"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tugas Don Daniyal hanya hos program, bukan petik kitab'

Malaysiakini

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman, berkata Salam Baitullah bukanlah rancangan agama sebaliknya cuma berkaitan perkhabaran terkini jemaah Malaysia di Mekah.

Justeru, katanya, tugas Don Daniyal Don Biyajid sebagai pengacara sepatutnya berkisar pada aspek berkenaan seperti yang ditetapkan dalam skrip, dan bukannya memberikan pandangan yang belum dapat dipastikan kesahihannya.

“Tugas Don Daniyal adalah mengacara, bertanya soalan, ikut skrip dan jauhi kontroversi. Dia sudah dimaklumkan mengenai perkara ini berkali-kali.

“Don Daniyal tidak ditugaskan untuk menganalisis atau memetik kitab, ikut sajalah arahan yang diberi," katanya yang dipetik BH Online hari ini.

Menjelaskan isu tersebut lebih lanjut, Suhaimi berkata, RTM memutuskan untuk menamatkan penampilan Don Daniyal dalam Salam Baitullah berdasarkan kepada kegagalan dia mematuhi skrip asal.

Suhaimi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Don Daniyal pada sidang media di Putrajaya, malam tadi yang mendakwa berlaku salah faham apabila dia didakwa memetik hadis lemah hingga menjadi punca disingkirkan daripada program Salam Baitullah.

Untuk rekod, Don Daniyal, 39, sebelum ini direhatkan seminggu selepas pelbagai pihak mengkritik dakwaannya berkaitan Nabi Muhammad SAW yang melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Kelmarin, Don Daniyal kembali bersiaran di RTM namun sekali lagi mencetus kontroversi apabila membuat dakwaan yang diragui mengenai ‘kelebihan’ memandang ulama.

Dakwaan Don Daniyal itu ditegur oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Rozaimi Ramle, dan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Hapiz Mahaiyadin kerana dipetik dari sumber yang diragui.

Pada sidang media malam tadi, Don Daniyal menegaskan dia tidak memetik sebarang hadis semasa menyatakan kelebihan memandang wajah ulama, sebaliknya merujuk kepada kitab karangan ilmuan Islam dari Nusantara.

RTM kena tanggungjawab

Don Daniyal juga mendakwa, jika dia dianggap salah dalam memberikan pandangan berkenaan, bermakna ulama terbabit, Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani, juga salah.

Menurut Suhaimi, RTM tidak memihak kepada sesiapa dalam isu tersebut namun sekiranya dibiarkan berterusan ia dikhuatiri membawa masalah kepada stesen penyiaran berkenaan.

Katanya, apabila perkara yang disebut Don Daniyal tiada dalam skrip, keadaan itu bahaya sebab wujud kecenderungan untuk timbul perkara yang bukan-bukan.

Menggunakan dirinya sebagai contoh, Suhaimi berkata, dia sendiri yang berpengalaman selama 30 tahun hingga kini masih mengutamakan arahan penerbit.

“Saya sudah banyak kali berpesan kepada Don Daniyal (supaya) dia perlu berhati-hati sebab ramai yang memerhatikan dirinya.

“Macam yang saya katakan, kalau dia hendak petik hadis atau kitab ketika kendalikan program, beritahu kami dulu.

“Pihak yang kena bertanggungjawab adalah kami kerana RTM stesen penyiar.

“Kalau Don Daniyal mahukan kebebasan untuk buat apa yang dia suka, buatlah di platform media sosial sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: