Isabelle Leong
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilihat meremehkan komitmen Anwar Ibrahim untuk membasmi miskin tegar di Malaysia, dengan mendakwa perdana menteri "tak tahu apa-apa" tentang kemiskinan.
"Dia (Anwar) cakap pasal orang miskin, dia pernah miskin?
"Dia anak pemimpin Umno. Bapa dia ahli parlimen, mak dia (anggota) Wanita Umno. Dia mengaji (belajar) di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar)," katanya ketika berceramah dalam program kempen PN di Tanjong Karang, Selangor malam tadi.
Lebih 4,000 hadirin - dengan kebanyakannya memakai baju PN - membanjiri Kompleks PAS Tanjong Karang.
Antara pemimpin yang hadir adalah Pengerusi PN Selangor Azmin Ali, bekas ahli parlimen Tanjong Karang Noh Omar, Ketua Wanita Bersatu Rina Harun, Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari, Ahli Parlimen Kapar Halimah Ali dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim.
Mengimbas kembali bagaimana dia membesar dalam keluarga yang miskin, di mana bapanya mengambil pelbagai pekerjaan untuk menyaranya dan 12 adik-beradik yang lain, Sanusi menegaskan dia tahu tentang masalah kemiskinan.
"Hang tak payah sembang bab miskin sebab hang tak tahu apa!
"Ini (kata) nak memuktamadkan (membasmi) kemiskinan...Tak usah sembanglah bos, hang berangan-angan saja," katanya yang juga pengarah pilihan raya PAS.
Katanya lagi, jika Anwar benar-benar mahu membasmi kemiskinan tegar, dia sepatutnya meluluskan hab logistik Kedah Aerotropolis.
"Dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Kedah kedua terendah selepas Kelantan.
"Walaupun produk banyak, kita tak ada pelabuhan. Barang-barang kita dieksport melalui pelabuhan di Pulau Pinang, Klang dan Singapura. KDNK kita dimasukkan ke dalam Pulau Pinang, Selangor dan Johor," katanya lagi.
Kedah Aerotropolis
Sanusi berkata dia telah menulis tiga pucuk surat kepada Anwar untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan projek tersebut, namun dia mendakwa Anwar menolaknya.
Dia mendakwa keengganan Anwar untuk meluluskan projek itu setelah dia enggan memohon maaf kerana didakwa memfitnah Anwar ketika kempen PRU lalu.
Dalam ucapannya di Tambun pada November lalu, Sanusi mengingatkan pengundi berkenaan Anwar yang pernah disabitkan bersalah atas tuduhan liwat dan salah guna berkuasa, dan menyifatkannya sebagai "muflis moral".
"Dia jiwa koyak, hati tisu. Nak jadi perdana menteri, hati tak boleh tisu.
"(Anwar) bukan hadapi Sanusi seorang saja, nak hadapi 32 juta rakyat Malaysia, beratus negara luar dan dasar luar mereka terhadap Malaysia. Nak hadapi tindakan perisikan antarabangsa yang nak pengaruhi dasar luar kita.
"Hati kita tak boleh tisu, jiwa kena kental. Tak boleh layan benda-benda hati tisu," katanya lagi.
Kedah Aerotropolis adalah projek mega yang antaranya merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim serta sebuah hab pembuatan dan logistik, yang menurut Sanusi tidak memerlukan dana persekutuan.
Sebelum ini dia berkata projek itu akan didanai oleh inisiatif swasta dan pelaburan syarikat tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan