"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Naratif baru serangan PN - 'Anwar PM tak berfungsi'

Malaysiakini 

PN sebelum ini menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menyerang pihak lawan khususnya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PH.

Bagaimanapun naratif yang digunakan kali ini sedikit berbeza. Kini sasarannya adalah barisan kabinet, dengan pemimpin PN cuba menggambarkan Anwar sebagai perdana menteri yang tidak berfungsi (lame duck).

Ia selepas Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil menjustifikasikan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, dengan berkata calon menteri bukan ditentukan sendiri oleh Anwar.

Sebaliknya, kata Fahmi yang juga ketua penerangan PKR, calon jemaah menteri dalam kerajaan sekarang ditentukan oleh parti dan gabungan masing-masing yang terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS, Warisan, dan lain-lain.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menegaskan penjelasan Fahmi mengesahkan bahawa Anwar sememangnya "PM yang tidak berfungsi" (lame duck PM).

Ashraf, yang berulang kali menggunakan gelaran itu terhadap Anwar alam hantaran Facebook sejak semalam, berkata ahli parlimen Tambun itu perlu tunduk dan tiada kuasa atas segala tuntutan BN.

“Bayangkan apa lagi tuntutan ke hadapan? Prinsip telah digadai?" soal Ashraf.

Ashraf juga mendakwa ia telah menjejaskan kemampuan Anwar untuk melantik pemimpin PH yang bagus seperti Dr Dzulkefly Ahmad, apabila terpaksa melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz yang tewas di tangan pemimpin Amanah itu dalam PRU15.

"Sebab ‘tak ada kuasa’ bak kata macai, walhal Anwar dan pentaksub canang kata kerajaan Yang di-Pertuan Agong dan sokongan kepada kerajaan campuran diberikan tanpa syarat, (tetapi) tak letak Dr Dzulkefly itu sendiri pun dah tak kompeten. Tak lame duck?" soalnya.

“Banyak nama lebih baik diperakui rakan dari Amanah antaranya Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari, tetapi dia tidak melantik mereka. Sebaliknya, memilih Mohamad Sabu dan DAP tetap jadi pilihan.

“Ini bukan kerajaan reformasi, ini kerajaan parti politik ke kerajaan untuk rakyat?" soalnya lagi.

‘Siapa buat keputusan?'

Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afifi Bahardin turut mempersoalkan jika Anwar seorang perdana menteri yang tidak berfungsi.

"Adakah kita ada ketua kerajaan atau ini sebuah kerajaan tanpa perdana menteri yang berkesan?

"Jika Anwar terlalu lemah walaupun untuk tidak memasukkan kleptokrat dalam kabinetnya, bagaimana kerajaannya dapat memberi perubahan bermakna atau reformasi untuk rakyat?

"Lebih penting, ini kerajaan siapa? Siapa yang buat keputusan dalam kerajaan ini? Anwar atau Zahid yang berdepan 47 pertuduhan korupsi?" soal bekas pemimpin pemuda PKR itu lagi, mengulas kenyataan Fahmi.

Afif turut mengecam Fahmi yang menurutnya membuat percubaan "terdesak" untuk mempertahankan pelantikan menteri dengan berselindung di sebalik konsep kerajaan perpaduan.

"Fahmi dan anggota kerajaan BN-PH yang lain perlu henti ulang pembohongan bahawa kita ada kerajaan perpaduan di Malaysia. Kerajaan baru ini bukan kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Menurut Afif, kerajaan perpaduam adalah apabila semua parti diwakili dan memandangkan PN tiada dalam pentadbiran, PH sebenarnya mengetuai "kerajaan gabungan".

Pada 25 November lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menolak tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Dia juga mengesahkan PN akan menjadi pembangkang.

Semalam pula, dia mendakwa Anwar telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dilaungkan sepanjang kempen PRU, apabila melantik "kleptokrat" dalam kabinet.

Dia juga menyifatkan kabinet Anwar sebagai "paling mengecewakan dalam sejarah negara" apabila seorang yang perlu membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Presiden Bersatu itu juga mendakwa ada ahli parlimen yang dikenali dengan sikap "cauvinis melampau" dilantik menerajui kementerian tertentu.

Dia bagaimanapun tidak menyebut mana-mana nama secara khusus.

"Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet," katanya lagi.

Peralihan naratif oleh PN, dengan tumpuan terhadap tadbir urus, nampaknya diketuai Bersatu.

Sebelum ini, kebanyakan serangan terhadap kerajaan adalah dari PAS dengan retorik bernada kaum dan agama.

Namun, pada Khamis lalu Majlis Raja-Raja Melayu menggesa pemimpin politik tidak lagi membangkitkan isu kaum dan agama.

Tiada ulasan: