"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Perpaduan: Sebuah catatan di belakang tabir

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

PADA 3 Disember lengkap sudah pembentukan anggota jemaah menteri. Kerajaan ini kerajaan perpaduan. Berada di dalamnya PH, BN, GPS, GRS, Warisan, PBM.

Idea kerajaan perpaduan dikemukakan sendiri oleh Yang Dipertuan Agong kepada ketua-ketua parti. Semua setuju kecuali PN.

Kerajaan perpaduan suatu formula ke arah kestabilan politik. Dari situ membawa kemakmuran ekonomi. Hasilnya kehidupan rakyat terjaga.

Saya berbangga menjadi sebahagian watak yang ikut menyumbang ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ini.

Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU15 diketahui pada 19 November 22.

Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti@gabungan membentuk kerajaan sendiri.

Semua parti @ gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ikut mendokong pendekatan ini. Pendekatan politik inklusif. Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh. Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dlm PKR.

Rangkaian ini berteraskan “trust & respect”. Bermula dgn PH itu sendiri. Hubungan sesama pimpinan cukup akrab. Anthony Loke, Guan Eng, Nga Kor Ming, Steven Sim, Gobind, Kula dan Mohd Sabu, Salahuddin, Dr Dzul, Mujahid, Husam, Khalid, Dr Hatta misalnya adalah rakan2 saya puluhan tahun. Kami saling memahami gerak politik satu sama lain.

Hubungan peribadi sekian lama dgn pimpinan BN khususnya UMNO, MIC dan MCA memudahkan saya berunding dan berbincang. Ahmad Zahid Hamidi, Wee Ka Siong dan Tan Sri Vicky dan Saravanan rakan dekat sejak puluhan tahun.

Rakan-rakan dari Sarawak termasuklah Joseph Salang, Alex Linggi, Tiong, Ibrahim Baki, Wan Junaidi sekadar menyebut beberapa nama amat mudah untuk diajak berbicara.

Shafie Afdal, Darell Leiking dan Hajiji dari Sabah juga kalangan teman yang ikut mendokong.

Sejurus keputusan PRU15 memaparkan tiada parti yang memperolehi majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dgn parti2 lain. Menjadi pembangkang bukannya satu pilihan. PH mesti menjadi kerajaan dan Anwar diletak sebagai Perdana Menteri.

Bermula dari situ saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti-parti bukan PH yg telah memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

Ternyata langkah yg diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala ide kerajaan perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh DYMM Yang Dipertuan Agong.

Beberapa pengajaran

1. Sentiasa amalkan pendekatan politik terbuka. Politik itu dinamik justru pendekatan politik juga harus fleksibel

2. Hurmat kawan dan lawan. Kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan

3. Sabar. Politik ini suatu marathon lambat mencapai destinasinya.

*Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ialah Menteri Dalam Negeri

Tiada ulasan: