"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haram hukumnya dan berdosa

Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

PETIKAN video aksi keterlaluan seorang pemuda yang mendapat kecaman netizen.

PETIKAN video aksi keterlaluan seorang pemuda yang mendapat kecaman netizen.

Kuala Lumpur: Tular di laman sosial video 'prank' keterlaluan seorang pemuda terhadap wanita di taman rekreasi di Semenyih, Selangor.

Menerusi video dimuat naik di TikTok itu, pemuda terbabit dilihat membawa kek sebelum menekup wajah seorang wanita dengan manisan berkenaan.

Wanita yang ketika itu duduk berehat bersama pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) berkerusi roda kelihatan terkejut kemudian bangun lalu menjerit ke arah pemuda terbabit.

Pemuda itu kemudian datang semula kepada wanita itu bagi memohon maaf dan menjelaskan apa dilakukannya adalah satu projek eksperimen sosial.

Jelas pemuda itu, dia lakukannya dengan tujuan menguji kesabaran wanita terbabit dalam menjaga anak istimewa dan melihat reaksi orang sekeliling.

Wanita itu mengakui berang dengan apa dilakukan pemuda terbabit namun memaafkannya.

Harian Metro cuba menghantar kiriman mesej di Instagram (IG) miliknya bagi mendapatkan ulasan pemuda terbabit susulan tindakannya mendapat kecaman dan mengunang kemarahan netizen kerana dianggap biadap.

Bagaimanapun, belum ada maklum balas diterima setakat ini malah tiada kenyataan dibuat menerusi TikTok atau IG pemuda terbabit bagi menjelaskan perkara sebenar sama ada wanita dalam video berkenaan benar-benar mangsa atau pelakon terbabit dalam menjayakan projeknya.

Dalam pada itu Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim ketika dihubungi Harian Metro berkata, haram hukumnya dan berdosa individu yang menganiaya insan lain dengan cara sebegitu.

"Niat yang baik untuk buat 'content' (kandungan video) sama sekali tidak boleh menghalalkan cara yang haram.

"Perbuatan memalukan dan menyakiti orang lain seperti ini adalah dilarang oleh Islam.

"Jika ditakdirkan, kakak itu (mangsa) tercedera, terbuta mata atau lain-lain yg memudaratkan, pemuda itu boleh disaman malah segala kerugian dihadapi mangsa wajib diganti rugi oleh pelaku dalam Islam," katanya.

Justeru, Mohd Izhar Ariff menasihati pemuda terbabit untuk berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan berkenaan.

"Nasib baik adik (pelaku) tak kena pukul dengan orang sekeliling.

"Sabar ada hadnya. Jangan menguji kesabaran orang lain dengan kerja tak cerdik.

"Apa pun, apa yang pemuda itu lakukan bukan budaya rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: