"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Koperal didakwa cederakan lelaki hingga patah hidung

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki sehingga menyebabkan hidungnya patah, dua minggu lalu.

Mohd Azizi Ab Aziz, 44, didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Zaharee Mohd Noor, 59, di Simpang 4, Jalan Mewah 12, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada 12 tengah malam, 30 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Peguam Mohd Razman Sahat yang mewakili Mohd Azizi memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara tiga anak serta ibu bapa yang uzur.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: