"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rebut harta motif pembunuhan wanita ditemui maut dalam kereta, suspek lari ke luar negara – Polis

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TELUK INTAN: Perebutan harta dikenal pasti sebagai motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui dalam kereta, yang pemandunya turut bertindak menembak dan menikam seorang anggota polis dalam kejadian pada 7 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, bagaimanapun motif pembunuhan wanita berumur 62 tahun itu hanya boleh terungkai dengan penahanan suspek yang ketika ini dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara mengikut laluan tikus.

“Memang bermotifkan perebutan harta, di mana semua sembilan suspek yang ditahan sebelum ini ada hubungan kekeluargaan.

“Setakat yang kami maklum, usaha masih diperluaskan untuk menjejakinya. Dialah (suspek) yang memegang ‘kunci’ kepada keseluruhan insiden ini dan buat masa ini, kami hanya menumpukan kepada seorang suspek itu sahaja iaitu pemandu.

“Masih lagi dalam siasatan sama ada dia sendiri adalah ‘mastermind’ (dalang) kepada pembunuhan wanita itu atau tidak. Data Imigresen mengesahkan tiada maklumat dia keluar negara, jadi mungkin guna lorong tikus,” katanya.

Noor Hisam berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ter.. Paling Pahlawan Challenge anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy, di sini petang ini.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi 7 September lalu, seorang konstabel polis, Aziq Zulfikri Abdul Rajak, 26, cedera parah akibat ditembak dan ditikam oleh seorang suspek ketika cuba menahan sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan dekat Simpang Pulai, Ipoh.

Suspek berkenaan bertindak melarikan diri bersama pistol yang dirampas daripada anggota polis berkenaan justeru meninggalkan kereta berserta mayat seorang wanita warga emas berumur 62 tahun yang diletakkan di tempat duduk belakang sebuah Toyota Avanza.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, ketika ini anggota polis berkenaan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) namun stabil.

Isu istilah ‘kafir’, 2 pemimpin PAS dituduh main ‘wayang politik’

FMT Reporters

Khoo Poay Tiong persoal keikhlasan Dr Halimah Ali dan Awang Hashim menolak penggunaan istilah itu, mengambil kira sejarah parti itu.
 
Khoo Poay Tiong, Halimah Ali, Awang Hashim
Khoo Poay Tiong berkata, kenyataan Dr Halimah Ali dan Awang Hashim berhubung isu ‘kafir’ mungkin cubaan PAS raih sokongan pengundi bukan Melayu.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Kota Melaka Khoo Poay Tiong menuduh dua Ahli Parlimen PAS bermain ‘wayang politik murahan’, berhubung penggunaan istilah ‘kafir’ sebagai penghinaan, khususnya terhadap golongan bukan Islam.

Khoo mempersoalkan keikhlasan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim dalam kenyataan mereka baru-baru ini yang mengecam penggunaan gelaran tersebut.

Beliau berkata, kenyataan kedua-dua tokoh PAS itu mungkin sebahagian percubaan parti itu untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu ‘ketika parti itu mula kehilangan sokongan terasnya’.

Khoo yang juga Ketua DAP Melaka berkata, Awang Hashim sendiri pernah merujuk seorang Ahli Parlimen lain sebagai ‘kafir harbi’ ketika bertelagah di Dewan Rakyat pada 13 Ogos.

Selain itu, seorang ahli PAS dari Bachok, Kelantan, turut digugurkan daripada siri kempen PRK Nenggiri tahun lepas selepas dilaporkan menggelar DAP ‘kafir harbi’ pada satu ceramah.

“Sejak penubuhan kerajaan perpaduan pada 2022, ramai pemimpin PAS turut membuat dakwaan liar terhadap seteru politik mereka dalam cubaan mencemarkan kredibiliti mereka,” kata Khoo dalam kenyataan.

“Berlatarbelakangkan ini, kenyataan oleh Halimah dan Awang seolah-olah tidak lebih daripada sekadar paparan hipokrasi yang bertujuan mempamerkan imej kononnya ‘bertoleransi’.”

Terdahulu hari ini, Halimah yang juga ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, sebagai parti berprinsip dan berhasrat memayungi semua kaum, ahli PAS perlu memahami sensitiviti golongan yang mahu disantuni dan dilindungi.

Sementara itu, Awang Hashim turut bersetuju istilah yang menyinggung perasaan satu sama lain harus dielakkan penggunaannya, sebaliknya lebih wajar menggunakan istilah ‘bukan Islam’.

Bayi 2 bulan maut disyaki ditindih ibu sendiri ketika tidur

BERNAMA

Ipoh:Seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia akibat lemas selepas disyaki ditindih ibunya sendiri dalam kejadian di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua Kota Setia dekat Parit pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 18 September lalu, kira-kira 8.45 pagi.

"Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah otak membengkak dan paru-paru sembap akibat ditindih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 mendapati bayi terbabit lemas semasa sedang tidur bersama suspek, yang juga ibu kepada bayi itu kerana telah ditindih sehingga lemas atas katil yang sama.

Tangkapan telah di buat ke atas suspek, yang juga seorang wanita warga Indonesia. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Parit pada 22 September di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai," katanya.

Perak: Remaja lelaki maut terjatuh air terjun

ASLIZA MUSA
ANGGOTA bomba membawa turun mayat remaja lelaki yang maut selepas terjatuh dari Air Terjun Buntong di Menglembu hari ini.
IPOH – Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari air terjun di kawasan rekreasi Air Terjun Buntong dekat Menglembu di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Bayu Zaril Iman Zaharilizam berusia 17 tahun.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 11.26 pagi.

“Pihak bomba menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bantuan membawa mangsa turun selepas dipercayai terjatuh dari air terjun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sebaik sahaja sampai di lokasi tersebut, didapati seorang remaja lelaki cedera dan diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ketua Operasi seterusnya mengarahkan anggota untuk membawa mangsa turun dari lokasi kejadian ke kawasan kaki bukit dengan menggunakan pengusung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

AMANAH Kelantan kata, 'Lalat pun pening dengan Pas ini'

SITI NUR ZAWANI

AMANAH Kelantan menyindir pendirian terbaharu Pas berhubung isu kompaun RM100,000 terhadap dua akhbar tempatan dengan mengatakan “lalat pun pening” dengan kenyataan parti itu.

Kapsyen ringkas itu dimuat naik Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed di Facebook.

Ia berhubung tindakan Pas mengkritik kompaun yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Sin Chew Daily dan Sinar Harian.

Sin Chew sebelum ini didakwa memaparkan grafik Jalur Gemilang yang tidak lengkap, manakala Sinar Harian pula dikompaun kerana kesilapan dalam profil Ketua Polis Negara.

Pas dalam satu kenyataan semalam menganggap SKMM sebagai melampau dan membuli media supaya tunduk kepada tekanan politik tertentu serta kemahuan kerajaan.

Namun pada masa sama tular semula kenyataan lama Pas yang pernah menghentam Sin Chew dengan keras kerana menyiarkan grafik Jalur Gemilang tidak lengkap.

Malah Pemuda Pas sendiri ketika itu menegaskan bahawa permohonan maaf akhbar Sin Chew atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bukan tiket terlepas hukuman.

Ketua Pemudanya sendiri mahukan tindakan tegas diambil kerana mendakwa kesalahan itu cubaan halus untuk menghapuskan identiti kebangsaan dan mengguris maruah negara.

Kini, apabila akhbar tersebut dikenakan tindakan oleh SKMM, Pas pula tampil membela media berkenaan.

Wanita muda ditemui maut dalam bilik air

Austin Camoens

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 27 tahun ditemui maut dalam sebuah kondominium di Bandar Baru Sri Petaling, dekat sini semalam.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.35 pagi daripada tuan rumah yang tidak dapat menghubungi penyewanya.

Katanya, tuan rumah kemudian dimaklumkan oleh pihak pengurusan bangunan kondominium itu mengenai bau busuk yang datang dari sebuah unit.

“Satu pasukan peronda polis dihantar ke lokasi bersama tuan rumah dan seorang tukang kunci. Apabila pintu berjaya dibuka secara paksa, anggota polis menemui mayat penyewa itu dalam keadaan tergantung di dalam bilik air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat sudah mereput dengan bau yang kuat dan perubahan ketara pada kulit.

“Pemeriksaan awal mendapati rumah itu berkunci dari dalam dan barangan peribadi wanita terbabit, termasuk telefon bimbit dan beg tangan masih berada di tempat asal.

“Dia tinggal bersendirian sejak awal tahun ini dan dipercayai menjalankan perniagaan pakaian secara dalam talian,” katanya.

Tuan rumah memaklumkan kali terakhir bercakap dengan wanita itu adalah pada 4 September berkaitan tunggakan bayaran sewa.

Tambahnya, pegawai forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan seorang pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut berada di tempat kejadian dan mengesahkan kematian mangsa kira-kira jam 1.45 petang semalam.

“Polis akan mengambil keterangan lanjut daripada ahli keluarga mangsa,” katanya.

Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) dengan bedah siasat dijadual dijalankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.

Kerjasama Pas-Bersatu berisiko terburai

Harapandaily

Kelulusan usul menamakan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri oleh Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu dan tuntutan supaya Pas mengambil alih teraju Perikatan Nasional (PN) menimbulkan polemik besar antara dua parti pembangkang itu.

Penganalisis, Dr Yusri Ibrahim berpendapat, kem dalam Pas yang menentang penubuhan PN sebelum ini berkemungkinan besar Menyusun agenda bagi memisahkan Pas daripada Bersatu.

“Walau apapun tujuan, jika perkembangan ini gagal diurus dengan baik oleh kedua-dua pihak, kerjasama Pas-Bersatu berisiko terburai.

“Apatah lagi ada figura kepimpinan yang dilihat pro MN dan kurang mesra penubuhan PN sebelum ini kembali ke dalam Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat pasca muktamar tempoh hari,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, jentera dan penyokong Pas dijangka tidak bekerja sepenuhnya untuk memenangkan calon PN dari Bersatu atau ada yang bekerja untuk memastikan calon Bersatu tewas.

Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata demikian hasil pemerhatian lapangannya semasa PRU15.

Menurutnya, jentera pilihan raya Pas tidak bekerja untuk memastikan kemenangan Datuk Seri Azmin Ali di Parlimen Gombak.

“Kes hampir sama saya jumpa dalam pemerhatian lapangan PRN 2023 di Pulau Pinang, kerusi Bayan Lepas yang ditandingi Datuk Dominic Lau.

“Berdasarkan gelombang hijau yang sedang memuncak pada waktu itu, kerusi tersebut sebenarnya dalam radar kemenangan kepada PN.

“Namun, apabila perang besar berlaku antara Pas dan Gerakan untuk merebut kerusi tersebut, jentera dan penyokong PAS tidak bekerja sepenuhnya untuk menangkan PN.

“Atau dengan kata lain, ada yang bekerja untuk kalahkan Dominic Lau. Akhirnya, Datuk Dominic Lau kalah dengan 1,000 lebih majoriti,” kata Dr Yusri lagi.

Asyraf Wajdi: 'Pas cuba berunding dengan Anwar, Zahid tanpa pengetahuan Muhyiddin'

Firdaus Azil

KUALA LUMPUR: Sejarah telah menyaksikan Pas beberapa kali beralih arah demi kelangsungan politiknya, walaupun hingga dianggap ‘menikam belakang’ kawan dalam gagasan politik yang disertai, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, fakta menunjukkan Pas pernah bersama dengan hampir semua parti utama dalam negara, dan lebih memikirkan soal politik, berbanding UMNO yang tertumpu kepada soal dasar dan polisi negara.

Dakwa Asyraf Wajdi lagi, Pas pernah menghantar wakil untuk berunding dengan pimpinan Kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO).

Dan semua itu, tambahnya lagi, dilakukan tanpa pengetahuan rakan utama komponen Pas dalam Perikatan Nasional, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Kalau tengok Pas, dia fokus kepada politik. Dan kita macam UMNO, kita fikir polisi Kerajaan, negara, bila kalah (pada PRU 2018) baru tahu banyak benda tak buat, untuk kita wariskan perjuangan ini.

“Sebab itu kalau tanya saya tadi macam mana dengan politik di Kelantan. Nik Nazmi pernah bersama Pas, Keadilan pernah bersama dengan Pas, UMNO pernah bersama dengan Pas. Ini sejarahnya. Pas mana pernah kekal dengan rakan-rakan.

“Dalam diam-diam kita pun tahu. Anwar Ibrahim berapa kali beritahu kita, Pas menghantar wakil berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, Pas berjumpa dengan Zahid Hamidi tanpa diketahui oleh pimpinan Bersatu. Sebab saya tahu siapa yang jumpa, orang yang sama bawa kepada kami dulu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam podcast Lebih Masa kelolaan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengacara Nani Roslan yang diterbitkan pada Khamis.

LANGKAH SHERATON

Mengambil contoh peristiwa peralihan Kerajaan pada 2020, yang sinonim dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’, Asyraf Wajdi berkata, ketika itu Pas dan UMNO di dalam mesyuarat Muafakat Nasional bersetuju membentuk Kerajaan dengan Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan sahaja.

Beliau berkata, langkah itu diputuskan selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan lebih baik membentuk Kerajaan sementara, berbanding cadangan UMNO ketika itu iaitu terus mendesak untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

“Bila kita bersama dengan Kerajaan lepas Sheraton move dulu kita memang ada mesyuarat dengan Pas. Peringkat awal keputusan kita, kita tak mahu tubuhkan Kerajaan, kita nak pilihan raya. Sebab waktu itu (Datuk Seri) Najib kuat, tegas, dia kata no government will survive if it comes from backdoor. So, itu prinsip dia.

“Tetapi waktu tu Tuanku (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) titah tak boleh kata ada pilihan raya, Tuanku Sultan Pahang waktu tu Yang di-Pertuan Agong, ada mesyuarat Majlis Raja-raja, waktu itu kita keliru sikit boleh atau tidak Tuanku bubarkan parlimen kerana Perdana Menteri dah tak ada. Siapa nak beri nasihat?

“Lepas tu COVID-19 melanda, dan Tuanku kemudian minta kompromi. Sebab itu dalam mesyuarat penting di Tingkat 39 (Menara Dato Onn) akhirnya, saya ingat Hadi bangun dan beritahu – ‘macam ni lah … UMNO tak pernah berhadapan dengan pilihan raya sebagai pembangkang. Kami dah pernah.

“’Lebih baik kita masuk sekejap dalam Kerajaan, dan kita bubar, daripada kita jadi pembangkang’. Dan Itu mengubah pandangan semua kecuali Najib,” katanya lagi.

Rentetan itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO dan Pas akhirnya bersetuju untuk menyertai Kerajaan pimpinan Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan dan memberi laluan kepada Belanjawan dahulu, tetapi akhirnya ia tidak kesampaian.

Susulan itu, beliau berkata, Muhyiddin kemudian mencadangkan agar semua parti dalam Kerajaan menubuhkan Perikatan Nasional secara rasmi, bukan lagi sekadar gabungan longgar, namun ia tidak dipersetujui oleh UMNO ketika itu.

Malah, dakwa Asyraf Wajdi lagi, Pas juga menafikan menyertai PN sebagai jawatankuasa penaja ketika itu, biarpun ditanya beberapa kali dalam siri-siri mesyuarat Muafakat Nasional ketika itu.

“Kita tanya Pas dalam mesyuarat Muafakat Nasional, macam mana Pas kita dengar you ada? Saya ingat lagi (Setiausaha Agung Pas) Datuk Seri Takiyuddin depan saya. Dan dia jawab … sudah-sudahlah Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi), kan mesyuarat yang lepas kita dah buat penjelasan … bahawa kita tak akan sesekali libatkan diri dengan parti Perikatan Nasional, apatah lagi sebagai jawatankuasa protem. Dan itu diminitkan.

“Apa yang berlaku, Pilihan Raya Negeri Sabah, bubar saja, buat pengisytiharan Pas menyertai Perikatan Nasional. Sebab apa? Sebab perdana menterinya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dia boleh tikam belakang kita. Dia ada dalil-dalil dia. Tapi pokoknya UMNO tak pernah mengkhianati sesiapa. Sebab tu saya sebut, Sejarah UMNO bila berkawan kita tak pernah mengkhianati kawan-kawan. Yang tinggalkan orang lain bukan kita,” katanya lagi.

Malah dalam keadaan sekarang, Asyraf Wajdi berkata, Presiden UMNO sendiri mengakui berapa ramai (Pas) yang datang untuk berunding, tetapi ditolak kerana parti itu lebih mementingkan soal kestabilan negara dan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Sabah lapor polis, rumah disimbah cat merah

FMT Reporters

Aliakbar Gulasan berkata, laporan dibuat agar polis dapat siasat jika ada unsur khianat, selain pastikan keselamatan diri dan keluarganya.
aliakbar gulasan
Susulan rumahnya disimbah cat merah, Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan berkata, beliau tidak tuduh mana-mana pihak, cuma harap kejadian itu tidak berulang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan membuat laporan polis berikutan kediamannya disimbah cat merah oleh pihak yang tidak dikenali.

Beliau berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat sekiranya terdapat unsur khianat dalam insiden tersebut, selain mahu memastikan keselamatan diri dan keluarganya.

“Hari ini saya buat laporan polis sebab pagi tadi saya lihat pagar rumah saya disimbah cat, ada satu nota merah bertulis ‘Datuk’,” katanya di Facebook, menambah laporan dibuat di Balai Polis Alam Mesra, Kota Kinabalu.

“Seolah-olah kalau perkara ini berlaku merupakan satu ancaman, mungkin ugutan. Cuma secara peribadi saya tak menuduh mana-mana pihak yang melakukan perkara ini, cuma saya berharap jangan lagi berulang perkara seumpama ini.”

Tambahnya, jika perbuatan itu dilakukan kerana perbezaan politik, ia merupakan pendekatan lama yang tidak sihat.

“Biar kita beramal (politik) dengan demokrasi yang sihat, tenang, aman. Saya secara peribadi tak pernah dalam kempen-kempen atau dalam ceramah menyebut nama orang, caci maki atau guna perkataan kesat.

“Saya rasa kita bawa pergerakan kita dalam pentas politik, terutamanya kaedah dan nilai baik, santun dan saling hormat menghormati, itu lebih baik. Kita bawa Sabah untuk masa depan lebih tenteram dan lebih aman,” katanya.

Aliakbar merupakan Adun lantikan kerajaan pimpinan Hajiji Noor.

Pada Muktamar Tahunan PAS hujung minggu lepas, Perwakilan Shah Alam Mohamed Sukri Omar mencadangkan Aliakbar dinamakan calon ketua menteri Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Sabah akan datang.

Susulan itu, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar berkata, Aliakbar harus terlebih dahulu membuktikan kewibawaannya sebelum boleh dicalonkan menjadi ketua menteri.

Tambahnya, PAS tidak pernah menang sebarang kerusi di Sabah, sebaliknya hanya mempunyai Adun lantikan seperti Aliakbar.

Awal hari ini dilaporkan PAS Sabah tidak pernah membincangkan isu berkaitan cadangan memilih Aliakbar sebagai calon ketua menteri.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah berkata, segala keputusan mengenai kepimpinan negeri hanya akan dibincangkan secara muafakat dalam gabungan PN selepas menang pilihan raya, lapor Sinar Harian.

Lelaki mati beberapa jam selepas besarkan alat sulit

KOSMO!

TAIPEI – Seorang lelaki berusia 50 tahun di Taipei meninggal dunia beberapa jam selepas menjalani prosedur kosmetik membesarkan alat sulitnya yang menelan kos lebih NT$400,000 (RM56,000), lapor portal berita VnExpress semalam.

Polis  menahan pakar bedah terbabit yang sebelum ini pernah disabitkan kesalahan menyebabkan kematian dalam satu kes pembedahan lain.

Lelaki itu datang ke sebuah klinik estetik perubatan di Jalan Jinzhou, daerah Zhongshan, Taipei pada pagi 17 September lalu untuk menjalani apa yang digambarkan sebagai pembedahan pembesaran alat sulit.

Beliau dibius sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan prosedur selesai tidak lama sebelum tengah hari.

Mangsa kemudian berada di klinik tersebut untuk pemulihan, namun apabila kakitangan memeriksanya sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan), mereka mendapati lelaki berkenaan tidak bernafas dan tiada denyutan nadi.

Sebuah ambulans segera dipanggil, tetapi anggota paramedik mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebaik tiba di tempat kejadian, lapor stesen televisyen TVBS.

Kematian itu mengejutkan keluarganya yang bergegas ke klinik selepas dimaklumkan. 

Saudara kandung perempuaannya dilaporkan telah bersemuka dengan kakitangan, mempertikaikan jika doktor berkenaan mematuhi prosedur keselamatan standard dan sama ada fasiliti itu dilengkapi dengan baik untuk menjalankan pembedahan sedemikian.

Bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian. – AGENSI

Kelantan: Mudir dicekup kali ketiga kes ‘sentuh’ pelajar lelaki

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

TUMPAT – Seorang mudir di sebuah pondok, di sini dicekup buat kali ketiga bagi membantu siasatan berkait kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajarnya.

Menurut sumber, suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang remaja berusia 16 tahun yang merupakan pelajar di madrasah tersebut.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, dekat sini pada 11 September lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.

Mudir itu membayar jaminan sebanyak RM45,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Lelaki itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Suspek membayar ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE

Macam-macam gila ada: Lelaki bentang tilam, tidur tengah jalan

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan lelaki berbaring di atas tilam yang dibentangkan tengah jalan di Bengaluru. - X
NEW DELHI – Seorang lelaki di India menerima kecaman orang ramai apabila dirakam sengaja berbaring di tengah jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, lapor portal berita India Today. 

Kejadian berlaku berhampiran perhentian bas Universiti St. Joseph di Bengaluru, negeri Karnataka. 

Rakaman video kejadian dimuat naik di platform X oleh akaun @karnatakaportf menunjukkan lelaki itu berbaring di atas tilam yang dibentangkan di tengah jalan raya. 

Situasi bertambah teruk apabila pengguna jalan raya terpaksa berhenti dan mengelakkan kenderaan mereka daripada melanggar lelaki tersebut. 

Klip video itu mencatatkan lebih 180,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Lelaki itu bukan orang gila, dia memang sengaja!” kata seorang netizen. 

“Pemerintah pula masih tidur. Lelaki itu sepatutnya ditangkap,” kata pengguna media sosial lain. 

Rakaman video nahas UFO dimuat naik di Arkib

KOSMO!
IMEJ video yang menunjukkan serpihan UFO terhempas (kiri) dan lokasi mayat makhluk asing (kanan). - Foto CC Composite Editor
WASHINGTON – Satu rakaman video ‘The Roswell Incident’ berkaitan nahas objek terbang tidak dikenali (UFO)  dimuat naik secara senyap ke Arkib Negara, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita MailOnline semalam.

Rakaman berdurasi 22 minit itu sekali lagi mencetuskan minat terhadap insiden nahas terkenal tahun 1947 itu yang berlaku di gurun New Mexico.

Ia menggabungkan imej pegun dan rakaman kamera kawalan gerakan yang diperoleh daripada laporan Roswell yang telah diterbitkan dalam pelbagai majalah dan buku mengenai UFO.

Rakaman itu berakhir dengan imej hitam putih yang jelas menunjukkan sebuah tapak nahas dengan serpihan UFO bertaburan di sekeliling sebuah kawah besar.

Video itu segera tersebar di internet dengan pengguna media sosial mendakwa bahawa kawah tersebut kelihatan hampir sama dengan laporan saksi, mencadangkan ia mungkin gambar pertama tapak nahas UFO pada 1947.

Ketika itu, Mejar Jesse Marcel menemui serpihan daripada nahas tersebut, menggambarkan tempat kejadian sebagai kawasan luas yang penuh dengan serpihan logam.

Pakar UFO, Mark Lee bagaimanapun memberitahu akhbar Daily Mail bahawa imej kawah itu mungkin dimasukkan hanya untuk menambah elemen sensasi.

“Pada pendapat saya, ia sama ada satu penipuan. Pada hakikatnya bahawa ia dimasukkan ke dalam Arkib Negara tidak memberikan sebarang pengesahan saintifik,” katanya.

Mark juga menyatakan,‘makhluk asing’ dalam gambar itu hanyalah kes pareidolia, iaitu tindak balas psikologi apabila manusia melihat wajah atau objek yang dikenali dalam corak rawak. – AGENSI

Kecoh logo Maybank dipasang di Menara Merdeka 118

Harapandaily

Pemasangan logo Maybank di Menara Merdeka 118 dilihat mencetuskan perdebatan warganet di media sosial.

Rata-rata mempersoal pemasangan logo bank tersebut yang dibimbangi akan menghilangkan identiti bangunan yang menjadi mercu tanda negara itu.

Antaranya, pengguna Threads menerusi hantaran di akaun @mohammadazrin_typewritter, yang khuatir menara yang berilhamkan bentuk tangan Tunku Abdul Rahman ketika melaungkan “Merdeka!” itu akan dipanggil menara Maybank.

Malah, ada yang membandingan dengan menara KLCC yang walaupun dimiliki Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak pernah meletakkan logo syarikat minyak dan gas negara tersebut.

Ramai juga yang berpendapat warna kuning pada logo bank berkenaan tidak ‘kena’ dengan warna biru pada bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, Dubai itu.

Sehubungan itu, netizen mencadangkan kepada pihak Maybank untuk hanya memasang logo korporat mereka di dalam bangunan setinggi 678.9 meter itu.

Tular gaduh baling kerusi ketika upacara agama 10 individu ditahan

FMT Reporters

Suspek termasuk remaja 14 tahun itu ditahan selepas video pergaduhan mereka tular di media sosial.
10 individu tular gaduh baling kerusi fb pic 19925
Foto tular menunjukkan kejadian pergaduhan hingga membaling kerusi dalam kejadian di Segamat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seramai 10 individu termasuk remaja bawah umur ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan hingga membaling kerusi dalam kejadian tular di Segamat.

Timbalan Ketua Polis Segamat, Ng Swie Chat, berkata semua suspek berusia 14 hingga 56 tahun itu ditahan selepas video pergaduhan mereka tular di media sosial.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di Padang Awam Li Chi kira-kira 11.58 malam Rabu lalu.

“Soal siasat terhadap kesemua suspek yang ditahan dan mereka mengaku terbabit dalam pergaduhan itu.

“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa kerusi plastik yang dipercayai senjata digunakan semasa kejadian berlaku.

“Permit lesen pertunjukan wayang dan kugiran bagi upacara keagamaan juga dibatal serta-merta oleh Pejabat Daerah Segamat.

“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau (IPD) Segamat di talian 07-9324222,” katanya.

Kes peras ugut dan cabul pelajar, 3 anggota polis ditahan bantu siasatan

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pemerasan dan cabul membabitkan pelajar wanita dalam kejadian di Sentul Pasar, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan ditahan di sebuah restoran semalam.

“Penahanan itu bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pelajar wanita berkenaan.

“Semua individu terbabit direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini, tular laporan mendakwa pelajar wanita bersama teman lelakinya ditahan kumpulan anggota polis ketika berada di Jalan Sentul Pasar.

Wanita berkenaan mendakwa diperas dengan bayaran RM10,000, selain dipaksa untuk melakukan hubungan seks dengan salah seorang anggota polis berkenaan.

Berdasarkan laporan yang dibuat, dia turut dicabul seorang anggota polis ketika berbincang.

Susulan itu dia membuat laporan polis di Balai Polis Sentul untuk tindakan selanjutnya.

Pakatan PAS: Dua dah berkubur, satu mula tenat - Zuhdi

Malaysiakini 

Seorang bekas anggota Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memberi gambaran bahawa PN kini berada dalam keadaan “mulai tenat.”

Menurut Mohd Zuhdi Marsuki, PAS membentuk beberapa gabungan politik dalam tempoh sedekad lalu.

Katanya daripada tiga gabungan politik yang disertai PAS, dua sudah “berkubur.”

“Dalam tempoh 10 tahun, PAS telah membentuk tiga gabungan politik –  Gagasan, MN dan PN.

“Dua telah berkubur, satu sudah mulai tenat,” katannya dalam catatan ringkas di media sosial.

Gagasan yang dirujuk Mohd Zuhdi itu merujuk kepada pakatan politik Gagasan Sejahtera yang asalnya dibentuk PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pada Ogos 2016, sebelum disertai Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) kira-kira sebulan kemudian.

MN pula merujuk kepada Muafakat Nasional yang melibatkan PAS dan Umno.

Jika Gagasan tertubuh sebelum PRU ke-14, MN pula terbentuk selepas pilihan raya itu yang menyaksikan BN dikalahkan buat pertama kali dan PH menjadi kerajaan. Ia meletakkan PAS dan Umno-BN sama-sama menjadi pembangkang.

PAS kemudian mengambil langkah sepihak membentuk PN bersama Bersatu selepas kerajaan PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton. Menyertai gabungan itu kemudian adalah beberapa parti lebih kecil seperti Gerakan.

Bagaimanapun akhir-akhir ini hubungan di antara PAS dan Bersatu dilihat tegang ekoran pelbagai isu termasuk pencalonan perdana menteri, siapa yang lebih wajar mengetuai PN serta percaturan strategi menghadapi PRU.

Menyusul di bawah hantaran Mohd Zuhdi itu adalah beberapa reaksi, termasuk rasa kurang senang pengguna media sosial yang berpendapat bekas setiausaha politik menteri alam sekitar dan air itu tidak wajar membuat kenyataan sedemikian.

Kepada satu komen yang meminta kepastian jika Mohd Zuhdi melihat PN benar-benar tenat, bekas pensyarah kanan di Universiti Malaya itu menjawab: “Harapnya masih boleh diselamatkan lagi.”

Untuk rekod PAS bukanlah asing kepada langkah mengadakan gabungan politik. Sebelum Gagasan, MN dan PN, parti itu pernah menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 dan Pakatan Rakyat (bersama PKR dan DAP).

Lelaki disyaki cabul budak dalam tandas awam ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pekerja pembersihan sambilan ditahan polis semalam selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan sembilan tahun dalam kejadian di tandas awam di Kulai.

Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada nenek mangsa kira-kira 9.29 malam pada Ahad lalu.

“Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam, mangsa yang juga cucu pengadu telah dicabul oleh seorang lelaki ketika berada di dalam tandas awam terbabit.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan suspek kira-kira 5.45 petang pada Khamis di sekitar kawasan Kulai,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Tan berkata lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dikesan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah seksual.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada suspek turut terbabit dalam kes jenayah lain di dalam atau luar daerah Kulai,” katanya.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini untuk permohonan reman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Lelaki ditahan didakwa amang seksual kanak-kanak

Izz Laily Hussein

KULAI: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sekitar sini pada 5.45 petang tadi.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai, esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah seksual,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 57 tahun pada jam 9.29 malam 14 Sept lalu, mendakwa cucu perempuannya berusia sembilan tahun sembilan bulan dicabul kira-kira jam 7.30 malam.

Katanya, pengadu mendakwa perbuatan dilakukan suspek ketika mangsa berada dalam tandas awam di Jalan Jambu Air di sini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya yang memaklumkan pihaknya turut menyiasat pembabitan suspek dengan kes jenayah lain.

5 jam berpaut pada tiang elektrik

KOSMO!
DESH diselamatkan anggota penyelamat selepas berpaut pada sebatang tiang elektrik. - Foto PTI
NEW DELHI – Seorang lelaki berpaut pada tiang elektrik setinggi 50 meter selama hampir lima jam ketika arus deras sungai yang melimpah memenuhi kawasan darat di Premnagar, India, lapor laman berita The Times of India hari ini. 

Desh Pal, 45, berpaut ketika arus Sungai Tons yang bergelora mengganas dengan air dipenuhi lumpur ‘menelan’ segala yang ada di laluannya kelmarin.

Pada pukul 4 pagi (waktu tempatan), Desh yang dihanyutkan arus deras selepas sungai tiba-tiba melimpah, sempat memanjat tiang itu dalam keadaan terdesak. Ia merupakan satu-satunya tempat perlindungan daripada maut.

Ketika penduduk tempatan menyedari keberadaannya sekitar pukul 6.55 pagi (waktu tempatan), Desh sudah pun berpaut hampir tiga jam. 

Selama dua jam berikutnya, dia terus bertahan ketika pasukan penyelamat memulakan operasi menyelamat berisiko tinggi. 

Cubaan awal menghantar tali kepadanya menggunakan dron tidak berjaya.

Anggota-anggota penyelamat akhirnya berjaya melontarkan tali sebelum Desh mengikatnya pada tiang itu dalam keadaan lemah. 

Satu lagi tali dipasang pada papan iklan berhampiran, mewujudkan laluan rapuh tetapi penting.

Anggota penyelamat, Koperal Manmohan Singh kemudian menggunakan teknik ‘monyet merangkak’ di atas tali dan dia bergerak perlahan-lahan menuju ke arah Desh.

“Ketika saya sampai kepadanya, dia sudah terlalu letih dan hampir tidak memberi respons. Saya pakaikan dia abah-abah pada dada dan ikatkan pada tali yang telah dipasang supaya dia boleh menyeberang (ke tempat selamat),” kata Manmohan. – AGENSI

Pemandu maut, kereta terbakar selepas bertembung lori

Juwan Riduan
Kereta mangsa hangus dijilat api selepas berlanggar dengan sebuah lori di simpang SK Sandau, Lahad Datu, hari ini. – Foto ihsan bomba
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori sebelum hangus dijilat api di simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Sandau, di sini, hari ini.

Dalam nahas kira-kira jam 3.15 petang itu, kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa berusia 24 tahun terbakar sepenuhnya dipercayai akibat impak kuat perlanggaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.20 petang.

Susulan itu, katanya, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian, Toyota Vios itu didapati sudah terbakar 100 peratus. Pasukan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos gegelung.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.28 petang dan operasi ditamatkan 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Toyota Vios terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum kereta terbakar sepenuhnya. Mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dua lagi lelaki berusia 24 dan 34 tahun yang menaiki lori terbabit mengalami kecederaan serta dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

RM1 juta satu kerusi: Puad persoal dakwaan PAS guna dana tin Milo

Malaysiakini 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, mempersoalkan dakwaan PAS bahawa parti itu hanya bergantung kepada kutipan dana “tin milo” bagi membiayai kos kempen pilihan raya.

Puad membangkitkan isu tersebut susulan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menafikan Bersatu pernah menyalurkan dana politik kepada partinya. Sebaliknya, Sanusi mendakwa PAS mengumpul dana melalui sumbangan kecil daripada rakyat.

Namun, Puad menolak dakwaan itu sebagai tidak munasabah, dengan merujuk kepada kenyataan Sanusi sendiri sebelum ini bahawa kos untuk memenangi sebuah kerusi parlimen boleh mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta.

“Menjadi persoalan ialah, cukup ke duit kutipan tin milo? Walhal kos kempen setiap parlimen amat mahal. Sanusi kata, ‘1 parlimen 1 juta’,” sindir Puad.

Dalam kenyataannya, Puad turut mencabar Bersatu agar menyahut cabaran Sanusi dan mendedahkan butiran terperinci sekiranya memang wujud penyaluran dana politik kepada PAS.

“Bersatu mesti sahut cabaran Sanusi. Buktikan, Bersatu memang ada bagi dana politik kepada PAS. Berapa dan kepada siapa disalurkan?” katanya.

Dia menegaskan bahawa pendedahan terbuka sebegitu penting bagi merungkai kontroversi mengenai aliran kewangan dalam Perikatan Nasional (PN).

Puad turut menyindir bahawa Bersatu tidak perlu bimbang untuk mendedahkan butiran tersebut kerana tiada akta khusus yang mengawal dana politik ketika ini.

“Bersatu jangan bimbang. SPRM tidak kacau kerana akta dana politik belum wujud. Sebab itu SPRM tidak siasat ‘Wallahi, saya undi PAS’,” katanya.

Isu siapa yang membiayai parti bagi menghadapi pilihan raya mula panas apabila naib presiden PAS itu menegur parti komponen PN yang dianggapnya “mai (datang) bertanding syok saja" sedangkan mereka tidak memiliki jentera atau dana.

Dia yang juga menteri besar Kedah menegaskan dalam penggulungan muktamar baru-baru ini, dalam keadaan begitu pun Bersatu berhasrat mahu menjadi ketua dalam gabungan berkenaan.

Sehari kemudian bekas ketua setiausaha sulit kanan Muhyiddin Yassin semasa ahli politik itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad, mengingatkan bahawa bantuan dana yang diberikan oleh Bersatulah membolehkan PAS mencapai kejayaan memenangi 43 kerusi parlimen buat pertama kali.

“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya.

Kenyataan itu kemudian disangkal pula oleh Sanusi yang meminta Marzuki menjelaskan kepada siapa dana Bersatu itu diserahkan kepada PAS - khususnya di Kedah - tidak ada menerimanya.

Pengalaman parti politik yang pernah berkerjasama dengan PAS

Fathi Aris Omar

Cerita Bersatu dengan PAS ini sudah ditulis lama. Masa itu mereka tengah berbulan madu, maka ramailah penyokong PN datang komen.

Cuma saya hendak kongsi cerita Abang Hashim Bakar, orang lama dalam dalam politik sejak 1980-an (saya sunting): 

"Dulu-dulu, semasa saya bersama Semangat 46, kami bermesyuarat dengan Tengku Razaleigh Hamzah. 

"Beliau mengeluh, mana-mana kerusi yang hendak mati (bakal kalah) saja yang PAS bagi kepada kita (Semangat 46). 

"Begitu juga semasa saya dalam PKR Perlis, berlaku masalah serupa sahaja. 

"Seorang pemimpin PKR kena makan pil darah tinggi apabila berunding dengan PAS dalam bab pembahagian kerusi. 

"PAS memang parti tamak, biar kawan-kawan mampus, dia saja hidup. Sebab dia saja Isle, yang lain tidak cukup Isle!"

Bagi mereka yang belum baca, coretan di bawah ini sudah diterbit dua tahun lepas. Ulang siar di sini sebagai ingatan "perang terbuka" dalam PN saat ini:

Ada orang pertikai, kenapa saya dedah PAS sisihkan Bersatu di negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Di negeri lain, yang PN kalah, apa cerita? PAS korbankan dirinya untuk Bersatu atau sama juga? Sama sahaja! 

Kalau kita mahu faham PAS, kita kena sedar: 

1. PAS suka kerjasama, jarang ia bergerak solo sejak bersama BN 

2. PAS perlu kerjasama untuk keluar dari kubu (timur dan utara)

3. Jika perlu guna logo lain, tukar slogan, tukar retorik - PAS akan buat

4. Banyak kerjasamanya tidak bertahan lama (kecuali dengan PKR)

5. Jika dapat kuasa, PAS akan bolot kuasa 

6. Sebelum berkuasa, pengaruh parti sekutu tidak dibenar berkembang

7. Di tempat PAS tidak kuat, parti sekutu dibenar tanding banyak kerusi

8. Tapi PAS pilih kerusi sedap-sedap (boleh menang) walau tanding sikit

9. Selalu ungkit jentera PAS bantu parti sekutu (baru muncul)

10. Rela peralat apa sahaja cara, elok atau tidak, asalkan matlamat tercapai. 

Di bawah ini ditunjukkan peratusan kerusi yang PAS menang di enam negeri. Contohnya di Selangor.

Memang PAS bertanding 17 kerusi sahaja tetapi kerusi yang ia yakin menang. Bersatu memang bertanding 31 kerusi tetapi berapa dapat?

Sikit tidak apa tetapi banyak menang. PAS menang 10 daripada 17 kerusi (peratus PAS menang: 58.8 ). Bersatu menang 12, nampak macam banyak, tetapi pencapaiannya hanya 38.7 peratus.

Nampak tak? PAS ambil kerusi sedap-sedap. Tolak kerusi yang sukar dimenangi kepada sekutunya. Bersatu seronoklah dapat banyak kerusi tetapi tidak menang!

Maka, orang PAS boleh jaja cerita, memanglah Bersatu tidak boleh menang, ia tiada jentera. PAS ada jentera! Padahal memang tidak boleh ditembusi.

Tengok agihan kerusi Bersatu dan Gerakan di Kedah. Tiga kerusi melepas tetapi PAS goyang kaki dengan 21 kerusi. Prestasi 100 peratus! 

Tengok betul-betul. Kau orang boleh fikir sendiri apa itu PAS: 

Selangor (22-34) - PRN 2023
PAS: 10 per 17 (peratus menang: 58.8 )
Bersatu: 12 per 31 (38.7)

Pulau Pinang (11-29) - PRN 2023
PAS: 7 per 10 (peratus menang: 70.0)
Bersatu: 4 per 11 (36.4)

Negeri Sembilan (5-31) - PRN 2023
PAS: 3 per 13 (peratus menang: 23.1)
Bersatu: 2 per 16 (12.5)

Perlis (14-1) - PRU 2022
PAS: 9 per 9 (peratus menang: 100)
Bersatu: 5 per 6 (83.3)

Perak (26-33) - PRU 2022
PAS: 17 per 25 (peratus menang: 68.0)
Bersatu: 9 per 25 (36.0)

Pahang (25-17) - PRU 2022
PAS: 15 per 23 (peratus menang: 65.2)
Bersatu: 2 per 14 (14.3)

Sebagai perbandingan, tengok pula bagaimana PAS bolot kuasa di tiga lagi negeri. Bersatu tersisih, dapat exco belas ihsan PAS sahaja. 

Kita tidak akan faham kalau tidak banding PRN 2023 dengan PRU 2018. 

Sebab itu kita boleh sebut Bersatu ini sekadar makan "sisa-sisa nasi tambah" PAS. Kita tengok ni. 

Terengganu (32-0): 
PAS 27 Bersatu 5 (1 exco)
2018: PAS dapat 22 daripada 32 kerusi
2023: PAS kaut lagi 5 kerusi (jadi) 27, Bersatu 5

Kelantan (43-2): 
PAS 38 Bersatu 5 (1 exco)
2018: PAS dapat 37 daripada 45 kerusi
2023: PAS curi lagi 2 kerusi (jadi) 39, Bersatu 6

Kedah (33-3): 
PAS 21 Gerakan 1 Bersatu 11 (3 exco)
2018: PAS dapat 15 daripada 36 kerusi
2023: PAS bolot lagi 6 (jadi) 21 Gerakan 3 Bersatu 12

Kalau contoh-contoh ini bukan bukti PAS bolot dan tamak namanya, kita nak sebut apa? Licik? Putar alam? Gelojoh? 

TAMBAHAN: 

Cuba kita intai lima kerusi sisa-sisa yang PAS Terengganu tinggalkan untuk Bersatu. Semuanya kubu tradisi BN, termasuk kubu kuat Umno.

1. Telemong** (kubu kuat BN, tidak pernah ditembusi) 
2. Seberang Takir (kubu kuat BN, tidak pernah ditembusi)
3. Hulu Besut (kubu BN, PAS menang sekali - 1999)
4. Permaisuri (kubu BN, PAS menang sekali - 1999) 5. Kijal (kerusi Ahmad Said, PAS menang sekali - 1999).

** Bersatu nyaris tewas kali ini, 295 undi saja.

(coretan asal 24 Ogos 2023. Kemudian diterbit ulang pada 25 Ogos lepas di sini. Jika ada maklumat tersilap, mohon betulkan.)

Lima ditahan serang pengawal keselamatan hingga maut

Bernama

KUALA LUMPUR: Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang dengan senjata tajam dalam satu pergaduhan di kawasan rumah kedai di Semenyih, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata sebelum kejadian, pengawal keselamatan itu terlibat perselisihan faham dengan rakannya, iaitu seorang pemandu lori warga tempatan berusia 37 tahun, ketika sedang minum bersama empat rakan.

"Dalam kejadian di kawasan padang sebuah taman perumahan di Semenyih itu, pemandu lori berkenaan cedera di jari akibat terkena senjata tajam dan semua lima individu terbabit kemudian beredar dari lokasi.

"Pada kira-kira 4.30 pagi, pemandu lori bersama rakan-rakannya yang tidak berpuas hati telah pergi ke tempat tinggal pengawal keselamatan berusia 38 tahun itu, iaitu di deretan rumah kedai di kawasan Semenyih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Naazron berkata seorang daripada rakan pemandu lori itu menyerang pengawal keselamatan berkenaan dengan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan dan badan mangsa.

"Mangsa telah dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakannya sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini di Unit Forensik Hospital Kajang bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Naazron berkata lima lelaki berusia 31 hingga 37 tahun berkenaan ditahan bersama beberapa barang rampasan dan permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala pengawal keselamatan yang meninggal dunia mempunyai tujuh rekod jenayah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew melalui talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

Lelaki ditegur merokok serang suami isteri di restoran ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis telah menahan seorang lelaki berhubung kejadian serangan membabitkan sepasang suami isteri di sebuah restoran minggu lalu.

Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim memberitahu FMT bahawa suspek ditahan di Shah Alam dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret hari untuk perintah reman.

Kejadian di restoran pada Jumaat lalu itu tercetus apabila seorang wanita hamil dan suaminya menegur seorang lelaki supaya berhenti merokok, namun dia enggan.

Selepas ditegur buat kali ketiga, lelaki itu menghampiri pasangan tersebut dan menghembuskan asap rokok ke muka wanita berkenaan, sekali gus mencetuskan pertengkaran.

Lelaki itu, yang melihat wanita tersebut merakam dirinya sedang merokok, turut menepis telefon daripada tangannya sehingga berlaku tolak-menolak antara suspek dan mangsa.

Iqbal sebelum ini berkata kes itu disiasat mengikut kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan serta di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Sila ambil pengajaran: Kesal jadi 'alat' warga asing besarkan empayar

Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya menyesal selepas terbuai dengan ayat manis lelaki Pakistan yang rupa-rupanya ada niat lain mahu mempergunakan saya untuk membesarkan empayar perniagaan di sini," kata Adilah (bukan nama sebenar) yang berusia lingkungan 40-an.

Adilah adalah wanita tempatan yang terpedaya dengan janji manis bekas suami warga asing yang memujuk menggunakan namanya untuk mendapatkan lesen perniagaan dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beberapa tahun lalu.

Berkongsi kisahnya, Adilah berkata, dia yang membuka sebuah kedai makan sebelum itu sudah berkahwin dengan lelaki tempatan namun bekas suami pertamanya itu mengalami masalah kesihatan.

Katanya, dia kemudiannya mengenali bekas suami kedua warga asing berusia 40-an yang juga pemilik sebuah kedai perabot di kawasan berhampiran yang selalu datang ke kedai makan milik warga asing di sebelah premisnya.

"Perkenalan itu membawa perasaan suka dan saya kemudian menuntut fasakh sebelum berkahwin dengan lelaki warga asing itu yang mendakwa masih bujang.

"Pada awalnya kehidupan kami baik saja dan bekas suami kedua memang tak pernah bercakap mengenai hal perniagaannya.

"Tetapi tidak lama selepas itu dia mula berubah menjadi terlalu cemburu hingga saya tak boleh pergi ke mana-mana seorang diri dan dia juga memujuk saya membuat lesen perniagaan dan pendaftaran SSM untuk membesarkan empayar perniagaannya di sini," katanya.

Menurutnya, kerana menyayangi lelaki itu, dia menurut kemahuannya dan mengakui perniagaan warga asing itu semakin maju hingga membawa pulangan yang besar namun rahsianya yang mempunyai isteri di negara asal terbongkar.

Malah lebih mengejutkan bekas suaminya juga mempunyai seorang lagi isteri warga asing dan Adilah terasa dirinya dipermainkan dan dipergunakan untuk memberi kesenangan kepada orang lain.

"Dia rupanya memang sudah ada isteri di negara asal dan dia kahwin seorang lagi wanita asing selepas berkahwin dengan saya. Saya beri dia guna lesen perniagaan atas nama saya, besarkan lagi perniagaan perabot dia dan dapat untung besar tetapi dia tipu saya.

"Saya berasa menyesal dan terasa dipergunakan. Saya menuntut cerai kerana memang sudah tidak tahan dengan sikap cemburu buta dia selain beberapa isu lain namun dia memujuk kerana bimbang saya ambil semula lesen itu," katanya yang menetap di Lembah Klang.

Adilah berkata, selepas berpisah bekas suami masih menggunakan lesen perniagaan atas namanya dan membayar 'wang sewa' kepadanya untuk lesen berkenaan namun dia mengakui tindakan itu juga tidak wajar kerana memberi peluang kepada warga asing.

"Saya tahu tindakan berkenaan salah dan mahu ambil tindakan pembatalan lesen itu supaya dia tidak terus mempergunakan nama saya. Bagi saya perkahwinan dengan warga asing ini perlu lebih berhati-hati supaya apa yang dilalui tidak berlaku lagi," katanya.

(Medsos) Generasi penjaga memori: Satu hantaran satu sejarah

Mohamed Nasser Mohamed

Generasi muda adalah penjaga memori kita dan dengan setiap hantaran dimuat naik mereka sedang menulis sejarah akan dibaca, ditonton serta diraikan generasi akan datang.

Bangkitnya kesedaran baharu

Bayangkan seorang remaja di sebuah pekan kecil, duduk di beranda rumah kayu sambil merakam datuknya bercerita tentang zaman darurat. Rakaman itu dimuat naik ke TikTok, ditonton ratusan ribu orang, dan mencetus perbincangan hangat di ruangan komen. Inilah wajah baharu pewarisan sejarah: ringkas, digital, tetapi penuh makna.

Di hujung jari generasi muda, sejarah sedang bernafas semula. Di kafe hipster, di tangga bangunan bersejarah, bahkan di warung tepi jalan, kita melihat anak muda mengeluarkan telefon pintar mereka — bukan sekadar untuk swafoto, tetapi untuk merakam, menulis kapsyen dan memuat naik cerita yang menyentuh jiwa. Mereka mahu menghidupkan semula memori lama sebelum ia hilang bersama generasi terdahulu.

Gelombang ini semakin jelas kelihatan. Dari pameran seni di Kuala Lumpur hingga ke festival warisan di Kota Kinabalu, kita melihat barisan panjang pengunjung muda yang ingin mendengar kisah lama. Mereka sedar warisan bukan hanya monumen atau muzium, tetapi cara nenek moyang hidup, ketawa, memasak, menulis dan berjuang. Kini mereka berazam menjadikan media sosial sebagai jambatan antara masa lalu dan masa depan — satu hantaran pada satu masa.

Media sosial sebagai arkib rakyat

Instagram, TikTok dan YouTube kini menjadi arkib hidup. Akaun seperti @malaysianhistory, Projek 57, dan inisiatif digital di Sabah dan Sarawak memaparkan gambar pasar lama, masjid bersejarah, atau lukisan mural yang menceritakan kisah sebuah bandar. TikTok menjadi ‘kelas sejarah mini’ apabila pencipta berkongsi trivia tentang pahlawan tempatan atau kisah asal-usul nama pekan dalam format video pendek yang santai.

Usaha generasi muda ini selari inisiatif pemeliharaan warisan yang lebih formal. Di Sarawak, Taman Negara Niah dilindungi sebagai tapak arkeologi penting yang menceritakan kehidupan manusia prasejarah. Di Pulau Pinang, George Town Festival meraikan seni dan budaya setiap tahun, menggabungkan persembahan teater, pameran seni, kulinari warisan dan persembahan jalanan. Sementara itu, Rainforest World Music Festival (RWMF) di Sarawak menarik pemuzik dari seluruh dunia untuk meraikan muzik tradisional dan kontemporari, menghubungkan generasi muda dengan bunyi-bunyian etnik yang jarang didengar di arus perdana.

Baru-baru ini, Keretapi Sarong 2025 pula menjadi bukti bahawa budaya dan identiti boleh diraikan secara kolektif. Pada 13 Sept lalu, lebih 20,000 orang berhimpun di 11 stesen tren utama Lembah Klang, semuanya memakai sarung dan busana tradisional beraneka warna. Tema tahun ini, ‘Serumpun’, meraikan semangat perpaduan serantau dan keharmonian rakyat Malaysia.

Penyanyi Aina Abdul membuat penampilan di TRX, menyanyikan lagu patriotik seperti Warisan dan Asean, mencipta detik yang diraikan bukan sahaja di lokasi tetapi turut menjadi tular di media sosial. Acara ini membuktikan bahawa tradisi boleh dirayakan di ruang awam moden dan dikongsi semula secara digital, menjadikannya warisan hidup yang terus menghubungkan generasi.

Mengubah naratif, menghidupkan harapan

Langkah ini mengubah naratif Malaysia yang sering didominasi isu politik panas atau perbalahan kaum. Generasi digital memilih untuk mengangkat kisah yang menyatukan, bukan yang memecah-belahkan. Mereka bercerita tentang lauk pauk yang kita kongsi, seni bina yang jadi saksi hidup bersama, atau kisah nenek moyang yang merentas sempadan etnik.

Naratif baharu ini memberi harapan bahawa Malaysia boleh membina identiti inklusif. Sejarah tidak lagi sesuatu yang membosankan, tetapi sesuatu yang hidup dan boleh disentuh. Apabila anak muda memuat naik kisah tentang rumah kampung yang dipulihara atau rakaman wawancara bersama datuk yang pernah melalui zaman darurat, mereka sebenarnya sedang menulis semula buku teks yang lebih berjiwa.

Kreativiti: Dari humor ke dokumentari

Tidak semua usaha ini serius. Humor menjadi senjata ampuh menarik perhatian. Meme tentang peribahasa lama, video lucu tentang adat perkahwinan tradisi, atau remix lagu rakyat menjadi trending sound di TikTok. Pendekatan ini memudahkan penonton muda menerima ilmu tanpa terasa dipaksa.

Ada juga dokumentari mini yang lebih mendalam. Ada yang menjejak keris lama di kampung, ada yang merakam proses pembuatan wau atau songket, malah ada yang mencuba resipi nenek moyang lalu memuat naik reaksi mereka. Kreativiti ini menjadikan warisan sebagai sesuatu yang boleh dinikmati, bukan hanya dibaca.

Cabaran di era digital

Namun, cabaran besar tetap wujud. Tidak semua yang dikongsi sahih atau tepat. ‘Sejarah separuh masak’ boleh mengelirukan jika tidak disemak dengan sumber akademik. Ada juga bahaya apabila kisah warisan dipolitikkan atau digunakan untuk agenda tertentu.

Selain itu, wujud cabaran jangka hayat kandungan digital. Video, gambar dan kapsyen yang kita kongsi hari ini boleh hilang esok jika akaun dipadam, platform ditutup, atau algoritma menenggelamkannya. Ini menuntut pembinaan arkib digital nasional yang mesra pengguna, di mana hasil kerja belia dapat disimpan dengan selamat dan diakses oleh generasi akan datang.

Banyak bahasa dan dialek tempatan belum diiktiraf di platform digital, menjadikan carian kandungan sukar. Generasi muda juga perlu berdepan risiko buli siber atau kecaman apabila menyentuh topik sensitif. Oleh itu, pendidikan sivik dan literasi digital perlu diperkukuh. Pencipta kandungan memerlukan bimbingan untuk memahami etika dokumentasi, sensitiviti budaya, dan kepentingan menyemak fakta sebelum menyiarkan maklumat.

Peranan institusi dan masyarakat

Institusi rasmi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara, Jabatan Warisan Negara, muzium dan universiti boleh memainkan peranan sebagai mentor. Mereka boleh membuka arkib, memberikan akses kepada manuskrip lama, serta mengadakan bengkel untuk melatih generasi muda tentang cara mendokumentasi dengan betul.

Jabatan Warisan Negara juga giat menjalankan penyelidikan dan mendokumentasi warisan tidak ketara seperti tarian, muzik dan permainan tradisional. Acara baharu seperti Raintown Film Festival yang berlangsung di Taiping pula membuka ruang kepada pembikin filem muda untuk mengetengahkan kisah komuniti dan naratif sejarah setempat. Dengan lebih banyak ruang kreatif seperti ini, belia Malaysia dapat menjadikan seni filem, muzik dan media digital sebagai medium baharu untuk memelihara memori kolektif negara.

Satu hantaran, satu sejarah

Setiap generasi diberi peluang meninggalkan jejak. Generasi sebelum kita membina monumen, menulis hikayat, mencipta lagu rakyat. Generasi kini meninggalkan jejak dalam bentuk hantaran digital — gambar, video, kapsyen.

Apa yang dilakukan generasi ini bukan sekadar hobi, tetapi misi membina masa depan. Setiap foto lama yang diimbas, setiap kapsyen tentang bahasa ibunda, setiap video wawancara bersama warga emas — semuanya adalah usaha mengikat kita dengan akar sejarah.

Mungkin suatu hari nanti nama mereka tidak diingati, tetapi cerita yang mereka hidupkan akan terus bernafas. Di sinilah demokrasi budaya berfungsi — ketika rakyat sendiri menjadi kurator memori bangsa. Jika kita terus menyokong gelombang ini, Malaysia akan memiliki arkib hidup yang sentiasa berkembang, mudah dicapai, dan inklusif.

Hantaran-hantaran ini akan menjadi hikayat baharu Malaysia — bukan hanya dibaca di buku teks, tetapi di skrin masa depan. Generasi muda ini adalah penjaga memori kita. Dan dengan setiap hantaran yang mereka muat naik, mereka sedang menulis sejarah yang akan dibaca, ditonton, dan diraikan oleh generasi akan datang.

Budak 1 tahun muntah cacing dari hidung, mulut

KOSMO
Khaira sedang menjalani rawatan intensif di RSUD Bengkulu. - Istimewa
JAKARTA – Sekumpulan doktor di Seluma, wilayah Bengkulu terkejut apabila seorang kanak-kanak berumur 1 tahun memuntahkan cacing gelang dari mulut dan hidungnya, lapor laman berita Detik. 

Pesakit bernama Khaira Nur Sabrina sedang menjalani rawatan intensif di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Bengkulu. 

Ketua Jabatan Kesihatan Seluma, Rudi Syawaludin berkata, keadaan Khaira amat membimbangkan kerana badannya yang kecil dan disahkan menghidap penyakit paru-paru. 

“Hasil pemeriksaan doktor mendedahkan Khaira menghidap anemia, manakala paru-parunya penuh dengan larva. 

“Kakak pesakit yang dikenali sebagai Aprillia, 4, turut terkena jangkitan cacing gelang. Mereka kini dirawat di RSUD Bengkulu,” kata Rudi. 

Pakar dari Fakulti Perubatan Universiti Indonesia (FKUI), Prof Dr Saleha Sungkar berkata jangkitan itu boleh menyebabkan kekurangan zat makanan sehingga sistem imunisasi menjadi lemah. 

“Cacing boleh masuk ke dalam badan melalui buang air besar atau sentuhan dengan tanah yang tercemar,” katanya. – AGENSI

Kelantan: Bunuh rakan kerana cemburu isteri dipeluk

FMT Reporters

PETALING JAYA: Cemburu isteri dipeluk rakan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Myanmar di sebuah rumah kongsi kebun di Gua Musang minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam serbuan pada 7.30 pagi semalam di sebuah rumah kongsi, dua lagi lelaki berusia antara 30 hingga 46 tahun dan seorang wanita warga Myanmar, iaitu isteri suspek, turut ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, tambahnya.

Bercakap pada sidang akhbar di IPK Kelantan di Kota Bharu hari ini, Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek utama mengaku membunuh rakannya disebabkan cemburu.

Turut dirampas, sebilah parang tebas berhulu kayu, enam unit telefon, serta sehelai baju dan seluar, lapor Sinar Harian.

Dilaporkan 10 Sept lepas, seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher dan bahagian dada kiri di sebuah rumah kongsi di Sonchong.

Seorang kanak-kanak terpaksa bersunat di hospital gara-gara rakan gunting kemaluan

KOSMO
Gambar menunjukkan Tadika Aisyiyah Bustanul Athfal 10 Sangkrah. - Tribun
JAKARTA – Seorang kanak-kanak terpaksa dikhatankan di sebuah hospital selepas rakan sekelasnya secara tidak sengaja menggunting kemaluan mangsa di dalam kelas, lapor portal berita Lambe Turah 

Kejadian berlaku di Tadika Aisyiyah Bustanul Athfal 10 Sangkrah dalam wilayah Jawa Tengah. 

Ketua Pejabat Pendidikan Kota Solo, Dwi Ariyanto berkata, situasi itu tercetus selepas murid-murid membuat aktiviti memotong kertas. 

“Mereka mempunyai akses kepada gunting ketika guru tiada di dalam kelas.

“Kanak-kanak itu mengetahui cara berkhatan tetapi tidak sepenuhnya. Mereka menganggap proses sunat boleh dilakukan dengan gunting,” kata Dwi. 

Mangsa kemudian dibawa ke hospital berhampiran dan menjalani prosedur berkhatan. – AGENSI

Air paip berbau, rupanya mayat dalam tangki

Agensi
PIHAK polis membuat siasatan di lokasi kejadin seorang lelaki lemas di dalam tangki air sebuah bangunan. FOTO Agensi.
PIHAK polis membuat siasatan di lokasi kejadin seorang lelaki lemas di dalam tangki air sebuah bangunan. FOTO Agensi.
Taipei: Penduduk di Daerah Wenshan, Taipei, dikejutkan dengan bau busuk dari air paip sebelum menemui mayat seorang lelaki terapung di dalam tangki air di atas bumbung bangunan kediaman mereka.

Menurut ETtoday, mayat itu ditemui minggu lalu, apabila seorang juruteknik naik untuk membersihkan tangki berkenaan dan segera menghubungi polis.

Dalam pada itu, polis mendapati tangga dalaman menara air itu rosak dan mangsa dipercayai terjatuh ketika mencuba memanjatnya sebelum mati lemas.

Menurut laporan, mayat lelaki berkenaan dipercayai sudah mati antara dua hingga tiga hari.

Hasil pemeriksaan cap tapak tangan dan asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati mangsa dikenal pasti sebagai K, 40, seorang pekerja perobohan bangunan yang mempunyai rekod kesalahan mencuri.

Siasatan awal juga mendapati K dipercayai memasuki bangunan itu pada 9 September lalu, ketika kerja pembinaan sedang dijalankan.

Polis juga tidak menolak kemungkinan dia menceroboh untuk mencari barang berharga sebelum terjatuh ke dalam tangki air.

Penemuan itu turut menimbulkan kebimbangan kira-kira 50 penduduk mengenai risiko kesihatan akibat air yang mungkin tercemar.

Bagaimanapun, pakar forensik, Gao Dazheng, menjelaskan kebanyakan air isi rumah direbus sekali gus mengurangkan risiko keracunan atau jangkitan bakteria.

Katanya, walaupun 'air mayat' boleh meresap selepas tubuh direndam beberapa hari, merebus air menjadikan ia tidak memudaratkan meskipun berbau tidak menyenangkan.

Beliau menegaskan penduduk tidak perlu terlalu bimbang walaupun siasatan lanjut masih dijalankan.