"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inspektor, dua koperal polis dicekup disyaki curi wang RM45,000

ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes curi wang tunai sebanyak RM45,000 selepas mereka menyerbu rumah seorang pengedar pil kuda di Kampung Pasir Kelang Baru dekat Kuala Krai pada Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki berkata, pegawai yang berpangkat inspektor berusia lewat 30-an bersama dua anggota berpangkat koperal berusia 20 dan 30 tahun itu dicekup pada Jumaat lalu selepas pemilik rumah tersebut yang juga ibu kepada lelaki tersebut membuat laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang selepas tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai ke rumah mangsa.

“Ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumah sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga anak kepada pemilik rumah tersebut.

“Dalam serbuan itu, ketiga-tiga polis telah merampas sebanyak 1,000 biji pil kuda yang ada berada bersama lelaki itu. Susulan daripada tangkapan itu, ibu kepada lelaki yang diberkas itu mendakwa wang sejumlah RM45,000 yang berada di dalam rumah dipercayai turut hilang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, selepas kejadian tersebut, wanita itu terus tampil membuat laporan di IPD Kuala Krai.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk dakwaan yang mengatakan wang sejumlah RM45,000 hilang selepas serbuan dijalankan.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE


Tiada ulasan: