"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan tidak resmi PRN Sabah

Semua 73 kerusi telah dikira berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada GRS.

Namun, jumlah muktamad masih tertakluk kepada perubahan setelah keputusan rasmi diumumkan.

Pada masa ini, GRS berada di landasan untuk memenangi 29 kerusi, manakala Warisan 23 kerusi.

PKR yang pada awalnya dilaporkan memenangi dua kerusi, kini hanya memenangi satu kerusi. Ini bermakna parti itu tewas 12 daripada 13 kerusi yang ditandinginya.

Dengan ketiadaan pemenang mutlak, kini terpulang kepada dua parti yang memperoleh kerusi terbanyak untuk membentuk gabungan.

Laluan utama pintu masuk ke Istana Seri Kinabalu dikawal ketat

Bernama

Laluan utama pintu masuk ke Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu malam ini dikawal rapi oleh anggota polis.

Tinjauan Bernama mendapati setiap kenderaan yang melalui pintu utama tersebut akan diperiksa dan hanya yang berada dalam senarai dibenarkan melepasi sekatan.

Petugas media mula berkumpul di luar istana seawal 6 petang bagi membuat liputan perkembangan terkini berikutan tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 5.30 petang tadi.

Cuaca malam ini hujan renyai.

Sementara itu, calon-calon yang bertanding mula berkumpul di markas setiap parti antaranya Barisan Nasional di Bangunan UMNO Sabah manakala Gabungan Rakyat Sabah di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya.

Pakatan Harapan pula berkumpul di Hotel Pacific Sutera dengan kehadiran Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh, Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Calon-calon Parti Warisan pula berkumpul di Hotel Avangio di sini dan antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

- Bernama

Tokoh ternama Sabah yang menang, kalah setakat ini

FMT Reporters

Bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia gagal di kerusi Pintasan dalam percubaan keduanya, begitu juga bekas menteri luar Anifah Aman di Bongawan.
Hajiji, Bung Moktar, Ewon, Jeffrey Kitingan, Salleh, Pandikar, Anifah, Phoong,
MENANG: Hajiji Noor, Bung Moktar Radin, Ewon Benedick, Jeffrey Kitingan, Salleh Said Keruak. KALAH: Pandikar Amin Mulia, Anifah Aman, Phoong Jin Zhe.
PETALING JAYA: Keputusan awal PRN Sabah menunjukkan beberapa tokoh ternama kalah manakala yang lain dijangka mengekalkan kerusi mereka untuk sepenggal lagi.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, dan rakan sejawatnya daripada Barisan Nasional, Bung Moktar Radin, dikatakan memperoleh kemenangan selesa masing-masing di Sulaman dan Lamag.

Begitu juga, Presiden Upko, Ewon Benedick, dan bekas ketua menteri Salleh Said Keruak daripada BN dijangka mempertahankan kerusi Kadamaian serta Usukan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan, mengekalkan kerusi Tambunan, walaupun partinya bertanding solo selepas menarik diri daripada GRS bulan lalu.

Bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, yang juga presiden Usno, gagal memenangi kerusi Pintasan bagi GRS selepas kiraan semula. Ini adalah percubaan kedua Pandikar bertanding di DUN tersebut. Pada 2020, beliau kalah kepada Fairuz Renddan, daripada Bersatu ketika itu.

Isteri Pandikar, Diana Diego @ Yusrina Sufiana, turut kalah di Sekong kepada lawannya daripada BN.

DAP mencatatkan kekalahan paling besar apabila lapan calon, kebanyakannya tunduk kepada Warisan.

Ini termasuk Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, dan Timbalan, Chan Foong Hin, masing-masing di Likas dan Tanjung Aru.

Phoong sebelum ini adalah menteri negeri manakala Chan Ahli Parlimen Kota Kinabalu dua penggal serta timbalan menteri perladangan dan komoditi.

Turut tewas Ahli Parlimen Sandakan dua penggal daripada DAP, Vivian Wong di Elopura dan bekas Adun Kapayan dua penggal, Jannie Lasimbang, yang gagal mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga.

Bekas menteri luar, Anifah Aman yang juga presiden Parti Cinta Sabah kalah di Bongawan dalam percubaan keduanya. Beliau tewas kepada Mohamad Alamin daripada BN, yang kini timbalan menteri luar dan Ahli Parlimen Kimanis.

Asyraf Wajdi: BN menang lapan kerusi DUN

KOSMO!

PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) telah memenangi sebanyak lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, DUN terlibat adalah DUN Lamag, DUN Sukau, DUN Kunak, DUN Bengkoka, DUN Sekong, UDN Usukan, DUN Sungai Manila, DUN Sungai Sibuga dan DUN Sook.

Menurut beliau, BN merekodkan kemenangan tidak rasmi pertama pada PRN Sabah ke-17 di DUN Kunak. – KOSMO! ONLINE

PRN Sabah: DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya

Malaysiakini 
Di Kapayan, penyandangnya, Jannie Lasimbang tewas kepada Warisan berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada GRS.

Kekalahan DAP menandakan masalah bagi Pakatan Harapan.

Walaupun keputusan bagi kerusi PKR masih belum diumumkan, perkembangan setakat ini menunjukkan bahawa pakatan yang diusahakan oleh Pengerusi PH, Anwar Ibrahim — bagi mendapatkan sokongan GRS dan BN — tidak diterjemahkan kepada undi yang mencukupi untuk memastikan PH terus bertahan.

Rafizi: Usaha naikkan Nurul Izzah jadi MB Selangor mula sejak 2024

Malaysiakini 

Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan usaha untuk menaikkan Nurul Izzah Anwar sebagai menteri besar Selangor telah bermula sejak tahun lalu.

Dia berkata usaha itu dirancang melalui penyusunan semula politik membabitkan beberapa tokoh utama PKR dan kerajaan Selangor.

Ia melibatkan penyertaan Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR serta pengosongan satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN bagi membuka laluan kepadanya dan Nurul Izzah.

“Berita pasal Nurul Izzah jadi menteri besar ini saya dengar dari dalam parti, sebenarnya sejak 2024 lagi,” katanya dalam episod terbaru rancangan audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM).

Berdasarkan maklumat yang diterimanya, kata Rafizi, Tengku Zafrul dirancang menyertai PKR pada 2024, dengan pengumumannya dijadual dibuat oleh presiden parti, Anwar Ibrahim ketika kongres parti pada tahun itu.

Namun, dakwanya lagi, rancangan itu tergendala apabila ia bocor lebih awal, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno.

“..Tetapi berita itu sudah keluar awal dan ada yang kata kumpulan mereka yang bocorkan. Apabila Umno tahu, Umno marah. Maka tak jadi diumumkan (ketika kongres),” dakwa bekas menteri ekonomi itu lagi.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa menerusi rancangan itu, satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen - “berkemungkinan Ampang” - akan dikosongkan, masing-masing untuk membuka laluan kepada Nurul Izzah untuk menjadi menteri besar Selangor dan Tengku Zafrul yang akan tamat tempoh senatornya pada Disember ini.

“Saya tak faham macam mana mereka boleh fikir (untuk) suruh Rodziah letak jawatan (sebagai anggota Parlimen Ampang). Rodziah tengok sajalah, tak akan boleh paksa dia,” katanya lagi, sambil menambah rancangan itu turut melibatkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang akan dibawa ke Persekutuan.

“Itu sepatutnya berlaku. Kenapa Nurul Izzah, Tengku Zafrul dan Amirudin (dilibatkan) ialah kerana Tengku Zafrul boleh melicinkan jalan Nurul Izzah jadi menteri besar.

“Masa itu sepatutnya Amiruddin sudah ke peringkat persekutuanlah,” katanya lagi.

Pada 21 November lalu, Amirudin mengakui telah mencadangkan Nurul Izzah sebagai penggantinya untuk mentadbir Selangor, dengan dia telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan. 

“Secara jujurnya, saya dah kemukakan kepada Izzah sendiri, terpulang kepadanya untuk ambil cadangan itu atau tidak,” katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan. 

Bagaimanapun, Anwar berkata ia hanyalah pandangan peribadi Amirudin dan tiada perbincangan dibuat antara mereka.

‘Tak ambil kira perkara lain’

Rafizi berkata keseluruhan perancangan itu menemui kegagalan susulan tentangan oleh Umno dan pelbagai perkara yang melanda PKR sejak 2024.

“...Besar kemungkinan mereka tak ambil kira perkara-perkara lain.

“Contohnya, mereka tak ambil kira tentangan Umno…kemudian masuk Februari dan Mac 2025 sudah pemilihan parti (PKR).

“Dengan segala hal semasa pemilihan parti, jadilah macam ini. Tengku Zafrul pun terlepas maka tamatlah (tempoh) dia jadi senator,” dakwanya lagi.

17 penjawat awam antara 201 individu ditahan dalam spa songsang

HARRITH HISHAM
Antara individu yang ditahan dalam serbuan semalam
KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit, di sini semalam.

Operasi bermula pukul 8 malam itu dijalankan Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) susulan risikan selama dua minggu.

Wartawan Kosmo! yang menyertai operasi itu mendapati premis terbabit beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan rumah kedai.

Tingkat bawah premis itu telah diubah suai sebagai gimnasium manakala tingkat atas dijadikan sauna dan jakuzi.

Lebih mengejutkan, premis itu turut menyediakan bilik khas yang digelar ‘dark room’ bersama lapisan tilam nipis bewarna hitam untuk pengunjung melampiaskan nafsu.

Difahamkan, ahli pusat itu diminta untuk menanggalkan pakaian dan diberikan tuala berwarna putih sebelum dibenarkan naik ke tingkat atas.

Malah, ketika serbuan, beberapa pengunjung didapati sedang menikmati jakuzi dan sauna tanpa seurat benang sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar berkata, hasil serbuan, seramai 201 individu telah ditahan termasuk tujuh pekerja premis.

“Tangkapan membabitkan 24 warga asing manakala selebihnya warga tempatan termasuk 17 penjawat awam berusia antara 19 hingga 60 tahun.

“Pihak polis turut merampas kondom dan beberapa barangan berkaitan aktiviti tidak bermoral,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut, semalam.

Difahamkan, antara penjawat awam yang ditahan melibatkan doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.

Mohd. Azani berkata, premis itu dipercayai beroperasi setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu dan disyaki mempromosikan aktivitinya melalui media sosial.

“Pusat itu mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan, dengan tambahan RM10 sebagai yuran pendaftaran untuk ahli baharu,” ujarnya.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut.

Tambah Mohd. Azani, kes disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana persetubuhan luar tabii. – KOSMO! ONLINE

Anggota polis disahkan mangsa lemas di Giching, Sepang

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Usaha mencari dan menyelamat mangsa di khuatiri lemas berhampiran Klinik Desa Giching, Sepang diteruskan pagi ini.
SEPANG – Polis mengesahkan mangsa yang dikhuatiri lemas berhampiran Klinik Desa Giching, di sini malam tadi adalah seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. “Mangsa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai,” katanya.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira 10.20 malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan. Berdasarkan maklumat dikongsi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa dikenali Muhammad Rahimi Amirudin, 23.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pemandu kereta dipercayai lemas selepas kereta Perodua Bezza yang dinaikinya terbabas ke dalam parit berhampiran Klinik Desa Giching, malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Shamsul, Tei bergari dibawa ke mahkamah

Harapandaily

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, bergari ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini, hari ini.
Berbaju lokap berwarna oren oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shamsul, 51, dan Tei, 37, yang dibawa dengan van tiba pada jam 9 pagi untuk pendengaran permohonan reman.

Mereka diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan berkait klip video memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan Albert.
Sejurus dibawa keluar dari van itu, Tei yang berada di hadapan menjerit mendakwa tindakan berkenaan memalukannya dan menghina negara.

Sementara itu, Shamsul yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (2018-2022) dan bekas Ahli Parlimen Bukit Katil (2013-2018) tiada berkata apa-apa sepanjang melangkah masuk ke dalam mahkamah.

Pada 26 November lalu, Shamsul yang pernah dilantik sebagai Naib Presiden PKR mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan di platform X, Shamsul berkata, wujud percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan Tei ditahan kerana menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan membabitkan Shamsul Iskandar.

Menurutnya, SPRM telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Tei, yang membolehkan pihak penyiasat menafikan hak individu disiasat untuk berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain.

Bermula semalam juga, Sofia Rini direman selama empat hari hingga 1 Disember ini.

Mangsa banjir di Terengganu meningkat, 10,469 orang berada di 126 PPS

Zaid Salim
Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan warga emas yang menghidap penyakit Lumpuh, Asmadi Ahmad, 48 selepas kediaman mereka dilanda banjir di Kampung Surau Yaakub – Foto NSTP
KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 10,469 orang daripada 3,055 keluarga direkodkan berada di 126 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua lapan daerah terjejas banjir setakat jam 8 pagi ini.

Daripada jumlah itu, Kemaman mencatatkan mangsa seramai 2,498 daripada 665 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS sekali gus menjadikan daerah itu paling teruk terjejas banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu turut menunjukkan pertambahan jumlah mangsa yang dipindahkan.

Di Kuala Terengganu, mangsa yang berada di sembilan PPS meningkat kepada 1,610 (588 keluarga) berbanding 1,446 (530 keluarga) jam 12 tengah malam tadi.

Kuala Nerus pula mencatatkan mangsa seramai 1,594 (501 keluarga) berbanding 1,395 mangsa (442 keluarga) yang ditempatkan di 15 PPS.

Manakala di Hulu Terengganu, seramai 676 mangsa (177 keluarga) berada di 14 PPS berbanding 513 mangsa daripada 138 keluarga yang direkodkan jam tengah malam tadi.

Daerah Marang menunjukkan penurunan daripada 2,074 mangsa (577 keluarga) kepada 2,011 orang daripada 563 keluarga di 16 PPS.

Di Setiu, mangsa yang dipindahkan adalah seramai 1,298 daripada 365 keluarga berlindung di 28 PPS.

Dungun pula mencatatkan seramai 708 mangsa daripada 166 keluarga berada di sembilan PPS.

Manakala jumlah mangsa dipindahkan di Besut kekal dengan 74 orang daripada 30 keluarga di enam PPS.

Kereta terperangkap banjir di Sepang, seorang lelaki dikhuatiri lemas

FMT Reporters

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata tiga lagi mangsa dalam kereta itu berjaya menyelamatkan diri.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata operasi mencari dan menyelamat dilancarkan untuk mencari lelaki yang dipercayai cuba berenang bagi menyelamatkan diri. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan diri selepas kereta dinaikinya terperangkap dalam banjir di Sepang lewat malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata terdapat empat mangsa dalam kereta itu, dengan tiga daripadanya berjaya menyelamatkan diri.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamatkan dilancarkan selepas mangsa keempat dilaporkan hilang kerana dipercayai cuba berenang untuk menyelamatkan diri.

Dalang REE mula terbongkar: Siapa ‘Mr X’ di belakang Albert Tei?

Harapandaily
SYAM GHAZ

Albert Tei, Rini dan Shamsul sudah kena tahan dengan SPRM.

Mr X belakang mereka itu mesti guna duit untuk Blackmail atau Pemerasugut terancang untuk tujuan mengawal hasil bumi paling strategik yang mahu dikuasai China dan Amerika iaitu unsur nadir bumi (REE)!

Mustahil Albert Tei bergerak bersendirian. Sama ada beliau mendapat dana asing atau satu pasukan konspirator Mr X kita akan ketahui dalam masa terdekat. Sebab itu SPRM tangkap segera petang ini (28 November), bukannya Isnin (1 Disember).

Game sudah berubah: Selepas ini terbongkar siapa “godfather” / puppet master yang selama ini tarik tali hulur dana besar belakang Albert Tei.

Apabila Albert Tei buka mulut di SPRM nanti, senarai funder gelap dan penerima suapan Albert Tei pasti keluar.

Tak pelik kalau-kalau Pas dan Bersatu pun terselit sama penerima sumbangan dari puluhan syarikat dia, ‘kan? Mahathir pula bagaimana? Kita tunggu sambil makan popcorn.

Keselamatan negara

Persoalan besar: Bisnes sarang walit mana mampu bayar rasuah berjuta? Dari mana dia kutip duit, macam mana dia agih, semua bakal terlondeh satu-satu. Mesti ada Mr X belakang tabir sebagai funder utama.

Jika ikut susunan pendedahan kes skandal mineral ini, bukan di Sabah sahaja penglibatannya.

Ia boleh jadi satu ancaman keselamatan negara yang serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Halnya tidak lain dah tidak bukan, REE adalah asal objektif yang dipertaruhkan, orang politik hanya keldai!

Tidak hairan kalau malam ini geng PN–Pas terutama team Mahathir gelabah, tidak boleh tidur sampai petang tadi kena buat video nafikan dia rapat dengan Albert Tei.

Padahal, zaman dia jadi PM dan Muhyiddin jadi Menteri Dalam Negeri, Albert Tei dapat melepas tanpa membebaskan (DNAA).

Sebab yang mereka buka… pintu itu balik hentam muka sendiri. Ketar-ketar video. Elok rehat rumah main dengan cicit sajalah.

Mereka yang paling kuat tekan SPRM sebelum ini, nah! Sekarang SPRM memang buat kerja. Kutip semua yang terlibat dan korek habis konspirasi REE kali ini. Pemberi dan penerima pun kena kutip. Bagus!

Jika kelmarin Rini kena, semalam Shamsul dan Albert Tei pun kena kutip dan ditahan SPRM. Telus. Tak sorok sesiapa. Ini yang rakyat mahu. Ini REFORMASI yang rakyat mahukan. Tak bias!

Ketiga-tiga kena kutip. Inilah standard Kerajaan Madani. Tak kira parti, kau salah, kau jawab dan kena hukum!

Cuma janganlah tuduh semua bersalah, sehingga dibuktikan bersalah. Itu prinsip jelas, dan janganlah fitnah.

Lubang cacing

Selepas ini, elok SPRM kutip juga bekas Ketua Polis Negara, bekas bekas Pengarah Jabatan pencen yang jadi Pengerusi berpuluh syarikat Albert Tei tu!

Siasat sampai lubang cacing, mereka inilah kadang-kadang jadi barua jual negara (pinjam ayat PN selalu main)! Sembang masa ada jawatan hidup Melayu, dah pencen sujud di kaki koruptor jahat.

SPRM mohon jalan terus dan bongkar semua. Biar terang siapa sebenarnya dalang konspirator jahat untuk memburukkan dan menjatuhkan kerajaan kali ini dan nak menguasai sumber kekayaan baru negara, REE!

Selepas ini nak jadi pegawai lantikan politik di pejabat PM/TPM atau Menteri/Timbalan/GLC jika tiada integriti, pengalaman dan kewangan kukuh elok hati-hatilah, mudah sangat kena jerat dan kena pegang batu oleh si perasuah. PTD pun mohon SPRM jangan lepas pandang.

Papagomo kata tiga kali Jumaat, rupanya konspirasi Mahathir nak jatuhkan Anwar terburai semalam. Mahathir kali pertama gagap buat video.

Papagomo pula siaran langsung semalam boleh kata perjanjian dengan Amerika seperti kes Malayan Union dulu? Amat jahil siapa yang percayakan dia.

Akhirnya dengan izin Allah SWT, muslihat nak tebuk atap 2.0 gagal. Jerat makan tuan.

Buat rakyat Sabah, ayuh bersama sama PMX buat pembaharuan dan bangunkan Sabah di hari pengundian hari ini. Pilih PH ya!

Mahathir, Muhyiddin PN dua-dua tidak boleh harap, selama Mahathir 22 tahun dan 22 bulan jadi PM tidak boleh buat sama dengan Anwar buat sekarang terutamanya membabitkan MA63, 40 peratus hasil Sabah dan peruntukan tahunan sampai RM600 juta.

Begitu juga Muhyiddin jadi PM 33 bulan langsung tidak mampu capai seperti mana Anwar buat sekarang.

Ayuh, jalan terus PMX, Walk the talk! REFORM habis, lepas menang Sabah kita doakan PMX rombak Kabinet dan tukar Menteri dan Timbalan Menteri tak perform untuk lajukan REFORMASI dalam Negara.

Ayuh, kita sama-sama buat PERUBAHAN, ini kalilah masanya. REFORMASI.

Undi terpecah besar, DUN Sabah berisiko tergantung

Nora Mahpar

Awang Azman Awang Pawi berkata perpecahan itu didorong penyertaan 596 calon dan pertandingan sehingga 14 penjuru di sesetengah kawasan.
Hajiji Noor jelajah grs dun kiulu
Penganalisis berkata GRS berkelebihan sebagai penyandang namun landskap keseluruhan kekal seimbang dengan saingan daripada pesaing utama, Warisan serta BN.
KOTA KINABALU: PRN Sabah ke-17 hari ini dijangka menjadi antara pilihan raya paling kompleks dalam sejarah politik negeri itu sejak era 1990-an dengan penganalisis menjangkakan risiko keputusan DUN tergantung.

Syahruddin Awang Ahmad, Bilcher Bala dan Awang Azman Pawi senada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkelebihan sebagai penyandang namun landskap keseluruhan kekal seimbang dengan saingan daripada pesaing utama, Warisan serta Barisan Nasional (BN).

Pakatan Harapan (PH) yang bertanding 21 kerusi pula dilihat kekal relevan sebagai pemain pelengkap dalam pembentukan blok pasca pilihan raya.

Syahrudin berkata, gabungan pimpinan ketua menteri sementara Hajiji Noor dilihat mempunyai sumber, jentera lebih tersusun dan kedudukan dalam pentadbiran negeri yang bagaimanapun tidak menjamin kemenangan terutama di kerusi marginal.

Katanya, pertembungan pelbagai parti serta kerjasama politik yang tidak menentu meningkatkan kebarangkalian tiada satu gabungan pun memperoleh majoriti mudah 37 kerusi daripada 73 DUN Sabah.

“Ini mungkin memaksa pembentukan kerajaan campuran pasca pilihan raya,” kata penyelidik Borneo Geopolitics & Electoral Studies (GeoPES) itu kepada FMT.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula menyifatkan, PRN kali ini sebagai antara paling terpecah undinya sejak lebih tiga dekad lalu didorong penyertaan 596 calon dan pertandingan sehingga 14 di DUN Tulid.

“Dalam keadaan ini, sangat sukar untuk mana-mana parti mencapai dominasi mutlak. Kemenangan besar satu pihak semakin tidak realistik,” katanya mengulas keyakinan disuarakan pemimpin parti utama.

Sebelum ini, Hajiji yakin gabungan itu mampu memperoleh majoriti mudah 37 daripada 55 DUN ditandingi manakala Presiden Warisan Shafie Apdal pula berkata partinya yang bertanding semua 73 kerusi sedang mencari mandat cukup untuk mentadbir sendiri.

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, pula menyuarakan keyakinan kembali memerintah walaupun bertanding 45 DUN, lebih sedikit berbanding jumlah minimum diperlukan untuk membentuk kerajaan.
hajiji noor, shafie apdal n bung moktar
Hajiji Noor (GRS), Shafie Apdal (Warisan) dan Bung Moktar Radin (BN) sebelum ini suarakan keyakinan parti mereka dapat mentadbir dengan memperoleh majoriti mudah.
Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kelebihan sebenar mana-mana parti lebih bersifat setempat, bergantung kepada faktor calon tempatan, pengaruh komuniti dan isu khusus melibatkan kawasan itu sendiri.

“Fragmentasi (pemecahan) tawaran politik dan kehadiran calon bebas berprofil tempatan mengekang dominasi tunggal di peringkat negeri,” katanya.

Beliau juga menekankan, faktor teknikal pada hari mengundi seperti logistik, pergerakan pengundi luar, keberkesanan jentera mengangkut pengundi serta disiplin ejen parti di pusat mengundi turut memainkan peranan besar menentukan kemenangan di saat akhir.

Dari sudut pengundi atas pagar, semua penganalisis bersetuju faktor terpenting bukan lagi janji politik semata-mata tetapi isu realiti hidup dirasai secara langsung oleh rakyat.

Syahruddin berkata, kajian pasukannya menunjukkan pengundi khususnya anak muda dan pengundi bandar semakin cenderung membuat keputusan berdasarkan keperibadian calon berbanding sentimen parti.

“Mereka mahukan calon boleh dipercayai, mudah ditemui, dan benar-benar memahami masalah rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Awang Azman menambah, faktor kestabilan turut menjadi pertimbangan penting pengundi menjelang saat akhir, merujuk beberapa peristiwa menyebabkan ketidakstabilan politik sehingga berisiko menjatuhkan kerajaan.

“Pengundi mahu kerajaan stabil, tidak mudah tumbang dan tidak terlalu banyak drama politik.

“Sentimen ‘Sabah for Sabahans’ masih wujud tetapi pengundi lebih realistik dengan berpendapat autonomi penting tapi siapa boleh siapkan jalan, sekolah dan hospital,” katanya, turut menggariskan kepentingan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam membentuk pola sokongan.

Sebahagian pengundi, menurut penganalisis, akan memilih gabungan yang mereka rasa lebih mampu membawa peruntukan pembangunan, kesinambungan projek dan kestabilan dasar dari Putrajaya ke Sabah.

Bilcher turut menjelaskan manifesto masih penting, tetapi hanya berkesan jika disertakan dengan pelan pelaksanaan jelas serta ukuran kejayaan yang realistik.

“Manifesto tanpa garis masa dan mekanisme pelaksanaan boleh difahami tidak cukup kuat menarik sokongan pengundi atas pagar,” katanya mengingatkan kempen saat akhir yang beretika dan bebas fitnah lebih berkesan berbanding serangan peribadi atau tohmahan tanpa bukti.

Pengkhianatan terus berulang, Pas-PN retak menunggu belah

DR SHAHNOR BASRI

Pas sering memasarkan dirinya sebagai parti Islam yang kononnya konsisten memperjuangkan prinsip agama. Namun sejarah membuktikan, Pas lebih cenderung menjadi “penunggang pakatan” berbanding rakan strategik jujur dalam pembinaan negara. 

Kenyataan terkini oleh penganalisis Pas, Dr Mohd Zuhdi, pengakuan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam podcastnya bersama YB Nik Nazmi dan Nani Roslan, serta pengakuan MB Kedah Muhammad Sanusi mengenai aliran dana Pas kepada Bersatu, hanya mengesahkan corak lama: Pas ialah parti oportunis yang melemahkan setiap gabungan yang disertainya.

Sejarah Kegagalan Gabungan Pas

Dr Mohd Zuhdi sendiri mengakui bahawa daripada tiga gabungan politik yang pernah disertai Pas, dua telah hancur: Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional. 

Kini hanya tinggal Perikatan Nasional (PN) yang jelas sedang bergolak dengan persaingan kuasa dalaman.

Pengakuan ini bukan kecil. Ia adalah bukti yang amat terserlah dan pekung yang sendiri dibuka oleh salah seorang pimpinan Pas, bahawa Pas mempunyai rekod sebagai faktor pengacau yang membawa kepada keretakan pakatan. 

Dengan bahasa mudah, Pas bukanlah “simen” pengukuh pakatan, sebaliknya adalah “asid” yang melarutkan ikatan.

Asyraf Wajdi: Pas Tidak Jujur

Dalam podcast yang dihoskan oleh YB Nik Nazmi bersama Nani Roslan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bagaimana Pas tidak pernah jujur dalam menjalin kerjasama. 

Muafakat Nasional, yang digambarkan sebagai pakatan penyatuan Melayu-Islam, runtuh kerana Pas bermain dua muka.

Bersama UMNO pada siang hari, tetapi berunding dengan Bersatu pada malam hari. Dan Pas menurut Datuk Asyraf tidak pernah pada ketika itu mengakui rundingan mereka bersama Bersatu untuk membentuk Perikatan Nasional! 

Inilah gambaran lidah hipokrit sebuah Parti Islam.

Sifat khianat ini mencerminkan wajah sebenar Pas — sebuah parti yang mengangkat “taqiyah politik” sebagai strategi, dan sanggup memperalatkan agama untuk menjustifikasikan pengkhianatan.

Sanusi: Pas Taja Bersatu

Lebih memalukan, MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka mengakui bahawa Pas menaja Bersatu dalam mendanai pilihan raya. Persoalannya: dari mana datangnya dana besar Pas?

Sedangkan negeri-negeri yang diperintah Pas seperti Kelantan dan Terengganu masih berada pada kedudukan terendah dari segi kemudahan asas, pelaburan ekonomi, dan kadar kemiskinan, Pas lebih rela menyalurkan dana besar untuk kepentingan politik gabungan, bukan untuk membela rakyat yang mereka perintah.

Data Sosioekonomi: Prestasi Pas yang Gagal

Menurut laporan rasmi Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), Kelantan dan Terengganu konsisten mencatat kadar kemiskinan lebih tinggi daripada purata kebangsaan. 

Infrastruktur asas — termasuk air bersih, peluang pekerjaan, dan pelaburan industri — jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri seperti Selangor atau Pulau Pinang.

Fakta ini menimbulkan persoalan besar: jika Pas gagal membawa pembangunan berkesan di negeri yang dikuasainya, bagaimana mungkin ia diyakini sebagai arkitek pembinaan negara maju?

Analisis Akademik: Wajah Sebenar Pas

Kajian akademik memperkukuh hakikat bahawa Pas bukanlah rakan strategik untuk projek nasional. 

Perkara ini jelas disimpulkan melalui kajian ilmiah oleh Amrita Malhi (Institute of Southeast Asian Studies -ISEAS, The Narrative Battle for Malay Muslim Support, 2025) menegaskan bahawa Pas mengekalkan dominasinya dengan memainkan naratif eksklusif Melayu-Muslim, berbanding menawarkan visi inklusif untuk Malaysia. 

Pas membina kekuatan politik melalui eksklusivisme agama dan etnik, bukan melalui tawaran pentadbiran moden dan pembangunan menyeluruh. 

Dengan kata lain, Pas tidak pernah serius dalam projek pembinaan bangsa Malaysia, tetapi hanya berminat mempertahankan hegemoni identiti untuk keuntungan politik.

Dan Kesimpulan oleh Syaza Shukri & Muhammad Baihaqi Aminudin (ISEAS, The Ulama Leadership Model of Pas, 2024) pula menunjukkan bahawa struktur kepimpinan Pas berpusat kepada ulama, satu model yang memberi legitimasi agama tetapi mengekang pembaharuan. 

Kajian itu menjelaskan bahawa dominasi ulama mengukuhkan konservatisme Pas, menjadikannya sukar untuk beradaptasi dengan keperluan pembinaan negara moden yang menuntut keterangkuman, inovasi, dan kecekapan pentadbiran.

Kedua-dua kajian ini membuktikan bahawa Pas bukan sahaja gagal dalam kerjasama politik, tetapi juga mempunyai model kepimpinan dan naratif ideologi yang secara asasnya bertentangan dengan idea Malaysia yang inklusif, progresif, dan stabil.

PN: Pakatan Rapuh Menunggu Hancur

PN hari ini hanyalah bayangan gabungan yang rapuh. Bersatu semakin hilang kekuatan selepas kejatuhan Mahiaddin, Gerakan hanya tempelan tanpa pengaruh, dan Pas menjadi penguasa dominan yang bersedia mengorbankan sekutu apabila ia tidak lagi memberi keuntungan.

Gabungan ini sudah menanggung bibit keretakan dalaman. Zuhdi mengakui kegagalan lalu, Asyraf membongkar ketidakjujuran, dan Sanusi mendedahkan rahsia dana. 

Semua ini cukup membuktikan bahawa PN hanyalah projek sementara menunggu masa untuk terkubur seperti Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional.

Kesimpulan: Pas – Virus Politik yang Membinasakan Malaysia

Sejarah membuktikan bahawa Pas bukanlah rakan strategik yang jujur atau parti yang berpaksikan agenda kesatuan nasional. 

Ia adalah parti yang hidup atas politik perpecahan, memperalatkan Islam demi kuasa, dan memusnahkan setiap gabungan yang cuba menampungnya. 

Gagasan Sejahtera, hancur; Muafakat Nasional, terkubur; dan kini PN pula sedang berantakan kerana racun yang sama.

Pas tidak pernah serius membina sebuah negara yang stabil, inklusif, dan maju. 

Apa yang mereka mahu hanyalah mengekalkan politik jumud, menyempitkan Islam kepada alat propaganda, dan menunggang sentimen rakyat untuk mengisi kantung kuasa mereka. 

Pengakuan Zuhdi, pendedahan Asyraf Wajdi, dan pengakuan Sanusi sendiri hanyalah paku terakhir yang menutup keranda integriti Pas.

Parti ini adalah virus politik yang merosakkan tubuh negara dengan mengkhianati rakan gabungan tanpa rasa bersalah, gagal mengangkat ekonomi negeri sendiri, tetapi ghairah membakar dana untuk pilihan raya dan akhirnya menyempitkan agama menjadi modal politik murahan, lalu membiarkan rakyat terus terikat dalam lingkaran kemiskinan dan kelemahan.

Malaysia tidak akan pernah stabil atau maju di bawah bayangan Pas. 

Selagi parti ini dibiarkan mendominasi mana-mana gabungan, selagi itulah politik Malaysia akan terus sakit, reput, dan terbelenggu.

Sudah tiba masanya rakyat melihat dengan mata terbuka: Pas bukan penyelamat bangsa, bukan pembela Islam, dan bukan arkitek masa depan. 

Pas hanyalah pengkhianat politik yang akan menghancurkan sesiapa sahaja yang membiarkannya bernafas.

Ringkasnya, jika Malaysia mahu melangkah ke hadapan, Pas perlu ditolak ke belakang sejarah bersama semua pakatan rapuh yang telah mereka musnahkan.

Dr ShahNor merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam Jordan.

-Harapandaily 

Cameron Highlands: Tanah runtuh jejas laluan masuk, hampir 700 penghuni apartmen terputus hubungan

FMT Reporters

Polis terima laporan kejadian berlaku di Apartmen Puncak Arabella, Cameron Highlands, kira-kira 8.30 malam tadi.
Kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran sebuah blok kediaman Apartmen Puncak Arabella di Cameron Highlands malam ini jejas laluan masuk ke kawasan itu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Hampir 700 penduduk sebuah apartmen di Tanah Rata, Cameron Highlands, terputus hubungan selepas laluan masuk ke kawasan itu terjejas akibat kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran sebuah blok kediaman malam ini.

Ketua Polis Cameron Highlands Azri Ramli berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di Apartmen Puncak Arabella kira-kira 8.30 malam.

“Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan laluan ke kawasan apartmen terputus hubungan, sekali gus menjejaskan pergerakan keluar masuk hampir 700 penduduk yang menetap di situ,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Beliau berkata, beberapa agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tinjauan keselamatan dan tindakan awal.

Dalam kenyataan berasingan, Azri berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, Jabatan Meteorologi dan Geosains telah dihubungi bagi bantuan penilaian segera berkenaan status tanah.

“Pasukan Jabatan Kerja Raya dan SMR Selenggar-Pahang Sdn Bhd turut telah bergerak ke lokasi untuk melaksanakan tindakan pembersihan jalan dan juga langkah berjaga-jaga sementara untuk perlindungan cerun terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat ke Pusat Kawalan Daerah IPD Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis serta IPD berhampiran.

Isteri Tei buat laporan, dakwa pistol diacukan kepadanya

Malaysiakini 

Isteri kepada ahli perniagaan, Albert Tei membuat laporan polis berhubung serbuan SPRM di rumah mereka di Puchong, Selangor, hari ini.

Dalam laporan tersebut, Lee Pei Rie menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan Tei dan menggesa siasatan dijalankan terhadap tindakan beberapa anggota SPRM semasa serbuan itu.

“Saya membuat laporan ini kerana saya khuatir tentang keselamatan suami saya dan ingin memastikannya selamat sewaktu di dalam tahanan dan saya menuntut supaya kesemua anggota-anggota SPRM yang melakukan tindakan seperti diatas disiasat sepenuhnya,” katanya dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini.

Laporan itu, yang mengandungi butiran terperinci mengenai serbuan berkenaan, dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya malam ini.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Sepang Norhizam Bahaman – di mana Puchong adalah di bawah bidang kuasanya – mengesahkan bahawa polis telah menerima laporan tersebut dan sedang meneliti kes itu.

‘Seorang acukan pistol kepada saya’

Menurut laporan itu, Lee bergegas turun ke ruang tamu pada jam 10 pagi selepas menyedari sekumpulan individu menceroboh masuk ke rumah, dan melihat suaminya terbaring di lantai, dikelilingi pegawai SPRM yang bersenjata.

“Salah seorang daripada mereka sedar kehadiran saya dan kemudian mengacukan pistolnya kepada saya. Saya ketika itu sedang memegang telefon saya dan merakam insiden itu kerana saya khuatir akan keselamatan saya dan keluarga saya yang berada di rumah ketika insiden ini berlaku.

“Individu bersenjata yang mengacukan pistol kepada saya itu kemudian memaksa saya menyerahkan telefon saya kepadanya,” kata Lee lagi.

Lee mendakwa telefonnya diserahkan kepada seorang anggota lain, yang memaksanya membuka kunci telefon sebelum memadamkan rakaman video tersebut.

Lee mendakwa anggota itu kemudian mengarahkannya mengumpulkan semua individu lain dalam rumah di ruang tamu, kecuali seorang anak yang sakit. Mereka kemudian dipaksa membuka kunci semua telefon yang dijumpai oleh pegawai SPRM.

Anggota SPRM itu kemudian didakwa merampas dekoder CCTV rumah mereka dan meninggalkan rumah bersama Tei pada jam 10.50 pagi, sebelum kembali kira-kira 10 minit kemudian.

Kali ini, ahli keluarga Tei, termasuk Tei sendiri, dikumpulkan dalam sebuah bilik dan diarahkan untuk menetapkan telefon masing-masing ke mod “flight”, manakala router WiFi rumah ditutup.

Beberapa anggota turut didakwa dilihat mengimbas ruang tamu dengan sebuah alat elektronik.

“Kemudiannya, pada jam lebih kurang satu tengah hari, mereka membawa Albert (Tei) keluar dari rumah, tanpa memberitahu saya apa-apa atau memaklumkan kepada saya ke mana dia akan dibawa,” katanya lagi.

‘Tindakan keterlaluan’

Terdahulu, SPRM telah menahan tiga individu berhubung dakwaan rasuah melibatkan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul dan Tei ditahan secara berasingan hari ini, manakala Sofia Rini Buyong, yang didakwa menjadi proksi Shamsul, ditahan semalam.

Serbuan di rumah Tei itu dibidas sebagai “keterlaluan”, dengan bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin menyamakan tindakan itu dengan penahanan pengganas tegar.

Peguam Tei, Zaid Malek, berkata anggota SPRM enggan menunjukkan kad kuasa atau memaklumkan lokasi Tei dibawa.

Lee juga memberitahu media bahawa pistol turut diacukan kepada Tei, manakala Tei menjerit yang enam pistol diacukan ke arah kepalanya ketika dia dibawa pergi. 

Namun, laporan polis Lee tidak menyebut sebarang dakwaan yang senjata api diacukan kepada Tei.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyangkal dakwaan yang anggotanya mengacukan senjata ke kepala Tei semasa penahanan, dan berkata penahanan dibuat mengikut prosedur ditetapkan.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan terhadap anggota SPRM tersebut.

Azam turut berkata Tei pada mulanya dijangka hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember. Diakemudian dimaklumkan supaya hadir lebih awal, tetapi “enggan berbuat demikian dan tidak memberi kerjasama dengan siasatan SPRM”.

SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap Tei dan Shamsul di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok.

Sofia kini berada dalam tahanan reman selama empat hari, iaitu sehingga 1 Disember.

PBB kecam pembunuhan 2 warga Palestin di Tebing Barat ketika serah diri

Buletin TV3 

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pembunuhan dua lelaki Palestin di Tebing Barat yang dilaporkan ditembak, walaupun kelihatan menyerah diri kepada Israel.

PBB menyifatkan insiden itu sebagai tindakan pembunuhan tanpa proses undang-undang.

Ketua Hak Asasi PBB, Volker Turk, menggesa siasatan bebas, segera dan berkesan terhadap insiden itu serta menuntut pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

Rakaman video yang tular menunjukkan kedua-dua lelaki keluar dari sebuah bangunan dengan isyarat menyerah diri dan dikelilingi tentera Israel.

Selepas kedua-duanya dilihat berbaring di atas tanah dan diarahkan masuk semula ke dalam bangunan, kedengaran beberapa das tembakan sebelum mereka dilaporkan ditemui tidak bernyawa.

Pihak Berkuasa Palestin mengumumkan mangsa sebagai Yussef Ali Asa’sa, 37, dan Al-Muntasir Billah Mahmud Abdullah, 26.

Selain mengutuk kejadian itu sebagai pembunuhan kejam serta menuduh Israel melakukan jenayah perang.

PBB menyatakan kejadian itu berlaku ketika insiden pembunuhan warga Palestin oleh tentera dan peneroka Israel di Tebing Barat semakin meningkat. – AFP

Lebih 35,000 mangsa banjir di Semenanjung malam ini

Malaysiakini 

Situasi banjir di lima negeri, iaitu Terengganu, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala Perlis, Kelantan dan Kedah menunjukkan penurunan, setakat malam ini.

Di TERENGGANU jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,909 orang daripada 2,742 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 6,335 orang daripada 1,913 keluarga petang tadi, dan ditempatkan di 119 PPS yang dibuka di Kemaman, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Supt Afandi Husin berkata beberapa jalan di bandar raya Kuala Terengganu, iaitu Jalan Kamaruddin-Jalan Batu Burok dan Jalan Pengadang Akar-Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu-Wisma Darul Iman ditutup kepada kenderaan ringan.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,542 orang daripada 973 keluarga berbanding 3,125 orang daripada 838 keluarga yang direkodkan pada sebelah petang.

Menurut laman web Infobencana JKM, sebanyak 27 PPS dibuka merangkumi lima daerah, iaitu Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Langat.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,705 orang daripada 538 keluarga berbanding 1,066 orang daripada 333 keluarga petang tadi.

Menurut Infobencana JKM, daerah Kuantan merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 639 orang daripada 218 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS, diikuti Maran dengan 403 orang (97 keluarga) di tujuh PPS , Raub, 336 orang (102 keluarga) di 17 PPS dan 327 orang (121 keluarga) di 12 PPS di Lipis.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,429 orang daripada 1,980 keluarga yang berlindung di 47 PPS di enam daerah, berbanding 5,503 orang daripada 1,663 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2, 260 orang daripada 686 keluarga.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 313 orang daripada 127 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 156 mangsa daripada 47 keluarga petang tadi dengan kesemua mereka ditempatkan di tujuh PPS.

Sementara itu, di PERLIS jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 7,116 orang berbanding 7,345 pada sebelah petang, dengan kesemua ditempatkan di 24 PPS yang beroperasi di Padang Besar, Kangar dan Arau.

Di KELANTAN pula menyaksikan penurunan jumlah mangsa kepada 3,448 orang daripada 1,273 keluarga malam ini berbanding 3,484 orang sebelum ini, dan ditempatkan di 19 PPS di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Gua Musang.

Sementara itu, menurut Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air di beberapa sungai utama di Kelantan terus menunjukkan bacaan melepasi tahap bahaya, amaran dan waspada setakat 8.15 malam ini, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang; Sungai Kusial di Kusial Baru, Tanah Merah; Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang ; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Di KEDAH, jumlah mangsa menurun kepada 3,758 orang daripada 1,193 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 4,280 orang daripada 1,367 keluarga, petang tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, kesemua mangsa dari Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena masih berlindung di 18 PPS.

Sementara itu, di MELAKA Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka berkata sebanyak 20 mangsa daripada empat keluarga telah ditempatkan di empat PPS di Alor Gajah.

Ia susulan tiga sungai, iaitu Sungai Melaka di Cheng, Sunga Melaka di Melaka Pindah dan Sungai Durian Tunggal di Batu 11 Air Resam mencatatkan paras bahaya susulan hujan berterusan berintensiti tinggi sejak semalam, menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dilanda banjir.

- Bernama

2 pelajar perempuan maut digilis lori

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua pelajar perempuan Tingkatan 3 maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terjatuh sebelum digilis sebuah lori dalam satu kemalangan di Jalan Kuala Kangsar dekat Tasek di Ipoh, tengah hari tadi.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dalam kejadian 12.57 tengah hari itu, Nur Aleesya Alya Mohd Hasrizal dan Nur Alisa Maisara Aidil Azhar menunggang sebuah motosikal dari Klebang menghala ke arah Ipoh.

“Ketika tiba di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan menyebabkan keduanya terjatuh ke atas permukaan jalan di lorong sebelah.

“Pada masa yang sama, sebuah lori yang sedang bergerak (hala yang sama) di laluan tersebut tidak sempat mengelak, lalu menggilis kedua mangsa yang berada di atas jalan,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang mangsa menggelongsor dan terperosok masuk ke bawah sebuah lagi lori yang sedang berhenti di lorong kanan.

Abang Zainal berkata, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berusia 15 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Puluhan ribu ikan timbul di permukaan laut

KOSMO
Tangkap layar video menunjukan berpuluh-puluh ribu ikan timbul dalam keadaan mengembung semalam. - Instagram
JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Demak, wilayah Jawa Tengah terkejut apabila menemui berpuluh-puluh ribu ikan timbul di permukaan laut dalam keadaan perut mengembung, lapor laman berita Detik. 

Rakaman video kejadian dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infodemakraya, menunjukkan bangkai ikan-ikan itu terapung di permukaan air di tepi pantai. 

Setiausaha Badan Lingkungan Hidup (DLH) Demak dikenali sebagai Sudarwanto berkata, kejadian itu berlaku di Desa Bedono semalam. 

“Saya mengerahkan sebuah pasukan untuk memeriksa sampel di lokasi berkenaan. 

“Kemunculan ikan itu dipercayai berkait dengan pembinaan tol berhampiran perairan tersebut. Kita akan semak tahap kemanisan dan suhu air,” kata Sudarwarnto. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 7,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Tinggal ambil untuk dijadikan ikan masin,” kata seorang netizen. – AGENSI

Terengganu: Pemuda ‘skodeng’ wanita dalam tandas dicekup

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Suspek yang ditahan di Kampung Bukit Kecil, Setiu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang tular kerana disyaki menceroboh tandas untuk mengintai seorang wanita di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini pada minggu lalu berjaya ditahan polis di Kampung Bukit Kecil, Setiu hari ini.

Lelaki berusia 24 tahun tersebut berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah kedai gunting rambut pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, soal siasat awal mendapati suspek mengaku memasuki tandas wanita berkenaan untuk merakam mangsa.

“Begitupun rakaman video terbabit tidak sempat dilakukan ekoran mangsa bertindak menyimbah air mengenai telefon bimbit suspek. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! 22 November lalu melaporkan seorang lelaki berambut perang sedang diburu polis kerana disyaki menceroboh tandas untuk mengintai seorang wanita di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.12 petang itu, mangsa yang merupakan seorang jurujual wanita ternampak sebuah telefon bimbit sedang melakukan rakaman dari celahan pintu tandas yang sedang digunakannya.- KOSMO! ONLINE

Terengganu: Tanah runtuh, pokok tumbang ranapkan dapur dua rumah

Rosli Ilham
Hajarah Said (kanan) bersama anaknya melihat bahagian dapur rumahnya di FELCRA Seri Bandi yang ditimpa pokok dan tanah runtuh. – Foto NST
KEMAMAN: Gerak hati seorang wanita ketika sedang memasak untuk menuju ke ruang tamu rumah menyelamatkannya daripada dihempap, ketika runtuhan tanah dan pokok tumbang yang meranapkan bahagian belakang kediamannya di FELCRA Seri Bandi, di sini.
Hajarah Said, 52, turut bersyukur kerana anak perempuannya serta seorang anak saudara masing-masing berada di bilik ketika bahagian dapur rumahnya itu dihempap susulan hujan lebat kira-kira jam 9.30 pagi.

“Ketika itu saya baru masuk ke ruang tamu rumah… kalau tidak saya tak tahu bagaimana nasib saya.

“Saya bersyukur kerana umur masih panjang dan tuhan menyelamatkan saya daripada musibah,” katanya ketika mengulas kejadian yang turut menyebabkan bahagian dapur rumah milik jirannya rosak.

Tambah Hajarah, sebaik melangkah masuk ke ruang tamu, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat sebelum segera menjerit memanggil anaknya.

“Saya dan anak keluar untuk memeriksa, sebelum terkejut melihat bahagian dapur rumah kami serta kediaman jiran ditimpa tanah dan pokok tumbang.

“Rumah saya hanya kira-kira 10 meter dari bukit dan saya sama sekali tidak menyangka kejadian runtuhan ini boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, kedua-dua pemilik rumah terbabit diarahkan berpindah demi keselamatan memandangkan hujan lebat masih berlaku.

“Kita bimbang kejadian ini berulang dan kerja pembaikan akan dilakukan sebaik cuaca kembali pulih,” katanya.