"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ: PRN Umno bungkus

Malaysiakini

Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin menjangkakan parti itu akan "bungkus" dalam pilihan raya di enam negeri akan datang.

Dia berkata demikian sebagai menjawab Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki yang secara sinis menjemput agar bekas ahli parti itu menghadiri Perhimpunan Agung Umno minggu ini.

"PRN Umno bungkus," katanya dalam ruangan komen Instagram kepada hantaran Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein mengenai jemputan PAU.

Hishamuddin menjawab: "Mereka yang mereka bro - kita terus maju ke hadapan"

Pada Januari, Khairy dipecat daripada Umno dan Hishammuddin digantung daripada parti selama enam tahun. Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha menyingkirkan pihak yang tak sejajar dengan Zahid.

Pada Ahad, Zahid berkata mereka yang "rindu parti" boleh hadir pada PAU sebagai pemerhati, tidak seperti tahun-tahun lepas di mana mereka akan menjadi sebahagian daripada perwakilan rasmi.

Sementara itu, Asyraf menyindir bahawa bekas ahli dialu-alukan untuk "memperbaharui sampin Umno mereka".

Hishamuddin berkata, kenyataan sindiran seperti itu adalah tidak perlu dan mencerminkan mentaliti kepimpinan Umno sekarang.

Sementara itu, bekas ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan turut mengulas kenyataan Asyraf - yang menurutnya "tiada kelas".

"Untuk berlaku adil kepada presiden (Zahid), kita pun pernah sindir dia di KS (podcast Keluar Sekejap)... dia nak sindir kita pun dan kita terima dengan penuh jenaka.

"Tapi yang tak style ni setiausaha agung la. Asyraf Wajdi ni, bagi saya macam, dia nak tikam dia tikam di belakang.

"Kita pun tau dia jumpa presiden sebelum masuk keputusan pemecatan, penggantungan, geng-geng yang baling batu sembunyi tangan tak sedap lah," katanya di podcast Keluar Sekejap, yang turut menampilkan Khairy Jamaluddin.

Tidak semua kepimpinan Umno sekarang dipandang buruk oleh bekas pemimpin Umno yang dipecat atau digantung.

Semasa podcast itu, Khairy memuji keputusan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh untuk tidak menjemput parti lain ke perhimpunan agung sayap Pemuda Umno.

Akmal menyatakan dia mahu menyelesaikan semua isu dalaman dalam sayap Pemuda Umno sebelum "menjemput orang luar untuk masuk dan duduk bersama kami".

Khairy - yang juga bekas ketua Pemuda Umno sendiri - berkata ini adalah satu tindakan yang terpuji, yang menunjukkan masih terdapat masalah dalam Umno yang perlu diselesaikan.

"Ya, saya ucapkan taniah kepada Akmal dan saya hantar mesej kepada beliau semalam.

"Ini baru ketua Pemuda yang berani, yang ada maruah dan saya kata 'you are a worthy successor' (anda pengganti yang layak). Yang sebelum tu tak worthy (layak) lah," katanya merujuk kepada Asyraf yang mengetuai Pemuda Umno dari 2018 sehingga pemilihan parti pada Februari tahun ini.

PAU akan bermula pada malam Rabu, dan akan berakhir pada Sabtu ini.

Tiada ulasan: