"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Malaysia parah ditembak di Sungai Golok angkara hutang

RAZALI ZAKARIA
Mangsa, Mohd. Fuad Fahmie.
NARATHIWAT, THAILAND – Seorang lelaki warga Malaysia yang dipercayai mempunyai masalah hutang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Asam, Pasir Mas di Kelantan ketika ini sedang dirawat di Hospital Sungai Golok.

Jurucakap polis Narathiwat ketika dihubungi berkata, hasil temubual dengan beberapa saksi di lokasi kejadian mendapati, kes tersebut disyaki berpunca daripada masalah hutang.”Mangsa sudah berkeluarga dan tinggal di belakang sebuah masjid di Pasir Mas. Siasatan lanjut mendapati, suspek yang melepaskan tembakan merupakan warga tempatan.

“Suspek disyaki menembak mangsa menggunakan pistol sebelum melarikan diri. Identiti suspek telah dikenal pasti dan gerakan memburu lelaki itu sedang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wan Saiful: PN risiko berpecah jika Muhyiddin masih pengerusi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu bukan sahaja membahayakan kelangsungan politiknya, malah kekuatan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan sekiranya parti itu terus mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai presiden dan pengerusi gabungan, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang baru dipecat dari parti itu berkata, ‘PN berpecah dan Bersatu kalah’ jika masih bertegas menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

“Ini bukan pergaduhan personal, ini pergaduhan profesional. Jadi pertelagahannya dari segi politik semata-mata tidak menghilangkan penghormatan kepada sesiapa. Jadi dalam keadaan itu, kita kekalkan penghormatan kita tapi kita kena terima hakikat.

“Kalau nak menang dan kalau PN nak kuat, Muhyiddin tidak boleh berada di situ,” katanya yang dipetik dalam satu audio siar terbitan KiniTV.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang digantung keahlian selama satu penggal oleh Bersatu, pula berkata ‘usul cuai’ menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri menyebabkan hubungan dengan PAS renggang.

Katanya, beliau dan Wan Saiful telah berusaha keras untuk menghalang usul itu pada konvensyen parti kerana sedar ia akan mencetuskan konflik dalam gabungan.

“Jadi kalau Muhyiddin, (setiausaha agung) Azmin Ali dan (naib presiden) Faizal Azumu tak faham, maknanya mereka memang gagal memimpin PN.

“Jadi apa yang berlaku pada hari ini memang hubungan yang dahulunya lebih baik sedang dalam keadaan yang tidak baik,” katanya.

Wan Saiful berkata, dinamik semasa menunjukkan PAS kini menetapkan hala tuju PN, manakala Wan Fayhsal pula berpendapat Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin lebih layak memimpin PN kerana mendapat sokongan daripada PAS.

Wan Fayhsal berkata, kemungkinan besar PAS memilih Hamzah — yang ketika itu merupakan setiausaha agung Bersatu — sebagai ketua pembangkang selepas PRU15 kerana pengalamannya dalam Jemaah Menteri dan hubungan baiknya dengan Ahli Parlimen lain.

“Kalau Hamzah yang menjadi presiden Bersatu dan mungkin pengerusi PN, saya yakin perkara ini dapat diperbaiki dengan amat-amat baik.

“Hamzah adalah pilihan PAS sebagai ketua pembangkang. Jadi saya tak nampak Bersatu dan PN akan terkebelakang dengan Hamzah diangkat menjadi pemimpin parti,” katanya.

Mayat reput ditemui dalam semak

SAFINA RAMLI
Anggota polis ketika di lokasi kejadian di Lebuh Gelugor, semalam
GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditemukan di kawasan semak berhampiran Taman Ghee Hiang, Lebuh Gelugor di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan pada kira-kira pukul 7.20 malam.

”Hasil pemeriksaan di lokasi oleh polis tidak menemui sebarang kesan mencurigakan pada tubuh mangsa mahupun di sekitar tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, lelaki tersebut dipercayai warga tempatan berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui pada pakaiannya.

”Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian tidak dapat dikenal pasti kerana mayat sudah reput. Namun, tiada sebarang tanda kecederaan akibat perbuatan jenayah dikesan,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Guru mohon keadilan selepas gambar disunting separuh bogel disebar

B Nantha Kumar

Seorang guru wanita sekolah rendah di Kuala Selangor mendakwa menjadi mangsa karenah birokrasi dan tidak mendapat keadilan sewajarnya selepas gambarnya disunting separuh bogel serta disebarkan dalam talian.

Guru itu berkata perkara itu diketahui pada 16 Sept lalu apabila dia menerima mesej di Messenger daripada pemilik akaun tidak dikenali yang menghantar pautan Facebook mengandungi gambarnya.

Lebih mengejutkan, katanya, akaun Facebook itu mempunyai ramai rakan bersama termasuk guru lain dan laman rasmi sekolah, sekali gus menimbulkan syak bahawa pelaku mungkin mengenalinya secara peribadi.

"Bila saya nampak gambar itu, saya panik dan terus ke balai polis untuk buat laporan," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, guru berusia 28 tahun itu berkata dia diarahkan merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Di MCMC, dia dimaklumkan bahawa pihak polis perlu menyediakan laporan siasatan terlebih dahulu sebelum suruhanjaya itu boleh mendapatkan alamat IP atau butiran pemilik akaun.

"Pegawai MCMC beritahu saya, mereka perlukan laporan siasatan lanjut daripada polis sebelum boleh minta maklumat IP (Internet protocol). Atas nasihat MCMC, saya mendapatkan khidmat peguam," katanya.

Selepas hampir sebulan menunggu, MCMC memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai akses terus kepada maklumat akaun Facebook berkenaan.

"Keputusan untuk memberi kerjasama tertakluk kepada terma dan syarat penyedia platform," jelas MCMC dalam surat yang turut dilihat Malaysiakini.

Suruhanjaya itu kemudian menasihatkan guru berkenaan merujuk semula kepada polis dan membawa kes itu ke mahkamah untuk mendapatkan perintah rasmi sebelum sebarang maklumat boleh diperoleh.

Ketika dihubungi, MCMC memaklumkan bahawa aduan berhubung isu berkenaan telah diteliti dan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan bidang kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

"Dalam aduan, pengadu memohon supaya akaun berkenaan dipadam serta siasatan dijalankan terhadap individu yang menyebarkan gambar tersebut.

"Selepas menerima aduan, MCMC telah mengemukakan permohonan kepada pihak platform untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan maklum balas diterima, kandungan berunsur lucah yang dilaporkan telah diturunkan oleh pihak platform," kata MCMC.

Mengenai permohonan untuk menyiasat individu yang menyebarkan gambar tersebut, MCMC menjelaskan bahawa perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa pihak polis.

"MCMC melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sebarang siasatan atau tindakan terhadap individu yang menyebarkan kandungan sedemikian terletak di bawah kuasa pihak polis,” jelasnya.

Sementara itu, guru berkenaan berkata pegawai penyiasat (IO) hanya menghubunginya selepas hampir sebulan, itu pun selepas dia menghubungi seorang bekas pegawai polis berpangkat tinggi.

"Selepas bekas pegawai berkenaan menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, hanya dalam tempoh 20 minit, IO menghubungi saya dan meminta hadir ke balai.

"Bagaimanapun, sewaktu berjumpa, IO berkenaan sekali lagi mengatakan bahawa dia akan merujuk kes itu ke MCMC.

"Saya pergi ke MCMC, mereka suruh saya pergi ke polis. Bila saya pergi ke polis, mereka suruh saya ke MCMC. Saya jadi buntu. Hari ini genap 42 hari, namun saya masih belum menerima sebarang penjelasan mahupun penyelesaian.

"Jika seorang guru seperti saya pun berdepan dengan keadaan sebegini, bayangkan pula nasib individu lain yang kurang berpendidikan atau tidak mempunyai kesedaran tentang isu seperti ini," katanya.

Usaha Malaysiakini mendapat komen ibu pejabat polis Selangor tidak berjaya.

Exco Pemuda Bersatu disiasat isu video berkaitan perjanjian dagangan M'sia-AS

Alyaa Alhadjri

Seorang pemimpin Pemuda Bersatu dibebaskan daripada tahanan polis hari ini berhubung siasatan hasutan yang diƒkaitkan dengan video yang didakwa mengkritik perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS yang ditandatangani dengan Presiden AS Donald Trump.

Ketika dihubungi, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, mengesahkan bahawa ahli exco sayapnya, Ashraf Khan Hayup Khan, telah dibebaskan dari lokap Dang Wangi, susulan prosiding reman.

"Polis memohon reman selama sehari, tetapi tiada lanjutan (reman) diberikan, jadi Ashraf telah dibebaskan," kata Harris kepada Malaysiakini.

Dia menambah bahawa Ashraf diwakili oleh peguam Afiq Nardin.

Selain hasutan, Ashraf juga disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kenyataan yang menyebabkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Malam tadi, Harris dalam satu kenyataan media berkata Afiq telah ditangkap di Pulau Pinang pada jam 9.30 malam dan dibawa ke balai polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"Penangkapan itu adalah berkaitan dengan video yang dimuat naik mengenai perjanjian perdagangan Malaysia-AS dan lawatan Trump ke Kuala Lumpur," katanya, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Trump menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas pada 26 Oktober semasa presiden AS itu melawat Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.

Penuntut kolej maut dilanggar rakan sendiri di WCE

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Keadaan motosikal mangsa kemalangan itu
Negara
KUALA LANGAT – Seorang penuntut kolej vokasional maut dalam insiden menyayat hati apabila dilanggar rakan sendiri selepas terjatuh dari motosikal di Kilometer 7.3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, remaja lelaki itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. Rakannya yang juga parah di kepala telah dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut. Kedua-dua mereka berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Banting ke Saujana Putra itu telah hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di lorong kiri jalan.

“Pada masa sama, rakannya yang motosikal Yamaha LC135 dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang terjatuh di atas jalan. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, pelanggaran itu turut menyebabkan penunggang LC135 tercampak ke permukaan jalan dan cedera di bahagian kepala. Kedua-dua mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.

Kata Akmalrizal, siasatan mendapati kedua-dua penunggang merupakan penuntut kolej dan mempunyai lesen memandu yang sah. – KOSMO! ONLINE

Wan Saiful: Apa motif Mahiaddin nak jadi PM?

K PRAGALATH

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan melontarkan persoalan berkenaan motif presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin mahu menjadi Perdana Menteri semula.

“Sekarang ini adakah ia perjuangan atau kepentingan peribadi hingga timbul isu dalam Dewan Rakyat. Ada orang dah tanya sekarang, adakah Tan Sri Mahiaddin mahu jadi PM walaupun untuk setahun dua sebab dia nak guna kuasa tutup kes dia di mahkamah,” katanya dalam rancangan audiosiar The Zaid Ibrahim Podcast malam tadi.

“Adakah dia nak jadi PM sekali lagi bukan sebab rakyat tapi nak memastikan menantu, cucu dan anaknya boleh kembali ke Malaysia.

“Ada orang tanya dia nak jadi PM sebab dia nak bantu tutup kes video Azmin Ali.

Wan Saiful menyifatkan persoalan tersebut sebagai ‘very damaging’. Ini kerana ia bertentangan dengan mesej PN Bersih dan Stabil.

“Apabila Mahiaddin sudah jadi liabiliti kepada parti, saya rasa perkara paling bagus boleh dilakukan ialah berjiwa besar dan lepaskan jawatan kepada orang yang dia sendiri pilih sebelum ini ,” katanya merujuk kepada timbalan presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menara 3 Petronas dilaporkan terbakar

Bernama 
kebakaran menara 3
Satu kebakaran berlaku di Menara 3 Petronas di Kuala Lumpur pagi ini, dipercayai melibatkan sebuah restoran di tepi tingkat atas bangunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hassan ‘As’ari Omar, mengesahkan kejadian dan berkata setakat ini tiada mangsa dilaporkan.

Katanya jentera serta anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi dan operasi pemadaman sedang dijalankan.

- Bernama

Kedah: Pesawah maut ditetak adik ipar, kepala terpisah daripada badan

NORLIDA AKMAR IDROS
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan seorang lelaki yang mati dibunuh di sawah di Kampung Pida 3 dekat Jerlun, malam ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!
JERLUN – Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, di sini malam ini.
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Kampung Pida 3. FOTO Wan Nabil Nasir
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan.

Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua lelaki.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati suspek berusia 38 tahun berada di dalam sebuah bilik rumahnya yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

“Suspek berjaya ditangkap kira-kira pukul 8 malam selepas pihak polis memujuknya selama 15 minit ketika dia masih memegang parang,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tetakan selain bahagian kepala yang terpisah daripada badan.

“Kita masih menyiasat motif kejadian dan menasihatkan masyarakat agar tidak menghebohkan atau berkongsi maklumat yang tidak sahih,” ujarnya.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah parang sepanjang 30 sentimeter yang digunakan dalam kejadian itu.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek yang bekerja sebagai pesawah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala suspek masih bujang dengan rumah mereka terletak berhampiran.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk direman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. — KOSMO! ONLINE

Lelaki gila talak gigit tangan polis

KOSMO!
PRACHUAP ditahan selepas menggigit tangan pegawai polis. - Foto Channel 7
BANGKOK – Seorang lelaki bertindak di luar kawalan ketika cuba berbaik semula dengan bekas isterinya dengan menggigit tangan anggota polis yang cuba campur tangan, lapor portal berita Thaiger hari ini.

Anggota-anggota  dari Balai Polis Mueang Lop Buri tiba di sebuah bangunan tiga tingkat di Tha Sala selepas menerima laporan mengenai seorang lelaki Thailand  yang bertindak di luar kawalan. 

Setibanya di lokasi kejadian hari ini, polis menemui lelaki tersebut yang dikenali sebagai Prachuap,  44,  berada di atas bumbung bangunan. 

Tingkat bawah bangunan itu menempatkan kedai telefon bimbit milik bekas isterinya, Aree, yang juga berusia 44 tahun.

Selepas beberapa jam, Prachuap dilihat bersedia untuk turun. 

Namun, apabila dia melihat ramai anggota  polis berada di bawah, dia kembali memanjat naik ke atas bangunan.

Anggota polis berkenaan cuba membawanya turun tetapi dia melawan sambil menghamburkan  kata-kata makian dan menggigit tangan mangsa, menyebabkan berlaku pendarahan teruk.

Polis melepaskan tembakan pistol renjatan sebanyak tiga kali sebelum menahan dan membawa lelaki berkenaan untuk pemeriksaan perubatan.

Prachuap dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan serta ujian air kencing bagi mengesan penggunaan dadah. 

Keputusan ujian tersebut tidak didedahkan kepada umum dan tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya setakat ini, demikian menurut stesen televisyen Channel 7. – AGENSI

Padah hantaran jelik, kakitangan RHB tamat perkhidmatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kakitangan RHB Banking Group dipercayai telah ditamatkan perkhidmatan selepas memuat naik hantaran di media sosial memaparkan imej perdana menteri yang disunting, memaparkan beliau mengenakan pakaian beridentitikan bendera Israel.

Dalam kenyataan ringkas petang ini, RHB memaklumkan siasatan dalaman telah selesai dijalankan dan ‘individu terbabit bukan lagi kakitangan RHB, berkuat kuasa 31 Okt’.

“Kami mengamalkan dasar toleransi sifar yang tegas terhadap sebarang kelakuan yang bercanggah dengan kod etika dan tatakelakuan kami,” katanya dalam kenyataan.

RHB bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada individu itu dipecat atau meletak jawatan. FMT sedang cuba mendapatkan pengesahan lanjut daripada syarikat itu.

Terdahulu, bank itu menjamin tindakan disiplin yang bersesuaian akan dikenakan sekiranya didapati berlakunya pelanggaran kod etika dan tatakelakuan syarikat.

RHB turut menegaskan, pandangan yang disuarakan kakitangan tersebut ialah pandangan peribadinya, sama sekali tidak mewakili atau menggambarkan pendirian syarikat.

Imej yang dimuat naik di Facebook itu kini tular.

Insiden itu menyusul beberapa hari selepas Anwar Ibrahim membidas pengkritik yang mempersoalkan keputusan kerajaan mengundang Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Ketika mempertahankan keputusan tersebut, Anwar berkata, beliau berpeluang bercakap secara peribadi dengan presiden AS itu berhubung pelbagai isu, termasuk serangan ke atas Gaza oleh Israel, yang merupakan sekutu teguh Washington.

Rogol pelajar: Di hari lahir, sami dipenjara 15 tahun, 4 sebatan

Malaysiakini 

Seorang sami yang mendakwa dia mahu "mengubah nasib" seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat di Johor, selepas didapati bersalah merogol mangsa di sebuah ladang kelapa sawit empat tahun lalu.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Pechimuthu Vethumalay, 53, yang kebetulan menyambut hari jadinya hari ini, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Harmi dipetik Harian Metro berkata pembelaan tertuduh hanyalah satu penafian semata-mata dan sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought).

"Tiada sebarang bukti sokongan diberikan untuk membolehkan atau mengukuhkan pembelaannya seterusnya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

"Sehubungan itu, penafian kosong semata-mata bukanlah sesuatu boleh dimasukkan sebagai keraguan munasabah.

"Mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan dengan hukuman berkuat kuasa hari sabitan (hari ini)," katanya.

Mahkamah mendapati Pechimuthu bersalah atas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan memerintahkan hukuman berkuat kuasa serta-merta.

Selain hukuman penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraannya dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan manakala pihak pembelaan memanggil empat saksi, termasuk tertuduh sendiri.

Mengikut pertuduhan, Pechimuthu merogol pelajar itu di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Yong Peng-Labis, Yong Peng, kira-kira jam 3 petang pada 28 Sept 2021.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad mengetuai pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, sami itu telah mendekati keluarga mangsa, mendakwa dia mendapat mimpi dan boleh membantu memperbaiki kehidupan mereka.

Dia kemudian membawa budak perempuan itu dengan alasan untuk melakukan upacara ritual, tetapi sebaliknya membawanya ke ladang kelapa sawit, dengan dia merogol mangsa.

Mangsa kemudian memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu, yang mendorong mereka membuat laporan polis.

Pelajar perempuan terjun tingkat satu akibat kecewa putus cinta

MOHD YUNUS YAKKUB

SHAH ALAM – Akibat kecewa selepas putus cinta dengan teman lelakinya, seorang pelajar perempuan tingkatan satu dilaporkan terjatuh dari tingkat satu sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang ketika sesi persekolahan petang sedang berlangsung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa mengalami luka di dahi serta kaki kini dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil.

“Ya ada kejadian itu. Siasatan awal kejadian berpunca akibat mangsa mengalami kemurungan setelah putus cinta dengan teman lelakinya yang merupakan pelajar tingkatan dua di sekolah yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

“Kita telah merampas telefon bimbit milik mangsa dan bekas teman lelaki untuk siasatan lanjut.

“Ini termasuk sama ada terdapat perkataan menghina atau memberikan tekanan kepada mangsa sehingga melakukan perbuatan terjun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ismanira: ‘Saya doakan yang fitnah kami dilaknat Allah’

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, memuat naik hantaran di akaun Instagram miliknya selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Dalam hantaran itu, Ismanira mendakwa dia dan keluarga menjadi mangsa penganiayaan dan fitnah.

“Saya mendoakan semua yang terlibat dalam penganiayaan termasuk yang memfitnah kami akan dilaknat Allah.

“Kepada pembunuh anak saya yang masih bebas di luar sana, semoga dibinasakan Allah dunia dan akhirat,” kongsinya.

Di ruangan kapsyen pula dia mendakwa menjadi mangsa kepada kepada ketidakadilan undang-undang.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan, dua tahun lalu.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu, bermula dari tarikh sabitan.

Syahliza turut menolak permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan untuk menangguhkan hukuman sementara memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ismanira kemudiannya dibawa serta-merta ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Kes bakar lelaki dalam kereta, dua rakan dipenjara 18 tahun

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Wong Mun Fai (kiri) dan Tan Chun How dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini. – Foto NSTP
IPOH: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan rentung dalam kereta yang dibakar di sebuah ladang kelapa sawit, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menjatuhkan hukuman terhadap Wong Mun Fai dan Tan Chun How, masing-masing berusia 33 tahun bermula daripada tarikh penangkapan mereka pada 15 November 2018.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh secara bersama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Heng Wei Yong yang ketika kejadian berumur 21 tahun dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu dilakukan di laluan masuk ke kebun kelapa sawit berhampiran tiang elektrik 11KV PPU TI 9K5 194, Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak antara jam 12.05 tengah malam hingga 12.30 tengah malam 15 November 2018.

Berdasarkan fakta kes, terdapat lebih daripada satu kesan tikaman pada tubuh mangsa yang rentung yang mana tikaman itu didapati oleh pakar bedah siasat (SP23) sebagai punca kematian mangsa dan mangsa mati bukan disebabkan kebakaran.

Berdasarkan fakta itu juga, keterangan utama SP29 (Saksi Pendakwaan ke-29) yang turut ditahan susulan insiden itu menunjukkan bahawa Mun Fai dan Chun How adalah individu terakhir bersama mangsa dengan saksi terbabit turut mengesahkan terdapat seorang lagi individu bersama dua tertuduh berkenaan.

Fakta sama menyatakan, SP29 mengesahkan berlaku kebakaran dalam sebuah kereta di tempat kejadian yang mana selepas itu hanya dua tertuduh itu sahaja yang masuk untuk menaiki kereta yang dipandu oleh SP29.

Fakta itu juga menyatakan mangsa meninggal dunia akibat luka tikaman dan mayat dibakar bagi tujuan untuk melupuskan kewujudan identiti mangsa.

“Berdasarkan kepada keseluruhan keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan, adalah jelas menunjukkan dua tertuduh berkenaan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap si mati,” menurut fakta kes itu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala Mun Fai diwakili peguam, Datuk Naran Singh dan Amrick Singh Sandu manakala Chun How diwakili peguam V Santhiran.

Dalam mitigasi hukuman, Naran berkata anak guamnya adalah penanggung tunggal nafkah keluarga dan menanggung ibu berusia 66 tahun manakala Santhiran berkata anak guamnya seorang duda empat anak dengan pendapatannya yang bekerja kontrak sebelum ini RM2,000 sebulan. Kedua-dua tertuduh juga tiada rekod jenayah lampau.

Peguam, keluarga soal polis, apa status kes bunuh Zayn Rayyan

Malaysiakini 

Seorang peguam bagi keluarga Zayn Rayyan Abdul Matin — kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang ditemui meninggal dunia di tepi anak sungai dekat rumahnya pada 2023 — mendakwa polis gagal memberikan maklumat bermakna mengenai perkembangan siasatan kematian kanak-kanak itu.

Haresh Mahadevan, yang mewakili ibu Zayn, Ismanira Abdul Manaf dalam perbicaraan pengabaian kanak-kanak berkata usaha berulang kali keluarga mendapatkan maklumat daripada polis mengenai status siasatan setakat ini tidak berhasil.

“Kami menghantar tiga surat kepada pihak berkuasa sekitar awal tahun ini, tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas,” kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mensabitkan Ismanira atas pertuduhan mengabaikan anak dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah mendapati Ismanira cuai apabila membenarkan Zayn berjalan di belakangnya tanpa pengawasan, yang membawa kepada kehilangannya.

Wanita berusia 30 tahun itu turut diperintahkan oleh Hakim Syahliza Warnoh untuk melengkapkan 120 jam khidmat masyarakat serta menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, datuk sebelah bapa Zayn, Zahari Reba berkata walaupun mahkamah sudah membuat ketetapan, polis masih memikul tanggungjawab untuk meneruskan usaha mengesan pembunuh Zayn.

“Apa status kesnya? Sehingga sekarang, siasatan polis gagal kerana pembunuh masih bebas.

“Saya merayu kepada pihak berkuasa supaya meneruskan siasatan secara adil dan telus,” tambahnya.

Dia menegaskan walaupun keluarganya difitnah dan dihina dalam talian oleh pihak tidak bertanggungjawab, mereka akan terus berdoa agar keadilan Ilahi menimpa pihak yang menzalimi mereka.

“Hati kami hancur mendengar keputusan hari ini kerana hubungan kami dengan menantu sentiasa rapat, tetapi memandangkan sekarang kami perlu menjaga adik Zayn, kami juga perlu menjaga emosi.

“Kami berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat menyerahkan kanak-kanak itu kepada kami, kami sedia menjaganya,” kata Zahari.

Ismanira pada awalnya didakwa bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, pada 13 Jun tahun lalu. Pertuduhan terhadap mereka menyatakan pasangan itu mengabaikan Zayn sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari, 5 Dis, hingga 9.55 malam keesokan harinya pada 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali. Pasangan itu mengaku tidak bersalah ketika didakwa.

Mahkamah kemudian membebaskan Zaim pada 21 Julai tahun ini selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bapa itu meskipun 28 saksi pendakwaan dipanggil.

Zayn dilaporkan hilang pada 5 Dis dan ditemui meninggal dunia berhampiran anak sungai berdekatan rumahnya pada keesokan hari, dengan kecederaan dikesan pada leher dan badan.

Bedah siasat ke atas mayatnya menunjukkan mangsa dibunuh.

Dr M nafi Muhyiddin jumpa minta restu pecat Hamzah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, menolak dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ada memohon restunya untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin.

Pada September, Hamzah cuba meyakinkan ahli Bersatu akan kesetiaan beliau kepada Muhyiddin, susulan penyebaran surat layang yang menuduhnya mereka-reka dakwaan Muhyiddin sudah berjanji menyerahkan jawatan presiden.

Surat itu juga menyifatkan Hamzah yang juga ketua pembangkang, sebagai ‘musuh dalam selimut’ kerana menentang keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2024, antara lain mengesahkan semula Muhyiddin sebagai presiden.

Bekas ketua Bersatu Ipoh Timur, Fadhli Ismail, mendakwa bulan lalu Muhyiddin melawat Mahathir di kediamannya untuk mendapatkan nasihat mengenai pemecatan Hamzah, dengan pertemuan itu turut didakwa dihadiri Setiausaha Agung Azmin Ali dan Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap kepada FMT, Mahathir berkata tiada pertemuan sedemikian berlaku.

“Tidak, Muhyiddin tak datang jumpa saya meminta nasihat (mengenai sama ada) untuk memecat Hamzah. Sama sekali tidak,” kata Mahathir.

Bekas pengerusi Bersatu itu menegaskan, beliau menentang kepuakan kerana ia akan memudaratkan matlamat utama beliau menyeru penyatuan Melayu.

Mahathir berkata, beliau tidak mahu membezakan antara kumpulan yang setia kepada Muhyiddin atau Hamzah, sambil menegaskan ‘mereka semua adalah Melayu’.

Beliau juga berkata, Muhyiddin dan Hamzah berkongsi pandangan sama mengenai kepentingan memperkukuh perpaduan Melayu.

“Jika kita mahu mencapai perpaduan Melayu, anda perlu menerima pengikut Hamzah atau Muhyiddin, kerana kita hanya anggap mereka sebagai Melayu…bukan sebagai pengikut Hamzah atau pengikut Muhyiddin.

“Mereka (Muhyiddin dan Hamzah) dengar cakap saya. Mereka percaya pada perpaduan. Mereka percaya perpaduan akan memberi kita kekuatan, akan membolehkan kita menang pilihan raya. Sebaliknya, kedua-dua mereka memikirkan tentang masa depan mereka sendiri.’”

“Disebabkan Muhyiddin merasakan jika beliau dapat sokongan majoriti di bawah payung besar, maka beliau akan menang dan menjadi perdana menteri. Tetapi, semua orang boleh jadi perdana menteri. Kita tidak seharusnya fokus hanya kepada Muhyiddin atau Hamzah.”

Pada PAT Bersatu diadakan September, Muhyiddin mendedahkan wujud pihak tertentu sedang mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya, mendorong beberapa perwakilan bangun lalu menyeru beliau meletak jawatan.

Dalam ucapan penggulungannya pada keesokan harinya, Hamzah menolak dakwaan beliau cuba melemahkan Muhyiddin dan berikrar memberikan sokongan penuh kepada presiden. Hamzah juga enggan memperbesarkan kekecohan semasa ucapan dasar Muhyiddin.

Pergolakan yang semakin meruncing dalam parti itu menyaksikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung.

Penganalisis berkata, pergolakan dalaman Bersatu yang semakin meningkat mampu melemahkan parti menjelang PRU akan datang.

Hukum suami biarkan isteri berzina

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

APAKAH hukum suami yang membiarkan isterinya berzina dan terlalu bersangka baik?

JAWAPAN: Menjawab isu di atas, ia adalah satu dosa besar. Rasulullah SAW telah menyebut berkenaan perkara ini di dalam hadis-hadis Baginda. Dari itu, Imam al-Zahabi telah menyebut perkara ini sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar yang wajib dijauhi di dalam kitabnya al-Kaba’ir (Dosa-dosa Besar). (Lihat al-Kaba’ir hlm. 130)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah faham maksud orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Nabi SAW bersabda: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, 10310)

Takrif dayus adalah bercabang pada lidah atau lemah lembut dengan makna mudah atau ringan. Ia bermaksud seseorang lelaki yang tiada ghairah untuk mempertahankan keluarganya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 21/96)

Sedangkan dalam sunah, takrif dayus adalah apabila seseorang itu mengiyakan perbuatan keji seperti zina kepada keluarganya.

Antara tandanya, dia tidak kisah siapa yang menemui kaum keluarganya atau isterinya. Inilah tafsiran Ibn Hajar al-Haitami. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2/347)

Itlaq kalimah dayus iaitu setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya dalam kalangan isteri, anak perempuan dan saudara perempuan. Sama ada ia membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi dan berkhalwat dengannya. (Lihat al-Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/197)

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya. (Riwayat Ahmad, 5372)

Imam al-Munawi berkata, maksud al-Dayyus dalam hadis di atas ialah orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya iaitu isterinya dan termasuklah juga kaum kerabat terdekatnya.

Manakala ‘kejahatan’ yang disebutkan hadis di atas termasuklah zina, dengan tiada cemburu ke atas mereka. (Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi, 3/319)

Daripada nas-nas yang dinyatakan, jelas bahawa membiarkan isteri berzina dan terlalu bersangka baik terhadapnya adalah haram dan satu dosa besar.

Mereka disebut sebagai lelaki dayus iaitu membiarkan dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.

Disebabkan itulah, Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang.

Ibn Qayyim berkata: “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga). Sesiapa yang tiada perasaan ini, maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji.

“Tanpanya hati akan mati. Maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 68)

Kami mengesyorkan sebarang tindakan oleh suami hendaklah dengan penuh kefahaman dan bukti yang jelas supaya tidak menzalimi isteri hanya melalui sangkaan sahaja semata-mata.

Begitu juga perlunya hubungan yang akrab dan intim antara pasangan suami isteri disuburkan dengan mengikat hubungan kepada Allah SWT.

Ikatan ini melalui solat berjemaah, qiamullai bersama di waktu malam, menghadiri majlis ilmu bersama anak-anak secara harian atau mingguan, membawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah dan makan berjemaah yang sudah tentu sedikit sebanyak melahirkan rumah tangga Baiti Jannati.

Begitu juga, selalu wujudkan muhasabah dan nasihat khususnya bagi ketua keluarga agar rumah tangga tidak dibiarkan tanpa nakhoda untuk menuju ke akhirat dalam mencari mardhatillah.

Akhir sekali, lazimilah untuk berdoa bersama-sama agar keberkatan hidup singgah dalam melayari bahtera ini.

Menjelang PRU16: Perang Bersatu: Siapa boleh menang? Siapa sudah menang?

Mohsin Abdullah

PAS didakwa dapat untung besar akibat tindakan Saifuddin Abdullah susulan kemelut dalam Bersatu.

Umum tahu pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah sudah digugurkan daripada jawatan ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Umum juga tahu beberapa hari sebelum itu, Saifuddin secara terbuka menggesa Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan presiden Bersatu dan memberi laluan kepada kepimpinan baharu. Umum tahu beliau maksudkan Hamzah Zainudin, timbalan presiden sekarang.

Beliau juga mahu Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dilucut jawatan ‘bagi membersihkan parti daripada dakwaan masalah moral yang dikatakan menjejaskan reputasinya’. Dipercayai Saifuddin merujuk video enam tahun lalu, dikatakan membabitkan Azmin.

Lalu apabila Saifuddin disingkir daripada jawatan ketua PN Pahang, jelas menunjukkan beliau sudah kena tindakan balas. “Saifuddin melawan pengerusi PN,” kata seorang pemerhati politik. Umum tahu selain jadi presiden Bersatu, Muhyiddin juga pengerusi PN.

Lalu apa yang berlaku bolehlah dirumus — serang Bersatu, PN yang bertindak balas. Hukuman diumum Azmin, yang juga pegang jawatan setiausaha agung PN.

Sekarang keadaannya begini: PAS yang dianggap ‘taiko‘ dalam PN didakwa tidak berkenan dengan Muhyiddin sebagai pengerusi PN dan Azmin sebagai setiausaha agung PN. Ertinya PAS dengan Saifuddin didakwa sehaluan iaitu sama-sama tak berkenan dengan Muhyiddin dan Azmin. Tetapi apabila Saifuddin dilucut jawatan ketua PN Pahang, penggantinya Tuan Ibrahim tuan Man, timbalan presiden PAS. Bagi saya PAS dapat untung at the expense of Saifuddin, pada hal, saya ulangi, beliau juga tidak suka apa yang PAS tidak suka.

Azmin turut mengumumkan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, diketepikan dan tempatnya sebagai ketua PN Perlis diganti dengan Shahidan Kassim. Dalam konteks penulisan ini, itu tidak menjadi masalah kerana kedua-dua pemimpin PAS. PAS ganti PAS.

Menurut Azmin apa yang dilakukan ialah penyusunan semula struktur. PAS sememangnya mahu PN menyusun semula struktur, tetapi difahamkan ia membabitkan jawatan pengerusi dan mungkin juga setiausaha agung. PAS didakwa mahu Hamzah jadi pengerusi PN dan orang mereka sendiri iaitu Takiyuddin Hassan, setiausaha agung PAS, untuk jawatan setiausaha agung PN.

Berbalik kisah Saifuddin. Adakah PAS merestui tindakan ke atasnya?

“PAS sokong Hamzah — yes. Tapi kalau pecat Saifuddin yang pro-Hamzah then beri jawatan itu kepada PAS, still yes. PAS tidak akan sia-siakan peluang depan mata. Apatah lagi PAS memang target nak perintah Pahang dengan Tuan Ibrahim sebagai menteri besar. Situasi ini seperti pucuk dicita ulam mendatang kepada PAS,” Itu pandangan Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre.

Saya juga bertanya kepada Yusri adakah PAS menguasai majlis tertinggi PN meskipun pengerusinya Muhyiddin.

Jawab Yusri: “Tidak juga. Pengaruh Bersatu dalam majlis tertinggi PN besar sebelum ini. Cuma sekarang tidak kuat sebab mereka berpecah kepada dua kem.”

Berdasarkan pendapat itu, pada hemat saya, walaupun tidak kuat, Bersatu nampaknya masih boleh mempengaruhi keputusan MT PN untuk setuju akan tindakan yang dikenakan ke atas Saifuddin. Kata seorang pemerhati politik, “PAS jadi penonton dari luar. Tapi Bersatu kem Muhyiddin-Azmin masih mencatur PN dari dalam.”

Dalam konteks Azmin, kata Yusri “daripada biarkan Saifuddin terus berpecah, menikam beliau dan team beliau, lebih baik bagi (jawatan pengerusi PN Pahang) kepada PAS walaupun dia tahu PAS pro-Hamzah… itu mudarat yang lebih kecil.”

Berkata si pemerhati politik tadi — Azmin licik. Memanfaatkan organisasi untuk kekal relevan. Mana yang tidak setuju akan tercaras. Hujahnya mudah. Patuh keputusan dan ikut disiplin parti. Saifuddin pernah jadi ahli Umno, kemudian menyertai PKR dan menjadi orang kuat Azmin, yang waktu itu timbalan presiden parti.

Beliau juga pernah jadi ketua setiausaha Pakatan Harapan sebelum ikut Azmin dan beberapa Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti dalam Langkah Sheraton yang turut menguntungkan Muhyiddin.

Benar kata Yusri yang saya petik untuk artikel terdahulu bahawa kepimpinan Bersatu disandang oleh “aktor-aktor politik yang bijak mengintai, mencatur dan mengambil peluang”. Istilah pilihan saya ‘oportunis’.

Saya ulangi apa kata Yusri pada artikel saya dua minggu lalu — Hamzah Zainudin sendiri melompat. Menang kerusi Parlimen Larut pada PRU14 atas tiket Umno-BN tetapi keluar Umno dan masuk Bersatu apabila BN tumbang, dan masuk Bersatu yang ketika itu bersama PH dan tubuh kerajaan persekutuan.

Sekarang bukan rahsia beliau mahu jadi presiden Bersatu dan pengerusi PN sekaligus jadi calon perdana menteri PN. Tetapi seperti dinyatakan pada artikel saya bertajuk ‘Tak Nampak pula Hamzah’ siaran FMT 24 Oktober lalu, beliau berada di bawah radar dan membiarkan serangan ke atas Muhyiddin dan Azmin dilakukan oleh Wan Fayhsal Ahmad (yang keanggotaannya digantung oleh Bersatu) dan Wan Saiful Wan Jan yang telah dipecat.

Mereka kini disertai Saifuddin dan beberapa pemimpin peringkat bahagian, menyerang team Muhyiddin-Azmin atas risiko sendiri. As I see it, looks like Hamzah is letting others to fight his war, at least for now, dan PAS sehingga kini masih ambil sikap senyap dan sepi.

Bersatu (team presiden dan team antipresiden) dan PAS sedang ‘menyumpah’ (pinjam kata-kata seorang kawan) kerajaan Madani dan Anwar Ibrahim berkaitan Trump dan perjanjian dagangan Malaysia-AS. Krisis Bersatu ditenggelamkan.

Namun realitinya? Saya pernah guna ungkapan ‘Bersatu tidak bersatu’. Pernah juga tulis Bersatu bercerai. Tetapi ahli majlis kerja tertinggi Umno, Lokman Adam kata Bersatu sudah bersepai.

Potensi REE dan kebimbangan palsu Kelantan

Mahfuz Omar

Lucu juga apabila ada kerajaan negeri yang masih gagal menguruskan sampah, air dan banjir di tempat mereka tiba-tiba mahu bercerita tentang kedaulatan ekonomi global.

Perjanjian di antara Kuala Lumpur dan Washington yang mereka bimbangkan itu bukan perjanjian menjual unsur nadir bumi (REE) kepada AS sebaliknya sekadar kerjasama pelaburan dan teknologi.

Langkah itu diambil supaya Malaysia – termasuklah Kelantan – boleh memproses dan jana nilai tambah dalam negara.

Dasar ini selari dengan pendirian kerajaan Kelantan yang mahu REE diproses dalam negeri, dan bukannya digali serta dijual sebagau bahan mentah.

Maka, tidak ada percanggahan dasar di antara pusat dan negeri. Apa yang berbeza hanyalah persepsi terhadap niat sebenar perjanjian tersebut.

Hak negeri terhadap REE tidak terusik walaupun seinci sebab ia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Yang menakut-nakutkan rakyat kononnya hasil negeri akan dirampas melalui perjanjian berkenaan hanyalah cubaan menutup kelemahan sendiri.

Hasil ada, tapi pengurusan tiada.

Kerajaan Persekutuan hari ini bukan kerajaan era 1970-an yang merampas hak negeri. Dasar kita adalah jelas – bahan REE mesti diproses dalam negara, bukan dieksport mentah-mentah.

Ironinya, dasar ini sama seperti yang kerajaan Kelantan mereka dakwa sedang perjuangkan. Cuma bezanya ialah, pihak pusat bekerja membangunkan industri, bukan sekadar berceramah mengenainya.

Hakikatnya perjanjian Malaysia–AS itu bukan perjanjian jual negara. Ia adalah perjanjian perdagangan dua hala sama seperti perjanjian lain yang ditandatangani oleh banyak negara lain.

Tujuannya adalah untuk membuka pasaran, menarik pelaburan, dan mengukuhkan keyakinan ekonomi.

Tidak ada satu ayat pun dalam perjanjian tersebut yang menunjukkan kerajaan menyerahkan hak negeri kepada mana-mana kuasa luar. Justeru bidang REE kekal di bawah kuasa negeri.

Kalau nak melombong, kerajaan negeri tetap menjadi pihak yang berkuasa mengeluarkan lesen. Pihak persekutuan pula cuma mengawal dasar keselamatan, hal ehwal eksport, dan piawaian persekutuan.

Itu adalah amalan normal dalam mana-mana sistem federalisme.

Justeru mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan Kelantan lebih sibuk menyiapkan pelan industri sebenar berbanding menulis skrip drama politik lama mereka yang mengulang-ulang naratif “kami dizalimi lagi”.

Kelantan bolehlah mula menyiapkan dulu pelan industri air tuak Kelantan – suatu industri yang sudah lama wujud di Kelantan.

MAHFUZ OMAR ialah Naib Presiden Amanah dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

Lelaki tinggal ‘nota terakhir’ sebelum ditemukan tidak sedarkan diri

Buletin TV3

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditemukan bersama ‘nota terakhir’ dalam sebuah kereta berkunci di Taman Sri Endah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, lelaki itu ditemui oleh seorang rakannya yang kemudian memaklumkan kepada kakak mangsa pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa yang ke lokasi cuba mengejutkan mangsa, namun tiada tindak balas sebelum mereka memecahkan cermin kereta.

“Kakak mangsa yang memeriksa keadaan adiknya mendapati lelaki itu sudah tidak bernafas.

“Pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kematian mangsa pada 11.45 pagi,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati tiada kesan kecederaan atau berlaku kesan pergelutan pada tubuh mangsa.

“Hasil pemeriksaan telefon bimbit mangsa menemui nota dalam bahasa Mandarin yang dihantar kepada isterinya.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras,” katanya.

Gadis hilang ditemui mati dalam kereta kawasan parkir ‘mall’

CHERINE JON
Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam keretanya yang diparkir di sebuah pusat beli-belah di Kuching, semalam.
KUCHING – Misteri kehilangan seorang perempuan di Tabuan Jaya pada Sabtu lalu terjawab apabila ditemui meninggal di dalam keretanya yang diparkir di sebuah pusat beli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa berusia 24 tahun itu daripada orang awam kira-kira pukul 1.55 petang semalam.

“Si mati dijumpai dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan telah disahkan meninggal dunia oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Si mati merupakan orang yang dilaporkan hilang di kawasan Tabuan Jaya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik HUS untuk bedah siasat, siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Ketua Balai Polis Sekama, ASP Simon Renang di talian 016-8547803 dan Balai Polis Sekama di talian 082 332522 atau tampil di balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Hamzah Zainuddin sasaran sebenar tindakan disiplin Bersatu

Malaysiakini

Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin merupakan sasaran sebenar di sebalik tindakan pembersihan parti terhadap beberapa pemimpin kanan dan akar umbi, dakwa ahli parti yang digantung, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Machang itu menyifatkan tindakan menggantung dan memecat beberapa pemimpin utama – termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, serta empat ketua bahagian – sebagai satu “kegagalan luar biasa” yang menurutnya dibiarkan berlaku oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Wan Fayhsal mendakwa sesi soal siasat oleh Lembaga Disiplin Bersatu terhadap mereka banyak tertumpu kepada Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang.

“Sasaran utama lembaga disiplin yang telah kami sahkan juha pda hari ini. Dari saya dipanggil sampai ke hari ini, sasaran utama Lembaga disiplin mereka ingin bertanya apa peranan ketua pembangkang, mereka mahu tindakan dikenakan kepada ketua pembangkang.

"Sebab itulah kami-kami yang kena tindaka disiplin ni, hanya la collateral. Sasaran utama adalah YB Hamzah Zainuddin,” katanya sambil menuduh Muhyiddin membiarkan ‘kerosakan dalaman’ parti terus berlarutan.

“Sebab itulah kami buat sidang media pada hari ini sebab saya rasa rakyat dan ahli-ahli Bersatu perlu tahu apa yang ada pada harini adalah satu kepincangan yang luar biasa yang malangnya dibiarkan berterusan oleh presiden kami sendiri.

"Jadi satu benda yang mengecewakan, malah saya fikir sebab itu kami buat jelajah selamatkan maruah parti Bersatu untuk menerangkan kepada akar umbi,” tegasnya.

Wan Fayhsal turut mendedahkan sekurang-kurangnya tiga lagi pemimpin Bersatu peringkat negeri telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin hari ini dan berisiko digantung atau dipecat.

Pada 14 Okt lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Fayhsal untuk satu penggal serta memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, bersama empat ketua bahagian.

Lembaga berkenaan ketika itu menyatakan mereka didapati bersalah melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Bersatu.

Walaupun kenyataan rasmi tidak menyenaraikan butiran pelanggaran, difahamkan tindakan itu berkait dengan usaha mendesak Muhyiddin menyerahkan kepimpinan parti kepada Hamzah.

Pada sidang media sama, Wan Fayhsal mendakwa kepimpinan Bersatu gagal menjawab permintaan mereka untuk mengubah komposisi Lembaga Disiplin, termasuk menggantikan pengerusinya, Mohammed Radzi Abdul Manan.

“Walaubagaimanpun, sampai hari ini Lembaga disiplin yang bersidang masih lagi mengekalkan komposisi yang sama di mana pengerusinya ialah bapak mentua Naib Presiden Bersatu, Faizal Azumu dan tiga daripada ahli Lembaga disiplin tersebut berkhidmat dengan Dato Sri Azmin Ali.

"Jadi sebenarnya Lembaga disiplin Bersatu ni amat-amat biased, sebab itulah ketika kami dipanggil oleh Lembaga disiplin kami mintak dikecualikan sekurang-kurangnya dua ahli Lembaga disiplin tersebut iaitu pengerusi dan juga Shasha Lina, seorang peguam yang berkhidmat di bawah Azmin Ali.

"Jadi bagaimana mereka berdua ni nak menjalankan tugasan yang adil untuk menyiasat dakwaan kesemua kesalahan yang kami lakukan,” katanya.

Sebelum ini, Wan Saiful turut menyerang Azmin, selaku setiausaha agung Bersatu, dengan menuduhnya melakukan salah laku menjelang mesyuarat agung tahunan parti, selain mengungkit semula skandal peribadi bekas menteri itu.

Dalam kalangan ahli Bersatu, Azmin kini dilihat sebagai antara penyokong setia Muhyiddin.

Selain itu, Wan Fayhsal turut mempersoalkan kelewatan pelantikan dua lagi ahli Lembaga Rayuan Bersatu.

“Mengikut perlembagaan parti, korum Lembaga rayuan adalah tiga orang.

“Jadi sebenarnya Lembaga rayuan tidak dapat bersidang kerana tidak cukup ahli yang perlu dilantik oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

"Selagi mana Lembaga rayuaan tidak bersidang, selagi itulah tiada keputusan muktamad berkaitan kes-kes yang kami hadapi.

“Jadi, kalau tengokkan apa yang berlaku ni, lagi lambat benda ni diselesaikan rayuannya, ia satu kezaliman kepada kami sebab rayuan tidak boleh diproses...

"Jadi, kami nak bertanyalah kepada presiden kami (Muhyiddin), adakah ini sengaja dibuat supaya jawatan kami ni stergantung atau dibiarkan sebegitu,” katanya lagi.

Datuk bandar ‘check in’ hotel lebih 10 kali bersama suami orang

KOSMO
Ogawa memberikan penjelasan dalam sidang akhbar di Maebashi, Jepun. - ANN
TOKYO – Seorang datuk bandar di Jepun menerima kecaman ramai selepas mengaku menginap lebih 10 kali di sebuah ‘hotel cinta’ dengan rakan sekerjanya yang sudah berkahwin, lapor portal berita Must Share News. 

Datuk Bandar Maebashi, Akira Ogawa, 41, mengadakan sidang akhbar selepas berita dia bermalam  di ‘hotel cinta’ dengan pegawai bawahan itu tular.

Ogawa mengaku melawat hotel itu dengan pekerja terbabit, namun beliau menafikan mereka  menjalinkan hubungan sulit. 

Tambah Ogawa, mereka menginap di hotel tersebut lebih 10 kali sejak Februari lalu. 

“Ini adalah untuk mengelakkan pandangan serong dan membincangkan soal kerja dengan lebih selesa,” lapor akhbar Chosun Daily memetik kenyataan Ogawa. 

Pasangan itu pada awalnya bertemu di restoran, namun pekerja tersebut mencadangkan Ogawa untuk pergi ke hotel. 

Beliau turut menanggung semua perbelanjaan bagi setiap penginapan di hotel tersebut. 

Ogawa menyesal kerana tindakannya mencetuskan salah faham dan berhasrat untuk meneruskan peranan sebagai datuk bandar. – AGENSI

Dendam dipercayai motif dua beranak dibunuh - Polis

BERNAMA
LOKASI dua beranak yang ditemukan mati dibunuh dalam keadaan tragis di Kampung Sekolah, Juru. FOTO Arkib NSTP.
LOKASI dua beranak yang ditemukan mati dibunuh dalam keadaan tragis di Kampung Sekolah, Juru. FOTO Arkib NSTP.
Bukit Mertajam: Pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah Juru di sini pada 18 Oktober didapati bermotifkan dendam, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail.

Beliau yang enggan mendedahkan lebih lanjut berkata dapatan itu susulan penahanan suspek utama iaitu lelaki Nepal berusia 35 tahun di Selangor pada 24 Oktober semasa melarikan diri daripada pihak berkuasa.

"Reman terhadap suspek utama akan tamat esok dan polis akan memohon perintah itu disambung bagi melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azizee berkata dua lagi lelaki Nepal termasuk abang kepada suspek utama akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas perintah reman tamat esok.

Sebelum ini, media melaporkan Sariya Che Hin, 51, ditemukan maut di dapur manakala Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, di tingkat atas rumah sewa mereka.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun dan tiga lelaki Nepal bagi membantu siasatan.

Kelantan: Pasangan kekasih mengaku tak salah rompak barang kemas RM5.76 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pasir Mas atas pertuduhan merompak barang kemas bernilai RM5.76 juta dan bersubahat dengan perbuatan itu pada 21 Okt lalu.

Berita Harian melaporkan Wee Chin Ooi, 59, dan teman wanitanya, Wee Fei Fang, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Chin Ooi didakwa merompak barang kemas bernilai RM5.76 juta dan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di Kedai Pajak Gadai Aik Lee Jaya Sdn Bhd di Jalan Besar, dekat Pasir Mas pada 1 tengah hari 21 Okt lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan perlu disebat, jika sabit kesalahan.

Fei Fang pula didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 dan 109 akta sama kerana bersubahat dengan Chin Ooi melakukan rompakan itu dengan nilai, pada tempat, masa dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan tidak mencadangkan jaminan kepada dua tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Nov ini untuk serahan dokumen. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam K M Maalinni.

Media sebelum ini melaporkan pengurus sebuah premis pajak gadai dan teman lelakinya ditahan kerana dipercayai mendalangi rompakan di tempat kerjanya dengan melarikan barang kemas bernilai RM5.7 juta di Pasir Mas, Selasa lalu.

Zahid minta Khairy hantar borang sertai semula Umno

Malaysiakini 

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan akan kembali ke pangkuan Umno sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada 29 November ini.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan bekas ahli Parlimen Rembau itu sudah mendapat 'restu' pimpinan tertinggi Umno khususnya presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi untuk berbuat demikian.

Sumber berkata, isyarat restu berkenaan disampaikan oleh Ahmad Zahid kepada Khairy atau KJ yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM ketika timbalan perdana menteri itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.

"Pada pertemuan itu Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli Umno.

"Khairy dijangka membantu kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti.

“Ini memandangkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan parti nanti adalah seusia dan rakan-rakan politiknya," kata sumber itu.

Akhbar itu juga memetik sumber berkenaan sebagai berkata, Khairy turut dipertimbangkan untuk dinamakan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mewakili kawasan Parlimen Kepala Batas.

"Parlimen itu adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Berita Harian turut memetik sumber Umno yang memaklumkan, setakat hari ini, parti itu belum menerima sebarang surat permohonan daripada Khairy.

Khairy dipecat dari Umno pada Januari 2023 susulan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15. Namun sejak itu, dia berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya masih bersama Umno.

Pada PRU15, Khairy yang dipertaruhkan BN di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh. Biarpun tewas, dia mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah dominasi undi besar diperoleh PH di sana.

Biarpun PH berjaya mengekalkan kemenangan di Sungai Buloh apabila calonnya, R Ramanan menang di kerusi itu, undi majoriti diperoleh lawannya ketika itu merosot mendadak kepada hanya 2,693 undi.

Ia berbeza dengan pencapaian PRU terdahulu termasuk pada 2018, apabila kerusi Parlimen Sungai Buloh yang disandang oleh R Sivarasa daripada PKR memperoleh majoriti 26,634 undi.

Reezal harap ‘kepulangan’ KJ jadi kenyataan

‘Kasih dan cinta hanya pada Umno’, Reezal harap ‘kepulangan’ KJ jadi kenyataan

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Khairy Jamaluddin masih menaruh kasih dan kesetiaan mendalam terhadap Umno.

Reezal berkata, beliau sendiri bertemu bekas Ahli Parlimen Rembau itu baru-baru ini yang turut disertai Presiden Umno Zahid Hamidi dalam satu majlis perkahwinan di Perlis.

“Saya ada masa kenduri itu, saya ada sekali dengan dia, saya duduk dengan dia. Cuma satu benda saya boleh maklumkan memang kasih dan cinta Khairy ini hanya pada Umno sahaja. Itu saya boleh sahkan.

“Tapi (berkaitan dakwaan sertai semula Umno) bukan keputusan saya, keputusan pimpinan atasan dan keputusan MKT dan saya tidak bolehlah mendahului,” kata ketua Umno Kepala Batas kepada FMT.

Menerusi laporan Berita Harian, bekas menteri kesihatan itu dijangka kembali menyertai Umno menjelang PRN Sabah bulan depan selepas dikatakan mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi parti.

Sumber berkata, Zahid secara peribadi memberi isyarat restu itu kepada Khairy ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan anak Ketua Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.

Tetapi, sumber Umno berkata parti belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy setakat ini.

Katanya, BN turut mempertimbangkan untuk menamakan Khairy sebagai calon BN bagi PRU16 di kerusi Parlimen Kepala Batas, kawasan pernah diwakili bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk rekod, pada PRU lalu Reezal bertanding di Parlimen Kepala Batas namun kalah kepada calon PN, Siti Mastura Muhammad.

Mengulas spekulasi Khairy mungkin bertanding di kerusi itu jika kembali ke pangkuan Umno, Reezal enggan mengesahkan perkara berkenaan.

“Itu pun saya tak dapat nak sahkan. Saya ini ahli parti kan…benda itu akan ditentukan oleh pimpinan di peringkat atas,” katanya.

Bagaimanapun, Reezal menzahirkan harapan usaha membawa Khairy kembali ke dalam Umno menjadi kenyataan.

FMT telah menghubungi Khairy dan masih menunggu maklum balasnya.

Krisis Bersatu dah sampai tahap tiada jalan kembali

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Konflik dalaman Bersatu yang semakin meruncing boleh memusnahkan parti itu sebelum PRU akan datang sekiranya krisis kepimpinan yang berlaku tidak diselesaikan segera, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Bersatu kini berdepan dengan ancaman yang boleh memusnahkan parti kerana perebutan kuasa yang berlaku kini telah mencapai tahap tiada jalan kembali.

“Saya fikir amat sukar untuk Bersatu kekal teguh, bukan sahaja menjelang PRU16, malah dalam beberapa bulan akan datang. Pertelingkahan kini semakin terbuka, dengan desakan supaya presiden meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata Muhyiddin Yassin sepatutnya berundur ketika beliau pertama kali mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden, “tetapi beliau berpatah balik 180 darjah”.

“Kalau beliau berundur secara sukarela tanpa mempertahankan jawatan presiden, Bersatu tidak akan berada dalam situasi seperti sekarang,” katanya.

Menurut Azmi, harapan untuk menstabilkan parti kini bergantung kepada tindakan muktamad pimpinan tertinggi.

“Sama ada Muhyiddin kekal dan kumpulan Hamzah ditendang keluar, atau Muhyiddin berundur secara sukarela dan Hamzah ambil alih. Sesuatu mesti dilakukan jika Bersatu mahu terus hidup secara politik sebelum PRU16,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju bahawa krisis dalaman Bersatu semakin meruncing, tetapi beliau berpendapat parti itu tidak akan tewas dalam pilihan raya.

“Bersatu masih boleh bertanding selagi ia masih bersama PAS,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan memberi amaran bahawa Bersatu berisiko runtuh jika hubungannya dengan PAS semakin retak, dan ada risiko berlaku situasi ahli keluar parti beramai-ramai atau protes dalaman.

“Kalau Perikatan Nasional berpecah dan PAS meninggalkan Bersatu, Bersatu pasti berakhir,” katanya.

Walaupun krisis itu masih tertumpu di peringkat kepimpinan tertinggi dan belum memberi kesan besar kepada akar umbi, Mazlan berkata barisan kepimpinan mesti menerima realiti semasa dan melaksanakan proses pembaharuan segera.

“Ini situasi sukar untuk Muhyiddin. Pemimpin lama perlu bersedia melaksanakan proses peralihan kepada kepimpinan baharu secepat mungkin,” katanya.

Katanya, semakin ramai pemimpin kanan kini secara terbuka mendesak Muhyiddin meletak jawatan selepas seorang Ahli Parlimen dipecat dan seorang lagi digantung.

Dalam perhimpunan agung Bersatu bulan lalu, Muhyiddin mendedahkan bahawa ada pihak sedang mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya, menyebabkan beberapa perwakilan mendesak beliau berundur.

Kekecohan itu kemudiannya membawa kepada pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Saiful menuduh beberapa individu yang rapat dengan Muhyiddin menyebabkan hubungan antara kepimpinan tertinggi parti menjadi renggang, termasuk menamakan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, turut menyertai desakan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan presiden.

Tidak berapa lama selepas itu, beliau digugurkan sebagai ketua PN Pahang yang disandangnya sejak 2021.

Polis tahan lelaki tetak isteri, anak perempuan guna parang

Bernama

SIBU: Polis berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki menetak isteri dan anak perempuannya menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan kedua-duanya cedera parah di kediaman mereka di Permai Jaya di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata suspek berusia 57 tahun ditangkap pasukan petugas khas di kawasan Kanowit pada 4.15 petang tadi.

“Suspek akan direman di Mahkamah Sibu pada esok bagi membantu siasatan. Polis masih berusaha mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Zulkipli berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pergaduhan melibatkan kecederaan parah terhadap dua beranak kira-kira 7 pagi.

“Laporan polis diterima melalui panggilan kecemasan MERS 999 yang dibuat oleh seorang daripada mangsa, memaklumkan dia dan ibunya ditetak menggunakan parang oleh ayahnya sendiri,” jelasnya.

Susulan laporan itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mengesan suspek dan hasil tindakan pantas polis berjaya menangkapnya di Kanowit.

Akibat serangan itu, isteri suspek dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, manakala anak perempuan berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala tetapi dilaporkan stabil.

Tindakan berani wanita tendang pencuri motosikal menyebabkan pencuri lari lintang pukang

KOSMO
Salah seorang pencuri terjatuh daripada motosikal yang cuba dilarikan. - Tangkap layar media sosial
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi berani seorang wanita menggagalkan cubaan mencuri motosikal dengan menendang pencuri tersebut, lapor laman berita Detik hari ini.

Kejadian berlaku di Bogor, wilayah Jawa Barat.

Dalam video yang dimuat naik di laman sosial, salah seorang suspek dilihat cuba mencuri motosikal yang diparkir di tepi jalan sambil disaksikan oleh rakan subahatnya yang menunggang motosikal lain.

Suspek kemudian dilihat membuka kunci motosikal itu, namun ketika cuba melarikan diri, seorang wanita tiba-tiba berlari keluar ke arah mereka dari dalam kedai.

Wanita tersebut kemudian menolak dan menendang motosikal tersebut, menyebabkan pencuri terjatuh di atas jalan.

Kedua-dua pelaku kemudian melarikan diri sambil dikejar oleh wanita tersebut dan beberapa individu lain.

Ketua Polis Daerah Gunung Sindur, Pesuruhjaya Budi Santoso berkata, kedua-dua suspek sedang diburu, manakala motosikal curi itu ditinggalkan di tepi jalan. – AGENSI

Lelaki ini sempat telefon nenek sebelum maut dipatuk ‘king cobra’

KOSMO
Pekerja penyelamat menangkap ular tedung selar di kediaman mangsa. - Khaosod
BANGKOK – Seorang lelaki di Bang Sao Thong, wilayah Samut Prakan maut akibat dipatuk ular tedung selar (king cobra) selepas membuat panggilan telefon terakhir kepada neneknya, lapor laman berita Khaosod.

Mangsa yang berusia 39 tahun dikenali sebagai Mai. Mayatnya ditemukan di rumahnya sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) pada 23 Oktober lalu.

Penyiasat menemui kesan taring pada pergelangan tangan kiri mangsa dan menganggarkan bahawa dia telah meninggal dunia selama sekurang-kurangnya dua jam.

Nenek mangsa, Lek, 74, berkata, cucunya itu ada menghubunginya pada pukul 6.40 pagi (waktu tempatan) dan bertanya soalan aneh kepadanya.

“Adakah nenek menyayangi saya?” soal Mai.

Lek berkata, selepas menjawab soalan itu, Mai memberitahu bahawa dia dipatuk ular tedung selar.

“Dia meminta saya menguruskan beberapa perkara sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepadanya,” kata Lek.

Tambah Lek, Mai kemudian berdiam diri di hujung talian sebelum dia menghubungi cucunya yang lain untuk memeriksa keadaan Mai.

Polis yang tiba di kediaman Mai menemukan seekor ular tedung bersaiz hampir satu meter panjang di dalam rumah tersebut. 

Penangkap ular sukarelawan turut dipanggil untuk menangkap reptilia itu dengan selamat.

Penyiasat percaya bahawa mangsa yang tinggal bersendirian, berhadapan dengan ular itu selepas ia memasuki rumahnya dan cuba menangkap reptilia itu sendiri. – AGENSI

Mayat wanita ditemukan tanpa seurat benang, tangan terikat dalam semak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan terikat di kawasan semak di Seri Kembangan hari ini.

Harian Metro melaporkan Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad berkata, mayat dipercayai warganegara itu ditemukan oleh orang awam berhampiran bulatan Blue Water Estate, dan pihaknya menerima laporan pada kira-kira 3.45 petang.

Mangsa berketinggian 144cm, berambut perang melepasi paras bahu dan berkuku panjang. Dia turut memakai subang perak di kedua-dua telinga, serta gelang kain berwarna hijau dan merah dan memiliki tatu di tangan kanan.

Muhamad Farid berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-80742222.

Bau busuk bawa kepada penemuan mayat di kawasan semak di Seri Kembangan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Pasukan forensik dan unit K9 dilihat menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat berhampiran Jalan Anggerik, Seri Kembangan. – Foto NSTP
SERDANG: Misteri bau busuk berhampiran Jalan Anggerik, Seri Kembangan, terungkai apabila polis menemukan mayat manusia di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati lokasi penemuan mayat itu terletak kira-kira 900 meter dari Stesen KTM Serdang dan sebuah kawasan sunyi.

Difahamkan mayat berkenaan ditemui di kawasan semak berhampiran sebuah pencawang elektrik oleh orang awam kira-kira 3 petang tadi.

Pasukan forensik dan unit anjing pengesan (K9) dilihat berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Setakat ini tiada maklumat terperinci berhubung penemuan mayat berekaan namun Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.