SITI NUR ZAWANI MISCON
Dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa melemparkan pelbagai tuduhan buruk dan memfitnah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan terdahulu berhubung manifesto PH.
Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dalam kenyataan balasnya hari ini mengkritik tindakan tersebut kerana menurutnya adalah sangat tidak adil memandangkan PH hanya mentadbir selama 22 bulan berbanding dengan kerosakan 60 tahun yang dilakukan pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.
“Dalam tempoh 22 bulan, tidak sampai separuh penggal pun PH berkuasa apabila kami digulingkan, kami telah dituduh bohong tidak tunai manifesto. Di sini kami perlu jawab,” katanya.
Beliau berkata, sebenarnya banyak perkara yang sempat ditukar dalam tempoh singkat itu antaranya membabitkan isu besar yang pernah dijadikan kontroversi iaitu penyelamatan aset Tabung Haji yang di akui oleh Audit Negara sendiri selain menyelamatkan RM555 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang diumum di Parlimen baru-baru ini.
Beliau kemudian memulangkan paku buah keras dengan bertanyakan semula kepada Hadi mengapa hingga sekarang masih tiada kedengaran langkah permulaan untuk membentangkan isu RUU355 yang pernah digembar gemburkan dahulu.
Selain itu ada 6 lagi soalan yang perlu dijawab Hadi;
1) Persoalan kami pula kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Perikatan Nasional. Mengapa hingga sekarang tiada kedengaran langsung langkah permulaan isu RUU355, hukum hudud serta perundangan Islam lain yang digembar-gemburkan dahulu di seluruh negara? Tiada kedengaran apa apa langkah permulaan pun.
2) Ditakdirkan Allah, satu hukuman yang amat berat dan tidak padan dengan kesalahan telah dijatuhkan oleh Mahkamah Marang di kawasan Presiden Pas ke atas seorang wanita baru baru ini.
Hukuman penjara 14 bulan telah dijatuhkan ke atas seorang ibu yang mengambil dua paket Milo bernilai RM73 untuk anaknya yang lapar.
Di manakah suara dan pembelaan wakil rakyat Pas dan PN dari kerajaan yang menggelar diri sebagai kerajaan pembela Melayu-Islam tentang isu ini? Terutama isu ini berlaku di bumi Parlimen Marang kawasan Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu sendiri.
Ini bukan tuduhan tetapi ini adalah fakta realiti perkara yang telah berlaku dan wakil wakil rakyat kerajaan yang kekal membisu.
3) Presiden Pas juga mendakwa PN telah berjaya mengatasi masalah ekonomi padahal masalah bekalan ayam dan telur ayam di Terengganu begitu buruk hingga pada suatu masa putus bekalan telur ayam.
11 orang penjual ayam di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu telah dikenakan kompaun RM500 seorang kerana menjual ayam pada harga lebih RM8.90 satu kilo di mana tidak lama selepas itu kerajaan sendiri menaikan harga kepada RM10.30.
4) Apabila flashmob membantah kenaikan harga barang di adakan di Kuala Terengganu, jalan-jalan utama telah ditutup dan ada yang dikenakan kompaun RM1,500 serta ramai dipanggil pihak polis untuk soal siasat di balai polis. Tiada tindakan seperti ini berlaku di negeri lain.
Apa yang kerajaan Melayu Islam takut sangat di Terengganu ini sehingga bertindak begitu sekali?
5) Perkara paling aneh dan mencuit hati adalah tuduhan kononnya manifesto PH yang dikatakan berbohong, keluar dari mulut Presiden Pas semasa Tan Sri Mahiaddin sendiri berada sebelah beliau di atas pentas program Pelancaran Perikatan Nasional di Terengganu.
Ironinya Tan Sri Mahiaddin adalah Presiden PBBM yang bertanggungjawab bersama menyediakan manifesto PH dan kini menjadi rakan akrab Pas dalam PN.
Dengan tuduhan-tuduhan di atas dan beberapa tuduhan serius lain, Pakatan Harapan sedang mengkaji untuk tindakan seterusnya.
6) Selain dari janji-janji manis tidak tertunai seperti RUU355 dan hudud, kerajaan Melayu-Islam PN patut memberi sedikit perhatian ke atas pembelaan hukuman berat 14 bulan penjara seorang wanita Melayu bernama Suhaini Mohd yang beragama Islam yang didakwa di Mahkamah Marang, iaitu di kawasan Presiden Pas dan juga Menteri Besar Terengganu- YB Datuk Seri Shamsuri.
Bagaimana nasib malang dan kemiskinan begitu rupa boleh dibenarkan berlaku di kawasan Presiden dan Naib Presiden Pas di Marang sendiri tanpa pembelaan yang sepatutnya?
Kerana itulah kami perlu mengingatkan kerajaan melalui flashmob tentang kesusahan rakyat di mana kerajaan tidak sepatutnya menghalang kami dari bersuara tentang penderitaan mereka dengan mengadakan berbagai sekatan dan halangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan