FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang bekas calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu ditahan polis berhubung siasatan penggunaan senjata api tanpa lesen dan kebenaran, selepas wanita itu memuat naik video tersebut di media sosial.
Wanita dipercayai berumur 20-an itu pernah bertanding kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, wanita berkenaan bersama seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang dipercayai pengawal peribadinya ditahan kira-kira jam 10.20 malam semalam.
Ini susulan laporan diterima berkenaan satu video yang memaparkan wanita itu melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di sebuah kelab menembak di Selangor yang dimuatnaik di media sosial suspek, iaitu Tiktok dan Instagram.
Bagaimanapun, video tersebut telah dipadam tidak lama selepas itu.
“Pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, kelopak peluru, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Ku Mashariman berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan