




Umavathi Ramayah
KUALA LUMPUR: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya 'pakar bedah' kononnya terlibat dalam proses bedah siasat ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Dalam satu siaran langsung di platform TikTok pada Rabu lalu, 'pakar bedah' itu memberi gambaran berbaur konklusi seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu, semakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki tersebut bukan kakitangan kementerian itu, apatah lagi terlibat dalam proses bedah siasat tersebut.
"Malah, KKM melalui Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Dr Jessie Hiu yang mengetuai proses bedah siasat remaja berkenaan turut menegaskan individu terbabit bukan sebahagian daripada pasukan perubatan tersebut.
"Malangnya, kandungan itu, tular sejak petang semalam (Jumaat) dengan ia memberi gambaran seolah-olah perkara yang diungkapkannya itu benar-benar berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, di sini, pada Sabtu.
Fahmi menambah, akaun TikTok individu terbabit juga sudah ditukar kepada mod ‘private’, sekali gus menghalang sebarang interaksi dengannya.
Fahmi menambah, akaun TikTok individu terbabit juga sudah ditukar kepada mod ‘private’, sekali gus menghalang sebarang interaksi dengannya.
Beliau turut memaklumkan, semua info yang diwar-warkan individu itu juga adalah palsu.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menilai antara berita palsu dan sahih sebelum mempercayainya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M Kumar sebelum ini memaklumkan, polis membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita palsu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam serta menjejaskan proses siasatan kes kematian remaja itu.














Yasmin Natasha
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, berhubung sabitan atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella, empat tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, selepas menolak rayuan akhir Siti Bainun,33, selaku perayu.
"Kami sebulat suara memutuskan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tingi dikekekalkan dan sebulat suara merasakan kecederaan mangsa di bawah jagaan perayu yang telah diamanahkan di mana mangsa merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
"Walaupun jika tidak diamanahkan sekali pun, seseorang manusia itu bukan setakat sesama manusia, tetapi haiwan yang tidak mempunyai akal (pasti) tidak tergamak untuk mendatangkan kecederaan. Orang awam dinasihatkan agar takut dengan hukuman dan undang-undang yang ada," katanya.
Prosiding hari ini dikendalikan di hadapan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
Sebelum ini, pihak pembelaan Siti Bainun mengemukakan notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir anak guamnya.
Afidavit baharu itu adalah laporan polis yang dibuat ibu kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf pada 25 Julai 2024.
Dalam notis usul bagi mengemukakan bukti baharu yang difailkan pada 19 Mei lalu, laporan polis dibuat Ismanira yang menyentuh kredibiliti salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan remaja sindrom down, Bella.
Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun Siti Bainun, yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum itu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkannya cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan itu.