"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah miliki air ketum ditahan, 4 rakan positif Benzo

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Tiga penjawat awam termasuk seorang pensyarah antara 1,251 suspek yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan yang dijalankan selama dua minggu bermula 26 Mei sehingga 8 Jun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek lelaki berusia 38 tahun itu, adalah pensyarah di universiti tempatan yang ditahan polis pada sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang Jeli, jam 10.30 malam, pada 2 Jun.

Katanya, suspek ditahan bersama empat lagi rakan kerana dipercayai memiliki 0.95 liter air ketum selain ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif Benzo.

"Manakala, suspek kedua adalah Pembantu Awam, berusia 27 tahun, ditahan pada 4 Jun, di Kubang Kerian, di sini, kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Selain itu, suspek ketiga pula adalah seorang pemandu yang dipercayai memiliki 14.5 liter air ketum selepas ditahan di kediamannya di Taman Wangi Gua Musang, jam 5 petang, pada 7 Jun.

"Semua penjawat awam berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM 247,229.92 dalam tempoh operasi berkenaan membabitkan dadah seperti pil kuda, heroin, ganja dan syabu.

"Semua yang ditangkap berumur di antara 15 tahun hingga 62 tahun terdiri daripada

1,227 lelaki dan 24 perempuan termasuk tiga tangkapan penjawat awam.

"Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 12,966 orang penagih dadah.

"PDRM Kelantan melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian

Siasatan Jenayah Narkotik Daerah akan terus melancarkan operasi bagi mengekang penyeludupan atau kemasukan dadah dari negara jiran dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat," katanya.

Tiada ulasan: