Isabelle Leong
Pengerusi PN Selangor Azmin Ali "mengisytiharkan" DUN negeri itu akan dibubarkan pada 19 Jun ini.
"Tak payah tunggu (menteri besar) Amirudin (Shari) umum, biar saya umum malam ini.
"Kalau PRN diumumkan (diadakan) awal atau pertengahan Ogos, insya-Allah, dengan izin Allah, PN akan bentuk kerajaan baru di Selangor," katanya ketika berceramah dalam program kempen PN di Tanjong Karang, Selangor malam tadi.
Pada 15 Mei lalu, Amirudin dilaporkan berkata dia akan mengadap Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu ketiga atau keempat Jun bagi memohon perkenan pembubaran DUN.
DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.
Lebih 4,000 hadirin - dengan kebanyakannya memakai baju PN - membanjiri Kompleks PAS Tanjong Karang malam tadi.
Antara pemimpin yang hadir adalah Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor, bekas ahli parlimen Tanjong Karang Noh Omar, Ketua Wanita Bersatu Rina Harun, Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari, Ahli Parlimen Kapar Halimah Ali dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim.
'Kerajaan luar tabii'
Dalam ceramahnya, Azmin menyifatkan PRN yang bakal diadakan sebagai "istimewa", menegaskan ia akan menjadi referendum rakyat untuk menunjukkan kemarahan terhadap "kerajaan luar tabii".
"Kita pernah dengar janji yang dibuat ketua Madani (Perdana Menteri Anwar Ibrahim). Bapa pembohong!
"Dalam kempen sebelum ini, (Anwar kata) 'hari ini saya bentuk kerajaan dan jadi PM, esok harga minyak turun'.
"Sudah jadi PM dan bentuk kerajaan, (tetapi) harga minyak tak turun," katanya lagi.
Meneruskan kritikannya terhadap kerajaan pimpinan bekas mentornya itu, Azmin membangkitkan beberapa perkara berkaitan ekonomi negara.
"Masalah inflasi tak selesai, kos sara hidup tak selesai, kemerosotan ringgit dan kadar dasar semalaman (OPR) tak selesai, ekonomi tak selesai.
"Kalau lihat pandangan pakar ekonomi, ada dua faktor yang menyebabkan kadar inflasi meningkat dan ringgit merudum.
"Pertamanya, kerana tiada dasar ekonomi yang komprehensif dan kedua, menteri ekonomi dan kerajaan lemah dari segi kepimpinan ekonomi dan kewangan.
"Maka saya kata ini adalah kerajaan gagal," katanya lagi.
Anwar membuat janji untuk menurunkan harga minyak ketika memimpin Pakatan Rakyat pada 2008. Dia sekali lagi mengulang perkara itu pada Julai tahun lalu.
'Tan Sri tunggu apa lagi?'
Azmin juga mengusik Noh dengan bertanya mengapa bekas pemimpin Umno itu belum menyertai Bersatu, di saat anaknya, Nurul Syazwani telah berbuat demikian.
"Jadi Tan Sri tunggu apa lagi? Anak dah masuk, ayah tunggu apa lagi? Rumah lama (Umno) bukan saja dah terbakar, (malah) dah ranap.
"Boleh saya umum hari ini? Tak apa, dia (Noh) ada strategi dia."
Umno memecat Noh pada Januari lalu kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti.
Dia kemudian mengisytiharkan akan bertanding dalam PRN akan datang dengan tiket PN. Namun dia setakat ini belum mengumumkan parti yang akan disertainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan