"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugutan PN tarik sokongan, gendang pilihan raya semakin rancak, jentera mula dihidupkan

BORHAN AHMAD

Pilihan raya umum ke 15 kini semakin dekat apabila Perikatan Nasional (PN) dikatakan akan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri apabila beliau tidak memenuhi persefahaman bertulis atau MoU antara mereka.

Antaranya melantik timbalan perdana menteri dari Bersatu dan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin setaraf dengan menteri mentor.

Jika itu berlaku, PM Ismail hanya ada dua pilihan, menerima tuntutan itu atau membubarkan Parlimen.

Jika tidak, kerajaan beliau akan hilang majoriti dan akan tumbang tidak sampai 10 bulan tarikh tamat tempoh penggal Parlimen kali ini.

Sementara itu, selepas selesai pemilihan pimpinan PKR baru-baru ini, parti-parti dalam Pakatan Harapan mula giat membuat persiapan pilihan raya.

Pagi ini AMANAH akan membuat perhimpunan jentera pilihan rayanya di Shah Alam sebelum membuat majlis makan malam untuk kutipan dana pilihan raya malam ini.

Menurut sumber AMANAH, majlis pelancaran jentera pilihan raya ini akan disempurnakan sendiri oleh Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu.

Malam ini, AMANAH secara rasmi mengajak para dermawan untuk membantu parti itu mempersiapkan jentera pilihan raya mereka dengan memberikan derma untuk mengisi Tabung Pilihanraya mereka.

Gendang pilihan raya mula dipalu oleh Umno apabila mereka mendesak kerajaan mempercepatkan pilihan raya umum ekoran kemenangan besar mereka dalam Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Antaranya Umno membuat perhimpunan khas dan meluluskan resolusi agar parti itu mengadakan pemilihan selepas pilihan raya umum atas alasan untuk mengelakkan perpecahan parti.

Pihak yang tertekan dengan keputusan ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Akan ada tekanan ke atas Ismail Sabri untuk memanfaatkan kemenangan besar kedua bagi BN semasa pilihan raya negeri sepanjang tempoh masa lima bulan,” kata James Chin, penganalisis politik dari Universiti Tasmania, kepada satu laman web, selepas Umno menang dalam PRN itu Johor.

PKR pula mula mempersiapkan jenteranya untuk menghadapi PRU – 15 dengan mula menamakan pengerusi negeri-negerinya.

Bintang yang kembali semula memimpin parti itu setelah menang Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dilantik mengetuai dua negeri utama PKR iaitu Wilayah Persekutuan dan Johor.

Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu, Pas dan Gerakan juga mula membuat persiapan dengan membuat perhimpunan negeri-negerinya.

Gabungan itu cuba sedaya mungkin untuk menampakkan mereka mendapat sokongan penuh apabila membuat dua perhimpunan awal di negeri yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perlancaran PN di Kelantan pada awal Julai lalu tergugat apabila didapati perhimpunan itu penuh dengan tindakan tidak wajar termasuk mengumpan dan menipu agar ramai yang datang ke perhimpunan itu.

“Sangat hebat dengan kehadiran luar biasa pada himpunan sempena pelancaran Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri Kelantan di sini, hari ini,” lapor Harakahdaily, lidah rasmi Pas tentang majlis itu.

Selepas sebulan, PN Terengganu pula dilancarkan di sebuah lagi negeri Pas iaitu Terengganu. Ia dilancarkan 30 Julai di perkarangan Masjid Rusila, Marang, kubu kuat Pas.

Pilihan raya umum Malaysia ke-14 (PRU-14) diadakan pada 9 Mei 2018. Ini bermakna, tempoh penggal yang ada akan tamat secara automatik pada 9 Mei 2023 tahun depan.

Jika Parlimen tidak dibubarkan oleh kerajaan Ismail Sabri yang ada, ia akan dibubarkan secara automatik pada tarikh itu dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh 9 Mei itu.

Tiada ulasan: