"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sany akan bawa bukti penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion

Ilah Hafiz Aziz

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Sany Hamzan akan membawa bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sany berkata, setakat ini pihaknya mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, saya masih belum dipanggil oleh SPRM selepas membuat laporan polis pada 30 November lalu, tetapi saya bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pelbagai pihak berkuasa apabila dipanggil.

"Saya juga akan hadir dengan bukti-bukti yang menunjukkan pelanggaran serius itu berlaku," katanya kepada BH di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Taman Templer itu berkata, pihaknya setakat ini hanya meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan adil dan saksama.

"Sekiranya tiada kesalahan atau penyelewengan berlaku, kita terima sahaja tetapi setakat ini, kita musykil dengan perbelanjaan yang terlalu mewah oleh Perikatan Nasional (PN). Disebabkan itulah kita membuat laporan polis dan menuntut siasatan dibuka," katanya.

Sany berkata, pada esok, pihaknya akan ke Istana Negara bagi penyerahan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion itu.

SPRM dalam laporan media semalam dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Kelmarin, Anwar berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan tidak mungkin menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank, yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan sebelum ini adalah bernilai RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

Tiada ulasan: