FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim mengeluarkan surat tuntutan undang-undang bagi menuntut Muhyiddin Yassin memohon maaf selepas mendakwa perdana menteri menerima RM15 juta sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor.
Peguam Anwar, SN Nair & Partners, berkata kenyataan Muhyiddin yang dibuat ketika ceramah Perikatan Nasional (PN) di Padang Serai adalah satu fitnah terhadap perdana menteri.
Menurut surat tuntutan itu, kenyataan presiden Bersatu yang disiarkan dalam satu video di TikTok hingga mendapat 1,100,000 tontonan, menuduh Anwar menyalahguna kuasa sebagai Ahli Parlimen, seorang pendosa, penipu dan juga tamak serta tidak beretika.
Tambahnya, tuduhan Muhyiddin itu dinafikan oleh kerajaan negeri Selangor dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Facebook dan dilaporkan FMT hari ini.
“Kenyataan media dan artikel FMT secara jelas dan tanpa sebarang keraguan mengesahkan penafian anak guam kamu. Bagaimapun, tanpa mengambil kira penafian ini, (kamu) bertindak dengan pengetahuan atau sengaja atau dengan cuai membuat video fitnah di Tiktok dan kenyataan fitnah,” kata kandungan surat itu.
Peguam menuntut Muhyiddin menarik balik video dan kenyataannya, membuat permohonan maaf terbuka dan berjanji tidak mengulangi kata-kata itu, jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.
Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli menafikan dakwaan Muhyiddin yang Anwar menerima RM15 juta semasa menjadi penasihat ekonomi negeri.
Sebaliknya, Anwar hanya menerima “gaji simbolik” RM1 semasa menjawat jawatan itu.
Beliau berkata, gaji diterima Anwar itu jelas tertera dalam Hansard DUN Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh ADUN.
Anwar dilantik sebagai penasihat ekonomi negeri pada 2009 ketika Khalid Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, setahun selepas gabungan Pakatan Rakyat menawan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-12.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan