Sempadan India mendakwa berjaya menggagalkan satu “cubaan pencerobohan besar” di wilayah Samba, Kashmir malam tadi, dengan tembakan meriam berat masih berterusan di kawasan Uri pagi ini.

“Beberapa rumah terbakar dan rosak akibat pengeboman di sektor Uri… seorang wanita terbunuh dan tiga orang cedera dalam serangan malam tadi,” kata seorang pegawai yang enggan dinamakan.

Di bandar sempadan Amritsar, India — yang menempatkan Kuil Emas yang dihormati masyarakat Sikh — siren amaran dibunyikan selama lebih dua jam pada Jumaat dan penduduk diarahkan untuk kekal berada dalam rumah.

Langkah berjaga-jaga turut diambil di beberapa kawasan sempadan lain, termasuk Bhuj di Gujarat, dengan pihak berkuasa memaklumkan bas pelancong bersedia untuk memindahkan penduduk berhampiran sempadan Pakistan.

Sekolah dan pusat tuisyen juga diarahkan tutup di wilayah Bikaner, di negeri padang pasir Rajasthan manakala penduduk di kawasan sempadan Pakistan diminta berpindah lebih jauh ke pedalaman atau menumpang di rumah saudara mara atau penginapan yang disediakan kerajaan India.

Saksi dengar jeritan, suspek bawa parang larikan barangan kemas

Sinar Harian

IPOH: "Saya dengar suara orang menjerit, tak lama selepas itu nampak dua lelaki keluar dari kedai bawa parang panjang."

Demikian kata Suhaila, 26, yang menyaksikan kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya dekat Falim di sini pada Jumaat.

Suhaila yang bekerja di premis menjual kasut dalam pasar raya tersebut berkata, sebelum kejadian dia ternampak sebuah kereta dipercayai milik suspek diletakkan betul-betul di hadapan pintu masuk pasar raya.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu tidak menimbulkan syak wasangka kerana menyangka ia kenderaan yang mahu digunakan di ruang pameran.

"Bila dengar orang menjerit, saya terkejut. Nampak orang ramai mula berlari-lari seperti mahu selamatkan diri.

"Saya sendiri pun masuk dalam stor dan menyorok," katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut Suhaila, dia dapat melihat dua suspek dengan seorang daripadanya bertubuh besar, memakai penutup muka penuh keluar dari kedai emas tersebut.

Katanya, seorang daripada mereka turut dilihat memegang senjata tajam seperti parang panjang.
"Ini kali pertama saya berdepan situasi cemas begini sepanjang tiga tahun bekerja di sini," katanya.

Kejadian sekitar jam 1 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Maklumat awal menyebut, suspek mengambil barangan kemas yang dianggarkan bernilai hampir RM400,000 sebelum melarikan diri dengan kenderaan.

Setakat jam 3.30 petang, siasatan polis di lokasi kejadian masih berjalan. -Sinar Harian

Rafizi pertahan jawatan No 2 PKR, dicabar Nurul Izzah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli secara rasmi mendaftar untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Semakan di laman web pemilihan PKR mengesahkan pencalonannya, menyaksikan persaingan dengan Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, yang juga mendaftar untuk bertanding jawatan nombor dua itu.

Ramai pemimpin tertinggi dan bahagian menyatakan sokongan  terhadap Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Permatang Pauh untuk jawatan nombor dua dimenangi Rafizi pada 2022 selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Rafizi telah dua kali mengisytiharkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan itu.

Pada Mac, Rafizi berkata beliau ‘tiada pilihan’ selain bertanding semula, menyatakan keperluan untuk persaingan dalaman yang sihat yang tidak akan mengalih perhatian daripada peranan PKR dalam kerajaan.

Rafizi mengesahkan keputusannya hanya dua hari lalu, mengatakan bahawa dia mengalu-alukan pencabar ke jawatan itu.

Pengampunan Najib: 60% India sokong, 95% Cina bantah

Malaysiakini 

Majoriti masyarakat India menyokong permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Najib Razak, menurut satu tinjauan oleh Merdeka Center.

Tinjauan yang dijalankan atas permintaan Projek Sama itu mendapati 62.2 peratus responden kaum India menyokong usaha Najib mendapatkan pengampunan, diikuti bumiputera Islam (50.5 peratus) dan Melayu (43.0 peratus).

Namun begitu, sebanyak 95 peratus masyarakat Cina membantah permohonan tersebut, diikuti bumiputera bukan Islam sebanyak 51 peratus.

Tinjauan ini dijalankan antara 27 Mac hingga 17 April tahun ini, melibatkan 1,210 responden berumur 18 tahun ke atas.

Temu bual dilakukan melalui panggilan telefon, dengan kadar ralat sebanyak 2.82 peratus.

Saisah hilang sejak pagi semalam selepas ke kebun getah

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
(kiri) Kenderaan mangsa ditemukan di kawasan kebun. (kiri) Pasukan bomba bersama penduduk kampung menjalankan SAR di lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang. FOTO Ihsan Bomba
(kiri) Kenderaan mangsa ditemukan di kawasan kebun. (kiri) Pasukan bomba bersama penduduk kampung menjalankan SAR di lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang. FOTO Ihsan Bomba
Keningau: Seorang wanita dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Johan Jaya, Sook, di sini, sejak semalam.

Saisah Sadiman, 50-an, dikatakan keluar ke kebun getah jam 6 pagi semalam dan tidak pulang sehingga hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai terdapat seorang mangsa dikhuatiri hilang.

"Menurut anak mangsa, ibunya pergi ke kebun getah menaiki kenderaan untuk membersihkan kawasan kebun sekitar jam 6 pagi.

"Kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah pada jam 5 petang. Namun sehingga sekarang mangsa belum pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, usaha mencari mangsa oleh penduduk kampung dijalankan dan hanya menemui kenderaan mangsa di kawasan kebun namun mangsa gagal ditemui.

"Talian telefon bimbit mangsa dapat dihubungi tetapi panggilan tidak dijawab. Pasukan bomba ke lokasi untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi SAR dijalankan bersama penduduk kampung dengan radius 100 meter dari lokasi jentera bomba," katanya.

Ada lingkaran cincin hitam muncul di langit

KOSMO
SATU lingkaran berbentuk cincin hitam di langit Bonner Springs. - Foto Facebook/@yourdaddyfrankie
NEW YORK – Satu kejadian aneh yang berlaku menyaksikan kehadiran lingkaran berbentuk cincin berwarna  hitam langit sebuah bandar kecil di negeri Kansas, lapor saluran berita Fox News semalam.

Fenomena itu dilihat oleh seorang penduduk bandar Bonner Springs, Frankie Camren petang Isnin lalu ketika dia menunggang motosikal.

“Saya kini berumur 50 tahun dan tidak pernah kejadian seperti ini.

“Bolehkah seseorang memberitahu saya apakah ini?,” katanya dalam satu rakaman video.

Camren berkata, beberapa penduduk di Tonganoxie dekat Bonner Springs melaporkan melihat cincin hitam itu sehari sebelumnya.

Mengulas kejadian tersebut, beberapa ahli meteorologi memberitahu, ia berkemungkinan besar terbentuk hasil daripada beberapa jenis letupan. 

Mereka menyamakannya dengan pembentukan awan cendawan di mana udara yang naik dengan cepat memerangkap asap dalam formasi seperti cincin kerana ia bergerak lebih laju daripada udara sekelilingnya. – AGENSI

10 nama bertanding Naib Presiden PKR, jawatan Timbalan masih kosong

SITI NUR ZAWANI

Setakat jam 12 tengah malam tadi sekurang-kurangnya 10 nama telah mencalonkan diri bagi bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR.

Dua nama besar yang terpapar pada sistem pencalonan pemilihan termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Penyandang jawatan itu turut bertanding iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Enam lagi yang turut bersaing ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Turut bertanding ialah ahli MPP PKR, Senator Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R Yuneswaran.
Sumber foto FB Jason Yew
Sementara itu seramai 67 ahli mencalonkan diri bagi merebut tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Manakala buat masa ini jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli masih tiada pencalonan.

Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula jam 12 tengah malam tadi (8 Mei) hingga jam 11.59 malam ini.

Treler terbabas rempuh 3 kenderaan, 2 wanita maut

MOHD SHARKAWI LONDING
KEADAAN Toyota Estima yang terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 34, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sedenak, Kulai malam tadi.
KULAI – Sekurang-kurangnya dua maut manakala 15 lagi terselamat apabila mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 34 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah treler membawa kontena, Toyota Estima, Mazda 5 dan Toyota Hilux.

“Kemalangan melibatkan 17 mangsa. Dua wanita yang menaiki Toyota Estima meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lelaki dan seorang lagi wanita cedera.

“Identiti mangsa yang maut ialah Gee Yin Chin, 42, dan seorang lagi mangsa maklumat tidak diperolehi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Firdaus berkata, mangsa yang menaiki kereta Mazda 5 ialah seorang lelaki dewasa, dua wanita dan tiga kanak-kanak terselamat.

Katanya, mangsa yang menaiki Toyota Hilux pula membabitkan masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak turut terselamat.

Manakala, pemandu treler dilaporkan tercedera dikejarkan ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk menerima rawatan.

Jelasnya, kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada pukul 12.13 tengah malam tadi.-KOSMO! ONLINE

Pesanan pengguna vape sebelum meninggal dunia

AMAL HAYATI FAUZI
Tangkap layar pesakit menghidap penyakit jantung akibat penggunaan vape sebelum meninggal dunia hari ini
PETALING JAYA – Seorang pesakit yang menghidap penyakit jantung akibat ketagihan menghisap vape sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai tentang bahaya penggunaan vape sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi semalam.

Menerusi hantaran video oleh pemilik akaun @radzirockrider di TikTok, lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pesara itu berkongsi pengalaman peritnya melawan kesan penggunaan vape selama empat tahun yang bermula akibat tekanan kerja.

“Jantung saya tinggal tiga peratus untuk berfungsi. Saya terpaksa ditidurkan dan diberi oksigen untuk diselamatkan. Dua minggu lepas dimasukkan ke wad sebab jantung lemah.

“Saya hisap vape sampai sebelah tangan pegang vape, sebelah lagi pegang pemegang motosikal. Bila berhenti hisap vape selama dua hari, saya sesak nafas kerana jantung lemah, kemudian dibawa ke hospital,” katanya.

Tambahnya, dia menceritakan bagaimana keadaannya menjadi kritikal hingga perlu dimasukkan oksigen dan paru-parunya ditebuk bagi mengeluarkan cecair kuning serta nanah, sebelum memberi pesanan terakhirnya.

“Kepada orang muda, berhentilah hisap vape, masih ada masa dan peluang,” ucapnya.

Tinjauan di ruangan komen, ramai yang tersentuh dengan kisah arwah dan menjadikan video itu sebagai peringatan.

“Terima kasih kerana berkongsi. Moga jadi pengajaran buat kita semua. Moga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin,” komen @eddieazroy.

“Vape pun jangan, rokok pun jangan. Dua-dua tak ada manfaat. Saya dulu perokok tegar, sehari 40 batang. Alhamdulillah, dah 10 tahun berhenti,” kongsi @rizal.m.zahid. -KOSMO! ONLINE

Percubaan Muhyiddin tak mungkin tarik sokongan bukan Melayu

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan percubaan Muhyiddin Yassin meletakkan ungkapan beliau ‘Melayu terlebih dahulu’ sebagai ‘tak penting lagi’ tidak mungkin meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada Perikatan Nasional, malah meragui impak langkah tersebut.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata faktor terbesar yang menyebabkan orang Melayu tidak menyokong PN adalah PAS dan pandangan parti itu yang dilihat keras.

Beliau juga berkata kenyataan Muhyiddin itu tidak mungkin mengurangkan sokongan kepada PN kerana undi Melayu sebahagian besarnya utuh bersama PAS.

“Sokongan orang Melayu kepada PN bukan kerana Bersatu tetapi kerana PAS.

“Saya tak fikir ini (kenyataan Muhyiddin) akan merunsingkan pemimpin PAS, kerana mereka tidak pernah mengatakan bahawa mereka berjuang untuk orang Melayu. Perjuangan mereka adalah menjaga kesucian Islam.

“Sudah tentu, secara tidak langsung mereka mengatakan mereka akan berjuang untuk orang Melayu, kerana hampir semua orang Melayu beragama Islam, tetapi dalam perjuangan politik PAS tidak pernah mereka mengatakan bahawa mereka menyasarkan atau cuba melindungi orang Melayu,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun, dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, bersetuju. Beliau berkata PAS pada asasnya adalah parti berorientasikan agama dan bukan berpaksikan kaum.

Oh percaya percubaan Muhyiddin itu sebahagian daripada usaha untuk memulihkan relevansi politiknya, dalam parti dan gabungannya serta di arena nasional.

Beliau maklum Bersatu berjaya menarik segelintir pemimpin Cina dari parti lain sejak beberapa bulan lalu, namun beliau meragui sama ada langkah itu akan berjaya menarik sokongan masyarakat Cina.

“Saya rasa Bersatu sedar ia tidak boleh menandingi PAS dalam menarik sokongan Melayu atau Umno dalam mengagihkan sumber kepada orang Melayu.

“Oleh itu, ia cuba melakukan sesuatu dengan menjadi parti yang diterima oleh orang bukan Melayu.

“Dalam politik, pertaruhan seperti itu perlu dilakukan dari semasa ke semasa apabila nasib politik kurang baik,” katanya.

Muhyiddin pada Ahad mengakui pernah kata “saya Melayu terlebih dahulu” pada 2010, tetapi mendakwa bahawa “itu tak penting lagi”.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tak pernah berfikir dirinya sebagai “Melayu sahaja”, menegaskan bahawa beliau “seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia”.

Pengumuman itu dikritik veteran DAP, Lim Kit Siang, yang mencabarnya untuk menunaikan kata-kata itu dengan mengepalai kempen menggesa rakyat mengutamakan kerakyataan sebelum etnik.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menuduh Muhyiddin mengubah pendirian demi kuasa.

Bagaimanapun, Pengerusi Urimai P Ramasamy memuji peralihan Muhyiddin itu sebagai langkah yang tepat pada masanya, dan penting ke arah menjadikan PN sebuah gabungan yang boleh mewakili semua rakyat.

Ramasamy berkata ini boleh menjadikan PN sebagai alternatif yang inklusif untuk orang bukan Melayu menjelang PRU akan datang. Beliau bagaimanapun menggesa gabungan itu elak model Barisan Nasional yang mana parti-parti bukan Melayu dikatakan tunduk pada parti Melayu lalu menjadi lemah dari segi politik.

Azmi berkata BN berjaya selama tempoh 60 tahun kerana Umno, MCA dan MIC menjaga kepentingan masyarakat yang mereka wakili.

Sebaliknya, PKR bergelut untuk meletakkan dirinya sebagai parti berbilang kaum meskipun di atas kertas ia digambarkan sebagai sedemikian, dan memerlukan Amanah dan DAP untuk meningkatkan kedudukannya dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina.

Azmi berkata PN mungkin boleh memanfaatkan model yang sama, dengan syarat itu memiliki rakan kongsi yang mampu meraih sokongan orang bukan Melayu. Masalah PN bagaimanapun tiada parti selain DAP yang mampu meraih sokongan sedemikian pada masa ini.

“Lupakan Gerakan. Mereka tak berjaya dalam pilihan raya sejak dua hingga tiga tahun lalu,” kata Azmi.

Oh juga menolak pandangan Ramasamy, dan berkata: “ia akan menjadi sama saja, iaitu ketuanan Melayu dan Islam serta bukan Melayu dan bukan Islam sebagai perhiasan.”

Pemilihan PKR: Masih tiada pencalonan jawatan presiden, timbalan

Malaysiakini 
story-image
Proses pencalonan pemilihan peringkat pusat PKR yang berlangsung dari 12 pagi hari ini menyaksikan masih tiada pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Semakan Malaysiakini setakat 8.30 malam (8 Mei), menerusi laman web https://pencalonanpusat.keadilanrakyat.org menunjukkan tidak ada sebarang pencalonan bagi dua jawatan utama.

Sementara itu, sebanyak sembilan pemimpin telah pun membuat pencalonan bagi empat jawatan naib presiden dan 61 pemimpin membuat pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Proses penamaan calon dijalankan secara dalam talian.

Pemimpin yang berniat bertanding masih mempunyai masa sehingga 11.59 malam esok, (9 Mei) untuk membuat pencalonan.

Diramalkan, presiden parti, Anwar Ibrahim akan mengekalkan jawatan tanpa bertanding. Sebelum ini, tiga pemimpin PKR disebut-sebut akan bersaing jawatan timbalan presiden.

Penyandangnya, Rafizi Ramli telah mengumumkan akan mempertahankan jawatan. Dua nama yang lain disebut akan memberi cabaran kepada Rafizi adalah anak Anwar, Nurul Izzah dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Kedua-duanya bagaimanapun belum memberi kata putus.

Sembilan pemimpin yang telah membuat pencalonan untuk bertanding empat jawatan naib presiden antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains dan Teknologi Malaysia Chang Lih Kang, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia R Ramanan.

Turut bertanding bagi jawatan berkenaan, Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas exco negeri Selangor Hee Loy Sian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Chan Ming Kai dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik antara nama besar bertanding bagi jawatan MPP.

Pakistan tembak jatuh 25 dron India

KOSMO
WANITA berdiri di hadapan rumah yang musnah akibat tembakan artileri Pakistan di kampung Salamabad di Uri semalam. - AFP
Berikut adalah perkembangan terkini konflik India-Pakistan:

Pakistan mendakwa menembak jatuh 25 dron India dalam tempoh semalaman.

Negara itu belum mengulas dakwaan India bahawa Islamabad menghantar dron dan ‘peluru berpandu’ merentasi sempadan.

India menyatakan Pakistan cuba menyasarkan beberapa sasaran ketenteraan.

Pakistan melaporkan 31 orang terbunuh dan 57 cedera akibat serangan udara di Pakistan dan wilayah Kashmir ditadbir Islamabad, serta tembakan di sepanjang Garisan Kawalan, sejak pagi semalam.

Sementara itu, tentera India mendakwa sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh akibat tembakan artileri Pakistan di sempadan Kashmir.

India menyatakan serangan peluru berpandu semalan adalah untuk membalas serangan pengganas terhadap pelancong India di Pahalgam bulan lalu yang mana Islamabad menafikan penglibatannya.

Kashmir ditadbir India telah menyaksikan pemberontakan selama beberapa dekad yang mengorbankan ribuan nyawa. India dan Pakistan masing-masing mendakwa wilayah Kashmir sepenuhnya milik mereka.

PAS nafi main kayu tiga, hubungan dengan Bersatu utuh, kata Tuan Ibrahim

Nora Mahpar

PETALING JAYA: PAS menafikan dakwaan wujud keretakan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN), merujuk kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi yang Bersatu kini menyedari telah terperangkap dalam ‘permainan kayu tiga’ rakan sekutunya.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN ditunjangi Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP kekal utuh dan fokus dalam mempersiapkan jenteranya menghadapi PRU16.

Katanya, kerjasama erat itu juga dapat dilihat apabila jentera Bersatu agresif turun padang membantu calon PAS dalam beberapa pilihan raya kecil termasuk di Ayer Kuning pada 26 April lalu.

“Kita buktikan kerjasama bukan sekadar retorik. Mesyuarat PN berjalan seperti biasa, jentera kita bergabung tenaga. Jadi kenyataan yang cuba mencetuskan persepsi kononnya ada ketegangan adalah tidak bertanggungjawab.

“Tidak timbul hubungan renggang atau Bersatu bermain kayu tiga. Kerangka diungkapkan Hamzah adalah kerangka besar penyatuan ummah, bukan penggabungan parti,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin menerusi program audio siar dengan bekas menteri Zaid Ibrahim dilaporkan berkata partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.

Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK DUN Ayer Kuning, bulan lalu yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60%.

Hari ini, Zahid mendakwa kenyataan Hamzah itu mungkin selepas menyedari telah terperangkap dalam permainan kayu tiga rakan kongsinya, tanpa menyebut mana-mana parti.

FMT memetik kenyataan penganalisis melaporkan Bersatu kini sedang ‘meninjau-ninjau’ sekutu politik menjelang PRU16, memandangkan wujud isyarat pemimpin parti semakin tidak senang duduk dalam gabungan PN yang diasaskannya bersama.

Mengulas laporan itu, Tuan Ibrahim menegaskan PN tetap komited terhadap gagasan memperkukuhkan muafakat politik Melayu-Islam sebagai keutamaan jangka panjang.

“Kenyataan agar parti Melayu-Islam memperkukuhkan muafakat politik adalah gagasan penting yang terus dibawa oleh PN. Ia tidak wajar dilihat sebagai tanda perpecahan.

“Sebaliknya sebagai langkah memperluas agenda penyatuan ummah untuk keperluan jangka panjang,” katanya.

‘Pemilik toyol diminta segera bertaubat’

KOSMO!
Pengumuman tersebut dibuat di masjid. - Detik Jateng
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan pengumuman ahli jawatankuasa masjid menggunakan pembesar suara yang meminta agar pemilik toyol segera bertaubat, lapor laman berita Detik hari ini.

Kejadian berlaku di sebuah kampung di Klaten, wilayah Jawa Tengah.

Berdasarkan video yang dimuat naik oleh individu bernama Elgiend Rizky Tunjung di laman Facebook, pengumuman itu didengari dengan jelas.

“Saudara saudari sekalian. Saya meminta agar pemilik toyol bertaubat segera kerana apa yang anda ambil itu hak milik jiran tetangga,” katanya.

Elgiend berkata, dia sendiri yang membuat pengumuman itu di masjid kerana banyak kejadian wang hilang, dipercayai dicuri oleh toyol.

“Saya sendiri mengalaminya sebanyak lima kali. Beberapa penduduk juga mengadu kehilangan wang,” katanya.

Enggan menuduh sesiapa, Elgiend berkata, dia berharap usahanya itu dapat mengurangkan kes wang hilang di kampung tersebut. – AGENSI 

Juruteknik mengaku tak salah liwat anak tiri di balkoni rumah

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik penyaman udara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meliwat anak tiri perempuannya di balkoni rumah mereka bulan lalu.

Lelaki 40 tahun itu didakwa sebagai orang yang mempunyai amanah, iaitu ayah tiri kepada kanak-kanak tersebut, melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa berusia 9 tahun 10 bulan sewaktu kejadian, tanpa kerelaan di balkoni sebuah pangsapuri di Cheras, dekat sini pada 2 pagi 8 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mengambil kira faktor dia ayah tiri mangsa dan kemungkinan mengganggu kanak-kanak itu serta saksi lain, jika jaminan dibenarkan.

“Kes ini merupakan kesalahan berat melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tertuduh serta ibu mangsa masih suami isteri sah, terdapat kemungkinan dia akan mengganggu mangsa. Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor ini.”

Peguam Charanpal Singh mewakili tertuduh memohon anak guamnya yang juga penanggung utama keluarga dibenarkan ikat jamin atas alasan lelaki itu perlu menghantar empat lagi anaknya berusia tujuh hingga 14 tahun ke sekolah.

“Anaknya yang berusia tujuh tahun menghidap penyakit jantung dan tertuduh bertanggungjawab menghantar anaknya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Pihak kami juga tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menetapkan syarat tambahan lain, sekiranya jaminan dibenarkan.”

Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Jun ini sebutan semula kes.

Perlis: Rogol jiran sekampung baru kahwin, penganggur direman

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Kangar: Penganggur ditahan reman sehingga 13 Mei ini untuk siasatan kes rogol wanita yang yang juga jiran sekampungnya di sini, tahun lalu.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari Selasa lalu, susulan laporan diterima polis pada 9.20 malam, 2 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, dalam laporan, mangsa berusia 18 tahun mendakwa dirogol di sebuah pondok pada 12.30 tengah malam, 11 Julai 2024.

"Mangsa mendakwa dalam perjalanan ke pondok itu untuk bertemu rakannya yang lain, sebelum suspek yang melalui jalan sama, menariknya ke dalam pondok itu.

"Dia turut mendakwa mukanya ditampar dan ketika bergelut, suspek dikatakan mengugut akan mencederakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata, ketika kejadian, mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga dan cuba merahsiakan kejadian daripada pengetahuan suami serta keluarga kerana bimbang diceraikan.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang trauma dengan kejadian selain suspek didakwa kerap mengganggunya menyebabkan mangsa menceritakan insiden terbabit kepada suaminya, sebelum membuat laporan polis.

"Bertindak atas laporan, suspek ditahan di Jalan Persiaran Jubli Emas, Kangar dan semakan jenayah lampau mendapati dia mempunyai empat rekod lampau membabitkan jenayah narkotik," katanya.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kangar di talian 04-908 2340 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Wanita yang mati terjun dari kereta lepas bergaduh dengan suami

Hariz Mohd

Wanita yang dijumpai mati selepas jatuh dari sebuah van yang sedang bergerak di Lebuhraya Kesas Selasa lalu sebelum itu dilaporkan bertengkar dengan suaminya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, mereka bertengkar apbila suami itu menegur isterinya yang menggunakan van tersebut tanpa lesen.

"Asal mereka ni gaduh suami isteri, gaduh pasal penggunaan van, isteri tak ada lesen dan kenderaan tu terbabit kemalangan, mereka bergaduh dalam kereta.

"Kemudian dia (isteri) kata dia nak terjun (dari kereta)... (kemudian) dia terjun," kata Rusdi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur petang tadi.

Mangsa berusia 44 tahun yang berasal dari Ipoh itu jatuh di jalan berhampiran kawasan rehat dan rawat Awan Besar dan maut di tempat kejadian.

Rusdi berkata suaminya tidak memberhentikan kenderaan selepas kejadian itu.

Sebaliknya, lelaki tersebut yang mempunyai tiga orang anak dengan si mati, terus memandu pulang ke rumah dan bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Pihak polis terpaksa mengesan van tersebut dan mengenal pasti bahawa ia milik suaminya sebelum memaklumkan mengenai kematian isterinya.

Rusdi berkata polis telah menahan suami wanita itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian kerana tidak berbuat apa-apa untuk menghalang kejadian itu.

“Dia sepatutnya sekurang-kurangnya memperlahankan kenderaan apabila isterinya berkata dia mahu terjun.

“Dan selepas kejadian, dia sepatutnya berhenti di situ, bukannya terus memandu pulang,” katanya.

Pesuruhjaya polis itu menyatakan bahawa siasatan bergantung kepada laporan kecederaan mangsa dan kenyataan suaminya kerana tiada CCTV di lokasi kejadian.

‘Bersatu terperangkap permainan kayu 3 rakan kongsi’

Chia Wan Rou

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang parti itu terbuka bekerjasama dengan Umno mungkin selepas menyedari telah terperangkap dalam permainan kayu tiga rakan kongsinya, kata Zahid Hamidi.

Bercakap kepada media selepas satu majlis di ibu negara, presiden Umno berkata cadangan itu beberapa kali diulangi pemimpin Bersatu tersebut.

“Saya kira beliau mahu cari satu realiti yang baharu dengan keadaan rakan kongsi politiknya telah bermain kayu tiga.

“Saya fikir apa berlaku pada Umno (sebelum PRU15) sedang berlaku pada parti ini (Bersatu),” katanya tanpa menyebut rakan kongsi politik Bersatu dimaksudkannya.

Awal bulan ini, Hamzah menerusi program audio siar dengan bekas menteri Zaid Ibrahim dilaporkan berkata partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.

Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK DUN Ayer Kuning, bulan lalu yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60%.

Zahid dalam maklum balasnya berkata, Umno tidak berminat bekerjasama semula dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk membentuk kerajaan di Perak.

Hari ini, FMT melaporkan kenyataan penganalisis yang Bersatu kini sedang ‘meninjau-ninjau’ sekutu politik menjelang PRU16, memandangkan wujud isyarat pemimpin parti semakin tidak senang duduk dalam gabungan PN yang diasaskannya bersama.

“Dapat dirasakan Bersatu benar-benar gelisah tentang jangka hayat perkongsiannya dengan PAS,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Petanda paling jelas dilihat baru-baru ini apabila Hamzah memberikan bayangan kemungkinan Bersatu membaiki hubungan dengan seteru khususnya Umno.