FMT Reporters
Polis merampas sebuah Honda City serta pelbagai barangan milik suspek susulan penahanan mereka semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Dua lelaki termasuk penjawat awam ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam insiden mengejar sebuah kenderaan awam dengan menyamar sebagai polis, seperti yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang berusia 43 dan 48 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai pada 6 petang semalam.
Katanya, penahanan itu dilakukan di sebuah kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian.
“Seorang suspek adalah penjawat awam. Seorang lagi suspek masih bebas dan sedang dikesan.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati penjawat awam berkenaan tiada rekod, namun suspek kedua mempunyai rekod bersabit kes dadah” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Menurutnya, polis turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, satu ‘beacon light’ mudah alih, lampu suluh, ‘headlight’ dan sebuah Honda City serta anak kunci.
Katanya, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi dan seorang suspek direman dua hari.
“Permohonan reman ke atas suspek yang juga penjawat awam pula ditolak,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan barang.
Katanya, polis juga meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
Semalam, tular satu video dimuat naik oleh seorang pemilik akaun ‘Freeman Gan WT’ di laman Facebook memaparkan dirinya dikejar sebuah kereta yang menyamar sebagai pasukan polis semasa mangsa dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan