"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suhaimi Sulaiman kecewa dengan Ustaz Don

Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Tugas dia dalam program ini hanya bertanya soalan seperti wartawan, tak perlu nak 'membedah' hadis atau menyampaikan dakwah menggunakan hadis yang tidak sahih," kata Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengenai penamatan khidmat pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1 selepas sekali lagi mencetuskan kontroversi semalam.

Suhaimi ketika dihubungi Harian Metro berkata, beliau terkilan dan marah dengan sikap pendakwah itu yang seolah-olah tidak serik walaupun sudah ditegur berulang kali agar berhati-hati dalam percakapannya.

"Sudah tentu saya rasa geram dan sedih sebab kami sudah berbincang dan menegur perkara ini. Malah, dia juga sedar dan memohon maaf seandainya ada kesilapan yang dilakukan dalam program itu.

"Saya sangat terkilan apabila dia tidak mengikut garis panduan yang sudah diberikan. Malah, pihak produksi juga sudah pesan supaya berhati-hati dalam setiap perkongsian yang ingin dibuat.

"Kalau boleh kami nak jauh daripada kontroversi sebab objektif program ini nak dapatkan perkhabaran dari Tanah Suci Makkah sempena musim Haji," katanya.

Menurut Suhaimi, Ustaz Don sepatutnya peka kepada arahan yang diberikan selepas diberikan peluang kedua kepadanya.

"Dia kenalah ikut apa yang kami minta. Kami berusaha keras untuk dapatkan pertolongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pakar agama untuk membenarkan dia kembali bertugas dalam program Salam Baitullah ini.

"Dia kena tahu yang kami sentiasa bekerjasama dengan pihak yang pakar, tapi dia tetap juga nak merujuk hadis yang lemah sekali gus mengundang pertikaian sesama agamawan," katanya.

Dalam pada itu, pengurus Ustaz Don dikenali Anna ketika dihubungi memaklumkan Ustaz Don bakal mengadakan sidang media berhubung isu yang berlaku di sebuah lokasi di Putrajaya malam ini.

Terdahulu dalam siaran langsung semalam, Ustaz Don menyatakan hadis memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah apabila program itu dihadiri oleh gurunya, Ustaz Kazim Elias sebagai tetamu jemputan.

Perkongsian Ustaz Don itu sekali lagi mengundang kontroversi selain dibantah oleh pakar bidang hadis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle yang mendakwa lafaz yang dinyatakan oleh Ustaz Don itu tidak dapat dijumpai sanadnya.

Muhamad Rozaimi yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis berkata, selepas menyemak tiga nama kitab yang diberi Ustaz Don, beliau mendapati hadis yang dibacakan dalam siaran langsung itu tidak ditemui asalnya dan tidak diketahui sanadnya.

Muhamad Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkata, bagi kitab Tanqih al-Qaul pula ada syarah kepada Lubab al-Hadith, manakala al-Durrah al-Yatimah juga bukanlah kitab hadis primer kerana tidak menyatakan sanad bagi hadis ini.

Sebelum ini, Ustaz Don 'direhatkan' hampir seminggu selepas kontroversi dirinya menyebarkan hadis serta cerita berkenaan cinta pertama Nabi Muhammad SAW dengan Ummu Hani' yang dianggap lemah dan tidak bersumber.

Kemudian, beliau kembali ligat mengemudi program itu selepas membuat kemunculan semula kelmarin.

Tiada ulasan: