N Faizal Ghazali
BN dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan mencapai kesepakatan dalam pembahagian kerusi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata PH meminta 14 daripada 45 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan ia dipersetujui kedua-dua pihak.
"Ada kawasan parlimen yang PH minta bertanding di dua DUN, ada satu kerusi saja dan ada juga yang PH tidak bertanding di DUN dalam sesebuah Parlimen.
"Ini menunjukkan kerjasama dan proses agihan antara BN dan PH diselesaikan dengan baik serta berjalan lancar selain tiada bantahan berbangkit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Tambah Zawawi, BN akan mempertahankan calon mereka di kesemua DUN yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) 2018.
Ia membabitkan kerusi DUN Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Ayer Lanas, Kuala Balah, Nenggiri, Paloh dan Galas.
DUN Kelantan dijangka akan terbubar secara automatik apabila tamat penggal pada 26 Jun ini sekali gus memberi laluan PRN diadakan.
BN dan PH pastinya berdepan cabaran sukar dalam usaha memecah kekuasan PAS Kelantan yang mentadbir negeri Serambi Mekah itu sejak 33 tahun lalu.
Malah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu PAS berjaya menyapu bersih kesemua 14 kerusi parlimen di negeri itu.
Sementara itu sumber dalam PH memaklumkan, kerusi yang diberikan kepada PH terdiri daripada DUN Pasir Pekan, Panchor, Tanjong Mas, Kota Lama, Pengkalan Pasir, Chetok, Pasir Tumboh, Demit, Tawang, Kadok, Bukit Panau, Limbongan, Temangan dan Mengkebang.
"Setakat ini agihan kerusi itu dipersetujui di peringkat pimpinan negeri, namun PH mengharapkan tambahan beberapa kerusi lagi.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada perbincangan dan keputusan pimpinan tertinggi kedua-dua parti bagi menentukan agihan muktamad," katanya yang enggan didedahkan identitinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan