Aznan Bakar
Alhamdulillah, Jemaah Menteri kerajaan perpaduan telah berjaya dibentuk. Walaupun mengambil sedikit masa, iaitu hampir seminggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim angkat sumpah, disebabkan tawar-menawar, lobi-melobi dan sebagainya, namun kini kerajaan perpaduan sudah terbentuk untuk mengemudi negara.
Selain tanggungjawab besar di bahu perdana menteri yang juga menteri kewangan dalam memulihkan ekonomi negara, tumpuan rakyat sudah tentu kepada menteri-menteri yang memegang portfolio yang ada kaitan secara langsung dengan hidup rakyat.
Sumbangan besar Mohamad Sabu dan Rafizi Ramli sudah tentu dituntut kerana makanan dan ekonomi adalah dua subjek yang terus membelenggu rakyat ketika ini.
Rakyat tentunya mahu melihat kelantangan kritikan dua menteri ini ketika di pentas ceramah diterjemahkan kepada gerak kerja berkesan untuk membantu mengurangkan atau meringankan beban dipikul.
Rakyat tidak harapkan semua masalah ini selesai dalam sekelip mata, tetapi sekurang-kurangnya ada mekanisme untuk mereka bergantung harap.
Satu lagi elemen yang menarik dalam barisan Jemaah Menteri yang diumumkan Jumaat lalu adalah mereka yang kalah kelihatan lebih bertuah daripada yang menang.
Kalau tengok kepada rekod perkhidmatan sebelum ini, dua tiga orang individu yang kalah pada PRU15 lalu dan dilantik ke dalam Jemaah Menteri tidaklah cemerlang mana pun berbanding beberapa calon yang menang tetapi tidak dilantik.
Kalau dilihat pada komen-komen di media sosial ramai yang berkata, jika begini situasinya, tidak perlu ada pilihan raya. Lantik saja individu yang berkenan di hati sebagai Senator, lepas itu letak dalam Jemaah Menteri.
Tujuan pilihan raya adalah untuk beri mandat kepada rakyat memilih wakil mereka di Parlimen dan untuk parti yang menang letak wakil di Jemaah Menteri. Nampaknya mandat rakyat itu tidak ada nilai pun, sebab itu mereka yang terang-terang ditolak oleh pengundi mendapat keistimewaan dilantik menganggotai Jemaah Menteri. Nampaknya, pasca-PRU15 mereka yang kalah lebih bertuah. Itu adalah rezeki Allah Taala kepada mereka.
Bagi kategori kluster mahkamah, tidak perlu ulas kerana kita berpegang pada prinsip seseorang itu belum bersalah hingga mahkamah putuskan demikian. Cuma mungkin agak janggal apabila anggota Jemaah Menteri terpaksa hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah.
Media tempatan mungkin boleh memilih untuk tidak melaporkan, tetapi bagaimana dengan media antarabangsa? Pasti ia akan menjadi bahan berita utama mereka. Ibaratnya, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.
Apa pun kita mendoakan yang terbaik untuk Jemaah Menteri kerajaan perpaduan ini. Kita harapkan dengan kekuatan dan pengalaman yang ada pada Anwar, beliau akan dapat memimpin pasukannya untuk kembali menggemilangkan Malaysia.
Walaupun dengan berat hati, rakyat terimalah keputusan yang telah dibuat oleh pemimpin negara ini biar sebahagiannya tidak seperti apa yang kita mahukan.
Bagi pemimpin yang kalah pada PRU15 dan dilantik dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan ini, buktikanlah bahawa mereka dipilih kerana lebih berkualiti daripada yang menang. Bukan kerana kronisme, lobi atau guna kabel.
Rakyat sentiasa ada untuk menilai.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan