"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ha ha ha! MULA-MULA MINTA TAMBAH KERUSI, LEPAS ITU MINTA JAWATAN MB PULA…

Shahbudin Husin
 
Sebagaimana dilaporkan media, Pengerusi UMNO/BN Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias mengesahkan gabungan itu ditawarkan 16 kerusi untuk ditandingi pada PRN akan datang ini.

Jumlah itu adalah status quo kerusi sedia ada yang dimiliki BN iaitu 15 kerusi yang dimenangi UMNO dan 1 MIC pada PRU tahun 2018 lalu.

Bilangan kerusi Dun di Negeri Sembilan ialah 36 di mana 20 kerusi lagi dimiliki PH iaitu DAP 11, PKR 6 dan Amanah 3.

Bagaimanapun Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, pihaknya telah meminta tambahan dua kerusi lagi daripada PH supaya kedua-dua gabungan itu mendapat agihan kerusi sama rata 18-18.

“Yang telah diselesaikan sekarang ini ialah status quo PH dapat 20 dan BN 16 kerusi.

“Jadi, kita teruskan mesyuarat, sebab saya minta supaya beri tambahan dua lagi kerusi.

“Ini supaya kita masuk PRN secara sama rata, kedua-dua pihak 18 kerusi masing-masing daripada jumlah 36 kerusi Dun yang ada,” ujar beliau.

Lihat tuan-tuan, inilah perangai UMNO…sudah ada 16 kerusi tetapi masih mahu tambahan dua lagi, kononnya supaya sama rata.

Tak cukup sudah dapat betis, sekarang nak paha pula.

Kenapa mahu tambahan kerusi lagi?

Tak cukup lagikah dengan 16 kerusi itu?

Apa mustahaknya BN mesti dapat kerusi yang sama rata dengan PH?

Lagi pun, siapa yang nak beri dua kerusi yang diminta UMNO itu?

UMNO sendiri, kalau kerusi yang sedang dimilikinya, sediakah ia memberi kepada PH?

Dengar cerita juga, Jalaluddin sendiri, meskipun sudah menjadi Ahli Parlimen Jelebu, turut berminat untuk bertanding di salah satu kerusi Dun dalam kawasan itu yang kini diwakili PH.

Dikatakan hasratnya bertanding di kerusi Dun itu adalah sebagai persiapan untuk memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menteri Besar sekarang, Aminuddin Harun diberitakan tidak akan mempertahankan lagi kerusi Dun Sikamat yang dipegangnya sekarang.

Selain ingin menumpukan tugas sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, Aminuddin juga disebut-sebut bakal dibawa ke pusat sebagai timbalan menteri dalam rombakan kabinet yang dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri selepas PRN nanti.

Disertai dengan PKR hanya bertanding enam kerusi dan mungkin tidak semuanya mampu dimenangi, di sinilah dikatakan UMNO/BNNegeri Sembilan melihat ada peluang untuk mereka mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Bagi tujuan itu, tidak cukup dengan jumlah 16 kerusi yang akan ditandingi, mereka kini meminta lagi tambahan dua kerusi konon atas alasan perlu sama rata dengan PH.

Dengan tambahan kerusi itu, jika mereka menang lebih banyak kerusi nanti, maka senanglah untuk memulakan desakan agar diberi kerusi Menteri Besar itu, walaupun hakikatnya kerusi itu adalah milik PH berdasarkan kemenangan pada PRU yang lalu.

Ikut logiknya, untuk apa UMNO/BN minta tambahan dua kerusi lagi jika mereka benar-benar kekal dengan semangat setiakawan yang jitu untuk memastikan PH dan BN kekal berkuasa serta bukan ada maksud lain selain daripada itu?

Apakah PH ini terlalu baik dan sedia memenuhi kehendak UMNO itu sehingga akhirnya nanti, jawatan Menteri Besar pun terkorban sama? – ShahbudinHusin 07/06/2023.

Tiada ulasan: