Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
PETALING JAYA: Datuk dan nenek sebelah bapa kepada kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemui mati dibunuh pada 6 Disember lalu, ditahan polis petang ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan pasangan terbabit ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan.
"Ya, datuk dan nenek, ditangkap dalam jam 2.30 petang hari ini. Mereka ditahan di Subang Bistari.
"Permohonan reman ke atas mereka akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya esok," katanya.
Difahamkan, kedua-duanya ditahan anggota D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Selangor.
Terdahulu, pasangan itu dilihat hadir di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, ketika ibu kepada kanak-kanak malang itu dibawa menghadiri prosiding merekod keterangan di hadapan majistret.
Sementara itu, peguam kepada bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin, ketika dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan pasangan suami isteri terbabit enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, media melaporkan nasib ibu bapa Zayn Rayyan yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh anak terbabit akan diketahui esok, sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis.
Fahmi berkata, reman terhadap suami isteri itu tidak akan disambung lagi selepas direman selama 13 hari berakhir esok.
"Esok adalah hari terakhir (ibu bapa Zayn) direman, hari ke-13. Esok adalah keputusan, saya percaya kertas siasatan sudah sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Mereka (AGC) akan akses dan teliti serta lihat dan membuat keputusan esok sama ada lepas dengan jaminan polis atau dituduh.
"Semua kena bersabar dan kita tunggu esok. Penekanan kami seperti rakyat Malaysia ingin nasib arwah (Zayn Rayyan) dibela dan diberi keadilan," katanya ketika ditemui media di lobi Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Terdahulu, BH melaporkan pegawai penyiasat polis didakwa membawa ibu Zayn Rayyan Abdul Matiiin ke Mahkamah Majistret hari ini untuk memohon bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme berkenaan.
Peguam bela ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat, dipetik berkata pihaknya membantah permohonan terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.
Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Sementara itu, Mahmud Jumaat, senada dengan Fahmi bahawa pasangan terbabit sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis akan diketahui esok.
"Saya mohon orang ramai memberi kerjasama. Kita hormati proses siasatan dan esok kita boleh mendengar dan melihat pertuduhan dibuat serta hasil siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan