"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ubah status tanah rizab Melayu, SPRM panggil bekas exco Perak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa bekas exco Perak berhubung siasatan kes memberi rasuah bagi mengubah status tanah rizab Melayu kepada bukan rizab Melayu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, saksi-saksi lain yang akan turut dipanggil termasuklah kakitangan kerajaan yang ketika itu bertugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG), lapor Sinar Harian.

“Ini termasuklah juga minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa untuk kelulusan exco (mesyuarat exco ketika itu).

“Jadi exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak.

Azam berkata, setakat ini belum ada pendakwaan baharu dilakukan dan siasatan kes terbabit masih lagi berjalan.

“Sekarang siasatan berada di peringkat kedua selepas kita membuat pendakwaan ke atas seorang pegawai PTG sebelum ini,” katanya.

Pada 30 April lalu, seorang bekas timbalan pendaftar hakmilik PTG Perak didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Rosli Che Mohamed, 64, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Dalam pada itu, Azam juga menafikan pembebasan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman sebelum ini memberi maksud bahawa siasatan terhadap individu tersebut telah selesai.

“Dia dibebaskan kerana telah tamat tempoh reman yang diberikan majistret, bukan bermakna siasatan telah selesai,” katanya.

Pengarah urusan berusia 44 tahun itu sebelum ini direman empat hari selepas disyaki memberi rasuah pegawai kerajaan berkait tanah rizab Melayu seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan rizab Melayu.

Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan bumiputera di mukim Sitiawan, Manjung.

Tiada ulasan: