N S Ramli
Dua pegawai dan seorang anggota polis antara enam individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang bagi membantu siasatan kes pegawai kanan polis dipercayai menerima rasuah lebih RM1 juta.
Menurut sumber SPRM, dua pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang anggota polis berpangkat koperal itu ditahan bersama seorang lelaki tempatan yang merupakan orang awam.
Menurutnya mereka ditahan ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang, petang tadi.
"Mereka dipanggil bagi membantu siasatan kes seorang ketua polis daerah berusia 53 tahun yang disyaki menerima rasuah secara bulanan antara tahun 2017 hingga 2022.
"Suapan itu membabitkan jumlah antara RM20,000 hingga RM50,000 sebulan dan suspek utama dipercayai menerima lebih RM1 juta sepanjang tempoh itu," katanya.
Sumber itu turut memaklumkan SPRM Pahang juga menahan dua lagi anggota penguat kuasa imigresen berusia 41 dan 49 tahun petang tadi.
"Kedua-dua anggota imigresen yang ditahan itu disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik pusat urut di sekitar negeri ini bagi mempercepatkan proses pembaharuan permit kerja pekerja warga asing," katanya.
Pada 7 Jun lalu, SPRM Pahang menahan seorang ketua polis daerah di negeri ini kerana dipercayai menerima suapan lebih RM1 juta.
Suapan dikatakan diterima pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi di dalam daerah diketuainya.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Bin Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan keenam-enam individu terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan