Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Klang: Seorang wanita ditemukan maut dipercayai dikelar suami sendiri di sebuah pangsapuri di Bandar Botanik, dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan daripada adik suspek berhubung kejadian itu pada jam 7.58 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7 pagi dan mangsa yang berusia 28 tahun ditemui terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.
"Siasatan turut mendapati pasangan itu berkahwin sejak dua tahun lalu dan mempunyai seorang bayi perempuan berusia enam bulan.
"Difahamkan pasangan itu mempunyai mempunyai masalah rumah tangga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Cha berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa menemui 12 luka hiris di beberapa bahagian badan termasuk leher, pipi, telinga, lengan, kepala serta jari.
"Punca kematian adalah luka kelar di leher. Suami mangsa yang berusia 31 tahun direman tujuh hari sehingga 14 Jun ini untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk ahli keluarga terdekat.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan