"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penguatkuasa makan gaji buta? Sudah 33 tahun warga asing ceroboh tanah, tanam sayur

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my

ANTARA Pati yang ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO NSTP

ANTARA Pati yang ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO NSTP

Puchong: Sekumpulan warga asing menjadikan tanah seluas empat ekar (kira-kira 1. 4 hektar) di Pulau Meranti di sini, sebagai penempatan haram yang lengkap dengan surau dan pelbagai kemudahan lain.

Mereka juga menceroboh kawasan itu dengan menanam pelbagai sayuran kontan untuk dijual kepada pemborong.

Difahamkan, mereka menjadikan kawasan grid pencawang elektrik itu sebagai kebun sayuran sejak 33 tahun lalu dengan menyewa tanah daripada penduduk tempatan dengan sewaan RM600 sebulan.

Bagaimanapun, kegiatan mereka akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu penempatan haram berkenaan.

Serbuan pada 1.30 pagi itu menahan 22 warga asing Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dilakukan hasil pemantauan selama sebulan dilakukan pihaknya.

"Pemeriksaan mendapati penempatan ini terdapat pelbagai kemudahan termasuk surau, sistem saluran air yang lengkap untuk mengusahakan kebun, set generator untuk membekalkan sumber elektrik dan pusat pengumpulan sayur-sayuran yang dilengkapi alat penimbang.

"Ketika serbuan, ada antara mereka melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan sanggup menyorok selama setengah jam.

"Daripada 22 tangkapan, 17 daripadanya adalah warga Indonesia dan lima warga Bangladesh," katanya pada sidang media selepas operasi terbabit.

Ruslin berkata, penempatan haram itu terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama.

"JIM akan membuat semakan dan rujukan kepada pihak berkaitan seperti pejabat tanah dan galian daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkenaan bagi mengenal pasti dan menentukan kesahihan pemilik sebenar tanah dan premis yang terbabit.

"Tindakan ke atas mana-mana pihak yang disyaki dan secara munasabah dipercayai melanggar perundangan Imigresen dengan memberi kebenaran kepada mana-mana imigran haram (Pati) untuk masuk dan tinggal di tanah miliknya boleh dikenakan ke atas mereka selaras dengan peruntukan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007

"Semua tangkapan dibawa ke pejabat JIM Selangor bagi proses dokumentasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Tiada ulasan: