Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman denda RM1,200 ke atas seorang suri rumah yang mengaku membuat laporan polis palsu kononnya dia diragut dua individu sehingga menyebabkan kerugian hampir RM780,000.
Majistret Aina Azahra Tun Ariffin turut memerintahkan Karen Lee Chy Na, 35, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Lee didakwa memberi maklumat palsu kepada anggota polis Muhammad Sharil Zainal Abidin bahawa dia diragut dua individu yang kemudian melarikan diri dengan pasport miliknya dan tiga utas jam tangan bernilai RM779,000.
Mengikut pertuduhan, perbuatan tertuduh telah menyebabkan pegawai penyiasat polis Ahmad Souffi Mohd Shaffei menjalankan kuasa-kuasa menyiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Dia melakukan kesalahan itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Travers, Brickfields pada 11.20 pagi 10 Jun lepas.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan meminta denda ringan atas alasan tertuduh hanyalah seorang suri rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan